DALAM MAHKAMAH RAYUAN MALAYSIA DI PUTRAJAYA … · Latar Belakang [1] Perayu telah ... Pada masa...
Transcript of DALAM MAHKAMAH RAYUAN MALAYSIA DI PUTRAJAYA … · Latar Belakang [1] Perayu telah ... Pada masa...
1
DALAM MAHKAMAH RAYUAN MALAYSIA DI PUTRAJAYA
[BIDANG KUASA RAYUAN]
RAYUAN JENAYAH NO: R-05M-185-07/2015
ANTARA
MISS ROHANEE SUBAKOYE …PERAYU (PASS NO: 3-9101-00005-85-0)
DAN
PENDAKWA RAYA …RESPONDEN
(Dalam Mahkamah Tinggi Kangar, Perlis) (Perbicaraan Jenayah Perlis No. 45A-02-05/2013)
Antara
Pendakwa Raya
Lawan
Miss Rohanee Subakoye
(Pass No: 3-9101-00005-85-0)
KORUM:
MOHTARUDIN BIN BAKI, JCA IDRUS BIN HARUN, JCA
ASMABI BINTI MOHAMAD, JCA
2
PENGHAKIMAN MAHKAMAH
Latar Belakang
[1] Perayu telah dihadapkan dengan satu pertuduhan bagi kesalahan
mengedar dadah berbahaya di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952
(‘Akta’) yang boleh membawa hukuman mati mandatori di bawah
Seksyen 39B (2) Akta.
[2] Perayu telah dituduh atas pertuduhan berikut:
“Bahawa kamu pada 28 Januari 2013 lebih kurang jam 2.00 petang
di Pos Masuk Imigresen Wang Kelian, di dalam Daerah Padang
Besar, di dalam Negeri Perlis, telah didapati mengedar dadah
berbahaya iaitu Cannabis seberat 407.5 gram dan dengan itu kamu
telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 39B (1) (a) Akta
Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah s.39B (2)
Akta yang sama.”
Kes Pendakwaan
[3] Secara ringkas, kes pendakwaan ialah seperti berikut. Pada
28.1.2013, jam lebih kurang 2.00 petang, semasa PiKK Ku Ahmad
Redzuan bin Ku Hashim (SP2) bertugas sebagai pemeriksa di laluan
Import dan Eksport di Pos Imigresen Wang Kelian Kaki Bukit, Perlis
(“tempat kejadian”) beliau telah menahan sebuah kenderaan pick-up
jenis Toyota Hilux berwarna coklat dengan nombor pendaftaran Thailand
3
RC 8177 STN (“trak pick-up”) dan mengarahkan pemandu bernama Oma
Yakob (SP4) turun untuk membuka boot belakang trak pick-up tersebut.
Pada masa itu terdapat beberapa orang penumpang yang terdiri dari
wanita, lelaki dan kanak-kanak dalam trak pick-up tersebut.
[4] SP2 telah mengarahkan SP4 untuk masuk ke dalam boot trak pick-
up dan membawa keluar set receiver antenna (parabola) daripada dalam
trak pick-up tersebut kerana parabola ialah barangan larangan kastam.
[5] SP2 selanjutnya telah menghubungi PiKT Basiron bin Shuaib,
Ketua Stesyen Wang Kelian (SP3) dan memaklumkan mengenai
penemuan tersebut. Setelah itu SP2 beredar dan kembali semula ke
tempat tugasnya bagi meneruskan tugas rutinnya.
[6] Sebaik sahaja SP3 dimaklumkan mengenai penemuan parabola
dalam boot trak pick-up tersebut, SP3 datang ke Lorong Import dan
Eksport dan mengarahkan SP4 mengalihkan trak pick-up tersebut ke
tempat pemeriksaan. Di tempat pemeriksaan, SP3 telah bertanya siapa
tuan punya parabola tersebut dan pertanyaan tersebut disambut oleh
seorang yang bernama Wi Chian Niampiam (SP5) yang mengakui
parabola tersebut milik beliau. SP3 menyelesaikan urusan mengenai
parabola tersebut dengan SP5, dengan merampas parabola tersebut
dan mengenakan kompaun ke atas SP5 sebanyak RM200.00.
[7] SP3 kemudiannya telah mengarahkan semua penumpang untuk
mengisytihar barangan kepunyaan mereka. Kesemua penumpang
memberi kerjasama untuk mengenalpasti barangan masing-masing
4
kepada SP3 untuk diperiksa. Menurut SP3, Perayu merupakan orang
terakhir yang mengisytiharkan barangannya yang diisytiharkan sebagai
“pakaian”. Pemeriksaan dimulakan dengan penumpang pertama iaitu
Supawadee. SP3 telah mengarahkan beliau mengeluarkan semua
kandungan dalam beg miliknya dan SP3 mendapati dalam beg tersebut
tidak terdapat apa-apa barang larangan dan/atau apa-apa barang
bercukai.
[8] SP3 kemudiannya mengarahkan seorang perempuan bernama
Miss Rohanee Subakoye (Perayu) untuk mengeluarkan semua barang
daripada dalam beg pakaian jenama Camon berwarna biru gelap milik
Perayu (P22). Perayu telah membuka P22 dan menarik keluar beberapa
helai pakaian daripada P22. Namun Perayu enggan mengeluarkan
keseluruhan kandungan P22 untuk diperiksa oleh SP3. Melihat perkara
ini, SP3 kemudiannya mengarah Perayu untuk mengeluarkan kesemua
barang-barang yang berada dalam P22. Perayu enggan mematuhi
arahan SP3.
