TMK kahar.doc

download TMK kahar.doc

of 15

Transcript of TMK kahar.doc

Penggunaan Teknologi Maklumat ( TMK ) Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran Penggunaan teknologi komputer dalam bidang pendidikan bukanlah sesuatu yang baru, malah telah lama diperkenalkan. Definisi pengajaran berintegrasikan komputer ialah menggunakan perisian umum yang dibina khusus untuk mencapai objektif matapelajaran sebagai alat pengajaran dan pembelajaran (P&P). Penggunaan komputer dalam P&P mempunyai hubungan secara langsung dengan konsep penggunaan teknologi maklumat yang dibawa ke dalam dunia pendidikan. Penggunaan komputer di sekolah boleh dilihat daripada dua aspek, iaitu penggunaan komputer dalam pentadbiran serta penggunaan komputer sebagai bahan bantu mengajar.(Zamri & Mohamed Amin, 2008). Antara kelebihan pengajaran berintegrasikan komputer ialah ia dapat meningkatkan kefahaman dan penguasaan pelajar terhadap pelajaran. Selain itu, ianya juga dapat meningkatkan motivasi pelajar dan dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan dan mencabar. Pelajar juga akan mendapat pengalaman sebenar yang dapat merangsang aktiviti sendiri di kalangan pelajar dan membina pemikiran yang berterusan. Dengan pengajaran berasaskan komputer, kaedah pengajaran lebih kepada berpusatkan pelajar dimana pelajar dapat melakukan sendiri perbincangan, pembelajaran menggunakan aplikasi internet iaitu laman sosial yang menjadi penghubung antara pelajar untuk berinteraksi sesama mereka. (Zaidatol Akmaliah & Foo ,2003).

Menurut (Khan, 1999) pengajaran berasaskan laman web dilihat sebagai medium perantaraan dalam menyampaikan pengajaran kepada para pelajar. Para guru dan pelajar boleh memperolehi maklumat dengan penggunaan laman web ini khususnya untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran seperti melalui kuiz, nota tambahan, perbincangan dan sebagainya. Terdapat beberapa ciri utama yang membezakan laman web dengan media lain iaitu kebolehan menyediakan persekitaran yang membenarkan pelajar berinteraksi dengan guru, pelajar berinteraksi dengan pelajar-pelajar lain atau pelajar berinteraksi dengan persekitaran laman web itu sendiri. Oleh itu, pengajaran berasaskan web boleh dilakukan oleh semua guru sebagai tambahan kepada pengajaran di dalam kelas. Guru boleh menggunakan laman-laman web percuma yang sedia ada atau membinanya sendiri. Contohnya, guru-guru boleh menggunakan perisian Weebly, Webs, Blog, Joomla dan sebagainya. Kebiasaanya guru yang pertama kali ingin membangunkan laman web, mereka masih tiada kemahiran dalam merekabentuk antaramuka laman web tersebut. Tetapi perisian laman web percuma ini menyediakan pilihan rekabentuk web tersebut dan guru hanya perlu menukar ilustrasi, tajuk dan kandungan yang sesuai dengan topik pembelajaran. Pelaksanaan TMK dalam pengajaran dan pembelajaran membawa maksud menggunakan TMK secara saintifik, terancang, dan bersesuaian demi meningkatkan kecekapan proses dan keberkesanan pembelajaran dan pengajaran. Selain daripada itu TMK juga boleh ditakrifkan sebagai pelbagai bentuk peralatan dan sistem yang digunakan untuk memproses, mengurus, memanipulasi, memindah, menyimpan dan menyebarkan maklumat melalui media elektronik. Pada hari ini, TMK digunakan dalam hampir semua aspek kehidupan dan pengaruhnya dijangkakan akan membawa impak yang lebih besar terhadap dunia akan datang (Robertson, 