pengajian melayu
Transcript of pengajian melayu
1.0 PENGENALAN MORFOLOGI
Morfologi mengkaji struktur gramatikal perkataan, iaitu kemungkinan adanya
perubahan kata, golongan kata dan makna kata akibat perubahan bentuk kata.
Dengan kata lain, morfologi mengkaji selok-belok bentuk kata dan fungsi gramatikal
atau makna yang di akibatkan oleh perubahan bentuk kata itu. Sebagai contoh,
dalam bahasa Melayu perkataan ‘sakit’ dapat menerbitkan pelbagai perkataan lain
seperti ‘pesakit’, ‘kesakitan’, ‘penyakit’, ‘disakiti’, ‘sakit-sakit’, dan ‘menyakitkan’.
Setiap perkataan tersebut mempunyai makna yang berbeza akibat penggabungan
morfem. Perbezaan itu juga wujud apabila terdapat perubahan pada bentuk kata
akar atau kata dasar. Contoh ini menunjukkan bahawa bidang yang dikaji dalam
morfologi ialah morfem dan kata.
1.1 DEFINISI MORFOLOGI
Morfologi ialah bidang ilmu bahasa yang mengkaji struktur, bentuk dan
golongan kata. Struktur kata bermaksud susunan bunyi ujaran atau lambang yang
menjadi unit tatabahasa yang bermakna. Bentuk kata pula ialah rupa unit tatabahasa
sama ada bentuk tunggal atau hasil daripada proses pengimbuhan, pemajmukan
dan penggandaan. Penggolongan kata pula ialah proses menjeniskan perkataan
berdasarkan keserupaan bentuk dan latar fungsi dengan anggota lain dalam
golongan yang sama.
Menurut Kamarudin Hj.Husin dan rakan –rakannya dalam buku Pengajian
Melayu 1, Ilmu Bahasa dan Kecekapan Berbahasa,1997 : 83, morfologi ialah
disiplin ilmu bahasa yang mengkaji struktur, bentuk dan penggolongan kata.Bentuk
kata ini merujuk bentuk bunyi atau ujaran sesuatu kata itu.
Manakala Abdullah Hassan juga menyatakan definisi morfologi dalam buku
Linguistik Am,2007 : 117 , morfologi ialah bidang linguistik yang mengkaji
bagaimana perkataan dibina.Kajian ini dilakukan terhadap unsur-unsur yang
membentuk perkataan, proses-proses membentuk perkataan dan bentuk – bentuk
perkataan ialah morfem dan kata.
Nik Safiah Karim dan rakan – rakannya dalam buku Tatabahasa Dewan
Edisi Baharu , 2004 :43 berpendapat morfologi ialah bidang ilmu bahasa yang
mengkaji struktur , bentuk dan penggolongan kata.Dengan struktur kata
dimaksudkan susunan bentuk bunyi ujaran atau lambang yang turut menjadi unit
bahasa yang bermakna.
Sehubungan itu, Siti Hajar Hj.Husin Abdul Aziz, dalam bukunya Tatabahasa
Bahasa Melayu ( Perkataan ), 1996 : 17 telah menyatakan teori morfologi iaitu
morfologi satu cabang daripada ilmu linguistik yang mengkaji soal – soal yang
berkaitan dengan kemungkinan adanya perubahan kata, golongan kata, dan makna
kata akibat daripada perubahan bentuk kata.Morfologi mengkaji selok –belok bentuk
kata dan fungsi gramatik atau semantik perubahan kata itu.Beliau juga telah
merumuskan bahawa morfologi adalah bidang mengkaji bagaimana morfem –
morfem itu bergabung untuk membentuk ayat.
Menurut Raminah Hj.Sabran dan Rahim Syam dalam buku Kajian Bahasa
Untuk Pelatih Maktab Perguruan ,1985 :152, bidang morfologi merupakan bidang
dalam kajian bahasa yang mengkaji tentang perkataan dan cara–cara
pembentukkannya.
O`Grady & Guzman juga menyatakan pendapat pada tahun 2000 :121 dalam
buku yang disediakan oleh Radiah Yusoff dan rakan – rakannya,2004:36 iaitu
morfologi adalah merujuk kepada kajian tentang pembentukan kata dan struktur
kata.
Manakala ahli bahasa juga iaitu Leonard Bloomfield dalam bukunya
Language yang telah diterjemahkan oleh Alias Mahpol, Kamaruzaman
Mahayiddin dan Noor Ein Mohd.Noor,menyatakan bahawa “Morfologi adalah
konstruksi yang mengandungi bentuk – bentuk terikat antara konsituen –
konsituennya.”“Morfologi meliputi konstruksi kata – kata dan bahagian kata”.
Justeru itu, morfologi bahasa Melayu ialah bidang yang mengkaji struktur,
bentuk dan golongan kata dalam bahasa Melayu.
1.2 UNSUR BAHASA MELAYU
Secara umumnya, setiap struktur terbina daripada unsur-unsur yang lebih
kecil. Konsep ini samalah seperti konsep morfologi. Ada dua unsur bahasa yang
terlibat dalam membina perkataan dalam bahasa Melayu, iaitu morfem dan kata.
1.2.1 MORFEM
Morfem ialah unit bahasa yang terkecil mempunyai makna atau fungsi
tatabahasa. Sebagai penutur asli bahasa Melayu, kita dapat mengenali unsur-unsur
bahasa seperti ber-, ter-, ke-, me-, -nya, -kah, -lah, -pun, -an. Kita mengetahui
bahawa unsur-unsur ini tidak boleh dikecilkan lagi. Kita juga mengetahui bahawa
unsur-unsur ini tidak mempunyai makna. Sebaliknya setiap unsur ini mempunyai
fungsi tatabahasa apabila digunakan, seperti dalam perkataan bertanya, menafikan,
menekankan, dan sebagainya. Ternyatalah bahawa unsur-unsur ber-,me-, dan men-,
masing-masing mempunyai fungsi tatabahasa. Sesuatu perkataan itu mungkin terdiri
daripada satu, dua, tiga, atau lebih morfem. Misalnya, perkataan jatuh merupakan
satu morfem, tetapi perkataan ‘terjatuh’ dan ‘menjatuhkan’ terdiri daripada dua dan
tiga morfem, iaitu ‘ter-jatuh’ dan ‘men-jatuh-kan’. Kesimpulannya perkataan boleh
terdiri daripada beberapa morfem.
