Post on 06-Dec-2015
description
Persepsi masyarakat terhadap pendidikan teknik dan vokasional.
Sikap memandang rendah pada pelajar-pelajar sekolah vokasional sebagai gagal
akademik masih menebal di kalangan masyarakat. Ramai juga ibubapa, terutama
Pegawai Tinggi Kerajaan kurang menggalakkan anak-anak mereka yang berminat
dalam bidang kemahiran untuk meneruskan pengajian dalam bidang teknik dan
vokasional (Yahya, 1993). Perasaan ini timbul kerana di masa lalu murid-murid yang
memasuki sekolah nasional adalah terdiri daripada mereka yang berkelulusan
rendah dalam peperiksaan SRP atau kini PMR dan gagal untuk meneruskan
pengajian ke Tingkat Empat di sekolah akademik. Selain daripada itu, pendidikan ini
dikaitkan dengan pekerjaan kolar biru hasil daripada mereka yang gagal
meneruskan pengajian akademik bagi mencapai cita-cita mendapat pekerjaan
berkolar putih.
Sistem pendidikan teknik dan vokasional yang terlalu menekankan teori.
Institusi-institusi pendidikan yang terlibat di bidang vokasional dan teknikal hanya
menitik beratkan kursus-kursus berbentuk teori sahaja dan amat kurang
menekankan aspek amali terutamanya kerja-kerja amali di kilang atau sektor
perindustrian terutamanya pelajar di sekolah-sekolah vokasional dan teknik.
Pendidikan teknik dan vokasional kurang melengkapkan pelajar dengan kemahiran
yang betul dan secukupnya untuk pekerjaan kerana tidak ada perhubungan dengan
suasana kerja (Siti dan Nor Azizah, 1995). Situasi ini adalah berbeza dengan
berbeza dengan situasi di negara-negara industri seperti Jerman, Jepun, Korea
Selatan dan sebagainya. Memetik kenyataan yang telah dikeluarkan oleh akhbar
The Star terbitan 3 Februari 1993 mengatakan bahawa:"Germany where nearly
70% of all school leavers further move through a system of vocational education and
training called the Dual System where vocational training constitutes 75% of
syllabus with theoretical training and general education making up the remaining
25%".Fenomena ini dilihat sebagai pengancam kepada hasrat negara untuk
melahirkan lebih ramai tenaga mahir dan separa mahir dalam mencapai matlamat
negara sebuah negara maju.
Sistem pendidikan negara yang lebih menekankan pendidikan akademik atau
umum.
Suatu lagi masalah yang perlu diberi perhatian ilah kelemahan perlaksanaan
pendidikan di Malaysia yang seolah-olah terlalu menekankan kepada pendidikan
akademik atau umum. Ini boleh menjejaskan keupayaan negara untuk melahirkan
sumber manusia yang mahir dan separa mahir selaras dengan keperluan semasa
negara. Kurangnya penekanan ke atas pendidikan sains dan teknologi serta
kekurangan kemudahan pendidikan vokasional dan teknik telah memberi kesan
yang besar ke atas keupayaan institusi-institusi pendidikan tempatan menghasilkan
tenaga kerja yang mencukupi untuk pasaran pekerjaan (Siti dan Nor Azizah, 1995).
Keadaan ini juga dilihat amat berbeza dengan apa yang berlaku pada negara-
negara perindustrian lain atau pun negara-negara sedang membangun. Negara-
negara tersebut dilihat mempunyai peratusan yang tinggi terhadap pelajar-
pelajarnya yang melanjutkan pengajian di bidang teknikal berbanding negara kita
Selepas melihat keterbelakangan Malaysia dalam pendidikan Teknik dan
Vokasional maka adalah amat penting untuk Kementerian Pendidikan Malaysia
melaksanakan beberapa perubahan untuk memperbaiki pendidikan Teknik dan
Vokasional negara. Antara cadangan yang telah diberikan ialah;
(a) Menggiatkan usaha untuk mengubah tanggapan masyarakat terhadap
pendidikan Teknik dan Vokasional melalui kempen-kempen penerangan. Kempen
ini boleh dilaksanakan di sekolah-sekolah. Pada masa yang sama pihak
Kementerian Pendidikan Malaysia boleh juga mewar-warkan kejayaan lulusan
pendidikan Teknik dan Vokasional (Yahya Emat, 1993).
(b) Menambah bilangan sekolah teknik dan vokasional agar dapat melatih lebih
ramai tenaga kerja negara. Latihan-latihan yang dijalankan bolehlah dilaksanakan
dengan kerjasama pihak swasta (Shahril Marzuki, 1993). Melalui kerjasama ini
pendidikan Teknik dan Vokasional akan dapat melahirkan tenaga kerja yang
memenuhi kriteria keperluan industri negara. Ini juga sesuai dengan saranan
Perdana Menteri yang mahukan pendidikan Teknik dan Vokasional seiring dengan
teknologi semasa perindustrian (Berita Harian, Februari 17,1993).
(c) Meningkatkan kualiti latihan kemahiran dan kursus yang ditawarkan. Dalam
memnuhi cadangan ini sepatutnya tenaga pengajar pendidikan Teknik dan
Vokasional terdiri daripada mereka yang mempunyai pengetahuan terkini,
berorientasikan industri dan berpengalaman kerja dalam industri (Yahya Emat,
1993).
(d) Menaikkan taraf politeknik sebagai sebuah universiti (Shahril Marzuki, 1993). Di
mana politeknik perlu menukar misinya daripada melahirkan tenaga kerja separuh
mahir kepada tenaga kerja profesional. Tujuan penaiktarafan ini akan lebih mudah
jika mendapat kerjasama daripada pihak industri.