bahanAA

17
KEPENTINGAN PENYEBATIAN KEMAHIRAN BERFIKIR SECARA KRITIS DAN KREATIF (KBKK) DALAM PROSES PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN ABSTRAK FAIZAH BINTI OTHMAN SAEMAH BINTI RAHMAN Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia Pada masa kini, kemahiran berfikir merupakan aspek yang penting untuk diterapkan kepada pelajar-pelajar. Hal ini kerana kemahiran berfikir dapat memperkembangkan lagi potensi setiap individu khususnya pelajar untuk menghasilkan idea-idea baru.Peranan guru menjadi faktor utama dalam merealisasikan pelajar yang mampu mengaplikasikan kemahiran berfikir dalam pembelajaran mereka. Kertas kerja ini bertujuan untuk mengenal pasti bagaimana guru- guru mengaplikasikan KBKK dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Perbincangan ini meliputi tiga aspek penting yang diperlukan oleh seorang guru iaitu ilmu pengetahuan, kemahiran pedagogi dan sikap guru. Selain itu, kertas konsep ini membincangkan berkenaan perbezaan corak kemahiran berfikir dalam bidang sains, bahasa dan teknikal. Ketiga-tiga bidang ini mempunyai perbezaan corak kemahiran berfikir yang diaplikasikan dan ia adalah bersesuaian bagi setiap bidang. Memandangkan kemahiran berfikir penting dalam sistem pendidikan, maka kertas kerja ini ingin mengupas dengan lebih lanjut aspek-aspek penting tentang pengaplikasian kemahiran berfikir dalam proses pengajaran dan pembelajaran di Malaysia. Perbincangan ini juga akan mengemukakan beberapa cadangan bagi meningkatkan pengaplikasian kemahiran berfikir dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. 1.0 PENGENALAN Kertas konsep ini membincangkan kepentingan penyebatian kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif (KBKK) dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Penyebatian kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif menjadi aspek penting di dalam sistem pendidikan negara Malaysia. Kepentingannya telah dinyatakan dalam Falsafah Pendidikan Negara (FPN) dalam Mok Soon Sang (2002) iaitu ” ……. memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan……..”.

description

A

Transcript of bahanAA

Page 1: bahanAA

KEPENTINGAN PENYEBATIAN KEMAHIRAN BERFIKIR SECARA KRITIS DAN KREATIF

(KBKK) DALAM PROSES PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN 

 

ABSTRAK

 

FAIZAH BINTI OTHMAN

SAEMAH BINTI RAHMAN

Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia

 

 

Pada masa kini, kemahiran berfikir merupakan aspek yang penting untuk diterapkan kepada

pelajar-pelajar. Hal ini kerana kemahiran berfikir dapat  memperkembangkan lagi potensi setiap

individu khususnya pelajar untuk menghasilkan idea-idea baru.Peranan guru menjadi faktor

utama dalam merealisasikan pelajar yang mampu mengaplikasikan kemahiran berfikir dalam

pembelajaran mereka. Kertas kerja ini bertujuan untuk mengenal pasti bagaimana guru-guru

mengaplikasikan KBKK  dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Perbincangan ini meliputi

tiga aspek penting yang diperlukan oleh seorang guru iaitu ilmu pengetahuan, kemahiran

pedagogi dan sikap guru. Selain itu, kertas konsep ini membincangkan berkenaan perbezaan

corak kemahiran berfikir dalam bidang sains, bahasa dan teknikal. Ketiga-tiga bidang ini

mempunyai perbezaan corak kemahiran berfikir yang diaplikasikan dan ia adalah bersesuaian

bagi setiap bidang. Memandangkan kemahiran berfikir  penting dalam sistem pendidikan, maka

kertas kerja ini ingin mengupas dengan lebih lanjut aspek-aspek penting tentang pengaplikasian

kemahiran berfikir dalam proses pengajaran dan pembelajaran di Malaysia. Perbincangan ini

juga akan mengemukakan beberapa cadangan bagi meningkatkan pengaplikasian kemahiran

berfikir dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

 

 

 

 

1.0              PENGENALAN

 

Kertas konsep ini membincangkan kepentingan penyebatian kemahiran berfikir secara kritis dan

kreatif (KBKK) dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Penyebatian kemahiran berfikir

secara kritis dan kreatif menjadi aspek penting di dalam sistem pendidikan negara Malaysia.

Kepentingannya telah dinyatakan dalam Falsafah Pendidikan Negara (FPN) dalam Mok Soon

Sang (2002) iaitu ” ……. memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan

bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani,

emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan……..”.  

 

Page 2: bahanAA

            Penyebatian kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif ini perlu dilaksanakan mengikut

kehendak Kementerian Pelajaran Malaysia. Menurut Abdul Rahim (1999) dalam Sarimah (2008),

pemikiran kritis perlu diperkembangkan untuk melahirkan warganegara yang dapat memainkan

peranan mereka dengan lebih bertanggungjawab kepada negara. Pendidikan tanpa

mengutamakan perkembangan fikiran ibarat ’jasad tanpa roh’. Pendidikan perlu melahirkan

golongan yang berkeupayaan berfikir dan mendorong kepada penerusan tradisi intelektual

dalam masyarakat.

