KEBERKESANAN MEMPELAJARI ILMU QIRAAT - … Mempelajari Ilmu... · 1 KEBERKESANAN MEMPELAJARI ILMU...

14
1 KEBERKESANAN MEMPELAJARI ILMU QIRAAT: ANTARA HARAPAN, CABARAN DAN PENYELESAIAN MASALAH Oleh: Muhammad Hafiz bin Saleh Abd Muhaimin bin Ahmad Norazman bin Alias [email protected] [email protected] [email protected] Pengajian ilmu qiraat di Malaysia kini bukan lagi suatu yang asing. Hampir setiap institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang menawarkan pengajian Islam di negara ini turut menawarkan ilmu qiraat kepada mahasiswa dan mahasiswi mereka. Ini kerana ilmu qiraat berkait rapat dengan pelbagai disiplin ilmu terutamanya dalam bidang tafsir al-Quran. Namun begitu, tidak dinafikan bahawa perkembangan ilmu qiraat di negara ini masih pada peringkat pengukuhan di mana institusi-institusi pengajian tempatan mula mengorak langkah dan berusaha untuk mengembangkan ilmu ini. Dalam menempuhi peringkat ini, pelbagai cabaran harus dilalui demi mencapai harapan dan hasrat yang disasarkan. Antara cabaran utama yang menjadi tumpuan adalah keberkesanan mempelajari ilmu qiraat dan kaedah pengajaran yang paling sesuai digunakan dalam menyampaikan ilmu ini. Melalui kertas kerja ini, pandangan daripada ahli-ahli yang arif dan berpengalaman dalam bidang qiraat akan dijadikan sebagai landasan bagi menempuh cabaran tersebut sekaligus merungkai masalah pengajaran dan pembelajaran yang berkaitan dengan pengajian ilmu ini. 1.0 Pendahuluan Perkembangan pengajian ilmu qiraat di negara ini merupakan fenomena yang dapat diperhatikan sejak beberapa dekad yang lalu. Ia dapat dilihat menerusi penawaran institusi pengajian tinggi awam dan swasta terhadap kursus-kursus yang berkaitan dengan pengajian qiraat. Malahan, subjek qiraat juga diterapkan kepada para pelajar di sekolah menengah agama menerusi Kelas Kemahiran Membaca dan Menghafaz al-Quran (KKQ). Ini menunjukkan bahawa pengajian ilmu qiraat semakin mendapat perhatian dalam kalangan para pelajar yang menuntut dalam bidang pengajian Islam. Tidak dapat disangkal bahawa fenomena ini menggambarkan bahawa pembelajaran ilmu qiraat adalah penting kerana ia merupakan sebahagian daripada ilmu pengetahuan yang berkaitan dengan bacaan al-Quran.

Transcript of KEBERKESANAN MEMPELAJARI ILMU QIRAAT - … Mempelajari Ilmu... · 1 KEBERKESANAN MEMPELAJARI ILMU...

Page 1: KEBERKESANAN MEMPELAJARI ILMU QIRAAT - … Mempelajari Ilmu... · 1 KEBERKESANAN MEMPELAJARI ILMU QIRAAT: ANTARA HARAPAN, CABARAN DAN PENYELESAIAN MASALAH Oleh: Muhammad Hafiz bin

1

KEBERKESANAN MEMPELAJARI ILMU QIRAAT: ANTARA HARAPAN, CABARAN DAN PENYELESAIAN MASALAH

Oleh:

Muhammad Hafiz bin Saleh Abd Muhaimin bin Ahmad

Norazman bin Alias [email protected]

[email protected] [email protected]

Pengajian ilmu qiraat di Malaysia kini bukan lagi suatu yang asing. Hampir setiap institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang menawarkan pengajian Islam di negara ini turut menawarkan ilmu qiraat kepada mahasiswa dan mahasiswi mereka. Ini kerana ilmu qiraat berkait rapat dengan pelbagai disiplin ilmu terutamanya dalam bidang tafsir al-Quran. Namun begitu, tidak dinafikan bahawa perkembangan ilmu qiraat di negara ini masih pada peringkat pengukuhan di mana institusi-institusi pengajian tempatan mula mengorak langkah dan berusaha untuk mengembangkan ilmu ini. Dalam menempuhi peringkat ini, pelbagai cabaran harus dilalui demi mencapai harapan dan hasrat yang disasarkan. Antara cabaran utama yang menjadi tumpuan adalah keberkesanan mempelajari ilmu qiraat dan kaedah pengajaran yang paling sesuai digunakan dalam menyampaikan ilmu ini. Melalui kertas kerja ini, pandangan daripada ahli-ahli yang arif dan berpengalaman dalam bidang qiraat akan dijadikan sebagai landasan bagi menempuh cabaran tersebut sekaligus merungkai masalah pengajaran dan pembelajaran yang berkaitan dengan pengajian ilmu ini.

