Peranan ahli keluarga untuk membantu anak-anak yang menghadapi masalah.docx

4
TAJUK - Peranan yang dapat dimainkan oleh setiap ahli keluarga dalam membantu anak-anak ketika menghadapi sesuatu masalah Dalam mengharungi era ledakan sains dan teknologi, proses globalisasi telah menjadi suatu fenomena yang dapat dirasai oleh masyarakat seluruh pelosok dunia. Kejadian dunia tanpa sempadan ini didakwa sangat penting. Hal ini demikian kerana proses globalisasi dapat membangun dan memajukan negara kita di samping menaikkan taraf hidup kita. Namun demikian, masyarakat yang materialistik turut diwujudkan akibat proses tersebut. Kita sentiasa sibuk bersaing walau dalam tempat kerja ataupun di sekolah hanya kerana ingin mengejar kemewahan. Lantaran itu, tahap stres dalam kalangan rakyat negara kita semakin meningkat. Kalangan belia juga tidak dikecualikan. Mereka sentiasa menghidapi tekanan kerana tidak ingin mengecewakan harapan ibu bapa serta guru terhadap mereka yang setinggi langit dan seterusnya mengalami tekanan jiwa dan kecelaruan mental. Bagi mengatasi masalah ini, institusi keluarga merupakan pihak yang penting dalam proses membantu anak-anak menghadapi sesuatu masalah sehingga diibaratkan seperti batu-bata dalam sesebuah bangunan. Terdapat beberapa peranan yang dapat dimainkan oleh setiap ahli keluarga dalam membantu anak-anak ketika menghadapi masalah. Ahli keluarga mempunyai tanggungjawab untuk menyalurkan pendidikan agama kepada anak-anak. Anggota keluarga seharusnya memperlihatkan pendidikan agama dari awal lagi. Perkara-perkara asas tentang agama perlu didedahkan kepada anak-anak sejak mereka masih kecil lagi seperti pepatah Melayu, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Tanggungjawab ini penting supaya anak-anak mendekatkan diri dengan Tuhan dan mempunyai perkembangan emosi dan rohani yang seimbang. Dengan ini, mereka akan dapat menangani segala masalah dengan tenang dan rasional. Melalui pendidikan keagamaan juga, anak-anak akan reda dengan masalah yang dihadapi

description

Karangan SPM

Transcript of Peranan ahli keluarga untuk membantu anak-anak yang menghadapi masalah.docx

Page 1: Peranan ahli keluarga untuk membantu anak-anak yang menghadapi masalah.docx

TAJUK - Peranan yang dapat dimainkan oleh setiap ahli keluarga dalam membantu anak-anak ketika menghadapi sesuatu masalah

Dalam mengharungi era ledakan sains dan teknologi, proses globalisasi telah menjadi suatu fenomena yang dapat dirasai oleh masyarakat seluruh pelosok dunia. Kejadian dunia tanpa sempadan ini didakwa sangat penting. Hal ini demikian kerana proses globalisasi dapat membangun dan memajukan negara kita di samping menaikkan taraf hidup kita. Namun demikian, masyarakat yang materialistik turut diwujudkan akibat proses tersebut. Kita sentiasa sibuk bersaing walau dalam tempat kerja ataupun di sekolah hanya kerana ingin mengejar kemewahan. Lantaran itu, tahap stres dalam kalangan rakyat negara kita semakin meningkat. Kalangan belia juga tidak dikecualikan. Mereka sentiasa menghidapi tekanan kerana tidak ingin mengecewakan harapan ibu bapa serta guru terhadap mereka yang setinggi langit dan seterusnya mengalami tekanan jiwa dan kecelaruan mental. Bagi mengatasi masalah ini, institusi keluarga merupakan pihak yang penting dalam proses membantu anak-anak menghadapi sesuatu masalah sehingga diibaratkan seperti batu-bata dalam sesebuah bangunan. Terdapat beberapa peranan yang dapat dimainkan oleh setiap ahli keluarga dalam membantu anak-anak ketika menghadapi masalah.

Ahli keluarga mempunyai tanggungjawab untuk menyalurkan pendidikan agama kepada anak-anak. Anggota keluarga seharusnya memperlihatkan pendidikan agama dari awal lagi. Perkara-perkara asas tentang agama perlu didedahkan kepada anak-anak sejak mereka masih kecil lagi seperti pepatah Melayu, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Tanggungjawab ini penting supaya anak-anak mendekatkan diri dengan Tuhan dan mempunyai perkembangan emosi dan rohani yang seimbang. Dengan ini, mereka akan dapat menangani segala masalah dengan tenang dan rasional. Melalui pendidikan keagamaan juga, anak-anak akan reda dengan masalah yang dihadapi kerana memahami bahawa setiap ujian-Nya pasti ada hikmahnya yang tersendiri. Mereka juga akan bersikap lebih matang ketika membuat pilihan kerana mematuhi peraturan agama yang mempunyai batas-batas tertentu. Segala yang negatif pula dielakkan. Jelaslah bahawa ahli keluarga memainkan peranan yang penting untuk memberikan pendidikan keagamaan kepada anak-anak untuk membantu mereka ketika menghadapi sesuatu masalah.