1998) Manakala Holmes (1999), pula memberikan pandangan bahawa integrasi teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran memerlukan guru yang bersedia dan fleksibel dalam menggunakan teknologi dalam kaedah pengajaran harian dengan mata pelajaran yang diajar. Mempelajari bagaimana menggunakan komputer belum mencukupi untuk membolehkan guru menggabungkan teknologi dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Elemen yang penting dalam mengintegrasi teknologi ialah pemahaman guru terhadap isi pengajaran dan implikasi berhubung dengan teknologi. British advisory council for applied Research and Development mentakrifkan teknologi maklumat sebagai suatu disiplin saintifik, teknologi dan kejuruteraan serta teknik pengurusan yang digunakan dalam pengendalian dan pemprosesan maklumat serta penggunaannya; komputer dan saling tindakan antara mesin (komputer dan manusia; dan hal yang berkaitan dengan sosial, ekonomi dan kebudayaan. (British advisory council for applied Research dan Development: Report on Information Technology; H.M. Stationery Office. 1980) Pendapat Pisapa (1994), integrasi TMK dalam P&P bermaksud penggunaan teknologi pembelajaran untuk memperkenal, mengukuh dan menambah kemahiran. Penggunaan teknologi mesti digabungjalinkan bersama dengan kaedah pengajaran. Guru perlu mengintegrasi TMK untuk memberi nilai tambah kepada aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Ringkasnya peranan TMK dalam pengajaran dan pembelajaran akan membawa kepada kaedah-kaedah yang baru dan inovatif dalam pembelajaran dan penilaian. Berdasarkan kepada penjelasan yang diterangkan para pakar di atas, maka jelas TMK mempunyai makna dan ruang lingkup yang luas, hal ini disebabkan oleh penggunaan TMK tersebut tidak lagi diaplikasan setakat pada bidang pendidikan sahaja, akan tetapi sudah masuk pada seluruh ranah aktifitas manusia. Oleh itu perlu ditegaskan bahawa TMK yang dimaksud dalam huraian ini merujuk kepada penggunaan Alat Bantu Mengajar (ABM) khasnya di bidang komputer dan laman Web atau disingkat Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) dalam pengajaran dan pembelajaran. . Penggunaan TMK dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa MelayuSukatan mata pelajaran Bahasa Melayu merupakan pembelajaran yang memerlukan pelbagai kaedah dan Alat Bantu Mengajar (ABM) agar pembelajaran lebih berkesan serta menyeronokkan. Kita dapat bayangkan bagaimana mungkin seorang guru Bahasa Melayu menerangkan tajuk pelajaran hanya dengan chalk and talk. Untuk itu penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) khasnya penggunaan komputer dan laman Web dalam pengajaran dan pembelajaran sememangnya amat penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di sekolah. Namun beberapa kajian yang dijalankan mendapati guru-guru Bahasa Melayu masih berada pada tahap yang rendah menjadikan komputer sebagai budaya dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Ini disebabkan oleh kurangnya, kemahiran, saranan, serta nilai sikap dari guru tersebut. Sebagai cadangan terdapat beberapa pihak yang menjadi tunjang dari kesuksesan pelaksanaan program ini: pertama pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) sebagai sebuah sistem, pihak pentadbir, guru besar dan PIBG. serta bagaimana membangun nilai sikap guru Bahasa Melayu itu sendiri agar selalu selari dengan kemajuan inovasi pendidikan.