1.0 Pendahuluan

Perkembangan pengajian ilmu qiraat di negara ini merupakan fenomena yang dapat

diperhatikan sejak beberapa dekad yang lalu. Ia dapat dilihat menerusi penawaran

institusi pengajian tinggi awam dan swasta terhadap kursus-kursus yang berkaitan dengan

pengajian qiraat. Malahan, subjek qiraat juga diterapkan kepada para pelajar di sekolah

menengah agama menerusi Kelas Kemahiran Membaca dan Menghafaz al-Quran (KKQ).

Ini menunjukkan bahawa pengajian ilmu qiraat semakin mendapat perhatian dalam

kalangan para pelajar yang menuntut dalam bidang pengajian Islam. Tidak dapat

disangkal bahawa fenomena ini menggambarkan bahawa pembelajaran ilmu qiraat adalah

penting kerana ia merupakan sebahagian daripada ilmu pengetahuan yang berkaitan

dengan bacaan al-Quran.

Page 2: KEBERKESANAN MEMPELAJARI ILMU QIRAAT - … Mempelajari Ilmu... · 1 KEBERKESANAN MEMPELAJARI ILMU QIRAAT: ANTARA HARAPAN, CABARAN DAN PENYELESAIAN MASALAH Oleh: Muhammad Hafiz bin

2

2.0 Definisi Ilmu Qiraat

Menurut Imam Ibn al-Jazari: Ilmu Qiraat merupakan ilmu yang menjelaskan kaedah

menyebut kalimah-kalimah di dalam al-Quran di samping menjelaskan perbandingan

bacaan antara imam-imam qiraat.1 Ini menunjukkan bahawa bacaan al-Quran dan ilmu

tajwid yang dipelajari dan diamalkan pada hari ini merupakan salah satu jenis bacaan

yang terdapat di dalam pengajian ilmu qiraat iaitu menurut bacaan riwayat Hafs daripada

Imam Asim.

Namun begitu, ruang lingkup ilmu qiraat tidak terbatas sekadar pada bacaan al-

Quran sahaja, bahkan ianya turut memainkan peranan yang besar dalam memahami

pengajian tafsir al-Quran, permasalahan fekah dan akidah. Memandangkan kepentingan

dan hubung kait ilmu qiraat dengan ilmu-ilmu yang lain, ianya amat wajar dipelajari oleh

para pelajar yang mengambil jurusan pengajian Islam tanpa membatasi peringkat usia.

3.0 Pengajian Ilmu Qiraat di Malaysia

Menurut kajian yang dilakukan, pengajian ilmu qiraat di Malaysia secara formal bermula

seawal tahun 1966 dengan tertubuhnya Maahad Tahfiz al-Quran wal Qiraat di Pusat

Islam, Kuala Lumpur. Penubuhan institusi pertama qiraat ini merupakan cetusan idea

Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman sewaktu Rektor

Universiti al-Azhar, Syeikh Muhammad Syaltut membuat lawatan ke Malaysia.2 Sejak

penubuhan Maahad Tahfiz al-Quran wal Qiraat yang pertama ini, maka bermulalah

perkembangan ilmu qiraat di negara ini secara rasminya.

Selepas beberapa dekad penubuhan Maahad Tahfiz al-Quran wal Qiraat di Kuala

Lumpur, lahir pula beberapa institusi tahfiz yang turut menawarkan pengajian ilmu qiraat

menurut kronologi berikut:

i. Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Melaka (1990);

ii. Institut Tahfiz al-Quran Negeri Sembilan (1991);

iii. Maahad Tahfiz Negeri Pahang (1996); dan

iv. Maahad Tahfiz al-Quran wal Qiraat Istana Alaeddin Bandar (1996).

1 Ibn al-Jazari, Taqrib al-nashr fi al-Qira’at al-Ashr, ed. Muhammad Ali Baidun, (Beirut: Dar al-Kutub al-

Ilmiyyah, 2002), 3. 2 http://www.darulquran.gov.my/sejarah.html

Page 3: KEBERKESANAN MEMPELAJARI ILMU QIRAAT - … Mempelajari Ilmu... · 1 KEBERKESANAN MEMPELAJARI ILMU QIRAAT: ANTARA HARAPAN, CABARAN DAN PENYELESAIAN MASALAH Oleh: Muhammad Hafiz bin

3

Selain daripada institusi tahfiz, terdapat juga beberapa institusi pengajian tinggi

yang turut menawarkan kursus pengajian ilmu qiraat seperti Universiti Kebangsaan

Malaysia seawal tahun 1980, Institut Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman (1995);

Kolej Pengajian Islam Johor (1997).3

Setelah melangkah ke tahun 2000, perkembangan pengajian ilmu qiraat semakin

pesat sehingga begitu banyak institusi pengajian tinggi yang menawarkan kursus

pengajian ilmu qiraat kepada para pelajar. Keunikan kursus ini dapat dilihat menerusi

nama-nama yang diberikan kepadanya kerana ia bukan hanya dikenali dengan satu nama

seperti ilmu qiraat, bahkan terdapat pelbagai nama yang diberikan kepada kursus

pengajian qiraat seperti berikut:

i. Pengantar Ilmu Qiraat dan Hafazan;

ii. Qiraat Ilmi;

iii. Qiraat Amali;

iv. Qiraat Asyarah;

v. Ilmu Qiraat;

vi. Metodologi Pengajaran Ilmu Qiraat;

vii. Pengajian Qiraat;

viii. Tarikh al-Qurra’;

ix. Mutun Tahriri dan lain-lain.

