Sosialis (Nov Dis 2015)

16
Diterbitkan oleh: Parti Sosialis Malaysia (PSM) 22A, Jalan Vivekananda, Brickfields, 50470 Kuala Lumpur. Tel: 03-22747791 Faks: 03-87374772 partisosialis.org E-mel: [email protected] Facebook: psm.sosialis RM 1 RM2 HARGA SOLIDARITI BERJUANG BERSAMA RAKYAT NOV-DIS 2015 baca lanjut di m/s 6 & 7 | PQ/PP1505(17864) > m/s 13 > m/s 4 > m/s 4 Sah!!! TPPA akan jajah Malaysia baca lanjut di m/s 8 & 9 Bersuara itu jenayah? OKU protes hentikan lelong rumah Rakyat Jerman bantah TTIP > m/s 10 Gaji minimum naik RM 100 Pekerja dihina Bajet 2016 mampu kurangkan beban hidup?

description

Topik: Bajet 2016, TPPA, Lelong Rumah, Kempen Bebas Khalid, Jerman Bantah TTIP, Raja Zalim Raja Disanggah

Transcript of Sosialis (Nov Dis 2015)

Page 1: Sosialis (Nov Dis 2015)

Diterbitkan oleh: Parti Sosialis Malaysia (PSM) 22A, Jalan Vivekananda, Brickfields, 50470 Kuala Lumpur. Tel: 03-22747791 Faks: 03-87374772partisosialis.org E-mel: [email protected] Facebook: psm.sosialis

RM 1 • RM2 HARGA SOLIDARITI BERJUANG BERSAMA RAKYATNOV-DIS 2015

baca lanjut di m/s 6 & 7

| PQ/PP1505(17864)

> m/s 13

> m/s 4

> m/s 4

Sah!!! TPPA akan jajah Malaysia

baca lanjut di m/s 8 & 9

Bersuara itu jenayah?

OKU protes hentikan lelong rumah

Rakyat Jermanbantah TTIP

> m/s 10

Gaji minimum naik RM 100Pekerja dihina

Bajet 2016 mampukurangkan beban hidup?

Page 2: Sosialis (Nov Dis 2015)

Nov-Dis 20152 PSM

Parti Sosialis Malaysia (PSM) adalah satu parti politik rakyat Malaysia yang berasaskan prinsip dan ideologi sosialisme yang bersifat Perjuangan Rakyat berteraskan keadilan sosial dan ekonomi; bagi mewujudkan masyarakat demokratik yang aman, makmur, maju, berakhlak mulia dan saksama. Ia berjuang untuk memenuhi keperluan asas rakyat dan membebaskan rakyat daripada sebarang bentuk penindasan dan pemaksaan.

Bendera dan Lambang

Lambang parti ialah genggaman tangan kiri yang melambangkan perpaduan rakyat dan semangat perjuangan. Merah melambangkan perjuangan dan putih melambangkan kesucian dan keikhlasan dalam perjuangan.

Matlamat Parti Sosialis

Mengamalkan prinsip sosialisme sebagai cara hidup.

Mempertahankan masyarakat demokratik dan progresif yang mengutamakan kerohanian, kemanusiaan dan keadilan sebagai asas ke arah pembangunan.

Memastikan strategi pembangunan yang mewujudkan hubungan seimbang antara keperluan sosial dan ekonomi di peringkat individu, masyarakat dan nasional.

Mengagihkan kekayaan secara adil dan saksama, Melaksanakan sistem sosioekonomi yang mempunyai mekanisme dalaman untuk menghalang penindasan dan sifat tamak.

Memberi peluang kepada rakyat berbilang kaum, jantina, agama, usia, pekerjaan dan menyertai proses mewujudkan persefahaman yang lebih jitu di kalangan kaum, agama dan budaya.

Mengukuhkan hak asasi manusia pada setiap peringkat masyarakat dan mendedahkan sebarang bentuk penindasan, nepotisme, hipokrasi dan kepalsuan.

Menghormati Perlembagaan Persekutuan yang menekankan kepada hak demokratik dan toleransi bahasa, budaya dan agama.

Menjamin kebebasan bersuara, berpersatuan dan kecapaian intelektual memberi keutamaan dalam tanggungjawab sosial terhadap kebajikan pekerja dan keluarga menjaminkan hak pekerja untuk menubuhkan kesatuan pekerja memberi keutamaan institusi kekeluargaan khususnya kepada wanita yang mengandung, bayi, kanak-kanak, wargatua dan mereka kurang keupayaan.

Memastikan tidak berlaku penindasan dan diskriminasi di semua peringkat bagi sektor perindustrian dan pertanian.

Mewujudkan rasa saling menghormati, memahami dan tolak ansur di kalangan semua agama dan budaya.

Menyediakan peluang pendidikan percuma di semua peringkat dengan mewajibkan pendidikan di peringkat rendah dan menengah.

Memastikan penyertaan guru dan pelajar dalam proses menentukan haluan sistem pendidikan nasional.

Melindungi alam sekitar daripada pencemaran dan pembinasaan.

Mengurangkan birokasi dan menghapuskan karenah birokasi yang mengekang pembangunan.

Mengapa Kita Perlu Satu Parti Sosialis?

Sistem yang ada kini telah gagal membawa kesejahteraan kepada rakyat yang majoriti.

Sistem kapitalis ini hanya mengutamakan segelintir kecil masyarakat.

Untuk menumbangkan sistem kapitalis ini perlu ada sistem Sosialis yang lebih mementingkan aspek kemanusiaan, keadilan dan pengagihan kekayaan.

Parti Sosialis ini adalah untuk membela nasib majoriti rakyat iaitu para pekerja kilang, petani, nelayan, pekerja ladang, peniaga kecil, orang Asli, pelajar, pekerja semi-profesional dan sebagainya.

Masalah rakyat bukan di antara orang Melayu, Cina dan India atau di antara orang Islam dan bukan Islam. Tetapi orang kaya dan miskin. Kekayaan negara dimiliki dan dibolot oleh segelintir kecil masyarakat, anak dan kroni mereka. Manakala rakyat yang majoriti masih belum menerima bahagian.

Parti Sosialis lebih mementingkan isu-isu asas rakyat seperti pekerjaan, rumah, tanah, alam sekitar dan sebagainya. Parti Sosialis akan menyatukan tenaga semua golongan pekerja untuk mempertahankan hak kita.

Parti Sosialis Malaysia (PSM) adalah sebuah parti yang lahir dari perjuangan rakyat akarumbi di kilang, ladang dan kawasan miskin kota. Parti ditubuhkan sebagai alat untuk kaum pekerja dan golongan berpendapatan rendah dan menengah untuk hak mereka. PSM meneruskan perjuangan menentang rasuah, penyelewengan dan perkauman golongan yang memerintah. Selagi penindasan rakyat ada, perjuangan ini akan berterusan.

Parti Sosialis Malaysia22A, Jalan Vivekananda,Brickfields,50470 Kuala Lumpur.Tel: 603-22747791Fax: 603-87374772Email: [email protected] web: http://partisosialis.org/

Untuk sumbangan, sila buat cek atas nama: Parti Sosialis MalaysiaNo. Akaun Maybank: 512080337313

DASAR PERJUANGAN

PARTI SOSIALIS MALAYSIA

Jika anda mahu AKHBAR SOSIALIS dipos terus kepada anda, maka anda boleh berlanggan terus dengan kami.

Harga solidariti (termasuk harga setem) RM25 setahun (12 keluaran akhbar SOSIALIS Bahasa Melayu)

Nama: ________________________________________

Alamat: _________________________________________________________________________________________________________________________________

Telefon: _____________________________________

Faks: _____________________________________

Cek / Wang Pos / Draf Bank atas nama PARTI SOSIALIS MALAYSIA

Hantar kepada Parti Sosialis Malaysia22A, Jalan Vivekananda, Brickfields50470 Kuala LumpurTel: 603-22747791Fax: 603-87374772Website- http://partisosialis.org/

Langganlah Akhbar

Sekarang!

Bajet 2016 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Najib Razak baru-baru ini, nampaknya tidak menunjukkan keseriusan kerajaan dalam menangani masalah rakyat. Walaupun kerajaan cuba menonjolkan bahawa ingin menyelesaikan masalah jurang perbezaan kekayaan yang semakin melebar, seperti menaikkan kadar cukai golongan kaya yang berpendapatan antara RM600,001 hingga RM1 juta daripada 25% kepada 26%, dan kadar cukai golongan yang berpendapatan melebihi RM 1 juta ke 28%, namun langkah sebegini masih tidak cukup lagi. Kenaikan gaji minimum RM 100 untuk pekerja di Semenanjung Malaysia bukan sahaja sudah lambat untuk 1 ½ tahun, malah ia hanya bagaikan sedekah kepada golongan pekerja yang semakin hari semakin tertekan dengan kenaikan kos hidup.

Kesejahteraan rakyat biasa bukan sahaja tidak dapat dipertingkatkan dengan Bajet 2016, malah akan menghadapi ancaman yang lebih serius lagi dengan penandatanganan perjanjian perdagangan bebas TPPA (Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik) yang didominasi oleh kepentingan korporat multinasional. TPPA yang dipersetujui oleh 12 buah negara termasuk negara kita dan kuasa besar Amerika Syarikat, merupakan alat penjajahan pada abad ke-21, di mana kepentingan rakyat dan kedaulatan sesebuah negara akan tertakluk di bawah peraturan permainan korporat antarabangsa

yang mengutamakan keuntungan semata-mata.

Walaupun kerajaan cuba memberikan satu gambaran bahawa ekonomi negara kita nampaknya tiada masalah, tetapi hakikatnya adalah kita berkemungkinan besar akan menghadapi krisis ekonomi tidak lama lagi. Sudahpun ada berita tentang kilang-kilang dan syarikat-syarikat pelaburan asing di negara kita yang sedang atau merancang untuk mengurangkan tenaga kerja demi mengurangkan kos atau pemindahan operasi ke negara lain yang mempunyai tenaga kerja yang lebih murah. Sememangnya perjanjian perdagangan bebas seperti TPPA dan mekanisme kerjasama serantau ASEAN tidak mengambil kisah tentang persaingan pemodal untuk tenaga kerja murah yang menjejaskan jaminan kerja para pekerja.

PSM telah melancarkan satu kempen baru-baru ini, iaitu kempen menuntut penubuhan Tabung Pemberhentian Kerja. Tabung ini amat perlu untuk membantu pekerja yang kehilangan kerja akibat daripada faktor-faktor di luar kawalan mereka seperti kegawatan ekonomi. Perlindungan sosial seperti Tabung Pemberhentian Kerja amat diperlukan khususnya pada waktu negara dilanda krisis ekonomi yang berterusan, bukan sahaja untuk mengurangkan kesengsaraan para pekerja, malah dapat memacu ekonomi dengan pendapatan pekerja yang terjamin. ##

Page 3: Sosialis (Nov Dis 2015)

Nov-Dis 2015 3PARTI DAN FRON

Jelajah PSM di Hulu LangatPSM telah mengadakan kempen jelajah di kawasan parlimen Hulu Langat pada 23-25 Oktober yang lalu. Rombongan PSM telah melawat ke beberapa tempat termasuklah Kajang, Cheras Mahkota, Sungai Kantan dan sebagainya. Isu-isu yang dibawa termasuklah tuntutan untuk gaji minimum RM 1500, Tabung Pemberhentian Kerja, bantah kenaikan tol dan juga bantah Akta Hasutan.

Jelajah PSM di KlangPSM telah mengadakan kempen jelajah di kawasan Klang pada 1 November yang lalu. Rombongan PSM telah mengedar risalah dan memberi penerangan tentang isu-isu rakyat kepada rakyat di situ.

Gabungan Kiri Gabungan Kiri telah mengadakan satu bengkel perancangan pada 31 Oktober hingga 1 November yang lalu di Port Dickson. Program tersebut bertujuan untuk menilai semula kerelevanan Gabungan Kiri dan juga merancang untuk memantapkan gerakan kiri di negara kita. Perbincangan yang berlangsung selama dua hari ini telah menjana semangat baru untuk membina kuasa politik kiri dan membawa gerakan perjuangan rakyat ke depan.

Satu mesyuarat antara cawangan PSM di 5 kawasan (Kajang, Semenyih, Dengkil, Bangi dan Banting) telah diadakan pada 10 Oktober yang lalu. Perbincangan tersebut diadakan untuk merancang aktiviti parti di kawasan-kawasan ini.

Bantah BANK lelong rumah

Pada 4 November yang lalu, PSM mengadakan protes di hadapan ibupejabat Bank Alliance di Kuala Lumpur, membantah tindakan bank yang tidak berperikemanusiaan. Bank Alliance bercadang untuk melelongkan rumah apabila pemiliknya baru meninggal dunia. Pihak bank melelongkan rumah tersebut walaupun proses pembayaran insurans pinjaman MRTA masih dalam proses. Ini telah menyebabkan isteri dan keluarga si mati “sudah jatuh ditimpa tangga”. Namun, selepas rundingan dengan pengurusan bank, pihak bank bersetuju untuk menangguhkan proses lelong rumah. Bersama dalam protes ini adalah A. Sivarajan, Setiausaha Agung PSM.

Masalah rumah pangsa kos rendahMencari penyelesaian alternatif

PSM telah menganjurkan satu forum yang membincangkan isu-isu berkaitan dengan rumah pangsa kos rendah di Daerah Hulu Langat. PSM telah mencadangkan agar dibentuk satu gerakan yang memperjuangkan isu rakyat yang berkaitan dengan flat kos rendah.

Kampung Hakka terus berjuang

Pada 22 Oktober yang lalu, satu mesyuarat telah diadakan bersama dengan penduduk Kampung Hakka, Mantin, Negeri Sembilan. Para penduduk Kampung Hakka telah memutuskan untuk meneruskan perjuangan mereka demi menyelamatkan kampung tradisi tersebut. Kampung Hakka telah menghadapi pengusiran paksa daripada pihak pemaju untuk beberapa tahun. PSM telah bersama dengan perjuangan Kampung Hakka sejak tahun 2012.

