ikatan #20

4

Click here to load reader

description

Buletin rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA Mesir).

Transcript of ikatan #20

Page 1: ikatan #20

I mam Al-Ghazali dalam Ihya' menyebut bahawa perkataan sabar diulangi sebanyak lebih 70 tempat di

dalam Al-Quran. Beberapa ilmuwan lain pula berpendapat 90, malah 100 tempat. Sifat yang paling banyak disebut dalam Al-Quran adalah sifat sabar. Selain itu, jika penelitian dibuat terhadap akhlak yang paling menonjol pada generasi awal adalah kesabaran mereka dalam mempertahankan akidah mereka. Persoalannya, mengapakah akhlak ini begitu istimewa dan penting? KEISTIMEWAAN MANUSIA Allah menganugerahkan manusia dengan fitrah yang tidak dimiliki oleh makhluk lain. Imam Al-Ghazali mengulas bahawa sifat sabar merupakan keistimewaan manusia. Tidak seperti binatang atau malaikat. Binatang contohnya, tidak langsung memiliki sabar. Segala orientasi kehidupannya adalah berdasarkan dorongan dan kehendak nafsu tanpa sebarang kawalan. Jika manusia tidak bersabar dalam mengawal nafsunya, maka dia tidak ubah seperti binatang. Manakala malaikat pula sebaliknya. Sabarnya terlalu sempurna kerana hayatnya adalah ketaatan mutlak kepada Allah. Tanpa sebarang rasa malas dan tarikan nafsu. Segala kehidupan mereka adalah ibadah yang berterusan dan tanpa henti. Manusia memilki nafsu yang hanya dapat dikawal dengan ikhlas dan sabar. Nafsu perlu ditekan dan dididik agar terbentuk menjadi nafs mutmainnah. Jiwa yang mendapat keredhaan Allah di akhirat kelak. SABAR ITU CAHAYA Dilaporkan oleh Muslim bahawa Nabi Sallallahu alaihi wasallam bersabda: "Dan sabar itu dhiya' (cahaya)." Dhiya'

MENARIK DI DALAM:

“Akibatnya penduduk Islam terpaksa berlindung di dalam rumah masing-masing untuk menyelamatkan diri…” Bila April Tiba, Dari Meja Suri

“… kita akan sukar mempunyai kawan yang sanggup membantu kita dalam kesukaran.” Adab Dalam Berkomunikasi, Interaktif

Page 2: ikatan #20

merupakan cahaya yang memiliki kepanasan dan bersifat membakar; seperti cahaya matahari. Simbolik Nabi Sallallahu alaihi wasallam menggunakan perkataan dhiya' diulas oleh ilmuwan dengan menarik sekali. Mereka mengatakan bahawa mengamalkan sifat sabar merupakan satu perkara yang berat dan memerlukan seorang muslim itu untuk melawan nafsunya. Dan barangsiapa yang mendapati sabar dalam hatinya, maka dia sentiasa akan mendapat petunjuk dalam kehidupannya menuju Allah. Besarnya akhlak sabar ini difahami hakikatnya oleh Ibnu Al-Qayyim ketika berkata: "Sabar itu separuh iman." TELADAN DALAM SABAR R a s u l U l u l A z m i merupakan teladan terbaik buat kita dalam mempraktiskan sifat sabar. Perkara ini diperintahkan oleh Allah dalam Al-Quran: "Dan bersabarlah seperti mana sabarnya Rasul Ulul Azmi". Kesabaran Nabi Nuh, Ibrahim, Musa, Isa, dan Muhammad Sallallahu alaihi wasallam dalam menghadapi kaum mereka merupakan kisah yang mesti dicontohi oleh kita. Nabi Nuh tetap bersabar dengan kaum yang menolak dakwahnya meskipun telah berlalu hampir 950 tahun

menyampaikan dakwah kepada mereka. Nabi Ibrahim pula mentaati Allah dengan penuh kesabaran ketika diperintahkan untuk menyembelih Nabi Ismail. Segala tentangan dan kezaliman yang dilakukan oleh Firaun dihadapi oleh Nabi Musa dengan sabar yang tinggi. Kaum Nabi Isa menolak dakwah dan cuba membunuh baginda, semua itu ditangani dengan sabar. Nabi Muhammad Sallallahu alaihi wasallam sebagai penutup segala nabi memiliki sifat sabar yang sangat menonjol dalam sirah baginda. SABAR DALAM KETAATAN Ketika mentaati Allah dan menjauhi larangannya, kita memerlukan kesabaran yang tinggi. Semua ibadah yang disyariatkan bersifat bertentangan dengan kehendak hawa nafsu kita. Bangun untuk solat malam contohnya, memerlukan mujahadah dan hati yang kental. Begitu juga untuk konsisten membaca Al-Quran satu juz setiap hari, hanya mereka yang memiliki sabar dapat melaksanakannya. Apabila maksiat terpampang di hadapan mata, dan kita dapat menjaga keimanan kita, itu

