Pengaruh Hikayat Sastera Islam

download Pengaruh Hikayat Sastera Islam

of 17

description

kesusasteraan

Transcript of Pengaruh Hikayat Sastera Islam

ISI KANDUNGANBILPERKARAMUKASURAT

1.0Pendahuluan2

2.0Definisi Kesusasteraan5

3.0Perkembangan Pengaruh Islam5

3.1Akidah Dan Kepercayaan5

3.2Bahasa Dan Kesusasteraan7

3.3Adat Dan Cara Hidup10

3.4Gaya Penulisan12

4.0Kesimpulan13

Rujukan16

PEMIKIRAN DAN SUMBANGAN SASTERA HIKAYAT DALAM PERKEMBANGAN ISLAM

1.0PENDAHULUAN

Kedatangan Islam ke Kepulauan Melayu telah memberikan sumbangan yang amat besar terhadap perkembangan intelektualisme orang-orang Melayu (Harun Mat Piah, 2000). Islam telah memperkenalkan berbagai-bagai disiplin keilmuan kepada orang Melayu seperti teologi, falsafah, mistisisme, logik, perundangan dan sebagainya. Kedatangan Islam bukan sahaja membawa unsur agama tetapi juga membawa suatu peradaban yang memberikan perubahan yang baru dalam segala hal. Perubahan ini juga melibatkan hasil-hasil karya sastera pada zaman pra-Islam (Yahaya Ismail, 1967). Kesusasteraan Melayu terutamanya epik Ramayana dan Mahabharata mempunyai pengaruh kesusasteraan yang kuat di Kepulauan Melayu. Kebanyakan hasil karya sastera dari India yang berkembang ke Kepulauan Melayu ditulis di dalam bahasa Jawa Kuno (Hashim Awang, 1985).

Apabila Agama Islam bertapak di alam Melayu pada abad ke-13 tidak bererti bahawa agama atau kebudayaan Hindu hilang sama sekali dalam kalangan masyarakat Melayu. Agama Islam tidak disebarkan melalui peperangan secara kekerasan sebaliknya melalui peranan bahasa dan sastera. Zaman peralihan yang dimaksudkan tidak hanya terbatas di bidang agama sahaja tetapi juga di bidang lain yang tercakup dalam tamadun Melayu. Mohd Yusof Md. Nor (1987) menyatakan pengertian zaman peralihan adalah zaman peradaban Hindu ke Islam iaitu zaman kebudayaan Hindu yang meninggalkan pengaruhnya dan semakin lemah, manakala pengaruh kebudayaan Islam semakin berkembang. Liaw Yock Fang (1982) menyatakan penentuan karya yang memasuki zaman peralihan Hindu-Islam sangat sukar. Ini kerana sastera Melayu lama tidak mempunyai tarikh dan nama pengarang yang khusus. Hasil sastera Melayu zaman peralihan dianggap tertua hasil daripada zaman Hindu iaitu Hikayat Sri Rama berasal dari tahun 1633. Sastera zaman peralihan merupakan peralihan pengaruh Hindu-Islam dalam karya-karya sastera. Perubahan paradigma masyarakat yang melihat unsur atau pemikiran Hindu dalam karya-karya sastera diubahsuai mengikut cita rasa dan nilai-nilai Islam (Zalila Sharif & Jamilah Hj Ahmad, 1993). Unsur-unsur Hindu yang bertentangan dengan akidah Islam dimurnikan agar roh keislaman dapat dijelmakan dalam karya sastera zaman peralihan.

Menurut Abdul Wahab Ali (1988), hingga saat ini, terdapat dua faktor luar yang mempengaruhi penghasilan karya dalam bahasa Melayu, iaitu pengaruh animisme yang terlihat di dalam mitos dan legenda. Satu lagi ialah pengaruh Arab-Parsi. Harus diingat bahawa orang-orang Melayu memeluk Islam ketika mereka berpegang kepada kepercayaan animisme. Golongan bangsawan pada masa itu menganuti agama Hindu. Sebagai golongan yang tertinggi di dalam hierarki sosial ia dikelilingi oleh pendeta-pendeta yang pandai dalam tulisan Nagari dan Pallava. Karya-karya berunsur Hindu yang ditulis oleh oleh para pendeta pada ketika itu terperap di istana. Rakyat jelata yang diletakkan di dalam kasta rendah menurut tradisi Hindu (sebenarnya tidak pun menghayati ajaran agama tersebut) tidak boleh merapati istana. Setelah Islam bertapak dan konsep persamaan hak dipraktikkan, seluruh bangsa Melayu mengetahui kewujudan karya-karya Hindu itu (Abdul Wahab Ali, 1988).