[9] Memandangkan Perayu enggan memberi kerjasama bagi
mengeluarkan keseluruhan kandungan P22 untuk diperiksa, SP3 terus
membuat pemeriksaan ke atas P22 sendiri dengan menarik keluar
barang-barang yang masih berada dalam P22. Semasa melakukan
perkara ini, SP3 mendapati di bawah lipatan pakaian yang masih berada
dalam P22, tersembunyi dua (2) paket yang disaluti dengan pita (tape)
berwarna hitam (P18 dan P19). Turut berada dalam P22 ialah kad
pengenalan Thailand Perayu dan juga Pas Sempadan Thailand juga atas
nama Perayu. Menurut SP3, apabila SP3 memasukkan tangan ke dalam
5
beg tersebut, Perayu telah menghalang dan menahan SP3 dari
mengeluarkan kedua-dua paket tersebut.
[10] Selepas penemuan tersebut, SP3 bertanya kepada Perayu
mengenainya, tetapi Perayu tidak menjawab soalan SP3. SP3 meminta
SP4 membantu SP3 untuk menterjemah pertanyaan beliau ke dalam
Bahasa Thai dan seterusnya menterjemah pula jawapan Perayu kepada
beliau dalam Bahasa Kebangsaan.
[11] Apabila SP3 bertanya kepada Perayu mengenai P18 dan P19 yang
ditemuinya dalam P22 tersebut melalui penterjemahan SP4, Perayu
menyatakan kedua-dua bungkusan itu mengandungi “tembakau”.
[12] SP3 telah mengoyak sedikit kedua-dua paket yang ditemuinya bagi
melihat kandungannya. SP3 mendapati paket-paket tersebut
mengandungi tumbuhan mampat yang disaluti dengan pita hitam. SP3
seterusnya bertanya kepada Perayu melalui penterjemahan SP4
siapakah pemilik kedua-dua paket tersebut dan apakah kandungannya.
Perayu telah menyatakan kepada SP3 melalui SP4, kedua-dua paket
tersebut mengandungi ganja yang dibeli dengan harga 5000 Bath. Pada
ketika itu, Perayu kelihatan cemas dan merayu-rayu kepada SP3 agar
membebaskan beliau kerana beliau mempunyai anak kecil. SP3
mengesyaki kedua-dua paket tersebut mengandungi dadah berbahaya.
[13] SP3 memaklumkan perkara tersebut kepada pegawai Bahagian
Penguatkuasaan di Jabatan Kastam Padang Besar. Pegawai Tinggi
Sulaiman bin Din (SP6) datang ke tempat kejadian dan menggari tangan
6
Perayu. Selepas itu SP6 telah memaklumkan perkara tersebut kepada
Penguasa Kastam Mohd Zaki bin Ismail (SP7) selaku Pegawai
Penyiasat. Perayu kemudiannya dibawa balik ke Jabatan Kastam di
Kangar bersama rampasan (P22) dan kandungannya (P18 dan P19).
Tangkapan dan rampasan yang terdiri daripada P22 dan kandungannya
P18 dan P19 diserahkan kepada SP7 untuk tindakan lanjut.
[14] Pada setiap masa rampasan berada di bawah jagaan dan kawalan
SP3 sehingga rampasan tersebut diserahkan SP3 kepada SP7.
[15] Kedua-dua paket tersebut telah dihantar SP7 ke Jabatan Kimia
Malaysia untuk dianalisis. Hasil analisis yang dijalankan oleh Ahli Kimia
(SP1) mengesahkan kandungan kedua-dua paket tersebut ialah dadah
berbahaya jenis Cannabis dengan berat 407.5 gram. Cannabis ialah
sejenis dadah berbahaya seperti yang ditakrifkan dalam Jadual Pertama
Akta.
Dapatan hakim bicara di akhir kes pendakwaan
[16] Hakim bicara menyatakan bagi membuktikan pertuduhan terhadap
Perayu, pihak pendakwaan dikehendaki membuktikan pertamanya,
bahawa terdapat dadah berbahaya seperti yang disenaraikan dalam
Jadual Pertama Akta tersebut dalam paket-paket yang ditemui dalam
P22. Keduanya, Perayu mempunyai pemilikan ke atas dadah berbahaya
tersebut, dan yang terakhir bahawa Perayu mengedar dadah tersebut.
7
[17] Hakim bicara menerima keterangan SP1 mengenai jenis dan berat
dadah dan mendapati pihak pendakwaan telah membuktikan elemen
pertama pertuduhan.
[18] Selepas mempertimbangkan keterangan saksi-saksi pihak
pendakwa, terutamanya keterangan SP3 dan SP4, hakim bicara
mendapati pihak pendakwaan telah gagal membuktikan bahawa Perayu
mempunyai pemilikan secara fizikal ke atas dadah berbahaya yang
ditemui dalam P22. Hakim bicara mendapati pihak pendakwaan telah
gagal untuk membuktikan kes prima facie terhadap Perayu sebagaimana
yang dipertuduhkan dan melepas serta membebaskan Perayu tanpa
memanggil Perayu untuk membela diri pada tahap akhir kes
pendakwaan.
[19] Pendakwa Raya yang tidak berpuashati dengan keputusan hakim
bicara telah memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut ke
Mahkamah Rayuan Malaysia melalui kes Dalam Mahkamah Rayuan
Putrajaya, Rayuan Jenayah No. R-05-82-04/2014 (THA) [Mahkamah
Tinggi Malaya di Kangar Perbicaraan Jenayah No. 45A-02-05/2013]
Pendakwa Raya Lwn Rohanee Subakoye.