Penggunaan TMK dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu dilihat dalam konteks aspek pengajaran guru (guru menggunakan TMK) dan aspek pembelajaran (pelajar menggunakan TMK). Dalam konteks pembelajaran, penggunaan TMK dalam pengajaran dan pembelajaran boleh dikategorikan sebagai tutorial, penerokaan, aplikasi dan komunikasi. Dalam konteks pengajaran pula TMK digunakan sebagai tutor dan alat demonstrasi. Guru berperanan sebagai penyampai maklumat dan memastikan bahawa pelajar telah mempunyai pengetahuan sedia ada. Oleh itu segala perancangan dibuat mengikut turutan aktiviti supaya objektif pembelajaran tercapai. Guru boleh menggunakan TMK untuk pengurusan proses pembelajaran, Pengurusan Rekod Pelajar, dan Penjanaan Tabung Soalan. Guru dapat menyediakan persembahan pengajaran yang menarik dengan menggunakan aplikasi multimedia seperti Authoware, Freehand, Page Maker dan sebagainya kerana ia mengandungi grafik yang menarik yang boleh diaudiokan, divideo, dan dianimasikan secara bijaksana. Pelaksanaan pendekatan baru dalam pengajaran pembelajaran Bahasa Melayu ini boleh mengubah peranan daripada "tuan" kepada "pembantu", daripada "pengarah" kepada "penyelia", daripada "diktator" kepada "fasilitator". Pelajar menentukan dan merancang pembelajaran sementara guru pula bertindak memastikan pelajar berjaya melaksanakan rancangan pembelajaran mereka dan mencapai kriteria yang telah ditetapkan. Banyak juga kelebihan lain yang diperoleh sekiranya guru menggunakan TMK dalam proses pengajaran pembelajaran Bahasa Melayu. Pengajaran dan pembelajaran menggunakan TMK dan multimedia bagi mata pelajaran Bahasa Melayu akan dapat membantu meningkatkan penguasaan para pelajar dalam mata pelajaran Bahasa Melayu itu sendiri. Hal ini dapat dilihat melalui perubahan sikap, tingkah laku, minat dan prestasi pelajar sebelum, semasa dan selepas sesi pembelajaran berjalan. Peningkatan penguasaan dalam mata pelajaran para pelajar tersebut dapat dirumuskan sebagaimana berikut;

A) Mengubah Stail Pembelajaran Murid-Murid: Berlaku pembelajaran kendiri dan menggalakkan pembelajaran eksploratori (Penerokaan). Penggunaan TMK untuk pembelajaran menggalakkan pembelajaran kendiri dan penerokaan. Ianya berlaku apabila TMK digunakan sebagai medium untuk mencari dan mengakses maklumat daripada CD-ROM, internet, portal maklumat dan sumber-sumber maklumat yang lain.TMK juga dapat memberikan pengalaman, mempelajari dan mengkaji sesuatu fenomena secara simulasi serta melihat demonstrasi sesuatu kejadian. Melalui cara ini para pelajar boleh mengawal dan menentukan maklumat yang diterima melalui TMK. Para pelajar juga mempunyai kebebasan dalam menggunakan kemudahan TMK berdasarkan kehendak mereka. Berdasarkan tajuk-tajuk yang dipelajari dalam kelas ketika sesi pengajaran dan pembelajaran, saya memberikan beberapa alamat yang berkaitan yang boleh dilayari oleh pelajar melalui intenet. Dengan cara ini membolehkan setiap pelajar mencari dan mengakses sendiri maklumat daripada ensaiklopedia multimedia atau bahan-bahan daripada internet. Para pelajar akan mengumpul bahan-bahan ini, dan maklumat ini akan digunakan untuk menjana dan menguji hipotesis dalam penyelesaian masalah. Kesimpulannya, TMK memudahkan pelajar meneroka ilmu baru yang menjadikan proses pengajaran pembelajaran menjadi lebih menarik dan berkesan. Para pelajar dapat berfiki secara kritis, penyelesaian masalah, pengalaman belajar yang autentik, pengetahuan yang dibina adalah melalui interaksi sosial. Para pelajar telah bertukar sikapnya daripada seorang yang pasif menjadi aktif semasa dan selepas proses pembelajaran dan pembelajaran berjalan. B ) Memudah Dan Mempercepatkan Proses Pengajaran Dan