Pada hakikatnya, kesusasteraan hikayat dapat berkembang pesat kerana adanya kecenderungan dan usaha-usaha pengembangan agama Islam menggunakan sastera sebagai alat penyebarannya. Kegiatan-kegiatan seumpama itu telah mendorong sasterawan Islam menghasilkan roman-roman Islam untuk menggantikan epik-epik Hindu, iaitu Mahabharata dan Ramayana (Munir Ali, 1989). Oleh hal demikian, selain cerita Nabi-nabi dan legenda Islam, terdapat juga cerita tokoh-tokoh sebelum, semasa dan selepas Nabi Muhammad s.a.w. Antaranya ialah Hikayat Firaun, Hikayat Tamim Al-Dari, dan Hikayat Sultan Ibrahim bin Adham. Pada masa itu juga transliterasi dan transkripsi dibuat untuk membolehkan orang ramai membaca karya-karya Hindu seperti Hikayat Syahi Mardan dan Hikayat Berma Syahdan (Mohd Yusof Md. Nor, 1987). Namun, apabila mendapati karya-karya itu tidak selari dengan tuntutan Islam, maka penyesuaian pun dibuat agar sejajar dengan ajaran Islam (Abdul Rashid & Amat Juhari, 2006). Nama-nama dewa Hindu seperti Visynu diganti dengan nama-nama Nabi dan malaikat. Dewata Mulia Raya ditukar menjadi Allah atau Tuhan yang Maha Esa. Kemudian watak-watak Hindu pula disesuaikan dengan watak bernama Islam hingga hasilnya bercampur aduk antara nama-nama Hindu dan Islam.

Di samping semua itu, menurut Abdul Rashid (2006) lagi, nama-nama hikayat seumpama itu turut ditukar atau ditambah dengan nama Islam. Contoh-contohnya ialah Hikayat Si Miskin asalnya Hikayat Marakarma dan Hikayat Ahmad Muhammad asalnya Hikayat Serangga Bayu. Kumpulan karya seperti itu disebut Kesusasteraan Zaman Peralihan atau Kesusasteraan Transisi atau Kesusasteraan Hindu-Islam. Liaw Yock Fang (1982) mengemukakan 13 hikayat yang digolongkan sebagai karya zaman peralihan iaitu Hikayat Puspa Wiraja, Hikayat Parang Puting, Hikayat Langlang Buana, Hikayat Si Miskin, Hikayat Indra Bangsawan, Hikayat Barma Syahdan, Hikayat Indraputera, Hikayat Syah Kobad, Hikayat Syahi Mardan, Hikayat Jaya Lengkara, Hikayat Ahmad Muhammad, Hikayat Koraisy Mengindra dan Hikayat Nakhoda Muda.

Ringkasnya, hikayat Melayu lama merupakan sejenis karya sastera yang berasal daripada sastera Hindu dengan wajah baru yang mengandungi unsur-unsur Islam. Karya jenis ini dihasilkan pada zaman bermulanya pengaruh Islam di alam Melayu yang pada masa itu pengaruh Hindu masih menebal. Pada peringkat awal perkembangannya adalah melalui lisan dan kemudiannya disalin dan dibukukan mengikut peredaran zaman. Kemudian dari situlah berlaku beberapa perbezaan dan perubahan antara satu karya kepada karya yang lain. Kemudiannya karya-karya bercorak Hindu diubahsuaikan mengikut prinsip dan pemikiran Islam (Munir Ali, 1989). Kedatangan Islam telah menyebabkan berlaku proses Islamisasi di Alam Melayu dengan kesan-kesannya sebagaimana yang dilihat dalam sejarah. Antaranya, berlaku perubahan akidah Melayu kepada kehidupan kerohanian. Namun, masih ada unsur-unsur budaya Hindu-Buddha dan animisme yang masih diamalkan. Proses Islamisasi dalam masyarakat Melayu telah merubah pelbagai aspek kehidupan seperti rohani, intelektual dan kemasyarakatan. Sehingga kini Islam yang dibawa oleh pendagang-pendagang pada zaman pemerintahan Melaka masih subur di bumi Tanah Melayu yang kini dikenali sebagai sebuah negara Islam iaitu Malaysia. Sesungguhnya kita harus bersyukur berada dalam sebuah negara yang kini aman dan bebas melakukan aktiviti agama Islam. 2.0DEFINISI KESUSASTERAAN

Istilah Sastera ialah kata pinjaman bahasa Sanskrit iaitu Susastra yang membawa maksud yang luas yang meliputi semua hasil penciptaan yang diungkapkan secara lisan mahu pun dizahirkan melalui penulisan. Kata dasar su bererti indah, manakala sastra membawa maksud huruf atau tulisan yang mengandungi pengajaran, arahan atau petunjuk cara bagaimana sesuatu itu harus dilakukan. Menurut Ismail Hussein et al, (1997) sastera atau kesusasteraan membawa maksud keindahan bahasa. Manakala Rahman Shaari memberi maksud sastera di dalam bukunya (2001) sebagai karya seni bahasa. Secara umumnya dapatlah disimpulkan bahawa sastera atau kesusasteraan adalah merujuk kepada penghasilan segala karya yang menggunakan bahasa yang indah, halus dan menarik serta dapat mempengaruhi perasaan seseorang yang mendengar atau membacanya.3.0PERKEMBANGAN PENGARUH ISLAM

Kedatangan Islam telah memberi kesan yang besar terhadap masyarakat Melayu. Kesan ini juga jelas dilihat di dalam sastera hikayat yang turut mempengaruhi kehidupan seharian masyarakat Melayu. Kehidupan masyarakat Melayu banyak didasari adat dan ajaran Agama Islam.

