REFLEKSI
-
Upload
zawien-shuib -
Category
Documents
-
view
4.150 -
download
0
Transcript of REFLEKSI
REFLEKSI
Syukur saya ke hasrat Ilahi kerana dengan izinNya tugasan ini telah berjaya
disiapkan. Setelah menerima tugasan ini daripada Pn Siti Khazimah bt Abdul, saya dan
ahli-ahli kumpulan yang lain telah mengadakan perbincangan bagi menghasilkan idea-
idea sebelum pengagihan tugas dibuat.
Setelah mengenalpasti apakah pengisian yang diperlukan bagi setiap agihan
bahagian, saya mula membuat rujukan. Internet menjadi bahan rujukan utama dibantu
dengan buku-buku yang diperolehi dari Pusat Sumber sekolah. Perbincangan dengan
rakan-rakan di tempat kerja juga amat penting kerana ianya membantu mencetus idea
bagi dimuatkan didalam tugasan.
Pengetahuan sedia ada dan pengalaman sebagai seorang guru amat membantu
saya bagi mengaplikasikan model yang dibuat kerana sebagai guru yang telah lama di
bidang pendidikan, saya telah didedahkan dengan respon, penerimaan dan tanggapan
serta reaksi murid-murid didalam setiap aktiviti. Murid-murid sememangnya amat
berminat apabila didedahkan dengan sebarang aktiviti. Tumpuan dan kerjasama yang
diberikan amat berlainan dan menimbulkan suasana pembelajaran yang ceria. Murid-
murid teruja dan terlibat aktif untuk mengikuti dan mengetahui hasilan akhir aktiviti.
Bagi menjalankan aktiviti, guru perlu mengetahui latar belakang murid-murid,
tahap pencapaian mereka dan kesesuaian masa serta tempat juga perlu di ambilkira
bagi mempastikan aktiviti berjalan lancar dan mencapai objektif yang dikehendaki.
Semasa mengendalikan aktiviti, keupayaan guru menjelaskan kepada anak murid amat
penting, ini membolehkan murid-murid mengikuti dan menjalankan aktiviti mengikut
syarat dan peraturan yang sepatutnya. Murid-murid yang berada dilingkungan usia
kanak-kanak sememangnya sentiasa ingin bermain, mengambil tahu sesuatu yang baru
terutama bahan yang mempunyai unsur-unsur permainan. Kejayaan guru
menghasilkan rekreasi yang menarik, berjaya membantu murid memahami nombor
secara tidak langsung menguasai kemahiran empat operasi asas.
Kesukaran semasa menyiapkan tugasan ini adalah penggunaan bahasa yang
terdapat di bahan-bahan rujukan. Tugas menterjemahkan bahasa setiap bahan rujukan
yang diambil agak menyukarkan dan membimbangkan tidak menepati maksud yang
sebenar. Ianya juga menjadi kerisauan ahli kumpulan dan mengambil masa yang agak
lama untuk menyiapkan tugasan ini.
Namun yang pasti, setiap kerja yang dilakukan dengan penuh minat dan ikhlas
akan dapat dihasilkan dengan baik. Saya tidak menganggap tugasan saya sebagai
bebanan, kerana saya merasakan saya tidak keseorangan, segala permasalahan
dikongsi bersama rakan-rakan dalam kumpulan.
Pengalaman mengajar kita menjadi lebih matang, sikap tolak ansur, sentiasa
bersikap terbuka untuk menerima pandangan dan cadangan ahli kumpulan amat
penting. Jujur dalam bersahabat, mengambil berat masalah ahli kumpulan dan
sentiasa memberi kata-kata semangat antara satu sama lain akan melancarkan setiap
tugasan yang diberi.
Akhirnya, tugasan ini membuka minda saya, bahawa sebagai seorang guru, kita
mestilah sentiasa kreatif dan inovatif. Bagi menarik minat murid dan menghasilkan satu
kepuasan yang maksima.
REFLEKSI
Apabila dimaklumkan Hubungan Etnik merupakan subjek yang perlu dipelajari di
Semester Kedua, saya merasakan ianya sangat menarik. Kerana sememangnya saya
mengemari isu-isu yang berkaitan dengan sejarah. Telahan saya benar, kerana
mempelajari Hubungan Etnik memberikan maklumat kepada saya peri pentingnya kita
memelihara, memupuk dan menjamin kelangsungan hubungan etnik yang harmonis di
Malaysia.
Subjek ini membantu dan meningkatkan taraf kesedaran bahawa pentingnya
hubungan etnik yang mewarnai kehidupan kita perlu dibaja agar dapat
mempertingkatkan tahap akomodatif terhadap kelompok etnik laih seiring dengan
kehidupan kita yang sentiasa bersama di tempat kerja, perayaan dan persekitaran.
Aspek memahami, saling menghormati perlu ditanamkan dijiwa masing-masing agar
terhapus salah faham, stereotaip dan prejudis terhadapan etnik lain.