Sambil lalu, ambil tahu

Rokok naik harga? Tahukah kalian bahawa rokok pernah digunakan sebagai ‘mata wang’ suatu ketika dulu? Tahanan-tahanan perang dunia kedua di Kem Tentera Jerman menggunakan rokok sebagai medium untuk bertukar-tukar barangan. Dengan cuaca sejuk, ketagihan askar terhadap nikotin, ringan, dan mudah dibawa, rokok mempunyai nilainya tersendiri dalam keadaan sedemikian.

Page 4: Sosialis (Nov Dis 2015)

Nov-Dis 20154 NASIONAL

TPPA disahkan sebagai penjajahan ekonomi“Pendedahan teks penuh Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik (TPPA) telah mengesahkan kebimbangan kami yang paling dahsyat tentang apa yang dikatakan sebagai perjanjian abad ke-21 ini,” demikian katanya Mohd Nizam Mahshar, Pengerusi Gabungan Bantah TPPA.

Teks muktamad perjanjian perdagangan bebas TPPA telah diumumkan pada 5 November yang lalu, sebulan selepas wakil rundingan dari 12 buah negara mencapai persetujuan di Atlanta. Teks penuh perjanjian TPPA yang telah dimuatnaik ke laman web untuk tatapan umum tersebut, telah mendedahkan realiti bahawa perjanjian TPPA yang dibuat secara pintu tertutup memang untuk memastikan korporat besar multinasional dapat mengaut sebanyak keuntungan yang boleh dengan menggadaikan kepentingan rakyat negara yang menandatanganinya.

Teks penuh perjanjian TPPA yang mengandungi sebanyak 30 bab ini telah merangkumi pelbagai aspek, bukan dihadkan pada urusan perdagangan barangan antara negara sahaja. Hak intelek, hak pelabur, sektor kewangan, pembelian kerajaan, telekomunikasi, perdagangan elektronik dan sebagainya telah dimasukkan dalam perjanjian ini untuk menetapkan “peraturan permainan” bagi sistem ekonomi pasaran bebas kapitalis global yang didominasi oleh korporat multinasional. Kerajaan Amerika Syarikat (AS) berusaha kuat dalam

memastikan TPPA ini dapat ditandatangani demi menyelamatkan korporat besar daripada krisis ekonomi global yang berterusan dan mengukuhkan semula dominasi kuasa AS di rantau Asia Pasifik. TPPA bagaikan pengagihan kek antara korporat-korporat multinasional yang diselaraskan oleh kuasa besar seperti AS.

Kebimbangan mereka yang membantah TPPA sebelum ini telah disahkan dengan pendedahan teks penuh TPPA. Kerisauan sebelum ini tentang harga ubat akan naik kerana TPPA bukannya sesuatu khayalan tetapi kebenaran. Bab tentang harta intelek membolehkan syarikat ubat mendesak untuk memanjangkan tempoh paten melebihi 20 tahun dan menuntut pampasan untuk tempoh masa “tidak munasabah” yang diambil oleh pihak berkuasa yang mengawalselia ubat-ubatan untuk meluluskan paten. Pemanjangan tempoh paten akan melambatkan kemasukan ubat generik yang lebih murah ke dalam pasaran.

Peruntukan tentang eksklusiviti data telah diperluaskan kepada ubat “biologik” yang dihasilkan untuk mengubati penyakit seperti vaksin, ubat kanser dan teknik terapi seperti insulin. Syarikat ubat juga berkecenderungan untuk memanjangkan tempoh paten dengan pelbagai alasan demi mengekalkan keuntungannya, tetapi pengguna ubat yang terdiri daripada rakyat biasa akan terus menanggung harga ubat yang tinggi.

Kerajaan negara kita akan terikat pada TPPA dan akan menghadapi sekatan perdagangan sekiranya tidak mematuhi peruntukan dalam TPPA. Kerajaan boleh didakwa di bawah mekanisme “penyelesaian pertikaian pelabur-negara” (ISDS) hanya kerana menggubal dasar yang mengutamakan kepentingan awam lebih daripada keuntungan pemodal. Ini telah menyerahkan kedaulatan negara kepada kepentingan korporat.

Dijangkakan TPPA akan dibentangkan dan dibahaskan dalam persidangan Parlimen Persekutuan

pada awal tahun depan.

Walaupun kerajaan negara kita cuba “menenangkan” bantahan terhadap TPPA dengan mengatakan bahawa perjanjian tersebut dapat merangsang ekonomi dan mewujudkan lebih pilihan untuk pengguna, namun implikasi TPPA adalah amat besar. Kepentingan dan kesejahteraan rakyat biasa untuk jangka masa panjang akan digadaikan hanya kerana kepentingan jangka masa pendek para pemodal dan pilihan palsu daripada persaingan antara pemodal. ##

Lelong rumah dihentikan selepas protes

Pada 3 November yang lalu, seorang orang kurang upaya (OKU) berjaya menghalang lelong rumahnya setelah mengadakan aksi protes di hadapan ibupejabat Maybank di Kuala Lumpur. Pegawai Maybank telah berjanji bahawa pihak bank akan menghentikan proses lelong rumah, dan akan berbincang dengan pihak insurans Etiqa untuk penyelesaian segera.

Ravi, adalah seorang pemandu bas yang mengalami kecacatan selepas terlibat dalam kemalangan semasa kerja pada tahun 2011. Sejak Ravi menjadi OKU, dia tidak dapat kerja lagi. Akibat kehilangan sumber pendapatan, hutang pinjaman rumahnya tidak dapat dibayar. Ravi sekarang ini mendapat pencen ilat daripada PERKESO yang hanya

berjumlah RM 200 sebulan.

Pada bulan Mei 2014, pihak bank mencadangkan pada Ravi untuk memohon insurans hilang upaya daripada Etiqa (ahli kumpulan Maybank). Sehingga

sekarang, pihak insurans berdolak-dalih tanpa memberi penyelesaian untuk masalah Ravi. Pada 8 Oktober yang lalu, Ravi secara tiba-tiba menerima notis mahkamah yang dihantar oleh pihak bank bahawa rumahnya akan dilelongkan. Lelongan rumah telah dijadualkan pada 18 November.

Dengan sokongan daripada PSM, Ravi telah turun berprotes di hadapan ibupejabat Maybank untuk membantah tindakan pihak bank yang tidak berkemanusiaan ini. Turut bersama dalam aksi protes tersebut adalah Arutchelvan, AJK Pusat PSM. Sejurus selepas protes tersebut, pihak Maybank telah berjanji untuk menghentikan lelongan tersebut.

Arutchelvan berharap pihak Maybank akan menepati janjinya untuk memberhentikan lelongan rumah dan mendapatkan penyelesaian untuk masalah Ravi. ##

Page 5: Sosialis (Nov Dis 2015)

5KEMPENNov-Dis 2015

PSM lancar kempen tuntutTabung Pemberhentian KerjaParti Sosialis Malaysia (PSM) telah melancarkan satu kempen menuntut Tabung Pemberhentian Kerja pada 21 Oktober yang lalu.

Tabung Pemberhentian Kerja yang dicadangkan ini merupakan sebuah tabung khas yang dibentuk untuk membantu para pekerja yang diberhentikan kerja akibat daripada syarikat yang muflis, pengurangan pekerja, ataupun perpindahan majikan ke luar negara. Pekerja sering menghadapi masalah kehilangan kerja khususnya apabila berlakunya krisis ekonomi.

Tabung yang bertujuan untuk membantu pekerja ini perlunya dibentuk atas dasar perlindungan sosial, di mana warga pekerja dilindungi dengan suatu skim yang memastikan bahawa sumber pendapatannya tidak tergendala disebabkan oleh faktor-faktor di luar kawalannya.

Keadaan Kini

Statistik Jabatan Tenaga Kerja Kementerian Sumber Manusia melaporkan bahawa dari tahun 2003 hingga 2012 (iaitu tempoh selama 10 tahun), seramai 7,130 majikan telah memberhentikan 222,986 orang pekerja. Daripada sejumlah RM1.67 billion yang sepatutnya dibayar oleh majikan kepada pekerja (gaji tertunggak dan bayaran gantirugi henti kerja), hanya RM1.27 billion sahaja yang dibayar kepada pekerja.

Maka sejumlah RM397.45 juta wang pampasan tidak dibayar kepada pekerja, iaitu purata RM39.7 juta gagal dibayar setahun oleh majikan. Purata 31.4% pekerja yang hilang kerja atau diberhentikan kerja tidak dibayar pampasan oleh majikan kerana mereka “larikan diri” selepas bankrap atau menggunakan alasan tiada sumber kewangan.

Majikan bankrap

Dalam keadaan di mana majikan bankrap, sumber pendapatan pekerja tergendala secara tiba-tiba dan kemungkinan untuk pekerja memperolehi tunggakan gajinya dan juga pampasan pemberhentian kerja sepertimana yang diperuntukkan dalam Akta Kerja 1955 adalah amat tipis. Syarikat yang muflis akan membayar pemiutang mengikut Akta Syarikat 1965 selepas dicairkan aset-asetnya. Mengikut Akta Syarikat 1965, gaji dan pampasan pekerja diklasifikasikan sebagai pemiutang yang tidak bercagar.

Secara amnya, pihak berkeutamaan yang tersenarai di bawah seksyen 292 Akta Syarikat 1965 yang akan menerima pembayaran adalah seperti berikut :• Kos dan perbelanjaan penggulungan syarikat termasuk kos

yang dicukai oleh pempetisyen.• Gaji Pelikuidasi. • Kos-kos audit yang telah dijalankan.• Pampasan pekerja yang tertunggak di bawah mana-mana undang-undang bertulis sebelum permulaan penggulungan syarikat.• Gaji pekerja dan sebagainya.

Justeru, para pekerja kebanyakannya hanya ditinggalkan dengan suatu keputusan Mahkamah Buruh yang mengarahkan pihak majikan membayar pekerja, tetapi kemungkinan untuk keputusan itu dilaksanakan adalah amat tipis kerana pengurus harta yang mencairkan syarikat itu tidak ada duit lebih selepas membayar pemiutang yang bercagar.

Misalnya, pada akhir tahun 2008, lebih 1000 pekerja tiba-tiba diberhentikan oleh syarikat Nikko Electronics Bhd di Pulau Pinang. Pekerja telah merayu kepada pihak kerajaan untuk bantuan memandangkan majikan gagal membayar pampasan dan gaji pemberhentian kerja.

Pada tahun 2002, sebuah syarikat papan lapis CHG Plywood, Cheras telah melewatkan pembayaran gaji pekerja mereka. Keadaan ini telah berterusan sehingga tahun 2007, apabila akhirnya syarikat memberhentikan para pekerjanya. Kes telah difailkan di Jabatan Buruh Bangi dan pekerja berjaya mendapatkan perintah untuk mendesak syarikat membayar gaji dan pampasan. Selepas beberapa rundingan, majikan hanya bersetuju membayar 35% sahaja daripada jumlah yang sepatutnya dibayar kepada pekerja. Malangnya CHG Plywood terus diisytiharkan bankrap dan sehingga kini para pekerjanya gagal mendapat apa-apa gantirugi daripada syarikat.

Pemberhentian kerja semasa krisis ekonomi

Pemberhentian pekerja juga menjadi amat ketara dalam keadaan ekonomi negara dan dunia yang tidak menentu sekarang ini dengan kejatuhan harga minyak.

Laporan Wall Street Journal pada April 2015, melaporkan bahawa dengan penurunan harga minyak mentah dunia, kebanyakan syarikat dalam industri eksplorasi minyak dan juga penghasilan minyak mengumumkan perancangan untuk memberhentikan sebanyak 100,000 pekerja di seluruh dunia. Seramai 91,000 orang pekerja pelantar minyak dan syarikat pengerudian minyak akan menjadi sasaran

pemberhentian kerja. Kelembapan sektor ini juga akan menyebabkan banyak lagi industri sampingan yang bergantungan kepada sektor ini terpaksa juga memberhentikan pekerja untuk menampung peningkatan kos.

Tujuan Tabung Pemberhentian Kerja

Tabung Pemberhentian Kerja bertujuan untuk mewujudkan perlindungan atau jaminan bahawa pekerja akan menerima gantirugi pemberhentian kerja seperti mana yang diperuntukkan dalam Akta Kerja 1955, walaupun majikan yang muflis gagal membayar kepada pekerja. Gantirugi yang dijamin di bawah Akta Kerja1955 dan faedah-faedah statutori adalah seperti berikut: a) 10 hari gaji bagi setiap tahun perkhidmatan jika pekerja telah berkhidmat kurang daripada 2 tahun;b) 15 hari gaji bagi setiap tahun perkhidmatan jika pekerja telah berkhidmat selama 2 tahun tetapi kurang daripada 5 tahun; atauc) 20 hari gaji bagi setiap tahun perkhidmatan jika pekerja telah berkhidmat selama 5 tahun atau lebih dan dikira pro-rata mengenai tempoh yang tidak genap setahun, mengikut genap bulan yang hampir sekali.

Tabung Pemberhentian Kerja ini akan membayar kepada pekerja jumlah wang yang berhak diterima oleh pekerja apabila majikan yang muflis gagal membayar pekerja. Selain daripada bayaran gantirugi demi mengelakkan kejadian kemiskinan pada keluarga pekerja itu, elaun bulanan daripada tabung pemberhentian kerja juga adalah amat perlu. Elaun bulanan daripada tabung ini akan terus diberikan kepada pekerja dan akan memastikan bahawa pekerja itu dapat menyara kehidupannya seperti biasa sehingga berjaya mencari pekerjaan yang baru. Bantuan ini bertujuan untuk memastikan keluarga pekerja itu tidak terjerumus dalam kancah kemiskinan dan terjerat dalam masalah pinjaman “Ah Long”. Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dengan jelasnya menyatakan bahawa “pada masa pengangguran meningkat di seluruh dunia, apabila

kegawatan ekonomi berlaku, skim perlindungan sebegini terbukti lebih penting untuk membantu individu dan rumahtangga bagi menjamim keperluan asas kehidupan dan pada masa yang sama menstabilkan permintaan purata (aggregate demand)”. Maksudnya adalah selain daripada membantu pekerja yang terbabit, bantuan daripada tabung ini akan mendorong peningkatan ekonomi domestik. Justeru, PSM mencadangkan pada Kementerian Sumber Manusia supaya melancarkan sebuah tabung khas yang dikenali sebagai Tabung Pemberhentian Pekerja, pada kadar yang segera.