3.1Akidah Dan Kepercayaan

Kesan utama yang dibawa oleh Islam ialah terhadap akidah dan kepercayaan. Sebahagian daripada masyarakat Melayu telah meninggalkan ajaran agama Hindu-Buddha dan kepercayaan animisme. Mereka percaya kepada konsep ketuhanan, hormat-menghormati antara manusia dan menitikberatkan soal persamaan taraf. Cara kehidupan mereka juga telah berubah kepada cara hidup beragama dengan mengamal dan menghayati ajaran Islam dalam kehidupan mereka.

Kepercayaan dan agama merupakan dua aspek sosial yang agak sukar untuk dipisahkan kerana sebahagian besar daripada kepercayaan termasuk dalam agama. Kepercayaan masyarakat Melayu pada peringkat permulaan adalah berbentuk animisme. Dalam kepercayaan ini mereka menganggap benda-benda mempunyai semangat dan kuasa ghaib. Sehubungan dengan itu, wujudlah pemujaan atau penyembahan kepada batu-batu, pokok-pokok, sungai-sungai dan fenomena alam yang lain. Kuasa ghaib itu disifatkan sebagai hantu, jembalang atau jin yang menjadi penunggu objek tersebut (Haron Daud, 1989). Islam mengubah pandangan masyarakat Melayu daripada mempercayai roh, semangat dan dewa-dewa kepada mempercayai Tuhan Yang Maha Esa, percaya adanya nabi-nabi, rasul-rasul, malaikat dan kitab-kitab. Keimanan mereka diikuti dengan amal ibadat seperti sembahyang, puasa, mengeluarkan zakat dan menunaikan rukun haji. Masyarakat Melayu juga merayakan hari-hari kebesaran Islam seperti mengadakan sambutan Maal Hijrah, sambutan Maulidur Rasul dan Nuzul al-Quran.

Perubahan yang paling utama ialah daripada sudut kepercayaan yang mana masyarakat Melayu telah diperkenalkan dan diyakinkan dengan keyakinan yang berteraskan tauhid. Fahaman tauhid telah mengubah pandangan orang Melayu daripada zaman Hindu-Buddha dengan metodologinya, penyembahan rajanya, ciri tertentu dan masyarakatnya, alam khayalannya, penyembahan berhalanya, kepada ajaran tauhid yang murni (Muhammad Uthman, 1977). Kedatangan Islam ke Alam Melayu telah membawa banyak perubahan sebagaimana yang disebut oleh Syed Naquib Al-Attas sebagai mencetuskan suatu zaman baru. Perubahan yang dibawa merupakan perubahan menyeluruh berteraskan asas tauhid. Impak tauhid ini menyebabkan berlakunya perubahan terhadap 'rupa dan jiwa' Alam Melayu ini. Ledakan tauhid ini telah meninggalkan zaman kehidupan Hinduisme dan Buddhisme yang tiba pada abad ke-4 dan ke-5M, di mana perintah-perintah dan ajaran Islam itu diterima melalui jenis-jenis aktiviti pendidikan yang formal (Azhar Hj. Md Aros, 2003).Agama Islam di Melaka dihayati oleh masyarakat ketika itu sejak agama ini diterima oleh Raja Mahkota Iskandar Shah. Masyarakat Melaka telah reIa menerima agama Islam yang telah dianuti oleh raja mereka. Dengan penerimaan ini, mereka berusaha pula untuk mengamalkan serta menghayati ajaran dan hukum Islam dengan sebaiknya. Kegiatan kemasyarakatan telah berubah dan menggambarkan penerimaan dan penghayatan mereka terhadap ajaran Islam. Kegiatan keagamaan diadakan seperti muzakarah, kuliah dan ceramah. Perayaan dalam Islam disambut dengan penuh penghayatan seperti sambutan Hari Raya Haji dan Hari Raya Puasa. Mereka sudah mula mempelajari al-Quran dan ilmu tafsir daripada ulama yang ada di Melaka ketika itu. Anak-anak pula dididik dengan cara hidup Islam (Zainal Abidin bin Abdul Wahid, 1992).