Pembelajaran Penggunaan teks sama ada dalam bentuk perkataan atau nombor menimbulkan masalah bagaimana untuk menerangkan bahagian-bahagian yang sukar untuk diterangkan atau difahami melalui penggunaan teks. Maka penggunaan multimedia dapat memudahkan pelajar memahami konsep yang abstrak dengan bantuan adunan elemen-elemen teks, audio,video, animasi, dan grafik. Ini membolehkan sesuatu proses penerangan dilakukan dengan lebih mudah dan pantas. Contohnya dalam pelajaran menulis karangan yang berkaitan tentang pencemaran alam sekitar, guru boleh menayangkan rakaman video tentang punca-punca pencemaran dan gambar-gambar yang dirakam menggunakan kamera digital akibat daripada tindakan manusia yang tidak bertanggungjawab. Tayangan rakaman video ini boleh memberikan gambaran yang lebih jelas kepada pelajar dan dapat membantu memberikan panduan apa yang patut mereka tuliskan sebagai isi-isi penting karangan mereka. Bahan-bahan multimedia interaktif dibangunkan dengan dengan menggunakan bahan visual grafik, teks, muzik, video serta animasi yang membantu mengukuhkan lagi kefahaman pelajar terhadap sesuatu konsep. Penggunaan muzik dan video sebagai alat bantu membolehkan para pelajar lebih memberikan perhatian terhadap apa yang guru ajar. Para pelajar dapat menghayati isi pelajaran dengan lebih jelas. Guru juga boleh menyediakan bahan atau soalan dengan memberikan perisian berbentuk latih tubi kepada pelajar yang lemah untuk tujuan pemulihan, memberikan perisian yang berbentuk tutorial kepada pelajar yang sederhana untuk tujuan pengukuhan dan memberikan perisian berbentuk exploratory kepada pelajar pintar untuk tujuan pengayaan. Pengajaran yang guru sampaikan lebih berkesan melalui media elektronik kerana pelajar dapat melihat sendiri apa yang diterangkan oleh guru dengan bantuan komputer. Kaedah ini membolehkan murid memahami dan menghayati situasi pembelajaran yang sebenar. Dengan kemahiran TMK yang guru miliki, guru boleh memuat turun maklumat, gambar dan rakaman video dari internet. Guru juga menggunakan perisian Microsoft Powerpoint dengan bantuan kamera digital masukkan gambar-gambar dan guru boleh tayangkan kepada para pelajar menerusi projektor LCD. Para pelajar mungkin mendapat idea dan pengetahuan untuk bertutur dan menceritakan apa yang disaksinya dari awal hingga akhir dengan penuh keyakinan , ini menunjukkan proses pembelajaran yang berkesan telah berlaku. Penggunaan papan interaktif semasa mengajar membolehkan guru membuat pembetulan setiap kesalahan yang dilakukan oleh para pelajar dengan serta-merta. Pelajar membuat tugasan menggunakan papan interaktif, hasil tugasan mereka dipancarkan menerusi projektor LCD. Kesimpulannya jelaslah di sini, dengan menggunakan TMK telah dapat meningkatkan pemahaman dan penguasaan para pelajar terhadap mata pelajaran Bahasa Melayu yang diajar. Proses pengajaran dan pengajaran menjadi lebih mudah dan lebih menarik. Hasilnya para pelajar dapat menghasilkan tugasan yang sempurna. Hal ini dapat membantu memudah dan mempercepatkan proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah kerana penggunaan TMK dalam pengajaran pembelajaran telah memudahkan tugas guru dan pelajar dalam menguasai kemahiran yang di ajar. C.) Membentuk Jaringan Komunikasi Yang Efektif, Cepat Dan Mudah Melalui TMK pelbagai bentuk maklumat dapat disampaikan dengan berkesan dan menarik. Penggunaan grafik, ilustrasi, dan apa bentuk gambar rajah yang digunakan dapat meningkatkan