ABSTRAK
Kajian ini bertujuan mengkaji keberkesanan penggunaan peta minda
berbantukan komputer ke atas pencapaian murid dalam mata
pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan. Kajian ini
berbentuk kuasi-eksperimen yang melibatkan 70 orang murid tahun
empat di Sekolah Kebangsaan Jalan Datuk Kumbar, dalam Daerah
Kota Setar, Kedah. Sampel kajian dipilih secara bertujuan terdiri
daripada dua kumpulan murid yang mempunyai tahap pencapaian
yang hampir sama, dikelompokkan kepada kumpulan rawatan dan
kumpulan kawalan. Pengkaji terlibat secara langsung dalam kajian
ini, dengan kumpulan rawatan diajar dengan kaedah peta minda
berbantukan komputer sementara kumpulan kawalan pula diajar
secara konvensional. Instrumen kajian yang digunakan ialah satu
set ujian pencapaian yang mengandungi 30 soalan objektif aneka
pilihan. Kedua-dua kumpulan murid akan menduduki ujian pra dan
ujian pasca..
BAB I
MASALAH KAJIAN
1.1 PENDAHULUAN
Mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan merupakan
salah satu bidang ilmu yang penting untuk membentuk sahsiah dan
jati diri setiap orang murid. Melalui pengetahuan, kemahiran serta
nilai-nilai sivik yang diajar dalam mata pelajaran ini, adalah
diharapkan murid-murid akan menjadi warganegara yang sihat
sahsiah dan tingkah lakunya. Pendidikan Sivik dan
Kewarganegaraan juga diharapkan dapat melahirkan insan yang
seimbang seperti yang terangkum di dalam Falsafah Pendidikan
Kebangsaan. Justeru guru-guru yang terlibat secara langsung dalam
proses pengajaran dan pembelajaran adalah digalakkan
menggunakan kreativiti untuk memilih, menyusun dan mengolah
aktiviti pengajaran dan pembelajaran mengikut kesesuaian murid.
Menurut Setiausaha Parlimen Kementerian Pelajaran, YB Puan
Komala Devi semasa menjawab soalan YB Chong Eng, Bukit
Mertajam semasa persidangan Dewan Rakyat Kesebelas, pada 12
April 2005, murid-murid tahun 4, 5 dan 6 diwajibkan belajar mata
pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan adalah untuk
pembentukkan akhlak, kerana Kementerian Pelajaran berpendirian
bahawa proses pembentukkan akhlak harus dilakukan secara
berterusan bermula di peringkat sekolah rendah hingga ke peringkat
menengah melalui proses pengajaran dan pembelajaran di bilik
darjah, aktiviti harian sekolah dan juga kegiatan ko-kurikulum.
Sehubungan itu, kemahiran penyelidikan dan pembangunan dalam
mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan perlu diberi
perhatian dan penekanan di semua peringkat. Usaha kementerian
pelajaran melalui Pusat Perkembangan Kurikulum untuk
mempekenalkan semula mata pelajaran Pendidikan Sivik dan
Kewarganegaraan ini amatlah bertepatan masanya, memandangkan
berlakunya masalah keruntuhan akhlak dan moral generasi muda
masa kini. Kadar jenayah yang sedang melanda generasi muda hari
ini amat membimbangkan. Oleh itu segala kelemahan yang dihadapi
oleh murid-murid semasa mempelajari Pendidikan Sivik dan
Kewarganegaraan perlu dikaji bagi mengenalpasti punca-punca
serta mencari alternatif untuk mengatasinya.
1.2 LATAR BELAKANG MASALAH KAJIAN
Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan adalah suatu mata pelajaran
teras yang telah diperkenalkan semula pada tahun 2005, secara
berperingkat-peringkat bagi tahap dua di sekolah rendah dan
bermula dari tingkatan satu hingga ke tingkatan lima bagi sekolah
menengah. Kandungan sukatan pelajaran Pendidikan Sivik dan
Kewarganegaraan merangkumi aspek-aspek pengetahuan sivik,
kemahiran sivik, dan nilai-nilai sivik. Tema utama bagi mata
pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan bagi sekolah
rendah ialah sayangi diri, sayangi keluarga, hidup bersama di
sekolah dan masyarakat, kenali budaya Malaysia, Malaysia negaraku
dan sedia hadapi cabaran.
Berhubung dengan tajuk “Berbangga Dengan Identiti Negara” di
bawah tema Malaysia negaraku, didapati ramai murid tidak dapat
menguasainya tajuk tersebut dengan baik. Di samping kebanyakan
guru yang mengajar secara kaku, iaitu hanya menggunakan kaedah
tradisional yang kurang sesuai dengan tuntutan zaman. Kaedah
chalk and talk, penggunaan buku teks adalah contoh yang kerap
digunapakai oleh guru-guru di dalam pengajaran dan pembelajaran
di bilik darjah. Sedangkan bagi murid-murid kaedah tradisional ini
tidak menarik dan membosankan. Apatah lagi mata pelajaran
Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan bukanlah mata pelajaran
yang terlibat dengan peperiksaan. Keadaan inilah yang
menyumbangkan kepada murid-murid tidak menguasai
pengetahuan, kemahiran serta nilai-nilai sivik yang akan
mewatakkan mereka sebagai generasi yang berhemah dan
berakhlak mulia.
Faktor berikutnya, guru-guru dan pentadbir di sekolah-sekolah juga
memandang mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan
sebagai mata pelajaran ringan yang tidak perlu diberi penekanan.
Biasanya mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan
diagihkan kepada guru-guru sekadar mencukupkan bilangan masa
mengajar seminggu, supaya seimbang dengan rakan guru yang lain.
Malah tidak menjadi perkara pelik dan aneh apabila didapati semua
kelas Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan diajarkan oleh guru
besar atau penolong kanan. Hal demikian berlaku kerana mereka
beranggapan mata pelajaran Pendidikan Sivik dan
Kewarganegaraan adalah mata pelajaran yang mudah dan tidak
merugikan murid-murid sekiranya guru besar atau penolong kanan
tidak dapat masuk ke kelas disebabkan kesibukan masa dengan
tugas-tugas pentadbiran.
1.3 PERNYATAAN MASALAH
Melalui mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan,
adalah diharapkan dapat membentuk keperibadian murid yang
seimbang serta dapat memberi sumbangan terhadap kesejahteraan
keluarga, masyarakat dan negara. Seterusnya, usaha ini akan dapat
melahirkan generasi yang peka tentang hak dan tanggungjawab
mereka sebagai warganegara, menghargai perpaduan dan
mengapresiasi kepelbagaian budaya masyarakat Malaysia.
