kisah tauladan

download kisah tauladan

of 24

Transcript of kisah tauladan

Pelacur yang insaf Kisah Tauladan ke-1

Al-Malikah adalah seorang Primadona dari Bani Israel. Dia merupakan seorang pelacur kelas tertinggi. Upah khidmatnya mahal yakni 100 dinar setiap kali perkhidmatannya. Dia memang cantik sehinggakan Abid tergila-gilakannya. Sayangnya, Abid seorang yang miskin dan tidak mempunyai wang yang cukup untuk mendapatkan khidmat AlMalikah. Disebabkan nafsu Abid yang meluap-luap itu membuatkan hati Abid tergila-gila, dikerah tenaganya untuk mengumpul wang sebanyak yang diperlukan. Primadona itu harus berada dalam dakapannya, bisik hati kecilnya. Dengan berbekalkan 100 dinar, Abid datang menemui Al-Malikah pujaannya. Silakan masuk, pelawa Al-Malikah dengan manisnya. Mendengar sapaan pujaannya itu, Abid melangkahkan kakinya masuk ke bilik Al-Malikah. Hari itu nafsu berahinya akan dipenuhi kerana wang sudah berada dalam tangannya.

Akan tetapi, apa yang terjadi tiada siapa yang dapat menduganya. Entah bagaimana tiba-tiba sahaja badan Abid menggeletar. Peluh dinginnya merencik keluar. Malah ketika pelacur itu memeluknya, Abid berusaha melepaskan diri sambil berteriak. Lepaskan aku, ambillah wang 100 dinar ini, sambil dia bangkit dari katil pelacur itu. Mengapa engkau tiba-tiba menjadi begini? tanya Al-Malikah. Aku takut kepada azab Allah! Bagaimana nanti aku akan mempertanggungjawabkan perbuatan maksiatku ini? ujarnya. Mendengarkan jawapan itu, terpegun Al-Malikah di katilnya. Nuraninya tersentuh oleh sikap lelaki yang berdiri dekatnya. Suatu peristiwa aneh yang tidak pernah dialaminya sebelum ini. Tanpa disedarinya, air matanya mengalir di pipi. Terbayang olehnya sejuta dosa yang menyelubunginya sebagai perempuan murahan lagi hina.

Aku tertarik kepadamu. Jadikanlah aku isterimu kata Al-Malikah tersedu-sedu. Tidak! Aku akan meninggalkan tempat ini jawab Abid. Jangan pergi! kecuali engkau berjanji akan mengahwiniku. Baiklah, ujar Abid singkat sambil meninggalkan bilik maksiat itu.

Sebaik sahaja Abid meninggalkan bilik, pelacur bernama Al-Malikah ini sudah bertekad akan meninggalkan maksiat itu untuk selama-lamanya. Dia sudah menyesal dan ingin bertaubat. Al-Malikah akhirnya melangkah keluar untuk mencari Abid, lelaki yang telah menyedarkan dirinya dari lumuran dosa dan maksiat. Tekadnya sudah membulat. Dia mesti berkahwin juga dengan Abid yang beriman itu. Al-Malikah menuju ke negeri tempat tinggal Abid dengan penuh debaran. Sebaliknya setelah bertemu, Abid kelihatan ketakutan. Lantaran ketakutan yang mendadak dan keterlaluan telah menyebabkan Abid pengsan lalu meninggal dunia. Menangislah Al-Malikah menyaksikan lelaki pujaannya meninggal dunia sebelum sempat berkahwin dengannya. Gagal berkahwin dengan Abid, dapat saudaranya pun tidak mengapa! Pinta Al-Malikah dengan dorongan ingin menebus dosanya selama ini. Seorang teman Abid memberitahu bahawa saudara Abid adalah seorang lelaki yang miskin. Dia khuatir Al-Malikah akan menyesal nanti. Biarlah dia miskin. Aku tetap ingin berkahwin dengannya sebagai memenuhi rasa cintaku terhadap saudaranya, kata Al-Malikah. Jadilah Al-Malikah bekas pelacur yang insaf. Dia berkahwin dengan lelaki miskin. Allah telah membuka hati wanita itu dengan taufiq dan hidayahNya. Maka, berbahagialah Al-Malikah seorang bekas Primadona bersama suaminya yang tercinta.

Dialog Nabi dengan Iblis Kisah Tauladan ke-2

Rasulullah pernah bertanya kepada iblis, Wahai iblis terkutuk! Apakah ikhtiarmu ke atas ummatku? Sesungguhnya aku telah dibangkitkan untuk menyelamatkan semua ummat manusia agar beriman kepada Allah s.w.t. Jawab iblis, Wahai Rasulullah! Demi kemuliaanmu aku akan bersungguh-sungguh menyesatkan umat manusia dari mengikut ajaranmu. Aku akan mencampurkan lelaki dengan perempuan agar mudah aku mencelah di tengahnya. Rasulullah bertanya lagi, Wahai iblis! Apa lagi yang engkau musykilkan? Jawab iblis, Wahai Muhammad! Sebenarnya aku sangat hairan dengan sikap ummatmu dalam 2 perkara iaitu :

*mereka mengaku menyintai Allah s.w.t. tetapi pada masa yang sama mereka masih melakukan maksiat dan perbuatan mungkar. *mereka sangat benci akan tabiatku tetapi mereka masih mahu mengikut segala hasutanku. Firman Allah kepada iblis : Sememangnya engkau adalah makhluk yang terkutuk lagi terlaknat, demi kemuliaanKu, akan kuberikan kepada ummat Nabi Muhammad 2 kegembiraan iaitu, kecintaan mereka terhadapKu akanKu jadikan penebus dosa di atas kesalahan yang telah mereka lakukan kerana helahmu. Kedua, kebencian mereka terhadapmu akanKu jadikan penebus dosa bagi maksiat yang telah mereka lakukan Maka, tercenganglah iblis mendengar penjelasan sedemikian dari Allah s.w.t. Sedarlah iblis bahawa ummat Muhammad adalah ummat terbaik yang dikeluarkan dikalangan manusia dan paling disayangi oleh Allah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Adalah ummat Nabi Muhammad merupakan ummat manusia yang paling ramai menghuni syurga

Allah s.w.t. Itulah kelebihan yang Allah s.w.t beri kepada ummat Nabi Muhammad dan tidak kepada ummat-ummat nabi yang lain. AllahuAkbar

PENGAJARAN 1. Kita hendaklah berpegang teguh kepada ajaran Islam. 2. Iblis dan syaitan sentiasa berusaha untuk menyesatkan anak cucu Adam a.s. 3. Seharusnya kita berbangga menjadi ummat Muhammad kerana dimuliakan oleh Allah s.w.t.4. Ketahuilah bahawa Allah itu Maha menerima taubat lagi Maha Penyayang terhadap hambahambaNya.

