Pandangan Ahli Bahasa Barat Tentang Konsep Dan Bidang Linguistik
-
Upload
nurul-fatekah -
Category
Documents
-
view
236 -
download
1
description
Transcript of Pandangan Ahli Bahasa Barat Tentang Konsep Dan Bidang Linguistik
1.0 Pengenalan
Secara umumnya, linguistik adalah kajian bahasa yang dibuat secara
saintifik, emprikal, dan objektif. Linguistik merupakan nadi untuk mengkaji
sesuatu bahasa. Linguistik membolehkan kita mengenal dan memahami sejarah
bahasa, sifat-sifat bahasa, struktur bahasa, teori dan pelbagai kaedah bahasa,
variasi bahasa dan stilistik sesuatu bahasa. Bidang ilmu ini dipelopori oleh
beberapa tokoh yang mana membawa kepada pendapat dan pemikiran aliran
dalam linguistik yang berbeza. Sebagai contoh, aliran pemikiran Ferdinand de
Saussure dan Edward Sapir. Oleh itu, tugasan ini berfokus pada pendapat ahli
barat ini mengenai konsep dan bidang linguistik. Secara gambaran awal,
Ferdinand de Saussure merupakan tokoh yang telah berkecimpung dalam kajian
linguistik perbandingan. Beliau juga ialah orang yang pertama mengasaskan ilmu
linguistik moden. Ketokohan beliau sebagai ‘Bapa Ilmu Linguistik Moden’ telah
terbukti melalui penemuan-penemuan konsep dan pendekatan baru dalam
bidang pengkajian bahasa secara moden. Manakala Edward Sapir pula
memberi konsep linguistik berdasarkan hubungan bahasa dengan pemikiran dan
dari aspek psikologi.
Tugasan ini juga memperlihatkan definisi stilistik dan ciri-ciri stilistik, di
samping mengaplikasikannya dengan menilai keberkesanan penggunaan stilistik
dalam mana-mana cerpen yang dipilih. Secara umumnya, stilistik adalah
pembelajaran gaya linguistik atau juga boleh difahami sebagai ilmu kebahasaan
yang mempelajari gaya bahasa. Stilistik boleh dibahagikan kepada dua perkara.
Pertama, kajian tentang kelainan bahasa yang mengandungi bentuk gaya
bahasa dan ciri yang keduanya ialah pemakaian bahasa yang termasuk segala
yang tercakup dalam linguistik. Melalui analisis cerpen, dapatan ciri-ciri stilistik
yang diperoleh semasa melaksanakan tugasan diaplikasikan secara tidak
langsung.
1
2.0 Pandangan Ahli Bahasa Barat tentang Konsep dan Bidang Linguistik
Kata linguistik (linguistics-Inggris) berasal dari bahasa Latin“lingua” yang
bererti bahasa. Dalam bahasa Perancis “langage-langue”; Italia “lingua”;
Spanyol “lengua” dan Inggeris “language”. Akhiran “ics” dalam
linguistics berfungsi untuk menunjukkan nama sebuah ilmu, yang bererti ilmu
tentang bahasa, sebagaimana istilah economics, physics dan lain-lain. Kamus
Dewan Edisi Ketiga (1996:814) pula mentakrifkan linguistik sebagai “kajian
tentang bahasa”.Dalam bahasa Melayu pula istilah linguistik merupakan nama
bagi bidang ilmu, dan kata adjektifnya adalah linguistik atau “linguistik”. Linguistik
ialah bidang ilmu mengkaji bahasa secara saintifik dan sebenarnya belajar
bahasa itu sendiri juga sebahagian kecil dari ilmu linguistik. Jadi, dalam ilmu
linguistik bahan kajiannya adalah bahasa. Bidang ilmu linguistik mengkaji banyak
perkara mengenai bahasa, dan mengajar dan belajar bahasa adalah sebahagian
darinya. Menurut Abdullah Hassan (2006) linguistik ialah satu sains bagi
mengkaji bahasa. Bidang linguistik ini memperlihatkan kewujudan aliran
pemikiran dalam linguistik ini sendiri iaitu berdasarkan pemikiran Edward Sapir,
Leonard Bloomfield dan pemikiran Ferdinand de Saussure. Mereka merupakan
tokoh linguistik yang banyak memberi sumbangan kepada perkembangan ilmu
bahasa melalui hasil kajian secara empirikal. Ahli bahasa barat ini telah
memberikan pandangan serta pendapat mereka tentang konsep dan bidang
linguistik itu sendiri.
2.1 Konsep dan Bidang Linguistik dari pandangan Edward Sapir
Edward Sapir merupakan tokoh yang terkemuka dalam linguistik struktur
Amerika pada awal abad ke-20. Beliau adalah orang pertama yang memeriksa
dengan teliti hubungan-hubungan antara kajian bahasa dengan antropologi.