Matlamat yang ideal ini adalah untuk melahirkan modal insan dalam
masyarakat seperti yang dicita-citakan oleh pihak kerajaan. Namun,
sekiranya aspek pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah
dikesampingkan oleh guru-guru Pendidikan Sivik dan
Kewarganegaraan, harapan dan matlamat tersebut tidak mungkin
akan menjadi kenyataan.
Seterusnya, matlamat Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan
secara umumnya ingin memberi kesedaran kepada murid tentang
peranan, hak dan tanggungjawab murid dalam masyarakat dan
negara untuk melahirkan anggota masyarakat dan warganegara
yang bersatu padu, patriotik serta boleh menyumbang ke arah
kesejahteraan masyarakat, negara dan dunia. Matlamat seterusnya
ialah untuk melahirkan murid yang setia pada negara, cinta akan
tanahair, prihatin dan berbangga sebagai rakyat Malaysia serta
boleh berinteraksi ke arah mewujudkan masyarakat yang bersatu
padu dan sejahtera. Untuk memastikan matlamat tersebut dapat
dicapai, murid-murid sepatutnya terlebih dahulu perlu menguasai
pengetahuan sivik, kemahiran sivik dan nilai-nilai sivik.
Bagaimanapun, melalui pemerhatian dan tinjauan yang dilakukan,
pengkaji mendapati murid-murid tahun empat di Sekolah
Kebangsaan Jalan Datuk Kumbar, tidak dapat menguasai
pengetahuan sivik pada tahap yang sepatutnya. Hal demikian dapat
dibuktikan melalui keputusan peperiksaan pertengahan tahun yang
menunjukkan hanya 64% sahaja murid lulus (6% mendapat gred A,
25% mendapat gred B dan 33% mendapat gred C) manakala 36%
murid gagal dalam mata pelajaran Pendidikan Sivik dan
Kewarganegaraan.
Justeru, pengkaji mengambil langkah untuk melihat kembali
perlaksanaan pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran
Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan di peringkat sekolah rendah
khususnya di sekolah pengkaji sendiri. Apakah terdapat kaedah
yang sesuai untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran bagi
mata pelajaran tersebut secara lebih berkesan supaya murid-murid
dapat belajar dengan berkesan ke arah menguasai pengetahuan
sivik. Penggunaan kaedah yang sesuai dan berkesan dalam proses
pengajaran dan pembelajaran adalah menjadi perkara yang amat
penting. Oleh itu, pengkaji merasa perlu diberikan penekanan
tentang penggunaan kaedah peta minda dengan berbantukan
komputer semasa mengajarkan tajuk “Berbangga Dengan Identiti
Negara”.
Beberapa kajian lepas mendapati bahawa penggunaan kaedah peta
minda dalam pengajaran dan pembelajaran dapat meningkatkan
pencapaian murid-murid dalam sesuatu mata pelajaran (Altablig bt
Ali 2006, Asma binti Ishak 2005, Rusilah Jais et. al 2004, dan Sim Ah
Hock et. al 1997). Pengkaji mengharapkan penggunaan peta minda
dengan berbantukan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran
bagi tajuk “Berbangga Dengan Identiti Negara” akan dapat
meningkatkan pencapaian dalam Pendidikan Sivik dan
Kewarganegaraan. Seterusnya pengkaji juga mengharapkan kajian
yang akan dijalankan ini akan memberikan hasil yang positif, untuk
memartabatkan mata pelajaran Pendidikan Sivik dan
Kewarganegaraan di kalangan murid-murid.
1.4 TUJUAN KAJIAN
Tujuan kajian ini ialah untuk mengkaji keberkesanan penggunaan
peta minda yang dibantu oleh komputer dalam proses pengajaran
dan pembelajaran mata pelajaran Pendidikan Sivik dan
Kewarganegaraan bagi tajuk “Berbangga Dengan Identiti Negara”
yang terkandung dalam Sukatan Pendidikan Sivik dan
Kewarganegaraan tahun empat. Tajuk ini meliputi Rukunegara,
Negaraku, Jalur Gemilang, Jata Negara, Bahasa Kebangsaan dan
Bunga Kebangsaan.
1.5 SOALAN KAJIAN
i. Adakah terdapat perbezaan min pencapaian Pendidikan Sivik dan
Kewarganegaraan yang signifikan antara kumpulan yang
menggunakan kaedah peta minda berbantukan komputer dan
kumpulan yang belajar secara konvensional?
ii. Adakah terdapat perbezaan min pencapaian Pendidikan Sivik dan
Kewarganegaraan yang signifikan antara murid lelaki dan murid
perempuan dalam kumpulan yang belajar menggunakan kaedah
peta minda berbantukan komputer?
1.6 HIPOTESIS KAJIAN
Ho1: Tidak terdapat perbezaan min pencapaian yang signifikan
dalam ujian pasca di antara kumpulan yang belajar menggunakan
kaedah peta minda berbantukan komputer dengan min pencapaian
kumpulan yang belajar menggunakan kaedah konvensional.
Ho2: Tidak terdapat perbezaan min pencapaian yang signifikan
dalam ujian pasca di antara murid lelaki dan murid perempuan
dalam kumpulan yang belajar menggunakan kaedah peta minda
berbantukan komputer.
1.7 KEPENTINGAN KAJIAN
Kajian seperti ini penting kerana dapatan hasil kajian nanti dijangka
dapat membantu guru membuat refleksi tentang pengajarannya
serta memperbaiki kaedah dan teknik pengajaran agar sesuai
dengan tahap kesediaan dan minat murid. Dalam proses
pembelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan guru
seharusnya menggunakan kaedah pengajaran yang boleh
meransang pembelajaran murid. Kaedah peta minda dengan
berbantukan komputer akan dapat mengekalkan tumpuan dan
perhatian murid kepada pengajaran guru dan seterusnya akan
meningkatkan pencapaian.
Hasil kajian ini juga penting kepada murid-murid yang
berpencapaian rendah dalam Pendidikan Sivik dan
Kewarganegaraan. Kemungkinan faktor ini disebabkan oleh kaedah
pengajaran guru secara tradisional dan membosankan. Dengan
penggunaan kaedah peta minda yang memaparkan imej, warna,
frasa serta garisan anak panah yang sesuai akan membantu murid-
murid untuk menguasai kemahiran yang dipelajari dan
menghindarkan rasa bosan semasa pembelajaran. Murid-murid akan
lebih mudah mengingati isi pelajaran kerana tidak perlu membaca
ayat yang panjang serta sukar difahami. Imej, warna, frasa, dan
sebagainya itu tidak terlalu abstrak berbanding dengan syarahan
guru. Tony Buzan (2006) berpendapat, secara nyata peta minda
merupakan penggunaan grafik. Kata kunci dalam peta minda
selalunya dihasilkan dalam bentuk gambaran atau pola kerana otak
manusia lebih mudah menerima ransangan yang berbentuk pola.