Penyerapan ajaran Islam juga berlaku tanpa mengganggu masyarakat yang ada sehingga akhirnya menjadikan orang Melayu di Alam Melayu beragama Islam. Tauhid juga membuahkan kehidupan beribadah, menghiasi akhlak serta mencetus perubahan lain dalam bidang politik, perundangan, pendidikan dan sebagainya. Berasaskan konsep tauhid ini juga lahirlah hubungan antara manusia dengan manusia dan manusia dengan Pencipta.Walau bagaimanapun, kepercayaan-kepercayaan dan tradisi lama tidak dihapuskan sama sekali. Perubahan sosial berlaku dengan adanya revolusi mental yang diketengahkan oleh Islam dan masyarakat. Beberapa aspek pemikiran yang wujud dapat membuktikan hakikatnya. Ajaran Islam mengandungi unsur-unsur rasionalisme, di mana Islam telah menekankan konsep persamaan taraf sesama manusia di sisi Allah SWT. Semua manusia adalah berasal dari Adam a.s. dan Adam a.s. dijadikan dari tanah. Berpandukan kepada konsep rasionalisme inilah masyarakat Nusantara dengan sendirinya menolak kepercayaan tahyul Hindu dan fahaman animisme (Abdullah Ishak, 1990).

3.2Bahasa Dan Kesusasteraan

Bahasa Melayu telah menerima pengaruh ajaran Islam bermula abad ke-14 Masihi dan berkembang sehingga akhir abad ke-18 Masihi. Pada awal abad ke-14 kedudukan Agama Islam semakin teguh dan penyebarannya semakin meluas di Asia Tenggara. Bukti keteguhan kedudukan Agama Islam di daerah ini dapat dilihat daripada kewujudan penggunaan tulisan Jawi oleh orang-orang Melayu ketika itu. Pada era kerajaan Melayu Melaka (1400-1511M) misalnya, bahasa Melayu menjadi bahasa lingua franca bagi lapan puluh empat bahasa yang dituturkan oleh masyarakat Melaka ketika itu. Tahap perkembangan bahasa Melayu daripada bahasa Melayu klasik kepada bahasa yang mempunyai nilai peradaban yang tinggi berlaku pada dua zaman iaitu zaman peralihan (abad ke-19M) dan zaman moden (abad ke-20M) (Mahayudin Hj. Yahya, 1998).

Tulisan Arab mulai diperkenalkan setelah kedatangan Islam. Dari segi bahasa perubahan besar berlaku apabila masyarakat Melayu menyesuaikan perkataan Arab kepada bahasa Melayu. Perubahan ini dipermudahkan setelah tulisan Arab diubahsuai dan dikenali sebagai tulisan Jawi. Melalui sistem tulisan ini bahasa Melayu dapat memainkan peranan lebih penting apabila digunakan untuk menulis kitab-kitab agama, hikayat-hikayat, undang-undang dan pentadbiran. Bahasa Melayu telah dipilih sebagai bahasa pengantar persuratan dan juga sebagai alat penyebaran dan penyampaian Agama Islam di seluruh Alam Melayu. Tulisan jawi telah digunakan oleh bahasa Melayu semasa permulaan kedatangan Islam. Antara faktor yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar penyebaran, penyampaian persuratan Islam di Alam Melayu ialah sifat dalaman bahasa Melayu dan juga peranan yang dimainkan oleh wilayah dan daerah Melayu di Sumatera dan di Semenanjung Tanah Melayu dalam penyebaran Agama Islam ke seluruh kepulauan Melayu. Penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar Agama Islam telah menaikkan taraf, kecekapan dan kewibawaannya. Antara sumbangan terbesar Islam kepada masyarakat di Alam Melayu adalah pengaruhnya terhadap perkembangan bahasa Melayu. Sebagai bahasa komunikasi di Tanah Melayu, bahasa Melayu merupakan aspek terawal menerima pengaruh Islam. Pemindahan ilmu berupa ajaran Islam daripada al-Quran dan al-Hadith yang kedua-duanya dalam bahasa Arab berlaku dalam gerakan dakwah secara langsung yang dijalankan oleh pendakwah-pendakwah dari negara Arab, India dan China. Pemindahan ilmu dari bahasa Arab ke dalam bahasa Melayu telah menyebabkan berlakunya perkembangan keilmuan yang pesat di Alam Melayu. Kedatangan Islam mengangkat martabat bahasa Melayu ke arah mengungkapkan sesuatu yang bersifat ilmiah dan saintifik sehingga mencapai taraf lingua franca yang digunakan secara meluas di Alam Melayu. Terdapat penggunaan kata dari bahasa Arab yang dipinjam dan digunapakai dalam bahasa Melayu.

Kedatangan Agama Islam juga telah membawa perubahan yang besar terhadap warisan kesusasteraan Melayu. Banyak hasil kesusasteraan Melayu ditulis seperti Hikayat Nabi Muhammad S.A.W Hikayat Para Nabi dan Rasul, Hikayat Para Sahabat, Hikayat Para Pahlawan Islam dan Hikayat Ahli-ahli Sufi dan Orang-orang Yang Salih. Manakala puisi terkenal yang dipengaruhi oleh sastera Islam contohnya ialah Syair Perahu, Syair Burung Pingai oleh Hamzah Fansuri dan Syair Makrifat oleh Abdul Rauf Fansuri. Melalui tulisan jawi agarna Islam telah dapat diperkembangkan. Bahasa dan kesusasteraan Melayu juga berkembang melalui tulisan jawi. Dalam pada itu bahasa Melayu itu telah diperkayakan dengan kata-kata pinjaman serta istilah daripada bahasa Arab. Perkembangan ini dapat dilihat bukan sahaja dalarn kitab serta karya sastera semasa pada zaman selepas itu, malah buku-buku Sejarah juga mempunyai tajuk asal dalam bahasa Arab seperti Sulalatus Salatin, Tuhfat al-Nafis, Bustanus-Salatin dan lain-lain lagi (Zainal Abidin Abdul Wahid, 1992).