Tuntutan yang dikemukakan oleh PSM adalah seperti berikut:

1. Kerajaan dengan segera mewujudkan sebuah Tabung Pemberhentian Pekerja Khas untuk pekerja yang langsung tidak dapat bayaran gantirugi apabila syarikat bankrap.2. Bayaran dalam masa 30 hari selepas tarikh pemberhentian kerja.3. Tabung ini harus dikendalikan oleh PERKESO. 4. Tabung ini dimulakan dengan sumbangan daripada Kerajaan, diikuti sumbangan bulanan oleh majikan dan pekerja.5. Latihan semula kepada pekerja yang diberhentikan kerja oleh Pusat Pembangunan Sumber Manusia.6. Bayaran elaun sara hidup bulanan sebanyak 80% daripada gaji terakhir pekerja setiap bulan selepas tamatnya tempoh gaji yang dapat dibiayai oleh gantirugi henti kerja, jika pekerja masih belum mendapat kerja baru. 7. Kerajaan/Bank Negara mengarahkan bank swasta supaya memberi penangguhan bayaran pinjaman rumah pekerja untuk sekurang-kurangnya 6 bulan diikuti dengan penjadualan semula bayaran ansuran pinjamannya.8. Pekerja migran harus diberikan gantirugi mengikut gaji yang sepatutnya dia dapat sehingga tamat kontrak kerja.

PSM juga bermula mengedar risalah di seluruh negara untuk menyampaikan maklumat tentang Tabung Pemberhentian Kerja ini kepada orang ramai.

“Kami amat berharap pihak Kerajaan akan menyediakan peruntukan khas untuk tujuan Tabung sebegini. Jika pihak Kerajaan benar-benar ingin membantu rakyat dalam keadaan yang dibebani dengan peningkatan kos sara hidup, maka adalah menjadi amat penting untuk Tabung ini diwujudkan dengan segera,” begitu katanya Sivarajan, Setiausaha Agung PSM dalam sidang akhbar pelancaran kempen menuntut Tabung Pemberhentian Kerja. ##

Page 6: Sosialis (Nov Dis 2015)

Nov-Dis 20156 FOKUS

suatu jenayah?Khalid Ismath, seorang aktivis muda, telah ditahan untuk 22 hari dan dikenakan sebanyak 14 pertuduhan, hanya kerana membuat posting dalam laman media sosial.

Khalid Ismath ditangkap polis pada 7 Oktober yang lalu di bawah Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia, kerana postingnya dalam laman media sosial Facebook. Khalid Ismath telah dibawa ke Johor Bahru pada hari yang sama kerana pihak polis mendakwa bahawa aduan polis terhadap Khalid Ismath dibuat di Johor Bahru. Pada hari keesokannya, iaitu 8 Oktober, Khalid telah dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru untuk permohonan reman. Majistret telah menolak permohonan reman untuk 4 hari oleh pihak polis dan hanya memberikan masa reman 2 hari untuk siasatan.

Selepas direman dua hari, Khalid sepatutnya dibebaskan pada 9 Oktober. Namun, sebelum habis tempoh reman, pada waktu pagi 9 Oktober, pihak polis telah membuat permohonan menambahkan tempoh reman untuk tiga hari lagi di mahkamah tanpa makluman awal kepada peguam dan keluarganya. Selepas peguambela berhujah, permohonan reman tersebut ditolak oleh Majistret dan memutuskan

bahawa Khalid sepatutnya dibebaskan pada waktu 12 tengah malam hari itu juga.

Namun demikian, Khalid telah ditangkap semula lebih kurang pukul 8 malam pada 9 Oktober. Polis memberitahu bahawa Khalid ditangkap semula di bawah Akta Hasutan 1948. Pada 10 Oktober, Khalid Ismath sekali lagi dibawa ke mahkamah dan dikenakan reman selama 4 hari untuk siasatan di bawah Akta Hasutan. Aduan polis yang digunakan sebagai alasan untuk penangkapan semula itu dibuat oleh pegawai penyiasat untuk kes penangkapan sebelum itu di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia. Cara penahanan secara tukar gari sebegini berniat jahat untuk menahan seseorang secara berpanjangan.

Ikat jamin ditolak tanpa alasan yang kukuh

Pada 13 Oktober yang lalu, selepas tempoh reman berakhir, Khalid Ismath telah didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru dengan 14 pertuduhan, antaranya 3 pertuduhan di bawah Akta Hasutan, dan 11 lagi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia.

Hakim Mahkamah Sekyen telah menolak ikat jamin untuk Khalid Ismath dengan alasan bahawa dia mungkin akan melarikan diri dan tidak akan hadir ke perbicaraan. Penolakan ikat jamin untuk isu yang remeh-temeh ini adalah amat mengejutkan, malah ianya mengungkitkan pelbagai persoalan tentang campurtangan pihak tertentu.

Selepas peguam yang mewakili Khalid memfailkan permohonan semakan semula untuk mencabar penolakan ikat jamin, Hakim Mahkamah Tinggi telah membenarkan ikat jamin sementara untuk Khalid pada 29 Oktober yang lalu. Khalid telah dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM 70,000 (RM 5,000 untuk setiap pertuduhan) dan perlu menyerahkan pasportnya. Walaupun Khalid dibebaskan sementara, namun wang ikat jamin adalah amat tinggi bagi pertuduhan yang remeh-temeh.

Kemudiannya pada 11 November, Hakim Mahkamah Tinggi Johor Bahru telah memutuskan untuk membenarkan ikat jamin bagi Khalid dan wang jaminan dikekalkan.

Aduan kepada SUHAKAM

Pada 5 November yang lalu, PSM bersama dengan Khalid Ismath, keluarganya dan wakil-wakil masyarakat sivil telah menghantar satu memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM). Memorandum tersebut mengandungi aduan-

aduan berkenaan dengan penahanan, penyeksaan dan pencabulan hak asasi manusia yang berlaku ke atas Khalid Ismath semasa dia ditahan pada 7 hingga 28 Oktober yang lalu.

Menurut S. Arutchelvan, AJK Pusat PSM, “kami percaya bahawa semasa penahanan Khalid Ismath, ada berlakunya ketidakadilan dan penyalahgunaan kuasa.”

(sambung di m/s 7)

Kempen Bebas Khalid Semasa Khalid Ismath ditahan di Johor Bahru, PSM bersama dengan aktivis-aktivis sosial yang prihatin pada isu penahanan ini telah menggerakkan satu kempen untuk menuntut pembebasan Khalid.

Perhimpunan solidariti telah diadakan di hadapan Penjara Reman Air Molek Johor Bahru dan juga di beberapa tempat yang lain di seluruh negara. Kempen penyebaran maklumat dan solidariti juga giat dijalankan dalam ruangan siber.

Khalid Ismath juga diisytihar sebagai “tahanan naluri” oleh Amnesty International, sebuah organisasi hak asasi manusia antarabangsa yang terkenal. “Tahanan naluri” merupakan mereka yang ditahan atas sebab pegangan politik ataupun hanya kerana menyuarakan pandangannya.

Bersuara dalam media sosial

Page 7: Sosialis (Nov Dis 2015)

7FOKUSNov-Dis 2015

Layanan, ugutan jenayah dan penyeksaan yang berlaku di Penjara Air Molek(sambung dari m/s 6)

Pengurungan dalam sel berasingan

Pada 13 Oktober yang lalu, Khalid Ismath telah dihantar ke Penjara Reman Air Molek, Johor Bahru, selepas Mahkamah Sesyen Johor, menafikan ikat jamin untuk Khalid. Khalid telah disimpan dalam sel yang berasingan.

Menurut Khalid, selama 16 hari, dia berada dalam sel berasingan dan tidak dibenarkan untuk berjumpa atau bergaul dengan banduan yang lain. Dia hanya dibenarkan keluar dari bilik 2 kali sehari, iaitu 30 minit pada waktu pagi dan 30 minit pada waktu petang. Khalid hanya diberi satu tong hitam tinggi lebih kurang sejengkal untuk membuang air besar dan kecil. Sel itu ada lampu tetapi lampu tidak terang, dan tiada kipas untuk pengudaraan. Dia susah untuk bernafas akibat persekitaran yang kotor dan berbau busuk kerana ada tong sampah di hadapan sel. Suhu dalam sel panas sepanjang hari kerana pengudaraan yang tidak baik. Selain itu, terdapatnya gangguan nyamuk dan lipas. Tuala, seluar dan kemeja-T tidak disediakan atau diberikan pada hari pertama dihantar ke penjara dan pihak keluarga tidak dimaklumkan bahawa mereka dibenarkan untuk menyediakan perkara-perkara tersebut. Khalid tidak dibenarkan untuk menelefon keluarga pada awal tahanan tapi dibenarkan untuk telefon keluarga selepas hari ke-14.

Penyeksaan mental oleh pegawai penjara

Menurut Khalid, sekurang-kurangya sekali dalam setiap hari, ada warden penjara telah pergi ke bilik Khalid dan mula melakukan penyeksaan mental dan ugutan jenayah. Warden-warden tersebut selalu mengugut dan mengertak Khalid supaya dia tidak meneruskan perjuangannya sebagai aktivis. Antara ugutan-ugutan dan penyeksaan yang dilakukan oleh pegawai penjara adalah:- Gunakan pendekatan rasis: Marah dan bertanya kenapa Khalid sering menganjurkan demonstrasi bersama dengan orang Cina dan India; berkata bahawa orang Cina dan India mahu menghancurkan negara. - Ugutan penyeksaan fizikal: Beberapa kali warden penjara mengugut akan memukul dan mencederakan Khalid jika dia terus melibatkan diri dalam perjuangan. Warden yang bernama Sulaiman memaki hamun dan menengking pada Khalid. Sulaiman memberitahu bahawa dia akan cari tahanan lain untuk membelasah Khalid jika Khalid melawannya. - Ugutan lucah terhadap isteri dan keluarga: Warden penjara juga turut mengugut Khalid bahawa isteri dan keluarga Khalid akan terus diganggu.- Mainkan isu agama dan kepercayaan peribadi: Warden penjara memberitahu Khalid bahawa perjuangan dia adalah bertentangan dengan agama dan mereka juga menuduh bahawa Khalid menyebarkan ajaran sesat kerana membela nasib puak minoriti berfahaman Syiah. Malah, warden juga turut sebarkan berita bahawa

Khalid adalah Syiah supaya banduan lain benci terhadap Khalid. Kesihatan

Sepanjang penahanan, Khalid telah mengadu bahawa beliau mengalami sakit kepala kerana siasatan pada waktu malam, keadaan penjara yang tidak bersih serta keadaan sel yang tidak mempunyai laluan udara yang baik. Walaupun berkali-kali Khalid mengadu kesakitan dan meminta untuk ubat yang menghilangkan kesakitan, namun permintaannya tidak pernah ditunaikan. Malah, warden sentiasa memberikan alasan bahawa warden lain akan memberikan ubat tetapi tidak pernah sekalipun ubat diberikan kepada Khalid. Selain itu, oleh kerana Khalid tidak mendapat air yang mencukupi, setiap hari semasa dia bangun dari tidur, beliau akan berasa seperti nak pitam.

Satu lagi masalah adalah kewujudan gumpalan darah di kepalanya di mana ini dapat dilihat oleh semua orang termasuk peguam semasa Khalid dibebaskan. Khalid juga telah berjumpa dengan pakar kulit di mana dikatakan ia mungkin berpunca daripada pencemaran dalam penjara.

Kebebasan untuk sembahyang

Semasa dalam tahanan, pada hari pertama dan kedua selepas dihantar ke penjara, Khalid tidak dibenarkan untuk bersembahyang. Tetapi pada hari-hari yang seterusnya dia dibenarkan untuk bersembahyang. Namun begitu, Khalid tidak dibenarkan untuk bersembahyang di masjid pada hari Jumaat.

Pencabulan hak asasi

Penahanan tanpa bukti

Adalah dipercayai bahawa pihak polis dari awal lagi tidak mempunyai sebarang bukti terhadap Khalid dan hanya mula melakukan siasatan berdasarkan satu laporan polis yang dibuat terhadap Khalid pada tarikh 11 September yang lalu oleh seorang bernama Prashanth Nair a/l P.Prabhakaran yang beralamat di Istana Pasir Pelangi, Johor Bharu.

Rampasan barang-barang seperti komputer dan router internet oleh pihak polis pada hari penangkapan hanya menunjukkan pihak polis berniat untuk tangkap dulu dan siasat kemudian. Rampasan barang-barang berkenaan adalah semata-mata untuk memancing sebarang bahan bukti untuk digunakan terhadap Khalid. Proses reman adalah satu bentuk hukuman dalam kes ini dan satu pencabulan hak kebebasan individu.

Permohonan reman dengan sewenang-wenangnya

Semasa dalam tahanan, pihak polis telah menyalahgunakan proses reman dengan sewenang-wenangnya kononnya untuk melakukan siasatan. Pada masa yang sama, pihak polis juga tergesa-gesa dalam mendapatkan reman kali kedua pada 9 Oktober tanpa memberitahu

keluarga dan peguam yang mewakili Khalid. Sepatutnya pihak polis menggunakan sepenuhnya tempoh dua hari reman yang diberikan oleh Majistret untuk melakukan siasatan. Proses reman yang dilakukan tergesa-gesa ini mengundang kerisauan keluarga terhadap

keselamatan Khalid. Pihak peguam tidak diberikan notis awal untuk mewakili Khalid. Ini jelas menunjukkan penyalahgunaan kuasa oleh polis; penafian hak representasi oleh peguam serta bertentangan dengan proses penghakiman di mana proses penghakiman harus melindungi hak tahanan.

Penangkapan semula

Penangkapan semula Khalid di bawah Akta Hasutan juga merupakan suatu pencabulan hak yang serius. Khalid sepatutnya dibebaskan seperti yang diarahkan oleh Majistret pada 9 Oktober, tetapi pihak polis telah menghina proses dan keputusan mahkamah. Ini adalah tindakan yang tidak adil dan kuasa polis telah disalahgunakan.