Selain daripada institusi pengajian tinggi, Jabatan Pendidikan Islam dan Moral di

bawah Kementerian Pelajaran Malaysia telah diamanahkan untuk mewujudkan Kelas

Kemahiran Membaca dan Menghafaz al-Quran (KKQ). Ia merupakan sebahagian

daripada aktiviti ko-kurikulum di sekolah di mana ia turut menerapkan pengajian ilmu

qiraat kepada para pelajar. Menerusi aktiviti ini para pelajar didedahkan dengan

pengenalan terhadap imam-imam qiraat serta cara bacaan mereka menerusi surah-surah

lazim bermula dari Surah al-Nas kepada Surah al-Dhuha.4

3 Muhammad Hafiz, Comparative Study On The Science Of Qiraat In Higher Education Institutions In

Malaysia, (MA Tesis, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, 2010), 4 http://spikel.bpi.edu.my/index.php?view=article&catid=3%3Akurikulum&id=86%3Akelas-kemahiran-al-

quran&format=pdf&option=com_content&Itemid=49

Page 4: KEBERKESANAN MEMPELAJARI ILMU QIRAAT - … Mempelajari Ilmu... · 1 KEBERKESANAN MEMPELAJARI ILMU QIRAAT: ANTARA HARAPAN, CABARAN DAN PENYELESAIAN MASALAH Oleh: Muhammad Hafiz bin

4

Pengajian ilmu qiraat turut mendapat perhatian masyarakat awam yang dahagakan

ilmu berkaitan al-Quran. Pelbagai program pengajian al-Quran yang disediakan turut

mendedahkan pengajian ilmu qiraat kepada peserta yang mengikuti program tersebut.

Sebagai contoh, Universiti Sains Islam Malaysia menawarkan program sepanjang hayat

menerusi Program Persijilan Talaqqi al-Quran yang dibuka kepada masyarakat awam.

Kelas yang dijalankan pada setiap hujung minggu ini menawarkan beberapa subjek

berkaitan ilmu al-Quran seperti Ilmu Tajwid, Talaqqi al-Quran, Pengantar Ulum al-Quran

dan termasuklah Pengantar Ilmu Qiraat.5 Selain Universiti Sains Islam Malaysia, terdapat

beberapa lagi institusi yang menawarkan program seumpamanya seperti Universiti Islam

Antarabangsa Malaysia, Kolej Universiti Islam Selangor dan lain-lain.

4.0 Objektif Pembelajaran Ilmu Qiraat

Menurut kajian yang dilakukan terhadap institusi pengajian tinggi awam, setiap kursus

atau subjek qiraat mempunyai objektif yang hampir sama walaupun menggunakan nama

yang berbeza. Antara objektif atau penekanan yang ditumpukan dalam pembelajaran ilmu

qiraat adalah seperti berikut:6

i. Memberikan pengenalan yang jelas terhadap ilmu qiraat seperti definisi,

objektif, sumber, dalil serta bahan rujukan;

ii. Memberikan penjelasan mengenai peranan ilmu qiraat dan hubungannya

dengan al-Quran;

iii. Menjelaskan beberapa ilmu lain yang berkaitan dengan ilmu qiraat secara

umum seperti Ilmu tajwid, Ilmu Rasm dan Dhabt al-Quran serta Ilmu al-

Fawasil. Ini kerana ilmu-ilmu ini berkait rapat di antara satu sama yang lain;

iv. Menerangkan latar belakang imam-imam qiraat tujuh atau sepuluh serta

perawi mereka. Di samping itu, penekanan juga diberi terhadap kaedah bacaan

al-Quran bagi setiap perawi tersebut secara umum; dan

v. Mempraktikkan bacaan bagi setiap imam qiraat beserta perawi mereka dengan

menumpukan kepada surah-surah tertentu di dalam al-Quran. Terdapat

5 http://phip.usim.edu.my/ms/perkhidmatan/program-pengajian/sepanjang-hayat/101-talaqqi-al-quran.html

6 Maklumat ini berdasarkan kepada temubual dengan pensyarah-pensyarah yang mengajar kursus ilmu

qira’at di Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Islam Malaysia dan Kolej Universiti Islam Selangor.

Page 5: KEBERKESANAN MEMPELAJARI ILMU QIRAAT - … Mempelajari Ilmu... · 1 KEBERKESANAN MEMPELAJARI ILMU QIRAAT: ANTARA HARAPAN, CABARAN DAN PENYELESAIAN MASALAH Oleh: Muhammad Hafiz bin

5

sebahagian daripada institusi yang memilih juzuk Amma, ada pula yang

memilih surah pilihan seperti Surah al-Sajadah dan Surah al-Insan, manakala

ada yang memilih Surah al-Baqarah.

