HUBUNGAN ETNIK

19
HUBUNGAN ETNIK WAJ 3106 PENGHARGAAN Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat ALLAH S.W.T. kerana dengan izinnya saya telah berjaya meneyelesaikan tugasan Kerja Kursus Pendek (KKP) bagi subjek Hubungan Etnik ini dengan jayanya. Selain itu, jutaan terima kasih saya tujukan kepada pensyarah pembimbing merangkap pensyarah bagi subjek subjek Hubungan Etnik, Encik Baskaran a/l Subramaniam atas segala bimbingan dan tunjuk ajar yang baik. Saya amat kagum dengan komitmen daripada pensyarah pembimbing yang sudi melakukan semakan bagi setiap tajuk yang diselesaikan untuk memastikan penghasilan yang terbaik. Jasa baik Encik Baskaran amatlah dihargai. Selain itu, tidak ketinggalan sekalung penghargaan dan terima kasih saya tujukan kepada kedua ibu bapa saya yang telah memberikan sokongan moral yang amat kuat dalam meneruskan perjuangan ini. Saya juga ingin melafazkan ucapan terima kasih kepada rakan-rakan seperjuangan yang telah bersama-sama saya bertungkus lumus menyiapkan tugasan Kerja Kursus Pendek ini. Saya amat berpuas hati dengan kerjasama rakan-rakan yang sudi berkongsi idea serta pandangan termasuklah perbincangan bersama semasa pelaksanaan tugas ini. Akhir kalam, saya berharap agar tugas saya akan diterima dan akan menjadi yang terbaik diantara yang terbaik. Muhammad Khairi Bin Azmi |SOALAN 2 1

description

EDU

Transcript of HUBUNGAN ETNIK

HUBUNGAN ETNIK

HUBUNGAN ETNIKWAJ 3106

PENGHARGAANSaya ingin mengucapkan setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat ALLAH S.W.T. kerana dengan izinnya saya telah berjaya meneyelesaikan tugasan Kerja Kursus Pendek (KKP) bagi subjek Hubungan Etnik ini dengan jayanya. Selain itu, jutaan terima kasih saya tujukan kepada pensyarah pembimbing merangkap pensyarah bagi subjek subjek Hubungan Etnik, Encik Baskaran a/l Subramaniam atas segala bimbingan dan tunjuk ajar yang baik. Saya amat kagum dengan komitmen daripada pensyarah pembimbing yang sudi melakukan semakan bagi setiap tajuk yang diselesaikan untuk memastikan penghasilan yang terbaik. Jasa baik Encik Baskaran amatlah dihargai. Selain itu, tidak ketinggalan sekalung penghargaan dan terima kasih saya tujukan kepada kedua ibu bapa saya yang telah memberikan sokongan moral yang amat kuat dalam meneruskan perjuangan ini.Saya juga ingin melafazkan ucapan terima kasih kepada rakan-rakan seperjuangan yang telah bersama-sama saya bertungkus lumus menyiapkan tugasan Kerja Kursus Pendek ini. Saya amat berpuas hati dengan kerjasama rakan-rakan yang sudi berkongsi idea serta pandangan termasuklah perbincangan bersama semasa pelaksanaan tugas ini. Akhir kalam, saya berharap agar tugas saya akan diterima dan akan menjadi yang terbaik diantara yang terbaik.