Morfem boleh dibahagi kepada dua, iaitu morfem bebas dan morfem terikat.
Morfem bebas Morfem terikat / Imbuhan
Dapat berdiri sendiri, misalnya:
minum, cuti, sekolah, periksa
Bentuk imbuhan, misalnya:
Mem- , Per- , kan- , ber-
Mempunyai maksud sendiri
Tidak mempunyai makna tetapi
mempunyai fungsi tatabahasa atau nahu.
Boleh mengubah makna sesuatu kata
dan seterusnya makna ayat.
1.2.2 KATA
Kata ialah unit bahasa yang terkecil yang mengandungi makna lengkap dan
dapat berdiri sendiri dalam ayat. Sebagai penutur asli bahasa Melayu, kita juga
mengetahui makna unsur-unsur ini. Kita juga boleh merujuki kamus bagi mengetahui
makna tersebut. Inilah yang dikatakan unsur terkecil yang mempunyai makna. Oleh
sebab itu setiap unsur ini juga adalah morfem. Sebagai unsur morfologi, kata juga
adalah unsur bahasa yang digunakan bagi membentukan perkataan lain.
1.3 PROSES PEMBENTUKAN KATA
Proses pembentukan kata menerangkan bagaimana sesuatu kata itu dibina
dan dibentuk sehingga dapat menghasilkan ayat dan ujaran dalam sesuatu bahasa.
Ada perkataan yang berbentuk tunggal, misalnya perkataan satu, baik, sekolah, dan
panjat. Terdapat perkataan yang terbentuk hasil daripada proses pengimbuhan,
misalnya perkataan berkawan, terjunan dan disarankan. Ada juga perkataan yang
terbentuk hasil daripada hasil daripada pemajmukan dan penggandaan, misalnya
buku tulis, gambar rajah, kertas kerja, bahan-bahan, bukit-bukau, dan bantu-
membantu.
Bahasa Melayu merupakan salah satu bahasa di dunia yang bersifat
aglutinatif, iaitu jenis bahasa yang kebanyakan perkataannya terbentuk melalui
proses pengimbuhan, iaitu penggabungan morfem kata dasar dengan morfem
imbuhan. Proses pembentukan yang bersifat derivatif ini dapat menerbitkan banyak
perkataan, iaitu melalui percantuman kata dasar dengan pelbagai imbuhan yang
tedapat dalam bahasa Melayu. Sebagai contoh, perkataan ‘serap’ apabila
mengalami proses pembentukan kata dapat menerbitkan pelbagai perkataan baharu,
iaitu ‘menyerap’, ‘menyerapkan’, ‘menyerapi’, ‘diserap’, ‘penyerap’, ‘penyerapan’,
‘terserap’, ‘serapan’, ‘terserapkan’, ‘daya serap’, dan sebagainya.
Kaedah pembentukan kata seperti yang terdapat dalam bahasa Melayu ini
tidak sama dengan pembentukan perkataan dalam bahasa yang bersifat fleksi
seperti bahasa Arab. Cara membentuk dan mewujudkan perkataan dalam bahasa
tersebut adalah melalui kejadian perubahan fonem atau bunyi kata dasar bahasa itu
sendiri, iaitu berdasarkan golongan kata atau kasusnya.
Secara umumnya, perkataan-perkataan dalam bahasa Melayu wujud melalui
dua sumber, iaitu melalui asal usul bahasa Melayu itu sendiri. Bahasa Melayu
berasal daripada rumpun bahasa Austronesia dan melalui sumber yang diwarisi itu,
sejumlah perkataan yang terdapat dalam bahasa Melayu telah diwujudkan sehingga
hari ini. Kedua, perkataan yang dibentuk kemudian daripada itu melalui proses-
proses tertentu, antaranya seperti yang berikut:
a) Akronim
Pembentukan kata melalui proses akronim adalah dengan cara
memendekkan atau meringkaskan perkataan yang kebanyakannya
terdiri daripada kata nama supaya mudah ditulis dan dilafazkan sebagai
satu kata yang wajar. Proses ini banyak berlaku dalam bahasa Melayu
pada hari ini. Contohnya :
JAIS – Jabatan Agama Islam Selangor
IPBA – Institut Perguruan Bahasa-Bahasa Antarabangsa
IPG – Institut Pendidikan Guru
UPSI – Universiti Pendidikan Sultan Idris
b) Analogi
Pembentukan kata melalui proses ini adalah dengan mengiaskan kata
baharu dengan bentuk kata yang telah sedia ada yang telah digunakan
sejak dahulu. Misalnya, perkataan tatabahasa memang telah sedia ada
dan melalui proses analogi, diciptakan pula bentuk-bentuk seperti
tatatertib, tatacara, dan tatahias. Contoh perkataan lain yang dibentuk
melalui proses ini adalah seperti yang berikut :
Prasangka – prasarana, prasekolah, prauniversiti
Jurunikah – juruwang, juruaudit, juruacara, juruhebah
Lelabah – gegelang, jejari, rerambut.
c) Peleburan fonem
Pembentukan kata melalui proses ini adalah dengan cara
menggabungkan perkataan agar menjadi satu kata dengan meleburkan
atau menggugurkan fonem-fonem tertentu. Misalnya perkataan ‘benda
+ alir’ menjadi ‘bendalir’, terbentuk setelah satu fonem vokal /a/
digugurkan.
d) Peluasan makna
Pembentukan perkataan dengan cara ini adalah dengan mengambil
kata-kata yang telah sedia ada dan kemudiannya diperluaskan
maknanya dalam hal-hal lain. Misalnya, perkataan ‘family’ dalam
bahasa Inggeris bermakna ‘keluarga’, tetapi perkataan ini telah
diperluaskan maknanya menjadi ‘famili’ yang bukan sahaja merujuk
kepada manusia, malahan kepada haiwan juga.