5.0 Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Qiraat yang Berkesan

Daripada sudut pengajaran dan pembelajaran ilmu qiraat pula, kaedah yang digunakan

adalah hampir serupa di antara satu institusi dengan institusi yang lain. Antara kaedah

yang digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran adalah seperti berikut:7

1. Penyampaian di dalam dewan kuliah

Menerusi kaedah ini, para pensyarah atau guru akan memberikan penyampaian

kepada pelajar dalam jumlah yang ramai. Kadangkala jumlah ini boleh mencecah

300 orang pelajar. Pengajaran adalah berdasarkan kepada rangka kursus yang

telah ditetapkan. Antara penekanan dalam pembelajaran ilmu qiraat menerusi

kaedah ini adalah berbentuk teori dan merangkumi topik-topik berikut:

i. Objektif pembelajaran ilmu qiraat;

ii. Kelebihan mempelajari ilmu qiraat;

iii. Definisi ilmu qiraat;

iv. Latar belakang imam-imam qiraat beserta perawi mereka;

v. Manhaj atau kaedah bacaan bagi setiap imam dan perawi merka;

vi. Istilah-istilah khas yang digunakan dalam ilmu qiraat; dan

vii. Cara sebutan bagi bacaan yang jarang atau tiada langsung dalam bacaan

riwayat Hafs daripada Imam Asim.

2. Penyampaian di dalam kelas tutorial

Selain daripada pengajaran di dalam dewan kuliah, para pensyarah atau guru turut

memanfaatkan kelas tutorial untuk memantapkan pengetahuan para pelajar. Di

dalam kelas tutorial, jumlah para pelajar adalah terhad antara 10 hingga 30 orang

pelajar sahaja. Interaksi dua hala antara pensyarah atau guru dengan para pelajar

7 Maklumat ini berdasarkan kepada temubual dengan pensyarah-pensyarah yang mengajar kursus ilmu

qira’at di Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Islam Malaysia dan Kolej Universiti Islam Selangor.

Page 6: KEBERKESANAN MEMPELAJARI ILMU QIRAAT - … Mempelajari Ilmu... · 1 KEBERKESANAN MEMPELAJARI ILMU QIRAAT: ANTARA HARAPAN, CABARAN DAN PENYELESAIAN MASALAH Oleh: Muhammad Hafiz bin

6

diterapkan menerusi kaedah ini agar dapat memberi peluang kepada para pelajar

bersoal-jawab dan berbincang berkaitan ilmu qiraat dengan lebih mendalam.

Antara penekanan dalam pembelajaran ilmu qiraat menerusi kaedah ini adalah

seperti berikut:

i. Pembentangan ilmu qiraat daripada para pelajar;

ii. Bacaan al-Quran menurut bacaan imam-imam qiraat beserta perawi

mereka secara talaqqi dan mushafahah;

iii. Hafazan matan al-Shatibiyyah sebagai dalil bagi bacaan imam-imam

qiraat beserta perawi mereka;

viii. Membantu para pelajar menyebut dengan tepat bagi bacaan yang jarang

atau tiada langsung dalam bacaan riwayat Hafs daripada Imam Asim;

iv. Mendengar dan memperbetulkan bacaan para pelajar ketika

mempraktikkan bacaan al-Quran selain daripada bacaan riwayat Hafs

daripada Imam Asim;

v. Melantik setiap pelajar untuk mewakili salah satu bacaan bagi imam-imam

qiraat atau perawi mereka.

3. Penggunaan alat bantuan mengajar

Sewaktu sesi pembelajaran berlangsung, para pensyarah atau guru amat

digalakkan menggunakan alat bantuan mengajar bagi mempermudahkan pelajar

untuk memahami isi kandungan pelajaran. Antara alat bantuan mengajar yang

boleh digunakan adalah seperti berikut:

i. Pembentangan pengajaran menggunakan Microsoft Power Point

ii. CD qiraat

iii. Laman web qiraat

iv. Quran Flash

v. My LMS @ Goals

vi. Audio dan video qiraat

vii. Blog qiraat

viii. Keratan akhbar dan majalah

Page 7: KEBERKESANAN MEMPELAJARI ILMU QIRAAT - … Mempelajari Ilmu... · 1 KEBERKESANAN MEMPELAJARI ILMU QIRAAT: ANTARA HARAPAN, CABARAN DAN PENYELESAIAN MASALAH Oleh: Muhammad Hafiz bin

7

4. Peperiksaan atau kuiz

Pembelajaran yang berteraskan peperiksaan atau kuiz turut memberi kesan kepada

penguasaan pelajar terhadap ilmu qiraat. Ini menyebabkan para pelajar lebih fokus

dalam pembelajaran dan mampu menarik perhatian mereka terhadap perkara-perkara

penting di dalam ilmu qiraat khususnya kepada istilah yang jarang digunakan dalam

bacaan riwayat hafs daripada Imam Asim. Kuiz yang kerap kali dilakukan juga dapat

menajamkan minda sehingga persoalan yang seringkali ditanya mampu dijawab

secara spontan. Kedua-kedua kaedah ini turut menambahkan tumpuan para pelajar

terhadap topik yang sedang dipelajari. Lebih-lebih lagi, ia membantu pelajar untuk

mengingati nama-nama imam qiraat beserta perawi mereka dan istilah yang

digunakan khusus dalam ilmu qiraat.