Yang Benar,

__________________________(MUHAMMAD KHAIRI BIN AZMI)

PENDIDIKAN DI MALAYSIA DAPAT MENINGKATKAN INTERAKSI SOSIAL DALAM KALANGAN PELAJAR PELBAGAI ETNIK DI MALAYSIAPada pengamatan saya, pendidikan di Malaysia amat mengutamakan interaksi sosial dalam sistem pendidikan madani. Interaksi sosial yang dimaksudkan boleh juga disebut sebagai integrasi nasional iaitu perpaduan antara etnik di Malaysia. Bagi setiap negara yang sudah mencapai kemerdekaan, salah satu aspek penting yang amat dititikberatkan dalam usaha untuk menuju ke arah negara yang maju dan membangun dari aspek politik, ekonomi dan sosial ialah penekanan terhadap perlaksanaan sistem pendidikan negara. Sistem pendidikan yang dilaksanakan dalam sesebuah negara penting bukan sahaja kerana fungsi kebajikan dan sosialisasinya iaitu di mana kanak-kanak dididik untuk menjadi insan yang berjaya dan mengenali budaya serta alam sekeliling, tetapi juga boleh digunakan sebagai cara untuk menyampaikan ideologi kebangsaan kepada masyarakat iaitu melalui penerapan tentang kefahaman serta nilai-nilai positif untuk mewujudkan interaksi sosial dalam kalangan pelajar.Masyarakat Malaysia yang terdiri dari bangsa Melayu, Cina, India, lain-lain etnik, dan beragama Islam, Buddha, Hindu, dan Kristian menjadi rujukan pihak pemerintah sebelum sesuatu dasar dirangka agar manfaat dan faedah dapat dirasai oleh semua golongan masyarakat. Melalui pendidikan, nilai-nilai murni seperti hormat-menghormati, bertoleransi, bekerjasama, dan aspek-aspek moral diterapkan kepada masyarakat yang bertujuan untuk melahirkan pewaris negara yang berkualiti, bertanggungjawab, berdaya saing, bijak, dan mempunyai sifat patriotik di mana ia penting untuk memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat. Oleh yang demikian pelbagai usaha serta inisiatif telahpun dilaksanakan oleh kerajaan demi memastikan berlakunya interaksi sosial serta pengekalan perpaduan berlaku dalam sistem pendidikan sejak negara kita memperoleh kemerdekaan iaitu pada 1957 lagi. Penulisan ini akan menerangkan serta menjawab persoalan utama iaitu dapatkah pendidikan meningkatkan interaksi sosial dalam kalangan pelajar pelbagai etnik di Malaysia? Berikut saya akan memperjelaskan secara terperinci tentang persoalan yang dinyatakan tentang usaha kerajaan dalam memperkemaskan pendidikan di negara kita sejak mencapai kemerdekaan lagi tanpa mengabaikan interaksi sosial dan perpaduan antara kaum dalam sistem pendidikan sehingga kini. Pertama sekali, selepas negara mencapai kemerdekaan, interaksi sosial antara kaum merupakan isu yang amat diberi perhatian oleh pihak kerajaan ketika menggubal dasar pendidikan. Sebagai bukti, Laporan Razak 1956 yang dikuatkuasakan sebagai Ordinan Pelajaran 1957 dan Laporan Rahman Talib 1960 menjadi perintis ke arah pengukuhan sistem pendidikan kebangsaan di Malaysia. Selepas mencapai kemerdekaan iaitu pada tahun 1957, Malaysia merupakan negara baru dan memulakan zaman untuk mengukuhkan semula pendidikan negara supaya selari dengan matlamat perpaduan nasional. Akta Pelajaran 1961 pula bukti usaha murni yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia bagi mengembalikan semula kepercayaan rakyat supaya mereka memahami dasar pendidikan yang dilaksanakan kerajaan demi kepentingan masyarakat Malaysia yang majmuk. Laporan Razak 1956 boleh dijadikan sebagai batu loncatan ke atas dasar dan sistem pendidikan kebangsaan yang mempunyai perubahan yang positif, terutamanya dalam membentuk dan memupuk perpaduan negara (Abu Bakar Nordin, 1994). Interaksi sosial antara masyarakat majmuk merupakan asas utama yang diberi perhatian oleh kerajaan Malaysia ketika menggubal dasar pendidikan selepas negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Hal ini demikian menjadikan dasar-dasar penting dalam Laporan Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960 yang telah dikuatkuasakan oleh kerajaan melalui Akta Pendidikan 1961.Laporan Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960 juga telah menggariskan dengan jelas dasar yang berkaitan dengan nilai-nilai interaksi sosial antara kaum ini. Antara langkah yang telah diambil dalam usaha untuk mengukuhkan dasar pendidikan negara ini ialah dengan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa pengantar utama di semua sekolah, menggunakan sukatan pelajaran dan sistem