Perkaedahannya mempunyai pengaruh yang kuat kepada semua penggantinya.
Linguistik Sapir tidak terhenti pada struktur bahasa, tetapi juga meliputi kawasan
budaya, sastera, mitologi, dan agama. Beliau mengkaji hubungan bahasa
dengan pemikiran manusia dari aspek psikologi (pemikiran manusia). Beliau
2
berpendapat psikologi mendasari pengkajian bahasa dalam sains. Menurut Sapir
lagi, psikologi dapat memberikan dasar ilmiah yang kuat dalam pengkajian
bahasa. Dari kajian itu beliau berkesimpulan bahawa bahasa, terutama
strukturnya, merupakan unsur yang menentukan struktur pemikiran manusia.
Dari kajian itu beliau berkesimpulan bahawa bahasa, terutama strukturnya,
merupakan unsur yang menentukan struktur pemikiran manusia. Oleh itu,
sesuatu struktur bahasa itu menentukan struktur pemikiran manusia. Manusia
menyampaikan fikiran (idea), perasaan dan hasrat dengan menggunakan suatu
sistem simbol-simbol yang arbitrari.
Edward Sapir menulis bukunya yang pertama iaitu Language (1881). Buku ini
bersifat agak umum dan ternyata berbeza sekali dengan buku language (1933)
yang ditulis oleh Bloomfield. Buku ini lebih mementingkan pendekatan kajian dari
segi antropologi dan melihat bahasa dan fungsinya dari segi masyarakat yang
menggunakannya. Menurut beliau, bahasa ialah sistem manusiawi yang
instingtif, iaitu bersifat arbitrari untuk menyampaikan perasaan dan fikiran.
2.2 Konsep dan Bidang Linguistik dari pandangan Ferdinand de Saussure
Ferdinand Mongin de Saussure atau dengan panggilan nama yang
terkenal Ferdinand de Saussure merupakan salah seorang tokoh linguistik yang
terkenal berbangsa Swiss. Ferdinand de Saussure (1857 – 1913) ialah orang
pertama mengasaskan ilmu linguistik moden. Ketokohan beliau sebagai ‘Bapa
Ilmu Linguistik Moden’ telah terbukti melalui penemuan-penemuan konsep dan
pendekatan baharu dalam bidang bahasa secara moden. Beliau juga merupakan
tokoh gerakan strukturalisme. Ferdinand de Saussure dilahirkan pada 26
November 1857 di Geneva, belajar di Universiti Geneva, Universiti Liepzig, dan
Berlin. Tesis yang ditulis oleh beliau berkaitan dengan ‘The Primitive Vowel
System in Indo-European Languages’- (Sistem vokal asli dalam bahasa-bahasa
Indo-Eropah) dan beliau menerima sijil kedoktoran pada 1880.
3
Selain itu, beliau juga telah berkhidmat sebagai pensyarah di Paris
selama 11 tahun dalam bidang bahasa-bahasa kuno dan moden dan
menyambung perkhidmatan beliau di Universiti Geneva berkaitan dengan
Sanskrit dan Indo-Eropah. Pada tahun 1906, beliau memulakan pengajarannya
yang berkaitan dengan bidang Linguistik Umum.
Pada pemikiran Ferdinand de Saussure, bahasa lisan lebih utama
daripada bahasa tulis. Tulisan hanya merupakan sarana yang mewakili ujaran.
Linguistik bersifat deskriptif, bukan preskriptif seperti tatabahasa tradisional.
Pada pendapat de Saussure, para ahli linguistik bertugas mendeskripsikan
bagaimana orang berbicara dan menulis dalam bahasanya, bukan memberi
keputusan bagaimana seseorang seharusnya berbicara.
Menurut Ferdinand de Saussure juga, bahasa merupakan suatu sistem
tanda yang bersisi dua, terdiri dari significant (penanda) dan signifie (petanda).
Kedua-duanya tidak boleh dipisahkan kerana apabila salah satu berubah, yang
lain juga akan berubah. Dalam sejarah ilmu linguistik moden, beliau merupakan
orang pertama yang mengemukakan dan menekankan peri pentingnya kajian
bahasa dilakukan dari sudut yang berbeza-beza, iaitu secara sinkronis dan
diakronis. Linguistik sinkronis mengkaji bahasa pada suatu masa tertentu.
Linguistik diakronis mengkaji bahasa dari segi sejarah yang dilalui oleh bahasa
serta perubahan-perubanan yang dialami oleh sesuatu bahasa tersebut. De
Saussure merupakan orang pertama yang mengemukakan konsep ‘langue’ dan
‘parole’. Langue bermaksud loghat atau dialek dan parole bermaksud ciri-ciri
bahasa yang dituturkan atau diucapkan oleh individu dalam masyarakat.
