esei za'ba

17
1.0 Pengenalan Tradisi linguistik Melayu yang diupayakan oleh tokoh setempat dan serantau di Alam Melayu dapat dikesan titik awalnya pada pertengahan abad ke-19, iaitu dengan mengambil tarikh terhasilnya karya tatabahasa Melayu oleh Raja Ali Haji, tokoh persuratan di Pulau Penyengat, Riau. Karya itu berjudul Kitab Bustan al-Katibin dan bertarikh 1857. Karya tersebut merupakan buku pelajaran ejaan dan tatabahasa Melayu. Pada tahun 1859, Raja Ali Haji menghasilkan Kitab Pengetahuan Bahasa pula, iaitu karya yang dapat dikategorikan sebagai kamus dan sekaligus tatabahasa Melayu. Sesudah Raja Ali Haji, kurang jelas perkembangan penulisan linguistik Melayu oleh anak watan Melayu, sehinggalah kira-kira satu abad kemudian muncul seorang tokoh yang cukup gigih dan giat berusaha memantapkan sistem bahasa Melayu formal melalui penyusunan sistem ejaan Jawi dan Rumi, tatabahasa dan retorik. Tokoh itu ialah Za’ba, yang lahir pada 16 September 1895 di Batu Kikir, Jempul, Negeri Sembilan. Za’ba (Tan Sri Dr. Zainal Abidin bin Ahmad) diiktiraf oleh masyarakat dan negara Malaysia khususnya dan Alam Melayu, umumnya sebagai tokoh cendekiawan yang cukup berwibawa. Beliau pemikir dan pencetus beberapa gagasan besar dalam pelbagai bidang seperti agama, ekonomi, bahasa, sastera, politik, pendidikan, dan kebudayaan sebagai suatu keseluruhan yang menandai tamadun Melayu. Dalam bidang agama, beliau dapat digolongkan sebagai cendekiawan yang mendukung gerakan islah. Dalam bidang politik barangkali ada yang tidak tahu bahawa beliau penggerak aktif dalam menyatukan orang Melayu untuk menolak gagasan Malayan Union kerajaan Inggeris. 1

description

info

Transcript of esei za'ba

Page 1: esei za'ba

1.0 Pengenalan

Tradisi linguistik Melayu yang diupayakan oleh tokoh setempat dan serantau di Alam

Melayu dapat dikesan titik awalnya pada pertengahan abad ke-19, iaitu dengan mengambil

tarikh terhasilnya karya tatabahasa Melayu oleh Raja Ali Haji, tokoh persuratan di Pulau

Penyengat, Riau. Karya itu berjudul Kitab Bustan al-Katibin dan bertarikh 1857. Karya

tersebut merupakan buku pelajaran ejaan dan tatabahasa Melayu.

Pada tahun 1859, Raja Ali Haji menghasilkan Kitab Pengetahuan Bahasa pula, iaitu

karya yang dapat dikategorikan sebagai kamus dan sekaligus tatabahasa Melayu. Sesudah

Raja Ali Haji, kurang jelas perkembangan penulisan linguistik Melayu oleh anak watan

Melayu, sehinggalah kira-kira satu abad kemudian muncul seorang tokoh yang cukup gigih

dan giat berusaha memantapkan sistem bahasa Melayu formal melalui penyusunan sistem

ejaan Jawi dan Rumi, tatabahasa dan retorik. Tokoh itu ialah Za’ba, yang lahir pada 16

September 1895 di Batu Kikir, Jempul, Negeri Sembilan.

Za’ba (Tan Sri Dr. Zainal Abidin bin Ahmad) diiktiraf oleh masyarakat dan negara

Malaysia khususnya dan Alam Melayu, umumnya sebagai tokoh cendekiawan yang cukup

berwibawa. Beliau pemikir dan pencetus beberapa gagasan besar dalam pelbagai bidang

seperti agama, ekonomi, bahasa, sastera, politik, pendidikan, dan kebudayaan sebagai

suatu keseluruhan yang menandai tamadun Melayu. Dalam bidang agama, beliau dapat

digolongkan sebagai cendekiawan yang mendukung gerakan islah. Dalam bidang politik

barangkali ada yang tidak tahu bahawa beliau penggerak aktif dalam menyatukan orang

Melayu untuk menolak gagasan Malayan Union kerajaan Inggeris.

