TUGASAN BMM3142-Kebudayaan
-
Upload
leslie-williams -
Category
Documents
-
view
36 -
download
3
Transcript of TUGASAN BMM3142-Kebudayaan
1.0 PENGENALAN
Kebudayaan merupakan keseluruhan cara hidup manusia. Ia berperanan penting dalam
proses pembangunan negara di Malaysia di mana keperibadian Malaysia harus dipupuk dalam
usaha-usaha yang dijalankan ke arah meningkatkan pembangunan sosioekonomi dan politik.
Ini sudah tentunya memerlukan penggemblengan dan penglibatan semua lapisan masyarakat
dalam satu proses yang berterusan.
Bagi sebuah negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum seperti di Malaysia,
proses pembentukan kebudayaan nasional memerlukan perancangan yang teliti dan rapi
supaya dapat melahirkan cara hidup yang bersifat keMalaysiaan. Perancangan kebudayaan ini
harus menentukan sifat-sifat yang baik, mulia dan utama bagi pembinaan bangsa dan
ketahanan negara.
Budaya bersifat universal tetapi pada masa yang sama terdapat perbezaan antara budaya
satu masyarakat dengan masyarakat lain. Sesuatu kebudayaan berkembang dan terus dicipta
mengikut kesanggupan masyarakatnya. Ada budaya yang dipadankan apabila berlaku
pertembungan dengan pengaruh luar sama ada untuk mengisi kekosongan sebagai alternatif
atau menokok kepada apa yang telah sedia ada. Maka boleh dikatakan bahawa manusia itu
sendiri membentuk budaya dan perkembangan budaya akan mengikut perkembangan
masyarakat itu sendiri.
Kebudayaan Melayu menjadi teras kebudayaan kebangsaan di Malaysia dan dapat
dikatakan sebagai suatu bentuk kebudayaan yang agak liberal. Perubahan dalam kebudayaan
ini dibuat supaya kebudayaan sukuan dan kaum yang lain turut dapat ditonjolkan. Misalnya,
terdapat beberapa unsur kebudayaan daripada Cina dan India yang dapat diserap kedalam
budaya Melayu mengikut kesesuaian.
Melalui sejarah,perkembangan kebudayaan di Malaysia terus dipupuk sehingga
terbentuknya sebuah negara yang Malaysia yang mempunyai rakyat yang berbilang kaum. Oleh
itu, Dasar Kebudayaan Kebangsaan telah digubal untuk memupuk semangat perpaduan dan
menanam semangat kesetiaan serta menyatupadukan rakyat yang berbilang kaum.
Kebudayaan Melayu telah dipilih sebagai teras kebudayaan Malaysia kerana orang Melayu
merupakan masyarakat asal yang menduduki rantau ini di samping dapat diterima oleh seluruh
rakyat Malaysia. Tambahan pula, kebudayaan Melayu dapat menerima kebudayaan luar yang
bersesuaian seterusnya tidak bercanggah dengan lunas-lunas tertentu yang menjadi anutan
masyarakat Melayu.
1
2.0 DEFINISI BUDAYA
Budaya yang dikonsepsikan oleh orang ramai selalunya meliputi hal-hal mengenai
kesenian. Sedangkan pengertian budaya dalam pengajian anthropologi adalah suatu jalinan
yang kompleks. Perlakuan manusia yang dipelajari (learned behaviour) adalah menjadi asas
kepada pertumbuhan budaya. Perlakuan-perlakuan manusia yang diterima dari proses
pembelajaran terjalin dalam suatu sistem yang tersusun rapi, iaitu merupakan budaya. Definisi
budaya itu berbagai-bagai sebagaimana yang diberikan oleh sarjan-sarjana anthropologi
budaya. A.L. Kroeber dan C. Kluckhohn pernah mengumpul sehingga 160 definisi budaya yang
telah digunakan oleh sarjana-sarjana. Kemudian mereka menganalisis dan membuat
kesimpulan.
Oleh itu, budaya boleh didefinisikan sebagai suatu cara hidup yang diamalkan oleh
kumpulan tertentu dan meliputi sistem sosial, susunan organisasi ekonomi, politik, agama,
kepercayaan, adat resam, sikap dan nilai. Kebudayaan sangat erat hubungannya dengan
masyarakat. Melville J. Herskovits dan Bronislaw Malinowski mengemukakan bahwa segala
sesuatu yang terdapat dalam masyarakat ditentukan oleh kebudayaan yang dimiliki oleh
masyarakat itu sendiri. Istilah untuk pendapat itu adalah “Cultural-Determinism”.