peperiksaan yang sama di setiap sekolah dan guru-guru yang mengajar di sekolah haruslah dilatih di bawah satu sistem latihan perguruan yang sama. Antara tindakan-tindakan yang diambil selepas pelaksanaan Laporan Razak ialah mewajibkan semua murid lulus dalam matapelajaran bahasa Melayu dalam peperiksaan awam, kertas peperiksaan ditulis menggunakan bahasa Melayu dan sebagainya. Hal ini demikian bertujuan untuk memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum. Sistem pendidikan negara terus mengalami perubahan apabila berlakunya pengubahsuaian sistem pendidikan dan latihan untuk memenuhi keperluan perkembangan ekonomi serta untuk menghasilkan lebih ramai pekerja mahir bagi melaksanakan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Sistem pendidikan pada tahap ini dirancang supaya memberi sumbangan penting bagi menggalakkan interaksi sosial dan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang bangsa. Perubahan-perubahan sistem pendidikan ini adalah akibat daripada konflik perkauman yang tercetus pada 13 Mei 1969. Kerajaan Malaysia terpaksa mengkaji semula matlamat-matlamat pendidikan negara dan seterusnya merancang suatu sistem pendidikan yang lebih sesuai dengan harapan boleh menyatupadukan rakyat berbilang kaum dan dapat mengelakkan tragedi konflik perkauman itu daripada berulang kembali. Kesinambungan daripada peristiwa berdarah ini, sistem pendidikan negara terus mengalami arus perubahan dan perkembangan pada Rancangan Malaysia yang kedua (1971-1975). Di bawah Rancangan Malaysia Kedua (RMK-2), rancangan pendidikan negara ditumpukan pada tiga bidang yang berikut iaitu yang pertama, menyatukan sistem pelajaran bagi menggalakkan perpaduan negara. Kedua memperluaskan rancangan pelajaran bagi mencapai keperluan negara mengenai tenaga rakyat dan yang ketiga memperbaiki mutu pelajaran ke arah mecapai masyarakat yang maju berasaskan sains dan teknologi moden. Antara strategi yang dilaksanakan untuk mencapai ketiga-tiga hasrat ini adalah dengan melaksanakan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar utama di semua sekolah secara berperingkat. Kedua, mengurangkan jurang perbezaan dalam memberikan peluang pelajaran di antara kawasan-kawasan dan juga antara kaum melalui pembinaan sekolah dan kemudahan yang baru di sekolah luar bandar serta melaksanakan pendemokrasian pendidikan. Ketiga, meningkatkan mutu pelajaran. Dalam usaha untuk meningkatkan mutu pelajaran ini antaranya melalui pengurangan bilangan pelajar yang terkandas dalam peperiksaan awam, membuat penilaian secara sistematik, memperbaiki sukatan pelajaran serta menyeimbangkan antara matapelajaran teras dengan matapelajaran elektif seperti sains dan teknologi.Pada tahun 1974, kerajaan Malaysia telah menubuhkan satu Jawatakuasa Kabinet untuk mengkaji pelaksanaan Dasar Pelajaran Kebangsaan. Jawatankuasa ini telah mengkaji semula matlamat dan kesan sistem pelajaran termasuk kurikulumnya untuk memastikan bahawa keperluan tenaga rakyat negara ini dapat dipenuhi. Walaubagaimanapun, perkara yang lebih penting ialah untuk memastikan bahawa sistem pelajaran ini dapat memenuhi matlamat negara ke arah pembentukan masyarakat berbilang kaum yang bersatu padu, berdisiplin dan terlatih. Antara aspek lain yang dikaji untuk penambahbaikan terhadap sistem pendidikan di negara ini adalah dengan menyeragamkan sukatan pelajaran dan sistem peperiksaan di semua sekolah, menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, menstrukturkan masa persekolahan, meningkatkan kecekapan dalam sistem pentadbiran dan pengurusan serta memasukkan matapelajaran yang baru dalam kurikulum sekolah iaitu matapelajaran Pendidikan Sivik, Pendidikan Islam dan Moral serta memantapkan lagi interaksi sosial dalam kalangan pelajar pelbagai etnik dan secara tidak langsung dapat membentuk disiplin para pelajar.Pada tahun 1983, kerajaan Malaysia telah wujudkan rancangan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) untuk dilaksanakan di semua sekolah rendah seluruh negara. Pada tahun 1989, kerajaan melaksanakan rancangan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) di semua sekolah menengah seluruh Malaysia. Kedua-dua KBSR dan KBSM mempunyai objektif yang sama, iaitu sebagai alat perpaduan kaum dan negara. Sememangnya KBSR dan KBSM dirancang untuk mencerminkan keinginan Falsafah dan Matlamat