1

Page 2: esei za'ba

2.0 Latar belakang

Zainal Abidin bin Ahmad dilahirkan pada 16 September 1895 di Kampung Bukit

Kerdas, Jempol, Batu Kikir, Negeri Sembilan. Za'ba merupakan anak sulung, diikuti dua

adiknya iaitu Muhammad Yusuf dan Siti Hawa serta adik tirinya bernama khadijah. Beliau

merupakan salah seorang anak kampung yang berjaya meletakkan dirinya sebagai seorang

tokoh yang terkemuka dalam sejarah Malaysia. Za’ba memiliki kecemerlangan peribadi iaitu

ketajaman pemikiran, kesungguhan dan keberanian disamping memiliki ciri-ciri seorang

yang tabah, bersemangat patriotik dan kental dalam setiap perjuangannya. Sifatnya yang

gemar membaca, menulis dan mengarang telah menjadikan beliau berjaya dalam

kerjayanya. 

Keluarganya (sebelah bapa) berketurunan Bugis yang terkemuka dari Kepulauan

Riau dan berkedudukan tinggi dalam masyarakat Bugis di Linggi. Kedudukan ekonomi

keluarga Za'ba bolehlah dikatakan berada lantaran kegigihan ayahnya bekerja dalam

beberapa pekerjaan yang diceburinya. Bapanya, Ahmad Ibrahim (1864-1927) adalah insan

yang mementingkan agama dan pendidikan.

Beliau berbakat dalam kepenyairan dan kepengarangan di samping rajin menelaah

pelbagai buku agama, hikayat Melayu dan persuratkhabaran sezaman. Beliau juga

merupakan satu-satunya penduduk kampung tahu membaca dan menulis huruf Melayu

yang tidak berbaris serta berpengetahuan dalam agama.

Manakala Ibu Za'ba bernama Intan Awaluddin (1877-1907). Beliau berketurunan

Melayu-Minang dan seorang yang buta huruf (seperti lazimnya nasib wanita Melayu ketika

itu), tetapi ini tidaklah bermakna ibu Za'ba jahil. Sejak kecil, Za’ba diasuh berdisiplin dan

bermandiri yang sekali gus melayakkannya mengharungi hari-hari mendatang dengan

penuh keyakinan dan semangat perjuangan.

Bapanya mendidiknya dengan tegas dan garang telah menjadi aset moral dan

psikologi yang bermakna buat Za'ba sendiri. Semasa kecil lagi, Za'ba menjadi anak kecil

yang bijak dan dicemburui kebolehannya oleh orang kampung ketika memperdengarkan

bacaan ayat-ayat al-Quran dengan kemerduan suaranya.

2

Page 3: esei za'ba

Apabila dewasa, Za'ba mendepani zaman kedewasaannya dengan tabah dan

berwaspada. Za'ba tampil sebagai pengkritik, propagandis dan provokator yang berani,

lantang dan tegas, bukannya penikus yang melutut di kaki penjajah bangsanya.

3.0 Sumbangan tokoh kepada dunia pendidikan

Sebuah artikel yang ditulis oleh Za'ba, iaitu 'Jalan Keselamatan Melayu Bagi Orang-

orang Melayu' merupakan salah satu daripada himpunan hasil penulisan beliau yang

membincangkan mengenai permasalahan dan masa depan orang Melayu. Antara artikel

penting yang membincangkan isu yang berada dalam ruang lingkup yang sama ialah

'Kemiskinan Melayu', 'Guna Kekayaan', 'Teguran dan Jawaban', 'Kasihkan Diri dan

Kasihkan Orang Lain', 'Keadaan Masyarakat Melayu', 'Rajin Orang China' dan lain-lain.

Keperitan yang dialami oleh orang Melayu membawa kepada penjelasan mengenai

agenda untuk menaikkan kedudukan bangsa Melayu. Bagi beliau, menuntut ilmu adalah

penting dan agama Islam mewajibkan umatnya menuntut ilmu seperti yang diajarkan oleh

Nabi Muhammad S.A.W dalam hadis-hadisnya dan juga yang termaktub dalam al-Quran.

