Perutusan ketua pengarah pelajaran Malaysia sempena hari ... · PDF file“Keranamu...
-
Upload
nguyendang -
Category
Documents
-
view
235 -
download
4
Transcript of Perutusan ketua pengarah pelajaran Malaysia sempena hari ... · PDF file“Keranamu...
PERUTUSAN
Y. BHG. DATO’ Dr. HAJI AHAMAD BIN SIPON KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA
sempena
SAMBUTAN HARI KEMERDEKAAN KE-49
TAHUN 2006 Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam
sejahtera.
1 Marilah kita memanjatkan rasa kesyukuran ke hadrat
Allah SWT kerana dengan limpah rahmat-Nya kita dapat
berhimpun untuk memperingati hari kemerdekaan negara
buat kali ke-49. Sesungguhnya kemerdekaan ini sangat
bermakna kepada kita kerana kemerdekaan, kedaulatan,
dan kemakmuran negara terus terlindung dan terpelihara.
Nikmat yang sedang kita kecapi tidak ternilai harganya
dan bukanlah diperoleh dengan cara yang mudah tetapi
hasil daripada pengorbanan dan perjuangan para
pemimpin kita pada masa lampau.
2 Sempena Hari Kemerdekaan Ke-49 ini juga, warga
pendidikan berasa bertuah kerana kerajaan telah
memberikan peruntukan yang besar kepada
pembangunan pendidikan di bawah RMKe-9. Peruntukan
ini adalah bagi memastikan bahawa pembangunan modal
insan mengikut wawasan negara dapat direalisasikan.
Atas rasa tanggungjawab ini, pihak kementerian akan
terus berusaha ke arah membangunkan sistem
pendidikan berkualiti bertaraf dunia.
3 Pihak Kerajaan sentiasa menyedari bahawa perpaduan
merupakan aset utama kekuatan negara ini. Sehubungan
dengan itu, agenda Memperkasakan Sekolah Kebangsaan dilihat sebagai langkah bijak untuk
memastikan perpaduan dalam kalangan rakyat dapat
dipupuk seawal usia lagi. Kita berharap agar sekolah
kebangsaan akan menjadi institusi yang akan menjadi
pilihan utama rakyat Malaysia. Sesungguhnya telah
menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan semangat
setia kawan dan muhibah sentiasa dikekalkan seperti
yang telah dipelopori oleh tokoh-tokoh tanah air terdahulu.
4 Pihak Kementerian Pelajaran juga sentiasa peka akan
prinsip ekuiti dalam pendidikan. Sehubungan itu, usaha
berterusan dijalankan bagi merapatkan jurang pendidikan
antara sekolah di luar bandar dengan sekolah di bandar
agar semua murid tanpa mengira kaum dan kedudukan
menikmati peluang dan kemudahan pendidikan yang
sama. Kementerian sentiasa memberi keutamaan kepada
usaha bagi memastikan tidak ada lagi masalah keciciran
yang berlaku dalam kalangan murid-murid sekolah. Oleh
2
itu, Kementerian telah mengambil langkah proaktif
dengan melaksanakan peluasan program prasekolah dan
pelaksanaan program Kelas Intervensi Awal Membaca
dan Menulis atau lebih dikenali sebagai KIA2M.
5 Kementerian Pelajaran juga turut memberikan tumpuan
kepada usaha memartabatkan profesion keguruan agar
profesion ini sentiasa dihormati dan dipandang tinggi
bersesuaian dengan amanah yang dipikulnya. Usaha
memartabatkan profesion keguruan ini dilaksanakan
menerusi menaiktaraf Maktab Perguruan kepada Institut
Pendidikan Guru (IPG), menambahbaik sistem pemilihan
calon guru, menambahbaik perjawatan dan kebajikan
guru, dan menambahbaik penempatan guru. Justeru,
Kementerian Pelajaran menaruh harapan yang tinggi agar
guru-guru terus berkhidmat dengan penuh dedikasi demi
melahirkan murid yang cemerlang dalam bidang
kurikulum, kokurikulum, sahsiah, dan kepemimpinan serta
mempunyai semangat jati diri yang kental dan patriotik.
