Sclm5133 Manifestasi Kritikan Politik Sajak Siber

download Sclm5133 Manifestasi Kritikan Politik Sajak Siber

of 9

description

Sajak Siber

Transcript of Sclm5133 Manifestasi Kritikan Politik Sajak Siber

  • 1

    SCLM5133

    BAHASA DAN PEMIKIRAN KESUSASTERAAN MELAYU

    TAJUK:

    MANIFESTASI KRITIKAN POLITIK DALAM SAJAK SIBER AZMI RAHMAN

    DISEDIAKAN OLEH:

    MOHD HAIRI BIN SUHAIMI @ SAHIMI (812664)

    AHMAD SHUKRI BIN ABDUL MAJID (812515)

    Pendahuluan

    Pada umumnya sajak adalah ekspresi tentang pengalaman manusia secara imaginatif dan terjalin

    di dalam bentuk-bentuk struktur yang tidak terkawal serta mempunyai bahasa yang indah untuk

    menemukan nilai rasa dan nilai erti yang seimbang. Ciri utama sajak seperti juga cerpen, novel

    dan drama mengandungi unsur-unsur emosi, imaginatif, dan akal budi.

    Kesan daripada ketiga-tiga unsur inilah, terlibat di dalam sajak lebih memancarkan keinginan

    dan kecenderungan penyair untuk mengungkapkan pelbagai sentuhan rasa dan tanggapan mata

    hatinya (Dharmawijaya, 1998). Manakala, Zaaba (1965) mentakrifkan sajak sebagai sejenis

    karangan berangkap cara baru di dalam bahasa Melayu. Di antara sifat-sifatnya ialah ia tidak

    memakai timbangan dan sukatan bunyi yang tetap, serta tiada ukuran rentak yang sama.

  • 2

    Kebanyakannya sajak tidak memakai pertentangan bunyi, sama ada tetap dan bertambah di

    hujung kerat atau di mana-mana pun, tetapi isinya menentukan perasaan yang kuat dan

    mendalam dengan bahasa berkias ibarat.

    Muhammad Haji Salleh (1984) pula mengatakan sajak sebagai satu bentuk moden yang lebih

    bebas dari ikatan bentuk-bentuk tradisi. Menurut Hashim Awang pula (1985), sajak merupakan

    puisi baru yang popular, lahir sebagai alternatif kepada puisi tradisional. Ini keranan bentuknya

    tidak terikat dengan sebarang kontroversi dan lebih bebas.

    Secara umumnya, sajak merupakan karangan berangkap, bentuk bebas yang sudah menyimpang

    daripada bentuk puisi lama. Sajak tidak dilihat dengan jumlah kata, baris atau skema rima,

    namun ia amat mementingkan bahasanya sehingga menimbulkan kesan dan nilai estetika yang

    tinggi. Sajak juga dianggap sebagai kata-kata yang terbaik dalam susunan yang terbaik. Selain

    itu, sajak adalah sejenis karya sastera yang segala-galanya dipesat dan dipadatkan, serta kesatuan

    bahasa di dalam sajak tidak terlihat oleh logik sintaktik (Atmazaki, 1993).

    Seiring dengan perkembangan teknologi multimedia, pengkarya-pengkarya sastera mula

    mengorak langkah dengan mengujudkan medan berkarya baharu yang dikenali sebagai sastera

    siber. Sastera siber mula mendapat tempat oleh kebanyakan pengguna dan juga peminat sastera

    sebagai medan alternatif untuk menzahirkan karya mereka untuk tatapan khalayak. Sebagai

    ruang karya alternatif, ia secara tidak langsung bergerak sesuai dengan perkembangan semasa

    dalam dunia teknologi maklumat, yang memungkinkan semua manusia berada dalam satu

    daerah.

  • 3

    Terdapat beberapa laman utama yang menyediakan ruang untuk peminat dan juga kelompok

    penulis, teruatamanya generasi baru untuk berkarya. Antaranya ialah portal pustakamaya.net,

    melayu.com, karyanet.com.my, arahkiri.cjb.net, idealis-mahasiswa.net dan esastera2u.com.

    Namun antara portal-portal tersebut, esastera2u.com merupakan portal yang menonjol dan

    popular. Kepelbagaian pilihan yang ada dalam portal esastera2u.com memungkinkan

    pengunjung dapat berkarya secara bebas dan terbuka menjadikannya antara yang menarik untuk

    dikunjungi. Portal esastera2u.com diasaskan oleh Prof. Dr. Ir. Wan Abu Bakar Wan Abas,

    profesor di Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya. Portal

    esastera2u.com juga melahirkan ramai saterawan hebat yang mampu berkarya setanding dengan

    sasterawan arus perdana. Salah seorang daripadanya adalah Azmi Rahman, seorang sasterawan

    siber yang popular dan aktif berkarya.