Za'ba menekankan kewajipan menuntut ilmu kerana dengan ilmu akan meningkatkan

martabat umat Islam. Menerusi artikel 'Jalan Keselamatan Bagi Orang-orang Melayu', Za'ba

menjelaskan bahawa:

Bahawasanya keselamatan orang Melayu ini pada pihak jalan kehidupannya

(pencariannya) dan pada pihak perangai-perangai yang kekurangan itu hanyalah boleh

didapati pada satu jalan sahaja, iaitu diubati kemiskinannya yang pada pihak otak itu-yakni

kemiskinan pengetahuannya dengan jalan diberi mereka itu pelajaran-pelajaran daripada

jenis yang betul. Maka disitulah sahaja boleh didapati jalan keselamatan ini, tiada yang

lainnya.

(Jalan Keselamatan Bagi Orang-orang Melayu)

Menerusi kenyataan Za'ba di atas, jelas menunjukkan bahawa aspek pendidikan

merupakan elemen yang penting dalam memantapkan kedudukan orang Melayu. Di

samping itu, beliau turut memberi seruan kepada masyarakat agar mempunyai sikap jimat-

cermat, menjaga kesihatan, menjalankan kegiatan ekonomi secara kecil-kecilan seperti

bercucuk tanam, berternak, berjual-beli dan sebagainya. Baginya galakan tersebut boleh

disuarakan dalam khutbah, syarahan, nasihat dan juga penerbitan risalah-risalah kecil.

3

Page 4: esei za'ba

Za'ba juga mengulas mengenai pendidikan bagi sesuatu bangsa dalam pelbagai

aspek:

Pelajaran otak atau kepandaian-kepandaian sekolah atau kolej sahaja, istimewa

pula jika yang demikian itu terlalu rendah dan tiada melebihi daripada kepandaian

membaca, menulis, berkira-kira dan membuat kerja-kerja kerani dan mengenal akan

kesedapan karangan-karangan yang rendah dan kecil. Pelajaran yang dikatakan cukup itu

hendaklah termasuk di dalamnya pelajaran-pelajaran berniaga, berjual-beli, pertukaran,

membuat barang-barang, bercucuk tanam dan berbagai-bagai perusahaan dan pekerjaan

mengeluarkan hasil. Dalam pada itu hendaklah pula dimaksudkan tiap-tiap seorang termesti

belajar dan mengetahui kesemuanya itu.

(Jalan Keselamatan Bagi Orang-orang Melayu)

Berdasarkan kenyataan ini, jelas menunjukkan Za'ba mempunyai pandangan luas

dalam memberikan pengertian pelajaran ataupun pendidikan untuk orang Melayu. Baginya,

pendidikan amat penting dalam mengubah nasib sesuatu bangsa selain pencapaian

akademik, penguasaan bidang-bidang kemahiran dan vokasional juga penting untuk

dikuasai bagi menjamin kemajuan dan kecemerlangan bangsa. Apabila tahap pendidikan

yang baik dimiliki, secara tidak langsung akan dapat meningkatkan kedudukan sesuatu

bangsa itu. Menurut pengamatan Za'ba, sikap dan tabiat orang Melayu adalah berlawanan

dengan sifat-sifat di atas. Oleh itu, masyarakat Melayu hendaklah membuang sikap-sikap

negatif dan digantikan dengan sikap yang boleh membawa kemajuan. Justeru, golongan

muda sewajarnya mendapatkan pendidikan yang baik dan seterusnya memikul

tanggungjawab untuk memberi kesedaran, menggerakkan diri dan bangsanya ke arah

kemajuan.

Za'ba juga menegaskan bahawa cadangan beliau ini boleh diperhalusi lagi dan

dibuat penambahbaikan dengan memberi pandangan dan fikiran masing-masing. Oleh itu,

masyarakat Melayu diseru agar bangkit daripada tidur. Begitu para pemimpin seharusnya

tidak leka dengan kemewahan sendiri tanpa memikirkan kepentingan masyarakat umum.

Walaupun persatuan dan kelab Melayu telah banyak diwujudkan, namun tidak banyak

aktiviti yang dijalankan dapat membina pembangunan ahlinya. Aktiviti kelab tersebut lebih

berbentuk hiburan, manakala aktiviti berbentuk keagamaan pula hanya berkisar kepada

acara berzanji, marhaban dan melagukan qasidah. Guru-guru agama juga terikat kepada

4

Page 5: esei za'ba

pengkajian kitab-kitab jawi yang hanya berkisar kepada perkara sah, batal, haram dan dosa

pahala dan tidak sampai kepada ilmu-ilmu yang menjadi asas ajaran Islam seperti tafsir,

hadith, syariah dan juga sejarah. Oleh itu, menjadi kewajipan kepada orang Melayu untuk

membuang kelemahan ini dan digantikan dengan pendidikan yang dapat mengubah

generasi muda yang mungkin menjadi pemangkin kepada bangsanya untuk maju ke

hadapan. Matlamat tersebut dapat dicapai dengan penguasaan ilmu, perpaduan dan kerja

yang kuat dalam kalangan masyarakat Melayu. Za'ba juga mencadangkan bahawa:

Suatu kumpulan daripada anak-anak negeri kita hendaklah diberi pelajaran yang

luas dan tinggi, setengahnya pada pihak kepandaian ilmu-ilmu siasat kejadian dan fikiran-

fikiran yang tinggi dan setengahnya pada pihak kepandaian ilmu-ilmu siasat yang khas bagi

pekerjaan mengambil upah dan mencari wang seperti berlawyer, berengineer, berdoktor

dan lain-lain lagi. Maka tidaklah pula dikehendaki kesemuanya berkerumun hendak menjadi

lawyer atau menjadi doktor ataupun engineer, tukang injin, tukang elektrik atau pegawai-

pegawai yang memerintah negeri melainkan pilihlah masing-masing ikut kecenderungan.

Mana yang cenderung pada yang berniaga dan bersaudagar hantarlah belajar pasal

perniagaan, peraturan dan sebagainya. Mana yang ada berkecenderungan fasal tukang

menukang dan membuat barang-barang berilah pula pelajaran pada perkara-perkara itu.

Kekayaan sumber dan hasil bumi negeri ini boleh dijadikan modal untuk orang-orang

Melayu bersaing dengan bangsa-bangsa lain.

(Jalan Keselamatan Bagi Orang-orang Melayu)

Ketiga-tiga kelemahan masyarakat Melayu iaitu kemiskinan, keadaan puas hati dan

kesederhanaan boleh diperbaiki jika diberi pendidikan yang lebih baik. Menerusi pendidikan,

mereka mempunyai keyakinan diri sendiri (berdikari). Pekerja Melayu akan menjadi lebih

layak untuk sektor perindustrian, perdagangan dan juga untuk jawatan ikhtisas dalam

bidang undang-undang, perubatan, kejuruteraan dan jawatan-jawatan tertinggi kerajaan

yang mana memerlukan ijazah daripada universiti. Jika orang Melayu sentiasa bersikap

berpuas hati, maka is adalah berpunca daripada diri mereka yang tidak mempunyai

kelayakan yang tinggi untuk mara ke hadapan. Justeru itu sudah sewajarnya kita menilai

semula pemikiran yang dibentangkan oleh Za'ba ini. Walaupun secara dasarnya cadangan

yang dikemukakan oleh beliau bukanlah sesuatu yang baru, namun dua aspek tersebut iaitu

pendidikan dan kerjasama yang dibahaskan oleh Za'ba dengan teliti dan mendalam adalah

tunjang utama terhadap penyelesaian isu kemiskinan dan ekonomi yang masih lagi menjadi

5

Page 6: esei za'ba

permasalahan masyarakat Melayu sehingga sekarang. Penambahbaikan boleh dilakukan

dalam mengimplementasikan langkah-langkah tersebut agar bersesuaian dengan

perkembangan dunia teknologi dan maklumat masa kini.

4.0 Penghargaan dan pengiktirafan yang diterima

Setelah Perang Dunia Kedua tamat, Za'ba bergiat aktif dalam pertubuhan politik

tanah air. Beliau menjadi Yang Dipertua Persatuan Melayu Selangor (PMS) menggantikan

Tengku Ismail. Beliau dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Kongres Melayu

Se-Malaya yang berlangsung dari 1 hingga 4 Mac 1946, yang kemudian melahirkan

Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO).

Pada tahun 1956, Za'ba mengetuai satu lagi kongres yang penting bagi bangsa

Melayu. Kali ini ialah Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu ketiga, dan pada akhir

kongres ini Za'ba dianugerahi gelaran "Pendeta". Ini dilakukan kerana mengenang jasanya

yang tidak terhingga dalam bidang bahasa. Walaupun penglibatannya dalam bidang-bidang

lain tidak boleh diperkecil, tetapi sumbangan dan tulisannya dalam bidang bahasa yang

paling menonjol. Dalam pendahuluan Pelita Bahasa Melayu Penggal I misalnya, dia

mencatatkan kegigihannya menerapkan nahu Arab dan Inggeris kepada bahasa Melayu.

