Imperial di Tanah Melayu
-
Upload
nicholas-lyons -
Category
Documents
-
view
94 -
download
5
description
Transcript of Imperial di Tanah Melayu
Bahaskan pendapat-pendapat tentang imperialism dan kolonialisme
dan dirujuk kepada kes di Sabah dan Sarawak
Pendahuluan
Umumnya masyarakat mentafsirkan penjajahan sama dengan ertinya dengan
perkataan imperialisme dan juga kolonialisme. Apakah benar ataupun kedua-dua
perkataan tersebut mempunyai pengertian yang berbeza sama sekali? Oleh itu,
tugasan kali ini akan cuba untuk mengupas maksud kedua-dua perkataan tersebut dan
cuba melihat imperialisme dan kolonialisme yang telah berlaku di Sabah dan Sarawak.
Sejak sekian lama, imperialisme dan kolonialisme telah berlaku dalam sejarah
manusia. Setiap peradaban atau tamadun yang ada di serata muka bumi ini pernah
menjalankan dasar perluasan kuasa dan membentuk masyarakat setempat mengikut
kehendak mereka. Tamadun Rom umpamanya telah menguasai keseluruhan Eropah
pada suatu ketika dahulu termasuklah sebahagian utara Afrika, Begitu juga dengan
Empayar British yang menguasai banyak negara kecil di Afrika, India dan Asia
Tenggara. Imperialisme dan kolonialisme oleh kuasa besar ini jelas dilakukan atas
kepentingan sendiri, berselindung atas nama kebebasan dan tanggungjawab
membantu sesama manusia ke arah kemajuan.
1
Imperialisme
Perkataan imperialisme telah diperkenalkan di Perancis pada 1930-an. Perkataan ini
berasal daripada perkataan “imperialiste”,perkataan yang menggambarkan keagungan
Empayar Napoleon. Selanjutnya, perkataan ini telah digunakan oleh penulis British
pada tahun 1870-an, merujuk kepada dasar perluasan kuasa oleh kerajaan British.
Imperialisme mengikut tafsiran di dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi
Ketiga bermaksud dasar atau tindakan sesebuah negara menjajah atau mengenakan
kuasa pemerintahannya ke atas negara-negara lain.
Imperialisme boleh dimengertikan sebagai perluasan kuasa atau pengembangan
kuasa ke atas sesebuah kawasan, negeri ataupun negera lain secara langsung ataupun
tidak langsung dalam pelbagai sektor seperti politik, ekonomi mahupun sosial oleh
sesebuah kerajaan asing atau masyarakat mahupun bangsa dengan disokong oleh
idea rasional yang membenarkan ia dilaksanakan. Dalam erti kata lain, imperialisme
menjadi alat kepada negara yang mempunyai kepentingan sendiri ke atas negara lain.
Ia memperlihatkan keunggulan mereka sendiri dan cuba untuk mengasimilasikan
budaya mereka ke dalam budaya tempatan dengan harapan dapat membentuk sebuah
masyarakat yang mengikut acuan mereka. Usaha mengasimilasikan budaya ini boleh
kita katakan sebagai kolonialisme.
Ramai sarjana yang telah memberikan pengertian imperialism dan kolonialisme.
Justeru itu, saya akan mengetengahkan beberapa pendapat sarjana yang memberikan
pengertian kedua-dua perkataan tersebut. Pertamanya akan dibincangkan apa itu
2
imperialism. Menurut Abu Talib Ahmad yang memetik kata-kata Profesor Cheah Bong
Kheng, imperialisme bermaksud satu kecenderungan sesebuah masyarakat atau
negara untuk menguasai sesebuah masyarakat atau negara yang lain, dengan
menggunakan apa juga cara dan untuk apa juga tujuan. Ini jelas seperti seperti yang
dilakukan oleh British ke atas Tanah Melayu serta Siam ke atas utara Tanah Melayu.