 

            Kertas konsep ini akan mengupas kepentingan penyebatian KBKK dalam proses

pengajaran dan pembelajaran di Malaysia. Berbagai kepentingan dapat dilihat dari aspek politik,

ekonomi dan masyarakat. Perlaksanaan penyebatian KBKK dalam proses pengajaran dan

pembelajaran juga akan dilihat dari sudut kesediaan guru, kemahiran pedagogi dan sikap

individu yang terlibat secara khusus mahupun tidak. Seterusnya bagaimana penyebatian KBKK

ini dijalankan oleh guru-guru. Setiap guru mata pelajaran perlu untuk melaksanakan penyebatian

KBKK ini di dalam proses pengajaran dan pembelajaran masing-masing.

 

 

 

2.0       KONSEP PENYEBATIAN KEMAHIRAN BERFIKIR SECARA KRITIS DAN KREATIF

 

Penguasaan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif pada masa kini merupakan suatu

perkara yang penting dalam bidang pendidikan. Di Malaysia, kemahiran berfikir secara kritis dan

kreatif telahpun diberikan penekanan sejak penggubalan semula Kurikulum Bersepadu Sekolah

Menengah (KBSM) pada tahun 1988 (Sulaiman 2000) dalam Sarimah (2008). Proses

pengajaran dan pembelajaran akan menjadi lebih sempurna dengan menyebatikan unsur-unsur

kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif. Menurut Rajendran (1998a) dalam Rajendran (2001),

pelaksanaan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah pada tahun 1981 dan Kurikulum Bersepadu

Sekolah Menengah pada tahun 1989 telah menuntut beberapa perubahan dalam pembinaan

kurikulum, pendidikan perguruan, penggunaan strategi pengajaran pembelajaran dan

pentadbiran sekolah. Dalam konteks ini, satu daripada inisiatif yang diperkenalkan oleh

Kementerian Pendidikan adalah program menyebatikan kemahiran berfikir secara kritis dan

kreatif dalam proses pengajaran pembelajaran. Program ini telah diperkenalkan secara rasmi

dalam kurikulum sekolah pada tahun 1992 dan dalam kurikulum pendidikan guru pada tahun

1993.  

 

            Beyer (1985) dalam Selva Ranee (2007), menyatakan bahawa ramai pendidik

beranggapan bahawa pelajar akan belajar bagaimana berfikir. Menurut Ennis dan Norris (1989),

pemikir yang baik tidak semestinya pemikir yang kritis tetapi pemikir yang kritis adalah pemikir

yang baik.  Kemahiran berfikir ialah proses menerima maklumat atau rangsangan. Edward de

Page 3: bahanAA

Bono (1990) dalam buku beliau yang berjudul ’I Am Right You Are Wrong’ menurut  Rafiei (1998)

mendefinisikan  berfikir sebagai satu proses yang kompleks yang berlaku dalam minda

seseorang apabila seseorang itu menerokai pengalamannya secara terperinci untuk mencapai

sesuatu tujuan. Tujuan yang dimaksudkan itu mungkin untuk pemahaman, memberi makna

sesuatu, menilai sesuatu, membuat keputusan atau menyelesaikan masalah. George (1990)

dalam Adnan, Mimi & Kamalularifin (2006) melihat pemikiran  sebagai satu proses penyelesaian

masalah dan perlakuan semulajadi yang kompleks.

 

                        Penyebatian kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif adalah proses

menyebatikan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif di dalam proses pengajaran dan

pembelajaran. Setiap guru perlulah menguasai kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif bagi

melaksanakan proses penyebatian KBKK ke dalam mata pelajaran yang diajar masing-masing.

Kajian-kajian yang dilakukan oleh penyelidik-penyelidik seperti Bloom et al. (Beyer,1988)

menunjukkan orang tidak menguasai secara sendiri proses-proses pemikiran yang kompleks

seperti pemikiran kritis dan membuat keputusan. Oleh kerana kemahiran berfikir tidak tumbuh

secara automatik atau semula jadi, kita perlu mengembangkannya dalam pendidikan formal.

 

            Teori Roger Sperry (1970) dalam Mok Soon Sang (2009) menghuraikan fungsi otak kiri

manusia yang secara kritis dan otak kanan berfikir secara kreatif. Otak kiri mempunyai

kemahiran berfikir dalam bidang berupa logik, analitik, urutan atau susunan, bahasa, fakta,

matematik dan ingatan. Manakala otak kanan mempunyai kemahiran berfikir dalam bidang

berupa kreatif, sintesis, warna, reka bentuk seperti corak, pola, ruang, lukisan, gambar, di

samping perasaan, irama, muzik dan imaginasi.  Untuk melahirkan pelajar yang sanggup berfikir

secara kritis dan kreatif, kedua-dua bahagian otak hendaklah dikembangkan secara seimbang

dengan pelbagai aktiviti pembelajaran yang bercorak kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif.

 

2.1  Pemikiran Kritis

 

            Beyer (1988) mendefinisikan pemikiran kritis sebagai proses menilai ketulenan,

ketepatan dan nilai (worth) sesuatu pengetahuan, dakwaan (claim), kepercayaan atau

perbahasan (argument). Model pemikiran kritis yang dikemukanak oleh Forgarty dan Bellanca

(1990) ialah mencirikan, membanding beza, mengklasifikasi, membuat urutan, menyusun

mengikut keutamaan, membuat kesimpulan, menentukan sebab dan akibat, menganalisa untuk

menentukan bias, menganalisis untuk menentukan andaian, membuat analogi dan menilai.

Manakala model pemikiran kritis yang digunakan oleh Kementerian Pelajaran (1994) adalah

seperti mencirikan,membanding dan membeza, mengumpul dan mengelas, membuat urutan,

menyusun mengikut keutamaan, menganalisis, menilai dan membuat kesimpulan.

