Teori pembelajaran konstruktivisme

5

Click here to load reader

Transcript of Teori pembelajaran konstruktivisme

Page 1: Teori pembelajaran konstruktivisme

TEORI PEMBELAJARAN

1.0 Pengenalan

Pembelajaran merupakan perkara penting dalam perkembangan manusia. Manusia

sentiasa belajar untuk memperoleh pengetahuan dan kemahiran melalui pengalaman

untuk menghadapi cabaran dalam kehidupan seharian. Pembelajaran berlaku sepanjang

hayat secara formal iaitu di peringkat sekolah, kolej dan universiti, secara tidak formal

melalui persekitaran seperti televisyen, asuhan ibu bapa serta pergaulan dengan rakan-

rakan dan juga secara bukan formal iaitu kursus-kursus dan bengkel-bengkel yang

dilakukan di luar pembelajaran formal sebagai tambahan.

Teori merupakan antara perkara asas kepada sesuatu bidang ilmu termasuklah

bidang psikologi pendidikan. Menurut E. R. Hilgard, R.C. Atkinson dan R. L. Atkinson

(1975) dalam buku Introduction to Psychology mentafsirkan pembelajaran adalah proses

dalaman yang dialami oleh pelajar melalui pengalaman, pengetahuan dan kemahiran

yang diberikan dan membawa perubahan kognitif dan tingkah laku pelajar secara kekal

(Mok Soon Sang, 2010). Jadi, teori-teori pembelajaran boleh didefinisikan sebagai

huraian prinsip-prinsip dan hukum-hukum yang terjalin dan saling bergantung dalam

penguasaan ilmu dan maklumat.

2.0 Teori Pembelajaran Konstruktisvisme

Konstruktisvisme berasaskan pandangan bahawa proses pembelajaran adalah aktif dan

dinamik serta berkembang sedikit demi sedikit sepanjang hayat seseorang individu.

Seseorang individu akan membina atau “konstruk” ilmu pengetahuan dengan usaha

sendiri dan bukan menguasainya daripada orang lain. Teori ini menekankan bahawa

pembelajaran merupakan satu proses yang aktif dan pelajar membina konsep baharu

atau pengetahuan baharu berasaskan pengalaman. Setiap individu mempunyai

perwakilan pengetahuan sendiri melalui pengalaman yang dialami. Pembelajaran berlaku

apabila ketidakseimbangan berlaku di antara kerangka dengan maklumat baharu.

Page 2: Teori pembelajaran konstruktivisme

Para pengerak mazhab konstruktisvisme terdiri daripada ahli-ahli psikologi dan

pakar pendidikan seperti Jean Piaget, Jerome Bruner, Lev Vygotsky, John Dewey dan

Seymour Papert. Menurut penyokong konstruktivisme, apabila manusia berhadapan

dengan sesuatu yang tidak diketahui, mereka akan ingin memahaminya. Menurut teori

konstruktivisme, pengetahuan adalah produk minda yang dibina dengan pengalaman

dan input baharu yang diterima melalui deria-deria sebagai hasil persepsi. Justeru itu,

pembelajaran konstruktivisme adalah pembelajaran aktif dan dinamik. Ia terhasil

daripada pengubahsuaian idea-idea yang sedia ada dengan input melalui proses

asimilasi dan akomodasi dalam skema.

3.0 Prinsip-prinsip Konstruktivisme

Setiap pelajar yang menerima maklumat akan memprosesnya secara kognitif untuk

mencerminkan dan membayangkan keperluan, sifat semula jadi, pemikiran, sikap,

kepercayaan dan perasaannya sendiri. Ahli konstruktivis menganggap bahawa ilmu

pengetahuan tidak boleh wujud di luar minda tetapi dibina dalam minda berdasarkan

pengalaman sebenar. Ilmu pengetahuan dibina melalui proses saling mempengaruhi di

antara pembelajaran lampau dengan pembelajaran terbaru yang berkaitan.

4.0 Ciri-ciri Pembelajaran Konstruktivisme

Pelajar bertanggungjawab ke atas pembelajarannya adalah ciri pembelajaran

konstruktivisme yang penting. Guru mesti sedar tentang corak mental pelajar yang

membantu mereka mengerti dunia dan membuat andaian-andaian untuk menyokong

pemikiran mereka. Dalam teori ini, pembelajaran bukan merupakan satu proses

penghafalan maklumat di mana jawapan betul diberikan oleh guru-guru. Selain itu,

pembelajaran mesti bermula dengan isu-isu berkait rapat dengan minat dan naluri ingin

tahu pelajar yang dapat menarik minat pelajar.

Page 3: Teori pembelajaran konstruktivisme

Guru perlu menunjukkan pertalian di antara fakta-fakta dalam sebuah konsep

supaya pelajar dapat mengaitkannya dengan pengetahuan sedia ada. Guru sebagai

fasilitator perlu membantu proses ini dengan menggunakan strategi-strategi dan

kaedah-kaedah pengajaran yang menggalakkan pelajar-pelajar untuk membuat analisis,

tafsiran dan ramalan kendiri. Guru juga harus mendorong proses pembelajaran pelajar

dengan mengemukakan soalan-soalan terbuka dan sering mengadakan perbincangan

kumpulan di kalangan pelajar-pelajar.