adalah bukti kesabaran kita dalam mentaati Allah. Kita bersabar terhadap apa yang disukai oleh hawa nafsu kerana mengutamakan perintah Allah, dan itu adalah kemuncak muraqabah. SABAR DALAM MENDIDIK DIRI Sudah menjadi satu undang-undang dalam kehidupan bahawa tiada perkara yang berlaku dengan sekelip mata. Segala usaha mendidik diri kita menjadi lebih baik juga memerlukan masa dan kesabaran yang tinggi. Segala bebanan yang dihadapi dalam tarbiyah perlu d i p i k u l d e n g a n p e n u h tanggungjawab. Keberhasilan dalam proses tarbiyah banyak bergantung kepada sejauh mana kita bersabar dalam menghadam dan mengamalkan segala makna-makna tarbawi yang diperolehi dalam program tarbiyah.

Bangun untuk solat malam contohnya, memerlukan mujahadah dan hati yang

kental.

TOKOH DALAM ARTIKEL INI: Nuh AS Ibrahim AS Musa AS Isa AS Muhammad SAW (570-632M) Imam Muslim (817-875M)

Imam Al-Ghazali (1058-1111M)

Ibnu Qayyim (1292-1350M)

GLOSSARI Nafs mutmainnah النفس( jiwa yang tenang :المطمئنة(Dhiya’)الضياء(: cahaya Ulul Azmi )أولوا العزم(: yang memiliki azam yang tinggi; Nuh, Ibrahim, Musa, Isa dan Muhammad alaihim as-solat wa as-salam Muraqabah )المراقبة(: rasa sentiasa diperhatikan Allah

INTERAKTIF: Bagaimanakah anda bersabar dengan kesusahan hidup sebagai seorang mahasiswa Malaysia yang hidup di Mesir? (Dapatkan link ke Facebook ISMA-Mesir di ismamesir.com untuk kongsikan pendapat anda dengan pembaca-pembaca lain)

Page 3: ikatan #20

~Dari Meja Suri~

BILA APRIL TIBA

Salam buat semua pembaca. Mudah-mudahan sentiasa sihat hendaknya.

Bila bulan April tiba, terdapat satu budaya barat yang meresap dalam sebilangan umat Islam khususnya golongan muda iaitu

sambutan Fool’s Day atau April Fool. Para pembaca sendiri mungkin sudah maklum akan jauhnya budaya ini dari Islam dan pasti tidak mengamalkannya. Namun Suri masih bimbang jika ia tidak difahami dan disampaikan, pengaruh pemikiran barat

ini akan berleluasa hingga generasi selepas kita dan mungkin ada yang akan mengatakan ia tidak bertentangan dengan Islam. Hakikatnya, ada sahaja golongan muda hari ini

menerimanya secara membuta tuli tanpa usul periksa atau sekadar suka-suka mengikut rakan-rakan di sekeliling.

Jadi, Suri nak kongsi sedikit apa yang Suri tahu tentang sejarah sambutan April Fool ini. Mungkin ada yang dah tahu tapi apa salahnya kita berkongsi kan? Yang Suri tahu ia mula diraikan sewaktu kejatuhan kerajaan Islam yang bertapak berkurun lamanya di Granada,

Sepanyol. Waktu itu umat Islam ditawan oleh tentera Kristian. Akibatnya, penduduk Islam terpaksa berlindung di dalam rumah masing-masing untuk menyelamatkan diri. Tentera

Kristian ternyata tidak berpuas hati dan cuba menghapuskan seluruh umat Islam dari bumi Sepanyol.

Oleh itu, mereka membuat satu helah dengan memberitahu penduduk Islam bahawa mereka boleh keluar dari Sepanyol dengan selamat bersama barang keperluan mereka. Umat Islam

yang mempercayainya telah meninjau di pelabuhan dan berpuas hati lalu memutuskan untuk bertolak pada keesokannya hari iaitu pada tarikh 1 April.

Keesokan harinya, mereka keluar membawa kesemua barangan dan menuju ke pelabuhan.

Pada ketika itulah, tentera Kristian menyerang penduduk Islam. Mereka tidak sempat menaiki kapal kerana semuanya telah dibakar. Manakala orang Islam yang berada di sekitar telah

dibunuh tanpa mengira lelaki, perempuan atau kanak-kanak.