    Manifestasi kritikan politik dalam sajak siber Azmi Rahman

    Azmi Rahman merupakan antara penggiat sastera siber yang popular di portal esastera2u.com.

    Beliau merupakan pensyarah bidang bahasa dan linguistik di Kolej Sastera dan Sains, Universiti

    Utara Malaysia, Sintok, Kedah ini adalah penulis yang menggemari sastera tradisi dan juga karya

    gabungan (poligenre) selain sajak moden. Beliau merupakan seorang penulis yang sering

    memanafaatkan bahasa sederhana namun diadun serta dipadankan menjadi sajak yang

    mempunyai makna yang mendalam serta mampu menzahirkan rasa dan amanat dengan

    berkesan. Beliau juga seorang penulis yang berani bereksperimen dengan pelbagai gabungan

    elemen multimedia yang mampu menyemarakkan lagi dunia kesusasteraan. Pemikiran beliau

  • 4

    melalui sajak-sajaknya dalam esastera2u.com banyak dipengaruhi oleh situasi semasa.

    Contohnya seperti sajak Kerusi, Calon, dan Kempen yang dipengaruhi suasana politik di

    Malaysia yang berdepan dengan suasana pilihanraya ke 13. Beliau menggambarkan suasana

    politik Malaysia semakin kotor dengan dipenuhi politik wang, janji-janji yang belum tentu

    ditunaikan serta perebutan kuasa untuk menjadi calon pilihanraya. Berikut adalah manifestasi

    beliau terhadap suasana politik di Malaysia berdasarkan tiga buah sajak yang disiarkan dalam

    esastera2u.com.;

    KERUSI

    Kerusi; ada kaki dan tempat bersandar. Duduklah dan rehatlah. Buatlah kerja sendiri dengan tenang. Kerusi; bukan lagi kerusi kayu atau batu di rumah atau di taman. Bukan menjadi rebutan dalam permainan kerusi muzikal. Kerusi; adalah kerusi rebutan ghairah nafsu mencakar-cakar kepala lawan dan kawan. Kerusi; adalah kerusi ideologi merah, biru, putih, hijau, dan ideologi tanpa warna. Kerusi; kuasa di persada menjadi kuku mencengkam hak. Kerusi; adalah kerusi amanah. Kerusi rakyat. Kerusi marhaen. Suaranya berbelit-belit di kaki kerusi. Awas, sekumpulan anai-anai senyap memakan kayu. Kerusi akan reput dan patah. Kerusi yang patah kaki dan roboh. Kerusi baru diatur dalam barisan pejuang. Kerusi reput; yang buruk. Hodoh.

  • 5

    Patah kaki. Tercabut penyandar. Dibakar. Kerusi sampah. Kerusi; adalah kerusi panas yang sukar diganggu anai-anai. Kalian menjadi kerusi malas. Kalian terhukum di kerusi elektrik. Kerusi aku; terciptalah sajak-sajak siber tanpa perlu riuh propaganda berganda-ganda.

    Azmi Rahman 27 Februari 2013 CALON

    Calon-calonnya adalah:

    Muka baru Disolekkan dengan mimpi kuasa.

    Muka lama Dipakaikan topeng kuasa baru.

    Muka bermuka-muka Di mana muka terkemuka?

    Azmi Rahman Sintok 16 April 2013

    KEMPEN Klise sang politikus: - Turun padang (padang kering/ berlumpur/ tumbuh lalang) - Undilah (rahsia peribadi) - Calon di hati (bukan pilihan akar umbi)

  • 6

    - Berjanji (hutang janji bertimbun) - Sepenggal (terpenggal) Azmi Rahman Sintok April 2013

    Pemilihan judul kerusi, kempen, dan calon memang bersesuaian sekali dengan suasana

    pilihanraya yang bakal berlangsung pada 5 Mac 2013. Sajak ini merupakan satira politik yang

    mempunyai hubungkait antara kerusi dan mengundi. Semua pengundi tengah tidak sabar untuk

    mengundi pada pilihanraya umum ke tiga belas untuk memilih calon yang bakal memimpin

    negara. Latarnya pula ialah musim pilihanraya yang semakin hangat bahangnya.