Menurut Nik Safiah Karim, “budaya adalah tenaga fikiran, usaha rohani atau kuasa
mengerakkan jiwa”.
Mohd Taib Osman (1988),pula menyatakan bahawa “budaya adalah satu himpunan
kelengkapan intelektual dan kebendaan yang mampu memenuhi kehendak biologi dan
kemasyarakatan serta dapat menyesuaikannya dengan keadaan sekeliling”.
Seterusnya, Herskovits memandang kebudayaan sebagai sesuatu yang turun temurun dari
satu generasi ke generasi yang lain, yang kemudian disebut sebagai superorganik. Menurut
Andreas Eppink, kebudayaan mengandungi keseluruhan pengertian nilai sosial,norma sosial,
ilmu pengetahuan serta keseluruhan struktur-struktur sosial, agama dan lain-lain. Segala
penyataan intelektual dan artistik menjadi ciri khas suatu masyarakat. Menurut Edward Burnett
Tylor, kebudayaan merupakan keseluruhan yang kompleks, yang di dalamnya terkandung
pengetahuan, kepercayaan, kesenian, moral, hukum, adat istiadat, dan kemampuan-
kemampuan lain yang didapat seseorang sebagai anggota masyarakat. Menurut Selo
Soemardjan dan Soelaiman Soemardi, kebudayaan adalah sarana hasil karya, rasa, dan cipta
masyarakat.
Terdapat dua peranan utama bagi pembentukan sesuatu budaya: pertama, membina imej
negara ke arah mewujudkan keperibadian serta identiti; dan kedua, memupuk kesedaran
kebangsaan dan kenegaraan bercirikan kerohanian, kemanusiaan, spiritual dan mental. Budaya
2
memberikan identiti kepada sesuatu kelompok dalam aspek cara pengendalian hidup. Budaya
diwarisi daripada satu keturunan kepada satu keturunan. Oleh itu, budaya dikatakan sebagai
satu himpunan kelengkapan intelektual dan kebendaan yang dapat memenuhi kehendak biologi
dan kemasyarakatan serta dapat menyesuaikannya dengan keadaan sekeliling.
Kesimpulannya, dari pelbagai definisi tersebut,kebudayaan dapat diertikan sebagai sesuatu
yang akan mempengaruhi tingkat pengetahuan dan meliputi sistem idea atau gagasan yang
terdapat dalam pemikiran manusia, sehingga dalam kehidupan seharian, kebudayaan itu
bersifat abstrak. Kewujudan kebudayaan adalah benda yang diciptakan oleh manusia sebagai
makhluk yang berbudaya, berupa perilaku dan benda-benda yang bersifat nyata, misalnya pola-
pola perilaku, bahasa, peralatan hidup, organisasi sosial, agama, seni, dan lain-lain yang
kesemuanya ditujukan untuk membantu manusia dalam melangsungkan kehidupan
bermasyarakat.
3.0 KONSEP BUDAYA
Kebudayaan merupakan tamadun sesuatu masyarakat yang diwarisi daripada satu generasi
kepada satu generasi yang berikutnya. Kebudayaan berkaitan dengan keseluruhan sistem
kehidupan yang dipraktikkan oleh sesuatu masyarakat. Dalam kebudayaan itu, terkandung
unsur sosial, kepercayaan, sistem simbol, unsur teknologi, ekonomi yang menjadi milik
masyarakatnya. Budaya dapat membezakan sesuatu masyarakat dengan masyarakat yang
lain. Budaya sesuatu masyarakat dapat menentukan keperibadian kebangsaan sesebuah
negara. Di Malaysia, budaya Melayu dipersetujui sebagai teras kebudayaan kebangsaan,
namun unsur-unsur budaya kaum lain seperti Cina dan India turut diambil kira.
Kamus Dewan (2005) mendefinisikan budaya sebagai kemajuan fikiran, akal budi (cara
berfikir), berkelakuan dan sebagainya. Tegasnya, budaya boleh didefinisikan sebagai suatu
cara hidup yang diamalkan oleh kumpulan tertentu dan meliputi sistem sosial, susunan
organisasi ekonomi, politik, agama, kepercayaan, adat resam, sikap dan nilai.