Peristiwa berdarah itu kemudian diraikan oleh tentera Kristian yang kemudiannya menjadi acara tahunan meraka. Apa yang menyedihkan, orang-orang Islam juga terikut-ikut dan merayakannya dengan mengenakan dan memperbodohkan orang lain tanpa menyedari

bahawa mereka sebenarnya meraikan ulangtahun pembunuhan beramai-ramai saudara se-Islam mereka sendiri.

Ini merupakan satu penghinaan halus ke atas umat Islam. Kita tidak wajar berkiblatkan

budaya barat apatah lagi mengagungkannya kerana Islam agama yang tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi darinya. Tambahan pula, Islam telah menggariskan adab-adab gurau senda

tanpa menipu dan menganiayai orang lain. Akhir kalam, Suri mengajak semua untuk renungi sebuah hadis Rasulullah Sallallahu alaihi

wasallam yang bermaksud:

“Kamu pasti akan mengikuti jejak-jejak orang-orang sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta hingga mereka masuk ke dalam lubang biawak sekalipun, pasti kamu

tetap mengikuti mereka”. Kami bertanya”Wahai Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam, Yahudi dan Nasrani? Baginda menjawab, “Lalu siapa lagi kalau bukan mereka.”

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Page 4: ikatan #20

Untuk sesi interaktif kali ini, pihak buletin telah mengumpulkan beberapa kalimat-kalimat bermakna daripada responden-responden mengenai pandangan mereka mengenai kepentingan adab-adab dalam berkomunikasi yang selari dengan sifat sabar sebagaimana yang tersebut dalam ruangan fokus. KEPENTINGAN ADAB DALAM KOMUNIKASI Amir Hamzah Ishak Hurm, boleh mengelakkan daripada percakapan kita disalah tafsir barangkali? Makna lebih mudah sampai dan boleh memberi kesan kepada hati. Ia juga menunjukkan keperibadian kepada mad’u dan lebih mudah didekati... Perubatan Kaherah

Hafizuddin Jamil Adab dalam berkomunikasi perlu dijaga. Mendengar, meneliti, mentashih sebelum membuat apa-apa kenyataan dan jangan cepat melatah dalam membalas atau membahas sesuatu isu. Lughah Kaherah

Wan Hilmi Sebagai aset penting tambahan pula dalam aspek hubungan mad’u dan daie. Tanpa sabar dan adab dalam berbicara maka akan hilanglah kemesraan sesama teman. Perubatan Kaherah

CONTOH TENTANG ADAB DALAM BERKOMUNIKASI YANG PERNAH DILALUI Hasan Syahidi Contoh yang pernah ana lalui sendiri ialah berkenaan dengan sifat murah dengan senyuman. Seseorang yang baru melalui perjalanan jauh dan penat jika disambut dengan senyuman dan layanan yang ramah (yang datang dari hati yang ikhlas) oleh tuan rumah, nescaya akan menghilangkan terus rasa penat lelah beliau itu. Lughah Kaherah

Anas Yusoh Penting untuk menjaga hubungan dengan masyarakat,mengelakkan sakit hati,sebagai tanda menghormati orang lain. Pernah seorang murid dengan guru bertumbuk di sekolah disebabkan murid tersebut memanggil nama guru tersebut tanpa gelaran 'cikgu'. Tanpa adab dalam berkomunikasi maka jadilah seseorang itu seorang yang kurang ajar, kurang adab. Perubatan Kaherah

KERUGIAN TANPA ADAB DALAM BERKOMUNIKASI Ali Baharom Hilang kecercayaan sebagai seorang manusia kepada manusia lain. Hilang kepercayaan sebagai seorang da’ie dan boleh merosakkan imej agama islam. Mendapat kemurkaan Allah SWT. Syariah Kaherah

Aiman Farhan Tanpa adab dalam komunikasi, seorang insan itu hubungannya dengan insan lain tidak mempunyai roh. Orang yang ikhlas dalam berhubungan akan mempunyai rasa hormat terhadap temannya itu. Dari rasa hormat ini akan timbul rasa untuk beradab dalam berkomunikasi. Tanpa adab ini, bukan saja tiada keuntungan diperolehi malah rugi didapati. Ini adalah sangat merugikan. Ini sahaja sudah merupakan kerugian yang sangat besar. Antara kerugian lain adalah, kita akan sukar mempunyai kawan yang sanggup membantu kita dalam kesukaran. Perubatan Kaherah

Buletin ini diterbitkan oleh Biro Media, Ikatan Muslimin Malaysia Mesir (ISMA-Mesir). Sebarang maklumbalas amat dialu-alukan. Kenali kami menerusi laman web-laman web di bawah: ismaweb.net ismamesir.com tanta.ismamesir.com mansurah.ismamesir.com iskandariah.ismamesir.com E-mel: [email protected]