De saussure juga mengatakan bahawa bahasa mempunyai bahan dan
bentuk. Bunyi-bunyi yang dituturkan itu adalah bahan bunyi, garis-garis lakar
dikatakan bahan grafik dan lain-lain bagi sesebuah bahasa. Bentuk pula ialah
pola-pola perhubungan yang abstrak ditentukan oleh sesuatu bahasa itu ke atas
bahannya. Menurut beliau lagi, apabila kita mengkaji fonetik atau bunyi Bahasa
Melayu, kita mengkaji bahan bunyi bahasa Melayu dan apabila kita mengkaji
pola-pola pembentukan perkataan daripada bahan bunyi ini, kita mengkaji
4
bentuknya. Begitu jugalah pola-pola ayat tatabahasa adalah bentuk-bentuk
dalam bahasa.
Ketokohan beliau adalah hasil penelitiannya sehingga menerbitkan buku
bertajuk Couse de Linguistique Generale pada tahun 1915. Karya agung beliau
ini adalah hasil daripada usaha pelajar-pelajarnya yang telah mengumpul dan
menyusun semula bahan-bahan kuliah sehingga terhasilnya buku tersebut yang
kemudian diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris pada tahun 1959.
Berdasarkan pandangan kedua-dua tokoh ini, dapat dirumuskan bahawa
konsep linguistik merupakan bidang yang memerlukan kajian yang mendalam
dan yang teliti serta memberi penekanan kepada bidang kajian bahasa secara
khusus dan seterusnya menghubungkan bahasa dengan ilmu disiplin yang lain.
5
3.0 Definisi Stilistik
Stilistik berasal daripada Bahasa Inggeris, iaitu “style” yang bererti gaya dan
daripada bahasa serapan, “linguistic” yang bererti tatabahasa. Menurut Kamus
Bahasa Indonesia, stilistik ialah ilmu kebahasaan yang mempelajari gaya
bahasa. Menurut Bally, Jacobson, Leech, Widdowson, Levin, Ching, Chatman,
Dalan dan lain-lain, mereka menjelaskan stilistik sebagai suatu deskripsi
linguistik daripada bahasa yang digunakan di dalam teks sastera.
Secara umumnya, stilistik ialah kajian gaya yang digunakan untuk
menganalisis karya sastera. Bahasa memang sudah mempunyai apa yang
dinamakan gaya. Ini kerana semua pengucapan yang tidak lurus seperti yang
biasa dipakai oleh masyarakat adalah gaya. Kelainan daripada bahasa yang
lurus dan biasa itu dipakai untuk bercakap atau menulis. Maka, timbullah
berbagai-bagai kelainan dan ia membezakan gaya tertentu antara satu sama
lain. Menurut Nik Hassan Basri Bin Nik Ab. Kadir (2006) stilistik ialah kajian yang
melibatkan kajian bentuk atau bahasa dan kajian isi kesusasteraan, iaitu kajian
mengenai teknik pemakaian bahasa dalam penulisan dan teknik yang mengkaji
segala kemungkinan yang berkaitan dengan gaya bahasa penulisan
kesusasteraan.
Rajah 1 : Maksud Stilistik
Terdapat dua perkara pula yang dimaksudkan dengan kajian bentuk atau
bahasa iaitu kelainan-kelainan bahasa yang mengandungi bentuk-bentuk gaya
bahasa pengulangan, penyirnaan, perbandingan, pertautan, dan pertentangan.
6
Stilistik
Kajian Bentuk
Kajian Isi
Kelainan bahasa dalam konteks ini termasuklah yang bersifat figuratif seperti
penggunaan peribahasa, bahasa kiasan, gaya retorik, sindiran, ungkapan dan
sebagainya. Dan yang kedua ialah pemakaian bahasa termasuk segala yang
tercakup oleh ilmu linguistik umum, iaitu fonologi, morfologi, sintaksis dan
semantik. Manakala yang dimaksudkan pula dengan kajian isi ialah kajian yang
diperkatakan oleh pengarang atau penulis daripada erti dan makna tentang teks.
Isi ini ialah mesej, informasi dan pemikiran manusia atau perihal manusia atau
tentang masyarakat yang dibentuk oleh manusia yang kadangkala tidak terlihat
atau tidak disedari oleh manusia atau masyarakat itu sendiri (Nik Hassan Basri,
2006).
Secara keseluruhannya, dapat difahami bahawa stilistik ini adalah gaya
atau stail seseorang penutur atau penulis bahasa dalam menyampaikan sesuatu
mesej, maklumat, idea atau sebagainya. Ia juga boleh dikatakan sebagai cara
bagaimana kita menulis, dan terdapat faktor-faktor yang mempengaruhi gaya
tersebut. Sebagai contoh, faktor penguasaan perbendaharaan kata, kepekaan
kita terhadap nada-nada yang ada pada bahasa yang kita gunakan dan
penguasaan kita dalam struktur serta keseimbangan ayat-ayat yang kita
hasilkan.