Tugasan yang diberi mengkehendakkan kami mencari maklumat mengenai
konsep-konsep asas hubungan etnik. Ahli kumpulan semasa membuat tugasan adalah
kaum India. Saya dapati kami boleh bekerjasama dengan baik tanpa ada sebarang
prejudis malah kami boleh makan sepinggan dan bergaul mesra tanpa batasan.
Kelemahan yang dirasakan ialah semasa mempelajari beberapa isu-isu seperti
Peristiwa 13 Mei. Timbul perasaan marah dan ketidakselesaan dengan sikap dan cara
etnik lain. Apabila menghayati dengan lebih mendalam, isu-isu ekonomi juga
menimbulkan pertanyaan tentang keadaan ekonomi orang Melayu yang merupakan
peribumi tetapi ketinggalan dari sudut ekonomi.
Namun saya berpendapat, orang Melayu telah maju, dengan berbagai
kemudahan yang disediakan, ramai cerdik pandai yang telah dihasilkan dikalangan
orang Melayu. Sesungguhnya kita sepatutnya mengambil peluang dan ruang yang ada
untuk memajukan diri kerana sesungguhnya Kerajaan sentiasa membantu dengan
menyediakan dasar dan pelan tindakan memajukan rakyat dan membina kesepaduan.
Sesungguhnya subjek ini telah menyedarkan saya akan penting lima perkara
utama yang perlu menjadi pegangan setiap etnik ialah “kesedaran”, “kefahaman”,
“akomodatif”, “saling menghormati” dan “perpaduan”, untuk menjamin dan memelihara
hubungan etnik yang harmonis.
REFLEKSI
Mengetahui saya perlu mengambil mata pelajaran Literasi Bahasa, saya
merasakan subjek ini mudah dan ringan. Timbul perasaan lega di hati, dan yakin saya
boleh mengikutinya dengan baik.
Kekuatan subjek ini ianya berkait rapat dengan bidang tugas saya sebagai seorang.
Bagi aplikasi sesuatu aktiviti itu, saya mampu mengadaptasikannya dengan realiti
keadaan murid. Bagaimana penerimaan, penglibatan dan reaksi murid apabila
dijalankan sesuatu aktiviti. Kesesuaian bahan mengikut tahap dan latarbelakang murid.
Keadaan dan keperluan semasa juga dilihat dan diambilkira. Yang paling menarik, satu
pengalaman baru yang saya perolehi ialah menyediakan papet untuk permainan
boneka. Saya dan ahli kumpulan sangat gembira menyediakan bahan-bahan. Kami
berkerjasama sehingga larut malam. Detik yang sangat menarik ialah semasa membuat
rakaman permainan boneka. Berkali-kali diulang dalam keadaan gelak tawa, sehingga
akhirnya kami berjaya menyiapkan rakaman.
Kelemahan yang ketara adalah untuk menghasilkan bahan bantu mengajar yang
mempunyai unsur-unsur kecindan. Sebagai guru matematik sekolah menengah
tingkatan tiga, saya hanya mengejar masa untuk menghabiskan sukatan dan memberi
latihtubi yang sebanyak mungkin kepada pelajar-pelajar yang akan menghadapi PMR,
sehinggakan saya tidak mempunyai ruang dan peluang menggunakan kreativiti saya
untuk merekacipta bahan maujud bagi digunapakai semasa P&P.
Namun saya menggunakan peluang yang diberikan oleh pensyarah Literasi
Bahasa ini, bagi mencetuskan idea dan menghasilkan bahan bantu mengajar yang
pada mulanya amat merunsingkan saya akibat ketandusan idea. Tetapi dengan
semangat dan sikap yakin boleh yang ada pada saya, saya telah berjaya
merealisasikan tugasan menyediakan beberapa BBM bersama rakan-rakan
sekumpulan. Malah saya secara sukarela membuat BBM permainan bahasa bertajuk
“Kebun PM’.
Setiap yang baru, pasti ada kepahitan untuk menerimanya. Kekangan masa,
kesibukan tugas mengajar, jarak yang jauh dengan rakan-rakan dalam kumpulan
menimbulkan keresahan menyiapkan setiap tugasan. Namun saya mendapat kekuatan
dan sokongan dari rakan-rakan. Saya selalu berkata dengan diri saya bahawa jika
orang lain boleh, mengapa tidak saya. Saya yakin saya boleh buat dan mampu
menghadapi serta mengharungi apa jua cabaran. Pengalaman mengajar kita menjadi
lebih matang, sikap tolak ansur, sentiasa bersikap terbuka untuk menerima pandangan
dan cadangan ahli kumpulan amat penting. Jujur dalam bersahabat, mengambil berat
masalah ahli kumpulan dan sentiasa memberi kata-kata semangat antara satu sama
lain akan melancarkan setiap tugasan yang diberi.