Doa ibu maqbul

Kisah Tauladan ke-3

Nama sebenar Juraij ialah Jurjis. Dia terkenal sebagai seorang soleh yang menghabiskan banyak masanya di tempat ibadatnya. Ketekunannya dalam mengabdikan diri kepada Allah menjadikan dia orang yang terkenal pada masa tersebut. Kealimannya disebut-sebut oleh orang ramai. Kerana berhari-hari tidak pulang ke rumah, ibunya berasa sangat rindu kepadanya. Apabila tidak tahan merindui anaknya, Si ibu datang ke tempat Juraij beribadat lalu memanggilnya, Juraij! Juraij! dari jauh. Juraij mendengar teriakan ibunya, tetapi dia tidak menjawab, sebaliknya berkata dalam hatinya kepada Tuhan : Ya Allah! Itu ibuku yang memanggilku, tetapi aku sedang menyembahMu. Dia meneruskan ibadatnya. Keesokannya, ibunya datang lagi memanggil-manggil Juraij seperti semalam. Namun Juraij tidak juga menyahutnya. Dia meneruskan ibadatnya. Ibunya pun pulang. Keesokannya lagi, ibunya datang lagi memanggil-manggil Juraij. Namun kali ini juga panggilannya tidak berjawab, Si ibu pun pulang dengan perasaan hampa. Perasaan geram mula membuku di hatinya. Setibanya di rumah diapun berdoa : Ya Allah! Janganlah Engkau cabut nyawa Juraij sebelum dia sempat melihat kecantikan wajah wanita jalang! Apakah maksud di sebalik doa yang diungkapkan oleh ibu Juraij. Mungkin untuk menguji setakat mana kekuatan iman anaknya.

Maka wanita jalang yang dikatakan sangat cantik sebagai pengujinya. Semua lelaki dikatakan akan terpesona apabila menatap wajahnya. Tidak lama selepas itu, ibu Juraij pun berdoa, ramai daripada Bani Israel memperkatakan tentang kesolehan Juraij dan ketaatannya beribadat. Mereka semua bersetuju wanita jalang itu menggoda Juraij. Pada suatu hari, datanglah wanita jalang itu menemui Juraij untuk memujuk rayunya. Juraij tidak mengendahkannya. Wanita tersebut amat kecewa dengan sikap Juraij dan bernekad dalam hatinya untuk membalas dendam terhadap Juraij. Setelah usahanya terhadap Juraij gagal, wanita itu pergi menggoda seorang lelaki pengembala kambing yang dia terserempak. Hasil daripada perhubungan haram dengan pengembala itu, wanita tersebutpun hamil.

Setelah bersalin, wanita itu membawa bayinya di khalayak ramai. Dia menuduh Juraij telah melakukan perbuatan terkutuk terhadap dirinya sehingga melahirkan anak. Tanpa usul periksa lagi, orang ramaipun menyerbu Juraij. Mereka meruntuhkan tempat ibadat Juraij dan memukul Juraij. Juraij mempertahankan diri dan bertanya : Kenapa kamu sekalian ini? Apakah kesalahanku yang membuatkan kamu semua memukulku? Kamu telah melakukan zina dengan perempuan ini, anakmu ini buktinya, jawab orang ramai. Juraij merasa hairan, dia telah menghabiskan seluruh masa hidupnya untuk beribadat kepada Allah tetapi mengapa tiba-tiba datang fitnah yang besar menimpanya. Dia lantas teringat, mungkin kerana perbuatannya yang melebihkan ibadat sunat tetapi tidak melaksanakan yang wajib yakni menghormati ibunya. Ibunya telah beberapa kali memanggilnya sewaktu dia beribadat, tetapi panggilan ibunya tidak diendahkan. Dan dia kini menghadapi tuduhan berbuat jahat hingga mendapat anak haram. Tanpa saksi tidak mungkin orang percaya walaupun berulang kali dia menafikannya. Dia berharap kepada Allah agar bayi itu bisa menyatakan siapa ayahnya. Oleh itu, dia perlu memohon ampun dan restu daripada ibunya.