Dengan itu dia menjadi sarjana Melayu yang pertama menghasilkan huraian tatabahasa

Melayu yang lengkap dan mendalam.

Atas segala khidmatnya Za'ba telah diberikan beberapa anugerah dan ijazah

kehormat, iaitu Ijazah Kehormat Doktor Persuratan oleh Universiti Malaya (1959), Ijazah

Kehormat Doktor Persuratan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (1973), dan darjah

Panglima Mangku Negara (P.M.N.) oleh Yang di-Pertuan Agong yang membawa gelaran

Tan Sri (1962).

6

Page 7: esei za'ba

5.0 Kepentingan penghargaan dan sumbangan tokoh kepada perkembangan

profesionalisme dan kepimpinan dalam bidang pendidikan.

Daripada sekian banyak bidang yang diceburinya, bidang bahasalah yang

tampaknya paling banyak dipertalikan orang dengan ketokohan dan sumbangannya.

Sehingga kini nama Za’ba seakan-akan bersinonim dengan bahasa Melayu. Hal ini tidak

menghairankan kerana memang Za’balah yang meletakkan asas sistem bahasa Melayu

baharu, baik dalam bidang ejaan mahupun tatabahasa Melayu. Za’balah yang menandai

awal babak perkembangan ilmu bahasa atau linguistik Melayu baharu sejak tahun 1920-an,

sezaman dengan tokoh linguistik Amerika yang cukup berpengaruh dalam dunia linguistik

Barat pada satu waktu dahulu, iaitu Leonard Bloomfield.

Taraf Za’ba sebagai perintis bahasa Melayu baharu diungkapkan dengan menarik

sekali oleh Profesor Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam pidato umum pengurniaan

ijazah Doktor Kehormat Persuratan kepada Za’ba oleh Universiti Kebangsaan Malaysia

pada tahun 1973 dengan kata-kata “Karangannya yang diberi nama Pelita Bahasa Melayu

itu sungguh benar pelita yang menerang suasana kelam keliru dan menunjuk jalan ke arah

kesedaran orang Melayu akan nilai bahasanya yang merupakan jiwa bangsa itu. Dialah

pemukul rebana kalbu masyarakat kita dalam Dewan Persuratan dan nyaring debarannya

masih terdengar ke hari ini!” Seorang sarjana besar dari Indonesia Prof. Dr. Harimurti

Kridalaksana (1986) mengangkat Za’ba sebagai Bapa Tatabahasa Tradisional Melayu

Malaysia, setaraf dengan Sasrasoeganda yang digelar Bapa Tatabahasa Tradisional

Indonesia. Pengangkatan taraf itu berasaskan pada pengaruh tatabahasa yang disusun

oleh Za’ba yang cukup luas dalam sistem pendidikan di negara ini.

Prof. Dr. Asmah Haji Omar (1975), dengan berasaskan peranan buku tatabahasa

karangan Za’ba yang dijadikan buku pegangan dalam sistem pendidikan di negara ini,

menganggap buku Pelita Bahasa Melayu sebagai kitab bagi guru-guru bahasa Melayu.

7

Page 8: esei za'ba

Menurut Prof. Asmah lagi, sehingga tahun 1968 semua buku teks bahasa Melayu

yang digunakan di sekolah disusun dengan berasaskan buku tatabahasa Za’ba. Hal ini

bererti bahawa pengaruh Za’ba melampaui tempoh paling tidak 30 tahun dalam

perkembangan bahasa Melayu di Malaysia. Malah sesudah munculnya pelbagai aliran

linguistik dalam percubaan menganalisis jalan bahasa Melayu ketika ini, tatabahasa yang

disusun oleh Za’ba masih tetap dirujuki. Sering juga kedengaran kata-kata sebilangan

sarjana linguistik sendiri bahawa setengah-setengah konsep yang diperkatakan kini

sebenarnya telah sedia ada dalam buku Za’ba tetapi tidak disedari oleh setengah-setengah

ahli linguistik moden yang kadang-kadang tidak suka menoleh ke belakang untuk

mengambil manfaat daripada hasil kerja orang terdahulu. Sebahagian analisis Za’ba yang

ternyata masih dapat dijadikan sandaran untuk analisis bahasa Melayu kini telah saya

kemukakan dalam kertas kerja yang berjudul “Penyusunan Tatabahasa Melayu di Malaysia:

Dari Pelita Bahasa Melayu ke Tatabahasa Dewan” untuk Persidangan Antarabangsa

Pengajian Melayu di Universiti Malaya pada tahun 1989.