Menurut J.A. Hobson pula imperialisme merupakan merupakan satu bentuk
penguasaan oleh negara lain yang menjaga kepentingan negara lain yang dijajah serta
menguasainya daripada berbagai aspek secara total. Ia bermaksud bahawa
penguasaan ke atas sesebuah negara yang lain perlu dilakukan apabila berlaku lebihan
modal yang perlu diagihkan ke luar. Justeru itu, negara yang dijajah merupakan satu
kesempatan yang baik untuk disalurkan lebihan modal untuk memaksimumkan
keuntungan dengan kos yang minimum. Produk yang terhasil akan dijual kepada rakyat
negara yang terjajah itu. Malahan di barat sendiri, sering mengaitkan teori yang
dipeloporkan oleh J.A.Hobson adalah hampir sama dengan teori Lenin (Marxisme). Ia
lebih dikenali dengan Tesis Hobson-Lenin. Kesimpulannya. Toeri oleh Hobson ini jelas
hanya menguntungkan para pedagang, institusi perbankan dan kerajaan Imperialis.
Malahan di Barat, ramai sarjana sejarah dan ekonomi berpendapat bahawa
imperialisme boleh dibahagikan kepada dua jenis. Pertamanya ialah “Imperialisme
Lama” dan “Imperialisme Baru”. Imperialisme lama dihubungkan dengan dasar
perluasan kuasa atau kawasan ke atas negara-negara lain seperti yang dilakukan oleh
Empayar Rom, Empayar Turki mahupun Empayar China. Ini tidak termasuk lagi dengan
negara Eropah yang dominan pada masa lalu seperti Sepanyol, British, Portugis,
Belanda dan Perancis dengan jajahan di Asia, Afrika serta Amerika Utara dan Amerika
3
Selatan. Imperialisme lama ini dikatakan berlaku sejak sekian lama sehinggalah pada
tahun 1870. Sesudah tahun 1870, revolusi industri yang tercetus di Eropah telah
memberikan satu senario lanskap imperialisme yang lain pula.
Imperialisme baru pula pada pandangan sarjana Barat berpunca daripada
ledakan modal yang berlebihan dalam revolusi industri (surplus capital) dan ini perlu
diserapkan ke negara lain. Bagi mencapai matlamat tersebut, amat penting untuk
negara Barat mempunyai tanah jajahan supaya dapat menyalurkan lebihan modal bagi
mengaut keuntungan dengan menjual kembali produk kepada penduduk di negara di
jajah. Perkembangan ini tidak dapat dielakkan lantaran perkembangan sains, teknologi
dan perniagaan yang begitu maju di barat tidak dapat diseimbangkan dengan apa yang
ada di dunia ketiga. Tidak menghairankan ia (negara dunia ketiga) menjadi sasaran
bentuk imperialisme baru. Ketidakseimbangan yang berlaku antara dunia Barat dan
Timur dalam aspek yang dinyatakan di atas jelas mempengaruhi situasi yang telah
berlaku dalam sejarah.
Namun demikian terdapat juga sejarawan yangn berpendapat bahawa
imperialisme bukan berlaku kerana faktor ekonomi sahaja, tetapi juga disebabkan oleh
faktor politik. Kemajuan yang dicapai oleh setiap negara Eropah merupakan kayu
pengukur kepada keagungan sesebuah kerajaan. Oleh itu amat penting untuk
mempertahankan maruah mereka dengan memiliki sebanyak mungkin tanah jajahan.
Disamping itu haruslah kita akui bahawa imperialisme yang berlaku juga disebabkan
oleh sosiopolitik negara yang dijajah itu. Terdapat segelintir pemerintah di negara
terbabit yang meminta naungan dan perlindungan akibat konflik dengan negara jiran
ataupun menghadapi ancaman dari kuasa lain yang diketahui kezaliman mereka.
4
Kolonialisme
Setelah mengutarakan maksud imperialisme dari kacamata sarjana sejarawan,maka
tiba masa untuk membicarakan pula pengertian kolonialisme. Konsep kolonialisme
membawa maksud negeri ataupun tanah jajahan yang ditakluk secara paksaan
mahupun secara aman dan pemerintahan dilakukan secara langsung ataupun tidak
langsung. Jelasnya penaklukan yang dilakukan bertujuan untuk memastikan
kelangsungan revolusi industri berterusan dengan bekalan bahan mentah yang tidak
putus dan juga pasaran untuk barangan yang dihasilkan. Ini dapat dilihat dengan
senario yang berlaku sewaktu kuasa-kuasa besar sedang sibuk melebarkan empayar
mereka seperti British, Sepanyol dan Perancis di rantau Asia Tenggara yang kaya
dengan bahan mentah yang diperlukan oleh mereka.