Selanjutnya kajian ini juga dapat meransang guru-guru Pendidikan
Sivik dan Kewarganegaraan untuk lebih bersedia, kreatif dan
sentiasa peka dengan tugas mendidik di dalam bilik darjah.
Penggunaan peta minda dengan berbantukan komputer menuntut
seseorang guru itu membuat persediaan yang rapi sebelum
memulakan pengajaran. Guru-guru juga akan lebih kreatif untuk
menghasilkan peta minda yang menarik, padat dan mudah untuk
difahami oleh murid-murid.
Selain itu, hasil kajian ini juga mungkin mempunyai kepentingan
kepada pihak pentadbiran sekolah, yakni guru besar yang ingin tahu
kaedah yang sesuai untuk digunakan dalam proses pengajaran dan
pembelajaran, terutamanya mata pelajaran Pendidikan Sivik dan
Kewarganegaraan. Kaedah peta minda dengan berbantukan
komputer dapat dilaksanakan oleh guru-guru kerana kebanyakan
guru-guru telah menguasai kemahiran asas menggunakan
komputer.
1.8 BATASAN KAJIAN
Kajian ini melibatkan 70 orang murid daripada dua buah kelas tahun
empat di Sekolah Kebangsaan Jalan Datuk Kumbar, Kedah. Sampel
dipilih secara bertujuan untuk maksud kajian. Oleh itu, dapatan
kajian ini tidak boleh digeneralisasikan mana-mana kumpulan lain.
Kajian ini hanya melibatkan tajuk “Berbangga Dengan Identiti
Negara” yang terkandung dalam Sukatan Pendidikan Sivik dan
Kewarganegaraan tahun empat. Tajuk ini meliputi Rukunegara,
Negaraku, Jalur Gemilang, Jata Negara, Bahasa Kebangsaan dan
Bunga Kebangsaan. Tajuk ini akan diajarkan dalam masa empat
minggu sahaja.
Semasa kajian dijalankan, pengkaji sendiri yang akan mengajar
kedua-dua kumpulan rawatan dan kumpulan kawalan. Langkah ini
mungkin akan memberi kesan ke atas keputusan kajian.
1.9 DEFINISI ISTILAH
1.9.1 Ujian pra ialah ujian pencapaian yang diduduki oleh semua
sampel bagi kumpulan rawatan dan kumpulan kawalan sebelum
kajian dijalankan
1.9.2 Ujian pasca ialah ujian pencapaian yang diduduki oleh semua
sampel bagi kumpulan rawatan dan kumpulan kawalan diakhir
kajian dijalankan
1.9.3 Ujian rintis ialah satu ujian yang diberikan kepada kumpulan
murid yang tidak terlibat dalam kajian untuk menguji kesahan dan
kebolehpercayaannya.
1.9.4 Kumpulan rawatan ialah kumpulan murid yang diajarkan
dengan menggunakan kaedah peta minda
1.9.5 Kumpulan kawalan ialah kumpulan murid yang diajar dengan
kaedah konvensional
1.9.6 Peta minda merupakan satu pembinaan yang dibuat di atas
sehelai kertas, idea penting diletakkan di tengah-tengah pusat
utama dan idea lain yang berkaitan dikembangkan di luar idea
utama dengan menggunakan pusat kecil, garisan, bongkah
geometri, warna dan sebagainya. Dalam kajian ini, peta minda yang
digunakan dipaparkan melalui skrin, berbantukan komputer dan
Liquid Crystal Display (LCD).
1.9.7 Berbantukan komputer ialah penggunaan komputer dalam
pengajaran dan pembelajaran sebagai alat (tool) untuk membantu
pelajar mempelajari sesuatu topik, idea atau kemahiran.
1.10 RUMUSAN
Bab ini menghuraikan tentang masalah kajian, tujuan dan persoalan
kajian yang hendak dijawab, kepentingan kajian, batasan kajian
serta beberapa definisi istilah yang menjadi komponen penting
dalam setiap kajian. Pengkaji ingin membuat kajian mengenai
keberkesanan penggunaan peta minda berbantukan komputer
dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Sivik dan
Kewarganegaraan tahun empat bagi tajuk “Berbangga Dengan
Identiti Negara”.
BAB II
TINJAUAN LITERATUR
2.1 PENDAHULUAN
Tujuan kajian ini dijalankan antara lain adalah untuk menggunakan
satu kaedah yang sesuai serta boleh membantu murid
meningkatkan pencapaian dalam mata pelajaran Pendidikan Sivik
dan Kewarganegaraan. Pengkaji menggunakan kaedah peta minda
dengan berbantukan komputer untuk mengajarkan tajuk
“Berbangga Dengan Identiti Negara” yang terdapat dalam sukatan
pelajaran tahun empat. Dalam bab ini juga pengkaji mengutarakan
literatur-literatur berkaitan mengenai peta minda, teori-teori yang
berkaitan serta beberapa kajian berkaitan yang telah dijalankan
mengenai peta minda dan pembelajaran berbantukan komputer.
2.2 LITERATUR BERKAITAN PETA MINDA
Peta minda telah diperkenalkan oleh Tony Buzan pada tahun
1960an sebagai kaedah yang boleh membantu pelajar, mencatat
nota dengan ringkas dan berkesan. Menurut Subadrah (2001),
penggunaan peta minda semakin penting sebagai satu kemahiran
mengorganisasi maklumat dan menghuraikan konsep atau objektif
secara teratur. Shahabudin Hashim, Mahani Razali dan Ramlah
Jantan (2007) menyatakan, peta minda membolehkan kita
merangka, mencatat nota, merekodkan maklumat atau peristiwa,
merancang aktiviti atau membuat sesuatu persembahan. Peta
minda yang dibentuk biasanya pelbagai dan bergantung kepada
kreativiti seseorang.