 

Page 4: bahanAA

            Jelaslah bahawa pemikiran kritis melibatkan proses menilai satu-satu pengetahuan,

dakwaan, kepercayaan atau perbahasan berdasarkan maklumat atau pemerhatian dan

menimbangkannya secara menyeluruh bagi menyokong kesimpulan yang hendak dibuat. Berfikir

secara kritis dapat meningkatkan kefahaman, kejelasan dan keupayaan menggunakan

maklumat secara berkesan dalam proses membuat keputusan dan menyelesaikan masalah

dalam kehidupan seharian.

 

            2.2       Kemahiran berfikir kreatif

 

            Mengikut Perkins (Beyer, 1988) pemikiran kreatif didorong oleh keinginan untuk mencari

keaslian (original). Ia menghargai mobiliti, penjelajahan, fleksibiliti dan diversiti. Pemikiran kreatif

memberi perhatian bukan sahaja kepada tujuan tetapi juga kepada hasil, berfungsi di tahap

tinggi kecekapan dan didorong oleh motivasi intrinsik untuk bertindak secara asli (original).

Model pemikiran kreatif yang dikemukakan oleh Forganty dan Bellanca (1990) adalah seperti

sumbang saran, memvisualisasi, personafikasi, mencipta, membuat hubungan, membuat

inferens, mengeneralisasi, meramal, membuat hipotesis, membuat analogi dan menangani

ketaksamaan dan paradok. Manakala model pemikiran kreatif yang digunakan oleh Kementerian

Pendidikan (1994) pula adalah seperti menjana idea, membuat inferens dan menghubungkait.

 

            Pemikiran  kreatif sering dikaitkan dengan usaha-usaha memperkembangkan daya

imaginasi, inovasi dan kreativiti untuk mendapatkan idea-idea yang banyak, pelbagai dan baru.

Orang-orang yang berfikiran kreatif dikatakan berupaya menggunakan mindanya untuk

meneroka pelbagai kemungkinan, menghasilkan sesuatu yang baru, asli, luar biasa dan bernilai.

 

 

3.0       KEPENTINGAN KEMAHIRAN BERFIKIR SECARA KRITIS DAN KREATIF. 

 

Terdapat beberapa kepentingan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif dalam proses

pengajaran dan pembelajaran.  Kepentingannya meliputi 3 aspek penting bagi menjamin

peningkatan taraf hidup Malaysia iaitu :

 

            3.1  Kepentingan dari aspek ekonomi

 

Menurut Selva Ranee (2007), perkembangan sains dan teknologi yang pesat adalah penting

untuk sebuah negara membangun seperti Malaysia untuk menaikkan taraf ekonomi dan

Page 5: bahanAA

menjadikannya sebagai sebuah negara industri baru. Kini, aktiviti ekonomi tradisional telah

diambil alih oleh sektor perkilangan serta perkhidmatan yang kompetitif dalam pasaran eksport

dan mempunyai nilai tambah yang tinggi. Perancangan masa depan mengandaikan perantaian

yang meningkat terhadap pekerja-pekerja mahir Sains untuk menemui permintaan pasaran

buruh yang meningkat. Untuk mencapai matlamat ini, pekerja yang mahir perlu mempunyai

kemahiran berfikir kritis dan kreatif di samping menguasai kemahiran saintifik dan kemahiran

teknologi.  

 

            Dalam proses mencapai hasrat ini, sistem pendidikan di Malaysia kini lebih menekankan

aspek kemahiran berfikir dan penyelesaian masalah. Ini jelas tertera dalam Kurikulum Sekolah

Bestari yang dilaksanakan dengan memberi tumpuan kepada perkembangan keupayaan kognitif

dan kreatif pelajar selain daripada pemupukan nilai-nilai murni. Pemikiran dijadikan asas kepada

semua aktiviti “ putting thinking at the centre of all that happens “ (Kementerian Pendidikan

Malaysia, 1996) dalam Selva Ranee (2007).  Aktiviti peningkatan ekonomi negara akan menjadi

lebih efektif dengan dilingkungi oleh pekerja-pekerja yang mempunyai kemahiran berfikir kritis

dan kreatif.

 

            Menurut Sarimah (2008), dalam menuju sebuah negara maju, rakyat Malaysia juga perlu

memiliki ilmu dan kemahiran untuk bersaing dengan negara maju yang lain. Sistem pendidikan

bertanggungjawab untuk menyampaikan ilmu dan kemahiran kepada rakyatnya. Oleh itu,

penyebatian kemahiran berfikir kritis dan kreatif dapat menerapkan unsur-unsur berfikir secara

kritis dan kreatif dalam pengajaran dan pembelajaran agar pelajar-pelajar kita mampu

menyelesaikan sesuatu masalah dengan berkesan dan bijak terutamanya tuntutan di alam

pekerjaan dalam era teknologi kini.

 

            3.2  Kepentingan dari aspek politik

 

Pembangunan sesebuah negara amatlah bergantung kepada minda dan potensi rakyatnya.