Kebetulan waktu itu ibunya datang, Juraij segera memohon ampun atas kesilapannya kerana tidak menghiraukan panggilan ibunya. Ibunya mengampunkan dan mendoakan agar Tuhan merahmati anaknya. Juraij berasa tenang dan pergi menghadapi orang ramai yang mengerumuninya. Bawa anak ini kemari dan dekatkannya kepadaku. Tunggu sebentar agar dapat aku solat sunat 2 rakaat, ujar Juraij. Orang ramai akur dengan tindakannya. Setelah selesai, dia memohon pertolongan Allah, Juraij menghampiri bayi tersebut lalu meletakkan jari telunjuk di tengah perut bayi itu sambil berkata : Wahai bayi yang tidak berdosa, khabarkanlah siapakah sebenarnya bapamu? Bayi itu tiba-tiba berkata : Bapaku adalah seorang pengembala sambil menyebut namanya sekali. Orang ramai yang hadir tercengang melihat bayi yang boleh bercakap. Kini baru mereka sedar yang mereka telah dibohongi oleh wanita itu. Lalu mereka mendatangi Juraij dan memohon maaf. Mereka juga berjanji untuk menggantikan tempat ibadat Juraij dengan bangunan yang diperbuat daripada emas. Juraij menolak tawaran tersebut seraya berkata : jikalau anda sekalian mahu menggantikannya, bangunkan sahaja semula, buatlah daripada tanah sebagaimana asalnya. Sebaik sahaja tempat ibadatnya dibina semula, Juraij meneruskan ibadatnya di situ di samping tidak lagi mengabaikan ibunya sehinggalah dia kembali ke rahmatullah. PENGAJARAN 1. Utamakanlah ibubapa kita dalam apa jua keadaan selagi tidak bertentangan dengan syariat. 2. Dahulukan perkara yang wajib daripada yang sunat kerana yang demikian pahalanya lebih besar. 3. Jangan biarkan perkataan berunsurkan doa yang tidak baik keluar daripada mulut ibu kita. 4. Sentiasalah meminta maaf kepada ibubapa kita agar diri kita sentiasa bersih daripada istilah anak derhaka. 5. Jagalah hati dan perasaan ibu kita, jangan biarkan ibu kita terguris walaupun sedikit kerana yang demikian membawa kita ke neraka.

Tabib memeluk Islam

Kisah Tauladan ke-4

Pada suatu hari Junaid Al-Baghdadi menghidap sakit mata. Diapun memanggil tabib untuk merawat sakit matanya itu. Dia dinasihati oleh tabib supaya mengelakkan matanya daripada terkena air demi mempercepatkan menyembuh sakit matanya itu. Bagaimanapun, ketika tabib itu berlalu pergi, Junaid bertekad untuk mangambil wudhu' termasuk membasuh muka, kemudian solat dan tidur. Apa yang anehnya, setelah mengenakan air sembahyang ke mukanya, tiba-tiba sakit matanya sembuh. Pada saat itu Junaid terdengar satu suara, mata Junaid sembuh kerana dia lebih redha kepadaKu. Sekiranya ahli neraka meminta kepadaKu dengan semangat Junaid nescaya aku kabulkan permintaannya.

Keesokan harinya, tabib itu datang untuk menziarahi Junaid, ternyata tabib itu kehairanan setelah melihat mata Junaid sembuh. Apa yang kau lakukan wahai Junaid. Aku berwudhu' dan air itu mengenai muka dan mataku, lalu aku solat, ujarnya. Setelah menyaksikan peristiwa itu, tabib yang beragama Nasrani itupun menganut agama Islam. Itulah penawar daripada Tuhan yang menjadikan penyakit. Tabib tersebut mengatakan bahawa : Sebenarnya, Junaid tidak sakit, tapi aku yang sakit, Junaidlah tabibku, kerana telah merawat sakit mata hatiku. Pengajaran 1. Setiap penyakit ada penawarnya melainkan mati. 2. Allah yang menciptakan penyakit dan Allah jualah yang menciptakan penawarnya. 3. Apabila ditimpa sesuatu penyakit, kita hendaklah ikhtiar, doa dan tawakkal untuk sembuh. 4. Sebaik-baik tawakkal adalah yakin terhadap kekuasaan Allah tanpa keraguan walaupun sedikit. 5. Orang yang dikasihi Allah pasti akan diuji samada melalui harta, diri mahupun keluarga.

80 orang fasiq

Kisah Tauladan ke-5

Abu Yazid Al-Bustami adalah seorang yang terkenal sebagai hamba yang yang sangat rajin bermunajat kepada Allah. Dia sentiasa bermunajat kerana ingin masuk syurga. Hatinya selalu ceria. Fikirannya pula seolah-olah sudah melayang sampai ke Arasy Allah. Hati kecilnya berbisik, inilah tempat Rasulullah, semoga aku kelak menjadi jirannya di syurga. Ketika dia tersedar dari khayalannya, dia terdengar suara menyeru, ada seorang hamba yang kelak menjadi tetanggamu di syurga. Dia tinggal di negeri ini, seru suara tersebut. Lalu dia teringin untuk mencari hamba yang kelak menjadi tetangganya di syurga. Abu Yazid pun keluar rumah untuk mencari hamba yang dimaksudkan. Dia berjalan kaki sejauh 100 kilometer dan tiba di negeri yang disebutkan. Sebelum bertemu hamba itu, seorang lelaki menasihatinya. Mengapa engkau mencari orang fasiq dan peminum arak? Padahal dari tanda-tanda di dahimu, ternyata engkau adalah seorang yang soleh. Mendengarkan nasihat itu, Abu Yazid terkaku seketika. Jika demikian, suara yang menyuruhku sewaktu bermunajat itu agaknya suara iblis. Mengapa aku harus menurutinya?

Kemudian dia mahu melangkahkan kakinya untuk pulang. Tiba-tiba hatinya berbisik lagi. Aku datang dari jauh. Aku datang untuk menemui hamba itu. Atau agaknya aku belum terjumpa hamba yang dimaksudkan. Ya! Bagaimanapun aku tidak akan pulang sebelum bertemu dia. Begitulah ujaran Abu Yazid yang bernekad untuk tidak pulang selagi tidak berjumpa dengan lelaki tersebut. Di manakah tempat sahabat itu? Tanya Abu Yazid. Dia sekarang sedang mabuk-mabuk di satu tempat. ujar lelaki itu lalu diberitahunya tempat itu. Abu Yazid menuju hamba yang disebutkan itu. Benar! Dia dapati di situ, ada 40 orang lelaki yang sedang mabuk kerana minum arak sementara lelaki yang dicarinya itu sedang duduk di tengah-tengah mereka. Melihat keadaan yang sedemikian, Abu Yazid merasa kesal. Dia mahu meninggalkan tempat itu dengan segera. Tetapi sebaik sahaja melangkah pergi, hamba itu memanggilnya. Hai Abu Yazid! Mengapa engkau tidak masuk dahulu ke dalam rumahku? Bukankah engkau datang dari jauh untuk menemuiku. Khabarnya engkau hendak mencari hamba sebagai tetanggamu di syurga kelak.