keberkesanan dalam pembelajaran. Tambahan pula penggunaan pelbagai media seperti audio, video dan animasi yang dinamik dapat meyampaikan maklumat dengan lebih efektif lagi bila diadunkan dengan teks dan grafik. Penggunaan TMK sebagai alat komunikasi merupakan serampang dua mata dalam perkongsian maklumat dan komunikasi. TMK membolehkan pelajar dan guru daripada lokasi yang berbeza menghantar, menerima dan berkongsi maklumat dalam pelbagai bentuk elemen multimedia. Hal ini akan mewujudkan hubungan kerja berpasukan dalam kalangan pelajar di samping memantapkan kemahiran berkomunikasi. Penilaian boleh dijalankan oleh guru secara individu dan kumpulan, perbincangan akan dibuat selepas hasil tugasan dibentangkan di dalam kelas. Hal ini akan menggalakkan percambahan pemikiran dan memantapkan kemahiran berfikir serta komunikasi para pelajar. Selain itu Interaksi guru dan pelajar dapat dipertingkatkan melalui TMK di mana guru dan murid berhubung terus melalui internet, e-mail atau berkunjung ke laman blog. Melalui internet pelajar dapat berhubung dengan sesiapa sahaja walau di mana berada kerana kadar caj yang dikenakan jauh lebih rendah dalam masa yang pantas.. Teknologi multimedia membolehkan guru melihat wajah pelajar yang menghubungi guru pada paparan skrin komputer. Pelajar dapat berbual secara terus dengan guru menerusi skrin komputer. Para pelajar akan merujuk kepada guru apabila ada masalah yang berkaitan dengan pembelajaran dan pada masa mereka memerlukan nota dan bahan rujukan. Interaksi dan komunikasi sebegini juga memudahkan guru untuk memantau hasil kerja pelajar apabila mereka menge-melkan tugasa atau latihan kepada guru. Pelajar boleh bertanya secara terus dan guru pula akan menjawab dengan cepat Jelaslah di sini melalui TMK jalinan komunikasi yang mantap dapat dilakukan secara berkesan. Guru dapat membantu meningkatkan jalinan komunikasi antara guru dengan pelajar dan pelajar sesama pelajar. Pelajar juga dapat berkomunikasi dengan ramai orang di seluruh dunia hanya menerusi skrin komputer menggunakan hujung jari sahaja. Ini menggambarkan kemahiran TMK yang guru miliki telah dapat menumbuhkan inspirasi kepada para pelajar dan dapat meningkatkan komunikasi yang efektif, cepat dan mudah. D). Pengekalan Informasi Yang Berkesan Multimedia digunakan sebagai perantara dalam sesebuah penyampaian atau pesembahan maklumat kepada para pelajar. Ia digunakan oleh individu yang mahukan kemudahan serta impak yang berkesan dalam persembahan maklumat mereka dengan sesebuah komputer peribadi yang lengkap dengan elemen multimedia dapat memberikan kesan bunyi, paparan grafik yang berwarna warni, animasi serta video. Set komputer yang dilengkapkan dengan multimedia telah diadaptasikan untuk memberi maklumat-maklumat tambahan dalam bentuk yang menarik kepada pengguna. Terdapat fakta telah membuktikan bahawa orang ramai telah menggunakan 75 peratus keupayaan untuk mengingat berdasarkan kepada apa yang mereka dengar, lihat dan lakukan, 40 peratus daripada apa yang mereka lihat serta dengar manakala 20 peratus daripada apa yang mereka dengar sahaja. Oleh sebab itu, ciri interaktif dalam persembahan multimedia merupakan komponen penting yang tidak seharusnya diabaikan kerana ia boleh menyokong keupayaan ingatan manusia Itu sendiri. Memandangkan keupayaan multimedia banyak memberi kesan yang positif terhadap proses penyampaian maklumat, maka guru seharusnya tidak teragak-agak menggunakan TMK untuk membantu meningkatkan keberkesanan pengurusan pengajaran pembelajaran dalam bilik darjah. Ternyata di sini bahawa, TMK