6 Kementerian Pelajaran sentiasa mendukung aspirasi
negara bagi memperkasakan Bahasa Kebangsaan
seperti yang termaktub dalam Perlembangaan Malaysia.
Sehubugan itu, diharapkan semua pihak akan dapat
mengguna dan mengamalkan penggunaan bahasa
Melayu yang betul dan tepat. Kita juga akan
menggerakkan jentera pendidikan agar hasrat kerajaan
3
untuk meningkatkan tahap kesedaran dan kecintaan
terhadap Bahasa Kebangsaan tercapai. Rasa cinta akan
Bahasa Kebangsaan ini juga secara langsungnya akan
memastikan kelangsungan perpaduan dalam kalangan
rakyat di samping dapat memupuk jati diri yang
berteraskan wawasan negara.
7 Kementerian Pelajaran Malaysia akan turut memastikan
bahawa perancangan dan pelaksanaan agenda utama
pendidikan dalam RMK-9 dilaksanakan secara
bersepadu, berhemah dan bersungguh-sungguh. Hal
yang sedemikian ini akan memperlihatkan keprihatinan
kita dalam menyahut seruan kerajaan khususnya dalam
memastikan pembangunan modal insan dapat dicorakkan
mengikut wawasan negara kita. Sebagai rakyat Malaysia,
setiap daripada kita sama ada pada peringkat
pengurusan, pelaksana, pendidik atau murid-murid
perlulah memainkan peranan dan tanggungjawab yang
telah diamanahkan bukan sahaja untuk mempertahankan
kemerdekaan negara tetapi perlu memastikan
pengisiannya terjamin kukuh dengan berlandaskan
prinsip-prinsip dan nilai-nilai yang terkandung dalam
Rukun Negara.
8 Bersempena Sambutan Hari Kemerdekaan ini, marilah
kita bersama-sama terus menghayati tema kemerdekaan,
“Keranamu Malaysia” dan memperkukuh keazaman
4
untuk menghadapi dan mengatasi cabaran demi cabaran
yang mendatang. Sahutlah cabaran pendidikan negara ini
dengan penuh tanggungjawab dan berdedikasi. Saya
berdoa agar nikmat kemerdekaan yang kita kecapi
selama ini akan berterusan dan berpanjangan agar dapat
dinikmati pula oleh generasi yang akan datang.
Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Negara ke-49.
KERANAMU MALAYSIA!
5
MATAN PERUTUSAN KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA
SEMPENA SAMBUTAN HARI KEMERDEKAAN KE-49
TAHUN 2006
1 Kesyukuran sempena kemerdekaan negara dan kemerdekaan
sangat bermakna. Tokoh-tokoh kemerdekaan juga perlu diingati
sepenjang masa.
2 Warga pendidikan bertuah kerana kerajaan memberikan
peruntukan yang besar dalam RMK-9. Situasi ini menggambarkan
kepentingan Kementerian Pendidikan dalam arus perdana
kemajuan negara.
3 Pemerkasaan Sekolah Kebangsaan yang amat berkaitan dengan
perpaduan dalam kalangan rakyat.
4 Pendemokrasian pendidikan menjamin peluang menimba ilmu yang
terbuka kepada semua tanpa unsur prejudis dan proses awal untuk
membasmi buta huruf menjelang tahun 2020.
5 Pemartabatan profesion perguruan agar profesion ini sentiasa
dihormati di samping menegaskan bahawa guru sebagai agen
utama negara bagi menyemai semangat patriotik.
6 Pemerkasaan Bahasa Kebangsaan agar kualiti bahasa terpelihara
di samping kepentingan bahasa sebagai alat perpaduan dan
pembinaan jati diri.
7 Kementerian Pelajaran akan memastikan pelaksanaan RMK-9
dijalankan secara terurus dengan semua pihak memainkan
peranan dan tanggungjawab yang telah diamanahkan.
8 Penghayatan tema Hari Kemerdekaan di samping memperkukuh
keazaman untuk menghadapi cabaran dan berharap agar nikmat
kemerdekaan berpanjangan.
6