7
3.1 Ciri-ciri Stilistik
Stilistik atau kajian bentuk boleh dibahagikan kepada dua perkara.
Pertama, kajian tentang kelainan bahasa yang mengandungi bentuk gaya
bahasa pengulangan, penyirnaan, perbandingan, pertautan dan pertentangan.
Kelainan bahasa juga termasuk peribahasa, sindiran dan gaya retorik. Ciri yang
keduanya ialah pemakaian bahasa yang termasuk segala yang tercakup dalam
linguistik seperti fonologi, morfologi, sintaksis dan semantik.
Stilistik secara umumnya dibahagikan kepada lima bahagian dan boleh
dipecahkan kepada beberapa bahagian utama iaitu :
(a) Gaya bahasa perbandingan seperti imejan, metafora, personifikasi,
pleonasme dan simile.
(b) Gaya bahasa pertentangan pula seperti hiperbola, inversi dan
paradoks.
(c) Sementara, gaya pengulangan merangkumi aliterasi, anafora,
asonansi, epifora, rima dan sinkof.
(d) Gaya bahasa penyirnaan yang hanya terdapat satu ciri sahaja iaitu
sinkof.
(e) Gaya pertautan kebiasaannya dikelompokkan dalam gaya bahasa
sinekdok, eufemisme, epitet, antonomasia, eponim, metonimia dan
alusi.
3.1.1 Gaya Bahasa Perbandingan
Gaya bahasa perbandingan merupakan satu bentuk atau pun gaya
bahasa yang sering digunakan di dalam penulisan mahu pun pertuturan kita
seharian. Bahasa perbandingan boleh dipecahkan kepada dua, iaitu bahasa
perbandingan yang menunjukkan persamaan dan pertentangan. Secara
ringkasnya, gaya bahasa perbandingan merupakan satu bentuk bahasa yang
digunakan untuk memerihalkan sesuatu perkara atau kejadian tanpa
8
memberitahu secara terus, tetapi ia akan diungkapkan melalui beberapa rangkai
kata atau pun perkataan untuk menyampaikan sesuatu maklumat dan perasaan
serta mesej yang hendak disampaikan. Bahasa perbandingan biasanya
digunakan untuk tujuan kiasan yang mana digunakan untuk menyampaikan
mesej atau sesuatu secara tidak berterus terang dan untuk tujuan menjaga
perasaan terhadap sesuatu yang ingin disampaikan.
Selain itu, bahasa perbandingan juga digunakan untuk menyamakan
sesuatu benda dengan keadaan atau peristiwa yang lain. Sebagai contoh, unsur
metafora digunakan untuk membandingkan sesuatu benda dengan keadaan
atau pun peristiwa yang lain dengan menyatukan sesuatu perkataan yang
maujud dengan keadaan yang abstrak. Dalam sesebuah penulisan prosa
tradisional pula, gaya bahasa ini digunakan untuk menerangkan sesuatu maksud
perkataan secara berkias. Sebagai contoh, di dalam gaya bahasa eufemisme,
perkataan seperti “bunting” boleh digantikan dengan ayat “seseorang yang telah
mengandung”. Gaya bahasa perbandingan juga digunakan untuk tujuan
penggambaran atau pelukisan watak. Contohnya, “bagaikan harimau kehilangan
belangnya”, boleh membawa maksud seseorang yang berkuasa dalam sesuatu
hal, tetapi telah kehilangan kuasa akibat daripada tindakannya yang tidak baik.
Terdapat beberapa contoh bahasa yang menunjukkan perbandingan yang
sering digunakan di dalam sesebuah penulisan karya. Antaranya ialah seperti
berikut:
(a) Simile
Perbandingan secara eksplisit dan dijelaskan. Penggunaan kata “seperti,
ibarat, bak, bagaikan, umpama, laksana, penaka dan serupa.” Contohnya:
(a) Seperti seekor rerama terbang
(b) Ibarat api yang hidup segan mati tak mahu
(c) Bagaikan mahu terkeluar biji matanya
(d) Keruh seperti air deru
(e) Macam melukut di tepi gantang
9
(b) Personifikasi
Personifikasi ialah perlambangan sifat-sifat manusia yang diberikan
kepada benda tidak bernyawa atau sesuatu yang abstrak. Melalui penerapan
unsur personifikasi ini, penyair dapat menyampaikan mesejnya secara tersirat
kepada pembaca tanpa merasai mereka sebenarnya dikritik. Gaya bahasa
personafikasi ialah bahasa kiasan yang menggambarkan benda-benda mati atau
barang-barang yang tidak bernyawa seolah-olah memiliki sifat kemanusiaan.