e) Pemberian makna khusus
Dalam proses ini sesuatu perkataan atau istilah itu dibentuk dengan
cara mengambil kata-kata yang telah sedia ada lalu diberi makna
khusus atau menjadi istilah. Misalnya, perkataan ‘surih’ pada asalnya
bermaksud ‘ bekas atau kesan yang dilalui oleh sesuatu seperti jalan
yang dilalui oleh siput di atas daun pisang’. Melalui pemberian makna
khusus, surih juga membawa maksud ‘meniru’ atau melukis peta’.
f) Peminjaman kata
Pembentukan kata melalui proses ini sangat luas digunakan dalam
bahasa Melayu dan bahasa- bahasa yang lain. Bahasa Melayu banyak
meminjam perkataan daripada bahasa Inggeris dan bahasa Arab
sehingga perkataan tersebut menjadi sebati dengan penutur bahasa
Melayu itu sendiri. Proses ini berlaku dalam sesuatu bahasa
disebabkan dalam bahasa tersebut tidak terdapat perkataan atau istilah
sedemikian. Contoh peminjaman kata daripada bahasa lain :
Element – elemen
Magistrate – majistret
Diplomat – diplomat
g) Pernambahan
Pembentukan kata melalui proses ini adalah dengan memberikan
penambahan kepada kata akar satu suku kata dengan perkataan lain
yang terdiri daripada satu suku kata juga. Bentuk kata jenis ini telah
sebati dalam masyarakat penutur bahasa Melayu. Contohnya, kata
akar satu suku kata bu merujuk kapada benda-benda yang berbentuk
bulat kemudian ditambah pula satu suku kata yang lain untuk
menunjukkan benda-benda tertentu yang berbentuk bulat seperti
contoh yang berikut:
Bu + kit = bukit
Bu + lat = bulat
Bu + luh = buluh
h) Penciptaan
Pembentukan kata melalui proses penciptaan bermaksud kata-kata
baharu dicipta atau dihasilkan tanpa disandarkan kepada
perbendaharaan kata yang sedih ada. Dalam proses ini, perkataan
dicipta berdasarkan makna yang ditimbulkan oleh masyarakat atau
yang dikiaskan kepada sesuatu benda. Misalnya, perkataan kiwi
merujuk kepada nama sejenis burung di New Zealand. Daripada makna
tersebut, dicipta pula perkataan mengiwi yang bermaksud ‘perbuatan
menggilap dan mengilatkan kasutmenggunakan bahan khas’.
i) Penggemblengan
Perkataan yang dibentuk melalui proses penggemblengan adalah
dengan cara menggabungkan dua patah perkataan atau lebih, di
samping menggugurkan bahagian yang lain daripada perkataan
tersebut. Misalnya, penggemblengan perkataan kumpulan gitar
rancak menjadi kugiran. Pembentukan kata melalui proses ini masih
dilakukan hingga hari ini, seperti contoh yang berikut :
Bernama – Berita Nasional Malaysia
Proton – Perusahaan Otomobil Nasional
j) Penyempitan makna
Pembentukan kata jenis ini dilakukan dengan cara mengambil kata
yang telah sedia ada dan kemudian disempitkan maknanya untuk
merujuk kepada sesuatu yang telah umum. Misalnya, perkataan tuan
puteri mempunyai makna yang khusus, iaitu ‘panggilan bagi wanita
bangsawan atau wanita berketurunan raja’. Sebaliknya, pada hari ini
terdapat perkataan tuan sahaja yang merujuk kepada orang lelaki yang
patut dihormati. Malahan, jika panggilan ini digunakan dalam urusan
surat-menyurat rasmi, ia boleh merujuk kepada panggilan hormat bagi
lelaki dan perempuan.
k) Penyingkatan
Melalui proses penyingkatan ini, perkataan- perkataan tertentu
dipendekkan apabila ditulis dan sering pula dianggap sebagai satu
perkataan sahaja seperti contoh yang berikut :
Tv – televisyen
Dr. – Doktor
Prof. – Profesor
Perkataan-perkataan dalam bahasa Melayu ada yang berbentuk tunggal,
terbitan, majmuk, dan gandaan. Setiap bentuk tersebut mempunyai cara
pengejaannya yang tersendiri serta membawa makna yang khusus sebagai rujukan.
Sebagai contoh, bentuk perkataan gelung, golong, dan gulung tidak boleh
disalahgunakan dalam struktur ayat kerana perkataan itu sudah jelas memberikan
makna yang berbeza. Perkataan gelung merujuk kepada benda-benda yang
berlingkar, lengkung atau ikal seperti tali, rotan dan rambut. Perkataan golong
bermaksud mengasingkan ke dalam kumpulan tertentu. Gulung pula membawa
maksud benda yang berlembar-lembar atau berutas-utas yang dilipat begitu rupa
hingga berbentuk bulat atau bulat panjang. Dalam struktur ayat, kesemua perkataan
ini tidak boleh ditukar ganti kehadirannya dalam ayat kerana setiap bentuk perkataan
itu berbeza dari segi makna.
Demikian juga bentuk-bentuk kata terbitan, kata majmuk dan kata ganda tidak
boleh ditukar ganti penggunaannya dalam sesuatu struktur ayat. Sebagai contoh,
kata majmuk salah guna tidak boleh bertukar fungsi dengan kata terbitan
penyalahgunaan dalam satu struktur ayat yang sama seperti contoh yang berikut :
Mereka diingatkan agar jangan salah guna bantuan tersebut.
Penjenayah itu ditahan kerana kes penyalahgunaan dadah.
Jika perkataan salah guna dan penyalahgunaan ditukar ganti kedudukannya dalam
ayat-ayat di atas, akan rosaklah makna ayat tersebut. Hal ini kerana kedua-dua
perkataan tersebut membawa makna yang tertentu.
1.4 BENTUK KATA
Mengikut buku Tatabahasa Dewan, terdapat empat bentuk kata dalam bahasa
Melayu, iaitu kata tunggal, kata terbitan, kata majmuk, dan kata ganda.