Paksaan untuk mengaku salah

Khalid juga memaklumkan pada keluarganya semasa dalam tahanan, pegawai penyiasat asyik memujuknya untuk mengaku kesalahan, dan sekiranya dia mengaku bersalah maka dia akan dibenarkan untuk berjumpa dengan pihak keluarga. Perkara ini amat serius kerana mana-mana orang yang ditahan tidak harus dipaksa untuk mengaku salah untuk apa-apa pertuduhan dan ini adalah bercanggah dengan peruntukan di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah (CPC) di mana tahanan mempunyai hak untuk berdiam diri dan mereka harus menjawab soalan dengan sukarela, bukannya dengan paksaan. Lebih-lebih lagi, Khalid dan keluarga Khalid masih bekerjasama dengan pihak polis dalam proses penyiasatan ini.

Penyeksaan di penjara bercanggah dengan prinsip asas hak tahanan

“Kami percaya penahanan Khalid di sel berasingan adalah tindakan yang dilakukan dengan sengaja dan Khalid telah diasingkan dengan niat jahat. Ini bagaikan Khalid dihukum tanpa melakukan sebarang kesalahan. Ini mungkin disebabkan oleh Khalid adalah aktivis yang lantang bersuara,” demikian katanya Arutchelvan, semasa membuat aduan di SUHAKAM.

Pencabulan yang berlaku ke atas Khalid Ismath adalah bercanggah dengan hak asasi manusia dan hak tahanan seperti yang termaktub dalam dokumen “Prinsip Asas untuk Layanan terhadap Tahanan” dan “Peraturan Minimum Standard untuk Layanan terhadap Tahanan” yang disediakan oleh badan hak asasi manusia PBB. Menurut, “Prinsip Asas untuk Layanan terhadap Tahanan”, semua tahanan dalam penjara harus dilayan dengan hormat dan maruah mereka sebagai manusia dan mereka tidak harus didiskriminasi berdasarkan kaum, warna, seks, bahasa, agama, politik atau sebarang

pandangan yang berbeza.

Oleh yang demikian, pihak penjara telah melakukan pencabulan hak asasi terhadap Khalid. Antaranya:

- Sel berasingan: Bercanggah dengan saranan dalam “Peraturan Minimum Standard untuk Layanan terhadap Tahanan”, di mana semua yang ditahan dalam tahanan mempunyai hak untuk tinggal di tempat selesa, makanan dan minuman yang mencukupi. Sel harus mempunyai pengudaraan yang sesuai, lantai yang bersih, cahaya yang terang dan sebagainya. Namun, dalam isu berkaitan dengan penahanan Khalid, dia ditempatkan di sel berasingan yang kotor, berbau busuk dan tidak selesa. Beliau juga tidak menerima makanan yang sihat dan minuman yang mencukupi.- Kesihatan: Menurut Fasal 12, Perjanjian Antarabangsa Mengenai Hak Ekonomi, Sosial dan Budaya (ICESCR), semua orang termasuk tahanan mempunyai hak untuk menikmati kesihatan secara fizikal dan mental. Dalam kes Khalid, dia dinafikan hak untuk mendapatkan ubat bagi kesakitan yang dialami. Memastikan kesihatan semua tahanan yang berada dalam penjara adalah tanggungjawab semua.- Penyeksaan mental: Dalam Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia dan Perjanjian PBB Menentang Penyeksaan, secara telitinya menyatakan bahawa tiada seorang pun harus berhadapan dengan sebarang penyeksaan atau layanan teruk atau hukuman di luar undang-undang. Dalam proses siasatan semasa dalam tahanan reman mahupun dalam penjara, Khalid sering disiasat dan diseksa siang dan malam melalui cara-cara ugutan dan memaksa Khalid untuk mengaku kesalahan. Segala kejadian ini memberikan tekanan mental kepada Khalid sehinggakan dia mengalami sakit kepala pada setiap hari dan dia terpaksa mengadu kesakitan dan meminta ubat.

Arutchelvan berkata, “Khalid mengalami pencabulan hak asasi manusia sepanjang penahanannya di Johor Bahru. PSM berpendirian bahawa pihak SUHAKAM harus mengambil isu ini secara serius.”

Tuntutan yang dikemukakan kepada SUHAKAM adalah:- Membuat siasatan terhadap segala pencabulan yang didedahkan dalam kes penahanan Khalid Ismath. - Membuat lawatan ke Penjara Air Molek secara mengejut untuk melihat keadaan sebenar dalam penjara.- Membuat siasatan yang bebas dan cuba mendapatkan pihak polis di luar Johor untuk mengendalikan siasatan secara bebas dan berkecuali.- SUHAKAM membuat kenyataan dan desakan bahawa setiap tahanan yang belum didapati bersalah harus diberikan hak untuk menjamin diri.- Meneliti sel berasingan kerana ia seperti satu bentuk hukuman dan boleh menyebabkan tahanan mengalami masalah kesihatan dan gangguan mental yang serius. ##

Page 8: Sosialis (Nov Dis 2015)

Nov-Dis 20158 EKONOMI

Adakah BAJET 2016 dapat sejahterakan B40?B40 adalah 40% keluarga dalam negara ini yang berpendapatan paling rendah.

Berikut adalah ucapan Jeyakumar Devaraj, Ahli Parlimen Sungai Siput, pada 2 November yang lalu di Dewan Rakyat, semasa membahaskan Bajet 2016.

Saya ingin mengulas Belanjawan 2016 dari perspektif pengalaman orang awam di kawasan saya, iaitu Sungai Siput. Saya telah menjalankan suatu kajian kecil tentang situasi ekonomi penduduk kampung di kawasan desa pedalaman Sungai Siput selepas sesi Parlimen yang lepas. Saya dapat kumpulkan butir-butir pendapatan bagi 135 keluarga Melayu di kawasan desa. Adalah didapati bahawa 45% daripada mereka memperolehi pendapatan isi rumah di bawah RM 1200 sebulan dan 40% lagi berpendapatan antara RM 1200 ke 2000 sebulan. Hanya 15% keluarga yang memperolehi pendapatan yang melebihi RM 2000 sebulan. RM 1200 tidak mencukupi untuk menampung segala perbelanjaan sebuah keluarga dengan 2 atau 3 orang anak walaupun di kawasan luar bandar. Sudah tentu tidak boleh hantar anak untuk tuisyen. Bayaran yuran bas sekolah dan bil elektrik pun susah. Pada saya, kadar kemiskinan dalam masyarakat kampung di kawasan Sungai Siput adalah lebih daripada 45%. Itulah sebabnya saya hairan terdengar Perdana Menteri memuji dirinya dalam pembentangan belanjawan dengan mengatakan bahawa sudah berjaya membasmikan masalah kemiskinan di Malaysia. PM kata kadar kemiskinan hanya 0.6% sahaja pada tahun 2014. Ini jauh daripada realiti. Nampaknya PM juga sudah menjadi mangsa pada propaganda kerajaan sendiri. Ini kerana kerajaan telah menetapkan satu paras yang terlalu rendah sebagai paras kemiskinan – hanya RM 830 sebulan untuk Semenanjung Malaysia. Ini bererti bahawa sebuah keluarga dengan RM 900 ditafsir sebagai bukan miskin. Ini bukan realiti. Saya fikir pada takat ini, garis kemiskinan harus ditetapkan pada RM 1500 sebulan sekeluarga untuk kawasan luar bandar dan di paras RM 2500 untuk masyarakat bandar. Jika kita guna definisi realistik ini, paras kemiskinan akan meningkat ke 25%. Ini adalah satu angka yang jauh lebih realistik. Saya dapati dalam kajian kecil saya bahawa 20% daripada lelaki bekerja untuk gaji bawah RM 900 sebulan.

Mengapa ini berlaku? Jawapannya adalah kehadiran 3.5 juta pekerja asing tanpa izin ataupun PATI. Mereka ada di merata tempat di negara kita dan mereka rela bekerja dengan gaji di bawah paras minimum. Di Sungai Siput juga ada beribu-ribu pekerja asing tanpa izin yang sedia kerja di ladang, di kebun dan di FELDA dengan gaji di bawah RM 900 sebulan. Mereka tidak ada pilihan lain – nak mengadu kepada pihak mana? Mereka dikatakan “haram”. Isu PATI ini satu masalah besar di negara kita kerana kehadiran mereka menyekat peluang bekerja untuk rakyat kita yang datang daripada keluarga B40 (40% keluarga yang berpendapatan rendah).

Saya ingin cerita sedikit berkaitan isu PATI. Pada minggu lalu, 33 orang pekerja asing dari Sri Lanka datang berjumpa saya. Mereka telah datang untuk kerja di kilang Hume Cemboard pada 4 bulan yang lalu. Beberapa hari sebelum datang jumpa saya, mereka telah mengadu kepada majikan kerana mereka tidak dibayar elaun syif seperti yang terkandung dalam kontrak perjanjian mereka. Pihak majikan telah ambil keputusan untuk memberhentikan kesemua 33 pekerja ini. Mereka dibuang kerja. Majikan membatalkan permit kerja mereka dan mendapatkan COM (check out memo). Tiket penerbangan balik ke Sri Lanka juga sudah ditempah. Mereka memberitahu saya bahawa mereka telah meminjam sebanyak RM 6000 seorang untuk membayar fi ejen di Sri Lanka, dan mereka belum bayar balik hutang ini. Mereka tidak bersedia untuk balik ke negara mereka sehingga dapat membayar balik hutang-hutang ini. Saya mencadangkan pada mereka untuk mengadu di Jabatan Perhubungan Perindustrian dan selepas itu dapatkan Pas Khas daripada pihak Imigresen untuk terus berada di Malaysia. Saya berjanji membantu tetapi juga mengingatkan mereka bahawa prosesnya tidak mudah. Ini kerana Pas Khas boleh diperolehi tetapi untuk dapat permit kerja sementara bukan secara automatik dan kita perlu berjuang untuk itu. Saya berjanji membantu mereka. Pekerja ini balik ke asrama mereka. Selepas 1 hari mereka panggil saya dan beritahu bahawa 24 orang ambil keputusan untuk balik kerana tidak berani lawan. Dan bakinya 9 orang telah melarikan diri untuk terus bekerja di Malaysia sebagai PATI.

Inilah punca wujudnya sebahagian besar daripada PATI di negara kita. Mereka datang sebagai pekerja asing dengan pas kerja – secara sah. Tetapi oleh kerana mereka dibuli dan tidak dibayar seperti dijanji, dan oleh kerana mereka tidak ada ruang untuk menuntut secara yang baik, mereka terpaksa menjadi PATI. Mereka tidak berani balik ke negara asal tanpa membayar balik hutang yang mereka ada. Ini bukan sahaja isu kebajikan pekerja asing. Hakikatnya adalah kehadiran 3.5 juta PATI sedang menekan ekonomi B40 rakyat kita. Walaupun ada dasar gaji minimum, ramai di kalangan B40 tidak mendapat faedah daripada polisi ini. Ini kerana kehadiran sekumpulan pekerja asing yang terdesak dan rela bekerja dengan gaji lebih rendah. Situasi ini memiskinkan rakyat kita. Jadi, ada kaitan yang rapat antara pembulian kaum pekerja asing dan nasib rakyat kita dalam golongan B40 di negara kita. Tetapi malangnya, Belanjawan ini langsung tidak menggariskan strategi untuk kendalikan masalah ini yang menjejaskan situasi ekonomi B40 kita.

Apakah yang boleh dilaksanakan untuk membendung masalah PATI?

Ada 2 perkara yang boleh dilakukan:

1. Buka ruang untuk pekerja asing membawa aduan mereka terhadap majikan ke Mahkamah Buruh.

Sekarang ini, mengikut undang-undang yang ada, Pas Khas boleh tetapi bukan mudah didapati. Pihak Imigresen biasanya meminta tarikh kes di Mahkamah Buruh ataupun Mahkamah Perusahaan sebelum mengeluarkan Pas Khas. Masalahnya adalah tarikh di Mahkamah Perusahaan hanya ditetapkan selepas proses perundingan dan kes dirujuk ke Menteri untuk diluluskan tindakan Mahkamah Perusahaan. Ini akan ambil masa 2 bulan ataupun lebih. Dalam jangka masa itu, pekerja

asing itu adalah berstatus “haram”, kerana majikan telah membatalkan permit kerjanya. Proses mendapatkan Pas Khas ini mesti dipermudahkan. Jika dapat pengesahan daripada Jabatan Perhubungan Perusahaan ataupun Pejabat Buruh bahawa pekerja asing itu telah memfailkan aduan terhadap majikan, Imigresen harus mengeluarkan Pas Khas. Satu lagi isu yang berkaitan, pada takat ini, Pas Khas tidak memberi ruang untuk bekerja. Kebanyakan pekerja asing yang memfailkan kes terhadap majikannya akan dibuang kerja dan kena diusir keluar daripada asramanya. Dia akan tinggal di mana? Bagaimana pula dengan pemakanannya? Oleh itu, pekerja asing yang dibuang kerja harus diberi permit kerja sementara dengan majikan lain secara yang sah sehingga kesnya terhadap majikan dapat diselesaikan. Ini akan kurangkan kecenderungan mereka untuk jadi PATI.

2. Kenakan hukuman yang lebih berat terhadap majikan yang mengambil pekerja asing tanpa izin sebagai pekerja.

Pada takat ini lebih kurang 3.5 juta pekerja asing tanpa izin berada di Malaysia. Sudah tentu mereka tidak duduk goyang kaki, ataupun mereka hidup atas bantuan kebajikan yang dihulur oleh rakyat Malaysia. Mereka tetap di negara ini kerana ada beribu-ribu majikan dan syarikat yang berminat mengambil mereka sebagai pekerja kerana mereka merupakan buruh yang murah. Inilah salah satu daripada punca masalah kehadiran begini ramai pekerja asing tanpa izin. Kita ada undang-undang. Seksyen 55(B) Akta Imigresen, dan di bawahnya Subseksyen (3), mengatakan bahawa sesiapa majikan yang mengupah lebih daripada 5 orang pekerja asing tanpa izin harus dipenjarakan selama 6 bulan. Tetapi kita jarang dengar kes di mana pengurus syarikat atau ejen dipenjarakan atas kesalahan ini. 3.5 juta pekerja tanpa izin. Tiada seorang majikan pun yang dipenjarakan!