Contohnya adalah seperti berikut:
(i) Hati ini selalu memberontak
(ii) Guruh dan langit sedang berteriakan
(iii) Subuh telah mengundur diri
(iv) Alunan manja belantara khatulistiwa
(v) Perlahan-lahan dikoyaknya mulut sampul surat itu
(vi) Kabus pagi yang sejuk mengucup mesra
(c) Metafora
Gaya bahasa metafora pula menunjukkan perbandingan secara langsung,
iaitu ia memberi sifat sesuatu objek itu secara perbandingan terus. Terdapat dua
jenis metafora iaitu :
i. Metafora yang tidak memerlukan kata-kata perbandingan seperti
bagaikan, laksana, bak dan bagai. Contohnya:
Abang benar-benar harimau di dalam rumah
Hari ini bapa menjadi singa
ii. Metafora yang menggabungkan unsur konkrit dan abstrak. Contohnya
adalah seperti berikut:
Dahan kerinduan
Dinding hati
Kotak fikiram
Roda kehidupan
10
3.1.2 Gaya Bahasa Pertentangan
Gaya bahasa pertentangan, mengemukakan makna yang bertentangan
dengan makna yang bertentangan. Gaya yang sering digunakan di dalam gaya
bahasa ini hanya tiga sahaja iaitu hiperbola, paradoks dan inversi atau anastof.
Hiperbola ialah pembaziran atau suatu cara yang melebih-lebihkan
semata-mata untuk mencapai kesan tertentu, iaitu suatu gaya bahasa yang
mengandungi kebenaran yang diperbesar-besarkan (Dale et al., 1971: 233).
Dengan kata lain, hiperbola ialah ungkapan yang melebih-lebihkan apa yang
sebenarnya dimaksudkan: jumlahnya, ukurannya dan sifatnya (Moeliono, 1984:
3). Sesuatu perkara yang ingin diberitahu disampaikan secara berlebih-lebihan.
Paradoks pula ialah sejenis gaya bahasa yang pertentangan yang
mengandungi pertentangan yang nyata dengan fakta yang ada, tetapi
kenyataannya mengandungi kebenaran dengan pendapat umum atau realiti. Ini
bermakna paradoks memberi gambaran keadaan yang berlawanan. Manakala
inversi atau anastrof ialah gaya bahasa pertentangan yang memfokuskan
pembalikan kata-kata atau frasa yang berbeza daripada susunannya yang lazim.
Sebagai contoh ayat yang susunnya dimulai dengan predikat dan diikuti oleh
subjek, sama ada ayat aktif songsang atau ayat pasif songsang.
3.1.3 Gaya Bahasa Pengulangan
Gaya bahasa yang mengandungi unsur pengulangan bunyi, suku kata,
kata, frasa atau bahagian ayat yang dianggap penting untuk menghasilkan kesan
dan memberi tekanan di dalam sebuah konteks yang sesuai. Terdapat lima ciri
yang sering digunakan di dalam sukatan pelajaran iaitu aliterasi, anafora,
asonansi dan epifora. Aliterasi ialah pengulangan yang melibatkan bunyi
konsonan yang sama pada awal kata dan yang berurutan, sama ada di dalam
puisi tradisional, moden, prosa tradisional, moden kreatif atau bukan kreatif
terbentuk hasil daripada pengulangan konsonan yang sama. Secara mudahnya,
11
aliterasi didefinisikan sebagai pemakaian kata yang permulaannya sama
bunyinya. Contohnya, pengulangan konsonan “d”, “dara damba daku.”
Anafora pula pengulangan kata pada awal baris untuk ayat-ayat yang
berturut-turutan. Pengulangan ini biasanya dapat dilihat di dalam beberapa
rangkap sajak atau syair. Pengulangan berlaku perkataan pertama pada setiap
baris atau pada setiap ayat, yang biasanya secara berurutan supaya
memperoleh kesan tertentu.
Seterusnya asonansi, asonansi diperlihatkan dengan gambaran
pengulangan vokal pada setiap baris atau ayat yang biasanya berurutan. Di
dalam bahasa Melayu, terdapat enam jenis vokal tetapi bunyi-bunyi itu hanya
diwakili oleh lambang 'a', 'e', 'i', 'o' dan 'u', iaitu sebanyak lima bentuk huruf
sahaja. Contoh gaya bahasa asonansi yang dipetik daripada puisi, iaitu sajak
"Negeri Cinta" oleh Nahmar Jamil, iaitu pengulangan vokal 'a'. Puisinya adalah
seperti berikut “Alam adalah sebahagian daripada kami, alam adalah syurga
bumi, cinta kepadanya adalah cinta jutaan bunga-bungaan, cinta kepadanya
cinta jutaan manusiawi.” Setiap huruf “a” itu menggambarkan asonansi.
Manakala epifora pula ialah pengulangan kata, frasa, beberapa kata pada
akhir baris atau beberapa kala pada akhir ayat yang juga berurutan dan
kebiasaannya terdapat di dalam puisi dan prosa. Sebagai contohnya, “Aku tidak
mahu. Benar-benar tidak mahu”.
