Hikayat Isma Yatim: Nasihat Kepada Pemerintah

16
Seminar Antarabangsa Susatera, Bahasa dan Budaya Nusantara Hikayat Isma Yatim: Nasihat Kepada Pemerintah Ayu Nor Azilah Mohamad 1* , Mohamed Ali Haniffa 2 dan Wayu Nor Asikin Mohamad 3 1 Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor. 2 Universiti Utara Malaysia. 3 Kolej Universiti Bestari, Terengganu. ABSTRAK Artikel ini membincangkan tentang nasihat watak Isma Yatim dalam Hikayat Isma Yatim. Nasihat ini diceritakan oleh Isma Yatim kepada Sultan atas permintaan Sultan sendiri. Hal ini kerana Sultan mengetahui keistimewaan nasihat yang diberikan oleh Isma Yatim. Antara perkara yang dinasihatkan ialah berkaitan dengan syarat-syarat untuk menjadi seorang raja yang baik. Ini termasuklah syarat raja-raja ketika bersemayam dihadap oleh khalayak dalam istana termasuklah yang menarik untuk dilihat ialah syarat ketika raja beradu. Nasihat mengenai sikap lelaki yang disukai oleh perempuan dan tingkahlaku seorang perempuan yang disukai oleh laki-laki juga terkandung dalam Hikayat Isma Yatim. Permasalahan kajian di sini ialah apabila timbul persoalan tentang kepentingan nasihat yang diberikan oleh watak Isma Yatim. Kajian ini bersifat deskriptif. Persoalan ini akan dikupas lanjut berdasarkan Hikayat Isma Yatim dengan menggunakan kaedah filologi konvensional. Hasil kajian mendapati bahawa kesemua syarat-syarat yang dikemukakan oleh Isma Yatim sangat bertepatan dengan tuntutan seorang raja sebagai ketua negara dan juga untuk menjaga aib serta darjat seorang raja ketika di hadapan rakyat jelata. Selain itu, penghuraian Isma Yatim berkenaan dengan perkara disukai oleh lelaki dan perempuan pula bersesuaian dengan kehendak naluri manusia yang berkeinginan untuk memiliki lelaki dan perempuan yang berperwatakan baik. Kesemua pengajaran ini boleh dimanfaatkan oleh semua pembaca teks Hikayat Isma Yatim. Kata Kunci: Nasihat, Pemerintah, Hikayat, Isma Yatim. Hikayat Isma Yatim: Advice to the Government ABSTRACT This article discusses the advice of Isma Yatim's character in Hikayat Isma Yatim. This advice was told by Isma Yatim to the Sultan at the request of the Sultan himself. This is because the Sultan knows the speciality of Isma Yatim’s advice. Among the things suggested are related to the characters of being a good king. This includes the requirements of the kings when entertaining their audience in the palace including one interesting thing to look at is the requirement of the king when he goes to bed. Advice on the preferred attitude of men by women and the preferred behaviour of a woman favoured by men are also included in Hikayat Isma Yatim. The problem statement of this study ia the arised matter regarding the importance of the advice given by Isma Yatim’s character. This is a descriptive study. The problem will be further scrutinised based on Hikayat Isma Yatim using conventional phonological methods. The findings show that all the conditions proposed by Isma Yatim are very consistent with the demands of a king as the head of state and also to prevent indignity and preserve the status of a king in the presence of ordinary people. In addition, the dismissal of Isma Yatim in respect of things favoured by men and women is in line with the will of human instincts who desire to have good-looking men and women. All of these lessons can be applied by all Hikayat Isma Yatim text readers. Keywords: Advice, Government, Hikayat, Isma Yatim. * Koresponden: [email protected]

Transcript of Hikayat Isma Yatim: Nasihat Kepada Pemerintah

Page 1: Hikayat Isma Yatim: Nasihat Kepada Pemerintah

Seminar Antarabangsa Susatera, Bahasa dan Budaya Nusantara

Hikayat Isma Yatim: Nasihat Kepada Pemerintah

Ayu Nor Azilah Mohamad1*, Mohamed Ali Haniffa2 dan Wayu Nor Asikin Mohamad3

1Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor.

2Universiti Utara Malaysia. 3Kolej Universiti Bestari, Terengganu.

ABSTRAK

Artikel ini membincangkan tentang nasihat watak Isma Yatim dalam Hikayat Isma Yatim. Nasihat ini diceritakan oleh Isma Yatim kepada Sultan atas permintaan Sultan sendiri. Hal ini kerana Sultan mengetahui keistimewaan nasihat yang diberikan oleh Isma Yatim. Antara perkara yang dinasihatkan ialah berkaitan dengan syarat-syarat untuk menjadi seorang raja yang baik. Ini termasuklah syarat raja-raja ketika bersemayam dihadap oleh khalayak dalam istana termasuklah yang menarik untuk dilihat ialah syarat ketika raja beradu. Nasihat mengenai sikap lelaki yang disukai oleh perempuan dan tingkahlaku seorang perempuan yang disukai oleh laki-laki juga terkandung dalam Hikayat Isma Yatim. Permasalahan kajian di sini ialah apabila timbul persoalan tentang kepentingan nasihat yang diberikan oleh watak Isma Yatim. Kajian ini bersifat deskriptif. Persoalan ini akan dikupas lanjut berdasarkan Hikayat Isma Yatim dengan menggunakan kaedah filologi konvensional. Hasil kajian mendapati bahawa kesemua syarat-syarat yang dikemukakan oleh Isma Yatim sangat bertepatan dengan tuntutan seorang raja sebagai ketua negara dan juga untuk menjaga aib serta darjat seorang raja ketika di hadapan rakyat jelata. Selain itu, penghuraian Isma Yatim berkenaan dengan perkara disukai oleh lelaki dan perempuan pula bersesuaian dengan kehendak naluri manusia yang berkeinginan untuk memiliki lelaki dan perempuan yang berperwatakan baik. Kesemua pengajaran ini boleh dimanfaatkan oleh semua pembaca teks Hikayat Isma Yatim. Kata Kunci: Nasihat, Pemerintah, Hikayat, Isma Yatim.

Hikayat Isma Yatim: Advice to the Government

ABSTRACT

This article discusses the advice of Isma Yatim's character in Hikayat Isma Yatim. This advice was told by Isma Yatim to the Sultan at the request of the Sultan himself. This is because the Sultan knows the speciality of Isma Yatim’s advice. Among the things suggested are related to the characters of being a good king. This includes the requirements of the kings when entertaining their audience in the palace including one interesting thing to look at is the requirement of the king when he goes to bed. Advice on the preferred attitude of men by women and the preferred behaviour of a woman favoured by men are also included in Hikayat Isma Yatim. The problem statement of this study ia the arised matter regarding the importance of the advice given by Isma Yatim’s character. This is a descriptive study. The problem will be further scrutinised based on Hikayat Isma Yatim using conventional phonological methods. The findings show that all the conditions proposed by Isma Yatim are very consistent with the demands of a king as the head of state and also to prevent indignity and preserve the status of a king in the presence of ordinary people. In addition, the dismissal of Isma Yatim in respect of things favoured by men and women is in line with the will of human instincts who desire to have good-looking men and women. All of these lessons can be applied by all Hikayat Isma Yatim text readers.

Keywords: Advice, Government, Hikayat, Isma Yatim.

*Koresponden: [email protected]

Page 2: Hikayat Isma Yatim: Nasihat Kepada Pemerintah

Hikayat Isma Yatim: Nasihat Kepada Pemerintah

948

PENDAHULUAN

Nasihat dan peringatan begitu diperlukan oleh manusia kerana dengannyalah mereka akan didorong untuk sentiasa berada dalam kebaikan dan kebenaran. Dalam beberapa ayat-Nya, Allah SWT menegaskan kepentingan peringatan kerana mendatangkan manfaat, khususnya kepada golongan yang beriman. Kepentingan nasihat juga ditegaskan oleh Nabi SAW dalam hadis Baginda sehingga dikatakan bahawa agama Islam itu sendiri merupakan nasihat. Dengan kata-kata lain, agama terletak pada nasihat kerana nasihat (dan peringatan) mengandungi unsur ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya selain keimanan serta usaha beramal dengan kitab-Nya serta Sunnah Rasul-Nya. Manfaat atau kebaikan besar yang terkandung dalam nasihat terserlah pada maksud perkataan itu sendiri. Dalam bahasa Arab, perkataan nasihat (kata akarnya nasaha) mengandungi maksud supaya individu yang dinasihati memperoleh keuntungan atau faedah. Selain itu, dalam perkataan tersebut (nasaha) juga terkandung kaedah penyampaian nasihat, iaitu dengan menggunakan kata-kata yang dipilih dengan teliti dan dihalusi di samping berasaskan ketulusan hati serta tidak dipengaruhi oleh maksud yang buruk (Cik Wan Roslili bt Abd. Majid, 23 Jun 2009). Kamus Dewan juga menyebut nasihat itu bermaksud ajaran, petunjuk yang baik, peringatan (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2016, 1071). Nasihat dan peringatan lebih-lebih lagi diperlukan oleh golongan pemimpin disebabkan beban dan amanah besar yang dipikul oleh mereka. Amat malang seandainya mereka tidak memiliki kumpulan penasihat yang sentiasa bersedia untuk memberikan nasihat serta peringatan secara telus. Malah akan lebih malang lagi seandainya mereka sendiri tidak membuka sebarang ruang agar mereka dinasihati dan diberikan peringatan kerana pada hakikatnya, nasihat itu mendatangkan keuntungan yang bukan sedikit kepada diri mereka. Pada zaman silam, golongan cendekiawan dan `ulama’ sentiasa memainkan peranan yang besar dalam menasihati dan memberikan bimbingan dengan berani lagi telus kepada golongan pemerintah. (Cik Wan Roslili bt Abd. Majid, 23 Jun 2009). Dalam Hikayat Isma Yatim, Sultan sendiri yang meminta nasihat dari Isma Yatim yang ketika itu telah dilantik menjadi penjaga permaidani atau semasa menjawat jawatan biduanda Sultan khususnya ketika bersemayam dan dihadap oleh segala hulubalang, pembesar dan rakyat jelata. Nasihat yang diutarakan oleh Isma Yatim mempunyai maksud yang tertentu. Walaupun ada kalanya nasihat itu sukar untuk dinyatakan oleh Isma Yatim, akan tetapi tetap diutarakan juga demi memenuhi kehendak Sultan. Hal ini kerana perintah duli Syah Alam:

Maka titah baginda, “Hai Isma Yatim, sementara engkau berjaga itu hendaklah barang sesuatu perkataan yang memberi faedah engkau katakan kepadaku”

(Hikayat Isma Yatim, 50)

Banyak nasihat yang diberikan oleh Isma Yatim yang terkandung dalam hikayat ini, akan tetapi di dalam artikel ini akan mengupas tentang syarat-syarat untuk menjadi seorang raja yang baik, syarat raja-raja ketika bersemayam dihadap oleh khalayak dalam istana, syarat ketika raja beradu, sikap lelaki yang disukai oleh perempuan dan tingkahlaku seorang perempuan yang disukai oleh laki-laki.

OBJEKTIF KAJIAN Artikel ini bertujuan untuk mengkaji nasihat Isma Yatim kepada Sultan sama ada atas permintaan Sultan sendiri atau pun nasihat itu diutarakan Isma Yatim mengikut keperluan. Antara perkara yang dinasihatkan oleh Isma Yatim ialah berkaitan dengan syarat-syarat untuk menjadi seorang raja yang baik. Ini termasuklah syarat raja-raja ketika bersemayam dihadap oleh khalayak dalam

Page 3: Hikayat Isma Yatim: Nasihat Kepada Pemerintah

Seminar Antarabangsa Susatera, Bahasa dan Budaya Nusantara

949

istana dan syarat ketika raja beradu. Selain itu, artikel ini juga akan membincangkan tentang nasihat mengenai sikap lelaki yang disukai oleh perempuan dan tingkahlaku seorang perempuan yang disukai oleh laki-laki. Ini semua akan dikupas berdasarkan Hikayat Isma Yatim. METODOLOGI

Kajian ini bersifat deskriptif. Bagi mencapai tujuan penulisan artikel, manuskrip Hikayat Isma Yatim perlu melalui proses pembacaan dan kemudiannya membuat analisis. Selepas kaedah pembacaan, terdapat banyak unsur nasihat yang diutarakan dalam hikayat ini. Pengajaran ini disampaikan oleh watak Isma Yatim sendiri ataupun melalui watak-watak lain. Kesemua ini dikupas dengan mengemukakan kewajaran untuk menjawab objektif kajian. Kaedah filologi konvensional digunakan mengikut kesesuaian versi Hikayat Isma Yatim. Terdapat satu makalah yang ditulis oleh Jelani Harun bertajuk “Manuskrip ‘Panthong’ dari Sri Lanka.” Isi perbincangan artikel ini tentang pantun Melayu yang tersebar di Sri Lanka secara tulisan, iaitu melalui khazanah manuskrip. Antara manuskrip Melayu yang disebut ialah Hikayat Isma Yatim yang disalin oleh Muhammad Yusuf Jailani Jurangppati pada 1881 di Kandi dan sebuah lagi disalin oleh Kapitan Salimuddin pada 1871 di Kampung Kertel, Kolombo. Dinyatakan bahawa hikayat ini mempunyai berpuluh pantun Melayu. Sebilangan kecil daripada salinan manuskrip Melayu yang berasal dari Sri Lanka telah berjaya dikumpul dan disimpan di Pusat Manuskrip Melayu, Perpustakaan Negara Malaysia, Kuala Lumpur. Akan tetapi kupasan dan contoh pantun yang dikemukan di dalam artikel ini diambil dari hikayat lain dan tidak diambil dari Hikayat Isma Yatim. Sekadar diberikan contoh manuskrip yang mempunyai pantun yang banyak (Jelani Harun. http://pantun.usm.my) Terdapat kajian tentang Hikayat Isma Yatim yang dikaji dan diperkenalkan oleh Muhammad Haji Salleh yang diterbitkan oleh Yayasan Karyawan, Kuala Lumpur pada tahun 2017. Naskhah yang digunakan oleh Muhammad Haji Salleh untuk ditransliterasi dan membuat kajian ialah naskhah yang tersimpan di Muzium Terengganu, Kuala Terengganu (f 82. 363 (1)). Menurut beliau lagi, naskhah ini diperoleh daripada koleksi Tengku Ampuan Mariam, isteri kepada Sultan Sulaiman, Sultan Terengganu (1920-1942), pada tahun 1982 (Muhammad Haji Salleh, 2017: xviii).

SOROTAN HIKAYAT ISMA YATIM Hikayat Isma Yatim merupakan satu manuskrip klasik yang terdapat dalam senarai Isaac de Saint Martin (1696) dan Werndly (1736). Karya ini diterbitkan oleh P.P. Roorda van Eysinga di Jakarta pada tahun 1825. Dalam terbitan ini terdapat halaman judul dalam Bahasa Melayu: Hhikajat Ismayatiem, ia ietoe, sjarth segala radja-radja, dan mantrie, dan hoeloebalang dan sekaliennja; Terkarang oleh Ismael, Adapon deperiksaie dan disahkan perkara, jang salah dalamnya, oleh Roorda van Eysinga. Oleh sebab karya-karya ini termasuk dalam genre kesusasteraan hikayat pada umumnya tidak mengemukakan nama pengarang, disangsikan kenyataan ini, terutama bagi karya-karya kurun ke-17 atau sebelumnya. Naskhah yang tertua karya ini adalah naskhah yang tersimpan di John Rylands University dengan panggilan Malay 3, yang disalin untuk Francois Valentijn. Naskhah ini diagak disalin pada kira-kira tahun 1700 (M.C. Ricklefs dan P. Voorhoeve, 1977: 151) Dalam naskhah ini tidak disebut nama pengarang. Pada kurun ke-19, banyak naskhah Melayu disalin untuk kegunaan pengkaji Eropah atau pemerintah Belanda dan jika seseorang pengarang menyatakan namanya pada zaman tersebut bukanlah dengan Ismael sahaja. Berkemungkinan cenderung menganggap Ismael ini sebagai seorang penyalin yang telah menyalin satu versi hikayat ini.