Kedatangan Islam ke Alam Melayu selain membawa perubahan dari sudut akidah, ia juga membawa perubahan dari sudut kesusasteraan. Kesusasteraan Melayu bukan sahaja mengalami perubahan dari aspek pendokumentasian, malah turut mengalami perubahan dari aspek tema, bentuk, genre malah matlamat sastera itu sendiri. Para sasterawan menghasilkan karya-karya yang sangat luas bidangnya bukan sahaja bercorak fiksyen, tetapi turut meliputi cabang-cabang ilmu fekah, ilmu tasawwut ilmu kalam, falsafah dan sebagainya (Ismail, 1985). Pelbagai hasil kesusasteraan telah dipengaruhi oleh ajaran Islam yang bertemakan sejarah Islam atau ajaran Islam itu sendiri. Antara contoh sastera prasa ialah Hikayat Nur Muhammad, Hikayat Bulan Berbelah, Hikayat Nabi Bercukur dan Hikayat Nabi Mikraj.

Selain itu, pada masa tersebut Melaka terkenal Pusat Perkembangan Bahasa Melayu. Melaka telah muncul sebagai pusat agama Islam terpenting di Asia Tenggara menjelang pertengahan abad ke-15. Pemerintah pertama yang memeluk Islam ialah Megat Iskandar Syah manakala Sultan Muzaffar Syah pula telah menjadikan Islam sebagai agama rasmi Kerajaan Melaka. Di samping itu, Melaka muncul sebagai pelabuhan entreport antarabangsa yang sibuk dan maju disebabkan oleh keudukannya yang strategik iaitu terletak di tengah-tengah jalan perdagangan Timur-Barat. Empat orang Syahbandar telah ditugaskan untuk menyediakan kemudahan bagi aktiviti perdagangan dan juga memungut cukai. Dengan erti kata lainnya, Melaka ketika itu telah mempunyai sistem ekonomi yang sistematik dan teratur. Bahasa Melayu telah menjadi bahasa pendakwah yang mana ia telah digunakan bagi menyebarkan agama Islam. Bahasa Melayu juga telah menjadi bahasa 'lingua franca' melalui kegiatan perdagangan. Bahasa Melayu telah dituturkan oleh pedagang-pedagang asing untuk berkomunikasi sama ada dengan pihak pemerintah mahupun sesama mereka.

Kesimpulannya, Bahasa Melayu telah mencapai martabat yang tinggi pada zaman Melaka ekoran daripada peranan Melaka sebagai pusat penyebaran agama Islam dan pusat kegiatan perdagangan. Melaka muncul sebagai pusat perkembangan BM yang terulung dan ini jelas mencerminkan ketinggian ketamadunan masyarakat Melayu pada ketika itu.

3.3Adat Dan Cara Hidup

Tradisi animisme dan Hinduisme telah diganti dengan adat dan cara hidup Islam yang dilakukan sejak individu itu lahir di dunia hinggalah hari kematiannya. Islam telah mengubah corak hidup masyarakat Melayu di dalam segala aspek kehidupan manusia. Adat resam masyarakat Melayu diperkemaskan lagi dengan ajaran Islam. Walau bagaimanapun, setelah kedatangan ajaran Islam, adat dan cara hidup masyarakat Melayu yang tidak bertentangan dengan ajaran Islam masih terus diamalkan. Adat adalah suatu perbuatan atau perlakuan menurut kebiasaan masyarakat atau bangsa yang berkenaa. Masyarakat Melayu menganggap adat sebagai undang-undang hidup. Mereka mematuhi adat serta menghormatinya dengan keyakinan bahawa melanggar adat dianggap sebagai suatu sikap atau perbuatan buruk dan akibatnya akan merosakkan diri dan sekaligus mencemarkan kesejahteraan hidup masyarakat (Asmad, 1990). Adat resam pula ialah kebiasaan cara hidup individu dan masyarakat yang secara nyata menggambarkan corak budaya sesuatu bangsa.

