1
MENINGKATKAN KEFAHAMAN MURID TAHUN 2 TAQWA
DALAM MENGELASKAN MAKANAN MENGIKUT FUNGSINYA
DENGAN MENGGUNAKAN KIT PEMBELAJARAN ‘NYUM NYUM’
Oleh:
Nik Nurfarhanis Binti Kamarudin, Sazli Bin Abd. Aziz @ Aziz
Jabatan Sains, IPG Kampus Dato’ Razali Ismail
[email protected], [email protected]
ABSTRAK
Hasil refleksi pengajaran dan pembelajaran semasa praktikum mendapati bahawa
tahap kefahaman murid agak lemah bagi subtopik Makanan dan Khasiatnya iaitu
mengelaskan makanan mengikut fungsinya. Melalui pemerhatian dan analisi
dokumen, seperti lembaran kerja, didapati murid-murid gagal memberikan jawapan yang betul. Oleh itu, kajian tindakan ini dilaksanakan bertujuan untuk
membantu murid yang lemah Tahun 2 memahami tentang fungsi-fungsi makanan
dengan menggunakan Kit Pembelajaran ‘Nyum Nyum’. Peserta kajian terdiri daripada tiga orang murid lelaki dan dua orang murid perempuan yang dipilih
berdasarkan ujian diagnostik. Pengumpulan data menggunakan instrumen ujian
pra dan pasca, pemerhatian, temubual, dan soal selidik. Dapatan kajian menunjukkan bahawa penggunaan Kit Pembelajaran ‘Nyum Nyum’ berjaya
membantu semua peserta kajian untuk memahami tentang fungsi-fungsi makanan
iaitu memberikan tenaga, membantu tumbesaran, dan menjaga kesihatan.
Disokong pula dengan dapatan peningkatan min skor pencapaian iaitu dari 28% kepada 87.2% iaitu sebanyak 59.2%. Antara kekuatan penggunaan kit
pembelajaran ini adalah murid-murid dapat belajar sambil bermain. Selain itu,
penggunaan warna membantu murid-murid untuk mengingat dengan baik.
Kata kunci: kefahaman, mengelaskan, fungsi, Kit Pembelajaran ‘Nyum Nyum’,
warna
REFLEKSI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
Semasa berpraktikum di Sekolah Kebangsaan Pasir Panjang, pengkaji telah diamanahkan untuk
mengajar kelas Tahun 2 Taqwa bagi subjek Dunia Sains dan Teknologi. Tahun 2 Taqwa merupakan kelas terakhir daripada tiga kelas. Sepanjang sesi pengajaran dan pembelajaran
berlangsung, pengkaji mendapati murid-murid tidak memahami tentang fungsi-fungsi makanan
kepada manusia.
Walaupun pengkaji telah mengajar dan mengulang beberapa kali, namun murid-murid masih
tidak dapat membezakan makanan yang berfungsi untuk menghasilkan tenaga, tumbesaran dan
kesihatan. Apabila diberikan lembaran kerja, murid-murid tidak dapat menjawab dengan betul. Soalan demi persoalan diajukan seperti mereka tidak pernah diajar. Ada juga murid yang
bertanya kepada pengkaji samada roti daripada tumbuhan atau haiwan.
2
Pengkaji berasa amat kecewa dengan respon murid-murid terhadap proses pengajaran dan
pembelajaran. Keadaan ini menyebabkan pengkaji sentiasa tiada semangat untuk meneruskan proses pengajaran dan pembelajaran. Walaupun telah diulang berulang kali, murid-murid masih
tidak memahami apa yang diajar. Murid-murid hanya menunggu jawapan daripada guru apabila
lembaran kerja diberikan dan bukannya memberikan jawapan sendiri.
Pengkaji juga mendapati murid-murid tidak begitu berminat untuk belajar. Pengkaji telah
menggunakan pendekatan peneguhan positif dengan memberikan gula-gula dan bintang kepada
murid-murid yang mendengar arahan dan membuat kerja, namun kaedah ini masih tidak berkesan terhadap murid-murid.
Pengkaji juga mendapati ramai dalam kalangan murid-murid Tahun 2 Taqwa adalah murid-murid pemulihan. Lembaran kerja yang diberikan agak senang dan tidak melibatkan aktiviti
menulis namun murid-murid masih tidak dapat menjawab dengan betul. Pengkaji merasakan
pengulangan yang diberitahu secara lisan tidak begitu berkesan.