Page 4: Hikayat Isma Yatim: Nasihat Kepada Pemerintah

Hikayat Isma Yatim: Nasihat Kepada Pemerintah

950

Naskhah Hikayat Isma Yatim terdapat di Jakarta, Leiden dan London. Hikayat ini pernah dicetak sebanyak dua kali iaitu di Jakarta pada tahun 1821 oleh P.P. Roorda van Eysinga dan di Singapura pada tahun 1921. Cetakan Singapura itu dicap bagi kanak-kanak yang belajar Bahasa Melayu. Di Great Britain sahaja terdapat sekurang-kurangnya sepuluh versi Hikayat Isma Yatim yang disalin oleh pengumpul-pengumpul manuskrip Melayu seperti Anderson, Crawfurd, Johd Leyden, Marsden dan Valentijn. Penyalinan hikayat ini berlaku seawal-awalnya antara tahun 1676 hingga 1718 hingga tahun 1849. Di Leiden, terdapat lima salinan dan di Jakarta sebanyak empat salinan lagi. Antara 10 versi yang disebutkan oleh Ricklefs dan Voorhoeve itu hanya beberapa versi sahaja yang lengkap ceritanya kerana bahagian akhirnya tertinggal. Werndly dalam tahun 1736, ada menyebut teks ini ada dalam senarainya. Yang terawal menyebutnya ialah Valentijn dalam tahun 1726. (R.O. Winstedt, 1969: 81). William Marsden dan Roorda van Eysinga apabila membuat kesimpulan tentang hikayat ini hanya melihatnya daripada satu sudut sahaja dan dengan itu hanya memperlihat satu aspek sahaja daripada isinya. Dalam tahun 1827, Marsden menyimpulkan hikayat ini sebagai “suatu cerita romantik”. Manakala van Eysinga pula menyatakan hikayat ini ialah “syarat segala raja-raja dan menteri dan hulubalang dan sekaliannya” (Ricklefs & Voorhoeve, 1997: 151). Dalam naskhah Hikayat Isma Yatim, terdapat peribahasa yang bukan Melayu. Karya ini juga terdapat dalam bahasa Bugis. Mukaddimah karya ini serupa dengan yang terdapat dalam karya-karya Parsi. Sepertimana yang pernah ditegaskan oleh Winstedt bahawa kesusasteraan Melayu yang terdahulu mengalami pengaruh Hindu dan Jawa, sekarang jatuh pada tangan penterjemah serta penyadur karya-karya Parsi dan Arab (Winstedt R.O. 1969:81). Selanjutnya karya ini terbahagi kepada bab-bab dengan judul menyerupai Hikayat Amir Hamzah dan Sejarah Melayu, yang disadur dari bahasa Parsi, atau Hikayat Inderapatera dimiliki oleh seorang dayang-dayang dan disebut dalam teks Hikayat Isma Yatim. Pendahuluan hikayat ini dimulai dengan puji-pujian bagi Allah, Tuhan Yang Maha Suci dan Yang Maha Tinggi serta memohon berkat syafaat Nabi Muhammad SAW. Namun pendahuluan kata Hikayat Isma Yatim tidak menyebut nama seseorang orang besar atau raja, seperti kata buku Sejarah Melayu menyebut nama seseorang orang besar atau raja yang menyebabkan pengarangnya bersungguh-sungguh menciptakan usahanya itu. Sebahagian daripada pendahuluan kata Hikayat Isma Yatim itu demikian bunyinya:

“Ketahui oleh kamu, ayohai segala saudaraku yang membaca hikayat ini , telah adalah faedah di dalamnya empat perkata: pertama, jikalau diturut seperti yang di dalam hikayat ini, “isyarat” namanya, dan kedua, jikalau berkata-kata di hadapan majlis disebut dengan riwayat ini, “ibarat” namanya; dan ketiga, jikalau ditanyai oleh segala raja-raja pada perkataan musykil maka berdatang sembah, “Ya tuanku demikian patik dengan di dalam hikayat,” ceritalah namanya; dan keempat, jikalau didengar dan dibaca oleh segala yang masyghul menjadikan suka hatinya, “hikayat” namanya: demikianlah hendak diketahui kebajikannya oleh segala orang yang membaca hikayat ini, maka “ariflah” namanya. Dan jikalau tiada demikian adalah seperti ‘ibarat gajah memamah rias, baik diikat; kera yang kecil makan buah kayu, seperti Hanoman di gunung pun dapat diangkatnya, demikianlah ‘ibarat orang arif dalamnya.’ (Hikayat Isma Yatim)

Sesuatu yang perlu diketahui bahawa khazanah sastera hikayat bukanlah semata-mata terdiri daripada cerita-cerita berunsur hiburan tetapi juga membawa unsur berganda. Apa yang dimaksudkan di sini ialah terdapat beberapa buah hikayat yang mengemukakan satu-satu unsur seperti didaktik dan ketatanegaraan, kepahlawanan, keislaman dan sebagainya secara tersendiri di samping mengandungi unsur-unsur tersebut sama berat. Sebenarnya Hikayat Isma Yatim menghidangkan satu pembacaan cukup indah kerana kedua-dua unsur didaktik dan ketatanegaraan serta hiburan digemblengkan dengan kreatif oleh kepakaran dan kebijaksanaan pengarangnya. Hikayat ini dikategorikan di bawah genre kesusasteraan hikayat namun isi penceritaannya yang unik menyebabkan tidak tunduk kepada struktur kesusasteraan hikayat yang biasa (Siti Hawa Haji Saleh, 1987: 282).

Page 5: Hikayat Isma Yatim: Nasihat Kepada Pemerintah

Seminar Antarabangsa Susatera, Bahasa dan Budaya Nusantara

951

NASIHAT ISMA YATIM KEPADA PEMERINTAH DALAM HIKAYAT ISLAM YATIM Pada peringkat awal, tujuan Isma Yatim mengarang hikayat adalah untuk memberi sumbangan bakti kepada Duli Syah Alam. Seperti monolog Isma Yatim ini, “Baiklah aku ini mengarang suatu hikayat yang memberi nasihat dan pengajaran akan segala raja-raja supaya ada juga kurnianya raja-raja itu kepada aku.” (Hikayat Isma Yatim, 91)

“Telah demikian fikirnya Isma Yatim maka ia pun mengarang-ngaranglah hikayat daripada akal yang sempurna pada perintah segala raja-raja. Setelah sudah maka hikayat itu pun dibawanyalah kepadanya Perdana Menteri yang budiman. Maka katanya Isma Yatim, “Ya Perdana Menteri, persembahkan apalah hikayat ini ke bawah Duli Syah Alam kerana hamba ini orang miskin hendak berbuat kebaktian ke bawah Duli Yang Dipertuan kerana suatu pun tiada pada hamba melainkan inilah hikayat akan kebaktian patik.” (Hikayat Isma Yatim, 91).

Ini jelas bahawa hikayat ini penuh dengan nasihat dan pengajaran kepada semua para pembaca khususnya raja-raja. Nasihat tersebut disampaikan secara terus oleh Isma Yatim mengikut keperluan semasa dengan sesuatu kejadian ataupun memang dititahkan oleh Duli Syah Alam. Kehebatan kata-kata nasihat oleh Isma Yatim disukai oleh Duli Syah Alam Sultan termasuk seluruh warga istana baginda. Ini diperikan apabila seluruh istana akan menanti kehadiran Isma Yatim untuk mendengar kata-kata nasihat dari Isma Yatim. Digambarkan seperti berikut:

‘Syahadan maka Isma Yatim pun disuruh baginda panggil ke dalam istana. Dan segala anak dara-dara, dan biti-biti, perwara, dan segala dayang-dayang itu pun sekalian mengintai di balik tirai dinding-dinding itu mendengar kata Isma Yatim kerana barang siapa bertemu dengan dia nescaya orang itu beroleh faedah daripadanya.’ (Hikayat Isma Yatim, 153)

Artikel ini memaparkan nasihat Isma Yatim berkaitan dengan syarat-syarat berkaitan dengan raja. Antaranya ialah mengenai syarat menjadi raja yang baik, syarat ketika raja bersemayam dan syarat ketika raja beradu. Manakala dua syarat lagi iaitu sikap lelaki yang disukai oleh perempuan yang dinyatakan atas permintaan Duli Syah Alam sendiri. Akan tetapi syarat tingkahlaku seorang perempuan yang disukai oleh laki-laki pula diungkapkan oleh Dian kepada Tuan Puteri. Pengajaran ini bertujuan untuk memberi jawapan kenapa Menteri Isma Yatim masih belum membenarkan Tuan Puteri berkahwin selagi belum menjadi perempuan sebenarnya. Syarat-syarat Menjadi Seorang Raja yang Baik

Raja yang baik merupakan kepimpinan yang dapat merahmati kehidupan rakyatnya sehingga pemerintahannya di sanjung dan dihargai sepanjang masa. Raja sebagai pemerintah yang baik juga dapat membangunkan kerajaannya dengan kemajuan ekonomi, sosial dan pentadbiran. Raja yang disayangi ialah raja yang sentiasa berlaku adil kepada rakyatnya. Kepimpinan raja dihargai apabila baginda tidak mementingkan hawa nafsunya sehingga mengorbankan kerajaan dan keturunannya (Ramlah Adam, 2016: 9). Dalam Hikayat Isma Yatim, Duli Syah Alam sangat berhajat untuk mengetahui syarat-syarat menjadi seorang raja yang baik. Maka dinyatakan oleh Isma Yatim sedemikian;

“Pertama, raja itu berbangsa. Kedua, baik rupanya dan sikapnya. Ketiga, baik fiilnya. Keempat, sempurna akalnya yang baik dan faham ia pada hal memerintahkan segala isi penghadapan dan segala isi istana dan isi negeri pada barang sekalian pekerjaan maklum olehnya. Dan yang kelima yang bernama ilmu. Ertinya bijaksana pada mengajar kitab dan tafsir dan maklum padanya hukum memeriksai segala isi negeri tambahan pada jikalau banyak perbendaharaan tuanku.” (Hikayat Isma Yatim; 238).