Mendengarkan kata-kata itu, Abu Yazid berasa hairan dan tertanya-tanya, masakan hamba tersebut tahu maksud kedatangannya sedangkan dia belum menyatakan isi hatinya dan memperkenalkan diri. Engkau begitu cepat mahu meninggalkan tempat ini tanpa mengucapkan salam, tanpa perjumpaan dan memberi nasihat, kata sahabat itu menambahkan lagi kehairanan Abu Yazid. Dalam keadaan begitu, Abu Yazid terpaku. Mulutnya bagaikan terkunci rapat. Tetapi di dalam hatinya jelas memikirkan sesuatu.

Sudahlah Abu Yazid. Kau tak perlu banyak berfikir dan merasa hairan. Yang menyuruhmu datang telah memberitahuku. Ayuh! Masuklah ke dalam rumahku. Duduklah terlebih dahulu, ajak hamba itu. Dengan sedikit keraguan Abu Yazid menurutinya masuk ke dalam rumah dan duduk bersama laki-laki yang sedang mabuk itu. Apa sebenarnya yang terjadi di rumah ini dan apakah perananmu di sini? tanya Abu Yazid. Hai Abu Yazid! Untuk masuk syurga, kita tidak boleh bersifat ego. Mahu masuk syurga sendiri. Itu bukan sifat utama dan mulia bagi seorang lelaki sepertimu, katanya sebagai nasihat. Dahulu ada 80 orang fasiq yang mabuk seperti yang engkau lihat. Tetapi, aku berusaha menarik mereka supaya bertaubat dan menjadi tetanggaku di syurga kelak. Akhirnya 40 orang berjaya meninggalkan tabiat tersebut, bakinya 40 orang lagi. Dan inilah tugasmu untuk mengajak mereka supaya bertaubat agar dapat menjadi tetanggamu kelak di syurga. tambah hamba itu lagi. Bagaikan disambar petir hati Abu Yazid mendengar ucapan tersebut. Hatinya luruh dan merasakan terpanggil untuk melakukannya. Dan dia bertekad untuk menyedarkan 40 orang fasiq itu sebagai jirannya di syurga kelak. Sahabat itu lalu memperkenalkan Abu Yazid kepada 40 orang yang sedang mabuk itu. Akhirnya, dengan dakwah dan usaha yang gigih, 40 orang itu telah sedar, insaf dan bertaubat. Mereka itulah yang menjadi jiran Abu Yazid di syurga kelak

Gelagat Abu Nawas

Kisah Tauladan ke-5

Abu Nawas merupakan tokoh yang paling lucu pada dinasti Abbasiyah. Tokoh jenaka ini sangat disenangi oleh Khalifah Harun Ar-Rasyid kerana lawak jenakanya yang cerdik dan kelakar. Dalam kesibukannya sebagai raja yang adil dan bijaksana, baginda sering mengunjungi Abu Nawas untuk bersembang dan meyegarkan fikirannya yang berserabut. Sebagai rakyat biasa, Abu Nawas sering mengkritik Khalifah melalui jenakanya yang lucu meskipun mengenai kepala raja, namun baginda tidak pernah marah. Pada suatu hari, di pasar tempat orang ramai berdagang menjadi huru-hara gara-gara kata-kata Abu Nawas. Teman-teman! Hari ini saya sangat membenci perkara yang haq tetapi menyenangi fitnah. Hari ini juga saya kaya bahkan lebih kaya daripada Allah, ujar Abu Nawas. Kata-kata Abu Nawas ini sungguh aneh kerana selama ini dia termasuk dikalangan mereka yang alim dan bertaqwa. Lalu polis kerajaan menangkapnya dan menghadapkannya kepada Khalifah. Hai Abu Nawas, benarkah engkau berkata sedemikian? tanya Khalifah. Benar tuan, jawabnya selamba. Mengapakah engkau mengucapkan sedemikian, sudah kafirkah engkau? Saya rasa Khalifah juga membenci perkara haq seperti saya, ujarnya. Gila benar engkau, aku sepatutnya menegakkan yang haq dan bukan membencinya, ujar Khalifah yang mulai marah. Jangan cepat marah, dengarkan dulu keterangan saya, kata Abu Nawas yang cuba meredakan kemarahan Khalifah. Keterangan apa yang kau maksudkan? Sebagai seorang muslim aku harus membela haq dan bukan membencinya, tahu? ujar Khalifah geram. Apabila ada orang membacakan talqin, saya selalu mendengar ucapan bahawa mati itu haq dan neraka itu juga haq. Nah! Siapakah yang tidak membenci mati dan neraka yang haq itu? Tidakkah Khalifah juga membencinya seperti aku? tanya Abu Nawas. Bijak juga engkau ni, ujar Khalifah setelah mendengar penjelasan Abu Nawas. Tapi apa

pula maksudmu kau menyenangi fitnah? tanya Khalifah. Sekejap, barangkali Tuanku lupa bahawa dalam Al-Quran ada menyebut bahawa harta dan anak-anak itu fitnah. Sedangkan Khalifah menyenanginya seperti saya juga. Benarkan Khalifah? Ya, memang begitu, tetapi mengapa engkau mengatakan bahawa engkau lebih kaya daripada Allah? tanya Khalifah. Saya lebih kaya daripada Allah kerana saya mempunyai anak sedangkan Allah tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. Bukankah itu hakikat yang sudah tidak dapat dipertikaikan lagi? tambah Abu Nawas lagi kepada Khalifah Harun ArRasyid. Aku membenarkannya, tapi mengapa engkau berkata sedemikian di khalayak ramai di tengah pasar? tanya Khalifah ingin tahu. Dengan cara begitu saya akan ditangkap dan dihadapkan kepada Khalifah seperti sekarang, jawabnya selamba. Mengapa kamu mahu menghadap saya? Agar dapat hadiah daripada Khalifah, jawab Abu Nawas terus terang. Tindakan berani Abu Nawas itu menjadikan suasana itu menyeronokkan dan para hadirin terkasuma, begitu juga dengan Khalifah. Memang kau orang pintar, puji Khalifah. Mereka yang mengadili Abu Nawas gelak tertawa mendengar kelucuan yang pintar itu. Khalifah pun menyerahkan wang kepada Abu Nawas sebagai hadiah dan menyuruhnya pergi meninggalkan istana. Alhamdulillah dapat rezeki, gumamnya.