Sebelum terbitnya Pelita Bahasa Melayu dalam tiga penggal (pada tahun 2000, buku

tersebut telah diterbitkan semula dalam edisi ejaan baharu oleh Dewan Bahasa dan

Pustaka), Za’ba sebenarnya telah menghasilkan buku Ilmu Bahasa Melayu pada tahun

1926 dan 1927. Buku Pelita Bahasa Melayu Penggal I yang terbit pada tahun 1940 telah

mula ditulis pada tahun 1934 dan 11 bab selesai pada tahun 1936. Pelita Bahasa Melayu

Penggal II pula siap ditulis pada tahun 1942 tetapi ditangguhkan penerbitannya ke tahun

1946 sesudah dibaiki dan disemak. Setahun kemudian terbit pula Pelita Bahasa Melayu

Penggal III. Ketiga-tiga buku beliau inilah yang menjulang namanya sebagai pengasas

bahasa Melayu baharu. Maka memang kena pada tempatnya beliau dianugerahkan gelaran

Pendeta dalam Kongres Bahasa Melayu dan Persuratan Melayu Ketiga pada tahun 1956.

Keunggulan Za’ba terletak pada kekuatan dan ketajaman intuisi serta

pemerhatiannya terhadap sistem bahasa Melayu. Walaupun beliau tidak terdedah secara

formal dalam disiplin linguistik, khususnya linguistik moden, analisis yang dihasilkannya

membuktikan bahawa gagasan-gagasan penting dalam bidang ilmu itu ada dalam

intuisinya. Apatah dihairankan kerana segala gagasan yang dikemukakan oleh ahli-ahli

linguistik ternama di Barat itu pun sebenarnya hasil renungan dan pemikiran mereka juga.

Dan kita di Alam Melayu ternyata memiliki pemikir yang setanding dengan sarjana di Barat.

Pada saat istilah fonologi belum dikenal orang di negara ini pada tahun 1930-an, Za’ba telah

mengemukakannya lewat analisisnya tentang sistem ejaan bahasa Melayu. Orang yang

8

Page 9: esei za'ba

tidak memiliki intuisi tentang fonologi tidak mungkin dapat mengetengahkan analisis sistem

ejaan sesuatu bahasa, kerana ejaan atau huruf merupakan lambang atau gambaran sistem

bunyi bahasa.

Prof. Asmah Haji Omar (1976) dapat mengesan beberapa prinsip fonologi yang

melandasi analisis Za’ba tentang sistem ejaan bahasa Melayu. Antaranya termasuklah:

a. Keutamaan ucapan di atas tulisan (kewujudan bunyi mendahului tulisan):

“Maka sungguhpun ada beberapa banyak bangsa seperti Semang, Sakai dan sebagainya

yang tiada mengerti pada jalan tulis-menulis tetapi sekaliannya bangsa-bangsa itu tahu juga

bersuara dan bercakap.”

(Pelita Bahasa Melayu Penggal I, Bab 1, pecahan 3).

b. Huruf sebagai lambang untuk bunyi:

“Manusia itu tatkala bertambah-tambah majunya dapatlah ia merupakan tiap-tiap suatu

bunyi yang disebutnya itu dengan suatu gambar - gunanya untuk menampakkan

percakapan itu kepada mata, supaya dapat difahamkan dengan dipandang sahaja oleh

orang yang tiada mendengar seperti orang yang jauh jarak tempatnya atau masanya

daripada orang yang punya percakapan itu.”

(Pelita Bahasa Melayu Penggal I, Bab 1, pecahan 5).

c. Hubungan antara fikiran dengan mekanisme bahasa:

“Bunyi itu masuk ke telinga mereka langsung terus kepada otaknya. Maka dengan serta-

merta otak itu mengenal akan dia dan mengerti akan maksudnya. Begitulah juga pada

segala bunyi-bunyi lain yang ada bermakna bagi orang yang punya bahasa itu.”

(Pelita Bahasa Melayu Penggal I, Bab 1, pecahan 1 – 2).