Daripada masalah ini, pengkaji merasakan perlu memikirkan cara agar murid-murid Tahun 2
Taqwa dapat memahami dan berasa seronok untuk belajar. Pengkaji bercadang untuk membantu
murid-murid dalam meningkatkan kefahaman mereka dalam mengelaskan makanan mengikut fungsi. Justeru, pengkaji telah memilih untuk menggunakan kit pembelajaran yang
menggunakan warna dan permainan sebagai aktiviti dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Kit pembelajaran ‘Nyum Nyum’ telah digunakan oleh pengkaji bagi mengatasi masalah ini.
SOROTAN LITERATUR
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2013), kit didefinisikan sebagai set bahagian-bahagian yang sedia untuk dipasang manakala pembelajaran pula didefinisikan sebagai proses (kegiatan)
belajar. Jadi, kit pembelajaran boleh disimpulkan sebagai bahan bantu yang digunakan untuk
mengajar bagi memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran terutama di sekolah. Bahan ini diguna dan dilaksanakan oleh guru-guru untuk menjadikan pengajaran dan pembelajaran (PdP)
lebih mudah dan difahami oleh murid. Kit ini disediakan dengan berpandukan kepada aspek
psikologi kanak-kanak dan mengikut kemampuan serta kebolehan mereka dengan kemahiran
yang berbeza. Pengertian ini disokong oleh Christopher (2012) yang menyatakan penggunaan bahan bantu mengajar mendatangkan banyak kesan positif kepada murid-murid.
Dalam menyampaikan ilmu dalam proses pengajaran dan pembelajaran, guru perlu mempunyai kemahiran-kemahiran seperti kaedah, teknik dan strategi. Hal ini membolehkan guru untuk
menyampaikan pengajaran secara efektif (Kheru, 2006). Jadi, penggunaan bahan bantu mengajar
seperti kit pembelajaran ini sesuai untuk mendapatkan hasil dan objektif pembelajaran yang berkesan. Seperti yang dinyatakan oleh Sandra Smidt (1998), murid-murid belajar dengan
mengembangkan apa yang mereka sudah tahu dan apa yang telah dialami, dan mereka
memerlukan pengalaman yang lebih banyak dalam konteks biasa dan yang bermakna untuk
membantu mereka dalam mengukuhkan pengetahuan mereka.
3
Penggunaan warna juga memainkan peranan penting dalam membantu murid-murid untuk
mengingat dan memahami dengan baik sesuatu perkara. Menurut Harun Yahya (2005), warna
merupakan satu konsep yang membantu kita mengenali sifat pelbagai objek dan mendefinisikannya dengan lebih tepat. Proses pengajaran dan pembelajaran yang tidak
menggunakan warna akan menyebabkan murid-murid tidak tertarik untuk berada dalam proses
pengajaran dan pembelajaran.
Daripada kajian-kajian lepas yang berkaitan, kajian yang dijalankan oleh Nur Hanis (2012)
mendapati bahawa melalui kaedah bermain, terdapat peningkatan positif kepada murid-murid
yang lemah dalam pembelajaran. Keyakinan murid-murid juga bertambah apabila aktiviti yang melibatkan permainan dilakukan. Proses pengajaran dan pembelajaran juga sangat
memberangsangkan dan persekitaran positif dapat ditimbulkan. Selain itu, kajian oleh Roslita
(2008) menunjukkan perbezaan antara kaedah konvensional dan kaedah bermain. Beliau mendapati pencapaian murid-murid meningkat apabila mereka belajar sambil bermain.
TUJUAN KAJIAN
Tujuan utama kajian tindakan ini dijalankan adalah untuk membantu meningkatkan kefahaman
murid-murid lemah Tahun 2 Taqwa dalam mengelaskan fungsi makanan dengan betul bagi
subtopik Makanan dan Khasiatnya menggunakan Kit Pembelajaran ‘Nyum Nyum’.
Objektif
1. Meningkatkan kefahaman murid-murid lemah Tahun 2 Taqwa dalam mengelaskan
fungsi makanan dengan betul bagi subtopik Makanan dan Khasiatnya menggunakan Kit Pembelajaran ‘Nyum Nyum’.
2. Meningkatkan markah ujian pencapaian bagi subtopik Makanan dan Khasiatnya
menggunakan Kit Pembelajaran ‘Nyum Nyum’.
Persoalan Kajian
1. Adakah penggunaan Kit Pembelajaran ‘Nyum Nyum’dapat membantu murid-murid
lemah mengelaskan jenis-jenis makanan kepada makanan untuk tumbesaran, untuk
memberikan tenaga atau untuk kesihatan? 2. Adakah penggunaan Kit Pembelajaran ‘Nyum Nyum’ meningkatkan pencapaian murid-
murid bagi subtopik Makanan dan Khasiatnya?