Sekarang kita beri hukuman yang berat ke atas PATI sendiri. Dipenjarakan, disebat, dan lepas itu dihantar balik ke negara asal. Tetapi majikan dilayan secara ringan. Jika kita mahu mengawal isu kehadiran PATI, kita harus bertindak lebih serius terhadap majikan yang mengambil pekerja asing.

(sambung di m/s 9)

Page 9: Sosialis (Nov Dis 2015)

9EKONOMINov-Dis 2015

Pengangguran tersembunyi(sambung dari m/s 8)

Merujuk balik kepada kajian saya di kawasan desa Sungai Siput. Hampir ¼ daripada lelaki yang disoalselidik adalah pekebun kecil. Pendapatan mereka rendah kerana 2 perkara:- Harga getah rendah- Saiz kebun adalah kecil. 89% daripada mereka yang disoalselidik menoreh kebun yang berkeluasan 3 ekar dan ke bawah. Ramai antara mereka hanya menoreh selang hari kerana hasil susu getah rendah jika ditoreh setiap hari. Ini bermakna wujudnya pengangguran tersembunyi di kalangan masyarakat luar bandar. Jika 50% daripada penoreh getah dapat cari kerja lain umpamanya di kilang, yang tertinggal boleh menoreh tanah yang lebih luas dan pendapatan mereka akan naik.

Bukan sahaja penoreh getah yang memerlukan kerja sampingan yang lain. Mereka yang buat kerja kampung pun tidak dapat kerja setiap hari. 15% daripada lelaki yang dikaji buat kerja kampung. Hanya dapat kerja 2 hingga 4 hari setiap minggu.

Jadi, 40% daripada lelaki di kawasan desa Sungai Siput tidak dapat kerja sepenuh masa. Mereka perlukan kerja tambahan.

Tiada kekurangan kerja di kawasan Sungai Siput sebenarnya. Pada takat ini, beratus-ratus pekerja asing sedang bekerja di ladang-ladang di Sungai Siput. Di kawasan Kanthan, yang terletak 1 km dari sempadan Sungai Siput, ada beribu-ribu pekerja asing yang bekerja di kilang-kilang di situ.

Kenapa orang kampung Sungai Siput tidak boleh cari kerja di kawasan perkilangan di Kanthan? Ini bukan kerana orang kampung malas. Hakikatnya adalah, para majikan lebih suka mengambil pekerja asing daripada mengupah pekerja tempatan. Walaupun mereka berpura-pura menawar kerja pada rakyat tempatan, majikan lebih berminat dengan pekerja asing. Dalam kajian saya, saya telah menemubual seorang lelaki berumur 30 tahun yang baru berhenti kerja di kilang. Inilah ceritanya -

Dia dulu kerja di kilang Isolite di Ipoh. Dalam kilang itu, majikan mendapatkan pekerja melalui kontraktor buruh. Kontraktor itu membayar gaji minimum sebanyak RM 900 sebulan. Tetapi dia bayar OT (lebih masa) dengan kadar 1.0 sahaja.

Kadar gaji adalah RM 4.33 sejam untuk kerja biasa. Angka ini adalah daripada gaji bulanan sebanyak RM 900 dibahagi 26 hari dan kemudiannya 8 jam untuk memberi kadar gaji sejam. Mengikut undang-undang buruh, kadar OT adalah 1.5 kali gaji sejam biasa iaitu RM6.49. Tetapi subkontraktor ini hanya bayar dengan kadar 1.0 ataupun RM 4.33 sejam.

Apabila pekerja ini meminta kadar OT yang sepatutnya daripada majikan, dia dimarahi. Majikan berkata, “jika kamu tidak suka, kamu boleh pergi dari sini. Saya tidak paksa kamu. Saya ada pekerja asing yang sedia untuk kerja.” Lepas itu, pekerja ni tidak ditawar lagi kerja OT. Pekerja ini terasa dirinya dihina dan dia berhenti. Inilah realiti yang dihadapi oleh pekerja kita. Ramai majikan di Malaysia lebih suka mengupah pekerja asing, kerana penjimatan wang. Pekerja asing takut mengadu apabila gaji OT dibayar dengan kadar gaji biasa. Lebih-lebih lagi, tidak perlu membayar KWSP untuk pekerja asing. Untuk pekerja tempatan dengan gaji sebanyak RM 900 sebulan, syer caruman KWSP yang ditanggung oleh majikan adalah RM 117 setiap bulan. Untuk pekerja asing, memang ada bayaran levi, tetapi ramai majikan memotong RM 100 sebulan daripada gaji pekerja asing untuk bayaran levi ini. Jadi, penjimatan besar jika nisbah pekerja asing lebih besar lagi. Inilah realitinya. Oleh itu, majikan berkecenderungan untuk menghalau pekerja tempatan dan mengambil pekerja asing. Mereka terpaksa berpura-pura menawar kerja pada rakyat kita daripada golongan B40, tetapi dia cuba sedaya upaya untuk menghalau mereka dengan memeras mereka, tidak memberi OT pada mereka dan dengan bersikap angkuh dan kurang sopan terhadap pekerja. Inilah sebab-sebab utama kadar pengangguran tersembunyi yang tinggi di kalangan orang kampung di Sungai Siput dan juga di kawasan-kawasan luar bandar lain di Malaysia Kewujudan pengangguran tersembunyi di kalangan B40

masyarakat kita langsung tidak diberi perhatian dan ditangani dalam Belanjawan terkini. Bukan sahaja tidak ditangani, malah masalah ini tidak diakui oleh kerajaan kita. Dalam pembentangan belanjawan pada 23 Oktober yang lalu, PM telah dengan bangganya mengatakan bahawa kadar pengangguran adalah hanya 2.9% sahaja. Marilah kita kaji siapa yang untung daripada kehadiran 5.5 juta pekerja asing di Malaysia. Sudah jelas, peluang dapat kerja dan juga gaji B40 masyarakat kita tertekan oleh kehadiran pekerja asing. Yang untung adalah majikan yang dapat menjimatkan kos, ejen-ejen yang membawa masuk pekerja asing, kontraktor-kontraktor buruh yang mengupah pekerja asing dan mungkin pegawai-pegawai tinggi di imigresen dan polis. Mereka semuanya berada dalam kategori T10, iaitu golongan keluarga 10% terkaya di Malaysia. Inilah masalah dengan Belanjawan ini. Memang ada beberapa perkara yang berpihak pada golongan B40, seperti:- Gaji minimum telah dinaikkan RM100.- Bantuan kepada

pekebun getah kecil dimulakan pada peringkat harga getah yang lebih tinggi.- Jumlah BR1M dipertingkatkan.- GST untuk beberapa jenis ubat dimansuhkan.

INI semua baik. Tetapi kesan positif langkah-langkah ini tidak dapat mengawal kesan-kesan buruk yang disebabkan oleh situasi pasaran buruh negara kita di mana kehadiran 5.5 juta pekerja asing menekankan B40 masyarakat kita. Adalah amat mengecewakan isu pasaran buruh yang merugikan B40 kita langsung tidak ditangani oleh Belanjawan ini. Oleh itu saya tidak dapat menyokong Belanjawan 2016. ##

Orang-orang yang berkuasa di seluruh dunia, adalah gila. Mereka gila, dan melainkan kita lakukan sesuatu tentangnya orang-orang ini akan menghalang kita daripada mempunyai masa hadapan.

Thom Yorke

penyanyi dan penulis lagu kugiran Radiohead

Page 10: Sosialis (Nov Dis 2015)

Nov-Dis 201510 ISU PEKERJA

Kenapa bukan RM 1200?Kenaikan gaji minimum RM 100

hanya satu penghinaanPada 23 Oktober yang lalu, Perdana Menteri Najib Razak mengumumkan dalam pembentangan Bajet 2016 bahawa gaji minimum akan dinaikkan kepada RM1000 bagi pekerja di Semenanjung Malaysia, dan RM920 di Sabah dan Sarawak. Ini bukannya sesuatu yang patut digembirakan sangat, kerana pada hakikatnya ia merupakan satu penghinaan besar dan rompakan siang hari terhadap kaum pekerja di negara kita.

7 hujah mengapa gaji minimum yang dicadangkan oleh kerajaan adalah satu penghinaan untuk pekerja1. Penyelarasan gaji mininum sepatutnya dilaksanakan pada tahun 2015. Tetapi kini hanya dilaksanakan pada Julai 2016, iaitu 18 bulan lebih lambat daripada tempoh yang sepatutnya. Ini bererti, setiap pekerja telah dirompak sekurang-kurangnya RM 1,800. 2. Kerajaan telah menetapkan gaji minimum untuk kakitangan kerajaan pada tahap RM 1200. Ini dengan jelasnya menunjukkan bahawa kerajaan sendiri mengakui gaji minimum yang sepatutnya diberikan adalah sekurang-kurangnya RM 1200. Jadi, mengapa pekerja swasta diberikan gaji RM 1000? Bukankah ini satu diskriminasi dan menyebabkan angka gaji minimum RM 1000 yang dicadangkan itu satu lawak jenaka? 3. Apakah makna sebenarnya peningkatan gaji minimum RM 100 ini? Paras gaji minimum yang diselaraskan sebelum ini adalah pada tahun 2013. Penyelarasan gaji minimum ke tahap RM1000 hanya akan diimplementasi pada pertengahan tahun 2016. Ini bermaksud peningkatan RM 100 adalah peningkatan gaji minimum yang pertama dalam masa 3½ tahun. Ini bermaksud peningkatan satu tahun adalah kurang daripada RM 30. Ini bermaksud peningkatan gaji tahunan adalah hanya sekitar 3%, manakala GST yang telah diperkenalkan pada tahun ini adalah pada kadar 6%. Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) dalam kajiannya mengatakan bahawa GST telah menyebabkan harga barangan meningkat antara 10% kepada 30%. 4. Selain itu, Bajet kali ini dibentangkan berikutan dengan pemotongan subsidi seperti subsidi minyak, tol dan barangan asas yang menyebabkan harga barangan asas seperti minyak masak, kos pengangkutan dan kos elektrik telah meningkat. Pemotongan subsidi juga dapat dilihat dalam peruntukan pendidikan dan lain-lain. Pengurangan subsidi dikatakan dalam lingkungan 45%. Ini dengan jelas menjadikan peningkatan gaji

RM 100 dan RM 120 satu perkara yang langsung tidak signifikan.

5. Perbezaan gaji minimum untuk pekerja di Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak adalah tidak munasabah. Kos hidup di Sabah dan Sarawak adalah lebih tinggi (antara 15-25%) berbanding Semenanjung Malaysia. Jadi, mengapa kadar gaji minimum di sana lebih rendah? Alasan bahawa majikan di Semenanjung mempunyai keupayaan yang lebih tinggi adalah tidak masuk akal. Sebelum ini, PSM pernah menyarankan bahawa Kerajaan harus menghapuskan sistem kabotaj yang “memaksa” kontena import barangan dibawa ke Pelabuhan Klang sebelum dibawa ke Pelabuhan Kota Kinabalu dan Kuching. Ini adalah sebab utama kos barangan keperluan di Sabah dan Sarawak yang sekarang ini jauh lebih tinggi daripada Semenanjung.

6. GST telah membawa pulangan sebanyak RM 37 bilion iaitu lebih tinggi daripada anggarannya. Justeru, kerajaan sepatutnya mempunyai lebih wang untuk membiayai pendidikan percuma dan perkhidmatan hospital, tetapi semua ini tidak dilaksanakan. Kerajaan sebaliknya mengurangkan subsidi tol, minyak dan lain-lain. Maka, kaum pekerja di Malaysia seharusnya mendapat gaji minimum RM 1500 seperti yang disarankan oleh JERIT, tetapi mereka bukan sahaja tidak mendapat jumlah tersebut, malah kos dan beban hidup mereka terus meningkat walaupun GST sudah menyumbang wang yang begitu besar kepada negara. Adakah wang GST hanya untuk menutupi ketirisan kerajaan dalam mengendalikan skandal 1MDB? 7. Menurut Statistik Bank Dunia, produktiviti pekerja Malaysia meningkat dalam lingkungan 7%

berbanding dengan peningkatan gaji pada sekitar 2%. Oleh itu, alasan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) dan juga Kerajaan seolah-olah produktiviti pekerja Malaysia adalah rendah tidak boleh digunapakai sama sekali. Menurut kajian oleh Bank Dunia, faktor utama untuk pelabur melabur di sesebuah negara adalah infrastruktur dan kawal selia persekitaran yang disediakan. Faktor lain seperti kestabilan politik juga amat penting. Dengan jelas, pelabur hari ini lari dari Malaysia bukan kerana gaji pekerja tetapi kerana keadaan politik negara dan polisi kerajaan. Oleh itu, kaum pekerja tidak boleh disalahkan.

Jadi, tiada apa yang boleh dibanggakan dengan kadar baru gaji minimum ini. Ia tidak menampakkan keseriusan pihak kerajaan untuk

menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi pada tahun 2020. Kadar baru ini hanya melebarkan jurang pendapatan antara yang kaya dan miskin serta jurang antara pekerja di Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak. Nampaknya pihak Kerajaan dan MEF lebih mahir berdrama dan berjenaka dengan memberikan gambaran palsu seolah-olah gaji ini amat tinggi.

Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT) telah menyatakan kekecewaannya terhadap kadar gaji minimum baru yang

diumumkan dalam Bajet 2016. JERIT menegaskan bahawa gaji minimum yang lebih bermakna (walaupun masih tidak mencukupi) adalah RM1500, iaitu satu tuntutan yang dikemukakan berdasarkan kos hidup pada tahun 2008. Kadar gaji minimum hendaklah diselaraskan supaya sama di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak, begitu juga dengan gaji antara pekerja swasta dan awam.

Jika ahli-ahli parlimen boleh diberi peningkatan gaji 140% (daripada RM 6,508 hingga RM 16,000), mengapa pula pekerja Malaysia harus diberikan gaji yang begitu menghina dan sedekah sebanyak RM 100 dan RM 120?

