Sejarah Pulau Perhentian2

12
KLASIFIKASI CITRA MULTISPEKTRAL LAPORAN PRAKTIKUM UNTUK MEMENUHI TUGAS MATAKULIAH Penginderaan Jauh Terapan untuk Sumber Daya Lahan Yang dibina oleh Alfu Nur Rusydi S.Si, M.Sc Oleh Ali Atul Rodiansyah 120722420605

description

memaparkan sejarah pulau perhentianpart 2

Transcript of Sejarah Pulau Perhentian2

Page 1: Sejarah Pulau Perhentian2

Pulau Perhentian Semasa JepunSemasa Jepun melanggar Tanah Melayu dalam perang dunia kedua iaitu di sekitar 1941 hingga tahun 1945, Pulau Perhentian tidak ketinggalan dari terasa bahangnya. Pulau Perhentian dijadikan pelabuhan tempat persinggahan sementara tentera Jepun untuk menyerang lain-lain tempat di Tanah Melayu dan Asia Tenggara. Kapal-kapal tentera Jepun berlabuh dan berkubu sementara di Pulau Perhentian.

Tentera Jepun bertindak merampas makanan dan ternakan daripada orang-orang kampung. Penduduk menjadi ketakutan, terutama sekali golongan muda. Ini adalah kerana tentera Jepun bertindak cuba menangkap tenaga-tenaga muda ini untuk dijadikan buruh keretapi maut di Burma. Bagi mengelakkan diri dari tertangkap, mereka melarikan diri ke atas bukit dan memasuki hutan Pulau Perhentian. Penduduk kampung yang lari terpaksa bermalam di dalam hutan dan mendapat bekalan makanan daripada golongan tua yang masih tinggal di rumah masing-masing secara sembunyi-sembunyi. Sebenarnya bukan sahaja golongan muda lelaki sahaja yang melarikan diri tetapi juga golongan wanita kerana takut akan kekejaman tentera Jepun.

Kesengsaraan pada zaman Jepun turut dirasakan oleh penduduk Pulau Perhentian sepertimana yang dirasakan oleh penduduk Tanah Besar Semenanjung. Semua ternakan dan makanan yang tidak sempat disembunyikan dirampas oleh tentera Jepun dan sesiapa yang cuba melawan akan diseksa dan dibunuh oleh mereka. Penduduk kampung yang bersembunyi keluar dari tempat persembunyian apabila Jepun mengaku kalah dalam tahun 1945. Setelah Jepun mengaku kalah baharulah orang-orang kampung menjalani kehidupan seperti biasa sama seperti sebelum pendudukan tentera Jepun. 

Pulau Perhentian Zaman SekarangSekarang Pulau Perhentian sedang pesat membangun. Segala kemudahan asas yang ada di Tanah Besar terdapat di sini walaupun tidak secanggih yang terdapat di Tanah Besar. Penduduk Pulau Perhentian hampir mencapai angka seribu orang. Kehidupan mereka kini tidak lagi susah dan perit sebagaimana beberapa dekad yang lalu. Mereka tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara.

Dengan adanya kemudahan eletrik 12 jam, penduduk di sini mampu memiliki dan mengikuti perkembangan semasa melalui peti televisyen dan tidak lagi tertutup kepada dunia luar. Boleh dikatakan hampir setiap keluarga memiliki peti televisyen dan setiap rumah diterangi lampu letrik. Di samping tenaga letrik penduduk Pulau Perhentian juga mendapat kemudahan bekalan air paip yang disediakan oleh pihak kerajaan.

Perkampungan Pulau Perhentian kini menjadi sebuah perkampungan yang lebih tersusun kerana adanya beberapa fasa perumahan yang dibina oleh kerajaan di samping beberapa fasa lagi yang dalam pembinaan. Apabila semua projek perumahan kos rendah yang dibina itu siap, Pulau Perhentian akan menjadi satu perkampungan yang cantik, kemas dan tersusun. Dalam tempoh beberapa tahun lagi Pulau Perhentian tidak akan ada lagi rumah-rumah di tepi pantai yang menyesakkan persekitaran.

Selain dari itu, Pulau Perhentian kini mempunyai beberapa kemudahan asas yang lain, iaitu sebuah sekolah untuk kemudahan anak-anak tempatan, sebuah klinik untuk memberi rawatan dan kemudahan kesihatan kepada penduduk kampung sebelum dihantar ke pusat kesihatan besar di Tanah Besar. Sebuah pondok polis didirikan untuk memberi kemudahan kepada orang ramai yang memerlukan pertolongan.