Pendidikan Kebangsaan dalam usaha untuk melahirkan masyarakat Malaysia yang sempurna dan mempunyai keperibadian yang tinggi seperti percaya kepada Tuhan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, setia kepada negara, memberi sumbangan kepada kemajuan negara serta mempunyai semangat perpaduan dan integrasi nasional yang tinggi antara kaum. Interaksi sosial antara kaum adalah antara aspek penting yang perlu ditekankan dalam masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa ini. Tanpa semangat perpaduan dan interaksi sosial antara kaum, kemajuan dan pembangunan negara pasti akan terjejas dan akhirnya akan menyebabkan berlakunya konflik dan perpecahan kaum. Untuk memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum ini, prasangka yang bersifat perkauman atau prejudis ini seharusnya dikikis dan dihapuskan daripada diri setiap masyarakat Malaysia. Dalam hal ini, sikap toleransi harus sentiasa diamalkan. Di samping itu, perbezaan kebudayaan, pendidikan, sosial dan ekonomi tidak harus dibiarkan berlarutan atau menjadi batu penghalang terhadap usaha kerajaan untuk memupuk semangat perpaduan di kalangan warganegaranya. Malah, sebagai rakyat Malaysia, kita harus berusaha untuk merapatkan jurang perbezaan ini untuk mewujudkan masyarakat Malaysia yang bersatu padu, harmonis dan sejahtera. Dalam usaha untuk membina suatu sistem pendidikan yang berdasarkan perpaduan ini, kelima-lima prinsip Rukun Negara perlu diterapkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Semua perancangan kurikulum sekolah seperti KBSR dan KBSM adalah mempunyai perkaitan dengan prinsip Rukun Negara. Penerapan prinsip Rukun Negara dalam KBSR dan KBSM adalah atas kesedaran bahawa sekolah merupakan agen yang boleh menjalankan tugas penyebaran ilmu pengetahuan dan pembentukan akhlak yang sempurna dalam proses pendidikan serta murid dapat mengamalkannya dalam kehidupan harian mereka demi mewujudkan perpaduan antara kaum. Oleh yang demikian, semua aktiviti pengajaran dan pembelajaran termasuk aktiviti kokurikulum harus menekankan unsur integrasi nasional , iaitu kepatuhan terhadap ideologi Rukun Negara. Dalam situasi ini, pemilihan matapelajaran yang terkandung dalam KBSR dan KBSM seperti matapelajaran Bahasa Melayu, Pendidikan Moral , Sejarah dan aktiviti Ko-kurikulum adalah sangat penting dalam usaha untuk mencapai cita-cita yang termaktub dalam Rukun Negara. Bahasa Melayu merupakan bahasa pengantar yang menjadi nadi penghubung interaksi sosial antara kaum di negara ini. Bahasa Melayu adalah lambang kepada pengenalan identiti bangsa Malaysia yang dikongsi bersama sejak sekian lama dan ia merupakan aspek utama yang menyumbang ke arah pembentukan integrasi nasional di negara ini. Oleh yang demikian, dalam kurikulum KBSR dan KBSM, kedudukan Bahasa Melayu adalah sangat tinggi nilainya dalam sistem pendidikan di negara ini agar setiap kaum memperoleh pengetahuan, nilai dan kefahaman yang saksama dan adil. Bagi matapelajaran Sejarah yang terkandung dalam KBSM dan matapelajaran Sivik Kewarganegaraan dalam KBSR, ia secara tidak langsung dapat mengukuhkan semangat patriotisme dan cintakan negara dalam kalangan kanak-kanak. Pembentukan semangat kenegaraan ini adalah sangat penting untuk pembangunan negara di mana para pelajar dapat menyedari pentingnya sikap kenegaraan dalam diri untuk memajukan negara, memupuk perasaan cinta dan bangga terhadap negara, serta menyedari akan kepentingan sikap toleransi sebagai asas kehidupan dalam masyarakat yang berbilang kaum. Peneguhan pembentukan sikap kenegaraan di bawah rancangan KBSR dan KBSM ini boleh dilaksankan secara tidak langsung melalui aktiviti berkumpulan di mana murid-murid akan dilatih mengamalkan sikap seperti kerjasama, bertoleransi, hormat menghormati dan juga bertanggungjawab. Sikap-sikap seperti ini adalah penting dalam usaha untuk membentuk interaksi sosial dalam kalangan pelajar yang berbilang kaum. Melalui aktiviti kokurikulum KBSR dan KBSM, ianya meliputi aktiviti kelab, persatuan, permainan serta unit beruniform. Melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan ini, pelajar mendapat peluang berinteraksi dengan pelbagai kaum, memahami budaya kaum lain, mendisiplinkan diri, serta dapat mengamalkan sikap toleransi dan kerjasama dengan rakan-rakan yang lain. Penerapan nilai-nilai murni ini adalah penting dalam