Berdasarkan kepada syarat-syarat tersebut, boleh dilihat dengan pelbagai maksud. Raja itu berbangsa menjelaskan bahawa sistem berkerajaan dan bernegara berpayungkan Raja yang

Page 6: Hikayat Isma Yatim: Nasihat Kepada Pemerintah

Hikayat Isma Yatim: Nasihat Kepada Pemerintah

952

mempunyai sejarah dan tradisi tersendiri. Bagi menubuhkan sesebuah kerajaan perlulah memenuhi beberapa kriteria, di antaranya kerajaan itu mempunyai ketua negara, rakyat, kawasan (negeri) dan kedaulatan. Unsur-unsur tersebut akan dapat dilihat pada bentuk pemerintahan beraja di negeri-negeri Melayu. Gelaran ‘raja’, ‘amir’, ‘malik’ dan ‘king’ digunakan bukan sahaja di Alam Melayu bahkan lebih meluas di Eropah, negara Teluk, di Asia Tenggara bahkan di negara matahari terbit iaitu negara Jepun. Bagi kita orang Melayu, Raja bukan setakat simbol tetapi payung kepada bangsa (Titah DYMM Sultan Perak Darul Ridzuan pada Konvensyen Memperkasakan Pasak Negara di Hotel Marriot, Putrajaya pada 5 Ogos 2017). Seterusnya merujuk kepada syarat yang kedua dan ketiga iaitu baik rupanya dan sikapnya serta baik fiilnya. Terdapat beberapa sifat mulia yang ada pada raja pada masa dahulu dan membawa kepada kemajuan iaitu sifat adil dan pemurah. Percakapannya pula elok, manis dan lemah lembut kata-katanya. Pandai mengambil hati, budi pekerti yang halus, mempunyai sifat kasih sayang dan bermuka manis. Sifat-sifat tersebut akan menimbulkan perasaan kasih dan sayang rakyat kepada Raja mereka. Oleh itu, rakyat akan menumpahkan ketaatan yang tidak berbelah bagi. Raja juga harus memberi penghargaan kepada sesiapa sahaja yang memberi sumbangan dan kebaktian kepada negara. Pemberian itu berbentuk penganugerahan gelaran dan memberi persalinan mengikut taraf kedudukan. Sebaliknya jika Raja berlaku zalim dan sombong rakyat akan menjauhkan diri dan membencinya (http://www.jmm.gov.my/files/INSTITUSI%20RAJA%20DI%20TANAH%20MELAYU.pdf). Seseorang raja juga harus mempunyai akal yang waras. Hal ini kerana seorang raja harus mengetahui kesemua perkara yang terjadi dalam negaranya. Tugas seorang raja bukan hanya sekadar mendengar nasihat dari para pembesar sahaja tetapi raja turut membuat keputusan dalam perkara yang melibatkan kuasa baginda. Perkara ini termasuklah kuasa budi bicara seorang raja. Raja perlu bijaksana mengaplikasi kuasa budi bicara supaya apa juga ketetapan yang dititahkan akan memberikan sebaik-baik manfaat kepada negara dan warga. Raja perlu mendapat pandangan seluas dan sedalam mungkin dalam membuat satu ketetapan yang bijaksana. Pandangan daripada pelbagai pihak tanpa mengira sempadan kaum, melangkaui sempadan budaya, merentasi sempadan politik, dan daripada dalam serta luar kerajaan. Ini juga merangkumi pendapat ulama dan umara, para akademia serta para intelek, warga tua dan warga muda. Raja juga menganalisis segala fakta secara teliti serta halus lagi mendalam. Ini termasuk harus membezakan antara padi dengan antah dan antara kaca dengan permata sebelum mengaplikasikan kuasa budi bicara yang diperuntukkan. Ketika merumuskan sesuatu keputusan, Raja bergantung kepada fakta dan maklumat yang disembahkan. Raja tidak berupaya melakukan yang terbaik dan paling bijak. Jika tidak disembahkan dengan nasihat yang betul dan maklumat tepat, jika terus dipagari dengan kepalsuan dan dihiaskan dengan kepura-puraan. Amatlah penting untuk Raja disembahkan pandangan secara tepat, objektif, berlandaskan kebenaran dan berteraskan fakta. Adalah penting untuk barisan yang dipertanggungjawabkan menasihati Raja bersifat ikhlas, arif lagi berilmu, dan berkata benar supaya Raja tidak dibuai dalam khayalan serta tidak diulit dengan gurindam kepalsuan. Pihak-pihak yang memalsukan fakta dan melindungi kebenaran daripada Raja sebagai pemerintah adalah bersifat derhaka. Kebijaksanaan adalah elemen penting membolehkan Raja berperanan secara berkesan untuk dapat memberi keyakinan terutama dalam urusan membantu menyelesaikan sesuatu krisis dan kekusutan. Di sebalik apa yang tersurat, Raja membuktikan sifat bijaksana dan perlu terus bijaksana mentafsir yang tersirat (Titah DYMM Sultan Perak Darul Ridzuan pada Konvensyen Memperkasakan Pasak Negara di Hotel Marriot, Putrajaya pada 5 Ogos 2017). Syarat yang terakhir ialah seorang raja itu harus mempunyai ilmu. Ilmu ini termasuklah ilmu pengetahuan dalam menguruskan hal ehwal pentadbiran negara. Ilmu itu harus dicari dengan cara menuntut ilmu dan belajar. Apatah lagi apabila negara sudah menjadi tumpuan para pedagang, para pelabur dan menjadi kunjungan seluruh masyarakat dunia. Ini telah

Page 7: Hikayat Isma Yatim: Nasihat Kepada Pemerintah

Seminar Antarabangsa Susatera, Bahasa dan Budaya Nusantara

953

meningkatkan pendapatan negara. Dalam masyarakat Melayu tradisi, adat menuntut ilmu itu termasuklah ilmu berkaitan dengan sistem dan kaedah memerintah, undang-undang serta norma kehidupan bermasyarakat. Hal ini juga meliputi sistem dan kaedah berniaga serta berdagang. Contohnya dalam Kesultanan Melayu Melaka. Sultan Iskandar Syah telah menyediakan kemudahan dan layanan yang istimewa terhadap para pedagang. Tome Pires dalam catatannya menyebut tentang perkahwinan Sultan Iskandar Syah dengan Puteri Pasai yang beragama Islam telah menyebabkan semakin ramai saudagar Islam dari Pelabuhan Pasai datang ke Melaka. Hal ini telah menyebabkan perdagangan Melaka di Selat Melaka mencapai keuntungan (Muhammad Yusoff Hashim, 2015: 354). Itulah lima syarat yang diperlukan untuk menjadi seorang raja yang baik. Duli Syah Alam sangat gembira mendengar syarat-syarat tersebut dan menganugerahkan sepersalinan pakaian kepada Isma Yatim. Syarat Ketika Raja Bersemayam

Dalam sistem politik feudal, tampuk pemerintahan terletak di bahu Sultan kerana mempunyai kuasa kedaulatan iaitu satu kepercayaan dengan kesemua kekayaan yang terkandung di dalam negeri berada di tangan Sultan. Selepas kedatangan Islam, nilai kedaulatan dan kekuasaan diislamkan dan Sultan bertanggungjawab melindungi hak kebajikan rakyat serta kesucian Islam. Manakala rakyat pula diseru untuk mentaati pemerintah selagi mereka mengikut hukum Allah SWT. Pemupukan sifat mengambil berat dan berbudi Sultan terhadap rakyat membenihkan rasa terhutang budi dan ini dibalas dengan ketaatan rakyat terhadap perintahnya (Wan Norhasniah Wan Husin, 2015: 92). Setiap sultan perlu menjaga nama baik diri dan kerajaannya. Untuk itu, bagi memelihara kedudukan baginda di penghadapan para pembesar, rakyat jelata malah termasuk tetamu yang datang. Oleh itu, syarat ketika raja bersemayam yang diutarakan oleh Isma Yatim ini harus diambil ikhtibar. Maka titah baginda pula, “Hai Isma Yatim, berapa perkara syarat raja-raja tatkala ia semayam dihadap oleh segala khalayak di dalam istana itu?” Maka sembah Isma Yatim, “Atas enam perkara tuanku.” Maka titah baginda, “Mana-mana syarat raja enam perkara itu.”

Maka sembah Isma Yatim, “Pertama-tama, daulat yang dipertuan datang dari penghadapan yang di luar itu. Maka paduka adinda tuan pun hendaklah turun di atas peterana dan memberi hormat akan Duli Syah Alam. Maka Yang Dipertuan hendaklah menyambut tangan paduka adinda dengan manis mukanya serta dibawanya duduk bersama-sama di atas peterana itu. Kedua, perkara hendaklah yang dipertuan menyukakan hati paduka adinda dengan berbagai-bagai cumbunya dan memulihkan kasih mesra akan paduka adinda. Dan ketiga, perkara hendaklah duli tuanku mengajarkan suatu khabar takhta kerajaan dan segala isi istana anugerah yang lain-lain itu kepada paduka adinda segala perhiasan mudah-mudahan diturut oleh paduka adinda serta diturut oleh segala isi istana. Keempat, hendaklah duli yang dipertuan bertanya siapa yang berbuat kebaktian di dalam istana Syah Alam itu iaitu daripada suji dalam langit-langit dewangga, tekat dan awan yang keemasan itu supaya mereka itu berpersembahkan kebaktian utus-mengutus supaya dikurnia Syah Alam supaya yang dipertuan puji agar bertambah-tambah ia berbuat kebaktian. Segala isi istana itu pun masing-masing menunjukkan pengetahuannya. Syahadan jikalau ia berbuat kejahatan maka dimurkai oleh Yang Dipertuan supaya takut ia berbuat kejahatan itu. Kelima, perkara hendaklah tuanku hartakan nikmat dunia pada segala raja-raja isi istana supaya adalah tuanku dikenangnya. Demikian katanya terlalu sangat baik sekali duli tuanku dengan takburnya kepada hamba sahayanya, baginda itu seri istana dan cahaya singgahsana nakhoda segala hambanya. Keenam, hendaklah duli tuanku melimpahkan kurnia akan segala hamba sahayanya tuanku dan segala barang suatu yang disantap duli tuanku. Demikian ya tuanku Syah Alam dipuji oleh segala hamba sahayanya sekalian menjadi masyhurlah nama tuanku pada segala alam.” (Hikayat Isma Yatim, 154-155)