Sebelum kedatangan Islam masyarakat Melayu mengamalkan adat tradisi warisan nenek moyang mereka. Apabila masyarakat Melayu mula menganuti ajaran Islam adat-adat dalam masyarakat Melayu mula diubahsuai supaya tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Adat masyarakat Melayu juga telah mengalami perubahan dengan kedatangan ajaran Islam di rantau ini. Selain daripada mengubah sistem kepercayaan kita, Islam juga telah mengenepikan adat yang dianggap bercanggah dengan akidah dan kepercayaan Islam. Dalam proses sosialisasi masyarakat Melayu, tradisi animisme dan Hinduisme telah diganti dengan adat Islam yang dilakukan sejak individu itu lahir sehinggalah hari kematiannya. Contoh-contoh perubahan adat dan cara hidup adalah seperti berikut:

I. Kelahiran bayi disambut dengan persiapan tujuh lapis kain kuning, hiasan katil berwarna kuning, pulut kuning dan putih. Kelahiran bayi disambut dengan azan dan Iqamat.

II. Perkahwinan dilakukan oleh kadi dan dua orang saksi, upacara khatam al-Quran dan berzanji Mengadakan majlis bacaan Yasin dan doa selamat. III. Membaca ayat-ayat al-Quran untuk mengelak gangguan syaitan

Perubahan yang jelas telah berlaku terhadap masyarakat Melayu dari segi adat resam dalam kehidupan. Islam telah mengatur kehidupan masyarakat agar kehidupan yang dilalui itu berlangsung dalam suasana aman dan harmoni. Islam telah merubah adat resam masyarakat Melayu dengan adat-adat Islam. Tujuannya adalah untuk kesejahteraan dan keharmonian hidup masyarakat. Kesan daripada perubahan adat ini telah mewujudkan suasana hidup yang lebih teratur, seperti adat berkeluarga, berjiran tetangga, adat menuntut ilmu, adat berkampung dan sebagainya. Adat Melayu yang bersendikan agama menjadi amalan masyarakat Melayu. Contohnya hikayat sastera ada menyebut:

Bunga cempaka baunya harum Pelbagai kembang digubah indah. Adat bermula dengan hukum. Hukum bersandar di kitab Allah

Islam telah mengangkat taraf manusia dan menyamakan kedudukan mereka di sisi Allah SWT. la membentuk suatu sistem masyarakat yang saling mengasihi dan menghormati. Sejajar dengan realiti tersebut, kedatangan Islam ke Alam Melayu menjadikan golongan bawahan mula mendapat perhatian dan penghormatan. Tiada lagi sistem kasta yang berasaskan ajaran agama Hindu diamalkan dalam masyarakat Melayu. Komunikasi antara kelompok masyarakat berjalan dengan baik menerusi sifat hormat-menghormati, bergotong-royong dan bantu-membantu.

3.4Gaya PenulisanHarun Mat Piah dalam bukunya Kesusasteraan Melayu Tradisional (2000) mengutarakan gaya penulisan dan gaya bahasa juga mencerminkan kelainan dalam perkembangan Islam pada zaman ini ini. Karya-karya zaman ini banyak mengandungi istilah-istilah yang terdapat dalam bahasa Arab-Parsi. Contohnya, syahdan, al-kisah, hatta dan sebagainya. Penggunaan nama-nama Hindu pula seperti alat-alat cokmar, dewan, gangga, dewa dan sebagainya. Gaya penulisan dan gaya bahasa berbentuk puisi Islam turut diterapkan iaitu syair yang digunakan dan bercampur aduk dengan bahasa Sanskrit serta unsur-unsur tempatan. Jadi di sini dapat dilihat isi karya hikayat Pra-Islam berupa percampuran unsur-unsur Hindu dengan unsur-unsur Islam. Di samping itu, terdapat juga pengaruh keislaman yang dapat dilihat dengan jelas dalam karya Hindu-Islam ini (Siti Hawa Hj Salleh, 1997). Dari segi judul karya atau cerita, sastera hikayat berunsur Hindu-Islam memakai dua judul iaitu Hindu dan Islam. Contohnya Hikayat Marakarma dikenali juga sebagai Hikayat Si Miskin dan Hikayat Serangga Bayu pula dikenali sebagai Hikayat Ahmad Muhamad. Perwatakan tokoh-tokoh Islam seperti Nabi Sulaiman, Nabi Khaidir, Ahmad dan Muhamad. Nama-nama watak juga bercorak Arab seperti nama negeri Shahi Mardan, Wazir dan sebagainya. Terselit juga persoalan-persoalan mengenai agama Islam seperti yang bersangkutan dengan rukun Islam, pelaksanaan ibadat dan sebagainya. Konsep-konsep Keislaman seperti konsep Allah dan segala sifatnya, konsep syurga dan neraka, dan amalan-amalan keagamaan seperti belajar membaca al-Quran (Munir Ali, 1989).Sastera Hikayat berunsurkan Islam memainkan peranan yang tersendiri. Ia berperanan sebagai menghiburkan masyarakat pada ketika itu (Liaw Yock Fang, 1982). Selain itu, ia menjadi tempat untuk mendidik masyarakat dan menjadikannya sebagaipengajaran. Ini supaya masyarakat mendapat iktibar kepada mereka. Sebagai contoh, mereka yang membuat kejahatan akan mendapat hukuman yang setimpal dengan perbuatan mereka. Manakala mereka yang berbuat baik akan mendapat balasan baik.Selain itu, sastera Hikayat turut memainkan peranan sebagai alat penghibur kepada masyarakat (Zalila Sharif & Jamilah Hj Ahmad, 1993). Ia mengisahkan tentang kecantikan, kehebatan, keperwiraan watak wira dan wirawati. Hal ini kerana, pada zaman dahulu belum lagi mempunyai sebarang bentuk hiburan seperti sekarang. Masyarakat pada zaman dahulu hanya bergantung kepada hasil karya-karya yang dikeluarkan oleh pengarang sahaja. Jenis-jenis sastera hikayat yang dijadikan hiburan masyarakat setempat seperti karya berbentuk naratif dan non-naratif. Karya berbentuk naratif seperti prosa manakala karya non-naratif pula seperti syair, pantun, gurindam, ghazal dan lain-lain lagi. Sastera hikayat yang dibaca oleh khalayak pembaca pada zaman dahulu mampu untuk menghiburkan masyarakat. Setelah seharian bekerja masyarakat menjadikan penceritaan hikayat sebagai saluran hiburan mereka untuk melepaskan rasa tekanan setelah pulang ke rumah. Penceritaan hikayat berunsurkan Islam juga dijadikan sebagai aktiviti masyarakat dalam sesuatu acara. Ini membantu dalam mengembangkan ajaran agama Islam kepada masyarakat pada zaman tersebut.