6.0 Cabaran dan Penyelesaiannya Dalam Pembelajaran Ilmu Qiraat

Dalam mengharungi fasa pembelajaran, seseorang kebiasaannya akan menghadapi

cabaran untuk menguasai suatu ilmu tanpa mengira apa jua kursus atau subjek. Suasana

ini turut berlaku pada peringkat permulaan dalam mempelajari ilmu qiraat. Antara

cabaran dan penyelesaiannya dalam pembelajaran ilmu qiraat adalah seperti berikut:8

i. Pra syarat mempelajari ilmu qiraat

Terdapat beberapa pra syarat yang perlu dipenuhi sebelum mendalami ilmu

qiraat. Tanpa pra syarat tersebut, seseorang akan menghadapi kesukaran

dalam mempelajari ilmu qiraat. Antaranya adalah; memahami ilmu tajwid

terlebih dahulu sebelum mempelajari ilmu qiraat. Ini kerana terdapat pelbagai

istilah atau kata nama yang terdapat di dalam ilmu tajwid akan digunakan di

dalam pembelajaran ilmu qiraat. Contohnya seperti, Mad Jaiz Munfasil, Mad

Wajib Muttasil, Mad Badal, Mad Lin, Tashil, Imalah, Saktah dan sebagainya.

Sekiranya maksud atau cara bacaan bagi istilah tersebut tidak difahami, maka

kesukaran akan dihadapi sewaktu mempelajari ilmu qiraat kerana istilah-

istilah tersebut akan seringkali digunakan, bahkan terdapat pelbagai lagi

istilah baru yang akan dipelajari dalam ilmu qiraat. Selain itu, penguasaan

8 Muhammad Hafiz, 63- 64.

Page 8: KEBERKESANAN MEMPELAJARI ILMU QIRAAT - … Mempelajari Ilmu... · 1 KEBERKESANAN MEMPELAJARI ILMU QIRAAT: ANTARA HARAPAN, CABARAN DAN PENYELESAIAN MASALAH Oleh: Muhammad Hafiz bin

8

bacaan al-Quran juga menjadi pra syarat dalam mempelajari ilmu qiraat. Ini

kerana, bacaan yang digunakan selama ini hanyalah menurut satu riwayat

sahaja iaitu; bacaan riwayat Hafs daripada Imam Asim. Sekiranya tahap

bacaan al-Quran masih lemah, maka ditakuti kekeliruan akan dihadapi dalam

pembelajaran ilmu qiraat. Oleh itu, dengan penguasaan bacaan al-Quran yang

mantap, seseorang dapat melihat perbezaan bacaan di antara bacaan riwayat

Hafs daripada Imam Asim dengan bacaan-bacaan lain dengan lebih ketara.

ii. Mengingati kesemua nama imam dan perawi mereka

Ini merupakan antara cabaran terawal yang akan dihadapi ketika mempelajari

ilmu qiraat. Ini kerana terdapat 21 nama yang perlu diingati dalam

pembelajaran ilmu qiraat tujuh. Manakala bagi qiraat sepuluh, 30 nama yang

harus diingati. Apatah lagi nama mereka bukanlah seperti nama Melayu

melainkan Hisham, Hamzah dan Yaakub. Oleh yang demikian, setiap pelajar

digalakkan untuk mengenali nama-nama tersebut terlebih dahulu sebelum

mempraktikkan bacaan mereka. Para pelajar juga diharapkan dapat menguasai

bacaan satu imam atau perawi secara satu per satu sebelum beralih kepada

cara bacaan imam atau perawi yang lain. Manakala peranan pengajar pula

adalah mengulangi nama-nama mereka sehingga para pelajar mampu

mengingatinya.

iii. Penggunaan istilah yang jarang digunakan

Di dalam ilmu qiraat terdapat beberapa istilah yang hanya digunakan dalam

pembelajaran ilmu qiraat sahaja. Kalau pun ada, barangkali ia membawa

maksud yang berbeza. Antara istilah yang digunakan adalah seperti tariq,

sanad, taqlil, taghliz, tarqiq, naqal, idgham kabir, tashil al-Hamzah al-Thaniah

ma’a idkhal al-Alif, ibdal al-Hamzah, qasar, tawassut, ishba’, silah dan

sebagainya. Oleh yang demikian, istilah-istilah tersebut seharusnya selalu

disebut dan dihafal agar setiap bacaan yang dibaca atau didengar dapat

diketahui dengan jelas nama bagi hukum tersebut.9

9 Ibid, 64-65.

Page 9: KEBERKESANAN MEMPELAJARI ILMU QIRAAT - … Mempelajari Ilmu... · 1 KEBERKESANAN MEMPELAJARI ILMU QIRAAT: ANTARA HARAPAN, CABARAN DAN PENYELESAIAN MASALAH Oleh: Muhammad Hafiz bin