Peta minda merupakan kaedah yang berkesan untuk mendapatkan
semua maklumat daripada ingatan untuk ditukarkan menjadi bentuk
yang boleh dilihat. Menurut Poh Swee Hiang (2006), peta minda
dibentuk berdasarkan bagaimana otak manusia merakam dan
memproses maklumat secara linear dan dalam masa yang sama
membuat pengelolaan yang menyeluruh seperti menghubungkait,
membanding, menganlisa dan sebagainya. Peta minda adalah
kebiasaannya dibina di atas sehelai kertas. Idea penting atau idea
utama diletakkan di tengah-tengah pusat utama dan idea lain yang
berkaitan dikembangkan di luar idea utama dengan menggunakan
pusat kecil, garisan, bongkah geometri, imej, underlining, anak
panah, warna dan sebagainya. Peta minda juga boleh menjimatkan
masa dalam mempelajari sesuatu mata pelajaran. Dalam proses
pembelajaran, seseorang murid itu perlulah menyusun strategi agar
segala isi pelajaran dapat diproses oleh otak dengan lebih mudah.
Menurut Dilip Mukerjea (1996), melalui peta minda seseorang itu
dapat .... learn more, remember more, use less paper, invest less
effort ... yang membawa maksud penggunaan peta minda dapat
memperolehi ilmu pengetahuan yang lebih banyak,
mempertingkatkan daya ingatan tanpa merugikan terlalu banyak
kertas serta tenaga.
Semasa membina peta minda, maklumat penting yang disusun dan
dikelolakan dengan cara keseluruhan. Susunan sedemikian dapat
menghasilkan struktur pola yang kreatif selaras dengan cara otak
seseorang memproses maklumat. Penggunaan peta minda lebih
mudah untuk dirakamkan dalam ingatan jangka panjang. Poh Swee
Hiang (2006) berpendapat, peta minda membantu anda mencatat
nota dengan pantas dan mengelakkan pengulangan perkataan. Nota
tersebut wujud sebagai satu gambaram mental yang lengkap,
bermakna dan senang diingati.
Penggunaan peta minda dalam Pendidikan Sivik dan
Kewarganegaraan boleh membantu mencapai beberapa matlamat.
Menurut Ab Fatah Hassan (1994), antaranya mengorganisasi
maklumat, membantu kepada pengekalan ingatan, membuat
perkaitan antara pengetahuan yang baru dengan pengetahuan
sedia ada, membantu kepada pengekalan konsep baru,
memperjelas dan mengvisualisasikan struktur kognitif pelajar dan
menggalakkan kreativiti. Faktor tersebut juga boleh menarik minat
murid terhadap proses pengajaran dan pembelajaran guru.
Keberkesanan peta minda ini telah diakui oleh pelajar cemerlang
SPM 2006, Nadia Rohani Malik Panter-Brick, pelajar Sekolah
Menengah Kebangsaan Agama Nurul Ittifaq, Besut, Terengganu.
Beliau mendapat pangkat 1A dalam kesemua 14 mata pelajaran
yang diambil dalam peperiksaan tersebut. Pejabat Pendidikan
Daerah Besut (23 Mac 2007) melaporkan, Nadia yang bercita-cita
menjadi seorang doktor pakar menggunakan kaedah peta minda
Tony Buzan bagi memudahkannya mengulangkaji dan menghafal
pelajaran.
Sasterawan terkenal tanahair, A. Samad Said telah mengadakan
pameran “Daerah Samad – 100 lakaran oleh A. Samad Said” di
Galeri Petronas, Suria KLCC. Menurut Johanna A. Sobrey (25 Jun
2007), manuskrip-manuskrip itu hasil tulisan tangan Pak Samad
sendiri berperanan sebagai peta minda yang mengungkapkan
secara intim, telus dan langsung sejarah pembentukkan karya-karya
sasteranya dari mula sampai tamat. Selanjutnya dijelaskan,
disebalik tompokan dan garisan-garisan halus mahupun cakaran liar,
turut tersisip kata-kata puitis dan mesej mendalam yang
meneropong kehidupan, keadaan serta perkara yang berlaku di
persekitaran dan pelbagai perkara yang bermain di minda Pak
Samad. Ini menunjukkan kelebihan penggunaan peta minda dalam
membuat catatan idea sebelum dikembangkan dalam bentuk
penulisan naratif.
2.3 PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BERBANTUKAN KOMPUTER
Penggunaan komputer dalam proses pengajaran dan pembelajaran
di bilik darjah amatlah digalakkan, kerana penggunaan komputer
dapat menarik minat murid-murid untuk mengikuti pembelajaran
dengan lebih sistematik. Menurut Nor Hayati (2002), salah satu
kaedah yang sesuai digunakan untuk menarik minat murid-murid
ialah pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer, iaitu
satu pengajaran yang dibantu oleh komputer dengan melibatkan
perisian-perisian yang sesuai samada dicipta sendiri atau telah
dicipta oleh orang lain untuk tajuk-tajuk tertentu. Ahmad Nizar
(1997) pula berpendapat, pengajaran dan pembelajaran
berbantukan komputer ialah satu situasi pembelajaran di mana
murid-murid dapat berinteraksi dan dibimbing oleh komputer
melalui satu program pembelajaran terancang yang bertujuan untuk
mencapai matlamat pembelajaran.
Menurut Kanagambal (1977), pengajaran dan pembelajaran
berbantukan komputer ialah satu situasi di mana komputer
digunakan untuk mengajar dan mengasah sesuatu kemahiran.
Selain itu beliau menyatakan bahawa melalui pengajaran dan
pembelajaran berbantukan komputer, adalah usaha untuk
menyampaikan maklumat, membimbing, melatih dan menilai
prestasi murid-murid. Pengajaran dan pembelajaran berbantukan
komputer juga dapat menghasilkan suasana pembelajaran yang
menarik dan lebih efektif kerana pelajaran dapat disampaikan
dengan cara yang lebih menghiburkan. Menurut Kanagambal lagi,
antara matlamat yang dicapai oleh pelajar melalui pengajaran dan
pembelajaran berbantukan komputer ialah mempelajari sesuatu
dengan lebih cepat, lebih mudah serta lebih banyak mengingati
kembali bahan yang dipelajari, merperoleh sikap positif terhadap
alat komputer, dapat berinteraksi dengan komputer dengan lebih
aktif dan fleksibel dalam pembelajaran, iaitu pelajar menentukan
cara menggunakan bahan pengajaran dan pembelajaran
berbantukan komputer.