1.4.1 KATA TUNGGAL
Kata tunggal merupakan perkataan yang tidak menerima sebarang imbuhan
atau tidak mengalami proses pembentukan kata seperti pengimbuhan, pemajmukan
atau penggandaan. Dalam bahasa Melayu, kata tunggal boleh mengandungi hanya
satu suku kata atau mengandungi lebih daripada satu suku kata. Terdapatnya kata
tunggal yang tidak pernah menerima sebarang imbuhan seperti itu, ini, sini, dan sana
tetapi kebanyakan kata tunggal berpotensi menerima imbuhan untuk membentuk
kata terbitan.
KATA TUNGGAL
KATA TUNGGAL DUA SUKU KATA
KATA TUNGGAL SATU SUKU KATA
KATA TUNGGAL TIGA SUKU KATA
KATA TUNGGAL EMPAT SUKU
KATA
KATA TUNGGAL LIMA SUKU KATA
KATA TUNGGAL ENAM SUKU KATA
1.4.1.1 KATA TUNGGAL SATU SUKU KATA
Kata tunggal satu suku kata dalam bahasa Melayu amat terhad bilangannya
dan antaranya merupakan kata pinjaman daripada bahasa asing. Ada juga yang
merupakan kependekan daripada perkataan yang terdiri daripada dua suku kata atau
lebih seperti engkau menjadi kau dan aku menjadi ku. Kata sedemikian sebenarnya
tidak dianggap sebagai kata tunggal satu suku kata. Contoh kata tunggal satu suku
kata adalah seperti berikut :
Suku kata Contoh perkataan
KV Ya Yu Ru
VK Am
KVK Tin Lap Bah
KKVK Draf Krim Stor
KVKK Zink Bank Golf
KKKV Skru
KKKVK Straw skrip
1.4.1.2 KATA TUNGGAL DUA SUKU KATA
Kata tunggal dua suku kata banyak terdapat dalam bahasa Melayu. Antara
pola kata tunggal dua suku kata adalah seperti yang berikut :
Suku kata Contoh perkataan
V + KV Ibu Ini Apa Cik
V + VK Aur Ais Aib Air
V + KVK Ubat Acah Alat Ikan
VK + KV Inti Undi Asli Erti
VK + KVK Anjung Uncang Akrab Undang
KV + V Dua Tua Gua Sua
KV + VK Biar Liat Buat Mual
KV + KV Laga Bapa Saya Lupa
KV + KVK Pulut Surut Larut Cawan
KVK + KV Tangki Pintu Tunggu Bantu
KVK + KVK Tunggal Lantai Santai Jemput
1.4.1.3 KATA TUNGGAL TIGA SUKU KATA
Sebahagian besar daripada perkataan dalam bahasa Melayu yang terdiri
daripada kata tunggal tiga suku kata merupakan kata-kata pinjaman. Kata tunggal
jenis ini kecil bilangannya, tetapi mempunyai pola susunan konsonan dan vokal yang
pelbagai seperti contoh yang berikut :
Suku kata Contoh perkataan
KV + V + KV Buaya Niaga Biasa
KV + V + KVK Ziarah Siasat Kiamat
V + KV + V Urea Idea Usia
KV + KV + V Deria Mulia Setia
KVK + KV + V Rahsia Rumbia Dahlia
KV + KV + VK Haluan Sekian Rasuah
KVK + KV +VK Manfaat Lengkuas Sengkuang
V + KV + KV Azali Udara Agama
V + KV + KVK Ibarat Akibat Amaran
VK + KV + KV Indera Almari Istana
KV + KV + KV Seteru Budaya Delima
KVK + KV + KV Bestari Misteri Bendera
VK + KV + VK Ikhtiar Ilmiah Akliah
V + KV + VK Akaun Elaun Amaun
KV + KV + KVK Riwayat Hikayat Teratak
KVK + KV + KVK Mahkamah Martabat Sembilan
KV + KVK + KV Keranda Belanja Selamba
KV + KVK + KVK Kelompok Gelombang Belimbing
KVK + KVK + KV Sempurna
1.4.1.4 KATA TUNGGAL EMPAT SUKU KATA DAN LEBIH
Kata tunggal yang terdiri daripadaempat suku kata atau lebih juga amat kecil
bilangannya. Sebahagian daripada kata-kata ini adalah daripada kata pinjaman
seperti contoh yang berkut :
Suku kata Contoh perkataan
KV + KV + VK + KV Keluarga Biduanda
KV + KVK + KV + KV Sejahtera Sementara
KVK + KV + KV + KV Bendahara Laksamana
KVK + KV + V + KV Sentiasa
KV + KV +KV + KV Selesema Samudera
KV + KV +KV + KVK Muzakarah Hulubalang
KVK + KV +KV +KVK Sentimeter
KVK + KVK + KV + KV Singgahsana
KV + KV + V + KVK Nasional Mesyuarat
V + KV + KVK + KV + KV Universiti
KVK + KV + KV + KV + KVK Kosmopolitan
KV + KV + KV +KV + KV +KV Maharajalela
1.4.2 KATA TERBITAN
Kata terbitan ialah hasil daripada penggabungan kata dasar dengan imbuhan-
imbuhan awalan, akhiran, apitan dan sisipan. Kata dasar bagi kata terbitan ini pula
boleh terdiri daripada jenis kata tunggal, kata terbitan, kata majmuk dan kata ganda.
1.4.3 KATA MAJMUK
KATA TERBITAN
AKHIRAN SISIPANAWALAN APITAN
Kata yang terbentuk dengan merangkaikan dua kata dasar atau lebih dan
membawa makna tertentu. Kata majmuk bertindak satu unit dan dieja terpisah.
Contoh kata majmuk : air hujan, jalan raya, garis pusat, pita suara, kaki bangku, pilih
kasih.
Kata majmuk juga hampir menyerupai frasa, tetapi sebenarnya kata ini
berbeza daripada frasa kerana tidak dapat disisipkan sebarang unsur antara unit-
unitnya. Sebagai contoh, ‘daya tahan’, ‘ campur aduk’ dan ‘tandatangan’, tidak boleh
disisipkan oleh unsur lain di tengahnya kerana akan membawa pengertian yang lain
pula.