pemupukan individu ke arah mencapai integrasi nasional. Seterusnya, pengukuhan interaksi sosial dalam KBSR dan KBSM dapat dicapai melalui Aktiviti Budaya Sekolah. Aktiviti budaya sekolah ini merangkumi aktiviti seperti menyanyikan lagu kebangsaan, lagu sekolah dan lagu patriotik secara bersama dalam perhimpunan sekolah, membaca ikrar dalam upacara rasmi seperti hari sukan, mengibarkan bendera kebangsaan pada setiap pagi hari persekolahan dan melaksanakan program Minggu Bahasa Melayu peringkat sekolah. Oleh yang demikian, tidak dapat dinafikan aktiviti-aktiviti budaya sekolah yang dijalankan ini dapat menyumbang ke arah pembentukan integrasi nasional melalui pemupukan semangat patriotisme dan kenegaraan dalam kalangan para pelajar sekolah rendah mahupun di sekolah menengah.Pada tahun 2007, bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdullah Ahmad Badawi, telah melancarkan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 yang bertujuan untuk melonjakkan tahap kecemerlangan sekolah, melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berkemampuan, dan dapat mengangkat imej sistem pendidikan negara di mata dunia. Melalui PIPP 2006-2010 tersebut, beliau telah menggariskan enam teras strategik, iaitu: (1) Membina negara bangsa, (2) Membangunkan modal insan, (3) Memperkasakan sekolah kebangsaan, (4) Merapatkan jurang pendidikan, (5) Memartabatkan profesyen perguruan, dan (6) Melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan. Jika dikaji secara teliti, ternyata enam strategik yang digariskan itu mampu untuk membawa perubahan kepada sistem persekolahan yang berperanan sebagai alat perpaduan. Strategik yang pertama iaitu pembinaan negara bangsa sangat ditekankan oleh kerajaan untuk dilaksanakan kerana melaluinya perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa dapat diperkukuhkan lagi. Pelan rancangan ini seiring dan dapat merealisasikan matlamat utama pendidikan kebangsaan negara sejak merdeka, iaitu matlamat pendidikan untuk memperkukuhkan interaksi sosial antara kaum di Malaysia. Justeru sekolah memainkan peranan yang penting untuk menyatupadukan masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa untuk menjalinkan hubungan baik dan saling bertoleransi.Strategik Pelan Induk Pembangunan Pendidikan yang ketiga adalah memperkasakan sekolah kebangsaan, iaitu sekolah rendah dan menengah, merupakan usaha yang bertepatan dengan keperluan semasa kerana melaluinya masyarakat mempunyai kepercayaan serta keyakinan yang tinggi untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah kebangsaan. Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) tidak hanya memberi fokus kepada satu jenis sekolah dan kaum tetapi ia untuk semua jenis aliran sekolah, termasuk sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil. PPIP termasuk dalam RMK-9, iaitu Rancangan Malaysia ke-sembilan (2006-2010), adalah rancangan lima tahun pertama daripada tiga rancangan lima tahun yang akan memacu Misi Nasional ke arah mencapai Wawasan 2020. RMK-9 merangkumi strategi, program, dan peruntukan yang diperlukan bagi merealisasikan impian negara melalui Misi Nasional. Fokus utama ialah pembangunan modal insan, khususnya pendidikan tinggi, dan penyediaan tanaga mahir. Rancangan Malaysia ke-sembilan telah menetapkan pembangunan modal insan berminda kelas pertama sebagai salah satu daripada lima teras utama ke arah mencapai Wawasan 2020.Seterusnya, Sekolah Wawasan merupakan merupakan antara percubaan yang dilakukan oleh kerajaan bagi membawa perubahan dalam sistem pendidikan negara ke arah meningkatkan lagi interaksi sosial antara pelajar pelbagai etnik. Sekolah Wawasan bererti sekolah rendah yang berkonsepkan belajar bersama-sama dalam satu kawasan yang sama tanpa mengira kaum atau agama. Di bawah konsep ini, tiga buah sekolah rendah berlainan aliran akan ditempatkan dalam kawasan yang sama, iaitu sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina, dan Tamil. Setiap sekolah akan mempunyai bangunan sendiri yang boleh disambung antara satu sama lain dengan menggunakan jambatan penghubung. Antara tujuan utama penubuhan Sekolah Wawasan ialah mewujudkan interaksi sosial dalam kalangan murid-murid yang berbagai bangsa dan latar belakang, memupuk semangat integrasi antara pelajar dari pelbagai aliran, melahirkan generasi yang mempunyai sifat toleransi