4
METODOLOGI KAJIAN
Kajian tindakan ini melibatkan lima orang murid lemah Tahun 2 yang terdiri daripada tiga orang murid lelaki dan dua orang murid perempuan. Kaedah persampelan bertujuan (purposif)
digunakan dalam kajian tindakan ini. Semua peserta kajian dipilih berdasarkan pencapaian
dalam ujian diagnostik dan pemerhatian kepada lembaran kerja. Pengumpulan data menggunakan instrumen ujian pra dan ujian pasca, dan pemerhatian.
Pengkaji telah melakukan analisis dokumen melalui jawapan ujian pra dan pasca peserta kajian.
Markah ujian pra dan pasca dibandingkan bagi setiap peserta kajian untuk melihat perubahan
sebelum dan selepas intervensi dijalankan. analisis ujian ini dijalankan bagi melihat perubahan kefahaman dan ingatan peserta kajian terhadap topik Makanan dan Khasiatnya iaitu
mengelaskan makanan kepada fungsinya. Data yang diperoleh diterjemahkan ke dalam bentuk
jadual dan graf.
Instrumen pemerhatian pula dijalankan secara berstruktur di mana pengkaji menggunakan
senarai semak. Pemerhatian ini dianalisis tentang kekerapan tingkah laku negatif yang dilakukan oleh peserta kajian semasa proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan. pemerhatian ini
dijalankan sebelum dan selepas penggunaan Kit Pembelajaran ‘Nyum Nyum’. Beberapa item
tingkah laku negatif dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu penglibatan peserta semasa proses
pembelajaran dan tumpuan peserta semasa proses pembelajaran berlangsung. Data kajian telah diterjemahkan dalam bentuk jadual.
SPESIFIKASI INTERVENSI
Pengkaji telah menggunakan pendekatan belajar sambil bermain untuk membantu peserta kajian
memahami fungsi-fungsi makanan iaitu memberikan tenaga, untuk tumbesaran dan menjaga
kesihatan. Roda Berwarna dan Permainan Pagar Sesat adalah komponen yang terdapat di dalam Kit Pembelajaran ‘Nyum Nyum’. Roda Berwarna mempunyai tiga warna iaitu merah, coklat dan
hijau. Ketiga-tiga warna ini mewakili tiga fungsi makanan. Permainan Pagar Sesat pula
merupakan kesinambungan bagi mengukuhkan lagi ingatan dan fahaman peserta kajian.
Rajah 1 : Roda Berwarna
5
Rajah 2 : Permainan Pagar Sesat
Pada permulaan sesi, peserta kajian pada awalnya akan diperkenalkan dengan Roda Berwarna.
Pengkaji akan membimbing peserta kajian untuk mengenal pasti warna dengan fungsi makanan. Kemudian, pengkaji akan menunjukkan makanan dengan fungsinya berdasarkan warna. Setelah
itu, peserta kajian diminta untuk mengingat jenis makanan dengan fungsinya. Dengan bantuan
pengkaji, peserta kajian akan cuba untuk menampal jenis makanan dengan fungsinya. Pengkaji dapat melihat samada peserta kajian dapat mengingat dengan baik atau tidak pada sesi ini.
Sesi 1 Sesi 2 Sesi 3
6
DAPATAN KAJIAN
Berikut merupakan hasil analisis serta intrepretasi data yang dijalankan ke atas peserta kajian.
Analisis data dilaksanakan mengikut objektif kajian. Setiap objektif kajian menggunakan
instrumen yang berbeza.
Objektif 1:
Meningkatkan kefahaman murid-murid lemah Tahun 2 Taqwa dalam mengelaskan fungsi
makanan dengan betul bagi subtopik Makanan dan Khasiatnya menggunakan Kit
Pembelajaran ‘Nyum Nyum’.
Bagi objektif ini, instrumen yang digunakan adalah pemerhatian. Pemerhatian dilakukan dengan melihat peserta kajian menggunakan Kit Pembelajaran ‘Nyum Nyum’. Beberapa item
disenaraikan bagi melihat penguasaan peserta kajian terhadap topik Makanan dan Khasiatnya
ini. Jadual 1 menunjukkan item yang perlu dikuasai oleh peserta kajian.
Bil Penguasaan Ya Tidak
1 Meletakkan 2 jenis makanan pada
fungsinya dengan betul menggunakan Roda Warna.
PK1, PK2, PK3,
PK4, PK5
2 Menyebut 3 fungsi-fungsi
makanan iaitu memberikan tenaga, membantu tumbesaran
dan menjaga kesihatan.