Dalam penulisan, kata majmuk bertindak sebagai satu unit, tetapi dieja
terpisah melainkan bagi bentuk-bentuk yang telah mantap. Dari segi penggunaannya
dalam ayat pula, kata majmuk tidak dapat berfungsi sebagai kata kerja. Jika kata
majmuk digunakan sebagai kata kerja, kata tersebut hendaklah diubah menjadi kata
terbitan, iaitu dengan menggabungkannya dengan imbuhan kata kerja tertentu
seperti contoh yang berikut:
Tolak ansur Bertolak ansur
Titik berat Dititikberatkan
Kuat kuasa menguatkuasakan
1.4.3.1 Bentuk Kata Majmuk
Terdapat tiga bentuk kata majmuk dalam bahasa Melayu dan
penjelasan serta contoh-contohnya adalah seperti yang berikut:
A. Kata majmuk rangkai kata bebas
Alat tulis Jalan raya
Jam tangan Timbalan pengarah
Terima kasih Penolong pengarah
B. Kata majmuk istilah khusus
Keratan rentas Tabung uji
Garis lurus Jangka lukis
Garis pusat Telefon dail terus
C. Kata majmuk simpulan bahasa atau kiasan
Cepat tangan Senyum simpul
Makan hati Duit kopi
Buah hati Batu api
1.4.3.2 Kekecualian Bentuk Kata Majmuk
Terdapat kekecualian bentuk pada sebilangan kata majmuk , iaitu kata
ini dieja sebagai satu perkataan walaupun sebenarnya terdiri daripada dua
kata dasar. Bentuk ini dianggap sudah mantap dan disenaraikan seperti yang
berikut:
Apabila Padahal Pesuruhjaya
Apahal Antarabangsa Olahraga
Apakala Beritahu Sukarela
Bagaimana Bumiputera Tandatangan
Barangkali Dukacita Tanggungjawab
Darihal Jawatankuasa Setiausaha
Daripada Kakitangan Sukacita
Manakala Kerjasama Suruhjaya
Manalagi Matahari warganegara
1.4.3.3 Penggandaan Kata Majmuk
Apabila kata majmuk digandakan, hanya melibatkan unsur pertama
sahaja. Walau bagaimanapun, bagi kata majmuk yang terdiri daripada
simpulan bahasa dan bentuk yang telah mantap, penggandaan melibatkan
seluruh unsurnya seperti contoh yang berikut:
Jam-jam tangan Pesuruhjaya-pesuruhjaya
Jalan-jalan raya Warganegara-warganegara
Timbalan-timbalan Pengarah Buah hati-buah hati
1.3.4 KATA GANDA
Kata yang terhasil melalui proses mengulang kata dasar. Pengulangan kata
dasar boleh melibatkan seluruh kata dasar yang disebut penggandaan penuh, atau
sebahagian kata dasar yang disebut penggandaan separa. Kata dasar juga boleh
digandakan secara berentak. Contoh kata ganda : tiba-tiba, pelajar-pelajar, lelaki,
jejari, lauk- pauk. Semua golongan kata yang terdiri daripada kata nama, kata kerja,
kata adjektif dan kata tugas dapat membentuk kata ganda, tetapi pada umumnya
bentuk kata ganda banyak melibatkan golongan kata nama.
1.3.4.1 Jenis Kata Ganda
Dalam bahasa Melayu, terdapat tiga jenis proses pembentukan kata
ganda dan dijelaskan seperti yang berikut:
Jenis kata ganda
Penggandaan penuh
Penggandaan separa
Penggandaan berentak
Menggandaan keseluruhan kata dasar, sama ada kata dasar itu berimbuhan atau tidak.Contoh:
Cantik-cantik
Penderma-penderma
Jalan-jalan Bangunan-bangunan
Proses menggandakan sebahagian kata dasar sahaja.
Contoh:
Sesiku LelangitJejari kekuda
Jika pada kata terbitan, hanya kata dasar utama sahaja yang digandakan tanpa melibatkan imbuhannya.
Contoh:- tinjau-meninjau
Proses menggandakan kata dasar mengikut rentak bunyi tertentu dalam kata dasar itu.
digandakan dan bunyi-bunyi tertentu diulang atau diubah seperti yang berikut:
1.4.5 KATA NAMA
Kata nama ialah perkataan yang dapat menerbitkan frasa nama. Kata nama menjadi
unsur inti dalam binaan frasa nama, manakala perkataan lain yang hadir dalam
binaan frasa nama itu hanya sebagai penentu atau penerang.
Contoh:
FRASA NAMA
Penentu Kata nama Penerang
Semua Pelajar Kursus perguruan
Sebilangan Guru Sekolah rendah
Dalam frasa di atas, perkataan ‘pelajar’ dan ‘guru’ merupakan unsur inti yang
membina frasa nama itu. Perkataan ‘semua’ dan ‘sebilangan’ pula ialah penentu, dan
‘kursus perguruan’ dan ‘sekolah rendah’ menjadi penerang kepad kata nama
tersebut. Kedudukan frasa nama dalam binaan sintaksis boleh berfungsi sebagai
subjek atau predikat ayat. Dalam bahasa Melayu, terdapat tiga golongan kata nama,
iaitu,kata nama am, kata nama khas, dan kata ganti nama.
KATA NAMAKata Nama Am
Kata Nama Khas
Kata Ganti Khas
1.4.6 KATA KERJA
Kata kerja ialah perkataan yang menjadi unsur inti dalam binaan frasa kerja,
manakala unsur lain yang hadir dalam binaan frasa kerja boleh terdiri daripada objek,
pelengkap, kata bantu dan keterangan. Contoh:
Bil Frasa kata kerja
1. Dia menonton filem seram.
2. Bayi itu tidur dalam buaian.
3. Jambatan itu dibina oleh kontraktor.
Dalam frasa di atas ‘menonton’, ‘tidur’ dan ‘dibina’ ialah unsur intinya, iaitu
unsur yang wajib ada dalam binaan ayat tersebut. Dalam bahasa Melayu, terdapat
dua golongan kata kerja, iaitu kata kerja tak transitif dan kata kerja transitif.