Malahan menurut D.K. Fieldhouse, kolonialisme bermaksud rakyat atau
masyarakat yang telah dieksploitasi dalam satu tanah jajahan oleh negara imperialis
Barat. Penjelasan oleh beliau ini membawa pengertian kepada negeri atau penduduk
bukan Eropah yang dikawal oleh negara Eropah. Plano dan Otton pula mendefinasikan
kolonialisme sebagai satu bentuk pemerintahan kuasa asing ke atas sesebuah
masyarakat ataupun kawasan dalam mengukuhkan dasar imperialisme mereka. Evans
dan Newnham berpendapat kolonialisme merupakan usaha pertapakan kawasan asing
oleh negara Eropah. Ia seterusnya akan mendominasi aspek politik dan ekonomi
sesebuah kawasan ataupun masyarakat dan menyebabkan ketidakseimbangan kaum
dan budaya masayarakat tempatan. Ini jelas dapat dilihat di Malaysia hasil kerja pihak
Inggeris sewaktu menjajah Tanah Melayu. Wujud ketidakseimbangan dalam aspek
ekonomi antara kaum. Di Amerika Syarikat contohnya sewaktu dijajah oleh British,
5
pentadbir kebanyakannya adalah rakyat British. Koloni yang diwujudkan memisahkan
pemerintahan pusat di London bagi menguatkan lagi pemerintahan kuasa koloni dan
menindas golongan bawahan di koloni berkenaan.
Kolonialisme telah lama berlaku di Asia. Dimulai oleh Portugis melalui Vasco Da
Gama yang bertapak di Goa, India, kuasa besar Eropah berlumba-lumba untuk
menerokai potensi kekayaan yang ada di dunia baru ini. Niat asal untuk menguasai
jalan perdagangan terutama sekali yang berkaitan dengan perdagangan rempah dan
sutera, ia telah bertukar kepada penjajahan politik iaitu campurtangan untuk
menyelesaikan pertikaian waris takhta, perang saudara dan sebagainya. Namun kita
ketahui bahawa penjajahan ini sebenarnya perlu dilakukan untuk memastikan
kepentingan mereka terjamin atau terlindung. Di seluruh dunia, perkembangan
kolonialisme berlaku dengan pesat sehinggalah Perang Dunia Kedua. Sesudah Perang
Dunia Kedua, konsep kolonialisme telah dipersoalkan dan banyak negeri yang dijajah
memperolehi kemerdekaan daripada kuasa yang menjajah.
Jikalau diteliti, kolonialisme sebenarnya berlaku dengan dua cara. Penghijrahan
penduduk negara asal ke sesebuah kawasan baru seperti di Amerika Syarikat oleh
penduduk British merupakan kaedah pertama. Kaedah seterusnya ialah penguasaan
secara total ke atas masyarakat yang kurang maju dari segi teknologinya seperti yang
berlaku ke atas negara Afrika dan Asia. Lazimnya pentadbiran koloni ini dilaksanakan
oleh segelintir golongan kolonial dengan dibantu oleh tentera untuk menguatkuasakan
undang-undang.
6
Namun setelah meneliti pendapat yang disampaikan oleh sarjana yang
dinyatakan di atas, dapat saya rumuskan bahawa kolonialisme yang berlaku adalah
untuk memastikan kepentingan ekonomi, kedudukan strategik ketenteraan dan
keselamatan negara kolonial terjamin. Seterusnya ini memperlihatkan kekuatan dan
kemegahan negara imperialisme yang gah di mata dunia.
IMPERIALISME DAN KOLONIALISME DI SARAWAK
Sarawak suatu ketika dahulu merupakan sebuah negeri di bawah naungan kesultanan
Brunei. Pembesar yang telah diamanahkan untuk mentadbir Sarawak bagi pihak Sultan
Brunei ialah Pangeran Muda Hashim. Dan beberapa orang lagi pembesar baginda.
Namun begitu, di bawah pentadbiran Pangeran Muda Hashim, Sarawak telah jatuh ke
tangan seorang pengembara Inggeris bernama James Brooke.