Kekuatan sebenar sesebuah negara terletak pada tahap ilmu dan kemahiran yang dikuasai oleh

rakyat negara tersebut. Rakyat Malaysia pada masa kini memerlukan bukan sahaja pencapaian

akademik yang cemerlang malah kebolehan berfikir agar dapat memenuhi keperluan negara

maju iaitu sebuah negara yang bersatu padu dengan masyarakat Malaysia mempunyai

keyakinan ditunjangi oleh nilai-nilai moral dan etika yang utuh, menikmati kehidupan dalam

sebuah negara demokrasi, liberal lagi bertolak ansur, berbudi, adil dan saksama ekonominya,

progresif dan makmur dan sepenuhnya menguasai ekonomi yang mampu bersaing. (Mahathir

1991) dalam Sarimah (2008). Kestabilan politik negara akan menjamin untuk menjadikan

sesebuah negara itu mencapai matlamat pembangunannya. Menyedari kepentingan pelajar

menguasai kemahiran berfikir kritis dan kreatif ini bagi kestabilan negara menjadikan proses

pengajaran dan pembelajaran mengalami satu perubahan dengan menyebatikan kemahiran

Page 6: bahanAA

berfikir secara kritis dan kreatif di dalamnya. Menurut kenyataan Alimuddin Mohd Dom, soalan-

soalan peperiksaan sekarang memerlukan pelajar untuk berfikir secara kritis dan kreatif (News

Straits Time , 9 Januari 2006) dalam Sarimah (2008).

 

            3.3  Kepentingan dari aspek sosial

 

Kestabilan ekonomi dan politik negara tidak akan terlaksana seandainya masyarakat yang

meliputi sesebuah negara itu berada dalam keadaan yang tidak seperti dikehendaki oleh pihak

kerajaan. Kini kita hidup di dalam masyarakat yang sangat kompleks dan berkembang maju.

Maklumat dan ilmu pengetahuan sering kali berubah. Tambahan pula dengan kemajuan sains

dan teknologi yang semakin canggih menyebabkan penyebaran ilmu dan maklumat berlaku

dengan cepat. Jadi kita seharusnya bersedia dan sentiasa terbuka untuk terus menimba ilmu

pengetahuan bagi menempuh cabaran yang bakal ditempuhi. Ilmu pengetahuan yang dituntut

juga perlulah sejajar dengan keperluan negara. Di sinilah peranan penyebatian kemahiran

berfikir secara kritis dan kreatif dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Ilmu pengetahuan

yang diperolehi tanpa kemahiran berfikir kritis dan kreatif akan menjadikan rakyat tidak mampu

bersaing dengan negara maju yang lain. Menurut Chaffee (1977) dalam Siti Rahayah et. al. (  ).

 

            Dalam kehidupan seharian kita sering diajukan dengan soalan-soalan yang mencabar

minda dan kritis. Manakala dalam bidang pendidikan juga kita sering berhadapan dengan situasi

yang memerlukan kita menyoal soalan yang relevan kemudian disokong dengan fakta yang

kukuh tentang sesuatu isu yang telah dinyatakan serta memperolehi suatu rumusan berdasarkan

kajian yang telah dijalankan. Jelaslah di sini terdapat keperluan untuk kita mempersiapkan

masyarakat secara amnya dan juga para pelajar khususnya untuk memiliki kemahiran berfikir

secara kritis dan kreatif. Menurut pakar-pakar pendidikan (Goldman, Hasselbring et. al. 1997;

Montague, Wagner & Morgan 2000) dalam  Siti Rahayah et. al. (  ) menegaskan keperluan untuk

mempersiapkan diri dengan kemahiran-kemahiran seperti kemahiran penyelesaian masalah,

kemahiran komunikasi berkesan, kemahiran membuat keputusan dan sebagainya. Manakala

dalam Cornell Critical Thinking Skills (1989) dalam  Siti Rahayah et. al. (  ) menekankan

keperluan untuk mengintegrasikan kemahiran berfikir di dalam kurikulum di peringkat pengajian

tinggi. Jadi adalah penting bagi seseorang graduan untuk memperolehi kemahiran berfikir untuk

menjadi pemimpin yang efektif. Oleh itu, proses pengajaran dan pembelajaran menjadi satu

kepentingan untuk disebatikan dengan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif.  

 

            Menurut Poh Swee Hiang (1999) dalam Adnan et. al (2006), menyatakan pemikiran kritis

amat penting untuk membentuk warganegara yang tahu dan mampun menggunakan pemikiran

mereka dalam menghadapi pelbagai cabaran, tekanan dan perubahan manakala pemikiran

kreatif dapat membentuk individu lebih inovatif mempunyai daya kreativiti yang baik, ideal,

Page 7: bahanAA

imaginatif dan mempunyai unsur-unsur humanistik dan artistik yang tinggi. Apabila kedua-dua

kemahiran ini dikuasai oleh pelajar melalui rangsangan dan latihan yang diberi seterusnya

pelajar mengaplikasikan dalam corak pembelajaran harian maka pembelajaran yang optimum

akan berlaku.

 

4.0     ISU-ISU           

 

Hasil tinjauan literatur, kajian-kajian lepas yang telah dijalankan kebanyakannya secara terus

mahupun tidak pasti membincangkan mengenai kepepentingan penyebatian kemahiran berfikir

secara kritis dan kreatif di dalam proses pengajaran dan  pembelajaran. Di dalam kertas konsep

ini, terdapat dua isu utama yang akan diperbincangkan. Isu pertama, adakah penyebatian

kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif mempunyai kepentingan untuk melayan gaya

pembelajaran? Isu kedua, bagaimanakah pendekatan penyebatian kemahiran berfikir secara

kritis dan kreatif dijalankan oleh guru-guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran?

 

4.1       Isu pertama: Adakah penyebatian kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif

mempunyai kepentingan untuk melayan gaya pembelajaran?