Perkataan budaya berasal daripada cantuman perkataan Sanskrit dan Melayu, iaitu 'budhi'
dan 'daya'. Perkataan 'budhi' yang dipinjam daripada bahasa Sanskrit bererti kecergasan fikiran
dan akal. Perkataan 'daya' pula ialah perkataan Melayu Polynesia yang bermakna kekuatan
kuasa, tenaga dan pengaruh. Jika dicantumkan kedua-dua perkataan tersebut, budaya
membawa maksud tenaga fikiran, usaha rohani atau kuasa menggerakkan jiwa.
Manakala dalam bahasa Inggeris, kebudayaan dikenali sebagai culture,iaitu berasal dari
perkataan latin cultura. Perkataan culture diterjemahkan dengan maksud budaya, dan
3
kebudayaan pula ialah terjemahan daripada cultural. Namun dalam kehidupan seharian,
perkataan culture juga merujuk kepada kebudayaan. Dalam bahasa Mandarin pula, budaya
disebut Wen Hua dan dalam bahasa Arab disebut Thaqafah.
Adakala budaya itu didapati sama ertinya dengan peradaban, tetapi peradaban itu adalah
sebahagian daripada budaya. Dalam budaya itu terdapat berbagai-bagai jalinan unsur, ada
unsur yang amat besar dan ada unsur kecil. Unsur-unsur budaya itu dapat dikelasifikasikan
kepada beberapa bahagian yang penting bagi memudahkan perbincangan akademik.
Sebenarnya unsur-unsur itu saling berkaitan antara satu sama lain. Selalunya unsur-unsur itu
bertindih sesama sendiri. Antara unsur-unsur budaya itu terdapat unsur-unsur besar yang
dikatakan budaya universal (cultural universal) yang dapat dibahagikan kepada: budaya
peralatan bagi keperluan hidup manusia, sistem ekonomi, sistem sosial, bahasa, kesenian dan
mainan, ilmu pengetahuan dan agama serta magis. Dalam unsur-unsur budaya besar itu
terdapat pula bahagian-bahagian yang lebih kecil. Dalam berbagai-bagai unsur budaya itu
terdapat pula aktiviti-aktivitinya yang tersendiri yang dapat dikatakan aktiviti budaya (cultural
activities). Segala aktiviti budaya itu terbahagi pula kepada jalinan-jalinan yang lebih kecil yang
kita namakan “trait complexes” dan kemudian boleh dipecah-pecahkan kepada trait-trait yang
lebih kecil. Daripada traits ini terdapat pula pecahan yang lebih kecil yang dinamakan unsur
atau “items”.
Budaya juga dapat dilihat dari aspek perlakuan dan hasil perlakuan anggota-anggota
masyarakat. Perlakuan manusia didorongkan oleh berbagai-bagai aspek lain, seperti norma,
nilai, peraturan, adat resam, kepercayaan, undang-undang dan sebagainya. Perlakuan ini
adalah hasil dari berbagai-bagai proses dan ini juga yang melahirkan berbagai-bagai peralatan
budaya. Sesuatu sistem itu merupakan perlakuan individu dan gabungan dengan alat-alat yang
dihasilkan. Dalam penyelidikan anthropologi budaya memerlukan satu proses yang kompleks
bagi memahami perhubungan dan interaksi individu dalam sesuatu masyarakat itu.
Budaya dari segi bahasa pula merujuk kepada satu cara yang diamalkan dalam kehidupan
bermasyarakat kini. Budaya merujuk kepada satu cara hidup yang diamalkan kebanyakan
orang termasuk pemikiran, nilai kepercayaan, pandangan dan tabiat berfikir seseorang. Budaya
merupakan warisan sosial manusia, cara pemikiran, perasaan dan tingkah laku yang boleh
diwarisi. Budaya adalah hak masyarakat yang akan menentukan bentuk tingkah laku mereka.
Dalam pada itu, budaya dalam konteks pendidikan semasa dilihat melalui budaya di
sekolah yang disamakan atau sebahagian daripada budaya masyarakat. Murid akan di didik
untuk berbudaya sebagaimana dikehendaki oleh masyarakat. Budaya dalam masyarkat juga
akan mempengaruhi budaya di sesebuah sekolah.
