Pembelajaran sepanjang hayat

6
Pembelajaran Sepanjang Hayat Teras Pembangunan Modal Insan Muhammad Hisyam Bin Mohamad Fellow Institut Kefahaman Islam Malaysia 15/02/2008 - Utusan Malaysia Kemajuan sesuatu bangsa terletak kepada unsur-unsur kecemerlangan yang ada di dalam diri rakyat atau sumber manusianya. Sumber manusia ini bertindak sebagai penggerak kepada pembangunan dengan mengusahakan pelbagai kegiatan kehidupan yang terdapat di dalam sesebuah negara. Kalau kita perhatikan bangsa-bangsa yang maju (dahulu dan sekarang) mahupun syarikat-syarikat yang berjaya, kita akan dapati kejayaan yang diraih oleh bangsa atau syarikat tadi sememangnya berpaksikan kepada sumber manusia yang cemerlang ini. Dan seiring dengan perkembangan semasa, kemasyhuran penggunaan istilah sumber manusia ini mula berkurangan. Sekarang kita lebih selesa dengan istilah modal insan untuk merujuk kepada sumber manusia. Istilah modal insan dilihat lebih mesra kerana sumber manusia tadi dianggap seperti modal (yakni bukan suatu beban atau tanggungan) yang perlu dijaga bagi memastikan kelangsungannya sebagai pemangkin kepada usaha pembangunan. Maka tidak hairanlah dalam pembangunan modal insan, perkara-perkara yang berkaitan dengan pendidikan dan pembelajaran, baik yang bersifat ilmiah, profesional mahupun vokasional diberi perhatian yang serius. Dalam hal ini, faham pembelajaran sepanjang hayat berperanan besar dalam memastikan kemampuan yang ada dalam modal insan digilap agar dapat

Transcript of Pembelajaran sepanjang hayat

Page 1: Pembelajaran sepanjang hayat

Pembelajaran Sepanjang Hayat

Teras Pembangunan Modal Insan

Muhammad Hisyam Bin Mohamad

Fellow

Institut Kefahaman Islam Malaysia

15/02/2008 - Utusan Malaysia

Kemajuan sesuatu bangsa terletak kepada unsur-unsur kecemerlangan yang

ada di dalam diri rakyat atau sumber manusianya. Sumber manusia ini

bertindak sebagai penggerak kepada pembangunan dengan mengusahakan

pelbagai kegiatan kehidupan yang terdapat di dalam sesebuah negara. Kalau

kita perhatikan bangsa-bangsa yang maju (dahulu dan sekarang) mahupun

syarikat-syarikat yang berjaya, kita akan dapati kejayaan yang diraih oleh

bangsa atau syarikat tadi sememangnya berpaksikan kepada sumber manusia

yang cemerlang ini.

Dan seiring dengan perkembangan semasa, kemasyhuran penggunaan istilah

sumber manusia ini mula berkurangan. Sekarang kita lebih selesa dengan

istilah modal insan untuk merujuk kepada sumber manusia. Istilah modal insan

dilihat lebih mesra kerana sumber manusia tadi dianggap seperti modal (yakni

bukan suatu beban atau tanggungan) yang perlu dijaga bagi memastikan

kelangsungannya sebagai pemangkin kepada usaha pembangunan. Maka

tidak hairanlah dalam pembangunan modal insan, perkara-perkara yang

berkaitan dengan pendidikan dan pembelajaran, baik yang bersifat ilmiah,

profesional mahupun vokasional diberi perhatian yang serius.

Dalam hal ini, faham pembelajaran sepanjang hayat berperanan besar dalam

memastikan kemampuan yang ada dalam modal insan digilap agar dapat

Page 2: Pembelajaran sepanjang hayat

menghasilkan satu tahap kecemerlangan yang diinginkan oleh negara atau

syarikat terbabit.