telah dapat membantu meningkatkan pemahaman dan mengekalkan maklumat yang diperolehi pelajar melalui kaedah ulangan dan penerokaan.Teknologi maklumat telah memudahkan tugasan guru dan pelajar serta dapat membantu pelajar mempertingkatkan daya ingatan. Apa yang didengar, dilihat dan dialami oleh pelajar lebih lama kekal dalam memori ditambah dengan penggunaan teknologi yang menarik dan interaktif. E) Menghasilkan Kerja Yang Berkualiti, Lengkap Dan Mantap TMK dikatakan sebagai alat aplikasi apabila membantu pelajar melaksanakan tugasan pembelajaran, di samping sebagai mekanisma penyaluran maklumat pengajaran dan pembelajaran. Penggunaan perisian aplikasi umum seperti pemerosesan perkataan oleh pelajar dalam penghasilan karangan atau penggunaan perisian hamparan elektronik akan menghasilkan plot graf. Pelbagai perisian aplikasi yang boleh dimanfaatkan dalam melaksanakan tugasan pembelajaran seperti Microsoft Word, Microsoft Excell, Microsoft Access, Microsoft Power Point, Paintshop, dan sebagainya. Pelajar boleh memilih mana-mana perisian yang sesuai dengan kehendak dan kemampuan mereka. Penggunaan perisian aplikasi ini dapat membantu pelajar melaksanakan aktiviti pembelajaran. Perisian aplikasi Microsoft Excell yang sesuai boleh digunakan untuk membantu murid membina graf-graf yang diperlukan. Manakala perisian Microsoft Powerpoint membolehkan murid membuat pembentangan hasil tugasan yang guru berikan sama ada secara kumpulan atau individu. Menggunakan komputer semasa mengajar dan belajar dapat meningkatkan semangat atau motivasi pelajar untuk terus belajar dan mencuba sesuatu yang baru dalam hidup mereka. Aplikasi multimedia yang melibatkan pelbagai jenis media yang menarik dan dinamik dapat meningkatkan minat seseorang pelajar terhadap bahan pembelajaran yang disediakan. Selain itu penggunaan TMK dan multimedia dapat mewujudkan persekitaran pembelajaran yang merangsang pelajar untuk terus belajar. Strategi Pengajaran Dan Pembelajaran Sastera Menggunakan Komputer

Criswell(1989) mendefinisikan PBK sebagai penggunaan komputer dalam menyampaikan bahan pengajaran dengan melibatkan pelajar secara aktif. Pendek kata matlamat PBK ialah untuk mengajar. Mengajar bermakna menyampaikan pengajaran dengan menggunakan program komputer. Menurut Gagne dan Briggs (Wang dan Sleeman 1994) kemasyhuran komputer menjadi popular sebagi media pembelejaran kerana komputer memiliki keistimewaan yang tidak dimiliki oleh media pembelajaran yang lain sebelum zaman komputer.Di antara keistimewaan tersebut adalah hubungan interaktif, pengulangan dan maklumbalas serta peneguhan.Penggunaankaedah Pengajaran dan Pembelajaran Berbantukan Komputer (PPBK) secara terancang akan menghasilkan pembelajaran yang berkesan, aktif dan bermutu.Antara jenis atau teknik PPBK termasuklah tutorial, latihtubi, Permainan, Simulasi,Tunjuk Cara dan Ujian.Menurut Gagne dan Briggs (Wang dan Sleeman 1994) kemasyhuran komputer menjadi popular sebagi media pembelejaran kerana komputer memiliki keistimewaan yang tidak dimiliki oleh media pembelajaran yang lain sebelum zaman komputer.kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Berbantukan Komputer (PPBK) secara terancang akan menghasilkan pembelajaran yang berkesan, aktif dan bermutu. Melalui teknik PBK yang terancang ia akan dapat digunakan dalam semua subjek dan menarik minat para pelajar disebabkan beberapa perkara berikut :- Hubungan interaktifKomputer membolehkan wujudnya hubungan di antara rangsangan dengan jawapan. Bahkan menurut Dublin (1984,1996) komputer dapat menumbuhkan inspirasi dan meningkatkan