[20] Rayuan Pendakwa Raya terhadap keputusan tersebut dibenarkan
oleh Mahkamah Rayuan Malaysia. Mahkamah Rayuan Malaysia telah
mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi yang melepaskan dan
membebaskan Perayu daripada pertuduhan di bawah Seksyen 39B (1)
(a) Akta tersebut dan menggantikan dengan perintah bahawa Perayu
8
membela diri terhadap pertuduhan tersebut di hadapan Hakim
Mahkamah Tinggi yang sama.
Kes Pembelaan
[21] Perayu telah memilih untuk memberikan keterangan membela
dirinya secara bersumpah. Hanya Perayu seorang sahaja saksi kes
pihak pembelaan.
[22] Pada akhir kes pendakwaan, pihak pendakwa telah menawarkan
tiga orang saksi pendakwaan yang tidak dipanggil mereka kepada
Perayu iaitu Chaiyut Niamthiam, Jit Ruyenggrat dan Miss Supawadee
Saithao-ian. Walaupun pembelaan menerima tawaran ini, namun ketiga-
tiga orang saksi ini tidak dapat dipanggil kerana mereka tidak dapat
dikesan oleh pihak pendakwaan memandangkan kesemua mereka telah
kembali ke Thailand.
[23] Maka Perayu terpaksa menutup kes pembelaan tanpa memanggil
saksi-saksi tersebut.
[24] Keterangan pembelaan diringkaskan hakim bicara seperti berikut:
(a) Pada 28.1.2013, Perayu bersama anaknya sedang menuju
ke Changlun, Kedah untuk bekerja sebagai penoreh getah;
(b) Perayu dan anaknya menaiki trak pick-up yang dipandu
oleh SP4;
9
(c) Terdapat beberapa orang lain yang turut menumpang trak
pick-up SP4 untuk datang ke Malaysia. Apabila Perayu dan
anaknya menaiki kenderaan tersebut, terdapat tiga orang
penumpang lelaki dalam kenderaan tersebut;
(d) Semasa Perayu dan anaknya hendak menaiki trak pick-up
tersebut, dua orang penumpang lelaki yang duduk di
bahagian tengah telah turun dan pergi ke bahagian belakang
pick-up itu dan duduk di situ. Selepas itu, seorang wanita
bersama anaknya pula menaiki trak pick-up itu dan duduk di
bahagian tengah bersama-sama Perayu dan anaknya;
(e) Semasa Perayu menaiki trak pick-up tersebut, Perayu
membawa bersamanya beg pakaian P22 dan beg silang
P24. Beg P22 diletak di bahagian belakang trak pick-up
tersebut sementara beg P24 dipegang Perayu;
(f) Beg Perayu tidak berkunci dan sepanjang perjalanan
tersebut, dua orang penumpang lelaki berada di bahagian
belakang kenderaan iaitu ditempat beg P22 dan beberapa
barangan lain ditempatkan;
(g) Salah seorang penumpang tersebut telah dipanggil oleh
pihak pendakwaan untuk memberi keterangan (SP5);
(h) Apabila sampai di Wang Kelian, penumpang-penumpang
turun untuk pemeriksaan Imigresen dan Kastam. Perayu dan
10
anaknya tidak turun dari kenderaan tersebut. Kenderaan
tersebut telah diperiksa oleh pegawai-pegawai Kastam;
(i) Semasa memeriksa beg P22, SP3 telah menemui dua
bungkusan (P18 dan P19) dari beg tersebut. Perayu telah
ditanya beberapa soalan. SP4 telah diminta untuk bertindak
sebagai penterjemah bagi menterjemah soalan SP3 dari
Bahasa Thai ke Bahasa Kebangsaan kepada Perayu dan
selanjutnya untuk menterjemah pula jawapan Perayu dari
Bahasa Thai ke Bahasa Kebangsaan kepada SP3; dan
(j) Perayu tidak menafikan beg P22 adalah kepunyaan Perayu
dan bungkusan dadah tersebut dijumpai di dalam beg P22.
Namun, Perayu menafikan dadah tersebut kepunyaannya.
Dapatan di akhir kes pembelaan
[25] Setelah memberi pertimbangan kepada pembelaan Perayu, hakim
bicara mendapati bahawa pembelaan perayu gagal menimbulkan
keraguan yang munasabah ke atas kes pendakwaan dan pembelaan
gagal mematahkan anggapan pengedaran di bawah Akta tersebut.
[26] Oleh itu, hakim bicara telah mensabitkan dan menjatuhi hukuman
mati terhadap Perayu. Tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut,
Perayu merayu ke Mahkamah ini.