(oleh Sivaranjani)

Page 11: Sosialis (Nov Dis 2015)

11ISU PEKERJANov-Dis 2015

Pekerja Sri Lanka ditipu majikanSeramai 33 orang pekerja dari Sri Lanka telah ditindas dan ditipu oleh syarikat Hume Cemboard, sebuah anak syarikat kepada Kumpulan Hong Leong. Pekerja migran ini merupakan mangsa penafian hak untuk pembelaan oleh kerajaan Malaysia.

33 orang pekerja Sri Lanka tersebut dipecat begitu sahaja selepas 4 bulan mereka mula bekerja. Mereka diberhentikan kerja oleh pengurusan kilang Hume Cemboard yang terletak di Kanthan, Perak. Mengikut undang-undang buruh negara kita, pemecatan hanya boleh dilakukan selepas proses yang melibatkan pengeluaran amaran, tunjuk sebab dan siasatan dalaman. Namun, dalam kes pekerja Sri Lanka tersebut, proses sebegini tidak berlaku, dan pekerja dipecat serta-merta pada pertengahan Oktober yang lalu.

Apa yang lebih teruk lagi adalah sebab terjadinya pemecatan pekerja itu. Pihak pengurusan telah melanggar syarat-syarat yang termaktub dalam kontrak pekerjaan sejak awal lagi, dan para pekerja telah membuat keputusan untuk membuat aduan. Aduan daripada pekerja termasuklah elaun yang tidak dibayar seperti yang dijanjikan dalam kontrak, misalnya elaun syif (syif siang RM 5 sehari dan syif malam RM 10 sehari).

Tindakan pekerja yang nampaknya tidak mengancam ini, iaitu hanya membuat aduan, telah mengundang tindakbalas yang keterlaluan daripada pihak pengurusan syarikat. Pekerja-pekerja Sri Lanka tersebut terus diberhentikan kerja dan perlu

dihantar balik ke negara asal mereka dalam tempoh satu minggu!

Selepas pemecatan pekerja-pekerja tersebut, pihak majikan telah membatalkan pas lawatan kerja sementara (PLKS) dengan bantuan Jabatan Imigresen dan mendapatkan “check out memo”, iaitu surat arahan untuk pekerja “pulang ke negara asalnya”. Semua ini dilakukan secara unilateral oleh pihak majikan dengan bantuan Jabatan Imigresen tanpa pengetahuan pekerja.

Ini amat jelas bahawa majikan tersebut menganggap para pekerja yang diupahnya bukan pekerja yang mempunyai hak, tetapi hanya sebagai hamba kepadanya. Majikan sebegini boleh membuat perjanjian palsu untuk menipu pekerja, memegang pasport pekerja, memecat pekerja sesuka hatinya dan para pekerja tidak dibenarkan untuk membuat aduan.

Majikan seperti Hume Cemboard berani memberi layanan teruk kepada pekerja migran kerana dasar kerajaan berkenaan dengan pekerja migran yang bermasalah dan sistem penguatkuasaan yang berpihak pada majikan. Pekerja-pekerja migran tidak mempunyai banyak ruang atau peluang untuk mendapatkan keadilan di bawah sistem yang sedia ada. Walaupun undang-undang negara kita membenarkan pekerja-pekerja migran untuk mendapatkan pembelaan sekiranya dianiayai, namun pada hakikatnya hak untuk pembelaan bagi pekerja migran tidak wujud secara praktikal. Sekirangnya seorang pekerja migran tidak dibayar gaji atau dipukul oleh majikan, atau

dipecat secara tidak sah, dia memang mempunyai hak untuk mendapatkan keadilan di bawah undang-undang, tetapi peruntukan undang-undang yang berkenaan telah dibatalkan oleh dasar-dasar dan praktik kerajaan yang sedia ada.

Nasib yang menimpa secara mengejut para pekerja Sri Lanka dalam kes ini memang merupakan mimpi ngeri untuk mereka. Bagaimana mereka dapat pulang dengan begitu cepat selepas mereka meninggalkan kampung halaman mereka dengan hutang yang besar? Malangnya peluang untuk mereka terus tinggal di sini dan bekerja tanpa dokumen permit kerja yang sah juga sangat tidak mengizinkan. Pegawai di Kedutaan Sri Lanka pula tidak berani mencabar ketidakadilan yang wujud, kerana mereka mengutamakan kiriman wang oleh pekerja mereka balik ke Sri Lanka. Kedutaan Sri Lanka telah berpihak pada majikan dan memberitahu pada pekerja supaya mereka pulang.

Majoriti daripada 33 orang pekerja tersebut telah pulang ke Sri Lanka, tetapi minoriti daripadanya enggan berbuat demikian. Mereka yang terus tinggal di sini telah menjadi sebahagian daripada golongan pekerja migran tanpa dokumen yang berjumlah seramai 3 juta. Pekerja-pekerja migran tanpa dokumen ini telah menyumbang kepada ekonomi negara kita tetapi status mereka langsung tidak diiktiraf dan sentiasa menjadi mangsa penganiayaan.

Pekerja migran membentuk 30% daripada jumlah tenaga kerja di negara kita. Mereka patut diberi perlindungan yang lebih baik oleh

kerajaan, dan bukannya terpulang pada kemurahan hati majikan. Mekanisme melindungi hak untuk pembelaan bagi pekerja migran patut diwujudkan supaya para pekerja dapat menyalurkan aduan mereka dan pihak berkuasa dapat bertindak secara adil.

Mekanisme perlindungan untuk hak pembelaan perlu memiliki ciri-ciri berikut:a. Pasport patut dipegang oleh pekerja setiap masa. Ini akan membolehkan pekerja membuat aduan di balai polis atau pejabat buruh atau jabatan imigresen tanpa was-was. b. Pekerja yang diberhentikan kerja perlu mempunyai hak untuk mendapatkan pembelaan di Jabatan Tenaga Kerja. Ini bermakna permit kerja (PLKS) tidak boleh dibatalkan selagi kes masih berjalan. Kerajaan juga tidak boleh mengeluarkan check out memo selagi kes belum selesai.c. Selepas membuat aduan di Jabatan Tenaga Kerja, pekerja yang berkenaan harus diberi hak untuk terus tinggal di negara ini dan mencari pekerjaan alternatif untuk sepanjang tempoh kes berlangsung sehingga mendapat keputusan penghakiman.

Mekanisme sebegini memang tidak akan menjadi halangan kepada majikan yang layak, malah pekerja migran akan mendapat hak untuk pembelaan. Ini akan meningkatkan imej kerajaan kita kerana sifat kemanusiaan yang ditunjukkan terhadap pekerja-pekerja migran yang memainkan peranan penting dalam pembangunan negara kita. ##

Bahagian Pemulihan Projek Terbengkalai Untuk Siapa? Pemaju yang menipu atau pembeli yang dianiayai?PSM Cawangan Cameron Highlands kesal dengan sikap Pengarah Bahagian Pemulihan Projek Terbengkalai (BPPT) di Jabatan Perumahan Negara (JPN), Haji Muhammadin, yang menyebelahi pemaju dalam cubaan menyelesaikan isu perumahan Taman Perdana Raya, Karak, Pahang. Ini terbukti dalam “perjumpaan” yang diadakan pada 29 Oktober yang lalu di Jabatan Perumahan Negara, Kementerian Perumahan & Kerajaan Tempatan (KPKT), Putrajaya.

Antara masalah yang dihadapi apabila berurusan dengan BPPT:

1. BPPT tidak menjemput kesemua 7 pembeli yang diwakili oleh PSM Cameron walaupun memorandum yang dihantar kepada Menteri KPKT pada 7 Mei yang lalu jelas ditulis jumlah pembeli. BPPT hanya menjemput 5 pembeli untuk perjumpaan ini dengan alasan pemaju hanya mengiktiraf 5 pembeli!

2. Walaupun PSM Cameron

pernah dijemput dalam rundingan dengan Pengarah JPN pada 25 Jun yang lalu, namun pada 29 Oktober yang lalu, Pengarah BPPT telah menghalang wakil PSM, Suresh Kumar, daripada mengambil bahagian dengan alasan dia adalah “orang luar”.

3. Pengarah BPPT “berjumpa” dengan 5 pembeli seorang demi seorang. Ini adalah taktik sama yang digunakan oleh pemaju apabila ingin berjumpa dengan pembeli. Cara ini digunakan oleh pemaju supaya setiap pembeli dapat dimanipulasi agar menerima gantirugi yang kurang daripada jumlah yang

sepatutnya.

4. Pihak BPPT cuba memanipulasi pembeli supaya menerima gantirugi yang ditawarkan dengan menggunakan alasan bahawa syarikat pemaju boleh “bankrap” dan pembeli langsung tidak akan mendapat bayaran.

5. JPN gagal mengambil tindakan ke atas pengarah syarikat pemaju yang tidak hadir ke Mesyuarat di bawah Seksyen 10E(1) Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118) pada 25 Jun yang lalu.

Kepada siapa lagi pembeli hendak mengadu jika satu jabatan kerajaan yang sepatutnya mengawal pemaju perumahan kini cuba bersekongkol dengan pemaju? Pada akhir pertemuan tersebut, pembeli dan wakil PSM Cameron telah menyatakan keputusan mereka yang membantah “perjumpaan” tersebut kepada Pengarah BPPT melalui salah seorang pegawai yang bertugas. Turut hadir dalam

perjumpaan ini ialah Penolong Pengarah BPPT, Avtar Singh.

Berikut ialah 5 tuntutan pembeli:• melangsaikan hutang pinjaman termasuk faedah yang dituntut oleh pihak bank;• mengembalikan wang pendahuluan yang telah dibayar kepada pemaju; • membayar balik semua ansuran bulanan yang telah dibayar oleh pembeli kepada bank peminjam;• membayar balik wang peguam yang telah dibayar;• membayar kos gantirugi RM50,000 (boleh dirunding) kepada setiap pembeli disebabkan oleh projek terbengkalai

Latar belakang isu

Isu: Projek rumah terbengkalai di Taman Perdana Raya, Karak, PahangPemaju: IT Prima Sdn BhdTempoh terbengkalai: Sejak tahun 2003Jumlah pembeli bersama PSM Cameron: 7 keluarga ##

Page 12: Sosialis (Nov Dis 2015)

Nov-Dis 201512 ALAM SEKITAR

Tapak pelupusan sampah ancam kesihatanPSM bersama dengan penduduk Papan, Perak, telah membuat aduan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Ipoh pada 5 November yang lalu, berkenaan dengan tapak pelupusan sisa pepejal di Lahat, Perak. PSM dan Jawatankuasa Penduduk Papan mendesak SPRM melakukan siasatan ke atas Kerajaan Negeri Perak, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), syarikat Malaysian Environmental Resources Sdn Bhd dan Selekta Spektra Sdn bhd, kerana disyaki kewujudan penyalahgunaan kuasa dalam membenarkan operasi tapak pelupusan sisa pepejal tersebut secara tidak sah.

Menurut Sarasvathy, Timbalan Pengerusi PSM, tapak pelupusan sisa pepejal di Lahat mula beroperasi pada 1 April 2012 tanpa kelulusan laporan penilaian terperinci tentang kesan pada alam sekitar (DEIA). Kedudukan tapak pelupusan sisa pepejal tersebut melanggar peraturan Zon Penampan 1.7 km dari tapak pelupusan sisa radioaktif (ARE) yang ditetapkan oleh Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB). Lebih-lebih lagi, kewujudan tapak tersebut memudaratkan kesihatan dan keselamatan awam, serta tidak mematuhi prosedur dan keperluan undang-undang.

“Para penduduk mahu pihak SPRM menjalankan suatu siasatan yang terperinci, telus dan tegas tanpa pilih kasih,” begitu katanya Sarasvathy.

Beberapa persoalan telah dibangkitkan oleh PSM dan para penduduk berkenaan dengan tapak

pelupusan sisa pepejal tersebut, antaranya:

1. Pada 20 Mei 2011, pihak Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) memaklumkan bahawa zon penampan yang dibenarkan adalah dalam lingkungan jejari 1.7km (dari tapak pelupusan sisa radioaktif ARE) dan tiada sebarang aktiviti boleh dibangunkan di dalam kawasan tersebut. Ini adalah berdasarkan justifikasi keselamatan sinaran radioaktif ke atas orang awam, alam sekitar dan pekerja. Bantahan pihak AELB dalam perkara ini menyebabkan pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah menggugurkan cadangan itu dan memaklumkan keputusannya kepada Kerajaan Negeri Perak. Kemudian, pihak Kerajaan Negeri Perak telah mengambil alih projek ini dan diberikan kepada pihak MBI untuk meneruskannya. Namun, selepas setahun, iaitu pada 21 Mei 2012, pihak AELB telah bersetuju dengan cadangan tapak pelupusan sisa pepejal pihak MBI di Lahat ini dengan meletakkan beberapa syarat kepada Kerajaan Negeri Perak dan MBI. Mengapakah pihak AELB telah menukarkan keputusan sebelumnya, padahal tapak sisa radioaktif yang berhampiran dengan tapak pelupusan sampah ini adalah amat berbahaya kepada penduduk berhampiran dan alam sekeliling? Mengapa pihak AELB berbuat demikian? Adakah mana-mana pihak yang berkuasa telah memberikan desakan kepada pihak AELB?

2. Dalam Laporan DEIA yang dipamerkan kepada orang awam untuk ulasan, tiada sebarang

lampiran surat pembuktian, dan langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri Perak dan MBI bagi mengesahkan bahawa pihak berkenaan telah mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak AELB dalam suratnya yang bertarikh 22 Jun 2012 .

3. Dalam mesyuarat pada 21 Mei 2012, pihak AELB telah memutuskan untuk membenarkan kewujudan tapak pelupusan sisa pepejal di Lahat dan perkara ini dimaklumkan kepada Datuk Bandar Ipoh dalam suratnya bertarikh 22 Jun 2012. Mengapa pihak MBI memulakan operasinya di Lahat (tapak baru) pada 1 April 2012, iaitu sebelum pihak AELB membuat keputusan?