9

Page 10: esei za'ba

Dalam mengemukakan sistem ejaan bagi bahasa Melayu, Za’ba turut

memperlihatkan ketajaman intuisinya tentang konsep-konsep fonetik, walaupun dengan

cara yang cukup sederhana. Za’ba sudah memperkenalkan adanya perbezaan bunyi vokal

(yang diistilahkannya sebagai huruf saksi) dan bunyi konsonan (yang diistilahkannya

sebagai huruf benar). Tentang huruf (sebenarnya bunyi) saksi, Za’ba mengenal pasti

adanya bunyi vokal sempit atau tinggi (seperti bunyi u dan i). Za’ba menggolongkan bunyi a,

e, o sebagai bunyi kasar dan e pepet, e, u sebagai bunyi halus.

Demikian juga Za’ba telah mengetengahkan konsep diftong dan vokal rangap (istilah

beliau bunyi berkait rapat dan bunyi berkait renggang), ciri suprasegmental (seperti

kepanjangan bunyi) yang menurutnya bukan sifat bahasa Melayu, dan keharmonian vokal.

Tentang keharmonian vokal yang menjadi asas pengejaan kata dua suku kata dan lebih,

prinsip Za’ba berdasar pada keselarasan vokal halus lawan halus dan vokal kasar lawan

kasar. Katanya:

“Pakailah saksi halus di hujung jika bunyi yang dahulunya halus, dan pakailah saksi kasar di

hujung jika bunyi yang dahulunya kasar.”

(Pelita Bahasa Melayu Penggal I, Bab V, pecahan 54).

Analisis Za’ba yang cukup berpengaruh dalam menentukan jalan bahasa Melayu

ialah dalam bidang tatabahasa. Analisis beliau tentang tatabahasa dapat dibahagi kepada

dua komponen utama, iaitu morfologi dan sintaksis, walaupun beliau tidak menggunakan

istilah tersebut. Selaras dengan pengaruh tatabahasa tradisional yang ketika itu

mendominasi disiplin linguistik, analisis Za’ba ternyata banyak yang terikat oleh pendekatan

tersebut. Oleh sebab itu istilah-istilah tatabahasa yang digunakannya dan cara beliau

menjelaskan sesuatu konsep tatabahasa seluruhnya berdasar pada makna, iaitu ciri utama

linguistik tradisional.

Dalam membicarakan kata, Za’ba menggolongkan kata kepada lima golongan yang

utama, iaitu nama, perbuatan, sifat, sendi, dan seruan. Setiap golongan utama itu dipecah-

pecahkan kepada subgolongan. Misalnya di bawah nama ada nama betul dan ganti nama.

Di bawah kedua-duanya ada pula pecahan yang lebih kecil, iaitu nama am atau nama nika

dan nama khas. Tentang perbuatan pula, dipecahkannya golongan itu kepada perbuatan

10

Page 11: esei za'ba

melampau dan perbuatan tidak melampau, yang kini kita kenal sebagai kata kerja transitif

dan kata kerja tak transitif. Antara gagasan Za’ba yang menarik tentang perbuatan yang

dapat menduduki fungsi nama, iaitu yang disebutnya perbuatan nama dan nama perbuatan.

Jelas bahawa hal yang kini dibincangkan oleh ahli linguistik moden sebagai bentuk nominal

telah dibincangkan jauh lebih awal oleh Za’ba.

Tentang sifat pula, Za’ba membahaginya kepada sifat nama dan sifat kata. Yang

pertama merujuk kepada golongan kata yang dikenal sebagai adjektif, sementara yang

kedua merujuk kepada adverba. Dalam keriuhan perancang bahasa dan pengguna bahasa

mendapati tiadanya golongan kata adverba dalam Tatabahasa Dewan, maka sekali lagi

tatabahasa yang disusun Za’ba dirujuki untuk mengambil keputusan memasukkan golongan

kata itu dalam edisi baharu buku tatabahasa terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka itu.

Tentang kata sendi pula, Za’balah yang meletakkan asas penggunaan kata sendi

yang tepat, misalnya antara pada dengan di, ke dengan kepada, dari dengan daripada, dan

yang lain. Hingga kini ketetapan yang dibuat Za’ba itu menjadi pegangan pendidik dan

pelajar serta masyarakat umum.