11
Rayuan
[27] Peguam bela mengemukakan alasan-alasan rayuan seperti berikut
[Sebagaimana diringkaskan dari Petisyen Rayuan Perayu]:
(a) Hakim bicara terkhilaf dalam memutuskan bahawa pihak
pendakwaan telah membuktikan kesnya melampaui
keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan
berdasarkan keputusan Mahkamah Rayuan semata-mata,
tanpa membuat penimbangan semula keseluruhan fakta dan
keterangan di akhir kes pembelaan (Alasan 1);
(b) Hakim bicara terkhilaf apabila memutuskan bahawa Perayu
telah melakukan perbuatan pengedaran mengikut definisi
perkataan tersebut di bawah Seksyen 2 Akta (Alasan 2);
(c) Hakim bicara terkhilaf apabila memutuskan bahawa kedua-
dua paket yang disaluti pita hitam yang mengandungi
dadah ialah milik Perayu dan Perayu mempunyai
pengetahuan mengenai kandungan paket tersebut (Alasan
3);
(d) Hakim bicara terkhilaf apabila memutuskan bahawa Perayu
mempunyai milikan eksklusif atau kawalan atau akses
terhadap kedua-dua paket tersebut (Alasan 4);
12
(e) Hakim bicara gagal mengambil kira bahawa beg Perayu
tersebut diletakkan di bahagian belakang trak pick-up
tersebut yang boleh diakses oleh penumpang-
penumpang yang duduk di bahagian belakang trak tersebut
(Alasan 5);
(f) Hakim bicara terkhilaf apabila memutuskan bahawa seksyen
114(g) Akta Keterangan 1950 tidak terpakai apabila pihak
Pendakwaan gagal memanggil saksi-saksi utama setelah
pihak Pendakwaan menawarkan saksi tersebut kepada pihak
Perayu, tetapi gagal mengemukakan saksi-saksi tersebut
(Alasan 6);
(g) Hakim bicara terkhilaf apabila gagal mengambil kira bahawa
terjemahan SP4 kepada SP3 bahawa eksibit tersebut ialah
tembakau dan kemudiannya diterjemahkan sebagai ganja
yang mana tidak diketahui sama ada benar apa yang
diterjemahkan SP4 kepada SP3 (Alasan 7);
(h) Hakim bicara terkhilaf apabila memutuskan untuk menerima
secara keseluruhan keterangan saksi SP3 dan SP4,
walaupun wujud percanggahan material yang boleh
menimbulkan keraguan munasabah (Alasan 8); dan
(i) Hakim bicara gagal mengambil kira bahawa keterangan
Perayu dalam pembelaan beliau telah menimbulkan
keraguan munasabah ke atas pertuduhan (Alasan 9).
13
Keputusan Kami
[28] Kami telah mengambil kira fakta bahawa pada mulanya, iaitu pada
peringkat akhir kes pendakwaan, Perayu telah dilepaskan dan
dibebaskan oleh YA Hakim kerana YA Hakim berpendapat pihak
pendakwaan telah gagal untuk membuktikan satu kes prima facie
terhadap Perayu. Suatu rayuan telah dikemukakan oleh pihak
pendakwaan ke Mahkamah Rayuan Malaysia dan Mahkamah tersebut
telah membenarkan rayuan pihak pendakwaan. Mahkamah Rayuan
telah mengarahkan supaya Perayu membela diri terhadap pertuduhan
yang dihadapkan ke atasnya kerana Mahkamah Rayuan berpuashati
pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kesemua intipati
pertuduhan, iaitu wujudnya dadah jenis Cannabis seberat 407.5 gram
tersebut dalam pemilikan Perayu dan Perayu telah melakukan perbuatan
mengedar dadah tersebut. Kes telah dihantar semula ke Mahkamah
Tinggi untuk mendengar pembelaan Perayu.
Alasan 1 hingga 5 dan 9 Petisyen Rayuan
[29] Isu pertama yang dibangkitkan dalam Petisyen Rayuan ialah
kegagalan pihak pendakwaan membuktikan Perayu mempunyai milikan
eksklusif ke atas Ekshibit P18 dan P19 yang ditemui dalam Ekshibit P22.
Peguam Bela Perayu menghujahkan pihak pendakwaan telah gagal
membuktikan Perayu mempunyai pengetahuan mengenai kewujudan
P18 dan P19 yang ditemui SP3 dalam P22.
14
[30] Ini ialah kerana P18 dan P19 ditemui dalam P22 yang tidak berzip
dan tidak berkunci yang diletak dalam boot kenderaan tersebut. Selain
Perayu, terdapat enam orang lain dalam kenderaan tersebut, dua
daripada enam penumpang tersebut duduk di bahagian boot di mana
P22 yang mengandungi P18 dan P19 ditempatkan. Oleh yang demikian,
tidak mungkin Perayu mempunyai milikan terhadap P18 dan P19
sepanjang perjalanan yang memakan masa satu setengah jam lamanya
dari Satun, Thailand ke tempat kejadian.
[31] Setelah kami menilai keseluruhan keterangan yang dikemukakan
oleh pihak pendakwaan, kami dapati pihak pendakwaan telah berjaya
membuktikan Perayu mengedar P18 dan P19 yang berada dalam P22
dengan membawa P22 berserta P18 dan P19 dalam trak pick-up yang
dipandu oleh SP4. Sebagaimana yang dihuraikan terdahulu dari ini P22
yang dimiliki Perayu yang mengandungi pakaian, kad pengenalan
Thailand Perayu dan juga Pas Sempadan Thailand juga atas nama
Perayu dibawa masuk oleh Perayu dari rumahnya di Satun, Thailand ke
tempat kejadian dengan menaiki trak pick-up SP4.
[32] Dalam kes ini, pihak pendakwaan telah mengemukakan
pertuduhan di bawah seksyen 2 (definisi pengedaran) terhadap Perayu
iaitu Perayu telah mengedar dadah berbahaya dengan cara membawa
P22 yang mengandungi P18 dan P19 dalam trak pick-up yang dipandu
oleh SP4 dari Satun ke tempat kejadian. Perayu juga mengetahui apa
yang dibawanya ialah Cannabis iaitu dadah berbahaya sebagaimana
yang ditakrifkan dalam Jadual Pertama Akta.