9

iv. Kesukaran menyebut kalimah yang mempunyai khilaf

Sebagaimana yang telah dijelaskan cabaran berkaitan istilah yang digunakan

di dalam ilmu qiraat, cabaran untuk menyebutnya merupakan perkara yang

berbeza. Ini kerana ilmu qiraat tidak boleh dipelajari secara teori sahaja,

bahkan ia mesti dipelajari secara praktikal melalui kaedah talaqqi dan

mushafahah. Biar pun kaedah ini sudah dilaksanakan, kesukaran menyebut

kalimah-kalimah khilaf masih berlaku kerana sesetengah bacaan bagi imam

qiraat dan perawi mereka tidak sama dengan bacaan yang dipraktikkan selama

ini menerusi bacaan riwayat Hafs daripada Imam Asim. Contohnya pada

bacaan taqlil, tashil al-Hamzah, naqal, ibdal al-Hamzah, taghliz al-Lam, tarqiq

al-Ra, ikhtilas dan sebagainya. Bagi menangani cabaran ini, para pelajar perlu

selalu berlatih menyebut hukum-hukum tersebut dan memastikan bacaan yang

disebut adalah tepat dengan memperdengarkannya kepada pensyarah atau

guru yang mengajar ilmu qiraat.

v. Penggunaan Matan al-Shatibiyyah

Matan al-Shatibiyyah atau Hirz al-Amani wa Wajh al-Tahani merupakan bait-

bait syair yang menghimpunkan keseluruhan bacaan bagi imam-imam qiraat

tujuh berserta perawi mereka. Ia juga merupakan sumber utama dalam

pembelajaran ilmu qiraat tujuh. Namun, didapati beberapa institusi yang tidak

menggunakan matan ini dalam pengajaran ilmu qiraat. Ini menyebabkan

pembelajaran ilmu qiraat terbatas pada perkara-perkara asas sahaja. Bahkan,

jarang sekali seseorang mampu menguasai ketujuh-tujuh qiraat tanpa

mempelajari matan ini. Namun begitu, tidak dinafikan bahawa pembelajaran

menggunakan matan ini memang sukar dan mengambil masa yang lama

sedangkan tempoh pembelajaran adalah terhad dan singkat. Mungkin

disebabkan itu, mereka memilih untuk tidak menggunakan matan ini namun

hanya sekadar memberikan penjelasan umum sahaja tentang perbezaan bacaan

dalam kalangan imam-imam qiraat beserta perawi mereka tanpa menggunakan

matan al-Shatibiyyah.10

10 Ibid, 65.

Page 10: KEBERKESANAN MEMPELAJARI ILMU QIRAAT - … Mempelajari Ilmu... · 1 KEBERKESANAN MEMPELAJARI ILMU QIRAAT: ANTARA HARAPAN, CABARAN DAN PENYELESAIAN MASALAH Oleh: Muhammad Hafiz bin

10

vi. Kekurangan bahan bacaan dan rujukan ilmu qiraat

Tidak dinafikan bahawa bahan bacaan dan rujukan untuk ilmu qiraat dalam

Bahasa Melayu adalah amat terhad sekiranya dibandingkan dengan jumlah

buku ilmu qiraat di dalam Bahasa Arab. Bahkan boleh dianggarkan bahawa

jumlah buku khusus berkaitan ilmu qiraat dalam Bahasa Melayu tidak lebih

daripada 10 buah buku yang diterbitkan. Kemungkinan ini merupakan salah

satu cabaran yang dihadapi oleh para pelajar iaitu dalam masalah mencari

rujukan. Namun cabaran ini boleh ditangani dengan penguasaan Bahasa Arab

dengan tujuan memahami isi kandungan ilmu qiraat daripada buku-buku

Bahasa Arab. Begitu juga dengan merujuk kepada kertas-kertas kerja

berkaitan ilmu qiraat yang pernah dibentangkan melalui seminar-seminar atau

kursus-kursus qiraat. Antara rujukan yang boleh digunakan bagi tujuan

pembelajaran ilmu qiraat menggunakan Bahasa Melayu adalah seperti berikut:

• Pengenalan Ilmu Qiraat karangan Ustaz Mohd Rahim Jusoh;

• Dinamika Ilmu Qiraat Quraniyyah karangan bersama Ustaz Sabri

Mohamad dan Ustaz Mohd Faizulamri Mohd Saad;

• Jurnal Darul Quran yang dikeluarkan secara berkala;

• Modul Qiraat daripada Open University Malaysia karangan bersama

Ustaz Khairul Anuar Mohamad dan Ustaz Norakyairee Mohd Raus;

• Keratan akhbar Utusan Malaysia dalam ruangan Bicara Agama setiap

Rabu karangan Ustaz Khairul Anuar Mohamad; dan

• Himpunan pembentangan kertas kerja seminar seperti Seminar Wahyu

Asas Tamadun 2011 (USIM), Seminar Pendidikan dan Penyelidikan

Qiraat (KUIS) dan Seminar Antarabangsa Qiraat dan Qurra’ (UDM).