Selain daripada pendidikan keagamaan, ahli keluarga memegang tugas untuk menyediakan persekitaran yang positif untuk anak-anak. Ahli keluarga wajarlah saling menyayangi dan memastikan bahawa anak-anak membesar dalam suasana yang penuh dengan kasih sayang. Anak-anak juga harus dijaga dengan sebaiknya bagai menatang minyak yang penuh. Hal ini demikian kerana anak-anak sangat memerlukan kasih sayang yang sempurna dan kamil untuk perkembangan yang seimbang. Sebaliknya, keluarga yang dingin ataupun porak-peranda hanya akan meningkatkan

Page 2: Peranan ahli keluarga untuk membantu anak-anak yang menghadapi masalah.docx

tahap stres anak-anak yang sedang menghadapi masalah. Ahli keluarga juga harus berusaha untuk meluangkan masa bersama-sama pada masa senggang untuk menjalinkan hubungan yang erat antara satu sama lain. Dengan ini, anak-anak akan berasa gembira gembira dan seronok ketika berada di rumah. Keadaan harmoni tersebut mampu menenangkan fikiran mereka dan mengurangkan beban mereka. Hakikatnya, persekitaran positif di rumah perlu disediakan oleh ahli keluarga kerana suasana ini berdominan untuk membantu anak-anak ketika menangani sesuatu masalah.

Ahli keluarga juga perlu memikul amanah untuk memberi bimbingan dan sokongan kepada anak-anak yang sedang menghadapi masalah. Ketika berhadapan dengan masalah, fikiran kita mudah menjadi bercelaru ekoran daripada tekanan yang dihadapi.Dalam keadaan tersebut, kita tidak berupaya membuat pilihan yang rasional. Oleh yang demikian, ahli keluarga wajiblah membimbing anak-anak yang sedang menghadapi masalah untuk membuat pilihan yang betul. Ahli keluarga juga perlu memberi sokongan kepada anak-anak untuk melegakan mereka. Sebagai contoh, ahli keluarga sewajarnya membelai dan mengucapkan kata-kata sayang kepada anak-anak.Kata-kata perangsang juga harus diucapkan kepada anak-anak untuk memberi motivasi serta keyakinan. Greg S. Reid pernah berkata, ‘Keyakinan adalah segalanya. Besarnya keyakinan atau ketiadaannya menentukan kejayaan atau kegagalan.' Sesungguhnya, bimbingan dan sokongan untuk anak-anak yang sedang menghadapi merupakan salah satu tugas anggota keluarga.

Di samping itu, ahli keluarga juga mempunyai kewajipan untuk berkongsi masalah dengan anak-anak. Dalam konteks ini, ahli keluarga mestilah bersikap prihatin terhadap hal ehwal anak-anak. Mereka seharusnya mengambil berat akan segala masalah dan kerunsingan anak-anak dalam keluarga. Sikap bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing pula perlu dielakkan. Melalui cara ini, anak-anak lebih cenderung untuk meluahkan isi hati ketika menghadapi kemusykilan. Hal ini demikian kerana ahli keluarga sanggup mendengar rintihan jiwa mereka. Langkah ini sangat penting agar anak-anak tidak perlu memendam perasaan dan dapat mengurangkan beban emosi sendiri. Mereka juga dapat menghadapi masalah dengan lebih berani dan sabar. Nyatalah bahawa ahli keluarga memainkan watak yang penting sebagai tempat aduan bagi anak-anak untuk membantu mereka menghadapi masalah.

Seterusnya, ahli keluarga berperanan untuk menyemai nilai-nilai yang murni dalam jiwa anak-anak. Nilai seperti bertanggungjawab, hemah tinggi dan berdisiplin merupakan amalan-amalan yang sewajarnya dipraktikkan oleh anak-anak. Dengan adanya nilai-nilai tersebut, anak-anak akan dapat menghadapi masalah dengan penuh keyakinan. Dalam aspek yang berlainan, anak -anak yang telah melakukan kesalahan atau menimbulkan sebarang masalah juga akan insaf dan mengakui kesalahan diri.

Page 3: Peranan ahli keluarga untuk membantu anak-anak yang menghadapi masalah.docx

Mereka tidak akan melari daripada tanggungjawab untuk menghadapi masalah. Hal ini demikian kerana nilai yang murni mampu membentuk sahsiah yang terpuji. Hadis Nabi Muhammad SAW ada menyebut, ‘Sesungguhnya aku diutus untuk meyempurnakan budi pekerti yang mulia.’ Oleh yang demikian, ahli keluarga perlulah mengambil alih tanggungjawab tersebut untuk menanam akhlak yang mulia dalam diri anak-anak mereka untuk membantu mereka menyelesaikan masalah. Terbukti bahawa ahli keluarga harus menyemai nilai murni dalam diri anak untuk membantu mereka menghadapi masalah dengan penuh keberanian.

Kesimpulannya, ahli keluarga merupakan kontributor yang besar dalam proses membantu anak-anak menghadapi masalah. Ahli keluarga merupakan orang yang paling rapat dengan anak-anak dalam masyarakat negara kita. Oleh yang demikian, mereka perlulah menggembleng tenaga beagai aur dengan tebing dalam usaha membantu anak-anak menyelesaikan masalah. Dengan ini, anak-anak tidak akan berasa terpinggir ketika menghadapi cabaran dalam kehidupan. Mereka juga akan mempunyai perkembangan yang seimbang lalu menjadi individu yang mampu menghadapi kesusahan dengan penuh keberanian. Keadaan tersebut penting untuk menjamin generasi muda yang berminda kelas pertama untuk memacu nusa yang tercinta kita ke arah kejayaan. Dengan ini, negara kita bolehlah mencapai visi Wawasan 2020 serta berduduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara yang lain. Untuk mencapai visi tersebut, slogan “Keluargaku, syurgaku”, dan “Semakin hari semakin sayang” patut dihayati oleh seisi komuniti kita supaya melahirkan masyarakat madani dan sakinat.