Menurut Munir Ali (1989), cerita sastera hikayat selalunya memberi pengajaran kepada masyarakat dan ia kaya dengan unsur-unsur moral. Unsur-unsur moral positif seperti yang baik akan mendapat kemenangan, yang jahat akan menerima balasan setimpal dengan perbuatannya dan menjadi contoh teladan. Ia juga sebagai menyedarkan masyarakat tentang balasan yang akan diterima jika berbuat baik ataupun sebaliknya. Karya-karya yang dikeluarkan oleh pengarang juga dijadikan sebagai alat untuk mendidik dan mengajar kepada masyarakat zaman dahulu. Ini kerana karya yang terdapat pada zaman dahulu, mempunyai unsur-unsur pengajaran yang dapat diterapkan oleh masyarakat pada zaman tersebut. Masyarakat dahulu mengambil iktibar daripada perkara-perkara yang dilakukan oleh golongan bangsawan seperti golongan raja. Selalunya golongan ini akan melakukan kejahatan yang sehingga boleh memakan diri sendiri.

4.0KESIMPULAN

Sebelum kedatangan unsur dari luar, masyarakat Melayu sudah pun mempunyai kesusasteraan yang tersendiri. Sebelum masyarakat tempatan tahu menulis, melalui cara pertuturan sajalah mereka menyampaikan perasaan atau curahan hati masing-masing (Yahaya Ismail, 1967). Ini dikenali sebagai sastera lisan. Dari percakapan yang pendek membawa kepada percakapan yang panjang hingga menggambarkan suatu cerita. Dengan ini timbullah jenis-jenis kesusasteraan mengikut kaedah namanya yang sesuai dengan zaman itu seperti bidalan, peribahasa, perumpamaan dan perbilangan (Harun Mat Piah, 2000). Hasil sastera yang yang dihasilkan ini adalah melalui pengalaman dan pemerhatian masyarakat terhadap sesuatu peristiwa yang berlaku dalam kehidupan sehari-hari.

Kedatangan Islam memberi pengaruh yang besar kepada masyarakat dan tamadun Melayu. Proses penyerapan Islam ini berlaku secara berperingkat-peringkat di kalangan masyarakat Melayu yang bermula daripada golongan istana, pembesar sehinggalah kepada rakyat biasa. Proses Islamisasi ini menjadikan masyarakat Melayu akhirnya dapat menerima ajaran Islam dengan baik. Ini kerana keistimewaan ajaran Islam yang sederhana dan tiada paksaan. Kedatangan Islam bukan sahaja mengubah pegangan hidup masyarakat Melayu, malah telah membentuk cara hidup baru dalam amalan seharian masyarakat. Amalan-amalan Islam yang berunsur tahyul dan khurafat telah ditinggalkan secara beransur-ansur oleh masyarakat Melayu. Masyarakat Melayu juga telah berubah daripada masyarakat yang buta huruf kepada masyarakat yang mengamalkan tradisi keilmuan. Contohnya galakan daripada golongan pemerintah telah menjadikan Melaka suatu ketika dulu sebagai pusat pembudayaan ilmu