4. Orang awam berhak untuk mengemukakan ulasan bertulis dan komen sebelum 11 November 2015 kepada Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) berkaitan dengan butir-butir Laporan Penilaian Terperinci Kesan pada Alam Sekitar (DEIA) yang dipamerkannya. Ini adalah satu keperluan undang-undang menurut Seksyen 34A, AKS1974. Mengapakah Kerajaan Negeri Perak dan MBI telah memulakan dan membenarkan pihak Selekta Spektra Sdn Bhd untuk membangunkan tapak pelupusan ini tanpa kelulusan DEIA JAS dan keperluan undang-undang?

5. Ketua Pengarah JAS mempunyai bidang kuasa di bawah Seksyen 34A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 untuk mengeluarkan

perintah larangan atau perintah berhenti kerja kepada orang yang menjalankan aktiviti yang ditetapkan tanpa kelulusan di bawah subseksyen 34A(3). Mengapakah Ketua Pengarah JAS tidak berbuat demikian? Adakah mana-mana pihak menghalang pihak JAS untuk berbuat demikian?

Pemeliharaan alam sekitar dan kesihatan awam adalah hak asasi yang utama. Namun, dalam isu berkepentingan awam ini, pihak Kerajaan Negeri Perak dan MBI adalah jelas dan nyata tidak mematuhi keperluan undang-undang dan prosedur yang ditetapkan untuk menjamin keselamatan dan kesejahteraan penduduk di sekitarnya.

Tambahan pula, tindakan pihak Kerajaan Negeri Perak dan MBI yang membenarkan pihak Selekta Spektra Sdn Bhd untuk menjalankan kerja-kerja pembangunan dan pelupusan sisa pepejal sebelum isu zon penampan diputuskan oleh pihak AELB, telah mengundang pandangan bahawa wujudnya penyalahgunaan kuasa dan kedudukan sehingga mengabaikan keselamatan awam dan proses yang sedia ada. ##

Malaysia bukan tong sampahBantah import sisa haram

Pada 15 Oktober yang lalu, aktivis daripada Sahabat Alam Malaysia (SAM) bersama dengan para sukarelawan telah mengadakan satu aksi protes kecil dan sidang media di hadapan premis syarikat ResourceCo Asia (M) Sdn. Bhd.

SAM telah menerima satu e-mel aduan daripada seorang individu yang memberitahu tentang syarikat ini yang beroperasi di Zon Perindustrian IGB Tasek di Ipoh, Perak yang melanggar undang-undang had pengimportan sisa berbahaya. Syarikat ini telah memalsukan dokumen import dengan mengisytiharkan sisa pepejal sebagai bahan api pepejal. Undang-undang Malaysia telah

memperuntukkan agar sisa berbahaya dan bahan buangan lain untuk tujuan pemulihan dihadkan importnya. Isu di sini ialah sampah dari Australia, dibawa masuk ke Malaysia dengan cara yang tidak sah. Syarikat ini memproses sisa pepejal yang akan ditukar menjadi

bahan api untuk tanur pemprosesan simen.

Seperti yang dinyatakan dalam laman sesawang rasmi, ResourceCo Asia (M) Sdn Bhd telah mula beroperasi di Malaysia sejak Oktober 2010. Ia mula membekalkan bahan api kepada Lafarge Malaysia, iaitu syarikat pembuat simen sejak Mei 2011. Bahan api yang telah diproses itu sama teknologinya seperti Process Engineered Fuel (PEF) di Australia. Syarikat ini menyatakan bahawa mereka berupaya menghasilkan

50,000 tan PEF setahun dengan kemudahan operasi di Ipoh. Bahan api yang telah diproses akan dibekalkan kepada tanur pemprosesan simen di Kanthan dan Rawang.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Kastam telah pun dirujuk berkenaan isu ini. SAM juga telah menerima surat balas dari JAS yang menyatakan bahawa sisa yang diimport tersebut hendaklah dihantar kembali ke Australia. Penyataan JAS itu selari dengan peruntukkan Artikel 9 Konvensyen Basel mengenai Kawalan Pergerakan Sisa Berbahaya Rentas Sempadan dan Pelupusannya.

Oleh itu, aksi bantahan yang telah diadakan adalah untuk menggesa agar syarikat ResourCo Asia (M) Sdn. Bhd. untuk menghantar sisa yang diimport itu kembali ke Australia. Dengan itu juga, JAS dan Kastam digesa agar mengambil tindakan tegas terhadap syarikat ini yang melanggar undang-undang.

Malaysia Bukan Tapak Pelupusan. Kembalikan Sisa ke Australia! ##

Page 13: Sosialis (Nov Dis 2015)

13ANTARABANGSANov-Dis 2015

Sang Sapurba & Demang Lebar Daunsambung dari m/s 14

Telah termeterai satu perjanjian antara Sang Sapurba yang berketurunan raja dengan Demang Lebar Daun, seseorang yang mewakili rakyat. Demang Lebar Daun telah menyatakan persetujuan bahawa rakyat akan taat kepada keturunan Sang Sapurba tetapi hendaklah rakyat diperlakukan dengan baik. Jika rakyat melakukan kesalahan, mereka tidak harus dicerca dengan kata-kata yang buruk walau seteruk mana kesalahan itu. Jika kesalahan mereka itu berat, hendaklah dihukum mati, jika ia berpatutan dengan hukum tuhan.

Sang Sapurba pula memohon agar keturunan Demang Lebar Daun tidak ingkar terhadap keturunannya selama-lamanya, meskipun keturunan Sang Sapurba zalim dan melakukan kemungkaran. Perjanjian ini termeterai dengan syarat akhir jika salah satu pihak mungkir dari janji-janji itu, maka pihak yang satu lagi juga berhak memungkirinya.

Perjanjian ini ialah simbolik kepada perhubungan pemerintah dan rakyat. Pemerintah mahukan rakyat taat setia dan tidak derhaka. Namun pemerintah hendaklah berlaku adil

berlandaskan perundangan. Bukan itu sahaja, malah syarat terakhir yang dibalas oleh Demang Lebar Daun itu agak subjektif. Boleh jadi juga jika rakyat tidak diperlakukan dengan adil oleh pemerintah, maka perjanjian itu kemudiannya boleh dimungkiri oleh rakyat. Oleh yang demikian, rakyat berhak bangkit melawan. Rakyat boleh taat, tapi harus bersyarat. Rakyat juga boleh derhaka, kalau relevan sebabnya. Biarlah laungan Hang Jebat & Megat Sri Rama terus bergema - ‘Raja adil raja disembah! Raja zalim raja disanggah!’ ##

Rakyat Jerman bantah TTIP

Pada 10 Oktober yang lalu, lebih 250,000 orang telah berdemonstrasi di jalanan Berlin, ibu negara Jerman, demi membantah Perjanjian Perdagangan dan Pelaburan Trans-Atlantik (TTIP).

TTIP yang sedang dirundingkan antara Amerika Syarikat (AS) dengan Kesatuan Eropah (EU) merupakan satu perjanjian perdagangan bebas seperti TPPA, satu lagi instrumen antarabangsa

yang diterajui oleh kerajaan AS untuk melindungi kepentingan korporat multinasional. TPPA sudahpun mencapai persetujuan pada 5 Oktober yang lalu di Atlanta, sementara TTIP pula akan menghabiskan rundingannya pada tahun 2016 mengikut perancangan.

Di negara Jerman, kesatuan sekerja, organisasi alam sekitar dan parti berhaluan kiri telah mengkritik sifat TTIP yang anti-demokratik. Seperti

TPPA, isi kandungan TTIP telah dirahsiakan semasa rundingan, sehingga rakyat biasa tidak tahu apa yang sedang dipertaruhkan oleh kerajaan kepada korporat multinasional dalam rundingan tersebut.

Sama ada TPPA atau TTIP, kedua-dua perjanjian perdagangan bebas yang isi kandungannya merangkumi aspek yang meluas ini akan mewujudkan “peraturan permainan”

terbaru untuk ekonomi kapitalis global, di mana korporat multinasional akan memiliki kuasa yang lebih besar untuk melindungi keuntungan mereka, dan boleh menuntut pampasan daripada kerajaan sesebuah negara sekiranya keuntungan mereka dijejas oleh dasar kerajaan yang mementingkan rakyat lebih daripada korporat. ##

Indonesia: Pekerja tuntut gaji minimum lebih tinggi

Lebih 20,000 orang pekerja berdemonstrasi di jalanan Jakarta, ibu negara Indonesia, pada 30 Oktober yang lalu, untuk membantah peraturan terbaru dalam penyelarasan gaji minimum. Para pekerja juga tidak puas hati dengan kenaikan gaji minimum di Jakarta. Kerajaan Daerah Khusus Ibukota

Jakarta menetapkan gaji minimum terbaru pada paras Rp 3.1 juta (bersamaan lebih kurang RM 995), lebih rendah daripada gaji minimum yang dituntut oleh pekerja iaitu Rp 3.32 juta (lebih kurang RM 1065). Pekerja yang berdemontrasi menuntut pada kerajaan supaya membatalkan peraturan gaji

minimum terbaru, dan menaikkan gaji minimum sebanyak 22-25% pada tahun depan.

Polis telah bertindak ganas terhadap demonstran yang menuntut gaji minimum yang lebih tinggi. Dalam serbuan ke atas demonstran pada waktu lewat petang 30 Oktober yang

lalu, seramai 24 orang pekerja telah ditangkap. Kesemua yang ditahan hanya dibebaskan pada hari keesokannya.

Peraturan penyelarasan gaji minimum di Indonesia terbaru telah menetapkan bahawa gaji minimum akan dikira mengikut kadar inflasi dan kadar pertumbungan keluaran dalam negeri kasar (GDP), menggantikan pengiraan lama yang berasaskan indeks kos hidup (yang berdasarkan tinjauan ke atas harga 84 jenis barangan keperluan asas). Kesatuan sekerja dan pertubuhan buruh membantah perubahan cara pengiraan ini kerana kaedah terbaru tidak mengambil kira tentang keperluan asas pekerja, malah hanya mementingkan pertumbuhan ekonomi sedangkan pekerja yang menyumbang padanya. ##

Page 14: Sosialis (Nov Dis 2015)

Nov-Dis 201514 SENI

Raja Zalim raja disanggahDaulat TuankuHujan di tengahari Pakai payung emas Lumpur yang terpalit Dayang-dayang kemas Belajar luar negeri Duit tak pernah cemas Setelah ditabalkan Jodoh dengan puteri

Parti hujung minggu Kereta BMW

Cari gebu-gebu Teman beradu

Junjung titah patik harap di ampun Junjung titah patik harap di ampun Junjung titah patik harap di ampun Junjung titah patik harap di ampun

DaulatDaulat Tuanku

Perempuan zaman moden nak ayam tambatan Ataupun anak Sultan lupa daratan Pancung sula rejam

Aku tak gentar Lagu suciku ini milik rakyat jelata

Junjung titah patik harap di ampun Junjung titah patik harap di ampun Junjung titah patik harap di ampun Junjung titah patik harap di ampun

Daulat Daulat Tuanku

Janganlah murka Dirgahayu takkan layu Lagu ini mencemar duli

Pada 11 tahun yang lalu, tanggal 14 Disember 2004, album 'Selamat Tinggal Dunia' telah diterbitkan oleh kugiran Butterfingers. Ia merupakan album pertama dalam cubaan Butterfingers untuk berkarya dalam Bahasa Malaysia. Sebahagian lirik di atas ialah dari lagu 'Daulat Tuanku', iaitu lagu kedua dalam susunan album itu. Jika kita teliti liriknya, tak dapat lari dari membayangkan kalau kena pada konteks dan masanya,

silap-silap hari bulan Buttefingers boleh didakwa di bawah Akta Hasutan. Tak pasal-pasal pula. Adakah lagu ini bertujuan sama seperti lagu kugiran Sex Pistol yang bersifat sindiran iaitu 'God Save the Queen'? Tapi apa pun, maksud yang sebenar terpulang untuk diterjemahkan. Sama ada Butterfingers benar-benar bermaksud seperti yang tersurat, atau hanya sekadar menggunakan gaya bahasa dan istilah pinjaman dari bahasa istana, yang mana agak asing daripada perbualan rakyat marhaen. Seperti dalam satu

temuramah, Butterfingers sendiri menyatakan bahawa mereka sedar penggunaan gaya bahasa itu sejak peralihan dari berkarya dalam bahasa Inggeris ke Bahasa Malaysia. Ia dikatakan demi menjelajah haluan baru seni muzik tempatan yang dikatakan mudah diramal dan tidak mencabar minda. Apa pun, lirik-lirik lagu dalam album ini sedikit sebanyak mendetik kita untuk berfikir.

Teringat pula pada seorang rakan lama yang pernah bekerja bersama dulu. Dia juga meminati

Butterfingers. Dia pernah beritahu bahawa dia berketurunan Laksamana Bentan Megat Sri Rama. Mungkin ada yang sudah ketahui kisah ini, atau mungkin ada juga yang salah faham. Megat Sri Rama bukanlah watak dari kisah epik Kerajaan Hindu Purba. Jika kita baca Tuhfat Al-Nafis, iaitu sebuah karya sejarah, maka kita akan tahu bahawa Laksamana ini mati setelah dia membunuh Sultan Mahmud Shah II. Kisah pembunuhan ini pernah dijadikan filem yang diterbitkan pada tahun 1961. Filem itu diarahkan oleh K.M Basker.

Sultan Mahmud mangkat dijulangMegat Sri Rama ialah seorang laksamana yang berjaya memimpin angkatan perang menumpaskan ancaman lanun di perairan Johor. Di atas kejayan itu Sultan telah menganugerahkan pangkat Datuk Laksamana kepadanya. Megat Sri Rama juga telah mengahwini Wan Anum, gadis yang diselamatkan dalam misi menumpaskan lanun itu. Kejayaannya itu tidak disenangi oleh Tun Ali Bija iaitu seorang Pembesar Istana.