Kain Kafan daripada Nabi

Kisah Tauladan ke-7

Seorang wanita telah datang menemui Rasulullah lalu menyerahkan sehelai kain yang ditenun dan disulamnya sendiri kepada Nabi s.a.w. sebagai tanda cinta dan kasih terhadap Rasulullah. Dengan senang hati, baginda menerima dan memakainya. Pada suatu hari, dengan memakai pakaian yang diberikan wanita tersebut, Nabi s.a.w. keluar menemui para sahabatnya. Salah seorang sahabat yang melihat keelokan kain itu lalu berkata : Wahai Rasulullah! Alangkah cantiknya kain yang engkau pakai itu! Kan elok jika aku dapat memakainya. Baiklah! jawab Nabi ringkas. Setelah Nabi keluar dari majlis, baginda datang kembali ke tempat itu, tetapi tidak lagi memakai kain berkenaan. Rupa-rupanya kain pemberian wanita itu ada berlipat kemas di tangannya, lalu diserahkan kepada sahabat yang memujinya tadi. Terimalah kain ini dan pakailah, ujar Rasulullah. Menyaksikan peristiwa itu, ramai sahabat yang tidak menyenangi lelaki itu. Kain pemberian wanita itu sangat disenangi oleh Nabi lantas itu dipakainya. Maklumlah, Nabi tidak pernah menolak permintaan seseorang. Mengapa kau memintanya? rungut para sahabat kepada lelaki terbabit. Saya meminta kain itu bukan untuk dipakai, tetapi untuk digunakan sebagai kain kafanku, ujar lelaki itu. Maka para sahabat yang bertanya merasa bersalah lalu menundukkan kepalanya.

Syeikh Abdul Qadir Aj-Jailani

Kisah Tauladan ke-8

gambar sekadar hiasan

Syeikh Abdul Qadir Aj-Jailani adalah seorang alim dan ahli sufi yang terkenal dengan kemuliaan akhlak dan ketinggian ilmunya di kalangan umat Islam. Sehinggakan beliau digelar ketua para wali. Diceritakan, pada suatu hari, Syeikh Abdul Qadir merantau seorang diri. Ketika mengharungi padang pasir yang panas terik itu dia merasa haus. Tiba-tiba dia melihat sebuah bekas yang diperbuat daripada perak melayang dari udara dan turun perlahan-lahan kepadanya berselimuti awan. Dikatakan bahawa beliau terdengar suara ghaib di angkasa, Wahai Abdul Qadir! minumlah air dalam bekas perak ini. Hari ini aku telah menghalalkan bagimu apa yang telah kuharamkan. Dan telah kugugurkan semua kewajipan yang aku wajibkan padamu, kata suara itu. Sebagai seorang yang serba tahu, Syeikh Abdul Qadir tahu bahawa suara ghaib yang menyerupai wahyu itu adalah suara iblis yang ingin menggoncangkan keimanannya. Syeikh yakin bahawa iblis mahu menggodanya. Bagi syeikh suara itu tidak mungkin daripada Tuhan yang haq. Maka marahlah dia sambil berkata : Hai malaun! berambuslah engkau dari sini. Sesungguhnya aku tiada lebih mulia di sisi Allah dibandingkan Nabi Muhammad. Perkara seperti ini tidak berlaku pun kepada Rasulullah. Mana mungkin ianya berlaku kepadaku, sedangkan aku adalah hamba yang sering melakukan kesalahan. Perkara yang diharamkan Allah tetap haram dan kewajipan hamba kepadaNya tidak pernah gugur termasuk diriku, ujarnya tegas. Ternyata, Syeikh Abdul Qadir seorang yang bijak dan dipelihara oleh Allah. Tipudaya iblis yang begitu seni masih tidak dapat menembusi benteng keimanan syeikh. Maka, gagallah iblis untuk menggugat keimanan Abdul Qadir kerana kealiman beliau yang tiada bandingan. Jadilah beliau wali yang ulung sehingga ke hari ini. Nasihat-nasihat beliau sangat banyak dan masih segar meskipun sudah beratus tahun sudah berlalu. Itulah karamah Syeikh Abdul Qadir.

Mimpi Abi Qalabah

Kisah Tauladan ke-9

Pada suatu hari, Abi Qalabah terlihat dalam mimpinya seolah-olah ada kubur pecah dan keluar mayat-mayat dari kubur itu. Mereka semua duduk di tepi kubur dan setiap orang pada wajahnya terdapat nur (cahaya). Dikalangan mereka, Aku melihat seorang lelaki dari tetanggaku, tiada nur pada wajahnya, maka aku berkata kepadanya : Aku tidak melihat nur di wajahmu? jawab mayat itu, sesungguhnya anak-anak mereka dan teman-teman mereka memberi petunjuk dan sedekah. Aku mempunyai anak yang tidak soleh, ia tidak mendoakan aku dan tidak bersedekah untukku. Oleh sebab itu, tiada cahaya di wajahku dan aku rasa malu kepada teman-temanku. Apabila Abi Qalabah tersedar dari mimpinya, lalu dia mencari anak kepada lelaki tersebut dan menceritakan hal yang dilihatnya dalam mimpi. Berkata anak tetangganya itu : Aku bertaubat di hadapanmu dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi buat selama-lamanya. Maka sejak itu anaknya sentiasa berbuat kebaikan, berdoa dan bersedekah untuk ayahnya. Suatu ketika Abi Qalabah melihat kejadian yang lain dalam mimpinya. Dia melihat wajah orang lelaki itu terang cahayanya berbanding temannya. Dia berkata ; Wahai Abi Qalabah, semoga Allah membalasmu dengan kebaikan. Engkau telah menyelamatkanku daripada malu terhadap teman-temanku. Maka, legalah Abi Qalabah mendengarkan itu. Begitulah pentingnya doa anak yang soleh buat ibu bapa yang telah meninggal dunia. Abi Qalabah juga mendoakan untuk ayahnya agar bersemadi dengan aman. Pengajaran: 1. Mati itu pasti dirasai bagi setiap yang hidup, cuma tidak diketahui bila sahaja. 2.Semuaperkaraakan putus melainkan tiga perkara : sedeqahyangberkekalan -ilmuyangbermanfaat -doaanakyangsoleh