1.4.6.1 Kata Kerja Tak Transitif
Kata kerja tak transitif tidak menggunakan sebarang objek atau penyambut
selepas kata kerja tersebut. Kata kerja ini terbahagi kepada dua, iaitu:
a) Kata kerja tak transitif tanpa pelengkap
Kata kerja jenis ini boleh berdiri sendiri sebagai prediket atau
sebagai unsur inti dalam frasa kerja. Kata kerja ini boleh juga diikuti
oleh unsur keterangan ( frasa yang bergaris ) yang berfungsi untuk
memberikan maklumat tambahan. Contoh:
Guru besar sekolah itu akan
bersara.
Guru besar sekolah itu akan
bersara pada bulan hadapan.
Kanak-kanak itu suka
menangis.
Kanak-kanak itu suka
menangis pada malam hari.
b) Kata kerja tak transitif berpelengkap
Kata kerja jenis ini memerlukan pelengkap yang berupa sama ada
kata nama, kata adjektif atau frasa sendi nama bagi melengkapkan
frasa tersebut. Contoh:
Rumah baharunya berlantaikan jubin
import.
Pelengkap kata nama
Kesihatan bapanya beransur baik. Pelengkap kata adjektif
Mereka akan melawat ke Melaka. Pelengkap frasa sendi
1.4.6.2 Kata Kerja Transitif
Kata kerja transitif ialah kata kerja yang berhubung langsung dengan unsur
objek atau penyambut ( frasa yang bergaris ) dalam predikat frasa kerja.
Kata kerja ini dinamakan kata kerja transitif aktif. Contoh:
Hobinya membaca buku cerita.
Murid-murid membersihkan kawasan sekolah mereka.
Kata kerja transitif pasif pula ialah kata kerja yang terhasil daripada proses
perubahan ayat aktif kepada ayat pasif. Contoh:
Buku cerita dibacanya sebagai hobi.
Kawasan sekolah mereka dibersihkan oleh murid-murid itu.
1.4.7 KATA ADJEKTIF
Kata adjektif ialah perkataan yang menjadi unsur inti dalam binaan frasa
adjektif. Kata adjektif tersebut boleh disertai oleh kata penguat sebagai unsur
keterangan ( frasa yang bergaris) dalam binaan tersebut. Contoh:
Pemikirannya masih mentah lagi.
Jalan raya itu sangat sibuk.
Suara biduanita itu merdu sekali.
1.4.7.1 Jenis Kata Adjektif
Golongan kata adjektif sukar ditentukan secara tetap, tetapi berdasarkan
aspek maknanya, kata ini dapat dibahagikan kepada sembilan jenis, iaitu:
Jenis Kata Adjektif Contoh Perkataan
a) Adjektif sifat
Menerangkan sifat atau keadaan
Lemah, pintar, cergas, kuat,
keras, bijak, nakal, sihat, jahat
b) Adjektif perasaan
Memberikan pengertian atau konsep
perasaan
Malu, geram, marah, rindu,
takut, kasih, sayang
c) Adjektif cara
Memberikan pengertian keadaan kelakuan
atau ragam
Cepat, cermat, laju, lambat,
gopoh, perlahan, pantas, ligat
d) Adjektif ukuran
Memberikan pengertian ukuran
Tinggi, rendah, kecil, pendek,
kurus, nipis, tebal, gemuk
e) Adjektif bentuk
Memberikan pengertian rupa bentuk
Bundar, bujur, lonjong, buncit,
bengkok, lurus, leper, bulat
f) Adjektif waktu
Memberikan pengertian konsep masa
Silam, lampau, sering, dahulu,
lewat, awal, baharu, kerap
g) Adjektif warna Putih, merah, coklat, kuning
Memberikan pengertian warna
h) Adjektif jarak
Memberikan pengertian konsep ruang
antara dua benda atau keadaan
Dekat, jauh, hampir
i) Adjektif pancaindera
Memberikan pengertian konsep sentuh,
dengar, pandang, bau dan rasa.
Lazat, payau kelat ( rasa)
Licin, kesat, halus ( sentuh )
Garau, merdu, serak ( dengar )
Segak, comel,buruk ( pandang )
Tengik,harum,busuk ( bau )
1.4.7.2 Kata Adjektif Perbandingan
Kata adjektif dalam bahasa Melayu dapat digunakan dalam bentuk
perbandingan. Pangkat perbandingan tersebut terbahagi kepada tiga, iaitu:
a) Pangkat biasa
Sebahagian besar kata adjektif digunakan dalam bentuk bandingan biasa
ini seperti contoh yang berikut:
Tempat tinggalnya jauh dari sini.
Lukisan cantik itu dihasilkan oleh pelukis terkenal.
b) Pangkat bandingan
Kata adjektif yang digunakan dalam bentuk bandingan melalui dua cara,
iaitu:
1) Bandingan sama dengan menggunakan awalan ‘se-‘ atau
perkataan ‘sama’. Contoh:
Pakaiannya tidak sebersih pakaian saya.
Masakan ibu sama sedap dengan masakan nenek.
2) Bandingan yang menunjukkan perbezaan dengan
menggunakan perkataan lebih atau kurang. Contoh:
Bunga mawar lebih harum daripada bunga kemboja.
Wajah Nisa hari ini kurang ceria berbanding semalam.
c) Pangkat penghabisan
Kata adjektif yang digunakan bagi menunjukkan pangkat penghabisan
melalui cara-cara yang berikut:
a) Gandaan kata adjektif dengan kata nama
Contoh: sekeras-keras batu, sebaik-baik manusia,
sejernih-jernih air.
b) Perkataan yang dengan kata adjektif berawalan ter-
Contoh : yang terpantas, yang tertinggi, yang
terkemuka, yang terhebat.
c) Perkataan paling dengan kata adjektif
Contoh : paling pahit, paling jauh, paling dalam
d) Kata adjektif dengan perkataan sekali
Contoh: lembut sekali, manis sekali, baik sekali, besar
sekali.
1.4.8 KATA TUGAS
Kata tugas golongan kata yang berbeza daripada kata nama, kata kerja dan
kata adjektif kerana kata ini tidak berfungsi sebagai unsur inti dalam binaan frasa.
Semua perkataan yang bukan kata nama, kata kerja dan kata adjektif digolongkan
sebagai kata tugas, iaitu perkataan yang hadir dalam binaan frasa atau klausa untuk
mendukung sesuatu sintaksis.