Seterusnya, menurut Mohamad Hasan (1998), penggunaan
komputer dalam proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah
mempunyai banyak kelebihan. Antaranya ialah (i) komputer mampu
mendorong pembelajaran dilaksanakan secara interaktif dan secara
tidak langsung akan menimbulkan suasana seronok belajar, (b)
kecanggihan bahan grafik pada program komputer boleh
menambahkan lagi daya kreativiti pelajar dan memperbaiki
kemahiran penulisan murid, (c) terdapat beberapa program
komputer yang mencabar, yang mendorong kepada kemahiran
berfikir di kalangan murid, (d) guru-guru dapat berperanan sebagai
fasilitator dan mampu membantu murid sepenuhnya dari segi isi
pelajaran, (e) pelajar boleh mengikuti pelajaran pada bila-bila masa
dan merasa kurang tertekan, dan (f) komputer dapat membekalkan
maklumat terkini, mengambil semua maklumat, menyalin
maklumat, menyimpan maklumat dan memaparkan maklumat
untuk perbincangan atau persembahan.
Mengenai konsep pengajaran dan pembelajaran berbantukan
komputer pula, Zoraini Wati Abas (1992) berpendapat, langkah
pertama penggunaan komputer di dalam kurikulum sekolah
menjurus kepada pembelajaran berbantukan komputer yang boleh
dianggap sebagai alat (tool) untuk membantu pelajar mempelajari
sesuatu topik, idea atau kemahiran. Komputer yang digunakan di
sekolah boleh diaplikasikan melalui pelbagai cara untuk menarik
perhatian pelajar terhadap pengajaran guru. Perhatian yang
diberikan semasa proses pembelajaran sangat penting, kerana
melalui perhatian tersebut akan menatijahkan sesuatu yang
diharapkan.
2.4 TEORI-TEORI BERKAITAN
Selain daripada bukti-bukti kejayaan penggunaan peta minda dan
kelebihan-kelebihan pengajaran dan pembelajaran berbantukan
komputer, terdapat juga beberapa teori serta pandangan yang
sesuai atau yang menyokong penggunaan peta minda dapat
memberi manfaat kepada proses pembelajaran. Antaranya Teori
Pembelajaran Gestalt /Kognitif, Teori Ausubel, dan Teori Pelbagai
Kecerdasan (Gardner). Ahli-ahli psikologi gestalt atau kognitif
berpendapat, dalam proses pembelajaran, pelajar membentuk
struktur kognitif dalam ingatannya. Ragbir Kaur (2006) menyatakan,
setiap kali seseorang individu itu belajar, dia akan menyusun segala
pengalaman yang dipelajari dan menyimpannya di dalam ingatan.
Penggunaan peta minda adalah selari dengan pendapat mazhab
gestalt yang berpendapat bahawa setiap manusia mempunyai
keupayaan mental untuk mengelola, menyusun, menyimpan dan
menggunakan semula segala pengalaman yang tersimpan untuk
membolehkan dia menghubungkaitkan pertalian antara pengalaman
tersimpan dengan masalah dihadapi.
David Ausubel seorang ahli psikologi kognitif yang menekankan
penguasaan maklumat melalui penggunaan bahasa yang bermakna.
Menurut Ragbir Kaur (2006), maklumat yang dipelajari secara
bermakna dapat diingat dengan lebih lama berbanding dengan apa
yang dipelajari secara hafazan. Dr Ismail Zain (13 Jun 2005) Utusan
Malaysia, telah menyatakan pembelajaran secara hafalan tidak
dapat membentuk insan yang kritis dan kreatif, malah tidak sesuai
dengan zaman yang serba maju ini. Selanjutnya beliau berpendapat
penggunaan peta minda dan pengurusan grafik adalah sesuai ke
arah memudahkan otak membuat analisis untuk menghasilkan
sesuatu yang bermakna.
Gardner yang terkenal dengan teori kecerdasan pelbagai
menyatakan bahawa kecerdasan adalah kebolehan seseorang untuk
menyelesaikan masalah. Menurut Ramlan Hamzah dan Lily Mastura
Harun (2006) dalam penyelesaian masalah terdapat pelbagai cara
bukan hanya tertumpu kepada satu cara tertentu sahaja dan
Gardner telah mengenalpasti sembilan jenis kecerdasan yang ada
dalam diri individu. Dalam proses pembelajaran menggunakan peta
minda adalah amat sesuai terutamanya bagi murid-murid yang
mempunyai kecerdasan visual dan ruang, kecerdasan bahasa dan
kecerdasan interpersonal. Dalam sesuatu kumpulan pembelajaran
yang dibentuk mungkin terdapat ahli kumpulan yang berbeza
kecerdasan. Perbezaan tersebut dapat membantu murid-murid
untuk menghasilkan peta minda yang kreatif dan asli.
2.5 KAJIAN BERKAITAN
Kajian-kajian berkaitan dengan penggunaan peta minda telah
banyak dijalankan oleh pengkaji-pengkaji di kalangan pendidik
sendiri. Antaranya ialah Altablig bt Ali (2006), Asma binti Ishak
(2005), Rusilah Jais et. al (2004), dan Sim Ah Hock et.al (1997).
Begitu juga terdapat kajian yang berkaitan dengan pembelajaran
Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan berbantukan komputer oleh
Kam Foo Kong (2006).
Altablig bt Ali (2006) telah menjalankan kajian tentang penggunaan
peta minda dalam mengingati konsep atau fakta sejarah ke atas 35
orang pelajar tingkatan 4 di Sekolah Menengah Pekan Baru, Parit
Buntar. Hasil dapatan kajian tersebut menunjukkan pelajar yang
berpencapaian sederhana telah meningkat sebanyak 60% manakala
pelajar yang lemah hanya 6% sahaja. Beliau merumuskan bahawa
penggunaan peta minda dapat membantu pelajar-pelajar sederhana
mengingat fakta sejarah bagi mendapat markah terutamanya dalam
soalan struktur Kertas 2.
Asma binti Ishak (2005), telah menjalankan kajian ke atas 30 orang
murid tahun 4 Arif di Sekolah Kebangsaan Jelempok. Kajian beliau,
penggunaan peta minda dapat meningkatkan kemahiran mencatat
nota. Dapatan kajian beliau menunjukkan berlaku peningkatan
kumpulan pencapaian tinggi dalam ujian pasca menjadi 40%
berbanding ujian pra 7%. Bagi kumpulan pencapaian rendah pula
menurun kepada 3% dalam ujian pasca berbanding 40% dalam ujian
pra. Sehubungan itu beliau berpandangan bahawa penggunaan peta
minda dalam mencatat nota adalah berjaya.