3. Adalah mimpi orang yang beriman 1/5 daripada kenabian dan adalah benar. 4. Sebagai seorang anak, kita hendaklah menunaikan kewajipan kepada ibubapa meskipun setelah mereka tiada.

Ibnu Hajar Al-AsqolaniPensyarah Kitab Syarah Bukhari

Maqam Ibnu Hajar Al-Asqolani Kali ini Al-Faqir akan menceritakan tentang seorang tokoh yang sangat hebat dan tidak asing lagi di dunia keilmuan, tidak lain dan tidak bukan, Imam Ibnu Hajar Al-Asqolani. Nama sebenar beliau adalah Syihabuddin Abul Fadhl Ahmad bin Ali bin Muhammad bin Ali bin Mahmud bin Hajar Al-Kinani Al-Asqolani Asy-Syafie Al-Mishri. Beliau dilahirkan di Mesir pada bulan syaaban tahun 773H. Dan beliau wafat di Mesir, dan dikebumikan di situ.

Inilah karya hebat beliau Sebagaimana yang diketahui, adalah Ibnu Hajar ini pengarang kepada kitab hebat daripada kitab hebat. Apa maksudnya? Kitab hebat itu adalah Fathul Bari, syarahan kepada kita Sahih Bukhari oleh Imam Muhammad bin Ismail Al-Bukhari. Kedua kitab ini tidak dapat ditandingi oleh mana2 ulama' samada matannya mahupun syarahnya. Sebab itulah ulama menyebut bahawa, kitab Ibnu Hajar adalah penutup/pelengkap kepada perbahasan kitab Sahih Bukhari. Pernah suatu ketika, seorang ulama hebat diminta untuk menulis kitab syarah kepada kitab sahih bukhari, lalu beliau menjawab dengan hadith Nabi s.a.w.: . Maksudnya: Tidak ada lagi syarah setelah lengkapnya kitab ini (Fathul Bari). Apa yang hebatnya Ibnu Hajar adalah, setiap hari beliau akan membaca sahih bukhari sebanyak 5 kali dan sahih muslim sebanyak 10 kali. Subhanallah.

Terakhir, dikatakan bahawa beliau mempunyai guru lebih daripada 500 orang guru. Antara guru beliau adalah Imam Bulqini dan Imam Al-Khawarzmi. Dan di antara muridnya yang hebat adalah Imam As-Sakhowi dan Imam Zakaria Al-Ansori.Mohd Ubaidillah Al-Musawi Blog Abang Bercerita Bicara dari bumi Al-Kinanah

AL-HASIN MASUK ISLAMKisah Tauladan ke-10

Tersebut di dalam riwayat. Suatu hari, orang-orang Kafir Quraisy pergi kepada seorang tua bernama Al-Hasin. Al-Hasin terkenal dengan sifat jujur, berbudi bahasa dan suka menolong. Orang-orang Kafir Quraisy meminta jasa baik Al-Hasin agar meminta Nabi s.a.w. memberhentikan penyebaran agama Islam.

Maka pergilah orang tua yang jujur itu berjumpa baginda s.a.w. dan menyampaikan maksudnya dan berlakulah dialog antara Nabi s.a.w. dengan Al-Hasin:

Wahai Al-Hasin! berapa tuhan yang kamu sembah?

Tujuh di langit dan satu di bumi. jawab Al-Hasin.

Kalau engkau ditimpa penyakit atau kesusahan, kepada siapa engkau meminta?

Kepada yang di langit, jawab Al-Hasin.

Kalau kehabisan harta, kepada siapa pula engkau meminta?

Kepada yang di langit juga.

Waktu meminta yang susah-susah engkau hadapkan ke langit tapi waktu menyembah engkau sekutukan dia dengan yang di bumi, masuk islamlah kamu wahai Hasin, supaya engkau selamat.

Mendengar hujjah itu, Hasin terus masuk Islam ketika itu juga. Anaknya Imran yang kebetulan hadir di situ dan telah lama masuk Islam menangis apabila melihat ayahnya mengucap 2 kalimah syahadah. Dia mencium kepala, kedua tangan dan kaki ayahnya.

Nabi s.a.w. sendiri menangis melihat kelakuan Imran terhadap ayahnya itu. Ini kerana, sebelum AlHasin memeluk Islam, jangankan Imran akan buat begitu, melihatpun dia tidak mahu, tetapi setelah ayahnya menganut ajaran Islam, Imran memenuhi tanggungjawab terhadap ayahnya. Inilah yang membuat Nabi s.a.w. menangis.

Pengajaran 1.Islam adalah agama yang mengutamakan persaudaraan. 2.Sesungguhnya agama yang diredhai Allah hanyalah Islam. 3.Islam adalah agama yang tinggi dan tiada satupun yang dapat menandinginya. 4.Allah yang Berkuasa sentiasa menggagalkan rancangan musuh Allah untuk memadamkan cahaya Islam.

Mohd Ubaidillah Al-Musawi Adaptasi Karya Al-Faqir I Koleksi Al-Qisah 40

KHALIFAH YANG ADILKisah Tauladan ke-11

Ini adalah kisah keadilan Khalifah Umar Bin Al-Khattab terhadap anaknya Ubaidillah atau lebih dikenali dengan gelaran Abu Sahmah.