15
[33] Sebelum pihak pendakwaan dapat bergantung pada Seksyen 2
Akta, persoalan yang perlu ditanya oleh Mahkamah ialah sama ada
terdapat keterangan pengedaran yang jelas atau afirmatif kerana hanya
dengan tindakan membawa P22 yang mengandungi P18 dan P19 dalam
P22 dalam trak pick-up semata-mata, tidak mencukupi bagi
mengekalkan suatu pertuduhan pengedaran terhadap Perayu. Ini jelas
diputuskan dalam kes Mahkamah Persekutuan PP v. Abdul Manaf
Muhamad Hassan [2006] 2 CLJ 129 yang diikuti oleh Mahkamah
Rayuan Malaysia dalam kes Ooi Hock Kheng v PR [Mahkamah
Rayuan Malaysia Rayuan No. P-05-250-2010]. Mahkamah
Persekutuan melalui penghakiman Arifin Zakaria HMP (pada ketika itu)
menjelaskan:
“Conversely, the prosecution may rely on the presumption under
s.37 (d) to prove posession and seek to prove by affirmative evidence
(independent of the presumption under s.37(da) that the accused was
in fact trafficking in dangerous drug.”
[34] Dalam kes Ooi Hock Kheng v PR [supra] Mahkamah Rayuan
Malaysia melalui penghakiman YA Azahar Mohamed HMR (pada ketika
itu) telah menyatakan:
“….the mere act of carrying is not sufficient to constitute the offence
of trafficking under the DDA. In other words, the act of mere
carrying does not make one a trafficker under the scheme of the
DDA. This is made clear from the judgment of Arifin Zakaria FCJ
(as Hislordship then wa) in PP v. Abdul Manaf Muhamad Hassan
16
[2006] 2 CLJ 29. That case represents the law on this subject as we
apply today.”
(also see Ong Ah Chuan v Public Prosecutor; Koh
Chai Cheng v Public Prosecutor [1981] 1 MLJ 64).
[35] Dalam kes Mohamed Yazri bin Minhat v Public Prosecutor
[2003] 2 CLJ 65 Mahkamah Rayuan Malaysia telah menyatakan:
“To summarise, the fact that the accused is trafficking a quantity of
drugs from one point to another does not make him a trafficker.
Whether he is a trafficker in those circumstances depends on the
facts and circumstances of the given case, including the quantity of
the drugs and any transaction the accused proposed to enter into.”
[36] Oleh itu, kami perlu melihat sama ada terdapat keterangan yang
afirmatif bahawa Perayu terlibat dengan perbuatan pengedaran
sepertimana yang dipertuduhkan.
[37] Pemeriksaan dijalankan oleh SP3 ke atas Perayu seorang warga
Thai yang sedang dalam perjalanan masuk ke Malaysia melalui Pos
Pemeriksaan Masuk Imigresen, Kastam dan Kuarantin, di Wang Kelian
Perlis iaitu di sempadan masuk ke Malaysia, dengan menggunakan trak
pick-up, bersama-sama dengan P22 yang mengandungi P18 dan P19
yang disahkan SP1 sebagai Cannabis. Fakta yang dihuraikan terdahulu
dari ini membawa inferens yang Perayu sedang mengangkut “transport”
P22 daripada rumah ibunya di Chalung Chebilang, Satun, Thailand ke
17
Malaysia. Suatu fakta yang tidak dipertikaikan ialah P22 kepunyaan
Perayu dan mengandungi pakaian Perayu.
[38] Berdasarkan kepada keterangan yang dikemukakan kami
berpuashati pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan, di samping
keterangan bagi memenuhi perbuatan membawa P22 yang di dalamnya
mengandungi P18 dan P19 di bawah seksyen 2 Akta, iaitu definisi
“pengedaran” tetapi juga keterangan afirmatif pengedaran seperti yang
disarankan dalam kes-kes yang dihuraikan sebelum ini.
[39] Kami berpuashati intipati ini telah dibuktikan oleh pihak
pendakwaan kerana Perayu mempunyai pengetahuan mengenai
kewujudan P18 dan P19 dalam P22. Perkara ini dapat dilihat melalui
inferen dan juga tingkah laku Perayu apabila berhadapan dengan
Pegawai Kastam di Pos Pemeriksaan masuk Imigresen, Kastam dan
Kuarantin, di Wang Kelian, Perlis. Inferen ini boleh dibuat melalui fakta
dan keadaan di sekeliling pemeriksaan yang dijalankan pada waktu dan
masa seperti yang tertera pada pertuduhan yang dihadapkan terhadap
Perayu iaitu:
(a) Perayu tidak hadir untuk mengecop Pasportnya dan terus
kekal berada di dalam kenderaan tersebut sepanjang masa
prosedur pemeriksaan dijalankan di tempat kejadian. Perayu
merupakan penumpang yang terakhir sekali yang
mengisytiharkan P22 sebagai milik beliau kepada SP3;
18
(b) Semasa SP3 memberi arahan kepada semua penumpang
kenderaan tersebut untuk tampil bagi mengenalpasti dan
menunjukkan beg masing-masing kepada SP3, Perayu terus
mengambil P22 dan membuat pengisytiharan P22 hanya
mengandungi pakaian. Beliau hanya menarik keluar
beberapa helai pakaian dari P22 dan enggan mengeluarkan
keseluruhan kandungan P22 untuk diperiksa oleh SP3
walaupun diarah oleh SP3 untuk berbuat demikian. Malah
beliau telah menghalang dan menahan SP3 mengeluarkan
isi kandungan P22;
(c) Disebabkan keengganan Perayu mematuhi arahan SP3
untuk mengeluarkan keseluruhan kandungan P22, bagi
tujuan pemeriksaan, SP3 terpaksa membuat pemeriksaan
sendiri ke atas P22. Pada masa SP3 memasukkan
tangannya ke dalam P22, SP3 menemui dua paket Cannabis
yang tersembunyi di antara lipatan pakaian Perayu yang
berada dalam P22. Turut berada dalam P22 ialah Kad
Pengenalan Thailand Perayu dan Pas Sempadan Thailand
atas nama Perayu;
(d) Sebaik sahaja SP3 menemui P18 dan P19 dalam P22, SP3
terus bertanyakan kepada Perayu melalui penterjemahan
SP4 mengenai kandungan P18 dan P19, Perayu menjawab
dalam keadaan cemas bahawa bungkusan tersebut ialah
“tembakau”; dan
19
(e) Apabila SP3 mengoyak P18 dan P19 di hadapan Perayu dan
sekali lagi bertanya kepada Perayu melalui SP4 apa
sebenarnya berada dalam P18 dan P19, Perayu menjawab
kedua-dua bungkusan itu mengandungi “ganja”. Perayu
terus merayu-rayu kepada SP3 untuk membebaskannya
kerana beliau mempunyai anak yang kecil.