 

Peranan yang dimainkan oleh guru dalam menyebatikan kemahiran berfikir secara kritis dan

kreatif dalam proses pengajaran dan pembelajaran adalah begitu penting. Proses pengajaran

dan pembelajaran yang berlaku tanpa unsur-unsur kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif

akan menjadi tidak efektif. Namun begitu pelajar-pelajar  mempunyai gaya pembelajaran dan

pelbagai kecerdasan yang berbeza. Oleh itu penyebatian kemahiran berfikir secara kritis dan

kreatif merupakan strategi yang berkesan untuk melayan gaya pembelajaran dan pelbagai

kecerdasan pelajar.

 

            Setiap manusia mungkin mempunyai lebih daripada satu atau dua jenis gaya

pembelajaran. Fungsi gaya pembelajaran ini juga mungkin berbeza mengikut masa, alam

sekitar, isu pembelajaran serta juga beberapa ciri mental, fisikal dan psikologi orang yang

berkenaan.  Dan mungkin juga, seseorang itu lebih cenderung kepada satu atau eberapa gaya

pembelajaran tertentu sahaja. Gaya pembelajaran seseorang itu mungkin juga bersifat dinamis.

Ia boleh dikembangkan dan boleh berubah ( Guild, 1994) dalam K.Narayanasamy (2000).

 

            Menurut Felder (1996) dalam Mohd Noor Badlishah (2009), gaya pembelajaran merujuk

kepada kecenderungan dan kekuatan pada sesuatu gaya bagi mendapat dan memproses

maklumat. Setiap individu mempunyai kekuatan serta kecenderungan yang unik untuk

memahami dan memproses memproses maklulmat. Dengan lain perkataan, setiap individu

mempunyai gaya pembelajaran yang tersendiri. Gaya pembelajaran ditakrifkan sebagai cara

unik yang digunakan oleh individu untuk mengambil, memproses, memahami dan mempersepsi

Page 8: bahanAA

maklumat. Gaya pembelajaran juga sering dikaitkan dengan gaya kognitif. Ada individu yang

cenderung untuk belajar maklumat yang konkrit (seperti fakta dan konsep, simbolik dan model

matematik). Sebilangan besar pelajar lebih suka sekiranya maklumat dipaparkan secara visual

(seperti carta alir,gambar rajah, skema) dan ada pula yang lebih gemar sekiranya maklumat

diberikan dalam bentuk verbal (seperti kuliah). Sebilangan individu lebih suka belajar secara aktif

seperti berbincang dengan rakan serta belajar dengan ’berbuat’, manakala ada sebilangan

individu yang belajar secara reflektif iaitu dengan berfikir dan lebih gemar belajar secara

sendirian. Ada juga individu yang belajar secara urutan dan memahami perincian dahulu

kemudian mendapat gambaran keseluruhan sesuatu konsep, manakala ada pula yang belajar

dengan memahami gambaran keseluruhan kemudian barulah memahami perincian sesuatu

konsep.

 

            Sekiranya gaya pembelajaran pelajar adalah sama atau selari dengan gaya pengajaran

guru, maka proses pengajaran dan pembelajaran akan lebih efektif. Sebaliknya, jika gaya

pembelajaran pelajar tidak selari dengan gaya pengajaran guru, kemungkinan besar pelajar

akan mudah berasa bosan, tidak selesa, kurang memberi tumpuan, mempunyai tanggapan yang

negatif  terhadap subjek atau kemungkinan menyebabkan prestasi yang kurang memuaskan

dalam sesuatu subjek. Oleh itu proses pengajaran dan pembelajaran perlulah seiring dengan

keadaan realiti ini. Penyebatian  kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif di dalam proses

pengajaran dan pembelajaran merupakan strategi yang dapat mengisi hasrat ini.

 

            Menurut K.Narayanasamy (2000), seseorang guru yang mengajar kemahiran berfikir

akan memberi tumpuan kepada beberapa elemen penting di dalamnya. Di antara elemen-

elemen tersebut adalah, salah satu kemahiran berfikir yang spesifik, proses kemahiran

berkenaan, metakognisi, pengurusan lisan dalam bentuk soalan dan pengurusan grafik dalam

bentuk visual. Misalnya, seorang guru cuba menyebatikan kemahiran berfikir membuat ’banding-

beza’ di dalam mata pelajarannya. Beliau akan memberi penekanan terhadap proses-proses

utama kemahiran berfikir berkenaan dalam pengajaran dan pembelajarannya. Proses-proses

utama kemahiran berfikir membuat banding dan beza yang ditekankan oleh guru tersebut seperti

:

 

Mengenal pasti perkara/objek yang dibanding bezakan

Mencari aspek-aspek persamaan di antara perkara/objek tersebut

Mencari perbezaan

Sebelum mencari perbezaan, menentukan komponen-komponen perbezaan

Mencari perbezaan berdasarkan komponen-komponen tersebut

Memberi pendapat/membuat keputusan berdasarkan perbandingan dan perbezaan.

 

Page 9: bahanAA

Penyebatian kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif dengan konteks dan isi kandungan

pembelajaran memberi peluang untuk pelajar memproses informasi secara aktif dan reflektif.

Teks atau bahan isi kandungan yang digunakan oleh guru membolehkan pelajar beranjak dalam

satu kontinum gaya pembelajaran.

 

            Apabila guru menggunakan pengurusan lisan (soalan-soalan berpandukan proses

tersebut) pelajar analitik dapat terlibat secara aktif. Mereka dapat mengamati proses berfikir

secara abstrak dan memikir secara reflektif. Mereka dapat menganalisis, menaakul dengan lebih

berkesan.