Teori konstruktivisme tidak menggalakkan penilaian sumatif yang berpusat,

sebaliknya dengan penilaian formatif dan berterusan serta dijalankan serentak dengan

proses pembinaan dan penguasaan ilmu. Oleh itu, penggubal kurikulum konstruktivisme

perlu menggalakkan pembinaan kurikulum yang dinamik dan berubah-ubah berdasarkan

pengetahuan sedia ada individu serta penyelesaian masalah secara praktikal.

5.0 Implikasi Teori Konstruktivisme Dalam Bilik Darjah

Dalam teori konstruktivisme, guru tidak memberikan pengetahuan kepada pelajar-

pelajar. Sebaliknya, pelajar-pelajar harus berusaha sendiri membangunkan ilmu

pengetahuan secara sendiri dalam struktur mental mereka. Selain itu, guru

menggalakkan pembelajaran melalui penemuan. Interaksi antara guru dengan pelajar

berlaku secara aktif di samping guru menyesuaikan pengajaran mengikut kefahaman

pelajar. Guru juga akan menjadi „role model‟ ataupun ikutan yang paling efektif untuk

memberi pengetahuan kepada pelajar. Antara implikasi teori konstruktivisme yang lain

adalah seperti berikut:

(i) Pembinaan Ilmu Pengetahuan Kendiri

Pelajar membina pengetahuan sendiri daripada pengalaman, interaksi sosial dan

persekitaran. Pengetahuan dibina secara aktif melalui proses saling mempengaruhi di

antara pengetahuan sedia ada dan pengetahuan baru. Proses pembinaan pengetahuan

Page 4: Teori pembelajaran konstruktivisme

adalah berterusan yang melibatkan penjanaan idea, pemeriksaan dan penstrukturan

semula idea-idea tersebut.

(ii) Penaakulan dan Penggunaan Logik Diaplikasikan Secara Aktif

Pelajar menyedari bahawa ilmu atau maklumat yang ada padanya tidak serasi dengan

penerangan baharu, pelajar tersebut akan bermotivasi untuk membetulkan

ketidakseimbangan dalam dirinya. Pelajar berusaha menerima informasi baharu dan

menganalisisnya sebelum menerima atau menolak.

(iii) Penggunaan Bahan Bantu Belajar

Pelbagai bahan bantu mengajar yang menarik disediakan oleh guru untuk membantu

pelajar dalam proses pembelajaran kendiri dan cepat menguasai ilmu baharu. Bahan

bantu pengajaran yang digunakan oleh guru haruslah menunjukkan perkaitan dengan

pengalaman sedia ada pelajar.

(iv) Penglibatan Secara Aktif

Para pelajar boleh membina ilmu pengetahuan dengan melibatkan diri secara aktif

dalam aktiviti-aktiviti pembelajaran dan pelajaran. Pelajar perlu menggunakan minda

mereka secara aktif untuk membandingkan maklumat-maklumat baharu dengan

pengalaman sedia ada untuk mencapai kefahaman terhadap maklumat baharu ini.

Pelajar juga terlibat dalam proses metakognitif iaitu operasi yang mengarah dan

mengawal kemahiran secara kognitif dalam minda mereka. Pada akhir pengajaran,

pelajar terlibat dalam proses-proses menilai dan mentaksir pemikiran kendiri melalui

refleksi dan renungan.

(v) Strategi Pembelajaran

Guru perlu merancang dan menggalakkan pembelajaran kumpulan koperatif,

pembelajaran berasaskan projek dan pendidikan kajian luar yang memberi peluang

Page 5: Teori pembelajaran konstruktivisme

kepada pelajar-pelajar untuk mengendalikan pembelajaran kendiri mereka. Pelajar perlu

merancang strategik pembelajaran yang berkesan untuk diri sendiri serta membuka

refleksi dan menilai tentang pembelajaran yang telah berlaku.

6.0 PENUTUP

Sebagai kesimpulannya, dapat diandaikan bahawa teori konstruktivisme ini amat

menekankan bahawa pembelajaran merupakan suatu proses yang aktif dan dinamik.

Para pelajar dapat membina konsep dan pengetahuan baharu berasaskan pengalaman-

pengalaman yang mereka perolehi. Melalui pengalaman mereka, setiap individu

mempunyai perwakilan pengetahuan sendiri. Pembelajaran ini seterusnya berlaku

apabila ketidakseimbangan berlaku di antara kerangka dengan maklumat baharu. Teori

ini amat sesuai sekali untuk diaplikasikan ke dalam proses pembelajaran dan pelajaran

seiring sistem pendidikan masa kini yang menuntut supaya setiap individu yang

berkaitan mengaplikasikan kemajuan teknologi yang tersedia pada masa kini.