Rima akhir ialah keadaan di mana susunan bunyi atau keselarasan huruf
yang menghasilkan bunyi yang sama pada huruf akhir atau kata akhir di dalam
sesuatu rangkap, iaitu yang terdapat dalam puisi seperti syair, gurindam, pantun.
Misalnya aaaa, abab, abcabc, aabb, abba dan selainnya. Contoh rangkap yang
memaparkan rima akhir 'abab' iaitu “berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke
tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.”
12
3.1.4 Gaya Bahasa Penyirnaan
Gaya bahasa penyirnaan atau pelesapan ialah bentuk bahasa yang
mengalami unsur pengguguran bunyi, suku kata, kata, frasa atau bahagian
ayatnya. Unsur yang terdapat dalam gaya bahasa penyirnaan ini antara unsur-
unsurnya ialah sinkof, afesis, akronim, apokop, elipsis dan aferisis.
Afesis ialah penyirnaan yang mana melibatkan pengguguran bunyi atau
kata pada awal ujaran atau huruf awal atau suku kata awal bagi sesuatu
perkataan. Contoh perkataan yang sering digugurkan ialah perkataan “hulu”,
menjadi “ulu”, dan “kamu” menjadi “mu” sahaja.
Akronim pula kata yang mengalami proses penyingkatan. Penyingkatan
ini adalah disebabkan oleh pengguguran huruf atau suku kata di dalam struktur
kata tertentu, sama ada hasil daripada cantuman dua atau lebih perkataan
sehingga akhirnya membentuk satu perkataan yang terdiri daripada satu atau
lebih suku kata.
Apokop pula ialah sejenis gaya bahasa penyirnaan yang mengalami
proses pengguguran huruf akhir, praakhir atau suku kata akhir bagi sesuatu
perkataan, contohnya “anakanda”, menjadi “anak”, sahaja.
3.1.5 Gaya Bahasa Pertautan
Menurut Nik Hassan Basri (2005), gaya bahasa pertautan ialah gaya
bahasa yang menghubungkan sesuatu yang memiliki ciri atau sifat tertentu
dengan yang lain. Antara gaya bahasa yang selalu dikelompokkan di dalam gaya
bahasa ini ialah gaya bahasa sinekdok, eufemisme, epitet, antonomasia,
eponim, metonimia dan alusi. Alusi merupakan pemerian yang membayangkan
atau merujuk sesuatu secara tidak langsung kepada sesuatu cerita. Contohnya,
gambar yang ditunjukkan itu mengembalikankenangan kita kepada peristiwa Mei
1969.
13
Seterusnya, antonomasia pula melibatkan penggunaan jabatan,
kementerian dan gelaran tertentu seperti Dekan dan Guru Besar. Ciri yang
seterusnya ialah epitet yang menjadi keterangan atau frasa yang menggelarkan
atau merupakan suatu huraian yang menjelaskan atau menggantikan nama
sesuatu benda atau gaya bahasa. Contoh perkataan yang sering digunakan bagi
menggambarkan ciri ini ialah “Loceng pagi yang bersahut-sahut pada pagi itu di
rumah saya”. Loceng pagi itu sebenarnya menggambarkan ayam jantan yang
berkokok.
Eponim pula ialah sejenis gaya yang menggunakan nama seseorang
yang memiliki sifat tertentu dipakai di dalam ayat bagi menghubungkan sifat yang
dimilki oleh orang lain. Contoh ayat, “Perangai kamu ini seperti Pak Pandir”.
Metonimia pula digunakan bagi menjelaskan ciri atau nama seperti jenama dan
sebagainya. Ciri yang terakhir di dalam gaya pertautan adalah sinekdok.
Sinekdok membawa maksud perkataan yang disebut itu membawa maksud
sepenuhnya, walaupun perkataan separuh sahaja digunakan. Contohnya,
“Setelah mereka pergi dari rumah, batang hidung pun tidak nampak,”. Batang
hidung itu mewakili keseluruhan tubuhnya (Nik Hassan Basri, 2005).
14
4.0 Keberkesanan Penggunaan Stilistik dalam Cerpen “REPUBLIK P-A-G-E”
Salah satu keberkesanan stilistik di dalam bahasa ialah pendedahan kepada
kepelbagaian gaya bahasa. Gaya ialah manipulasi penggunaan bahasa seperti
yang ingin dinyatakan penulisannya, sehingga menimbulkan kesan tertentu
kepada pembacanya. Gaya bahasa adalah hak penulis, gaya bahasa
dikelompokkan kepada 5 jenis iaitu iaitu gaya bahasa pengulangan, gaya bahasa
penyirnaan, gaya bahasa perbandingan, gaya bahasa pertautan dan gaya
bahasa pertentangan. Aspek gaya bahasa adalah amat penting bagi menjadikan
sesuatu karya lebih menarik dengan penggunaan gaya yang pelbagai.