vii. Tempoh pembelajaran yang terhad

Pembelajaran ilmu qiraat secara formal biasanya menggunakan sistem

semester di mana tempoh pembelajaran adalah terhad kepada 14 minggu

sahaja. Berdasarkan kepada kajian yang dilakukan, kebiasaannya para pelajar

diperuntukkan masa untuk mempelajari ilmu qiraat dalam tempoh tersebut

selama 3 ke 4 jam seminggu. Dalam tempoh tersebut, pembelajaran akan

Page 11: KEBERKESANAN MEMPELAJARI ILMU QIRAAT - … Mempelajari Ilmu... · 1 KEBERKESANAN MEMPELAJARI ILMU QIRAAT: ANTARA HARAPAN, CABARAN DAN PENYELESAIAN MASALAH Oleh: Muhammad Hafiz bin

11

menyentuh dari sudut latar belakang ilmu qiraat, latar belakang imam-imam

qiraat beserta perawi mereka, kaedah bacaan bagi setiap imam dan perawi

mereka dan penumpuan terhadap beberapa surah yang tertentu sahaja. Adapun

pembelajaran ilmu qiraat secara keseluruhannya tidaklah mencukupi

disebabkan tempoh pembelajaran agak singkat. Oleh yang demikian, tempoh

yang dinyatakan ini adalah sesuai bagi mereka yang berada dalam pengajian

Islam tetapi bukan pengkhususan dalam bidang qiraat. Seandainya

pengkhususan yang diceburi adalah dalam bidang qiraat, maka sekirang-

kurangnya 8 semester diperlukan untuk menguasai ilmu qiraat secara

keseluruhannya.11

viii. Minat yang kurang

Tidak dinafikan bahawa terdapat segelintir pelajar yang kurang berminat

dengan ilmu qiraat. Ini kerana wujudnya perasaan bahawa ilmu qiraat tidak

berkait secara langsung dengan kehidupan seharian seperti bidang feqah dan

akidah. Namun, perasaan atau persepsi sedemikian adalah salah dan harus

diperbetulkan. Ini kerana membaca al-Quran sama ada dalam solat atau di luar

solat merupakan perkara yang berkait secara langsung dengan qiraat. Cuma,

bacaan al-Quran yang dibaca adalah menurut salah satu riwayat daripada

qiraat tujuh sahaja. Pada hakikatnya, ilmu qiraat walaupun secara zahirnya

tidak berkait dengan amalan seharian, sebenarnya ia mempunyai hubungan

yang kuat antara ilmu feqah dalam kepelbagaian mazhab, ilmu tafsir al-Quran

yang membawa kepada pelbagai penafsiran dan sebagainya. Oleh itu, bagi

menanam perasaan minat terhadap ilmu qiraat para pelajar boleh merujuk

kepada kitab-kitab qiraat atau tafsir yang menerangkan makna-makna

perubahan yang ada pada satu kalimah di dalam al-Quran dan apakah

kesannya terhadap makna atau hukum fekah. Begitu juga dengan mendengar

bacaan yang mempunyai perbezaan bacaan yang ketara dengan riwayat Hafs

daripada Imam Asim seperti mendengar bacaan riwayat Warsh daripada Imam

Nafi’ atau riwayat Khalaf daripada Imam Hamzah. Dengan kedua-dua cara

11 Ibid.

Page 12: KEBERKESANAN MEMPELAJARI ILMU QIRAAT - … Mempelajari Ilmu... · 1 KEBERKESANAN MEMPELAJARI ILMU QIRAAT: ANTARA HARAPAN, CABARAN DAN PENYELESAIAN MASALAH Oleh: Muhammad Hafiz bin

12

tersebut, ia mampu memupuk rasa minat untuk mempelajari ilmu qiraat

dengan lebih mendalam.12

7.0 Kesimpulan

Perkembangan ilmu qiraat tidak seharusnya terbatas kepada para pelajar di peringkat

sekolah dan institusi pengajian tinggi sahaja, bahkan ia seharusnya didedahkan kepada

setiap lapisan masyarakat agar ilmu yang mulia ini terus dipelihara. Ini kerana kemuliaan

orang yang mempelajari ilmu qiraat adalah sama dengan kemuliaan orang yang

mempelajari al-Quran. Tambahan pula, kelebihan mereka yang mempelajari ilmu qiraat

terserlah dengan peranan mereka sebagai pemelihara kalam Allah yang suci daripada apa

jua bentuk perubahan dan pemesongan kerana hanya dengan ilmu qiraat perubahan itu

dapat diketahui. Oleh yang demikian, menjadi harapan bagi setiap pencinta al-Quran

agar;

i. Pengajaran dan pembelajaran ilmu qiraat terus berkembang khususnya di

negara ini. Malah ianya merupakan satu harapan yang besar agar Malaysia

menjadi sebuah pusat rujukan bagi Asia dalam mempelopori kepakaran dalam

bidang ilmu qiraat;