    Karya siber beliau menarik dan berkesan serta dipaparkan dengan aksara yang pelbagai saiz,

    berwarna, latar karya berwarna warni, ada imej, animasi yang bersesuaian dengan isi teks dan

    mempunyai pautan ke laman sesawang yang lain. Contohnya penggunaan pautan dalam sajak

    calon(muka terkemuka) beliau mampu menzahirkan sesuatu maksud dengan lebih mendalam

    serta memberi kefahaman yang jelas kepada khalayak.

    Sajak-sajak beliau bertemakan kritikan sosial politik yang memberi peringatan tentang

    tanggungjawab ahli politik yang bakal dipilih sebagai pemimpin masyarakat. Sajak ini

    menggambarkan keadaan politik semasa di Malaysia yang tengah hangat sempena pilihanraya

    umum ke tiga belas. Ia disajakkan dengan lancar dalam pola prosa dengan menggunakan simbol-

    simbol tertentu sebagai topik utama.

  • 7

    Berdasarkan sajak-sajak tersebut, beliau cuba melontarkan rasa kesal terkilan dengan permainan

    politik semasa yang berlaku di Malaysia seperti dalam sajak kempen melalui bait-bait seperti

    berikut:

    - Berjanji (hutang janji bertimbun) - Sepenggal (terpenggal)

    Melalui sajak calon, Azmi Rahman mengkritik calon yang dipilih oleh parti politik yang

    bertanding melalui bait-bait seperti berikut:

    Calon-calonnya adalah:

    Muka baru Disolekkan dengan mimpi kuasa.

    Muka lama Dipakaikan topeng kuasa baru.

    Muka bermuka-muka Di mana muka terkemuka?

    Contoh-contoh kerusi yang beliau berikan dalam sajak kerusi, seperti kerusi reput, sampah,

    buruk dan sebagainya adalah pandangan beliau terhadap adanya segolongan ahli politik yang

    hanya pandai berpolitik tetapi tidak mampu membangunkan negara.

    Beliau cenderung memilih diksi sederhana serta gaya bahasa yang tidak begitu menekan.

    Kritikan beliau secara bersahaja tetapi menarik minat khalayak untuk menghayatinya. Sajak-

    sajak beliau ini memiliki nada yang pelbagai. Bergantung kepada cara khalayak menghayatinya.

  • 8

    Sajak-sajak beliau seperti kerusi, kempen dan calon boleh menjadi nada satira, nada

    kecaman, nada cemuhan, nada perlian dan sebagainya namun semua nada menuju kearah

    kritikan sosial yang tegas.

    Penutup

    Dengan gaya bahasa sederhana dan bersahaja, penulis telah berjaya menulis satira yang

    menghiburkan namun penuh sindiran dan teguran. Keupayaan beliau memantap dan

    memaksimakan fungsi bahasa mampu menghasilkan sajak yang penuh bermakna. Karya Azmi

    Rahman ini mampu memberi teguran kepada ahli politik yang berebut untuk menjadi calon

    pilihanraya menerusi bahasa-bahasa yang simbolik sebagai tonggak utama.

    Namun beliau mengambil posisi selamat dengan tidak menyebelahi mana-mana pihak dan tidak

    menamakan sama ada kerajaan atau pembangkang yang dikritiknya. Mungkin juga beliau rasa

    keburukan ada di semua pihak yang bakal bertanding di Pilihan Raya Umum ke tiga belas

    nanti. Sebagai khalayak, beliau mahu kita berfikir dan mengkaji dengan lebih mendalam dan

    kritis sebelum memilih demi untuk masa depan negara yang gemilang.

  • 9

    Rujukan

    Atmazaki. (1993). Analisis sajak: Teori, metodologi dan aplikasi. Bandung: Penerbit Angkasa

    Azmi Rahman. (20 April 2013). Kerusi. Diperoleh dari

    http://esastera2u.com/index.php/sections/category/30?cat_id=16

    Azmi Rahman. (April 2013). Calon. Diperoleh dari

    http://esastera2u.com/index.php/sections/category/30?cat_id=16

    Azmi Rahman. (16 April 2013). Kempen. Diperoleh dari

    http://esastera2u.com/index.php/sections/category/30?cat_id=16

    Dharmawijaya. (1988). Dunia puisi dalam penelitian dan pengajaran. Shah Alam: Penerbit

    Fajar Bakti Sdn. Bhd

    Hashim Awang. (1985). Mendekati kesusasteraan Melayu. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti.

    Muhammad Haji Salleh. (1984). Pengalaman puisi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

    Za'ba. (1965). Ilmu mengarang Melayu: Bagi pergunaan guru guru dan murid murid darjah

    tinggi di-sekolah menengah dan penuntut di-maktab latehan guru ((Chetak ketiga). Kuala

    Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.