[40] Dalam kes di hadapan kami, terdapat keterangan secara langsung
bahawa Perayu telah melakukan perbuatan pengedaran sepertimana
yang ditakrifkan dalam Seksyen 2 Akta yang berbunyi seperti berikut:
“trafficking” includes the doing of the following acts, that is to say,
manufacturing, importing, exporting, keeping, concealing, buying,
selling, giving, receiving, storing, administering, transporting,
carrying, sending, delivering, procuring supplying or distributing
any dangerous drug otherwise than under the authority of his Act or
the regulations made under the Act.”
[41] Perbuatan Perayu membawa P22 yang mengandungi P18 dan P19
berserta dengan tingkah laku Perayu semasa trak pick-up ditahan SP2
dan selepas P22 ditemui SP3 di tempat kejadian, membuktikan intipati
pengedaran sebenar telah dipenuhi oleh pihak pendakwaan bagi
mengekalkan pertuduhan pengedaran yang dihadapkan terhadap
Perayu.
[42] Kami juga berpuashati melalui tingkah laku Perayu sendiri
sebagaimana yang digambarkan oleh SP3 dalam keterangannya di
Mahkamah membawa inferen bahawa Perayu sebenarnya mempunyai
20
pengetahuan mengenai kandungan P18 dan P19. Keterangan mengenai
tingkah laku Perayu menjadi relevan dan boleh dipertimbangkan oleh
Mahkamah di bawah Seksyen 8 Akta Keterangan 1950. Perayu
mempunyai beban untuk memberi penjelasan mengenai tingkah laku
tersebut. Berdasarkan kepada keterangan yang ada di dalam Rekod
Rayuan di hadapan kami, Perayu telah gagal memberi penjelasan
mengenai tingkah laku Perayu sebagaimana yang kami huraikan
terdahulu dari ini. Beban untuk memberi penjelasan tingkah laku Perayu
ialah relevan di bawah seksyen 9 Akta Keterangan 1952 dan ianya
terletak pada bahu Perayu. Berdasarkan kepada ini, kami berpuashati
terdapat pertalian (nexus) di antara tingkah laku Perayu dengan
perbuatan membawa P22 berserta P18 dan P19 tersebut. Malah
pembelaan Perayu juga tidak bermerit dan merupakan suatu penafian
semata-mata. Kami bersetuju prinsip yang diputuskan dalam kes Parlan
Dadeh v Public Prosecutor [2009] 1 CLJ 717; PP v Alfian [2012] 2
MLJ 357; Prakash Chand v State (Delhi Admn.) [1979] AIR SC 400 di
m.s 404 terpakai dalam kes ini. Apatah lagi dalam kes ini Perayu tidak
menafikan P22 tersebut kepunyaannya dan P18 dan P19 dijumpai dalam
P22. Perayu cuma menafikan P18 dan P19 tersebut kepunyaannya
dengan mengatakan dia tidak pernah membeli dadah tersebut untuk
dihantar kepada seseorang di Changlun.
[43] Kami juga berpuashati dalam kes ini hakim bicara juga telah
membuat penilaian menyeluruh kesemua keterangan yang dikemukakan
di hadapannya. Walaupun pembelaan telah cuba untuk membangkitkan
pembelaan kemungkinan dadah tersebut dimasukkan ke dalam P22 oleh
SP5 dan anaknya, yang pada setiap masa berada di belakang trak pick-
21
up SP4, fakta ini telah disangkal melalui keterangan SP5 yang telah
dianalisa oleh hakim bicara. Hakim bicara berpuashati keterangan SP5
wajar diterima kerana telah tidak dicabar oleh pembelaan melalui
pemeriksaan balas walaupun pembelaan mempunyai peluang
secukupnya pada masa SP5 memberi keterangan. Jelas keterangan
SP5 amat material dalam menyangkal pembelaan Perayu bahawa dadah
tersebut mungkin diletak oleh SP5 atau anaknya, Chai Yut. Kegagalan
pembelaan mencabar keterangan SP5 juga menimbulkan inferens pihak
pembelaan mengakui kebenaran keterangan SP5 tersebut (lihat kes
Wong Siew Chin v PP [1981] 1 MLJ 212). Ini juga boleh menimbulkan
inferens Perayu cuba untuk membangkitkan pembelaan yang difikirkan
semula.