Pada suatu hari, datang seorang wanita dari Bani Najjar. Wanita itu mengadu telah dizina oleh Abu Sahmah hingga hamil dan melahirkan seorang bayi. Tentu sahaja itu memalukan khalifah.

Hai Jaariah! Benarkah dakwaanmu itu, tanya khalifah. Benar khalifah! Jika tidak percaya, hamba berani bersumpah dengan Al-quran.

Dengan penyumpahan itu, yakinlah Umar bahawa wanita itu tidak berdusta. Malah ketika ditanyakan langsung kepada Abu Sahmah, anaknya itu tidak menafikannya. Benar ayahku! Hukuman apakah yang ayah akan jatuhkan padaku? Aku pasrah dan redha daripada menerima azab di akhirat kelak.

Bagaimanapun, anaknya Abu Sahmah harus dihukum rejam sesuai dengan hukum hudud, tekad khalifah. Mendengar keputusan Umar, ramai sahabat berusaha mencegah dan menasihatinya agar hukuman tersebut dibatalkan atau diganti dengan hukuman lain. Namun keadilan tidak berbelah bahagi. Hukuman rejam tetap dilaksanakan. Maka, tamatlah riwayat hidup Abu Sahmah.

Maka, terbuktilah keadilan Umar. Beliau tidak mengenal sesiapa dalam melaksanakan perintah Allah meskipun anaknya sendiri. Anak kandungnya mati kerana melakukan kemurkaan kepada Allah dan dia terlepas dari azab neraka kerana telah menerima azab di dunia.

Pengajaran

1.Tiada pilih kasih dalam Islam. 2.Islam adalah agama yang adil kepada semua dan tidak mengira sesiapa samada raja, PM, anak, isteri mahupun hamba. 3.Islam tidak berlaku zalim terhadap penganutnya sehingga terbukti kesalahan yang dilakukannya. 4.Akhlak para sahabat adalah sangat mulia kerana mendapat pentarbiyahan yang sempurna daripada Rasulullah. 5.Hukum hudud adalah wajib dilaksanakan bagi menjaga kemaslahatan ummat seluruh dunia.Mohd Ubaidillah Al-Musawi Adaptasi Karya Al-Faqir I Koleksi Al-Qisah 40

Tangan Menjadi KeringKisah Tauladan ke-12

Telah datang seorang wanita kepada Rasulullah. Tangan kananya kering sehingga dia meminta kepada Rasulullah supaya berdoa agar tangannya sembuh seperti sedia kala.

Mengapa tanganmu menjadi kering begini? tanya Rasulullah. Maka perempuan itupun menceritakan tentang mimpinya. Di dalam mimpinya, perempuan itu melihat hari kiamat telah tiba, neraka sudah dinyalakan dan syurga telahpun tersedia.

Dikatakan dalam mimpinya, perempuan itu melihat ibunya berada di dalam neraka jahannam sambil memegang sehelai kain dan sepotong lemak. Dengan kain dan lemak itu Si ibu berlindung diri daripada bakaran api neraka.

Dalam mimpinya, dia berbicara : Wahai ibuku! mengapa engkau berada di lembah ini sedangkan kau adalah seorang yang taat kepada Allah, bapa juga menyukaimu dan tidak pula membencimu. Kemudian ibunya memberitahu anaknya bahawa semasa hayat di dunia dahulu, dia adalah seorang yang kedekut. Dan lembah neraka ini memang disediakan untuk orang yang kedekut sepertiku, kata ibunya.

Lemak dan kain yang ada di tanganmu itu apa? dia bertanya kepada ibunya. Cuma sedekahlah yang dapat melindungiku dari bahan api neraka. Tetapi kain dan lemak inilah yang dapat menyelamatkanku kerana banyak ini sahaja yang aku sedekahkan semasa hayatku di dunia. Jawab ibunya.

Anaknya lalu bertanya di mana tempat tinggal ayahnya. Ibunya lalu menjawab, bapamu sekarang bersenang-lenang di syurga, ini adalah kerana dia seorang yang dermawan, jawab ibunya lagi.

Dari neraka, anaknya pun menuju ke syurga. Dia melihat ayahnya berada di pinggir telaga Rasulullah s.a.w. Dia melihat ayahnya sedang memberi minum kepada orang-orang dermawan dengan gelas yang diambil dari tangan Sayyidina Ali.

Kemudian perempuan itu mengadu kepada ayahnya tentang keadaan ibunya yang tinggal di neraka. Ibu sangat dahaga wahai ayahku, mengapa engkau memberi minum kepada orang lain tetapi tidak kepada ibu? tanya anaknya. Anakku, ibumu sekarang tinggal di tempat yang disediakan bagi orang yang kedekut seperti ibumu dan Allah mengharamkan air telaga ini untuk mereka, jawab ayahnya.

Dalam mimpi itu, kerana terlalu kasihankan ibunya, wanita itu tetap mengambilnya dengan sendiri, lalu terdengar suara : Semoga Allah mengeringkan tanganmu kerana memberi air telaga Rasulullah (Al-Kauthar) kepada penghuni neraka.

Apabila perempuan itu bangun daripada tidur, tiba-tiba dia dapati tangannya benar-benar kering. Disebabkan itulah dia datang menemui Rasulullah agar disembuhkan tangannya.

Diriwayatkan, Rasulullah lalu meletakkan tongkatnya di atas tangan wanita yang kering itu seraya berdoa : Demi Allah, demi cerita yang telah diperkatakan wanita ini, kupohon agar engkau sembuhkan tangannya seperti sediakala. Dengan izin Allah tangan perempuan itupun sembuh seperti sediakala.

Maka, fahamlah wanita tersebut bahawa banyak mana amalan kita, sekiranya kita bakhil atau kedekut, kita tetap akan masuk neraka. Dan jelaslah bahawa perbuatan kedekut itu sangat-sangat dibenci oleh Allah.