Seterusnya Rusilah Jais et. al (2004) juga telah menjalankan kajian
tentang penggunaan peta minda bagi mata pelajaran matematik di
kalangan pelajar perakaunan. Kajian tersebut melibatkan seramai
158 responden di kalangan pelajar-pelajar matrikulasi. Hasil dapatan
kajian tersebut menunjukkan berlakunya peningkatan pelajar yang
mendapat gred A sebanyak 26.6% dalam ujian pasca berbanding
7% dalam ujian pra. Pelajar yang mendapat gred B juga meningkat
daripada 7.6% dalam ujian pra kepada 12% dalam ujian pasca. Bagi
gred C menunjukkan penurunan peratus dalam ujian pasca iaitu
3.2% berbanding 10.1% dalam ujian pra. Rusilah Jais et. al (2004)
merumuskan bahawa penggunaan peta minda dalam mata
pelajaran matematik adalah berkesan.
Sim Ah Hock et.al (1997), telah menjalankan kajian tentang kesan
strategi pemetaan konsep terhadap pemprosesan maklumat Sains
dengan berbantukan komputer ke atas 141 orang pelajar semester
3 di lima buah maktab perguruan. Dapatan kajian tersebut
dirumuskan bahawa, terdapat perbezaan min dalam ketiga-tiga
pemboleh ubah bersandar antara kumpulan eksperimen dan
kumpulan kawalan adalah signifikan, dengan kumpulan eksperimen
memperolehi skor yang lebih tinggi daripada kumpulan kawalan.
Oleh itu dapatan kajian menyokong pengintegrasian strategi
pemetaan konsep untuk memproses maklumat dengan
pembelajaran berbantukan komputer.
Kam Foo Kong (2006), menjalankan kajian ke atas 42 orang pelajar
tingkatan 1L di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Keledang.
Kajian beliau tentang meningkatkan minat pelajar kepada mata
pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan melalui kaedah
pembelajaran berbantukan komputer. Hasil dapatan kajian beliau
menunjukkan pelajar yang memperolehi skor 40% ke atas (lulus)
dalam ujian pasca meningkat kepada 86% berbanding 47.6% dalam
ujian pra. Pelajar yang memperolehi skor 40% ke bawah (gagal) pula
menurun kepada 14% dalam ujian pasca berbanding 52.4% dalam
ujian pra. Dengan demikian Kam Foo Kong merumuskan bahawa
kaedah pengajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan
menggunakan komputer telah menunjukkan peningkatan
pencapaian yang ketara.
2.6 RUMUSAN
Berdasarkan literatur berkaitan dan kajian-kajian yang berkaitan
telah menunjukkan bahawa kaedah penggunaan peta minda serta
peta minda dengan berbantukan komputer dalam sesuatu
pengajaran dan pembelajaran akan memberikan kesan yang positif
terhadap pencapaian murid-murid. Peta minda yang digunakan
dalam pengajaran dan pembelajaran juga seiring dan sesuai dengan
pandangan dan teori-teori pembelajaran seperti Teori Gestalt /
Kognitif , Teori Ausubel dan Teori Kecerdasan Gardner.
BAB III
KAEDAH KAJIAN
3.1 PENDAHULUAN
Kajian ini adalah mengenai kaedah penggunaan peta minda dengan
berbantukan komputer dalam mata pelajaran Pendidikan Sivik dan
Kewarganegaraan bagi tajuk “Berbangga Dengan Identiti Negara”.
Dalam bab ini, pengkaji menyatakan kaedah kajian yang akan
digunakan dalam kajian ini. Kaedah kajian yang akan digunakan
dalam kajian ini pula akan menerangkan reka bentuk kajian,
populasi dan sampel, alat kajian yang digunakan, tatacara
pengumpulan data dan seterusnya tatacara penganalisaan data.
3.2 REKA BENTUK KAJIAN
Kajian ini menggunakan reka bentuk kuasi eksperimen yang
melibatkan dua kumpulan kelas tahun empat, iaitu kumpulan
pertama yang disebut sebagai kumpulan rawatan, dan kumpulan
kedua disebut sebagai kumpulan kawalan. Kedua-dua kumpulan
rawatan dan kumpulan kawalan akan diberi ujian pra sebelum kajian
dijalankan, manakala ujian pasca pula akan diberikan diakhir kajian
dijalankan. Jangka masa kajian ini dicadangkan selama empat
minggu dan pengkaji akan menjalankan pengajaran bagi kedua-dua
kumpulan, agar dapat mengurangkan ralat dalam kajian ini.
Untuk menjalankan kajian kuasi eksperimen ini, pengkaji memilih
dua buah kelas yang telah sedia ada, di mana kumpulan rawatan
menerima pembelajaran dengan menggunakan kaedah peta minda
untuk mempelajari tajuk “Berbangga Dengan Identiti Negara”
sementara kumpulan kawalan akan menerima pembelajaran tajuk
yang sama dengan menggunakan kaedah konvensional. Menurut
Azizi Yahaya et.al (2007), kumpulan rawatan biasanya menerima
atau mengalami satu layanan baru yang sedang dalam kajian,
sementara kumpulan kawalan menerima layanan yang berbeza
ataupun dikekalkan dalam bentuk biasa. Kedua-dua kumpulan
tersebut akan diberi ujian pra dan ujian pasca sebelum dan selepas
kajian dijalankan. Walaupun pemilihan sampel tidak dilakukan
secara rawak, pengkaji akan mengenalpasti bahawa sampel bagi
kedua-dua kumpulan tersebut mempunyai kebolehan pencapaian
yang hampir sama berdasarkan peperiksaan pertengahan tahun
bagi mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan.
Tujuan reka bentuk kuasi eksperimen ini dipilih ialah untuk
mengenalpasti perbezaan pencapaian Pendidikan Sivik dan
Kewarganegaraan untuk tajuk “Berbangga Dengan Identiti Negara”
bagi kedua-dua kumpulan, iaitu kumpulan rawatan dan kumpulan
kawalan. Di dalam reka bentuk kuasi eksperimen ini terdapat dua
pemboleh ubah yang dikaji, iaitu pemboleh ubah bersandar dan
pemboleh ubah tak bersandar (bebas). Di dalam kajian ini pemboleh
ubah bersandar ialah pencapaian Pendidikan Sivik dan
Kewarganegaraan untuk tajuk “Berbangga Dengan Identiti Negara”
yang diperolehi melalui ujian pra dan ujian pasca, manakala
pemboleh ubah tak bersandar ialah kaedah pengajaran dengan
menggunakan peta minda dengan berbantukan komputer dan
kaedah konvensional. Menurut Azizi Yahaya et. al (2007), satu
bahagian daripada persekitaran yang dimanipulasikan adalah
pemboleh ubah tak bersandar, manakala kesan tingkah laku
manipulasi adalah pemboleh ubah bersandar, iaitu apa yang diukur.