minat. Berdasarkan hubungan interaktif ini murid-murid akan dapat mencapai maklumat yang dikehendaki dengan menggunakan hyperlink atau pautan untuk mencapai sesuatu maklumat.PengulanganKomputer membolehkan pengguna mengulangi apabila perlu untuk memperkuatkan lagi pembelajaran dan memperbaiki lagi ingatan. Dalam pengulangan amat diperlukan kebebasan dan kreativiti daripada para pelajar (Clements, 1994) .Maklumbalas dan peneguhanMedia komputer membolehkan pelajar memperoleh maklum balas terhadap pelajaran serta merta dan boleh memotivasikan pelajar dengan peneguhan positif yang diberi apabila pelajar memberikan jawapan.Di dalam pengajaran dan pembelajaran Sastera Melayu, penggunaan komputer juga mempunyai impak yang besar kepada pelajar. Kesan yang lebih baik dapat dijelmakan dengan strategi pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer yang lebih tepat dan bermakna. Di antara strategi yang boleh digunakan oleh guru adalah melalui penggunaan mod-mod pengajaran dan pembelajaran menggunakan TMK ini. Mod-mod yang terdapat dalam pengajaran dan pembelajaran teknologi maklumat dalam pengajaran sastera yang boleh digunakan adalah seperti berikut :-TutorialTutorial melibatkan komputer memperkenalkan bahan-bahan pembelajaran di sampaikan secara berperingkat-peringkat dan diikuti dengan soalan-soalan. Seterusnya komputer akan menyemak jawapan dan memberikan maklum balas. Ianya sesuai digunakan untuk memperkenalkan isi kandungan baru, mengulangkaji dan pemulihan kepada pelajar yang berpencapaian rendah atau pengayaan kepada pelajar yang berpencapaian tinggi.Ianya juga dapat digunakan untuk pengukuhan, menyelesaikan masalah (Alessi & Trollip, 1985) dan untuk mengajar konsep-konsep yang konkrit dan abstrak. Ini semua dilakukan dengan menggunakan ilustrasi, animasi, soalan serta teks. Perkembangan teknologi komputer membolehkan video serta audio digunakan untuk merangsang pelajar.Mod PenerokaanMod ini merupakan pengabungan isi pelajaran dan suatu strategi penyampaian yang membolehkan pelajar meneroka suatu perkara atau konsep dan membina pengetahuan kendiri. Tujuan utama penggunaan mod penerokaan bukannya untuk mendapat jawapan salah atau betul tetapi memfokus kepada penglibatan pelajar dalam sesuatu konsep atau perkara dengan kefahaman mereka sendiri.Mod KomunikasiMod ini menekankan penggunaan teknologi yang berkaitan komunikasi dalam membantu pengajaran dan pembelajaran. Mod komunikasi melibatkan beberapa kemudahan seperti e-mail, telesidang (sidang video atau audio), enjin pengelintar melalui internet dan pembinaan laman web.Mod AplikasiMod aplikasi adalah merupakan penggunaan beberapa perisian aplikasi seperti pemproses kata, hamparan elektronik, persembahan elektronik, dan pangkalan data. Sebagai alat bantu pengajaran dan pembelajaran. Persembahan elektronik digunakan untuk menyampaikan maklumat secara lebih berkesan dan menarik bagi merangsang minda murid untuk mengikut pelajaran dengan mudah.Kesimpulan

Penggunaan TMK dalam pendidikan selaras dengan hasrat Malaysia untuk meningkatkan kualiti pendidikan bertaraf dunia. Pembangunan pendidikan pada abad ke-21 di negara kita menjadi lebih kompetitif di mana Malaysia perlu melangkah ke hadapan bagi mengantarabangsakan kualiti pendidikan. TMK menjadi pemangkin kepada perkembangan pendidikan bertaraf dunia yang menjadi impian Malaysia. Guru bukan sahaja merupakan sumber inspirasi kepada para pelajar, malah guru-guru menjadi pendorong kepada kejayaan dan kemajuan pelajar. Teknologi perlu dilihat sebagai satu alat dan bukan segala-galanya yang boleh