Faham pembelajaran sepanjang hayat adalah satu ilham yang terbit daripada

satu laporan yang disediakan oleh Paul Lengrand yang juga merupakan

pegawai yang bertanggungjawab ke atas Biro Pendidikan Dewasa (Adult

Education Bureau), Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 1965. Di dalam laporan

tersebut beliau menyatakan bahawa pendidikan tidak sepatutnya terhenti pada

usia kanak-kanak atau remaja. Ia perlu mengiringi seseorang itu di sepanjang

hayatnya.

Manakala dalam satu laporan lain yang juga dikeluarkan oleh UNESCO yang

bertajuk "Learning To Be" menyatakan bahawa capaian kepada pendidikan

tidak sepatutnya dihadkan kepada golongan elit atau untuk mereka yang

berada dalam lingkungan umur yang tertentu sahaja. Ia sebaliknya perlu

disebatikan ke dalam keseluruhan anggota masyarakat dan kehidupan setiap

ahlinya.

Apa yang lebih penting ialah faham pembelajaran sepanjang hayat

membolehkan semua orang mendapatkan pengetahuan yang sepatutnya untuk

membolehkannya mengambil bahagian secara cergas sebagai seorang

warganegara yang bertanggungjawab.

Menurut Knassel, Meed and Rossetti (2000), kepentingan pembelajaran

sepanjang hayat ini dapat dikenalpasti menerusi tiga (3) sebab utama yang

dikenali juga sebagai "The Three Es" iaitu employment (pekerjaan),

empowerment (memberi kuasa) dan enjoyment (keseronokan).

Dalam arus persejagatan yang dialami sekarang, kemampuan seseorang

Page 3: Pembelajaran sepanjang hayat

menguasai ilmu pengetahuan dan kemahiran baru merupakan kunci utama

untuk mendapatkan tawaran pekerjaan. Di dalam masyarakat workaholic

seperti bangsa Jepun, kesedaran tentang kepentingan pembelajaran

sepanjang hayat ini mencetuskan satu keadaan yang dikenali sebagai

"employability fever" di mana ahli masyarakatnya bersikap tekad untuk

memiliki kelulusan atau kemahiran tertentu bagi menjamin mereka

memperolehi peluang pekerjaan di dalam bidang yang mereka minati.

Jika di peringkat orang perseorangan, pembelajaran sepanjang hayat ini

merupakan satu kelebihan bagi mendapatkan peluang pekerjaan tetapi di

peringkat syarikat mahupun negara, ia merupakan pemangkin utama untuk

meningkatkan penguasaan pasaran dan mencapai daya saing ekonomi yang

mapan.

Apabila seseorang itu memperolehi pekerjaan yang diingini menerusi

kesungguhannya mempelajari sesuatu yang baru atau sesebuah negara

mencapai daya saing yang tinggi hasil kecemerlangan yang ditunjukkan oleh

rakyatnya, secara tidak langsung mereka mempunyai lebih keupayaan atau

kuasa untuk menentukan hala tuju yang ingin dicapai seterusnya. Inilah juga

yang dirujuk oleh Knassel, Meed and Rossetti tadi sebagai empowerment.

Selain memberi ruang yang lebih dalam bidang pekerjaan mahupun keupayaan

dalam menentukan sesuatu, pembelajaran sepanjang hayat juga merupakan

satu keseronokan (enjoyment) kepada mereka yang cintakan ilmu

pengetahuan dan sesuatu yang baru. Dalam banyak keadaan, belajar kerana

seronok akan memudahkan lagi usaha memahami atau menghayati sesuatu

perkara dan seterusnya akan mendorong seseorang itu untuk mengetahui

Page 4: Pembelajaran sepanjang hayat

dengan lebih lanjut lagi tentang perkara tersebut.

Jika kita ingin mengaitkan konsep pembelajaran sepanjang hayat ini dengan

ajaran agama Islam, ia bukanlah sesuatu yang sukar. Malah wahyu pertama

yang diturunkan kepada nabi Muhammad s.a.w di dalam surah al-‘alaq adalah

berupa satu suruhan supaya baginda membaca walaupun baginda seorang

yang buta huruf (ummiyy) dan sudah berusia 40 tahun pada masa tersebut.