Selain pemboleh ubah bersandar dan pemboleh ubah tidak
bersandar, terdapat pemboleh ubah-pemboleh ubah luaran atau
pemboleh ubah ekstranus yang mungkin mengganggu keputusan
kajian, seperti kaedah pemilihan sampel, interaksi antara kumpulan,
jangka masa kajian dan penyediaan soalan. Bagi mengawal
pemboleh ubah-pemboleh ubah ekstranus tersebut, beberapa
langkah wajar diberi perhatian. Antaranya, pemilihan sampel yang
terdiri daripada dua kumpulan pelajar mestilah berada pada tahap
pencapaian Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan yang hampir
sama. Selain itu, min ujian pra untuk kedua-dua kumpulan akan
dianalisis melalui ujian-t untuk melihat bahawa tiada wujud
perbezaan yang signifikan dari segi kebolehan atau pencapaian
Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan sebelum kajian dijalankan.
Ujian keseragaman varians juga akan dijalankan bagi menentukan
kehomogenan kumpulan.
3.3 POPULASI DAN SAMPEL KAJIAN
Populasi dalam kajian ini ialah semua murid tahun empat di Sekolah
Kebangsaan Jalan Datuk Kumbar. Semua murid telah mengikuti
mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan berdasarkan
Huraian Sukatan Pelajaran yang telah disediakan oleh Pusat
Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia. Dua
buah kelas telah dipilih daripada empat buah kelas tahun empat
secara bertujuan bagi maksud kajian ini sebagai sampel. Sampel
terdiri daripada 70 orang pelajar yang hampir sama pencapaian.
Mereka ini dikelompokkan kepada dua kumpulan, 35 orang
dikelompokkan ke dalam kumpulan rawatan, manakala 35 orang
lagi dikelompokkan ke dalam kumpulan kawalan.
3.4 ALAT KAJIAN
Alat kajian yang digunakan dalam kajian ini ialah satu set ujian
pencapaian ( ujian pra dan ujian pasca). Ujian pencapaian ini terdiri
daripada 30 soalan objektif aneka pilihan dengan tiga pilihan
jawapan (A, B dan C), yang berkaitan dengan tajuk “Berbangga
Dengan Identiti Negara”. Semua item ujian pencapaian ini telah
dibina sendiri oleh pengkaji berdasarkan Sukatan Pelajaran
Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan (2003), Huraian Sukatan
Pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan Tahun 4, (2004)
dan Buku Teks Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan, KBSR Tahun
4, (2004).
Bagi menentukan kesahan kandungan, pengkaji telah membina
item-item dalam alat kajian ini berdasarkan jadual penentu ujian
(JPU) mengikut aras Taksanomi Bloom. Bagi meningkatkan lagi
kesahan kandungannya pengkaji juga telah merujuk kepada
beberapa orang guru yang berpengalaman dalam pengajaran dan
pembelajaran mata pelajaran Pendidikan Sivik dan
Kewarganegaraan bagi mendapatkan pandangan dan komen
mereka. Berdasarkan ulasan guru-guru pakar tersebut pengkaji
telah membaiki dan menggantikan beberapa item yang kurang
sesuai.
Pengkaji telah menjalankan ujian rintis ke atas ujian pencapaian
menggunakan kaedah uji-ulang-uji untuk mendapatkan pekali
kebolehpercayaan alat kajian. Dua ujian yang sama ditadbirkan ke
atas 34 orang pelajar yang tidak terlibat dalam kajian ini dalam
jarak masa tiga minggu bagi melihat ketekalan alat kajian. Menurut
Mohd Majid Konting (2004), markat-markat yang didapati daripada
pengukuran pertama dan pengukuran kedua dikorelasikan. Pekali
korelasi yang terhasil merupakan indeks kebolehpercayaan,
sekiranya pekali korelasi positif dan teguh maka indeks
kebolehpercayaan bagi alat ukur tersebut adalah tinggi.
Berdasarkan data skor ujian kali pertama dan skor ujian kali kedua,
analisis korelasi Pearson telah dijalankan ke atas skor-skor tersebut.
Keputusan analisis korelasi Pearson menunjukkan nilai pekali
korelasi, r = 0.861 (p < 0.05). Ini menunjukkan bahawa skor ujian
pertama dan skor ujian kedua mempunyai korelasi yang tinggi dan
signifikan. Oleh itu, alat kajian yang dibina untuk mengukur
pencapaian murid dalam ujian pra dan ujian pasca mempunyai
kebolehpercayaan yang tinggi dan sesuai digunakan.
3.5 TATACARA PENGUMPULAN DATA KAJIAN
Kajian akan dijalankan di Sekolah Kebangsaan Jalan Datuk Kumbar
melibatkan 70 sampel yang dibahagikan kepada kumpulan rawatan
dan kumpulan kawalan. Kedua-dua kumpulan dikehendaki
menduduki ujian pra. Pengkaji menguruskan sendiri ujian pra
tersebut dan pengkaji menyemak skor yang diperolehi oleh sampel
bagi kedua-dua kumpulan. Pengkaji melibatkan diri secara terus
dengan mengajar kedua-dua kumpulan tersebut. Kumpulan kawalan
diajar menggunakan kaedah konvensional sementara kumpulan
rawatan menggunakan kaedah peta minda dengan berbantukan
komputer. Kedua-dua kaedah pengajaran ini akan dijalankan dalam
masa empat minggu. Pada hari terakhir kajian, semua pelajar dalam
kumpulan rawatan dan kumpulan kawalan akan menduduki ujian
pasca, dengan menggunakan set soalan yang sama dengan ujian
pra. Seterusnya skor ujian pasca akan dikumpulkan untuk dianalisis
oleh pengkaji.
3.6 TATACARA PENGANALISAAN DATA KAJIAN
Keputusan ujian pra dan ujian pasca yang telah dikumpulkan akan
dianalisis dengan menggunakan sistem perisian Statistical Packages
for Social Science, SPSS Windows Release 14.0. Untuk menjawab
persoalan kajian, pengkaji menggunakan ujian-t dan ujian-F. Ujian-t
digunakan untuk melihat perbezaan min pencapaian, manakala
ujian-F digunakan untuk melihat keseragaman varians kumpulan.