Page 8: Hikayat Isma Yatim: Nasihat Kepada Pemerintah

Hikayat Isma Yatim: Nasihat Kepada Pemerintah

954

Syarat ketika beradu menghuraikan tentang perhubungan antara Sultan dan Permaisuri yang harus dibina secara harmonis. Sultan dan permaisuri wajar menunjukkan contoh teladan terbaik. Hubungan baik antara Sultan dan Permaisuri dapat dilihat sewaktu dihadap oleh para pembesar, rakyat dan para tetamu semasa bersemayam. Seterusnya, kebaktian sebagai tanda kesetiaan rakyat kepada Sultan. Oleh itu, pada masa dahulu orang Melayu akan memperkenalkan diri sebagai ‘rakyat’ kepada Raja yang memerintah dalam mana-mana kerajaan di alam Melayu. Jika Melayu ibarat sepohon pokok, rakyat adalah akar-akarnya dan pohon-pohon yang rendang itu raja. Menurut Abdul Monir Yaacob (2016;8), ‘The raja rakyat relationship in critical one what might be called the kerajaan ideology. Just as the ruler needs subject so do subject need a ruler.’ Manakala dalam titah DiRaja KDYMM Pemangku Raja Pahang melafazkan; ‘Raja-raja Melayu dengan orang-orang Melayu tidak boleh dipisahkan, ibarat aur dengan tebing, seperti isi dengan kuku, bagai dakwat dengan kertas. ‘Raja dan rakyat berpisah tiada, ialah perumpamaan yang dapat saya nyatakan yang menjadi kata-kata azimat. Hubungan yang terjalin ini menggambarkan raja dan rakyat saling melengkapi antara satu sama lain. Bersemayam raja di atas singgahsana sebagai memayungi rakyat serta negerinya agar sentiasa terpelihara dalam keharmonian, keamanan dan kesejahteraan’ (Titah DiRaja sempena Majlis Perasmian Multaqa Ilmuwan dan Profesional Pahang 2017 di Hotel Grand Darul Makmur pada 19 Ogos 2017). Raja adalah pelindung dan payung kepada rakyat. Raja mempastikan bahawa rakyat baginda dapat mencari makan dan berada dalam suasana gembira serta tahu penderitaan rakyat. Raja yang baik tidak akan mengenakan denda yang berat ke atas rakyat. Sekiranya Sultan bertindak zalim dan mengikut nafsu, Allah SWT akan menurunkan bencana dan menghancurkan pemerintahannya seperti yang berlaku pada zaman silam. Mengikut Sejarah Melayu (Shellabear, 1984: 19-20), ikatan hubungan antara raja dengan rakyat terbina melalui perjanjian waadat antara Sri Tribuana dengan Demang Lebar Daun. Dalam waadat ini Sri Tribuana dipanggil ‘Yang Dipertuan’ dan Demang Lebar Daun sebagai ‘hamba.’ Perlanggaran sumpah ini bererti bala akan diturunkan oleh Tuhan ke atas pihak yang mengingkari janji. Walaupun ini satu konsolasi, namun apabila difikirkan bala yang menimpa raja itu akan mengakibatkan ‘negerinya akan binasa,’. Ini bermakna bala itu meliputi bukan sahaja golongan pemerintah iaitu raja bahkan rakyatnya dan seluruh negeri. Sejarah Melayu memberikan gambaran ini iaitu negeri binasa akibat perbuatan raja yang memberi aib kepada hambanya. Dalam peristiwa Singapura dilanggar oleh Majapahit setelah anak Sang Rajuna Tapa (yang dahulunya dipakai oleh raja, kemudian terkena fitnah) dihukum sula di khalayak ramai. Juga dalam peristiwa kejatuhan Melaka di tangan Portugis setelah Bendahara Sri Maharaja dan keluarganya dibunuh tanpa siasatan (Syed Zulflida S.M. Noor, 2006: 120). Selain itu, Sultan haruslah juga mempunyai sifat pemurah kepada rakyat jelata termasuk golongan yang tinggal dalam istana. Sultan seharusnya menghargai sumbangan sesiapa sahaja sama ada besar atau kecil. Sultan mestilah bersikap adil tanpa mengira pangkat atau status sosial seseorang itu. Nilaian bentuk hadiah mengikut keringat yang disumbangkan. Ini termasuk hadiah berbentuk ‘sisa santapan’ atau ‘sepersalinan pakaian’ diraja tetap mengembirakan hati rakyat jelata yang menerima. Sifat pemurah Sultan akan disenangi oleh rakyat jelata dan akan dikenang-dikenang.

Tenang-tenang air di laut, Sampan kolek mudik ke tanjung; Hati terkenang mulut tersebut, Budi baik rasa nak junjung.

(Kurik Kendi Merah Saga, 2005, 615)

Page 9: Hikayat Isma Yatim: Nasihat Kepada Pemerintah

Seminar Antarabangsa Susatera, Bahasa dan Budaya Nusantara

955

Syarat Ketika Raja Beradu Seterusnya ialah syarat segala raja-raja apabila tidur (beradu) di dalam istana. Pada peringkat awalnya Isma Yatim menggunakan alasan bahawa Sultan lebih arif dan lebih mengetahui hal yang demikian kerana baginda berada dalam istana. Akan tetapi Isma Yatim terpaksa akur apabila Sultan menitahkan bahawa “Hai Isma Yatim, jangan sembunyikan rahsia kepada aku kerana engkau tiada seperti hambaku yang lain.” Jelas di sini bahawa ‘hambaku’ bererti Isma Yatim merupakan hamba Sultan yang perlu mengikut perintah Sultan. Menurut Bazrul Bahaman (2015, 126), golongan hamba dibahagikan kepada dua. Pertama hamba rakyat dan kedua hamba raja. a. Hamba Raja Hamba raja diperoleh melalui: 1. Sebagai hadiah daripada saudagar atau pembesar. 2. Hadiah raja negara lain, misalnya ketika utusan Melaka berkunjung ke China, Maharaja China menghadiahkan lima ratus orang perempuan yang muda dan cantik kepada Sultan Melaka. Ketika rombongan Sultan Mansur Syah berkunjung ke Majapahit mereka diberi hadiah dengan empat puluh orang hamba laki-laki dan empat puluh orang hamba perempuan. 3. Ganti rugi atau bayaran antara negara; Hamba juga diperoleh sebagai bayaran atau ganti rugi antara negara. Misalnya Sultan Palembang membuat perjanjian dengan Kompeni Belanda untuk membayar 40 laksa ringgit, 40 hamba laki-laki dan 40 hamba perempuan sebagai balasan atas pertolongan Kompeni Belanda menggulingkan kakandanya Sultan Anum yang memerintah sebelum itu. Rakyat yang menyerahkan diri; kadang-kadang hamba raja juga diperoleh melalui penyerahan diri oleh rakyat. Isma Yatim tergolong dalam kategori rakyat yang menyerah diri untuk menjadi hamba raja. Ini terbukti dengan titah baginda, “Hai Isma Yatim, bahawa engkau ini menjadi hamba padaku hari ini” (Hikayat Isma Yatim, 93).

Lalu Isma Yatim mempersembahkan syarat-syarat raja ketika tidur (beradu); Maka sembah Isma Yatim, “Ya tuanku, ada pun syarat raja-raja tatkala beradu itu empat perkara perangai badannya anak cucunya dijadikan Allah Taala kepada yang berbahagia. Pertama, hendaklah tuanku memeliharakan wujud Syah Alam daripada segala yang memberi mudharat. Kedua, perkara hendaklah tuanku memenuhi kehendak paduka adinda dan mengambil seri keelokan paduka adinda dengan sempurna. Ketiga, perkara hendaklah tuanku memenuhi kehendaknya segala isi istana supaya bertambah-tambah keelokan Syah Alam. Keempat, tuanku seperti kumbang mengambil seri bunga yang indah-indah rupanya di dalam taman itu. Maka ratalah bunga isi taman itu diseri oleh kumbang itu. Bunga itu pun habislah sekaliannya tawar semuanya.”