dan persefahaman yang tinggi demi mewujudkan sebuah negara yang bersatu padu, dan menggalakkan interaksi maksimum antara semua warga sekolah melalui perkongsian kemudahan sekolah dan pelaksanaan aktiviti-aktiviti lain di sekolah. Melalui cara ini ternyata ia dapat membawa kesedaran yang tinggi kepada masyarakat tentang pentingnya perpaduan dalam kalangan masyarakat yang perlu dipupuk sejak di bangku persekolahan lagi.Tidak ketinggalan juga konsep 1 Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Malaysia sekarang, Y.A.B. (Yang Amat Berhormat) Datuk Seri Najib Tun Razak, menjadi penggerak utama ke arah mencapai perpaduan dan integrasi kaum yang bertemakan rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Konsep 1 Malaysia merupakan satu gagasan bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai-nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia. Dalam menjayakan matlamat ini, sektor pendidikan terutamanya melalui sistem persekolahan memainkan peranan utama dengan menerapkan nilai-nilai murni dan perpaduan nasional. Hal ini demikian bukan sesuatu yang baru untuk dilaksanakan di sekolah tetapi melalui konsep gagasan 1 Malaysia ini juga boleh menjadi perintis bermulanya perubahan masyarakat Malaysia supaya mencapai matlamat memperkasakan lagi interaksi sosial antara kaum dan perpaduan yang utuh dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa.Terkini, pelaksanaan dasar 1 Murid 1 Sukan (1M 1S) telah dilaksanakan oleh kerajaan yang berhasrat untuk memupuk budaya bersukan dan meningkatkan kecergasan jasmani di samping meningkatkan lagi interaksi sosial antara murid pelbagai etnik. Dasar 1 Murid 1 Sukan mewajibkan setiap murid menyertai sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan di sekolah. Dasar ini menyokong pelaksanaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang berhasrat untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Justeru dengan dasar ini, setiap murid akan melibatkan diri secara aktif dengan menyertai aktiviti sukan sekolah sepanjang tahun. Dasar ini adalah selaras dengan Dasar Sukan Negara untuk membudayakan sukan di kalangan masyarakat dan hendaklah dimulakan di peringkat sekolah melalui dua strategi iaitu Sukan Untuk Semua dan Sukan Untuk Kecemerlangan. Aktiviti sukan di bawah Sukan Untuk Semua adalah sangat penting dalam membina kesihatan, sahsiah dan kesejahteraan ke semua murid. Bagi Sukan untuk Kecemerlangan, prestasi murid yang berbakat dan berpotensi hendaklah terus dibangunkan di bawah Program Kecemerlangan Bakat Muda, Sukan Prestasi Tinggi Sekolah serta sukan lain yang mampu ditawarkan oleh pihak sekolah. Oleh yang demikian, penyertaan setiap murid dalam sukan adalah amat penting sebagai satu landasan mendokong aspirasi 1 Malaysia yang sihat, cergas, dinamik dan bersatu padu. Dasar ini selaras dengan hasrat YAB Perdana Menteri dalam mendokong semangat 1 Malaysia.Dapat dirumuskan di sini bahawa perkembangan pendidikan di Malaysia ternyata mengalami banyak perubahan, terutama sejak zaman penjajahan hinggalah zaman selepas merdeka. Perkembangan masyarakat seiring dengan perkembangan dasar-dasar negara yang sentiasa ditambah baik bagi memastikan keperluan rakyat terbela. Perubahan dalam sektor pendidikan menjadi faktor yang penting dalam pengukuhan perpaduan negara ke arah yang lebih baik kerana pendidikan menjadi peneraju pembentukan masyarakat. Aspek-aspek murni amat ditekankan dalam pendidikan kerana sebagai sebuah masyarakat majmuk, nilai-nilai murni perlu ada dalam diri setiap masyarakat. Namun, walaupun banyak perubahan yang telah dilakukan, kelemahan-kelemahan masih lagi wujud dan perlu diambil serius oleh pihak kerajaan untuk menyelesaikannya dengan segera. Kelemahan yang wujud umpama barah yang akan merebak menjadi semakin besar, malah boleh menyebabkan perpecahan dalam masyarakat. Masalah-masalah yang melibatkan isu-isu antara kaum perlu diselesaikan segera, bukan dibiarkan senyap begitu sahaja. Oleh itu, untuk mencapai matlamat perpaduan negara yang kukuh, seluruh masyarakat perlu berganding bahu, seiring dengan usaha murni kerajaan melalui dasar-dasar dan rancangan baru. Mutu pendidikan yang sempurna serta hubungan masyarakat yang harmoni menjadi tunggak kejayaan yang akan menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan dapat merealisasikan Wawasan 2020.