Setelah kedatangan Islam di nusantara proses penanaman aqidah Islam melalui cerita atau kisah-kisah melalui dua cara iaitu dengan mengubahsuai cerita yang sedia tersebar dengan unsur Islam dan mengetengahkan cerita-cerita baru yang berasal dari tradisi Islam seperti kisah-kisah tauladan di zaman nabi-nabi serta kisah nabi (Abdul Wahab Ali, 1988). Kesusasteraan dimulakan dengan cara lisan dan diikuti dengan tulisan arab (jawi), dan bermulalah penulisan dan penyalinan kitab-kitab yang berkaitan dengan agama. Contohnya seperti kitab-kitab Risalat Dua Kalimah Syahadah, peraturan dan rukun-rukun sembahyang, peraturan puasa dan sebagainya. Kemudian dikembangkan pula dengan doa-doa dan kisah-kisah nabi, kitab fiqah, tafsir Al-Quran, hikayat para nabi, cerita pahlawan Islam dan lain-lain lagi (Hashim Awang, 1985). Kedatangan Islam menyebabkan kesusasteraan masyarakat Melayu makin berkembang dan berdiri di landasan yang benar. Kesusasteraan hikayat tidak tidak hilang malah kekal sehingga ke hari ini. Misalannya, sehingga ke hari ini khazanah yang begitu bernilai seperti pantun masih lagi kekal dan mutunya masih tidak dapat ditandingi oleh ciptaan generasi masa kini.

Setelah berlakunya penyebaran Agama Islam ini, maka Agama Islam dijadikan sebagai teras dalam pembinaan tradisi budaya Melayu. Orang-orang Melayu yang menganut Agama Islam menyedari dan memahami nilai-nilai yang telah ditetapkan oleh Islam dan berusaha menyesuaikan warisan tradisi budaya dan kehendak-kehendak Islam. Mereka menekankan usaha memupuk nilai-nilai Islam sebagaimana yang dikehendaki dari satu generasi kepada generasi seterusnya. Malah, institusi-institusi sosial dan agama dalam masyarakat memainkan peranan penting dalam usaha memupuk dan mempertahankan nilai-nilai sosial dan agama yang mereka bina.

Apa yang dapat disimpulkan ialah kebanyakan cara hidup orang melayu yang beragama Islam telah berubah daripada kepercayaan-kepercayaan karut kepada sesuatu yang lebih maju dan logik berpandukan ajaran-ajaran yang terkandung di dalam Islam. Kepercayaan kepada yang satu yakni Allah telah membawa manusia ke tamadun yang lebih maju, aman dan makmur. Kedatangan pengaruh Islam turut dibantu oleh sastera hikayat juga telah mencelikkan mata dunia dan ianya memperbaiki lagi kebudayaan dengan cara-cara yang lebih mendatangkan manfaat dan lebih mendekati Allah. RUJUKAN

Ab. Alim Abdul Rahim dan Syed Mohamad. (1995). Tamadun Islam. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.Annas Hj Ahmad. (1975). Sastera Melayu Lama. Kuala Lumpur: Penerbit Sinaran.

Abdul Rashid Melebek dan Amat Juhari Moain. (2006). Sejarah Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Utusan Publications.

Abd. Rahman Nawas dan Nawawe Mohamad. (1995). Tamadun Islam. Kuala Lumpur: Pustaka Haji Abdul Majid.

Abdul Wahab Ali. (1988). Tradisi Pembentukan Sastera Melayu Moden. Kuala Lumpur: Penerbitan Sarjana.

Azhar Hj. Mad Aros. (2003). Tamadun Islam Dan Tamadun Asia. Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti Sdn.Bhd.

Hashim Awang. (1985). Mendekati kesusasteraan Melayu. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti.

Harun Mat Piah. (2000). Kesusasteraan Melayu Tradisional. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ismail Hussein, Wan Hashim Wan Teh & Ghazali Shafie. (1997). Tamadun Melayu: Menyonsong Abad Kedua Puluh Satu. Bangi: Penerbit UKM.

Liaw Yock Fang. (1982). Beberapa Masalah dalam Penulisan Sejarah Sastera Tradisional Melayu: Kajian Permulaan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd. Yusof Md. Nor. (1987). Intisari Sejarah Kesusasteraan Malayu Lama. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti.

Munir Ali. (1989). Kajian Kesusasteraan Malayu Klasik. Johor: Syarikat Flo Sdn. Bhd.

Mustafa Haji Daud. (2002). Tamadun Islam. Kuala Lumpur: Utusan Publications

Mustafa Haji Daud. (1985). Pengantar Tamadun Islam. Petaling Jaya: Media Intelek sdn. Bhd.

Rahman Shaari. (2001). Bimbingan Istilah Sastera. Kuala Lumpur: Utusan Publications.

Seman Hj Hassan & Mohammad Aris Othman. (1972). Hikayat Ahmad Muhammad. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Siti Hawa Hj Salleh. (1997). Kesusasteraan Melayu Abad Ke Sembilan Belas. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Penerbit Universiti Malaya. (2002). Tamadun Islam dan Tamadun Asia. Kuala Lumpur.

Yahaya Ismail. (1967). Bimbingan Sastera Melayu Lama. Kuala Lumpur: Utusan Publications.

Zalila Sharif & Jamilah Hj Ahmad. (1993). Kesusasteraan Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

7