Imperialisme di Sarawak bermula dengan kehadiran James Brooke pada tahun
1839 yang datang untuk menghantar surat penghargaan kepada Pangeran Muda
Hashim dari Gabenor British di Singapura kerana telah memberi bantuan kepada kelasi
kapal Inggeris yang karam berdekatan dengan Sarawak. Pangeran Muda Hashim
sangat gembira dan bersahabat baik dengan James Brooke. Tidak lama kemudian,
James Brooke meneruskan pelayarannya ke Sulawesi atas urusan perniagaan. Namun
sebelum itu, Pangeran Muda Hashim telah meminta agar James Brooke datang
kembali ke Sarawak dan beliau telah memberikan jaminan akan kembali lagi ke bumi
Sarawak.
Pada tahun 1840, James Brooke telah hadir ke Sarawak semula dan membantu
Pangeran Muda Hashim mengamankan Sarawak daripada beberapa masalah yang
7
dihadapi olehnya. James Brooke yang mendapati Sarawak masih dalam keadaan kucar
kacir kerana penentangan masyarakat tempatan yang diketuai oleh Datu Patinggi Ali
terhadap Pangeran Muda Hashim dan Pangeran Mahkota yang memerintah dengan
zalim. Beberapa siri pertempuran antara pasukan tentera James Brooke dan Pangeran
Muda Hashim berlaku dan tiada penamatnya.
Akhirnya pihak Datu Patinggi Ali telah mengaku kalah dengan syarat agar James
Brooke diangkat menjadi Raja Sarawak dan mereka akan menghentikan serangan.
Pangeran Muda Hashim dan Pangeran Mahkota yang berasa terancam telah menjalan
beberapa rancangan untuk menjatuhkan James Brooke seperti mengarahkan 2,500
orang Iban dari Sekrang datang ke Kuching untuk membuat huru hara dan membunuh
pengikut Datu Patinggi Ali yang menyokong James Brooke. Namun usaha ini menemui
kegagalan. James Brooke bersama pengikut Datu Patinggi Ali telah membuat serangan
balas dan berjaya menghalau Pangeran Mahkota yang zalim dengan mengugut
Pangeran Muda Hashim agar memecat Pangeran Mahkota serta menabalkan James
Brooke sebagai Gabenor Sarawak menggantikan Pangeran Mahkota pada tahun 1841.
Walaupun begitu, Sarawak ini masih tertakluk di bawah kekuasaan Sultan
Brunei. Pada tahun 1842, Sarawak telah diserahkan kepada James Brooke oleh Sultan
Brunei dengan berjanji membayar £1,000.00 setiap tahun dan James Brooke telah
ditabalkan sebagai Raja Sarawak yang pertama.Sarawak menjadi hak milik
perseorangan James Brooke dan waris-warisnya. Beliau merupakan seorang raja yang
berkuasa mutlak di Sarawak. Sejajar dengan ini, maka bermulalah penjajahan Sarawak
oleh Inggeris. Imperialisme Inggeris berlaku.
8
Sebaik sahaja imperialisme berlaku di Sarawak, sudah pastinya akan diikuti
dengan kolonialisme dalam usaha memantapkan kuasa penjajah (Raja Sarawak).
Beberapa perubahan yang bersesuaian telah dilaksanakan oleh James Brooke dalam
bidang pentadbiran dan juga sosial. Dalam bidang pentadbiran, James Brooke telah
memecat pembesar Brunei yang memegang jawatan kerajaan di Sarawak dan
menggantikan mereka dengan ketua-ketua Orang Melayu. Antara ketua-ketua Orang
Melayu di Sarawak ialah Datu Temenggung Marsal, Datu Petinggi Ali, Datu Bandar
Rancha, Muhammad Lana anak Datu Petinggi Ali dan ramai lagi. James Brooke sendiri
telah menjalinkan hubungan yang rapat dengan pembesar ini dan meminta nasihat
mereka dalam memerintah Sarawak. Penduduk Sarawak amat menyenangi James
Brooke.