REFLEKSISemasa melaksanakan tugasan kerja kursus pendek Hubungan Etnik ini, saya telah menerima banyak faedah yang berguna dan baik untuk diri saya sebagai bakal guru. Setelah membuat banyak rujukan dan perbincangan bersama rakan-rakan, saya mula lebih mengenali serta memahami tentang program-program yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam meningkatkan interaksi sosial dlam kalangan pelajar pelbagai etnik yang sebelum ini saya tidak pernah didedahkan secara terperinci seperti ini. Saya juga mula merasai kepentingan Hubungan Etnik ini terhadap diri saya kerana sebagai bakal guru, satu hari nanti semua ilmu ini pasti saya perlukan untuk melaksanakan tugas harian sebagai seorang guru yang begitu mencabar. Saya sebagai bakal guru yang akan mengajar di sekolah rendah pasti akan menghadapi pelbagai situasi yang mungkin saya tidak pernah pikirkan sebelum ini. Melalui pembelajaran Hubungan Etnik ini, sedikit sebanyak telah membantu saya dalam membuat persediaan dalam menghadapi dunia perguruan ini.Melalui segala pengalaman dan ilmu-ilmu baru yang telah saya perolehi, dengan izin Allah S.W.T., saya akan praktikan sebaik mungkin nanti. Setelah saya banyak membuat pencarian maklumat, saya berharap ilmu ini akan terus bermanfaat kepada para pelajar. Saya juga mula sedar kepentingan subjek Hubungan Etnik ini di mana dengan hanya betul-betul memahaminya barulah saya dapat melaksanakan tugas saya sebagai guru nanti dengan sebaik mungkin bagi melahirkan modal insan yang sempurna.Selain itu, melalui proses menyiapkan tugasan kerja kursus pendek ini yang saya laksanakan bersama rakan-rakan telah membuatkan hubungan silaturrahim antara kami semakin rapat. Sikap toleransi dan bekerjasasama pensyarah dan semua rakan-rakan juaga dapat di tingkatkan melaui proses menyiapkan tugasan kerja kursus pendek ini. Saya mula lebih mengenali sikap dan sahsiah rakan-rakan dan cara pengajaran pensyarah dan hal ini sekaligus mengukuhkan hubungan dua hala kami.Tambahan pula, pengalaman berinteraksi bersama pensyarah, Encik Baskaran Subramaniam dan rakan-rakan bagi melaksanakan tugasan ini membolehkan saya memperbaiki dan meningkatkan cara saya berkomunikasi. Hal ini sekaligus dapat melatih saya untuk berkomunikasi dengan baik dan membuat persediaan untuk menjadi seorang guru yang berkualiti. Selain itu, tunjuk ajar yang diberikan oleh para pensyarah dalam proses menyiapkan tugasan kerja kursus pendek ini membolehkan saya memperbaiki kelemahan yang terdapat pada diri saya dan tidak akan mengulanginya lagi pada masa hadapan.Secara keseluruhannya, tugasan kerja kursus pendek Hubungan Etnik ini telah memberikan banyak faedah kepada saya dan membuatkan saya lebih mencintai profesion yang mulia ini serta menambahkan lagi semangat saya untuk menjadi seorang guru yang berkualiti bagi melahirkan modal insan yang seimbang dan sanggup berkorban demi agama bangsa dan negara.