PK1, PK2, PK3,
PK4, PK5
3 Menjawab 3 jenis makanan pada
fungsinya dengan betul pada Permainan Pagar Sesat.
PK1, PK2, PK3,
PK4, PK5
Jadual 1 : Senarai semak pemerhatian
Jadual 1 menunjukkan beberapa penguasaan yang perlu dikuasai oleh peserta kajian bagi menunjukkan mereka boleh memahami topik Makanan dan Fungsinya ini. Hasil dapatan
menunjukkan kesemua peserta kajian dapat menguasai kemahiran-kemahiran yang ditetapkan
pleh pengkaji. Peserta kajian berjaya menjawab lebih daripada dua jenis makanan pada fungsinya dengan betul menggunakan Roda Warna. Peserta kajian juga boleh menyatakan
ketiga-tiga fungsi makanan iaitu memberikan tenaga, membantu tumbesaran dan menjaga
kesihatan dengan baik. Ini menunjukkan mereka sudah dapat mengingati dengan baik. Selain itu,
kelima-lima peserta kajian dapat menyalakan lampu pada Permainan Pagar Sesat. Ini menunjukkan kesemua jawapan mereka adalah betul.
7
Dapatan kajian ini selari dengan para penyelidik teori pembelajaran melalui Azri (1994) yang
menyatakan bahawa sebanyak 85% daripada apa yang kita ingat dan pelajari datangnya daripada
penglihatan kita. Namun begitu, jika hanya melihat sahaja tanpa berbuat apa-apa, ingatan tidak akan kekal lama. Confucius, seorang pujangga ahli falsafah China yang diambil daripada Mohd
Sahandri (2009), mengatakan ‘Apa yang saya dengar, saya lupa. Apa yang saya lihat, saya ingat
dan apa yang saya buat, saya faham’. Jadi, kit pembelajarn ini bukan sahaja memerlukan murid-murid untuk mengingat, kit pembelajaran ini juga membolehkan murid-murid untuk mencuba
bermain dan membina pengalaman sendiri.
Objektif 2:
Meningkatkan markah ujian pencapaian bagi subtopik Makanan dan Khasiatnya
menggunakan Kit Pembelajaran ‘Nyum Nyum’.
Objektif ini diukur menggunakan instrumen ujian pra dan ujian pasca. Melalui skrip jawapan
peserta kajian, pengkaji telah menganalisis jawapan ujian pra dan ujian pasca. Rajah 3 menunjukkan perbezaan jwapan peserta kajian bagi ujian pra dan ujian pasca.
Rajah 3 : Ujian Pra dan Ujian Pasca
Rajah 3 menunjukkan skrip jawapan ujian pra dan ujian pasca yang telah dijawab oleh peserta kajian. Dapatan kajian mendapati peserta kajian tidak dapat membezakan jenis-jenis makanan
kepada fungsinya dengan betul. namun, setelah intervensi dijalankan dengan menggunakan Kit
Pembelajaran ‘Nyum Nyum’, didapati peserta kajian dapat menjawab dengan betul jenis
makanan dengan fungsinya.
Dapatan kajian juga diterjemahkan dalam bentuk graf bagi memudahkan pengkaji untuk
menganalisis. Jadual 2 di bawah menunjukkan markah pencapaian yang diperoleh peserta kajian bagi ujian pra dan ujian pasca.
8
Jadual 2: Markah pencapaian ujian pra dan ujian pasca
Jadual 2 menunjukkan markah pencapaian ujian pra dan ujian pasca peserta kajian. Dapatan
kajian menunjukkan peningkatan yang banyak antara markah bagi ujian pra dan ujian pasca.
Peserta kajian 1 dan 5 menunjukkan peningkatan markah yang ketara iaitu sebanyak 63%. Manakala peserta kajian 4 mengalami peningkatan sebanyak 60%, diikuti peserta kajian 2 iaitu
sebanyak 57% dan peserta kajian 3 iaitu sebanyak 56%. Secara keseluruhannya, kesemua peserta
kajian berjaya mendapatkan gred A bagi ujian pasca yang dijalankan. Ini menunjukkan Kit Pembelajan ‘Nyum Nyum’ membantu peserta kajian untuk mencapai objektif kajian iaitu
peningkatan dalam markah pencapaian ujian. Dapatan kajian ini selari dengan Christopher
(2012) yang menyatakan penggunaan bahan bantu mengajar mendatangkan banyak kesan positif kepada murid-murid seperti meningkatkan pencapaian mereka.