1.4.8.1 Jenis Kata Tugas
Kata tugas terdiri daripada tiga jenis utama seperti yang berikut:
a) Kata Penyambung Ayat
Kata penyambung ayat ialah kata hubung yang terbahagi kepada:
Kata hubung gabungan ( kata hubung setara )
- Kata hubung gabungan ialah sejumlah perkataan yang digunakan
untuk menghasilkan ayat majmuk gabungan, iaitu perkataan yang
menghubungkan dua atau lebih klausa yang sama tara seperti lalu,
dan, serta, tetapi , atau dan sambil. Contoh:
Kami akan pulang ke kampung pada hari ini atau
esok.
Kakak memandu kereta sambil mendengar radio.
Kata hubung pancangan ( kata hubung tak setara )
Kata hubung pancangan ialah sejumlah perkataan yang digunakan bagi
menghubungkan klausa yang tidak setara pada klausa utama dalam ayat
majmuk pancangan. Kata hubung ini terbahagi kepada tiga, iaitu:
i. Kata hubung pancangan relatif – terdiri daripada perkataan ‘yang’,
iaitu kata yang berfungsi untuk menghubungkan klausa utama
dengan satu klausa kecil. Contoh:
Kakak memujuk adik yang sedang menangis itu.
Mereka suka menikmati pemandangan yang cantik.
ii. Kata hubung pancangan komplemen – terdiri daripada perkataan
‘bahawa’ dan ‘untuk’, iaitu perkataan yang berfungsi untuk
menghubungkan klausa pelengkap kepada satu klausa utama.
Contoh:
Kami percaya bahawa dia tidak bersalah.
Fairuz datang untuk menziarahi kawan baiknya.
iii. Kata hubung pancangan keterangan – terdiri daripada perkataan
yang menghubungkan klausa utama dengan klausa yang menjadi
keterangan. Contoh: ‘semoga’, ‘ketika’, ‘sekiranya’, ‘sungguhpun’,
‘tatkala’, ‘ agar’, ‘ kalau’, ‘setelah’, ‘ walaupun’, ‘meskipun’, ‘kerana’,
dan ‘supaya’. Contoh :
Saya berdoa semoga para pelajar saya berjaya.
Dia dirawat di hospital kerana kemalangan jalan raya.
b) Kata praklausa
Kata praklausa ilah perkataan yang berada di bahagian hadapan klausa
dan bertugas untuk menimbulkan seruan, pertanyaan atau penerangan
pangkal klausa. Berdasarkan tugas tersebut, kata ini dapat dibahagikan
kepada jenis yang berikut:
i. Kata seru
– perkataan yang digunakan untuk melahirkan berbagai-bagai
perasaan. Kata ini menggunakan penanda seru pada akhir ayat.
Contoh kata seru :
Oh Wah Aduh Nah
Eh Amboi Syabas cis
ii. Kata tanya
– Perkataan yang digunakan untuk menanyakan sesuatu
perkara atau seseorang. Kata tanya ialah sebahagian daripada
predikat ayat dan jika diletakkan pada pangkal ayat, kata ini
hendaklah disertai oleh partikel “-kah”. Contoh kata tanya:
iii. Kata pembenar
– Perkataan yang digunakan untuk membenarkan sesuatu
pertanyaan. Contoh kata pembenar:
Benar Betul Ya
iv. Kata perintah
– perkataan yang digunakan untuk menyampaikan arahan,
larangan, suruhan, atau permintaan. Contoh kata perintah :
Jemput Sila Harap
Jangan Tolong Minta
v. Kata pangkal ayat – perkataan yang digunakan sebagai
penanda kesinambungan ayat dalam wacana dan
kedudukannya adalah pada bahagian hadapan ayat. Kata ini
banyak terdapat dalam teks klasik. Contoh:
Apa Bagaimana Bila
Siapa Mengapa Berapa
Adapun Sebermula Syahadan
Alkisah Maka hatta
c) Kata prafrasa
Kata prafarasa ialah perkataan yang terletak di bahagian hadapan frasa
seperti frasa nama, frasa kerja, dan frasa adjektif. Kata ini dapat di
bahagikan kepada beberapa jenis yang berikut:
a) Kata bantu
– perkataan yang digunakan bagi menimbulkan makna-makna
tambahan dalam frasa kerja. Kata ini terbahagi kepada dua, iaitu:
Kata bantu aspek – bertugas untuk menimbulkan suasana
perbezaan masa, sama ada masa ini, masa akan datang atau
masa lampau. Contoh : pernah, sudah, telah, belum, sedang,
masih dan akan.
Kata bantu ragam – bertugas unuk menyatakan atau
menerangkan ragam perasaan berkaitan perbuatan yang
dilakukan. Contoh: harus, mahu, hendak, mesti, boleh, dan
dapat.
b) Kata penguat
– perkataan yang digunakan bagi menguatkan maksud yang
terkandung dalam kata adjektif. Kata ini terbahagi kepada tiga jenis
dengan berdasarkan kedudukannya, iaitu:
Kata penguat hadapan – kedudukannya adalah di hadapan
kata adjektif. Contoh: paling, terlalu, dan agak.
Kata penguat belakang – kedudukannya adalah di belakang
kata adjektif. Contoh : sekali, benar, dan nian.
Kata penguat bebas – kedudukannya sama ada di hadapan
atau di beakang kata adjektif. Contoh: sungguh, amat dan
sangat.
c) Kata penegas
– di kenali sebagai partikel, iaitu perkataan yang digunakan bagi
memberikan penekanan pada bahagian tertentu dalam ayat. Kata ini
terbahagi kepada dua jenis, iaitu:
Kata yang menegaskan frasa predikat, iaitu apabila frasa
predikat atau bahagian yang ditegaskan itu mengalami
proses pendepanan. Contoh; -kah, -tah, - lah.