(Hikayat Isma Yatim, 155-156)

Antara perkara yang ditekankan dalam syarat raja beradu di atas ialah menjadi tanggungjawab Sultan sendiri menjaga kedudukan dan kerajaan baginda sendiri daripada mendapat bencana. Ini menjelaskan bahawa seorang raja yang menjadi ketua kepada negara diletakkan pemimpin nombor satu dalam negara. Sebagai seorang pemimpin harus mengetahui tugas dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakannya. Kedudukan sebagai pemimpin bukan bererti sekadar menjadi ketua kerajaan tetapi sebaliknya memikul amanah yang lebih besar daripada Allah SWT sebagai pemimpin kepada segenap lapisan rakyat dan seluruh negara (Muhd Nurizam Jamian et.al. 2017, 73). Perkara kedua pula berkaitan dengan hubungan antara Sultan dengan Permaisuri. Sultan harus menjaga kebajikan Permaisuri termasuk maruahnya. Hal ini kerana Permaisuri turut menjadi tumpuan apabila berada di sisi Sultan. Ketiga, turut dinasihatkan oleh Isma Yatim berkaitan dengan tanggungjawab Sultan terhadap segala isi istana. Segala keperluan dan kebajikan dalam istana yang menyumbang kebaktian kepada Sultan harus juga terpelihara dalam pelbagai sudut. Sebenarnya peranan Sultan bukan hanya setakat dalam kawasan istana sahaja tetapi meliputi

Page 10: Hikayat Isma Yatim: Nasihat Kepada Pemerintah

Hikayat Isma Yatim: Nasihat Kepada Pemerintah

956

seluruh negara di bawah kepimpinan baginda. Sekiranya Sultan mampu dan berupaya melaksanakan tanggungjawab itu dengan sebaiknya baginda akan mendapat balasan kebaikan dari Allah SWT. Dari kaca mata rakyat pula, Sultan akan dihormati dan disanjung oleh masyarakat seluruhnya. Sejarah menjadi bukti bagaimana bangsa dan tamadun yang hebat dicorakkan dan dibentuk oleh pemimpin berjiwa besar, berpandangan jauh serta berani melakukan perubahan. Dalam masyarakat Melayu yang mempunyai raja atau sultan sememangnya sentiasa dihargai sepertimana tercermin dalam ungkapan;

Elok negeri kerana ada raja, Elok kampong kerana ada tuannya, Bila negeri tiada beraja, Bila kampung tiada berpenghulu, Bila rumah tidak bertuan, Angin lalu tempias pun lalu Tuah hilang marwah terbuang, Hidup celaka sengketa datang.

(Zuraidah Abdullah, Zahir Ahmad, Nuwairi Khaza’ai, 2012; 156)

Seterusnya nasihat Isma Yatim pada perkara yang keempat berkaitan dengan kuasa Sultan terhadap rakyat jelatanya khususnya berkaitan dengan wanita. Situasi masyarakat pada zaman dahulu mengizinkan seorang Sultan memiliki gundik. Ada kalanya golongan perempuan itu dipersembahkan kepada Sultan untuk dijadikan gundik raja dengan melakukan kerja-kerja istana. Bahkan terdapat anak pembesar yang menjadi gundik raja. Misalnya anak Sang Rajuna Tapa di Singapura. Mereka juga menjadi teman dan pengasuh kepada anak-anak raja. Sebagai gundik raja, ada di antara mereka yang melahirkan anak raja. Anak dari gundik ini tetap berkedudukan sebagai golongan bangsawan tetapi mempunyai darjat yang lebih rendah daripada anak gahara. Walaupun kedudukan mereka lebih rendah daripada anak gahara, tetapi mereka tetap layak dilantik menjadi raja. Sultan Malikul Salleh berkahwin dengan anak gundik daripada Raja Perlak seterusnya melahirkan keturunan Raja-raja Pasai (Bazrul Bahaman,2015: 127). Sultan berhak untuk menjadikan perempuan sebagai gundik dan bertanggungjawab menjaga kehidupan mereka supaya lebih terbela. Jangan seperti ungkapan yang berbunyi “habis madu, sepah dibuang”. Sultan sangat gembira mendengar nasihat berkaitan dengan syarat-syarat ketika raja beradu. Sebagai tanda ucapan terima kasih, Sultan menganugerahkan pakaian baginda kepada Isma Yatim. Sikap Lelaki yang Disukai oleh Perempuan Seterusnya ialah berkaitan dengan sikap lelaki yang disukai oleh perempuan. Dengan itu, Sultan meminta Isma Yatim memberi nasihat tentang perkara ini. Jawab Isma Yatim;

“Atas sepuluh perkara-perkara tuanku, kerana yang kesepuluh peroleh perempuan. Yang sepuluh itu perangai pancaindera yang membicarakan dijadikan Allah Subhanahuwa Taala. Pertama, hendaklah laki-laki itu menjadikan dirinya daripada laku yang keji-keji dan baik fiilnya dan barang lakunya pantas manusia dipandang oleh segala yang melihat dia dan barang yang dipakainya itu. Patut itulah tuanku laki-laki yang dikasihi oleh perempuan. Dan kedua, perkara pancaindera pencium. Apabila laki-laki mendengar segala perintah majlis ilmu dan hikmat dan barang sebagainya daripada arif dan bijaksana sekaliannya dipelajari supaya sempurna pekerjaannya. Itulah laki-laki yang dikasihi oleh perempuan. Dan keempat, perkara pancaindera daripada mulutnya. Yakni hendaklah laki-laki itu apabila malam ia bangun daripada tidurnya bersugi-sugi dan hendaklah laki-laki itu berkumur-kumur dan makan sirih dan barang katanya menyukakan hati perempuan dengan gurau sendanya terlalu amat manis. Itulah laki-laki yang dikasihi oleh perempuan. Dan kelima, perkara pancaindera daripada penjabat. Yakni hendaklah laki-laki itu dan apabila ia bergurau dan bersenda dengan isterinya barang yang dijabat

Page 11: Hikayat Isma Yatim: Nasihat Kepada Pemerintah

Seminar Antarabangsa Susatera, Bahasa dan Budaya Nusantara

957

semuanya memberi asyik kepada tubuh perempuan dan tiada jemu isterinya bergurau dan bersenda dengan dia. Itulah laki-laki yang dikasihi oleh perempuan.”

Terdapat lima perkara yang dinyatakan oleh Isma Yatim bagi memenuhi syarat lelaki yang disukai oleh perempuan. Dalam menjaga hubungan yang baik antara lelaki dan perempuan, ialah berkaitan dengan sikap dan akhlak yang perlu dijaga. Seorang lelaki itu harus meninggalkan perbuatan yang tidak bermoral supaya tidak dipandang hina oleh masyarakat. Nilai-nilai penting bagi individu muslim merujuk kepada ciri-ciri atau sifat-sifat mulia yang perlu dimiliki oleh setiap individu. Di dalam Islam, ia lebih dikenali dengan istilah sahsiah atau akhlak. Sahsiah adalah berasal dari kata Arab iaitu shakhsiyyah yang bermaksud “sifat-sifat yang membezakan seseorang dengan yang lain.” Istilah sahsiah juga merujuk kepada akhlak. Perkataan akhlak juga berasal dari bahasa Arab iaitu khuluq. Khuluq bermaksud “keadaan jiwa yang kukuh, keluar daripadanya perbuatan-perbuatan sama ada baik atau buruk tanpa [seseorang itu perlu] memikirkannya [terlebih dahulu sebelum melakukan sesuatu perkara]”. Ia juga merujuk kepada al-khilqah iaitu fitrah (sifat semulajadi), tabiat, agama atau ringkasnya ialah gambaran batin seseorang (Mohd Hasrul Shuhari & Mohd Fauzi Hamat, 2015: 42). Perkara yang kedua ialah berkaitan dengan tuntutan ilmu. Sebagai seorang lelaki yang menjadi ketua keluarga harus mempunyai ilmu pengetahuan tentang kekeluargaan agar dapat membentuk keluarga bahagia. Ilmu ini penting dalam pembinaan perhubungan ikatan kekeluargaan. Dengan ilmu, ketua keluarga boleh menangani masalah yang timbul dengan bijaksana. Inilah yang disukai oleh seorang perempuan. Selain itu antara perkara yang disyaratkan ialah seorang lelaki itu perlu menjaga kebersihan diri. Kebersihan yang disebutkan ialah kebersihan mulut dengan cara bersugi, berkumur dan makan sirih. Seorang lelaki harus juga menjaga tutur kata dalam berkomunikasi dengan pasangan masing-masing. Komunikasi yang baik akan dapat mengukuhkan ikatan hubungan suami isteri. Hal ini bertepatan dengan cara Allah SWT menciptakan manusia dari kalangan lelaki dan wanita dengan kurniaan fizikal, biologikal serta psikologikal berbeza peranan dalam aspek kehidupan untuk saling melengkapi.

“Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya-Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya-zuriat keturunan-lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.”