BIBLIOGRAFI

Abu Bakar Nordin. (1994). Reformasi Pendidikan dalam Menghadapi Cabaran 2020. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.Kamarudin Hj.Husin & Kamarul Azhar (1994). Asas Pendidikan III (Perkembangan & Perlaksanaan Kurikulum). Petaling Jaya: Longman Malaysia Sdn.Bhd.Mok Soon Sang. (2009). Falsafah dan pendidikan di malaysia. Puchong: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.Mok Soon Sang. (2000). Pendidikan di Malaysia. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.,edisi ketujuh.Nazri Muslim & Nasruddin Yunos (2006). Hubungn Etnik. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia. Shamsul Amri Baharuddin (2008). Modul Hubungan Etnik. Shah Alam: Universiti Teknologi MARA Shah Alam.Mior Khairul Azrin Bin Mior Jamaluddin (2011). Sistem Pendidikan di Malaysia : Dasar, Cabaran, dan Pelaksanaan ke Arah Perpaduan Nasional , (Web Document). Diperoleh pada Februari 20, 2012. Dari: http://www.sosiohumanika-jpssk.com/sh_files/File/4.mior.usm.mei.2011.pdf

Mohd Ainuddin Iskandar Lee Abdullah (2010). Kajian Hubungan Kaum Di Kalangan Pelajar Sekolah Pembangunan Sosial, (Web Document). Diperoleh pada Februari 22, 2012. Dari: http://repo.uum.edu.my/1833/1/19.pdf

Najeemah Bt Mohd. Yusof (2005). Pola Interaksi Sosial Dalam Kalangan Murid Pelbagai Etnik Di Sekolah Menengah Kebangsaan Sekitar Sungai Petani, Kedah , (Web Document). Diperoleh pada Februari 20, 2012. Dari: http://eprints.usm.my/9774/1/POLA_INTERAKSI_SOSIAL_DALAM__KALANGAN_MURID____PELBAGAI_ETNIK_DI_SEKOLAH_MENENGAH_KEBANGSAAN_SEKITAR_SUNGAI_PETANI,_KEDAH.pdf

Redzuan Bin Mohd Junid (2010). Integrasi Nasional Tanggungjawab Bersama , (Web Document). Diperoleh pada Februari 20, 2012. Dari: http://rmf7.wordpress.com/2010/06/04/intergrasi-nasional-tanggung-jawab-bersama/

Muhammad Khairi Bin Azmi |SOALAN 213