Page 2: Sejarah Pulau Perhentian2

Sejak penghujung dekad 70an, pelancong dari dalam dan luar negara tidak putus mengunjungi Pulau Perhentian. Ramai pelancong luar negara mengunjungi Pulau Perhentian kerana udaranya yang bersih, pantainya yang cantik dengan pasir putih bersih serta persekitaran pulau yang menarik. Oleh kerana kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara kian meningkat, penduduk kampung merebut peluang yang ada dengan menyediakan keperluan untuk para pelancong. Banyak rumah tumpangan didirikan untuk disewakan kepada pelancong. Bot-bot untuk kemudahan pelancong pergi dan balik dari Pulau Perhentian juga disediakan. Perkembangan ini telah menjadikan penduduk Pulau Perhentian mempunyai pilihan dalam mencari rezeki untuk keluarga. Dari segi taraf hidup, penduduk Pulau Perhentian kini mempunyai taraf hidup yang sama dengan apa yang dirasakan oleh penduduk di Tanah Besar. 

Lagenda Di Pulau PerhentianBatin Mina

Batin Mina merupakan orang yang pertama membuka satu kawasan penempatan di Pulau Perhentian. Beliau dikatakan berasal dari Johor-Riau. Oleh kerana adanya campurtangan Inggeris dan Belanda di situ, beliau telah bertindak menentang campurtangan itu. Pada masa itu, Belanda menguasai kepulauan Indonesia dan Inggeris menguasai Tanah Melayu. Beliau dikatakan begitu marah dengan campurtangan itu dan bertindak menentang dasar itu.

Beliau dikatakan bersama orang-orangnya telah bertindak menyerang kapal-kapal dagang Inggeris dan Belanda yang berlayar di sekitar perairan Riau. Tindakannya menyerang dan merampas barang-barang dagangan yang dibawa oleh kapal-kapal dagang Inggeris dan Belanda itu telah menimbulkan kemarahan pihak Belanda dan Inggeris. Pihak Belanda dan Inggeris menganggap Batin Mina dan orang-orangnya sebagai lanun. Tetapi tindakan Batin Mina dan orang-orangnya tidak begitu berkesan untuk menghalang dua kuasa imperialis itu dari menguasai gugusan Kepulauan Melayu. Ini adalah kerana dua kuasa itu mempunyai kelengkapan senjata yang baik.

Tindakan Batin Mina itu telah menyebabkan pihak Belanda dan Inggeris menyerang balas dan menyerang kubu-kubu yang digunakan oleh Batin Mina dan orang-orangnya. Batin Mina yang telah dianggap lanun oleh dua kuasa barat itu telah menjadi buruan pihak Belanda dan Inggeris. Batin Mina dan orang-orangnya telah lari dari buruan pihak Inggeris dan Belanda itu ke Timur Semenanjung. Kemudian membuka penempatan dan menetap di Teluk Dalam Pulau Perhentian Besar.

Beliau dikatakan seorang yang terkenal kerana mempunyai ilmu kebatinan yang tinggi. Seorang pendekar yang terbilang serta mempunyai ilmu kebal. Beliau juga adalah seorang bomoh yang handal. Di Pulau Perhentian beliau dikenali sebagai Batin. Kehandalan Batin Mina sebagai bomoh memang terkenal kerana dikatakan telah berjaya mengubati penyakit sehingga sampai ke istana.

Pada masa beliau menjadi batin di Pulau Perhentian, bekalan pakaian dan makanan tidak mencukupi untuk penduduk yang di bawah tanggungjawabnya. Langkah yang diambil oleh Batin Mina ialah dengan meminta bekalan makanan dan pakaian dari wakam atau tongkang besar Cina yang berlabuh di sekitar perairan Pulau Perhentian. Segala pemberian itu bolehlah dianggap sebagai cukai dan jaminan keselamatan kepada kapal-

Page 3: Sejarah Pulau Perhentian2

kapal dagang yang berlabuh. 