Ketika Wan Anum sarat

mengandung, Megat Sri Rama telah diperintah oleh Sultan untuk pergi memimpin satu lagi misi menjaga keamanan negeri. Suatu hari, ketika Penghulu Kebun Sultan sedang membawa sebiji buah nangka untuk dipersembahkan kepada Sultan, Wan Anum telah meminta seulas darinya demi memuaskan rasa mengidam akan buah nangka. Sultan Mahmud telah menyedari bahawa buah nangka untuk santapannya telah diusik. Maka dia pun murka kerana tidak dapat menerima untuk makan sisa orang

lain itu. Wan Anum telah dihukum dengan perutnya dibelah hidup-hidup sehingga kandungan bayinya terburai keluar. Kemurkaan Sultan telah diapi-apikan oleh Tun Ali Bija.

Kepulangan Megat Sri Rama membawa bersama berita kejayaan angkatan perang negeri Johor telah mendapat anugerah dari Sultan. Namun, apabila pulang ke rumah, kecewa dan marah Megat bukan kepalang. Setelah dipaksa Megat, akhirnya Tun Aman membuka cerita tentang kejadian yang menimpa Wan Anum yang cuba disorok kebenarannya. Megat lalu nekad untuk menuntut keadilan atas

kematian isteri dan anaknya itu.

Megat Sri Rama telah pergi ke perkarangan Masjid. Ketika itu Sultan Mahmud sedang ditandu oleh pengawal-pengawalnya untuk berangkat ke solat Jumaat. Megat telah menghalang laluan Sultan lalu berkata - 'Raja adil

raja disembah! Raja zalim raja disanggah!' Lalu dengan pantas menikam Sultan dengan senjatanya. Semua yang ada di situ terkejut menyaksikannya. Sultan Mahmud yang belum putus nyawa sempat melontarkan sebilah keris yang telah memakukan kaki Megat ke tanah sambil menyumpah agar tujuh keturunan Laksamana itu tidak boleh menjejakkan kaki ke Kota Tinggi. Akhirnya kedua-duanya menghembuskan nafas terakhir. Seorang di atas julangan rakyat, seorang lagi dengan kaki ditusuk keris ke tanah dan memuntahkan darah.

Kata-kata Megat Sri Rama sebelum menikam Sultan itu bukanlah yang pertama kali dilaungkan sedemikian. Ia juga kata-kata yang sama yang disebut oleh Hang Jebat sebelum dia mati di tangan sahabatnya sendiri. Sultan Mansur Shah telah menjatuhkan hukum ke atas Hang Tuah yang menjadi punca amukan Hang Jebat.

Hang Jebat – Penderhaka atau wira?Kerana kesetiaan dan kepahlawanannya, Hang Tuah sering diangkat sebagai wira masyarakat. Namun, dalam penulisannya pada tahun 1964 iaitu ‘Perwatakan dalam Hikayat Hang Tuah’, Kassim Ahmad telah mencabar pemikiran ini. Oleh kerana kesungguhannya

dalam menegakkan prinsip dan maruah, walaupun dengan menentang Sultan, Hang Jebat telah dihujahkan sebagai wira rakyat yang sebenar.

Kisah penentangan Hang Jebat terhadap Sultan itu boleh dilihat dari satu lagi kisah yang berlaku zaman dahulu kala. Telah berlaku satu perjanjian antara wakil Sultan dan wakil daripada rakyat jelata. Dari situlah berakar umbi ungkapan ‘raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah’.

(sambung di m/s 13)

Page 15: Sosialis (Nov Dis 2015)

15IDEOLOGINov-Dis 2015

Nilai Surplus dan Modal

(Tulisan ini merupakan bahagian ke-3 dalam Siri Pengenalan Kepada Teori Ekonomi Marxsis)

Nilai surplus atau nilai lebihan, adalah barangan surplus dalam bentuk matawang. Di bawah sistem kapitalis, nilai surplus adalah bahagian nilai dalam bentuk matawang yang dihasilkan oleh pekerja tanpa pulangan untuk dinikmati sepenuhnya oleh pemilik alat pengeluaran (iaitu kapitalis).

Kapitalis, iaitu orang yang memiliki modal, membeli kuasa buruh pekerja, dan menukarnya dengan gaji. Dengan itu, kapitalis memiliki segala barangan yang dihasilkan oleh pekerja, serta memiliki segala nilai baru yang dihasilkan dalam pengeluaran barangan tersebut.

Nilai surplus adalah perbezaan nilai antara nilai yang dihasilkan oleh pekerja dengan nilai tenaga buruh pekerja itu.

Dalam masyarakat kapitalis, tenaga buruh itu juga merupakan sejenis komoditi. Seperti komoditi yang lain, nilai tenaga buruh bersamaan dengan kuantiti buruh yang diperlukan untuk menghasilkannya atau penghasilan semula mengikut standard masyarakat pada masa itu. Dalam erti kata lain, nilai tenaga buruh adalah kos sara hidup pekerja secara umum.

Konsep gaji minimum untuk hidup ataupun gaji purata pekerja, bukannya konsep yang ditentukan secara mandatori mengikut fisiologi manusia, tetapi ianya perlu melibatkan keperluan manusia yang sentiasa berubah mengikut perkembangan kadar pengeluaran buruh. Keperluan ini akan bertambah mengikut kemajuan teknologi, maka keperluan manusia pada zaman yang berbeza adalah amat sukar untuk dibandingkan.

Kos sara hidup untuk tenaga buruh, merupakan nilai tenaga buruh itu, manakala nilai surplus, adalah nilai perbezaan antara kos sara hidup pekerja dengan nilai yang dihasilkan oleh pekerja dengan tenaga buruhnya adalah nilai surplus.

Nilai yang dihasilkan oleh tenaga buruh, boleh diukur secara mudah dengan tempoh masa yang digunakan. Sekiranya seorang pekerja bekerja untuk 10 jam, maka

dia menghasilkan nilai sebanyak 10 jam kerja. Jila kos hidup untuk pekerja itu, iaitu nilai gajinya, bersamaan juga dengan 10 jam kerja, ini bermakna pekerja itu langsung tidak menghasilkan nilai surplus.

Jika jumlah hasil buruh adalah sama dengan jumlah barangan yang diperlukan untuk seseorang pengeluar itu terus hidup, maka tidak akan wujudnya produk surplus masyarakat.

Namun, dalam sistem kapitalis, tahap kadar pengeluaran buruh adalah begini: kos sara hidup pekerja selalunya lebih rendah daripada jumlah kuantiti nilai yang dihasilkan olehnya. Maksudnya adalah, jika seorang pekerja bekerja selama 10 jam, hasil pengeluarannya yang cukup untuk menampung hidupnya semestinya tidak akan sampai 10 jam. Gaji harian seseorang pekerja itu adalah sebahagian daripada nilai buruhnya pada hari itu, bahagian yang lain itu adalah nilai surplus, iaitu kerja secara percuma oleh pekerja itu untuk kapitalis, dan kapitalis memiliki segala hasil kerja itu tanpa sebarang pulangan kepada pekerja. Gaji dan nilai produk itu harus adanya perbezaan nilai, kalau tidak tiada majikan mahu mengupah pekerja, kerana pembelian kuasa buruh sebegini tidak mendatangkan keuntungan.

Oleh itu, apa yang berlaku dalam sesebuah kilang dalam sistem ekonomi kapitalis adalah begini: misalnya, katakan masa bekerja untuk seorang pekerja dalam satu hari adalah 10 jam, pekerja tersebut hanya perlu bekerja 5 jam untuk menghasilkan kekayaan yang bersamaan nilai dengan gajinya, dan selepas itu, dia perlu bekerja lebih 5 jam lagi, untuk menghasilkan kekayaan tambahan untuk kapitalis yang mengupahnya. Jika bekerja hanya 4 jam untuk menghasilkan nilai yang sama dengan gajinya sehari, maka 6 jam yang selebihnya dia menghasilkan nilai lebihan untuk majikannya. Kerja berlebihan semata-mata untuk menghasilkan kekayaan bagi diambilalih sepenuhnya oleh kapitalis, inilah yang dimaksudkan pemerasan ataupun eksploitasi.

Pada zaman pra-kapitalisme (iaitu zaman sebelum wujudnya sistem kapitalis), sudahpun wujudnya masyarakat yang mengeluarkan komoditi dalam skala kecil. Dalam masyarakat sebegitu, wujudnya pengeluaran komoditi, iaitu pengeluaran yang bertujuan untuk menjalankan pertukaran dalam pasaran, bukannya untuk kegunaan terus pengeluar itu sendiri. Namun, pengeluaran komoditi masih belum sampai ke tahap yang berleluasa seperti dalam masyarakat kapitalis. Dalam masyarakat tersebut, wujudnya dua jenis aktiviti ekonomi, iaitu:

i. Jual untuk beli

ii. Beli untuk

jual

Aktiviti jual untuk beli: Petani dan tukang membawa hasil pengeluaran mereka ke pasaran, tujuan mereka adalah untuk menjual hasil pengeluaran itu. Apabila barangan itu dijual, mereka mendapat matawang (sebagai medium pertukaran), kemudiannya mereka dapat menggunakan matawang itu untuk membeli barangan yang lain. Mereka menjual barangan yang tiada nilai guna untuk mereka, supaya dapat memperoleh wang yang kemudiannya dapat digunakan untuk membeli barangan yang ada nilai guna bagi mereka. Misalnya, petani menjual hasil tanamannya untuk mendapatkan wang, kemudian membeli kasut daripada pembuat kasut dengan wang itu.

Dalam proses aktiviti “jual untuk beli” ini, dapat diungkapkan dalam formula berikut:

C-M-Cdi mana C = Komoditi; M = Matawang

Dalam aktiviti jual untuk beli ini, komoditi (C) yang berada di kedua-dua hujung itu mempunyai nilai yang sama dari segi tafsirannya.

Namun, selain petani kecil dan tukang yang menjual hasil pengeluaran mereka dalam pasaran masyarakat pengeluaran komoditi secara kecil-kecilan, adanya satu lagi golongan orang yang masuk ke pasaran tetapi menjalankan aktiviti ekonomi yang berlainan, mereka datang ke pasaran bukannya untuk “jual untuk beli”, tetapi “beli untuk jual”. Mereka adalah pedagang atau saudagar, mereka pergi ke pasaran tanpa membawa apa-apa komoditi tetapi hanya membawa matawang. Matawang itu tidak boleh dijual, tetapi matawang boleh membeli barangan. Tujuan mereka pergi ke pasaran adalah “beli untuk jual”. Misalnya, pedagang itu membeli hasil tanaman daripada petani dengan wang yang dibawanya, kemudian dia membawa hasil tanamannya yang dibelinya itu untuk dijual ke pasaran di tempat yang lain.

Aktiviti “beli untuk jual” ini boleh diungkapkan dalam formula berikut:

M-C-M'di mana M = Matawang; C = Komoditi; M' = Matawang (selepas komoditi itu dijual)

Jika nilai M yang mula-mula dibawa oleh saudagar itu ke pasaran itu, bersamaan dengan nilai M' di mana barangan yang dibelinya itu dijual semula, maka akviti “beli untuk jual” ini akan menjadi tidak bermakna. Siapa yang begitu bodohnya menggunakan wang untuk membeli sesuatu komoditi di mana tujuannya adalah menjual semula komoditi itu

dengan harga yang sama?

Untuk memastikan aktiviti “beli untuk jual” itu mempunyai “makna”, pedagang itu perlu memastikan penjualan semula komoditi yang di belinya itu mendatangkan nilai yang berlebihan, iaitu nilai surplus. Oleh itu, M' perlu lebih besar nilainya daripada M:

M' > MM' = M + mdi mana m = nilai surplus, iaitu nilai tambahan ke atas M.

Modal (capital) adalah nilai yang ditambahnilainya dengan nilai surplus. Penambahan nilai ini boleh sama ada berlaku semasa proses pengaliran (pertukaran) komoditi (seperti yang ditunjukkan di atas), ataupun berlaku dalam proses pengeluaran (seperti yang berlaku dalam sistem kapitalis). Oleh itu, apa-apa bilai yang bertambah melalui nilai surplus itu adalah modal.

Modal bukan sahaja wujud dalam masyarakat kapitalis, tetapi juga sudah wujud dalam masyarakat pra-kapitalis di mana adanya pengeluaran komoditi secara kecil-kecilan. Oleh yang demikian, sejarah modal itu dan sejarah perkembangan masyarakat kapitalis itu adalah dua perkara yang berbeza. Modal wujud jauh lebih lama berbanding corak pengeluaran kapitalis.

Modal dalam masyarakat pra-kapitalis biasanya wujud dalam bentuk modal riba (modal yang dimiliki oleh peminjam wang yang mengenakan faedah sangat tinggi, iaitu seperti Ah Long), modal pedagang ataupun modal perniagaan. Apabila berlakunya peralihan daripada masyarakat pra-kapitalis ke masyarakat kapitalis, satu ciri yang jelas adalah modal itu telah menembusi dan menerap ke dalam bidang pengeluaran komoditi.

Mod pengeluaran kapitalis merupakan satu bentuk organisasi masyarakat di mana modal tidak lagi terhad pada peranan orang tengah (yang wujud di bawah corak pengeluaran bukan kapitalis), malah modal itu telah mengambilalih segala alat pengeluaran, dan terlibat secara langsung dalam pengeluaran komoditi. ##

Page 16: Sosialis (Nov Dis 2015)

Nov-Dis 201516 GALERI

Protes bantah TPPA di ParlimenPSM bersama dengan kumpulan-kumpulan masyarakat sivil telah mengadakan satu aksi protest membantah perjanjian perdagangan bebas TPPA dan juga kenaikan kos hidup, di hadapan Parlimen pada 29 Oktober yang lalu. Turut hadir dalam protes ini adalah kumpulan mahasiswa, petani perak, orang asli dan aktivis politik.

Satu memorandum telah diserahkan kepada Parlimen dengan tuntutan supaya ahli-ahli Parlimen perlu sedar tentang kesan TPPA kepada rakyat Malaysia.

“Jika ahli-ahli parlimen betul-betul prihantin pada rakyat dan kepentingan masyarakat, maka mereka perlu menolak perjanjian TPPA yang menggadaikan hak rakyat ini,” begitunya kata A. Sivarajan, Setiausaha Agung PSM.

PSM bertekad untuk bersama-sama dengan rakyat Malaysia dalam terus membantah penjajahan baru melalui perjanjian seperti TPPA.

Akan Datang