Pengajaran1. Di akhirat kelak tiada siapa yang dapat membantu kita. 2. Di dunia yang sementara adalah tempat mengumpul bekalan menuju ke akhirat. 3. Di dunia mungkin kita bersama, namun di akhirat adakah kita masih bersama atau sebaliknya. 4. Kadangkala mimpi yang dialami itu adalah benar dan ia merupakan petunjuk daripada Allah.

Mohd Ubaidillah Al-Musawi Adaptasi Karya Al-Faqir I Koleksi Al-Qisah 40

PERISAI API NERAKAKisah Tauladan ke-13

Seorang lelaki ketika sedang melakukan ibadat wuquf di Padang Arafah, di tangannya tergengam 7 ketul batu sebagai kesaksian terhadap Allah dan RasulNya. Sebelum tidur, lelaki itu mengucap 2 kalimah syahadah. Suatu malam ketika sedang tidur, dia bermimpi seakan-akan kiamat telah tiba. Di sana dia dihisab dan dijatuhi hukuman masuk ke neraka. Lalu diringkan malaikat Zabaniah menuju ke neraka.

Apabila sampai di neraka, malaikat di bahagian azab cuba mencampakkannya tetapi gagal. Ini kerana di tangannya ada seketul batu yang pernah dibawa semasa melakukan wuquf.

Kemudian malaikat mengiringnya ke pintu kedua. Di sini pun malaikat gagal mencampakkannya lelaki itu ke dalam neraka. Batu yang bergengam di tangannya menjadi penghalang. Begitulah seterusnya sehingga genap 7 pintu neraka.

Akhirnya malaikat membawanya ke Arasy. Malaikat melaporkan kepada Allah. Ya Allah! Kami tidak mampu mencampakkan hambaMu ini ke dalam neraka. Sesungguhnya engkau lebih mengetahui tentang hambaMu ini.

Allah berfirman kepada lelaki itu, Wahai hambaku! Adalah batu-batu yang kau gunakan untuk bersaksi dengan kalimah syahadah sewaktu engkau menjalankan ibadah wuquf itulah yang menolongmu. Ia tidak mensia-siakan haqmu? Aku juga tidak akan mensia-siakan haqmu. Masukkan hamba ini ke syurga.

Ketika membawa lelaki tersebut ke syurga pintunya sedang tertutup. Lalu datanglah penyaksian kalimah syahadah, lantas pintu syurga itu terbuka dan masuklah dia ke dalam syurga. Dia kekal di dalamnya.

Pengajaran

1.Janji Allah adalah benar. 2.Allah tidak akan berlaku zalim sama sekali terhadap hambaNya. 3.Setiap amalan yang kita kerjakan sewaktu di dunia akan dibalas walau sekecil zarah sekalipun. 4.Syurga hanyalah untuk mereka yang beriman dan beramal soleh, adapun neraka untuk mereka yang ingkar dan derhaka kepada Allah s.w.t.

Mohd Ubaidillah Al-Musawi Adaptasi Karya Al-Faqir I Koleksi Al-Qisah 40

Salahauhuddin Al-Ayyubi

Kisah Tauladan ke-14

Seluruh dunia kenal dan tahu akan kehebatan, keberanian dan keperkasaan pahlawan besar Islam Salauhuddin Al-Ayyubi dalam peperangan Salib. Di bawah panglima besar ini, beberapa bumi Islam dapat dibebaskan dari penjajahan tentera salib kristian.

Beliau telah mencurahkan segala qudratnya dalam perang ini untuk mengembalikan maruah umat Islam yang dipermainkan oleh kaum musyrikin. Bumi Palestin yang telah dijajah oleh Kristian selama 90 tahun akhirnya telah dibebaskan.

Kekayaan Negara-negara Islam yang dapat dibebaskan digunakan sepenuhnya untuk kepentingan rakyat dan mempertahankan negara daripada serangan musuh. Di Mesir, Salauhuddin membina sebuah benteng tebal yang yang kukuh dan panjangnya lebih dari 1 kilometer.

Di Damaskus pula didirikan rumah atau tempat bagi orang-orang miskin. Begitu juga di Sudan, Yaman dan lain-lain negara yang pernah ditadbir oleh panglima besar ini di mana terdapat banyak bangunan-bangunan yang untuk kebajikan rakyat.

Setelah bertahun-tahun memimpin negara Islam dan berperang melawan tentera Salib bersama ayah mertuanya yang bernama Nuruddin Az-Zanki, tibalah masanya Salauhuddin kembali ke rahmatullah. Di saat kewafatannya berlakulah peristiwa yang amat menyedihkan.

Orang-orang besar dan kerabat diraja menyaksikan kewafatan beliau sambil mengalirkan air mata di atas pemergiannya. Orang ramai juga lebih terharu lagi apabila membuka tempat penyimpanan hartanya kosong dan begitu juga dengan harta kerajaannya kosong.

Semuanya telah digunakan untuk perang dan kebajikan rakyat. Hinggakan untuk membeli kain kafan pun tidak ada. Maka pembesar-pembesar dan raja-raja berpakat untuk mengutip derma bagi membeli kain kafan untuk pengurusan jenazah panglima.

Ini membuktikan bahawa panglima tidak memikirkan sama sekali tentang dirinya. Semuanya dicurahkan demi kepentingan Islam yang tercinta semata-mata. Allahu Akbar, semoga Allah mencucuri rahmat ke atasnya.

Pengajaran 1.Kesanggupan melakukan apa sahaja demi Islam akan dibalas oleh Allah dengan ganjaran yang tidak terhitung nilainya. 2.Keprihatinan seorang pemimpin terhadap rakyat dan orang bawahannya menjadikan diri mereka disayangi dan dihargai meskipun setelah mereka mati. 3.Kesanggupan melakukan apa sahaja demi Islam akan dibalas oleh Allah dengan ganjaran yang tidak terhitung nilainya. 4.Kematian mereka hanya pada zahirnya sahaja, namun tetap hidup sehingga sekarang dan masih segar di dalam jiwa ummat Islam.

Mohd Ubaidillah Al-Musawi Adaptasi Karya Al-Faqir I Koleksi Al-Qisah 40