 

            Malahan, dengan menggunakan pengurusan grafik, pelajar bukan sahaja melihat proses

kemahiran berfikir tersebut secara eksplisit dan konkrit tetapi juga berfikir dan memproses

secara aktif. Secara lazimnya, pengajaran dan pembelajaran kemahiran berfikir menjadi lebih

berkesan dengan menggunakan pengurusan grafik. Pengurusan grafik adalah bentuk visual

proses berfikir berkenaan. Pengurusan grafik membolehkan pelajar melihat secara konkrit dan

visual, proses berfikir yang terbentang secara abstrak. Kombinasi menggunakan pengurusan

lisan dan grafik dalam jangka masa panjang akan membolehkan concrete

perceivers menjadi abstract perceivers((McCarthy 1987) dalam K.Narayanasamy (2000).

 

4.2 Isu kedua: Bagaimanakah pendekatan penyebatian kemahiran berfikir secara kritis

dan kreatif dijalankan oleh guru-guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran?

           

Setiap guru mata pelajaran selain memiliki ilmu pengetahuan, kemahiran pedagogi dan sikap

yang sesuai, harus bijak untuk mengatur perancangan proses pengajaran dan pembelajaran.

Guru mesti berusaha menukar amalan pengajaran pembelajaran di kelas mereka supaya

amalan tersebut benar-benar berbeza dari amalan di kelas konvensional. Menurut Bereiter &

Scardamalia, 1987 dalam N.S.Rajendran (2001), pengajaran pembelajaran kemahiran berfikir

memerlukan suasana di bilik darjah yang memberangsangkan pelajar-pelajar supaya mereka

turut serta dalam keseluruhan proses tersebut. Ini bermakna pelajar seharusnya terlibat secara

langsung dari masa bahan ataupun kandungan sukatan pelajaran dipilih untuk sesi pelajaran

dan dalam pemilihan dan pengendalian aktiviti pengajaran pembelajaran.

 

            Pendekatan penyebatian menstruktur semula isi kandungan mata pelajaran untuk

mengajar pemikiran secara langsung. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran Pendekatan

penyebatian, guru mengajar kemahiran berfikir secara eksplisit, menyebatikan pengajaran

pemikiran dalam kandungan pelajaran, membincangkan kemahiran yang digunakan oleh pelajar

semasa berfikir dan berusaha untuk meningkatkan cara pemikiran pelajarnya.  

 

Page 10: bahanAA

            Masa pelajaran diperkongsikan untuk mengajar kedua-dua komponen pelajaran,

kandungan pelajaran dan kemahiran atau proses berfikir secara saling berkait. Pendekatan

penyebatian mengutamakan empat amalan pengajaran yang mencirikan cara berfikir secara

eksplisit iaitu :

 

Guru memperkenalkan kemahiran atau proses berfikir dengan menunjukkan pentingnya

melakukan kemahiran atau proses berkenaan dengan bijak.

Guru menggunakan rangsangan yang eksplisit untuk membimbing pelajar mengamalkan

pemikiran yang bijak sambil pelajar mempelajari fakta, konsep dan kemahiran yang berkaitan

dengan kandungan mata pelajaran.

Guru bertanya soalan-soalan, refleksi yang dapat menjauhkan pelajar daripada kandungan

pelajaran supaya pelajar sedar akan bagaimana dirinya berfikir dan mempelajari cara berfikir

yang bijak.

Guru mengukuhkan lagi stategi berfikir dengan cara menyediakan peluang-peluang tambahan

untuk melatih pelajar menggunakan kemahiran atau proses yang sama secara berdikari.

 

5.0      CADANGAN

 

Pada masa kini, sistem pendidikan di Malaysia lebih menekankan aspek penyebatian kemahiran

berfikir secara kritis dan kreatif. Gaya pengajaran guru dalam proses pengajaran dan

pembelajaran akan mempengaruhi gaya pembelajaran pelajar. Menurut (Lortie, 1975) dalam

N.S.Rajendran (2001), guru-guru telah menerima orientasi yang sungguh berbeza daripada apa

yang mereka sendiri dikehendaki lakukan di kelas-kelas sebagai pendidik. Mereka memilih untuk

mencontohi gaya guru mereka sendiri. Faktor ini menjadi penghalang utama kepada usaha guru

dalam membuat inovasi ke atas proses pengajaran pembelajaran mereka. Perlu diakui bahawa

perubahan yang dihasratkan bukanlah suatu perkara yang mudah dilakukan oleh guru-guru.

Namun demikian, guru-guru haruslah dibimbing supaya mereka melihat kepentingan inovasi ini

dan membuat perubahan yang diperlukan. Dalam hubungan ini, (Duckworth 1987) dalam

N.S.Rajendran (2001), mencadangkan bahawa, ”one of the two aspects of teaching is to have

the students try to explain the sense they are making and instead of explaining things to students

do try to understand their sense”.