Cerpen ‘REPUBLIK P-A-G-E” merupakan karya Aidil Khalid yang telah
dipaparkan di ruangan halaman kreatif akhbar Berita Harian bertarikh 18 Mac
2012. Aidil Khalid merupakan seorang penulis novel, sajak, cerpen dan skrip
drama radio. Cerpen ini memaparkan mengenai kelahiran seorang bayi yang
dilahirkan genius, boleh bercakap dalam bahasa Inggeris dan telah menarik
minat ramai orang terhadap isu tersebut. Walaupun isi penceritaan agak
mengarut bagi pandangan saya,kerana di luar pemikiran logik manusia namun
kelainan gaya bahasa yang dibawa oleh penulis membuatkan cerita ini agak
menarik.
Kelima-lima ciri stilistik iaitu jenis gaya bahasa digunakan di dalam penulisan
cerpen ini. Namun antara gaya bahasa yang banyak digunakan dalam cerpen ini
ialah gaya bahasa pengulangan. Gaya bahasa pengulangan ialah gaya bahasa
yang mengandungi unsur-unsur pengulangan bunyi, suku kata, kata, frasa, atau
bahagian ayat yang dianggap penting untuk menghasilkan kesan dan memberi
tekanan di dalam konteks yang sesuai. Ciri yang digunakan iaitu anafora,
asonansi, dan epifora. Anafora ialah pengulangan kata pada awal baris untuk
ayat-ayat yang berturut-turutan. Kebiasaannya, anafora dapat dilihat dalam
beberapa rangkap sajak atau syair.
15
Namun dalam cerpen ini, penulis memperlihatkan ciri-ciri anafora dalam
penulisannya. Sebagai contohnya ;
“Dari segala apa yang dipakai, yang diucapkan, yang ditonton, yang dimakan,
yang dibaca, yang dipelajari, yang dipersembahkan bahkan yang difikirkan...”
“Ia tidak akan kelihatan baik. Ia tidak akan kelihatan cantik.”
“Keajaiban, ya bagaimanakah untuk menerangkan tentang keajaiban?-
kerana andai dapat diterangkan, maka tentulah tidak layak lagi digelar keajaiban,
Ciri-ciri anafora ini diperlihatkan dengan pengulangan kata ‘yang’ pada awal
ayat secara berurutan dan contoh yang kedua pula menunjukkan pengulangan
wujud pada frasa ayat “ia tidak akan kelihatan” dengan tujuan untuk menekankan
frasa tersebut kepada pembaca. Selain ciri anafora ini, ciri asonansi juga wujud
dalam cerpen ini, asonansi, pengulangan vokal pada setiap baris atau ayat yang
juga kebiasaannya juga berurutan.
Bayi genius dilahirkan! Misteri bayi berbicara! Bagai mukjizat Nabi Isa!
Contoh di atas menunjukkan kepada pembaca wujudnya pengulangan vokal ‘i’
pada rangkap tersebut.
Selain itu, pengulangan jenis epifora juga wujud, epifora, pengulangan
kata, frasa, beberapa kata pada akhir baris atau beberapa kala pada akhir ayat
yang juga berurutan. Contoh epifora yang diperlihatkan dalam cerpen ini ialah;
“...pasti akan terjaga kembali oleh deringan telefon, lagi dan lagi dan lagi
tanpa henti...”
Pengulangan ini dikatakan epifora kerana pengulangan kata ‘lagi’ pada
ayat tersebut sebanyak tiga kali. Cerpen ini juga memperlihatkan kewujudan rima
pada bait-bait syair pada penghujung cerpen. Rima juga adalah salah satu
daripada gaya bahasa pengulangan. Rima akhir ialah bunyi yang sama pada
huruf akhir atau kata akhir di dalam sesuatu rangkap. Juga dikatakan sebagai
16
susunan bunyi atau keselarasan huruf pada akhir kata atau suku kata terakhir di
dalam sesuatu baris atau serangkap puisi.
...Hai muda arif budiman
Hasilkan kemudi dengan pedoman
Alat perahumu jua kerjakan
Itulah jalan membetuli insan...
Bait-bait syair di atas menunjukkan pengulangan bunyi yang sama pada
akhir ayat dalam setiap baris di mana contoh rangkap di atas yang memaparkan
rima akhir ‘aaaa’.
Selain daripada gaya bahasa pengulangan, cerpen ini juga
memperlihatkan gaya bahasa pertautan. Namun begitu, gaya bahasa
pengulangan yang diperlihatkan tidaklah sebanyak gaya bahasa pengulangan.
Antara jenis gaya bahasa pertautan adalah gaya bahasa antonomasia dan
eufemisme. Antonomasia adalah pertautan yang melibatkan jabatan,
kementerian dan gelaran tertentu. Contoh antonomasia yang diperlihatkan ialah
perkataan Tuan Tertinggi Republik, yang mana menunjukkan gelaran kepada
orang yang berjawatan tinggi pada republik tersebut.