Alasan 6 dan 9 Petisyen Rayuan
[44] Isu seterusnya yang dibangkitkan oleh Perayu ialah pemakaian
peruntukan Seksyen 114 (g) Akta Keterangan 1950. Menurut Perayu
kegagalan pendakwaan memanggil tiga orang saksi yang merupakan
penumpang yang turut berada dalam kenderaan tersebut membawa
inferen sekiranya saksi-saksi ini dipanggil, keterangan yang akan
dikemukakan itu mungkin akan menjejaskan kes pendakwaan. Dengan
lain perkataan Perayu cuba untuk membangkitkan dakwaan
pendakwaan cuba untuk menyembunyikan fakta sebenar dari
didedahkan dalam perbicaraan di Mahkamah.
22
[45] Perayu cuba untuk membangkitkan pembelaan bahawa SP5 dan
anaknya Chai Yut bertanggung jawab meletakkan Cannabis tersebut ke
dalam P22 yang dimiliki Perayu.
[46] Kami perhatikan aspek ini telah dipertimbangkan oleh hakim
bicara. Pihak pendakwaan telah menawarkan kepada Perayu ketiga-tiga
orang saksi tersebut pada tahap akhir kes pendakwaan iaitu, Chaiyut
Niamthiam, Jit Ruyenggrat dan Miss Supawadee Saithao-ian yang
merupakan warga negara Thailand yang turut bersama-sama Perayu
dalam trak pick-up pada hari kejadian. Perayu telah menerima tawaran
pihak pendakwaan tersebut. Namun pada masa kes Pembelaan ketiga-
tiga orang saksi ini tidak dapat dikesan oleh pihak pendakwaan kerana
kesemua mereka telah pulang ke Thailand dan tidak dapat dikesan oleh
pihak pendakwaan.
[47] Perayu telah membangkitkan pembelaan bahawa dua orang
penumpang yang duduk di belakang trak pick-up berkemungkinan
mempunyai “access” kepada P22 dan secara langsungnya menimbulkan
kemungkinan merekalah yang bertanggung jawab meletak P18 dan P19
ke dalam P22 tersebut.
[48] Setelah kami menimbangkan alasan hakim bicara yang menolak
cadangan oleh Perayu yang dinyatakan di atas, kami berpuashati hakim
bicara telah secara betul menerima hujahan pendakwaan bahawa
peruntukan seksyen 114 (g) Akta Keterangan 1950 tidak terpakai bagi
fakta di hadapan kami.
23
[49] Hakim Bicara telah menyatakan tanpa memanggil saksi-saksi ini
tidak bermakna terdapat lompangan dalam kes pendakwaan.
Keterangan yang dikemukakan melalui saksi-saksi yang dipanggil telah
berjaya membuktikan setiap intipati pertuduhan terhadap Perayu. Ini
ialah kerana pihak pendakwaan mempunyai budi bicara untuk
memanggil mana-mana saksi yang difikirkan sesuai untuk membuktikan
intipati pertuduhan terhadap Perayu. Jumlah saksi yang dipanggil tidak
relevan bagi menentukan sesuatu kes di hadapan Mahkamah.
Mahkamah juga tidak akan campur tangan dengan budi bicara pihak
pendakwaan memanggil saksi-saksi bagi membuktikan kesnya di
Mahkamah kecuali jika dapat dibuktikan pihak pendakwaan telah
dipengaruhi dengan tujuan yang serong. Ini ialah prinsip undang-undang
yang mantap (lihat kes Abdullah Zawawi v PP [1985] 2 MLJ 16; Teoh
Chye v Public Prosecutor [1987] 1 MLJ 220 ; Adel Muhammed El
Dabbah v AG for Palestine [1944] AC 156).
[50] Bagi dakwaan pembelaan, bahawa pihak pendakwaan telah
sengaja menyembunyikan keterangan yang penting di dalam
perbicaraan, hakim bicara menyatakan bahawa berdasarkan kepada
fakta di sekeliling kes ini tidak terbuka kepada pihak pembelaan untuk
membangkitkan anggapan di bawah seksyen 114 Akta Keterangan
1950. Anggapan ini hanya terpakai jika pihak pendakwaan dengan
sengaja menghilangkan atau menyembunyikan keterangan yang penting
dari pihak lawan (lihat kes Munusamy Vengadasalam v Public
Prosecutor [1987] CLJ (Rep) 221).
24
[51] Hakim bicara berpuashati saksi-saksi yang ditawarkan tersebut
telah meninggalkan negara ini setelah Perayu dibebas dan dilepaskan
oleh Mahkamah Tinggi. Pada ketika itu tidak ada keperluan untuk
meletakkan saksi-saksi ini di dalam tahanan di negara ini sementara
rayuan pihak pendakwaan dibicarakan di Mahkamah Rayuan Malaysia.
Walaupun dalam keadaan biasa, pihak pendakwaan hendaklah
memastikan saksi yang ditawarkan kepada pembelaan bersedia untuk
hadir bagi memberi keterangan bagi pihak pembelaan, jika diperlukan
seperti yang diputuskan dalam kes Yusri bin Pialmi v PP [2010] 3 MLJ
45. Namun dalam kes di hadapan hakim bicara, Mahkamah harus
melihat sama ada terdapat keperluan untuk saksi-saksi ini dipanggil.