mengambil peranan penting seseorang guru. Guru diperlukan untuk mencorakkan perkembangan pelajar kerana tugas ini tidak boleh dilakukan oleh teknologi walau secanggih mana sekalipun teknologi boleh mencorakkan pembelajaran. Pembelajaran memerlukan hubungan manusia dengan manusia dan sentuhan guru terhadap Pelajar. Peranan guru yang berterusan sebagai seorang pakar untuk membimbing, mendorong, membina keyakinan, menunjuk ajar, menangani masalah pembelajaran, mengembang kemahiran diri, dan sebagainya tidak boleh diambil alih oleh teknologi. Dalam menangani arus ledakan teknologi ini guru harus mempertingkatkan kecekapan dalam pengurusan pendidikan, meluaskan peranan guru dalam membantu dan membimbing para pelajar serta membantu guru meningkatkan usaha bagi meningkatkan kualiti pendidikan yang diberi kepada pelajar dan seterusnya berjaya membangunkan modal insan cemerlang, gemilang dan terbilang. Konsep pembelajaran sepanjang hayat menjadikan TMK sebagai medium paling berkesan ke arah merealisasaikan impian tersebut. Apa lagi dalam usaha kerajaan untuk memperkasakan pendidikan di Malaysia dalam usaha melahirkan bangsa Malaysia glokal berminda kelas pertama dalam menyahut Sembilan Cabaran Wawasan 2020. RujukanAbdul Rahim Bin Abdul Razak. (2005): Profesionalisme Keguruan Prospek Dan Cabaran: Kuala Lumpur . Dewan Bahasa Dan PustakaHolmes.W. (199): The Transforming Power of Information Technology , Community College Journal , 70(2) : ms 10-15Jamalludin Harun, Dr. Zaidatun Tasir.(2003): Multimedia Dalam Pendidikan, Kuala Lumpur, PTS Publication & Distrubator Sdn. Bhd. Jamalludin Harun, Dr. Zaidatun Tasir.(2005): Multimedia Konsep dan Praktis, Kuala Lumpur, Venton Publishing. Kamus Dewan Edisi Ke-4.(2007): Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan PustakaKhan, B.H. (1999). Web- Based Instruction. Dalam Norliza Hussin, Mohamad Sattar Rasul & Roseamnah Abd. Rauf. Penggunaan Laman Web Sebagai Transformasi Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran Pendidikan Islam .Selangor: Universiti Kebangsaan Malaysia.Modul OUM.(2006): HBEF2303- Teknologi Maklumat Dalam Pendidikan. Kuala Lumpur. Meteor Doc. Sdn. Bhd Pusat Zaidatol Akmaliah Lope Pihie & Foo Say Fooi . (2003). Pengurusan & Kepimpinan Pendidikan. Selangor : Penerbit Universiti Putra Malaysia. Zamri & Mohamed Amin. (2008). Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu: Teori dan Praktis. Selangor: Karisma Publications Sdn.Bhd. Zainuddin Abu Bakar, Meor Ibrahim Kamaruddin, Mohd Ali Ibrahim & Rahmad Sukor Ab Samad. (2008). Kemahiran ICT Dikalangan Guru Pelatih IPTA Malaysia. Selangor: Arah Pendidikan Sdn.Bhd.SUMBER INTERNET http://cgdahpm.blogspot.com/2010/01/kepentingan-ict-dalam-meningkatkan.html http://engkizarquran.wordpress.com/2010/04/15/pentingnya-integrasi-ict-dalam- proses-pengajaran-dan-pembelajaran. Dimuat turun pada 22/08/2012 http://iab-academia.edu/RusminiKuAhmad/papers/524734/Integrasi Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam Pengajaran dan Pembelajaran. Dimuat turun pada 20/08/2012http://www.slideshare.net/norhisham/teknologi-maklumat-untuk-pp. dimuat turun pada 06/08/2012 http://www.slideshare.net./shahwaran/penggunaan-ict-dalam-pp-presentation. dimuat turun pada 06/08/2012

. Kementerian Pelajaran Malaysia.(2010): Kurikulum Standard Sekolah Rendah, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Tahun Satu. Putrajaya. Kementerian Pelajaran Malaysia.(2010): Kurikulum Standard Sekolah Rendah, Modul Pengajaran Teknologi Maklumat dan Komunikasi Dalam Teras Dunia Sains Teknologi, Tahun Satu. Putrajaya.