(Surah an-Nisa’ 4: 1)

Ini menunjukkan bahawa jantina lelaki dan wanita itu adalah ciptaan Allah SWT secara semulajadi untuk saling mengasihi dan dijadikan pasangan antara satu dengan yang lain (Norafifah binti Ab Hamid et.al. 2016: 3). Tingkah Laku Seorang Perempuan yang Disukai oleh Laki-laki Dalam Hikayat Isma Yatim, adab wanita disampaikan melalui babak dialog antara dian, tanglung, kandil pelita, tirai, burung merak yang mewakili suara Isma Yatim. Babak tersebut berlaku di dalam bilik Tuan Puteri Ratna Kemala sewaktu baginda hampir sedang beradu, lantas terbangun apabila mendengar dialog watak-watak tersebut (Noriah Taslim, 2012).

Page 12: Hikayat Isma Yatim: Nasihat Kepada Pemerintah

Hikayat Isma Yatim: Nasihat Kepada Pemerintah

958

Arakian maka dian pun berkata, “Hai tanglung, mengapa dualapan anak tuan hamba seorang pun belum berkahwin?” Maka kata tanglung, “Hai dian, bukannya mudah orang bersuami itu kerana syarat perempuan itu enam perkara kerana enam huruf ada pada perempuan itu.” “Pertama-tama, huruf pa. Ertinya patut perempuan dengan suaminya oleh kata suaminya. Itulah kata isterinya tiada lagi bersalahan. Kedua, huruf ra. Ertinya rumah perempuan itu kepada suaminya dan kepada hamba dengan tegur sapanya akan dipuji oleh suaminya. Ketiga, huruf mim. Ertinya manis mukanya perempuan apabila dipandang oleh suaminya itu. Nescaya berahinya hatinya memandang muka isterinya jikalau ia masyghul sekali pun hilanglah. Keempat, huruf pa. Ertinya fiil perempuan itu terlalu amat baik serta dengan budi bahasa berkenan suaminya dan segala handai taulannya. Kelima, huruf wau. Ertinya sah barang kata yang keluar itu dari mulutnya perempuan ini dengan manisnya. Apabila suaminya mendengar suaranya nescaya suka hatinya sebab mendengar katanya itu. Keenam, huruf ha. Ertinya sentiasa perempuan itu menyukakan hati suaminya; sentiasa ia mencarikan dirinya dan rumahtangganya dan makanan suaminya. Jikalau anak raja mencarikan isi istana dan takhta kerajaannya. Itulah hurufnya tuan apabila diketahui oleh perempuan maka perempuanlah namanya (Hikayat Isma Yatim:245)

Enam perkara yang disebutkan oleh Isma Yatim menjadi syarat untuk menjadi seorang perempuan yang disukai oleh laki-laki. Pertama ialah huruf pa yang bermaksud seorang perempuan yang sudah bersuami wajib mendengar dan mematuhi kata-kata serta perintah suami selagi tidak melanggar syariat. Ini dibuktikan dalam firman Allah SWT yang bermaksud:

“Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita” (Surah al-Nisa’: 34)

Tanggungjawab isteri terhadap suami ini dapat boleh digambarkan seperti pantun burung Merak ini;

Gudi-gudi berderang, Tun Ali mematah cermai, Duduk sedang berdiri sedang, Elok di mata orang yang ramai.

(Hikayat Isma Yatim: 246)

Perkara yang kedua ialah berkaitan dengan huruf ra. Dalam kehidupan selepas berkahwin, seorang isteri harus menjalankan tanggungjawab menguruskan rumahtangga suaminya dengan baik. Isteri perlu menjaga tutur kata dan membina hubungan baik dengan jiran tetangga. Ini mengembirakan hati seorang suami. Oleh sebab tugas-tugas isteri dalam melayani suami, maka Allah pun mewajibkan para suami untuk memberi nafkah kepada isterinya mengikut kemampuan suaminya. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (laki-laki) telah menafkahkan sebagian dari harta mereka.”

(Surah al-Nisa’: 34)

Syarat yang ketiga ialah huruf mim. Ini memberi maksud hati suami gembira apabila memandang wajah isteri yang ceria. Layanan yang baik dari isteri kepada suami boleh menghilangkan kepenatan suami bekerja. Terdapat banyak hak-hak suami yang perlu dilaksanakan oleh isteri. Contohnya firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan bergaullah dengan mereka secara patut.” (Surah al-Nisa’: 34)

Page 13: Hikayat Isma Yatim: Nasihat Kepada Pemerintah

Seminar Antarabangsa Susatera, Bahasa dan Budaya Nusantara

959

Selain itu, perkara yang keempat berkaitan dengan huruf pa. Ini berkaitan dengan seorang isteri harus menjaga maruah suami dan keluarga dengan bersopan santun apabila berada di hadapan rakan taulan suami, keluarga dan masyarakat. Ini bererti seorang isteri harus menjaga akhlak dengan baik. Hal ini kerana akhlak seorang isteri boleh memberi gambaran kepada keperibadian seorang suami. Contohnya, seorang isteri tidak boleh membenarkan sesiapa masuk ke dalam rumahnya tanpa keizinan dan keredaan suaminya terutamanya semasa ketiadaan suami di rumah (Zulkifli Mohamad al-Bakri (2014: 35).

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wanita (isteri) solehah adalah yang taat lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada dikeranakan Allah telah memelihara mereka”

(surah al-Nisa': 34)

Akhlak bermaksud tingkah laku seseorang yang menjadi tabiat dan merupakan satu gambaran bagi menunjukkan zahir dan batin seseorang kepada suatu situasi iaitu disposisi atau hal yang terjana dalam diri (al-nafs) seseorang manusia. Situasi tersebut merupakan dimensi rohaniah yang sangat penting kerana menjadi punca kepada semua perbuatan yang dilakukan manusia. Selain itu, akhlak juga merujuk personaliti iaitu keperibadian, tingkahlaku, perangai atau perwatakan seseorang yang terhasil daripada faktor dalaman dan luaran individu. Jasmani dan rohani yang secara umumnya memperihalkan sifat-sifat fizikal, emosi serta kognitif seseorang individu sehingga dapat menampilkan ciri-ciri keperibadian tersendiri yang boleh membezakannya daripada orang lain (Izzah Nur Aida Zur Raffar & Salasiah Hanin Hamjah, 2018: 65). Syarat kelima pula ialah huruf wau. Ini berkaitan dengan kesantunan dalam berbicara antara seorang isteri dengan seorang suami. Seorang isteri harus pandai menggunakan kata-kata yang lembut apabila bercakap dengan suami. Kesopanan dalam menuturkan kata-kata dapat mengharmonikan ikatan hubungan suami isteri. Syarat yang terakhir iaitu keenam berkaitan dengan huruf ha. Huruf ha ini menjelaskan tentang seorang isteri yang berbudi pekerti baik akan sentiasa mengembirakan hati suaminya. Keelokkan budi pekerti seorang isteri diibaratkan seperti pantun di bawah;

Bukannya paras bahasa gilakan, Lengkuk ditambah di pancur,

Bukannya muda sahaya gilakan, Oleh budi hatiku hancur.

(Hikayat Isma Yatim: 247)

Selain itu, isteri harus sentiasa berusaha untuk menjadi seorang isteri solehah. Menurut Zulkifli Mohamad al-Bakri (2014: 58), ciri-ciri isteri solehah adalah seperti berikut; a) tidak membantah perintah suami selagi tidak bertentangan dengan syariat, b) tidak bermasam muka terhadap suami, c) sentiasa menuturkan kalimah yang baik-baik, d) tidak membebankan suami dengan permintaan di luar kemampuan suami, e) keluar rumah hanya dengan izin suami, f) berhias hanya untuk suami, g) menghargai pengorbanan suami, h) tidak membenarkan orang yang tidak diizinkan suami masuk ke dalam rumah, i) menerima tunjuk ajar daripada suami, j) menghormati mertua serta kaum keluarga suami, k) sentiasa berada dalam keadaan kemas dan bersih, dan l) menjadi penenang dan penyeri rumahtangga.

Page 14: Hikayat Isma Yatim: Nasihat Kepada Pemerintah

Hikayat Isma Yatim: Nasihat Kepada Pemerintah

960

Malah disebut juga tanggungjawab seorang isteri ialah harus menjaga keperluan seorang suami termasuk menyediakan makan dan minum untuk suami. Jika sempurna melaksanakan keenam-enam syarat ini, maka telah menepati syarat sebagai seorang perempuan yang bergelar isteri. Keenam-enam syarat ini akan mengharmonikan kehidupan berumahtangga.