Seterusnya gaya bahasa penyirnaan juga wujud dalam cerpen ini.
Penyirnaan, bentuk bahasa yang mengalami unsur pengguran bunyi, suku kata,
kata, frasa atau bahagian ayatnya. Antara unsur penyirnaan yang diperlihatkan
ialah akronim dan apokop. Akronim, penyingkatan disebabkan pengguguran
huruf atau suku kata dalam struktur kata tertentu. Di dalam cerpen ini terdapat
satu pembentukan akronim iaitu P-A-G-E yang mana singkatan kepada
Pemikiran, Angan-angan, Gaya Hidup dan English. Dalam cerpen ini juga
terdapat gaya bahasa apokop, iaitu sejenis gaya bahasa penyirnaan yang
mengalami proses pengguguran huruf akhir, praakhir, atau suku kata akhir bagi
sesuatu perkataan. Dalam cerpen ‘Republik P-A-G-E’ apokop dilihat pada satu
perkataan sahaja iaitu “anakanda” yang digugurkan huruf menjadi ‘anak’.
17
Dalam cerpen ini juga terdapat gaya bahasa pertentangan jenis inversi.
Inversi ialah gaya bahasa pertentangan yang menfokuskan pembalikan kata-kata
atau frasa yang berbeza daripada susunannya yang lazim. Sebagai contoh,
lampu kamera bertubi memancar bertalu menembak. Selain itu, terdapat juga
gaya bahasa perbandingan jenis personifikasi di dalam cerpen ini. Personifikasi
ialah perlambangan sifat-sifat manusia yang diberikan kepada benda yang tidak
bernyawa atau sesuatu yang abstrak. Dalam cerpen ini, unsur personifikasi
dapat dilihat pada bait-bait syair,
...Hai muda arif budiman
Hasilkan kemudi dengan pedoman
Alat perahumu jua kerjakan
Itulah jalan membetuli insan...
Pemberian manusia kepada benda bukan hidup atau abstrak dilihat pada
perkataan kemudi, dan alat perahumu. Pada dasarnya ia dimaksudkan dengan
manusia atau anak. Di samping jenis gaya bahasa di atas yang ada, terdapat
juga gaya bahasa yang digunakan dalam bentuk simpulan bahasa. Aspek gaya
bahasa adalah amat penting bagi menjadikan sesuatu karya lebih menarik
dengan penggunaan gaya yang pelbagai. Gaya bahasa yang digunakan oleh
penulis dalam cerpen ini sudah cukup untuk menarik pembaca membaca hasil
penulisan penulis.
18
5.0 Penutup
Kesimpulannya, linguistik secara pokoknya ialah pengkajian sains mengenai
bahasa kerana linguistik memenuhi syarat yang diperlukan seperti pengkajian
sains yang lain. Menurut Abdullah Hassan (1984) linguistik ialah suatu sains
yang mengkaji bahasa. Secara umumnya juga linguistik merupakan satu bidang
yang mengkaji struktur bahasa dari aspek fonologi,morfologi, sintaksis dan
semantik.
Edward Sapir merupakan seorang tokoh yang terkemuka dalam linguistik
struktur Amerika pada awal abad ke-20 berpendapat bahawa linguistik tidak
terhenti pada struktur bahasa, tetapi juga meliputi kawasan budaya, sastera,
mitologi, dan agama. Edward Sapir juga mengkaji hubungan bahasa dengan
pemikiran manusia dari aspek psikologi (pemikiran manusia). Manakala
Ferdinand de Saussure pula telah mengetengahkan linguistik moden dan beliau
merupakan orang pertama yang mengemukakan dan menekankan peri
pentingnya kajian bahasa dilakukan dari sudut yang berbeza-beza, iaitu secara
sinkronis dan diakronis. Linguistik sinkronis mengkaji bahasa pada suatu masa
tertentu. Linguistik diakronis mengkaji bahasa dari segi sejarah yang dilalui oleh
bahasa serta perubahan-perubanan yang dialami oleh sesuatu bahasa tersebut.
Dalam dapatan kajian mengenai linguistik, diketahui bahawa stilistik adalah
juga sebahagian daripadanya. Stilistik ini ialah kajian gaya yang digunakan
untuk menganalisis karya sastera. Secara mudahnya, dapat difahami bahawa
stilistik ini adalah gaya atau stail seseorang penutur atau penulis bahasa dalam
menyampaikan sesuatu mesej, maklumat, idea atau sebagainya. Terdapat
beberapa ciri stilistik yang diketengahkan iaitu gaya bahasa perbandingan,
pertautan, pertentangan, penyirnaan, dan perulangan. Melalui analisis cerpen
untuk melihat sejauh mana keberkesanan penggunaan stilistik ini dalam sesuatu
karya, pengetahuan mengenai ciri-ciri stilistik ini dapat diaplikasikan dalam
konteks perbezaan dan penggunaannya.
19