ii. Lebih ramai lagi yang berminat untuk menceburi bidang qiraat. Biarpun

hukum mempelajarinya adalah fardhu kifayah, namun peranannya adalah

cukup besar. Ini jelas dibuktikan dengan pengorbanan para ulama terkemuka

dahulu dan sekarang yang telah menghabiskan usia dan hayat mereka dengan

mendalami ilmu qiraat serta mengajarkannya;

iii. Lebih banyak lagi institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang turut

mengambil peranan untuk menyebarluaskan ilmu ini sehingga melahirkan

pakar-pakar qiraat di seluruh pelusuk tanah air;

iv. Setiap pengajar ilmu qiraat mengambil inisiatif untuk mempelbagaikan

kaedah atau teknik pengajaran ilmu qiraat agar pembelajaran ilmu qiraat

menjadi lebih menarik dan berkesan. Penggunaan teknologi terkini adalah

12 Ibid.

Page 13: KEBERKESANAN MEMPELAJARI ILMU QIRAAT - … Mempelajari Ilmu... · 1 KEBERKESANAN MEMPELAJARI ILMU QIRAAT: ANTARA HARAPAN, CABARAN DAN PENYELESAIAN MASALAH Oleh: Muhammad Hafiz bin

13

amat penting kerana fitrah manusia yang minat kepada perkara yang baru

haruslah dimanfaatkan;

v. Lebih banyak buku-buku qiraat menggunakan Bahasa Melayu diterbitkan agar

rakyat di negara ini dapat mengambil manfaat daripadanya. Selain itu,

perlulah dihimpunkan kertas-kertas kerja berkaitan ilmu qiraat dan dibukukan

agar ia juga boleh menjadi salah satu daripada bahan rujukan dalam

mempelajari ilmu qiraat;

vi. Memperbanyakkan lagi diskusi atau seminar atau kursus bagi mendedahkan

keistimewaan dan kelebihan mempelajari ilmu qiraat. Kaedah ini boleh

menarik lebih ramai golongan untuk mempelajari ilmu qiraat;

vii. Memanjangkan lagi tempoh pembelajaran ilmu qiraat khususnya bagi mereka

yang mendalami pengkhususan pengajian al-Quran atau qiraat. Ini bagi

memberi tempoh yang cukup bagi mereka memahami selok belok ilmu qiraat

dengan lebih mendalam; dan

viii. Penggunaan audio, video dan software qiraat sebagai alat bantuan mengajar

kepada pengajar dan pelajar amat digalakkan agar pembelajaran tidak hanya

bergantung kepada keberadaan pensyarah semata-mata. Malah dengan adanya

perkara-perkara tersebut, ia boleh melahirkan suasana pembelajaran secara

kendiri sebagai persiapan sebelum memasuki kelas qiraat atau sebagai

ulangkaji secara berkumpulan dan bersendirian.

Mudah-mudahan dengan adanya kesepakatan dan kerjasama daripada setiap

pihak, pembelajaran ilmu qiraat akan menjadi lebih berkesan dan terus berkembang serta

diwarisi kepada generasi yang akan datang. Teguran dan cadangan hendaklah sentiasa

dikemukakan agar proses pengajaran dan pembelajaran ilmu qiraat terus maju ke tahap

yang membanggakan.

Page 14: KEBERKESANAN MEMPELAJARI ILMU QIRAAT - … Mempelajari Ilmu... · 1 KEBERKESANAN MEMPELAJARI ILMU QIRAAT: ANTARA HARAPAN, CABARAN DAN PENYELESAIAN MASALAH Oleh: Muhammad Hafiz bin

14

Rujukan

Ibn al-Jazari, Taqrib al-nashr fi al-qira’at al-Ashr, ed. Muhammad Ali Baidun, (Beirut:

Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 2002).

Muhammad Hafiz, Comparative Study On The Science Of Qiraat In Higher Education

Institutions In Malaysia, (MA Tesis, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia,

2010).

Rujukan Internet

http://spikel.bpi.edu.my/index.php?view=article&catid=3%3Akurikulum&id=86%3Akel

as-kemahiran-al-quran&format=pdf&option=com_content&Itemid=49

http://www.darulquran.gov.my/sejarah.html

http://phip.usim.edu.my/ms/perkhidmatan/program-pengajian/sepanjang-hayat/101-

talaqqi-al-quran.html

Rujukan Lain

Temubual bersama beberapa para pensyarah yang mengajar pengajian ilmu qiraat di

institusi pengajian tinggi awam di Malaysia seperti berikut;

i. Dr Sabri Mohamad (UKM)

ii. Dr Abdul Rahman Abdul Ghani (UM, KUIS, UPSI)

iii. Ustaz Ashraf Ismail (UKM)

iv. Ustaz Muhammad Hafiz Saleh (USIM)

v. Ustaz Abdul Muhaimin Ahmad (USIM)

vi. Ustaz Norazman Alias (USIM)