Langkah Meningkatakan Jati Diri
Click here to load reader
Transcript of Langkah Meningkatakan Jati Diri
Langkah-langkah Meningkatkan Jati Diri Remaja.
Langkah utama meningkatkan jati diri remaja ialah melalui pendidikan. Melalui pendidikan
sahajalah yang dapat membantu membentuk jati diri para remaja. Terdapat sebanyak tujuh
cabang pendidikan dalam meningkatkan jati diri remaja. Antaranya ialah :
1. Pendidikan keimanan – Pendidikan keimanan ialah dengan mengikat remaja
dengan dasar-dasar iman, rukun Islam dan dasar syariat semenjak anak mula mengerti
dan memahami sesuatu. Matlamat daripada isi kandungan pendidikan ini ialah supaya
remaja akan hanya mengenal Islam sebagai satu cara dan gaya hidupnya, al-Quran
sebagai imamnya dan Rasulullah s.a.w. sebagai pemimpin dan teladannya.
2. Pendidikan akhlak – Bagi pendidikan akhlak pula, ia penting diajar kepada
para remaja supaya mereka mengetahui dasar-dasar akhlak dan keutamaan dalam
bertingkah laku, mengetahui tabiat yang harus dimiliki dan dijadikan kebiasaan oleh
mereka semenjak kecil hingga menjadi seorang yang mukalaf iaitu orang yang telah
cukup umur yang wajib melaksanakan perintah Allah. Akhlak yang terserlah itu
merupakan manifestasi atau buah dari iman yang mendalam dalam perkembangan
naluri keagamaan para remaja.
3. Pendidikan fizikal – Fizikal remaja dalam perkembangan tubuh bandannya
hendaklah diberikan perhatian sewajarnya oleh para ibu bapa dan pendidik. Fizikal
remaja hendaklah dipastikan sihat, kuat, sejahtera dan sentiasa bersemangat. Dewasa
ini, satu lagi tuntutan timbul dalam pendidikan fizikal ini untuk memastikan remaja
tumbuh sihat secara fizikal menurut tabii fitrah kejadian jantinanya. Jadi, didiklah
fizikal remaja menurut kesesuaian jantinanya. Jangan dibiarkan yang lelaki menjadi
lembut dan perempuan menjadi keras. Perkara ini penting bagi mengelakkan daripada
munculnya lebih ramai “lelaki lembut” dan “pengkid” serta “tomboy” dalam kalangan
remaja.
4. Pendidikan Intelektual – Seterusnya, dalam melaksanakan tanggungjawab
pendidikan intelektual pula kepada para remaja pula, para pendidik hendaklah
membentuk dan membina cara berfikir remaja dengan segala sesuatu yang bermanfaat,
memahamkan mereka dengan ilmu pengetahuan tentang hukum, peradaban ilmiah
serta kesedaran berfikir dan berbudaya.
5. Pendidikan Psikologi - Dari sudut tanggungjawab pendidikan psikologi, para
remaja haruslah dididik supaya bersikap berani, berterus-terang, merasa sempurna dan
berbuat baik terhadap orang lain, serta menahan diri ketika marah.
6. Pendidikan Sosial – Dari segi pendidikan sosial pula, para remaja hendaklah
dipastikan mampu berinteraksi dengan gaya pergaulan dan adab yang baik dengan
orang di sekelilingnya. Contoh aktiviti yang mampu memberikan pendidikan sosial
terbaik kepada para remaja ialah seperti Program Latihan Khidmat Negara
(PLKN)yang sudah mencapai usia lima tahun. Tidak dinafikan ketika awal
pelaksanaannya pada tahun 2004, masyarakat terutama ibu bapa bimbang untuk
melepaskan anak-anak mereka menjalani program tersebut yang disifatkan ala-tentera.
Walaupun dengan beberapa ‘fasa’ cabaran dalam melaksanakan PLKN, kerajaan
menerusi Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) telah berjaya mengubah persepsi
masyarakat, dan bukan itu sahaja, keberkesanan program dalam meningkatkan jati diri
dalam kalangan pelatih tentang semangat kenegaraan dan patriotism amat
memberangsangkan. Malaysia telah menghasilkan lebih kurang 350 000 orang ‘duta’
bagi perpaduan dan integrasi nasional melalui program pertukaran yang dilaksanakan
melalui Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) setakat ini.
7. Pendidikan Seksual – Bagi pendidikan seksual pula, para remaja hendaklah
difahamkan mengenai seksualiti mengikut tahap dan peringkat umur. Beberapa
pendekatan dalam pendidikan ini telah disarankan. Pada usia empat belas tahun ke atas
iaitu ketika remaja sudah bersedia untuk berkahwin perlu diberi pantang larang
mengenai seks. Oleh itu, dalam program pendidikan seks, harus ada proses
pencegahan. Dalam agama Islam, proses mencegah itu termasuklah umatnya diarah
jangan mendekatkan diri dengan zina, merendahkan mata pandangan antara lelaki dan
perempuan, memakai pakaian yang sesuai serta menutup aurat, dan bergaul di antara
lelaki dengan perempuan dalam batas-batas yang dibenarkan. Di sinilah peranan ahli
politik, wakil-wakil rakyat, ahli Parlimen, hakim, pihak keselamatan (polis), dan
orang ramai yang harus mendukung undang-undang, bukan melihat undang-undang
dan membisu seribu bahasa dalam melaksanakan empat langkah di atas selepas remaja
dididik di sekolah mengenai asas pendidikan seks. Antara proses pencegahan yang
perlu dilakukan ialah menghadkan penjualan kondom, memantau menghadkan
bilangan pusat hiburan serta pergaulan bebas, memantau dan mengambil tindakan
tegas ke atas penerbitan dan pengedaran bahan lucah, dan memusnah rangkaian
aktiviti pelacuran.
Kesemua cabang pendidikan ini seharusnya menjadi perhatian semua pihak. Para remaja perlu
dididik mengikut acuan yang betul agar mereka menjadi modal insan yang memberi manfaat
kepada diri sendiri dan juga kepada masyarakat dan negara.