Tetapi ada di antara kapal-kapal dagang Cina yang berlabuh itu enggan memberikan apa yang diminta oleh Batin Mina. Tindakan pedagang itu menimbulkan kemarahan Batin Mina. Dengan menggunakan ilmu kebatinan yang ada padanya, beliau dikatakan telah bertindak menghalang pelayaran kapal-kapal dagang itu dengan membina beting-beting pasir di tengah laut. Oleh kerana adanya beting pasir itu, kapal-kapal tidak dapat meneruskan pelayaran dan terpaksa tunduk kepada Batin Mina. Tindakan Batin Mina itu telah menyebabkan kapal-kapal dagang yang berlindung di Pulau Perhentian membayar cukai kepada Batin Mina.

Panglima Dayak

Beliau adalah merupakan panglima kepada Batin Mina. Panglima Dayak bertindak sebagai pembantu kepada Batin Mina dari segi keselamatan penduduk Pulau Perhentian pada masa itu. Beliau tidak terus menjadi panglima kepada batin yang selepas Batin Mina. Mengikut cerita, beliau dikatakan ghaib selepas sahaja kematian Batin Mina.

Mengikut cerita, jika ada orang yang tersesat di atas bukit Pulau Perhentian Besar akan terjumpa dengannya dan beliau akan membantu atau membawa ke satu tempat yang dinamakan Pinang Seribu. Dari cerita lisan yang diperkatakan, pernah terjadi orang yang tersesat di atas bukit Pulau Perhentian akan ditemui di tempat yang sama sahaja dengan mereka yang tersesat sebelumnya. Ini terjadi kerana mereka yang tersesat itu dikatakan telah dibawa oleh Panglima Dayak. Setelah mereka yang tersesat itu dibawa ke beberapa tempat dengan tidak disedari oleh mereka yang tersesat itu, kemudian ianya akan dihantar ke satu tempat yang dikenali dengan Pinang Seribu. Orang yang mencari akan menemui mereka yang tersesat itu di tempat yang sama setiap kali kejadian sesat ini berlaku. Panglima Dayak ini dikatakan masih ada lagi hingga sekarang ini. Wallahualam. 

Metos Di Pulau PerhentianPada zaman dahulu, di Pulau Perhentian tinggal seekor naga yang sangat besar. Naga itu dikenali dengan panggilan Naga Pulau Berjuang. Ia tinggal di satu tempat yang sekarang ini dikenali dengan Tanjung Basi, Pulau Perhentian Besar. Pada satu ketika, Naga Pulau Berjuang turun ke laut kerana berjuang menentang seekor naga lain yang cuba mengganas dan menenggelamkan Pulau Perhentian. Tempat naga itu turun meninggalkan kesan di atas bukit Pulau Perhentian. Jalan yang dilalui oleh naga itu sekarang ini dikenali dengan nama Jalan Naga. Satu perkara lagi yang menarik di Pulau Perhentian ialah tentang ular yang ada di atas pulau ini. Tidak ada ular bisa tinggal di atas pulau ini. Semua ular yang tinggal di pulau ini tidak mempunyai bisa. Dari apa yang diperkatakan, yang ada di atas pulau ini hanyalah ular sawa sahaja. Mengikut cerita, ular bisa tidak boleh tinggal di atas pulau ini kerana terdapatnya keladi lekir dan akar cina putih yang mujarab sebagai penawar bisa ular. Walau ular itu bisa semacam manapun, ianya akan menjadi tawar kerana adanya dua jenis tumbuhan itu. Oleh kerana itulah, semua ular bisa tidak berani tinggal di atas Pulau Perhentian. Akar cina putih mendapat nama kerana, ianya digunakan oleh kelasi-kelasi kapal dagang Cina untuk membuat tali sauh dan tali kapal. Akar cina putih ini adalah sejenis tumbuhan yang menjalar dan kukuh sebagai tali. Oleh kerana ianya sering digunakan oleh tongkang-tongkang dan kapal-kapal dagang cina, lalu ianya diberi nama sebagai akar cina putih. Sebagaimana yang telah diceritakan, Pulau Perhentian memang bebas dari ular yang berbisa. Apa yang dimaksudkan di sini ialah di atas pulau itu. Mengikut cerita, memang tidak ada ular bisa di atas pulau itu melainkan ular

Page 4: Sejarah Pulau Perhentian2

laut saja. Cuma yang ada sejenis ular sahaja iaitu ular sawa. Sumber:Berita Darul Iman Mac - Okt. 1995oleh : Yusof Bin Awang SuPemenang Ketiga: "Sayembara Penulisan Tempat Sejarah Di Terengganu