Adalah tidak munasabah bagi pihak pendakwaan untuk mendapatkan
perintah menahan saksi-saksi ini sehingga selesai rayuan pihak
pendakwaan didengar di Mahkamah Rayuan Malaysia tertakluk kepada
rayuan pendakwaan dibenar dan Perayu diarahkan untuk membela diri.
Dalam situasi ini tidak timbul alasan bahawa pihak pendakwaan ingin
memyembunyikan keterangan dari pembelaan.
[52] Jelas daripada apa yang dihuraikan di atas tidak terbuka kepada
pihak pembelaan untuk membangkitkan anggapan di bawah seksyen
114 (g) Akta Keterangan 1950. Jelas dalam keadaan kes ini tidak ada
elemen untuk menyembunyikan keterangan daripada dikemukakan di
Mahkamah. Kegagalan pihak pendakwaan mengemukakan saksi-saksi
yang ditawarkan tidak boleh dianggap bahawa pihak pendakwaan
dengan sengaja berhasrat menyembunyikan keterangan material
daripada pembelaan. Perkara ini sudah diperjelaskan oleh pendakwaan
di dalam perbicaraan dan diterima hakim bicara.
25
Alasan 7 Petisyen Rayuan
[53] Berhubung dengan isu ketelusan terjemahan yang dibuat oleh SP4
kepada SP3, kami berpuashati bahawa keterangan ini ialah keterangan
tambahan kepada keterangan yang kukuh yang telah berjaya dibuktikan
oleh pihak pendakwaan melalui saksi-saksi seperti SP3 yang
diperkuatkan lagi dengan keterangan melalui tingkah laku Perayu seperti
yang telah kami bincangkan di sini. Keterangan jelas menunjukkan pada
masa material Perayu mempunyai pengetahuan bahawa beliau sedang
melakukan perbuatan pengedaran dadah dengan membawa P22 yang
mengandungi P18 dan P19 melepasi sempadan Thailand-Malaysia (lihat
Chua Beow Huat v Public Prosecution [1970] 2 MLJ 29). Walaupun
keterangan SP4 tidak dipertimbangkan, terdapat keterangan jelas
daripada SP3 bahawa P18 dan P19 yang diperoleh dari P22 milik
Perayu. Keterangan ini disokong dengan tingkah laku Perayu yang gagal
diperjelaskan oleh Perayu kepada Mahkamah. Kami juga bersetuju
dengan pihak pendakwaan bahawa terdapat keterangan yang cukup
tanpa perlu keterangan sokongan daripada SP4. SP3 juga merupakan
seorang pegawai kastam yang kredibilitinya tidak dicabar oleh
pembelaan. Keterangan seorang saksi adalah mencukupi jika saksi
tersebut merupakan saksi yang kredibel (lihat Md Zainudin Raujan v
Public Prosecutor [2013] 4 CLJ 21).
Alasan 8 Petisyen Rayuan
[54] Berhubung dakwaan pembelaan, hakim bicara telah gagal untuk
membuat penilaian keterangan yang dikemukakan pembelaan kerana
26
berkemungkinan P18 dan P19 kepunyaan SP4, kami telah meneliti
keterangan SP4 yang menyatakan P22 tersebut telah diletak oleh Perayu
sendiri ke boot trak pick-up SP4. Perayu mendakwa tiada orang lain di
boot trak pick-up tersebut selain SP5 dan anaknya, Chai Yut. Namun
seperti yang telah dibincangkan tadi, Perayu telah gagal untuk menyoal
balas SP5. Keterangan SP5 bahawa beliau dan anaknya tidak
meletakkan P18 dan P19 ke dalam P22 telah tidak dicabar langsung oleh
pembelaan. Malahan seperti yang telah kami huraikan dengan panjang
lebar tingkah laku Perayu sendiri telah membawa inferen Perayu
melakukan perbuatan mengedar dadah tersebut. Jelas juga kepada kami
pembelaan Perayu tidak konsisten.
[55] Di atas dakwaan pembelaan bahawa pihak pendakwaan telah
gagal untuk mengambil cap jari pada barang kes yang ditemui bagi
membuktikan tidak terdapat cap jari orang lain selain Perayu, kami juga
bersetuju dengan hujahan pendakwaan bahawa dengan keterangan
yang ada di hadapan hakim bicara, fakta ini tidaklah begitu signifikan bagi
menunjukkan kebersalahan Perayu dalam pertuduhan yang dihadapkan
terhadapnya (lihat kes Public Prosecutor v Mansor Md. Rashid & Anor
[1997] 1 CLJ 233 di muka surat 235).
Penutup
[56] Berdasarkan kepada alasan-alasan yang kami huraikan terdahulu
daripada ini, kami sebulat suara menolak rayuan Perayu dan
27
mengekalkan keputusan hakim bicara terhadap sabitan dan hukuman.
Kami berpuashati sabitan dan hukuman selamat.
t.t.
(ASMABI BINTI MOHAMAD) Hakim
Mahkamah Rayuan Malaysia Bertarikh: 5 Julai 2017 Peguamcara Perayu: Tetuan Aimi Zainuritha & Co No. 272-1B, Jalan Haruan 5/7 Oakland Commercial Centre 70300 Seremban Negeri Sembilan Pendakwaan: Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Peguam Negara Bahagian Perbicaraan & Rayuan Aras 5, No. 45, Lot 4G7 Presint 4, Persiaran Perdana 62100 Putrajaya