KESIMPULAN Pemeteraian janji antara Seri Teri Buana (mewakili golongan raja) dengan Demang Lebar Daun (mewakili rakyat) sewaktu mahu mengahwini Raden Ratna Cendera Puri disifatkan sebagai mukadimah kepada konsep kasih sayang antara raja serta rakyat. Peristiwa memeterai janji atau waad itu dapat diperhalusi menerusi penceritaan karya agung Sulalatus Salatin hasil penulisan Tun Seri Lanang yang memberi gambaran kepada umum tentang kepentingan menjaga hubungan antara raja dan rakyat. Konsep waad boleh didefinisikan sebagai suatu bentuk perjanjian yang menjadi lambang atau simbol hubungan antara raja dengan rakyat bagi mencipta keharmonian hidup bermasyarakat. Menerusi konsep itu, pihak raja perlu memerintah dengan adil dan menjauhi perbuatan-perbuatan yang bersifat zalim terhadap rakyat. Manakala bagi rakyat jelata, mereka perlu melafazkan sumpah setia untuk tidak sesekali menderhaka kepada raja. Masyarakat Melayu tradisional sangat mementingkan hubungan yang terbina antara raja dengan rakyat. Rakyat berusaha untuk memberi sumbangan dan kebaktian kepada raja supaya mendapat kurniaan dari raja. Watak Isma Yatim dalam Hikayat Isma Yatim ini contohnya yang paling jelas. Isma Yatim yang mempunyai kemahiran mengarang menggunakan kelebihan yang ada pada diri untuk berbakti kepada raja. Isma Yatim mengarang hikayat yang mengandungi banyak nasihat agar beroleh ganjaran dan anugerah dari raja. Malah dalam masa yang sama boleh mengubah kedudukan sosial dalam masyarakat. Sumbangan Isma Yatim membolehkan dia dilantik menjadi penghampar permaidani. Isma Yatim menjalankan tanggungjawab dengan bersungguh-sungguh. Sultan memberi kepercayaan untuk memberi nasihat kepada baginda dalam banyak perkara. Seterusnya, Isma Yatim dinaikkan pangkat menjadi biduanda diraja, penjaga perbendaharaan negara, laksamana dan akhir sekali sebagai Perdana Menteri dengan gelaran Menteri Isma Yatim. Contohnya nasihat Isma Yatim dalam tiga perkara berkaitan dengan kedudukan Sultan iaitu syarat menjadi raja yang baik, syarat ketika raja bersemayam dan syarat ketika raja beradu. Nasihat ini bertujuan untuk menjaga maruah dan martabat seorang raja yang menjadi pemimpin nombor satu negara. Raja berada di kemuncak dalam hierarki struktur sosial masyarakat. Seharusnya seorang Sultan itu harus berada dalam sempurna. Jika berlaku kepincangan ketika bersemayam ataupun dalam menguruskan pentadbiran negara akan mencalar imej negara tersebut. Atas faktor itulah, seorang Sultan itu akan dibantu oleh para pembesar yang berfungsi sebagai penasihat, pemberi idea, membantu menjalankan pentadbiran negara, membantu dalam urusan perdagangan, hubungan diplomatik, dan banyak lagi. Pada masa yang sama, Sultan juga seorang lelaki. Justeru itu, Sultan meminta agar Isma Yatim memberi nasihat untuk memenuhi syarat-syarat menjadi lelaki yang baik. Ini berkaitan dengan kedudukan Sulltan sebagai seorang pemimpin dan seorang suami kepada Permaisuri. Jadi, kerukunan hidup berumahtangga terletak kepada cara-cara suami mengendalikan hubungan suami isteri tersebut. Memandangkan Sultan sentiasa di mata dan di hati rakyat, Sultan harus menjadi contoh teladan terbaik kepada masyarakat. Jika ada syarat untuk lelaki, harus juga ada syarat menjadi perempuan yang baik. Seorang isteri bertanggungjawab dalam membantu suami untuk menguruskan rumahtangga. Segala perbuatan isteri harus dapat menyenangkan hati suami, harus menjaga adab dan maruah suami serta harus berusaha memelihara ikatan kekeluargaan agar hidup harmoni. Tingkahlaku itu mencerminkan keperibadian seseorang. Segala nasihat yang diutarakan ini menjadi satu garis panduan kepada seorang pemimpin negara dan keluarga.

Page 15: Hikayat Isma Yatim: Nasihat Kepada Pemerintah

Seminar Antarabangsa Susatera, Bahasa dan Budaya Nusantara

961

RUJUKAN Al-Quran Abdul Monir Yaacob (Prof Dato’ Dr.). Institusi Raja di Tanah Melayu. Universiti Islam Malaysia,

Cyberjaya. Jabatan Muzium Malaysia- http://www.jmm.gov.my/files/INSTITUSI%20RAJA%20DI%20TANAH%20MELAYU.pdf. Dimuatnaik 13 Mei 2019.

Abdul Monir Yaacob. (2016). “Raja Berdaulat Penyatu Umat.” Dalam Kertas Prosiding Seminar Ulama. Pahang, MUIP, Kuantan.

Ayu Nor Azilah Mohamad. (2003). “Hikayat Isma Yatim: Satu Kajian Teks.” Tesis Master Falsafah. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Bazrul Bahaman. (2015). “Konsep Rakyat dan Peranannya dalam Negara.” Dalam Jurnal Peradaban Melayu Jilid 10, 2015 ISSN 1675-4271 (123-134).

Berita Harian. (5 Ogos 2017). Titah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, di Konvensyen Memperkukuh Pasak Negara: Ke Arah Wasiat Lebih Tersurat. Putrajaya; Hotel Marriott.

Cik Wan Roslili bt Abd. Majid. (23 Jun 2009). ‘Tanggungjawab Besar Ilmuwan Menyampaikan Nasihat.’ Berita Harian. http://www.ikim.gov.my/ index.php/2009/06/23/tanggungjawab-besar-ilmuwan-menyampaikan-nasihat/. Dimuatnaik 10 Mei 2019.

Izzah Nur Aida Zur Raffar & Salasiah Hanin Hamjah. (2018). “Personaliti Bapa daripada Perspektif Islam” dalam ISLÓMIYYÓT 40(1) 2018: 61 – 69.

Jelani Harun. “Manuskrip ‘Panthong’ dari Sri Lanka.” Dalam http” //pantun.usm.my/makalah. Sekretariat Pantun Antarabangsa, Universiti Sains Malaysia. Dimuatnaik 11 Januari 2018.

Kamus Dewan Edisi Keempat. (2016). Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka. Kurik Kundi Merah Saga Edisi Kedua. (2005). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Muhammad Haji Salleh (Editor oleh) Zainal Abidin Borhan. (2017). Hikayat Isma Yatim. Kuala

Lumpur: Yayasan Karyawan. Mohd Hasrul Shuhari & Mohd Fauzi Hamat. (2015). “Nilai-Nilai Penting Individu Muslim Menurut

Al-Ghazali.” Dalam Jurnal Islam dan Masyarakat Kontemporari Bil. 9 Januari 2015. Muhammad Yusoff Hashim. (2015). Kesultanan Melayu Melaka Edisi Kedua. Kuala Lumpur:

Dewan Bahasa dan Pustaka. Muhd Nurizam Jamian et.al. (2017). “Keadilan Teras Kepimpinan Raja-Raja Melayu: Dari Era

Tradisi ke Kontemporari” dalam Jurnal Melayu Bil. 16 (1) 2017. ISSN 1675-7513 (62-81). Norafifah binti Ab Hamid et.al. (2016). “Gejala Transgender Di Malaysia: Sorotan Awal Kajian dari

Perspektif Islam dan Undang-Undang di Malaysia” dalam Jurnal Penyelidikan Islam Bil. 27/2015. Putrajaya: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Noriah Taslim. (2012). “Syarat Perempuan yang Sempurna Mengikut Hikayat Isma Yatim” dalam Dewan Sastera. Februari 2012.

Ramlah Adam. (2016). Pemerintahan Beraja di Alam Melayu Merentas Zaman. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ricklefs M.C. dan Voorhoeve.P. (1977). Indonesian Manuscripts in Great Britain: A Catalogue of Manuscripts ini Indonesian Languages in British Public Collections. London: Oxford University Press.

Shellabear W.G. (1984). Sejarah Melayu. Selangor: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd. Siti Hawa Haji Saleh. (1987). Cendekia Kesusasteraan Melayu Tradisi. Kuala Lumpur: Dewan

Bahasa dan Pustaka. Syed Zulflida S.M. Noor. (2006). Pentadbiran Kesultanan Melayu Melaka: Kemunculan dan

Kegemilangan. Kuala Lumpur: Arkib Negara Malaysia. Titah DiRaja sempena Majlis Perasmian Multaqa Ilmuwan dan Profesional Pahang 2017 di Hotel

Grand Darul Makmur pada 19 Ogos 2017. Wan Norhasniah Wan Husin. (2015). Peradaban dan Perkauman di Malaysia: Hubungan Etnik

Melayu-Cina. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya. Winstedt R.O. 1969. A History of Classical Malay Literature. Kuala Lumpur: Oxford Univesity

Press.

Page 16: Hikayat Isma Yatim: Nasihat Kepada Pemerintah

Hikayat Isma Yatim: Nasihat Kepada Pemerintah

962

Zulkifli Mohamad al-Bakri. (2014). Rumahku Syurgaku. Negeri Sembilan: Pustaka Cahaya Kasturi. Zuraidah Abdullah, Zahir Ahmad, Nuwairi Khaza’ai. (2012). “Pantun dan Ungkapan Melayu

sebagai Wahana Kepemimpinan Melayu ke Arah Pembangunan Modal Insan.” Dalam Jurnal Melayu (9) 2012: 155-170.