 

            Di dalam proses pengajaran dan pembelajaran, perkara penting yang perlu diteliti oleh

guru-guru ialah merancang pengajaran pembelajaran dengan baik dan teratur. Namun perkara

yang menjadi cabaran utama kepada guru-guru ialah ketidaktentuan dalam mengendalikan

proses pengajaran pembelajaran.Menurut Atan Long dalam bukunya Pedagogi, Kaedah Am

Mengajar (Rafiei, 1998), pengajaran dan pembelajaran merupakan proses interaksi yang berlaku

antara tiga komponen penting iaitu guru, murid dan isi pelajaran dalam bilik darjah. Di dalam

mengatur perancangan pengajaran pembelajaran guru perlulah mengambil kira dari setiap

sudut. Cazden (1979) dalam N.S.Rajendran (2001) telah menunjukkan bahawa penggunaan

kemahiran mendengar dan bertutur oleh guru dan pelajar mewujudkan suasana bilik darjah yang

Page 11: bahanAA

boleh menyokong atau menghalang perkembangan beberapa jenis kemahiran berfikir. Memberi

klu (clue) dan menyoal juga adalah dua strategi utama yang boleh digunakan oleh guru untuk

menggalakkan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif dalam proses pengajaran dan

pembelajaran.

 

            Inovasi pendidikan pada tahun 1981 dan 1989 telah berusaha mengubah pemikiran guru

dalam mengendalikan pengajaran dan  pembelajaran di bilik darjah. Inovasi tersebut telah

mengharapkan bahawa guru akan menjalankan sebahagian besar daripada pengajaran yang

berpusatkan pelajar dan akan menggunakan pelbagai strategi dan teknik untuk melibatkan

pelajar dengan aktif ( Pusat Perkembangan Kurikulum, 1981) dalam N.S Rajendran ( 2001).

Guru-guru perlu diberi sistem sokongan untuk melaksanakan inovasi di dalam bilik darjah di

sekolah masing-masing. Sistem sokongan ini meliputi aspek-aspek seperti bahan rujukan,

sumber untuk mengendalikan pengajaran pembelajaran, dan wacana untuk guru-guru

membincangkan isu-isu berkaitan pengajaran pembelajaran kemahiran berfikir. Guru-guru juga

diberi kebebasan untuk membuat keputusan masing-masing berhubung dengan pendekatan dan

strategi yang bakal digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran masing-masing.

Tidak dapat dinafikan bahawa guru-guru mempunyai kreativiti tersendiri dalam mengendalikan

proses pengajaran dan pembelajaran yang dipengaruhi oleh faktor-faktor termasuk keperluan

kurikulum yang begitu padat dan isu peperiksaan pusat.

 

            Penyebatian kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif dalam kelas penting untuk

mewujudkan suasana yang memberangsangkan kepada pelajar. Guru mestilah berusaha

menukar amalan pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas mereka supaya amalan tersebut

benar-benar berbeza daripada amalan di kelas konvensional.  Oleh itu, guru perlu memiliki ilmu

pengetahuan, kemahiran pedagogi dan sikap yang sesuai untuk melakukan perubahan tersebut.

N.S Rajendran ( 2001) menyatakan terdapat perkara-perkara yang asas yang perlu dimiliki oleh

guru  iaitu ilmu pengetahuan, kemahiran dan sikap untuk mengendalikan proses pengajaran dan

pembelajaran. Dalam konteks mengajar kemahiran berfikir dalam mata pelajaran di sekolah,

guru-guru perlu memiliki perkara tersebut untuk mengendalikan pengajaran dan pembelajaran

dengan lebih berkesan.

 

            Guru juga boleh menggunakan pengajaran kemahiran membaca untuk menggalakkan

pelajar supaya mereka menguasai kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif. Satu daripada

cara ialah teknik ’reciprocal teaching’ yang diperkenalkan oleh Pallnscar dan Brown (1994)

dalam N.S.Rajendran (2001).Teknik ini menggunakan satu proses koperatif di antara guru dan

pelajar dalam mengemukakan soalan dan mendapatkan respons dengan tujuan menunjukkan

ciri-ciri metakognitif dalam proses membaca. Ini bermakna proses metakognitif boleh digunakan

sebelum, semasa dan selepas membaca.

 

Page 12: bahanAA

            Selaras dengan perkembangan teknologi semasa, Kementerian Pelajaran Malaysia

(KPM) telah memperkenalkan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam pendidikan yang

meliputi aspek prasarana, pengisian dan latihan guru. Guru-guru setiap matapelajaran boleh

mengaplikasikan penggunaan alat-alat berteknologi untuk memantapkan kemahiran berfikir

secara kritis dan kreatif pelajar dalam proses pengajaran pembelajaran. Menurut Molnar (1997)

dalam N.S.Rajendran (2001), teknologi-teknologi pendidikan sekiranya digunakan dan

diaplikasikan dengan betul, akan membawa kesan yang bermakna dalam pembelajaran pelajar.

 

 6.0 KESIMPULAN

 

Salah satu faktor dominan yang menentukan kejayaan sesebuah negara adalah dalam bidang

pendidikan. Pelbagai perancangan dan piawaian dilakukan bagi meningkatkan sistem

pendidikan negara sejak dahulu lagi sehingga kini. Menyedari kepentingan kemahiran berfikir ini

Kementerian Pelajaran Malaysia telah melaksanakan penyebatian kemahiran berfikir khususnya

kemahiran berfikir kritis dan kreatif di dalam proses pengajaran dan pembelajaran bagi setiap

mata pelajaran. Oleh itu guru-guru juga perlulah bersama-sama mengembleng tenaga

merealisasikan hasrat kerajaan untuk terus meningkatkan sistem pendidikan negara. Menurut 

K.Narayanasamy (2000) guru yang berinovatif dan kreatif perlulah memikirkan pelbagai cara dan

aktiviti lain untuk mengatur aktiviti pengajaran dan pembelajaran mengikut bidang mereka. Ini

secara tidak langsung menunjukkan betapa pentingnya penyebatian kemahiran berfikir secara

kritis dan kreatif dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah.