Analisis Za’ba tentang ayat bahasa Melayu berkisar di sekitar ayat selapis, ayat

berlapis, ayat berkait, dan ayat bercampur. Penggolongan ayat sedemikian tidak jauh

berbeza dengan yang berlaku dalam bahasa-bahasa lain, dan hal ini memenuhi salah satu

ciri asas kesejagatan bahasa. Ayat selapis merujuk kepada konsep ayat tunggal, iaitu ayat

ayat yang terdiri daripada satu subjek dan satu predikat. Ayat berlapis samalah dengan ayat

gabungan, sementara ayat berkait ialah padanan istilah bagi ayat pancangan walaupun

konsep ayat berkait Za’ba lebih banyak berkaitan dengan ayat pancangan keterangan

sahaja. Ayat bercampur samalah dengan ayat campuran, iaitu ayat yang terdiri daripada

pelbagai binaan ayat. Jelaslah bahawa analisis ayat atau sintaksis yang terdapat dalam

buku-buku tatabahasa kini masih tetap berasas pada analisis yang dibuat oleh Za’ba. Yang

membezakannya hanya soal istilah dan kerangka pendekatannya sahaja. Sebagai contoh,

sementara Za’ba menggunakan pendekatan tradisional, Tatabahasa Dewan, khususnya

dalam aspek sintaksis, disusun berasaskan pendekatan transformasi-generatif.

Jenis-jenis ayat yang terbahagi kepada ayat penyata, ayat tanya, ayat perintah, dan

ayat seruan pun telah dianalisis oleh Za’ba. Demikian juga ragam ayat yang dikenal sebagai

ayat aktif dan ayat pasif telah digarap oleh Za’ba dengan istilah ayat bangun membuat dan

11

Page 12: esei za'ba

ayat bangun kena buat. Kajian yang saya lakukan menunjukkan bahawa rumus-rumus ayat

pasif bahasa Melayu yang dikemukakan oleh sarjana-sarjana linguistik moden tidak ada

perbezaannya sama sekali dengan yang telah dikemukakan oleh Za’ba lebih setengah abad

yang silam.

Selain berjasa besar dalam meletakkan asas sistem bahasa Melayu dalam bidang

ejaan dan tatabahasa, Za’ba berjasa besar juga dalam mengetengahkan ilmu retorik.

Karyanya Ilmu Mengarang Melayu yang mula terbit pada tahun 1934 telah dicetak ulang

sebanyak enam kali dalam edisi Jawi sehingga tahun 1956 dan terbit pula dalam edisi Rumi

(dengan pindaan dan pembaikan) pada tahun 1962. Buku tersebut memberikan pedoman

yang cukup praktis dalam kerja karang-mengarang, baik dalam bentuk prosa mahupun

puisi. Prof. Dr. Hashim Awang dalam kertas kerjanya “Retorika Melayu dari Tanggapan

Za’ba” untuk Kongres Bahasa Melayu Sedunia (21 – 25 Ogos 1995) mengangkat Za’ba

sebagai tokoh dan pelopor retorik Melayu. Kata beliau, buku Ilmu Mengarang Melayu Za’ba

mendahului buku tokoh retorik Inggeris Cleanth Brooks dan Robert Penn Warren, iaitu

Modern Rhetoric yang terbit enam tahun sesudah buku Za’ba itu.

6.0 Kesimpulan

Pembicaraan tentang pemikiran dan kesarjanaan Za’ba tidak mungkin terungkapkan.

Kajian yang mendalam lagi analitis dan kritis diperlukan untuk menghargai jasa dan

sumbangan Za’ba dalam bidang bahasa dan persuratan. Usahlah kita sekadar mengagumi

Ferdinand de Saussure, Leonard Bloomfield, Noam A. Chomsky, M. A. K. Halliday, John

Lyons, dan yang lain dari dunia barat sehingga lupa akan kehebatan Za’ba dalam

meletakkan asas perkembangan ilmu bahasa atau linguistik di Malaysia dan di Alam

Melayu. Usaha Universiti Pendidikan Sultan Idris mewujudkan Kursi Za’ba dalam rangka

mengimarahkan dunia kesarjanaan dalam bidang pengajian Melayu merupakan usaha yang

terpuji, bukan sahaja sebagai mengenang jasa bakti beliau sebagai antara tokoh yang

menjadi tonggak Sultan Idris Training College yang merupakan institusi awal universiti

tersebut, malah sebagai penghargaan yang hak baginya sebagai perintis bahasa Melayu

baharu. Demikian juga, usaha kerajaan Negeri Sembilan mewujudkan Teratak Za’ba yang

bersifat muzium tokoh seakan-akan muzium Hemingway di England itu akan dapat

mengabadikan sumbangan Za’ba dalam melanjutkan tradisi keilmuan di rantau berbahasa

Melayu ini.

12