3.7 RUMUSAN
Kajian ini adalah kajian berbentuk kuasi eksperimen yang
melibatkan dua kumpulan sampel, iaitu kumpulan rawatan dan
kumpulan kawalan. Sampel kajian terdiri daripada 70 orang pelajar
tahun empat di Sekolah Kebangsaan Jalan Datuk Kumbar. Kedua-
dua kumpulan tersebut akan menduduki ujian pra sebelum kajian
dijalankan dan ujian pasca diakhir kajian dijalankan. Data-data dari
kedua-dua ujian tersebut dikumpulkan dan dianalisiskan dengan
menggunakan ujian-t dan ujian-F. Hasil daripada penganalisaan
statistik ke atas data yang diperolehi akan memberikan pengkaji
keputusan samada proses pengajaran dan pembelajaran
menggunakan peta minda dengan berbantukan komputer bagi tajuk
“Berbangga Dengan Identiti Negara” dalam mata pelajaran
Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan tahun empat berkesan atau
tidak bagi meningkatkan pencapaian dalam mata pelajaran
Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan para pelajar.
RUJUKAN
Ab. Fatah Hassan. 1994. Penggunaan minda yang optimum dalam
pembelajaran.
Kuala Lumpur : Universiti Teknologi Malaysia.
Ahmad Nizar. 1997. Sejauhmanakah keberkesanan kaedah
pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer bagi mata
pelajaran dalam operasi asas matematik murid-murid
tahun 5 Sek. Keb. Jabi dari aspek minat dan pencapaian. Kertas
Projek KSPK Institut
Perguruan Darulaman.
Aminuddin Mansor (10 Mac 2006). Daya ingatan penting Semasa
Belajar.
[atas talian] http://www.islam.gov.my/e-rujukan [31 Mei 2007]
Altablig Ali. 2006. Penggunaan peta minda dalam meningkatkan
konsep atau fakta sejarah-
Bab 1 Tingkatan 4. Prosiding Seminar Penyelidikan Pendidikan.
Jabatan Pendidikan
Perak. hlm, 87 – 99.
Asma Ishak. 2005. Meningkatkan kemahiran mencatat isi-isi penting
di kalangan murid
tahun 4 dengan menggunakan peta minda. Jurnal Kajian Tindakan
Guru. Institut
Perguruan Perlis : 133-145.
Azizi Yahaya et. al. 2007. Menguasai penyelidikan dalam pendidikan
– teori, analisis &
interpretasi data. Kuala Lumpur : PTS Professional.
Dilip Mukerjea. 1996. Superbrain – Train Your Brain and Unleash The
Genius Within.
Singapore : Oxford University Press.
Ismail Zain, Dr. (tiada tarikh). Kepentingan Penggunaan Peta Minda.
[atas talian]
http://www.tutor.com.my [31 Mei 2007].
Ismail Zain, Dr. (13 Jun 2005). ‘Belajar Berkesan dengan Peta
Minda’. Utusan Malaysia.
(Kuala Lumpur)
Johanna A. Sobrey. (25 Jun 2007). ‘Peta Minda Pak Samad’. Kosmo.
(Kuala Lumpur):
18-19.
Kam Foo Kong. 2006. Meningkatkan minat pelajar-pelajar tingkatan
1L kepada pelajaran
Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan melalui kaedah
pembelajaran berbantukan
komputer. Prosiding Seminar Penyelidikan Pendidikan. Jabatan
Pendidikan Perak :
hlm,110 – 125.
Kanagambal. 1997. Keberkesanan PPBK dalam matematik. Kertas
projek KSPK Institut
Perguruan Darulaman.
Kementerian Pelajaran Malaysia. 2005. Huraian Sukatan Pelajaran
Pendidikan Sivik dan
Kewarganegaraan Tahun 4. Kuala Lumpur : Pusat Perkembangan
Kurikulum.
Kementerian Pelajaran Malaysia. 2004. Pendidikan Sivik dan
Kewarganegaraan Tahun 4
Sekolah Kebangsaan. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka
Kementerian Pelajaran Malaysia. 2003. Sukatan Pelajaran
Pendidikan Sivik dan
Kewarganegaraan Tahun 4. Kuala Lumpur : Pusat Perkembangan
Kurikulum.
Laporan Persidangan Dewan Rakyat. (12 April 2005). [atas talian]
http://www.parlimen.gov.my [07 Julai 2007]
Mohd Majid Konting. 2004. Kaedah Penyelidikan Pendidikan. Kuala
Lumpur : Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Nor Hayati Hj Mt Ali. 2002. Pengajaran dan pembelajaran matematik
berbantukan
komputer: Keberkesanan perisian “The Geometer’s Sketchpad”
untuk tajuk
penjelmaan. Tesis Sarjana Pendidikan. Universiti Kebangsaan
Malaysia.
Pelajar Terbaik SPM 2007 (23 Mac 2007). [atas talian]
http://ppdbesut.net/nuke/modules.php?
name=News&file=article&sid=4 [15 Julai
2007]
Poh Swee Hiang. 2006. Kemahiran Berfikir - Kurikulum Kursus
Persediaan Program
Sarjana Muda Pendidikan. Kuala Lumpur : Kumpulan Budiman Sdn
Bhd.
Ragbir Kaur a/p Joginder Singh. 2006. Panduan Ulangkaji Ilmu
Pendidikan untuk Kursus
Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI)-Sekolah Rendah dan Menengah.
Kuala Lumpur :
Kumpulan Budiman Sdn Bhd.
Ramlan Hamzah & Lily Mastura Harun. 2006. Panduan Ulangkaji
Psikologi Pendidikan.
Kuala Lumpur : Kumpulan Budiman Sdn Bhd.
Rusilah Jais et.al. 2004. Penggunaan peta minda bagi mata pelajaran
matematik di kalangan
pelajar perakuanan. [atas talian].
http://www.kmph.edu.my/WebRnD/ [11 Julai 2007]
Shahbudin Hashim, Mahani Razali & Ramlah Jantan. 2007. Psikologi
Pendidikan.
Kuala Lumpur : PTS Professional.
Sim Ah Hock, Dr. et. al. 1997. Kesan strategi pemetaan konsep
terhadap pemprosesan
maklumat sains dalam tutorial pembelajaran berbantukan
komputer. Jurnal Penyelidikan Pendidikan 1997. Maktab Perguruan
Sultan Abdul Halim. hlm, 124 – 141.
Subadrah Madhawa Nair. 2001. Penggunaan peta minda sebagai
satu strategi dalam
pengajaran kesusasteraan melayu. Prosiding Seminar Pendidikan
Kebangsaan. Fakulti
Pendidikan UKM.
Tony Buzan. 2006. Mind Mapping - Kick-Start Your Creativity and
Tranform Your Life.
England : BBC Active
Zoraini Wati Abas. 1992. Komputer dalam pendidikan. Kuala Lumpur
: Fajar Bakti.