 

Kerjasama antara guru dan pelajar amat penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran

bagi memantapkan lagi adaptasi kemahiran berfikir dalam setiap mata pelajaran. Penyebatian

kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif juga dapat mempengaruhi gaya pembelajaran pelajar.

Kepentingan penyebatian kemahiran kritis dan kritis juga memberikan kesedaran agar

melakukan keseragaman gaya pengajaran mereka dengan gaya pembelajaran pelajar. Pelajar-

pelajar juga telah dapat mengimbas kembali dan membuat refleksi tentang proses kognitif dalam

konteks pengajaran dan pembelajaran. Pelajar telah membuat refleksi dalam

menghubungkaitkan apa yang dipelajari dengan proses berfikir untuk memperolehi pengetahuan

serta kemahiran sesuatu bidang yang dipelajari. Kesediaan guru juga diambilkira dalam

melaksanakan segala apa yang telah dirancangkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

Rakyat yang berfikiran kritis dan kreatif akan menjamin negara agar mampu bersaing dan

setanding dengan negara maju yang lain selaras dengan Wasasan 2020.

RUJUKAN

 

Abdul Halim Abdullah & Mohini Mohamed. 2007. Penggunaan Kemahiran berfikir di kalangan

pelajar dalam persekitaran perisian geometri interaktif. 1st International Malaysia Educational

Technology Convention.

 

Page 13: bahanAA

Adnan bin Ahmad, Mimi Mohaffyza Mohamad& Kamalularifin Suhari. 2006. Aplikasi corak

pembelajaran  kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis di kalangan pelajar dalam subjek

pengajian kejuruteraan awam sekolah menengah teknik negeri Johor. Latihan Ilmiah. Universiti

Teknologi Malaysia.

 

Beyer, B.K. 1988. Developing a thinking skills program. Boston: Allyn & Bacon

 

Forgarty, R & Bellanca, J. 1990. Teach Them Thinking. Australia: Hawker Brownlow Education

 

Kementerian Pendidikan Malaysia. 1994. Pukal Latihan Sains Rendah: Modul 3 Kemahiran

Berfikir. Kuala Lumpur: Pusat Perkembangan Kurikulum

 

K.Narayaanasamy. 2000. Melayan pelbagai gaya pembelajaran: pengajaran kemahiran berfikir

sebagai satu alternatif berkesan. Jurnal Pendidikan TIGAENF. 2(3): 64-70

 

Mok Soon Sang. 2002. Psikologi Pendidikan Untuk Kursus Diploma Perguruan Semester

1. Kumpulan Budiman Sdn. Bhd. Subang Jaya.

 

Mok Soon Sang. 2002. Psikologi Pendidikan Untuk Kursus Diploma Perguruan Semester

2 Kumpulan Budiman Sdn. Bhd. Subang Jaya.

 

Mok Soon Sang. 2002. Psikologi Pendidikan Untuk Kursus Diploma Perguruan Semester

3. Kumpulan Budiman Sdn. Bhd. Subang Jaya.

 

Mohd Noor Badlilshah Abdul Kadir. (  ). Gaya pembelajaran: satu kajian deskriptif terhadap

pelajar kolej matrikulasi Perak.

 

Mok Soon Sang. 2009. Psikologi Pendidikan dan Pedagogi Murid dan alam Belajar.Penerbitan

Multimedia Sdn. Bhd.Selangor.

 

Mok Soon Sang. 2010. Psikologi Pendidikan Untuk Pengnajaran dan

Pembelajaranan.Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.Selangor.

 

N.S.Rajendran. 2001. Amalan berdaya fikir pengajaran pembelajaran Bahasa Melayu dalam bilik

darjah. Kertas Kerja. Konvensyen Pendidikan ke-10.

 

Page 14: bahanAA

N.S.Rajendran. 2001. Pengajaran kemahiran berfikir aras tinggi: kesediaan guru mengendalikan

proses pengajaran pembelajaran. Kertas kerja. Seminar/ pameran projek KBKK.

 

Poh Swee Hiang. 2002. Kemahiran Berfikir Secara Kritis dan Kreatif. Kuala Lumpur. Percetakan

Sentosa

 

Rafiei Mustapha. 1998. Kajian tentang kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif (KBKK) dalam

pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu sekolah menengah.

 

Sarimah Kamrin. (2008). Tahap penguasaan kemahiran berfikir kritis pelajar sains tingkatan

empat di daerah Kulai merentas etnik.

 

Selva Ranee Subramaniam. 2007. Penyebatian kemahiran berfikir dalam pengajaran kimia

secara kontekstual. Jurnal pendidikan.27(1) : 85-98.

 

Siti Rahayah Ariffin, Rosadah Abd Majid, Zolkepeli Haron, Rodiah Idris, Anisa Alias, Shahir

Samsuri, Basri Hassan, Nor Azaheen Abdul Hamid.  (  ). Kemahiran pemikiran kritikal dan

penyelesaian masalah pelajar-pelajar sains di Malaysia. 

 

Zainudin Hassan, Hamdan Said, Jamilah Omar & Haslita Hassan.2006. Pengaplikasian

kemahiran berfikir dalam pengajaran kemahiran hidup bersepadu di sekolah menengah daerah

Kota Bahru, Kelantan.Universiti Teknologi Malaysia.

 

Mohd izham& Norazah.  http://www.iab.edu.my/Jurnal/Jurnal%202007/IntICT.pdf.  19 Oktober

2010