KESIMPULAN
Secara keseluruhannya, Kit Pembelajaran ‘Nyum Nyum’ yang mengenengahkan konsep belajar
melalui bermain dapat membantu peserta kajian untuk memahami dan mengingati fungsi-fungsi makanan beserta jenisnya. Ini kerana kit pembelajaran ini menggunakan warna dan permainan
bagi membolehkan murid-murid untuk mengingat tiga fungsi makanan dengan makanannya.
Selain itu, Kit Pembelajaran ‘Nyum Nyum’ ini juga telah membantu peserta kajian untuk
meningkatkan markah pencapaian ujian mereka. Dengan adanya kit pembelajaran ini, murid-murid dapat memahami fungsi-fungsi makanan dengan baik apabila maklumat yang ingin
disampaikan tersusun. Tambahan, peserta kajian melakukan sendiri aktiviti permainan. Ini dapat
mengukuhkan lagi kefahaman peserta kajian tentang topik ini.
33 3327 27
20
9390
8387
83
0
10
20
30
40
50
60
70
80
90
100
PK 1 PK 2 PK 3 PK 4 PK 5
Mar
kah
(%)
Peserta Kajian
UJIAN PRA
UJIAN PASCA
9
Berdasarkan kajian yang telah dijalankan, pengkaji ingin mencadangkan beberapa perkara yang
boleh dilakukan untuk ditambahbaik bagi kajian seterusnya. Pengkaji mencadangkan agar
Permainan Pagar Sesat dihasilkan menggunakan bahan yang lebih kukuh seperti perspek. Ini membolehkan alat permainan kurang diselenggara. .
Pengkaji juga ingin mencadangkan agar permainan yang lebih interaktif iaitu dengan penggunaan ICT seperti video beraudio visual. Ini dapat menarik minat murid-murid untuk
belajar selain daripada selari dengan zaman teknologi sekarang. Penggunaan ICT juga dapat
digunakan dengan menggunakan animasi yang menarik untuk menambahkan lagi keseronokan
belajar.
Sebagai penambahbaikan lagi, kajian ini diharap dapat dijalankan di sekolah yang berbeza
kedudukan dan band. Sekolah yang dijalankan oleh pengkaji merupakan sekolah yang berada dalam kawasan luar bandar dan band 3. Jadi, untuk kajian seterunya, kajian ini dapat dijalankan
di sekolah dalam kawasan bandar dan mempunyai band 2 atau 1.
10
RUJUKAN
Azri Aziz. (1994). Teknik Ingatan Untuk Pelajar. Kuala Lumpur: Quantum Learning.
Christopher, L. W. W. (2012). Kesan Penggunaan Bahan Bantu Mengajar Visual Dalam Pengajaran Subjek Sains Tahun Tiga. Diperoleh pada April 2, 2014 daripada
http://www.ipbl.edu.my/portal/penyelidikan/BukuKoleksi/2012/SN/9.%20CHRISTOPH
ER%20LU%20WEI%20WANG.pdf.
Dewan Bahasa dan Pustaka. (2013). Kamus Dewan Edisi Keempat. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Harun Yahya. (2005). Kesempurnaan Seni Warna Ilahi. Diperoleh pada Mac 19, 2014 daripada
http://www.harunyahya.com/indo/buku/citarasa005d.htm.
Kheru. (2006). Apa Dia Pendekatan, Kaedah, Teknik dan Strategi Pengajaran?. Diperoleh pada
Mac 23, 2014 dari http://kheru2006.webs.com/pedagogi/pemdekatanstrategi.htm.
Mohd Sahandri Gani, Ramli Basri & Shafee Mohd Daud. (2009). Karakter Guru Ilmu Diagung Guru Disanjung. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distibutors Sdn. Bhd.
Nur Hanis Mohd Hatta. (2012). Keberkesanan Penggunaan Kaedah Bermain Dalam Pengajaran dan Pembelajaran Asuhan Tilawah Al-Quran Tahun 4. Diperoleh pada April
4, 2014 daripada
http://www.ipbl.edu.my/portal/penyelidikan/BukuKoleksi/2012/PA/4.%20NUR%20HANIS%20MOHD%20HATTA.pdf.
Roslita Ab Rahman. (2008). Pengajaran Dan Pembelajaran Menggunakan Modul Permainan
Bagi Topik Enzim Dalam Subjek Biologi. Diperoleh pada April 1, 2014 daripada http://pustaka.upsi.edu.my/mom/cm/content/view/view.jsp?key=u9KxcJgzN2nyTDzGV
wwycw3vQK5HOiKx20090908125429240.
Sandra, S. (1998). A Guide to Early Years Practice (2
nd Edition). London: Routledge Falmer.