Kata yang bersifat bebas, iaitu perkatan yang boleh
digunakan untuk menegaskan kedua-dua bahagian ayat,
sama ada subjek atau predikat. Contoh: hanya, lagi,
memang, juga, pun, dan jua.
d) Kata nafi
– perkataan yang digunakan bgi menafikan atau menidakkan
seseorang atau sesuatu perkara. Contoh: bukan atau tidak.
e) Kata pemeri
– perkataan yang digunakan untuk memerikan sesuatu hal atau
sebagai perangkai antara subjek ayat dengan frasa utama dalam
predikat ayat. Contoh:ialah ( digunkan secara persamaan atau
ekuatif dan hadir di hadapan frasa nama) dan adalah ( digunakan
secara huraian atau kualitatif dan hadir di hadapan frasa adjektif dan
frasa sendi nama).
f) Kata arah
– perkataan yang digunakan bagi menunjukkan hala atau jurusan
sesuatu perkara. Kata ini digunakan sebelum frasa nama dan
lazimnya disertai oleh kata sendi nama. Contoh: atas, bawah, tepi,
tengah, hadapan, belakang, selatan, sisi, dalam, luar, dan antara.
g) Kata bilangan
– perkataan yang digunakan bagi menunjukkan jumlah atau
bilangan sesuatu perkara, orang atau benda. Kata ini terbahagi
kepada lima, iaitu:
Bilangan tentu – contoh:dua, tiga, sepuluh, lima, ratus
Bilangan tak tentu – contoh: beberapa, seluruh, sekalian,
semua
Bilangan himpunan – contoh: bertin-tin, berhari-hari, kedua-
dua
Bilangan pisahan – contoh:masing-masing, tiap-tiap, setiap
Bilangan pecahan – contoh:separuh, setengah, sepertiga,
dua per tiga.
h) Kata sendi nama
– perkataan yang biasanya terdapat pada bahagian hadapan frasa
nama. Setiap kata sendi nama mempunyai tugas serta fungsi yang
tersendiri dan haruslah digunakan dengan betul. Terdapat
sebilangan kata sendi nama yang juga menjadi golongan kata yang
lain seperti antara ( juga sebagai kata arah), sampai ( juga sebagai
kata kerja), dalam ( juga sebagai kata adjektif) dan akan (juga
sebagai kata bantu). Contoh lain ialah : di, ke, pada, kepada,
daripada, dari, untuk,dengan, oleh, tentang, terhadap, demi, sejak,
seperti, bagai, umpama, laksana, hingga dan sampai.
1.4.9 AKRONIM
Akronim merupakan kependekan yang terbentuk daripada gabungan huruf pertama
atau suku kata beberapa perkataan yang boleh diujarkan sebagai satu perkataan.
Akronim tergolongan dalam jenis kata tunggal, iaitu perkataan yang diterbitkan hasil
daripada penggabungan dan penyingkatan beberapa perkataan. Bentuk singkatan ini
dapat terdiri daripada suku kata atau huruf-huruf.
1.4.9.1 Pembentukan Akronim
Proses pembentukan akronim tidak mempunyai prinsip yang jelas. Cara
pembentukannya lebih merupakan proses penggabungan dan pembentukan kata
nama bagi melahirkan bentuk baharu yang lebih ringkas. Lazimnya, pembentukan
akronim digunakan untuk kata nama khas dan proses pembentukan agak longgar.
Oleh itu, proses pembentukan perkataan dengan cara ini bukanlah satu kaedah
pembentukan perkataan baharu atau istilah yang tepat.
1.4.9.2 Jenis Akronim
Dalam buku Tatabahasa Dewan, dinyatakan bahawa akronim dapat dibahagikan
kepada sekurang-kurangnya empat jenis, iaitu dengan berdasarkan cara
percantuman bahagian perkataan bagi membentuk akronim itu.
a) Kata akronim cantuman huruf awal perkataan
– kata akronim yang dibentuk melalui percantuman huruf awal beberapa
perkataan kebanyakannya terdiri daripada nama-nama khas tertentu.
Contohnya:
KPM – kementerian pelajaran malaysia
BPR – badan pencegah rasuah
BTP – bahagian teknologi pendidikan
b) Kata akronim cantuman huruf dan suku kata perkataan sesedap sebutan
– kata akronim jenis ini terhasil daripada cantuman huruf dan suku kata
sejumlah perkataan berdasarkan sebutan yang sedap tanpa urutan tertentu.
Contoh:
Perhilitan – perlindungan hidupan liar dan taman negara
Proton – perusahaan otomobil nasional
c) Kata nama akronim cantuman suku kata awal perkataan.
– kata akronim jenis ini dibentuk melalui percantuman suku kata awal
sejumlah perkataan. Contoh:
Tadika – taman didikan kanak-kanak
Pawagam – panggung wayang gambar
Kugiran – kumpulan gitar rancak
d) Kata nama akronim cantuman bahagian awal perkataan pertama dengan
bahagian lain dalam perkataan yang mengikutinya.
– kata akronim jenis ini dibentuk melalui huruf atau suku kata perkataan
dengan bahagian bukan awal perkataan yang lain. Contoh:
Jentolak – jentera tolak
Debunga – debu bunga
Purata – pukul rata
Halaju – hala laju.
1.4.10 KESIMPULAN
Bab ini telah menghuraikan berbagai-bagai aspek penting berkaitan morfologi
bahasa Melayu. Morfologi merupakan aspek penting dalam tatabahasa dan
tatabahasa pula ialah perkara asas bagi sesuatu bahasa. Morfologi ini memfokuskan
kajian terhadap perkataan dalam bahasa Melayu yang telah menunjukkan
perubahan dan perkembangan yang pesat, terutama dalam bidang kosa kata dan
yang melibatkan perubahan bentuk-bentuk kata. Bab ini turut menerangkan struktur
binaan kata tunggal yang terdiri daripada beberapa susunan suku kata. Suku kata ini
pula dibina daripada gabungan huruf konsonan dan vokal. Selain itu, dijelaskan juga
peraturan penggabungan morfem bagi menghasilkan kata terbitan, peraturan
penulisan kata majmuk, bentuk-bentuk kata ganda dalam bahasa Melayu dan
kaedah bagi menerbitkan kata akronim. Dari segi golongan kata pula, dihuraikan tiga
jenis golongan kata utama bahasa Melayu, iaitu kata nama, kata kerja dan kata
adjektif, manakala perkataan-perkataan yang tidak tergolong dalam tiga kategori ini
dinamakan kata tugas, iaitu perkataan yang mendukung fungsi atau tugas tertentu
dalam binaan ayat.