Justeru, intisari wahyu pertama itu juga menjelaskan kepada kita bahawa Allah

s.w.t mewajibkan umat manusia supaya menuntut ilmu pengetahuan. Selain

daripada itu, apa yang dapat dicerap daripada wahyu ini juga ialah batas usia

mahupun kekangan-kekangan yang ada, baik yang berupa halangan

kebendaan, kewangan mahupun fizikal tidak seharusnya dijadikan sebagai

suatu halangan kepada kita untuk menuntut ilmu kerana dalam agama Islam ia

merupakan satu proses yang berterusan dan berpanjangan.

Arahan ini diperkukuhkan lagi oleh sabda nabi s.a.w di dalam satu hadis yang

diriwayatkan oleh Ibn Majah yang bermaksud : "Menuntut ilmu adalah wajib ke

atas tiap-tiap orang Islam."

Tanpa menjurus kepada satu lingkungan umur yang tertentu, kefarduan yang

termaktub di dalam hadis di atas dapat difahami sebagai merangkumi semua

peringkat usia umat Islam, baik yang muda mahupun yang dewasa atau yang

tua, kaya mahupun miskin.

Jika kita kembali kepada sejarah kegemilangan ilmuwan Islam, pemahaman

bahawa ilmu itu wajib dituntut walau dalam keadaan apa jua sekalipun telah

melahirkan tokoh-tokoh terbilang seperti Iman Shafie (lahir sebagai seorang

anak yatim yang miskin), Ibn Taimiyyah (lahir semasa keadaan siasah Islam

Page 5: Pembelajaran sepanjang hayat

berada dalam kacau bilau, al-Jahiz (seorang abdi berkulit hitam) dan lain-lain

lagi.

Dalam konteks negara Malaysia, usaha untuk menyemarakkan faham

pembelajaran sepanjang hayat ini dapat dilihat menerusi iltizam kerajaan yang

dinyatakan di dalam Teras Kedua Misi Nasional yang dimuatkan di dalam

Rancangan Malaysia Ke-9. Walaupun dalam hal ini, kerajaan kita agak terlewat

jika dibandingkan dengan usaha yang dilakukan oleh kerajaan Korea Selatan

mahupun Singapura kerana mereka bermula seawal pertengahan tahun

1990 - an dan awal 2000 lagi, tetapi ia bukanlah satu alasan untuk kita tercicir

daripada arus kemajuan dalam bidang keilmuan ini.

Pernyataan Teras Kedua itu antara lain menegaskan bahawa kejayaan negara

bergantung kepada mutu modal insan yang dimiliki. Sehubungan dengan itu,

kerajaan Malaysia telah membuat iltizam untuk melaksanakan usaha

penambahbaikan sistem pendidikan negara secara menyeluruh, dari peringkat

pra sekolah hinggalah ke peringkat tinggi dan juga vokasional.

Tidak seperti Knassel, Meed and Rossetti yang hanya menggariskan unsur

peluang pekerjaan, keupayaan dan keseronokan sebagai dorongan utama

kepada seseorang itu untuk belajar, matlamat pembangunan modal insan

kerajaan Malaysia adalah lebih syumul dan bersifat lebih bersepadu (holistic).

Ia berhasrat untuk melahirkan modal insan yang tinggi daya akal fikirannya

tetapi pada masa yang sama mempunyai keperibadian yang unggul.

Apapun, kita sememangnya mengimpikan apa yang direncanakan kerajaan

menjadi suatu kenyataan. Apalah guna menjadi satu bangsa yang maju jika

kepentingan akhlak dan budi pekerti dikesampingkan. Sebaliknya kita mahu

Page 6: Pembelajaran sepanjang hayat

menjadi satu ummah yang seimbang dan cemerlang dalam semua perkara.

Ini adalah bertepatan dengan satu hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad dan

al-Hakim di mana Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

Kemuliaan manusia adalah agamanya, harga dirinya (kehormatannya) adalah

akalnya dan ketinggian kedudukannya adalah akhlaknya