Penggantinya turut mengadakan beberapa perubahan yang secara langsung
dan tidak langsung mengukuhkan cengkaman mereka ke atas Sarawak mengikut
acuan mereka sendiri. Charles Brooke misalnya meneruskan dasar melindungi
bumiputera yang terdiri dari suku kaum Iban, Bidayuh, Dayak, Melanau dan sebagainya
daripada dieksploitasi oleh bangsa asing. Usaha memantapkan pengaruh dan
kekuasaan ke atas Sarawak, beliau telah membahagikan Sarawak kepada tiga
bahagian pentadbiran iaitu Bahagian I yang berpusat di Kucing, Bahagian II berpusat di
Simanggang dan Bahagian III berpusat di Sibu. Setiap bahagian diketuai oleh seorang
Residen, dibantu oleh Penolong Residen dan Pegawai Daerah dan kakitangan yang
lain. Birokrasi yang diwujudkan oleh Charles Brooke adalah lengkap dan meliputi tiga
peringkat iaitu dari peringkat Kampung, Daerah dan Bahagian.
9
Di setiap bahagian pula diwujudkan Dewan Bahagian yang dianggotai oleh
pemimpin tempatan dan penghulu-penghulu yang dilantik oleh kerajaan. Pada tahun
1883, beliau telah menamatkan sistem perhambaan di Sarawak melalui dekri yang
dikeluarkan olehnya. Ekonomi Sarawak turut berkembang dengan baik sewaktu
pemerintahannya. Kewangan kerajaan negari semakin bertambah baik. Bidang
pendidikan turut menjadi perhatiannya. Beberapa buah sekolah turut dibina oleh
penduduk tempatan dan juga mubaligh Kristian. Hospital Umum dibina di Kucing pada
tahun 1859. Pada tahun 1911, perkhidmatan keretapi telah diperkenalkan di Sarawak.
Beberapa aspek dalam bidang sosial turut diberikan perhatian seperti perkhidmatan
pos, telegraf, kerjaraya dan banyak lagi. Namun seperti lazimnya, kemudahan sebegini
hanya tertumpu di bandar sahaja lantaran ia merupakan kepentingan mereka (penjajah)
juga.
Ini merupakan beberapa tindakan yang telah dilakukan oleh pemerintah Sarawak
yang lebih dikenali sebaai Raja Putih atau Raja Brooke. Perubahan dalam bidang
ekonomi, politik dan sosial dilakukan mengikut acaun mereka agar memudah mereka
menguasai Sarawak. Contoh yang jelas ialah undang-undang yang diperkenalkan.
Begitulah juga dengan kemudahan perhubungan yang dilakukan turut memihak kepada
merka sebenarnya. Sistem perhubungan yang baik dapat menyampaikan maklumat
dengan jelas, tepat dan cepat kepada pemerintah dalam mengatasi sesuatu masalah
dengan cepat dan berkesan.
10
KESIMPULAN
Imperialisme dan kolonialisme tidak dapat lari daripada lipatan sejarah masa lalu.
Kuasa Barat yang telah maju terlebih dahulu berbanding dengan bangsa lain telah
mengeksploitasi bangsa lain dengan pelbagai cara. Ada yang dilakukan secara paksa
dan tipu muslihat. Namun semuanya tetap menjurus kepada matlamat yang sama,
mengukuhkan kekuasaan, menjamin kepentingan dan juga atas rasa gah mereka jika
mempunyai banyak tanah jajahan.
Penjajahan yang diikuti dengan perubahan untuk mengekal penguasaan
merupakan suatu perkara yang lazim. Memaksa masyarakat setempat untuk menerima
pembaharuan yang menguntungkan penjajah sesuatu yang sering kita baca apabila
sesebuah kuasa Barat menguasai kawasan baru. Walaupun kita tidak nafikan bahawa
terdapat kemajuan yang dibawa oleh Barat seperti pemodenan dalam aspek frasarana,
ekonomi dan sebagainya, Inggeris tetap berusaha mengukuhkan kedudukan mereka
dan mengembangkan lagi dasar kolonialisme di Sabah Sarawak.
Imperialisme dan kolonialisme yang dilakukan oleh British di Sabah dan Sarawak
serta Tanah Melayu amnya menjadikan negara kita turut mewarisi warisan kolonial
tersebut. Terdapat sejarawan yang berpendapat,kehadiran British telah menyebabkan
Malaysia pada hari ini mempunyai kepelbagaian budaya antara satu kaum dengan
kaum yang lain.
11