4
Sebagai pendidik, adalah menjadi tanggungjawab guru untuk menerapkan pendidikan nilai
yang merangkumi nilai material dan bukan material mengikut acuan Malaysia. Ini membolehkan
murid yang dihasilkan sekolah boleh diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat yang terdiri dari
pelbagai kaum.
Sekolah harus berupaya menerapkan budaya melalui pendidikan formal dalam kurikulum
dan kegiatan ko-kurikulum yang dapat mewujudkan perpaduan antara kaum. Dalam
kepelbagaian kelompok murid di Malaysia, budaya meliputi setiap aspek berikut iaitu lokasi,
pekerjaan ibu bapa, pendidikan yang diterima, status ekonomi, sosial, keturunan, kuasa politik,
bangsa, bahasa, adat resam, kepercayaan dan jantina.
Budaya dalam masyarakat dikatakan melibatkan keseluruhan aspek yang mengandungi
budaya rakyat asal. Budaya adalah lambang dan institusi kebangsaan. Budaya adalah hasil
ciptaan nasional yang merangkumi aspek kepercayaan, pemikiran, falsafah, moral, undang-
undang, etika, kesenian, bahasa, kesusateraan dan cara hidup yang disebati untuk diterima
bersama.
Oleh itu, budaya merupakan aspek kepunyaan bersama yang dikongsi bersama
masyarakat. Budaya menjadi sumber identifikasi kekitaan dalam kepelbagaian kelompok di
Malaysia dan terus diamalkan untuk mengangkat martabat negara.
4.0 MASYARAKAT DAN BUDAYA
Dinamiks Sosial: dalam proses ini kita perlu memahami sosialisasi, enkulturasi, evolusi,
inovasi, difusi, assimilasi dan akulturasi. Dalam penyelidikan sosio-budaya persoalan ini
hendaklah dilihat dalam konteks perubahannya.
Proses sosialisasi: meliputi seluruh proses penyesuaian individu dalam budayanya secara
mempelajari, baik secara formal mahupun tidak formal bagi memahami masyarakat sekitarnya.
Seorang itu mengalami proses sosialisasi sejak lahir sehingga seorang itu meninggal dunia.
Seorang itu mempelajari norma, nilai dan peraturan-peraturan hidup dalam masyarakatnya.
Proses pembudayaan yang disebut enkulturasi, ialah penyesuaian dengan kehendak-
kehendak budaya sendiri. Konflik sosial selalu terdapat dalam proses sosialisasi itu, sehingga
adakalanya melahirkan individu yang menyeleweng (deviants). Aspek penyelewengan dalam
budaya ini adalah suatu fenomena yang terdapat dalam semua budaya.
5
4.1 Proses Perubahan Masyarakat Dan Budaya
Perubahan berlaku kerana budaya itu dinamis, iaitu berlaku perubahan dari masa ke masa.
Perubahan itu adakala terjadi dalam jangka masa yang lama dan adakala berbentuk reformasi
atau revolusi.
Evolusi budaya ialah suatu proses perubahan masyarakat dan budaya yang mengambil
masa yang lama. Perubahan yang berlaku itu lebih berupa secara bersendirian, iaitu tidak ada
tekanan dari luar. Konsep perubahan budaya pula merupakan perubahan yang terjadi dalam
jangka masa yang lebih pendek dan mungkin hasil dari pertembungan dengan luar atau lebih
bersifat tekanan dari luar. Perubahan budaya itu terjadi secara asimilasi dan akultrasi.
Proses evolusi yang mengambil masa lama itu dalam anthropologi dikatakan “directional
processes” yang dilihat dari jauh. Proses evolusi secara berulang-ulang itu dipanggil proses
“recurrent”.
Inovasi ialah proses perubahan budaya yang besar tetapi terjadi dalam jangka masa yang
tidak begitu lama. Penemuan baru disebarkan kepada masyarakat, dan budaya itu diterima
serta dipelajari dan akhirnya menjadi kebiasaan dalam masyarakat.
Penemuan (discovery dan invention) ialah penemuan unsur budaya baru. Bila penemuan itu
diserap ke dalam budaya maka ia dikatakan penciptaan.
4.1.1 Difusi
Difusi bermakna proses penyebaran unsur-unsur budaya daripada seorang individu kepada
seorang individu lain, atau dari satu masyarakat kepada satu masyarakat lain. Proses
penyebaran unsur-unsur budaya dalam masyarkat yang sama disebut difusi dalam masyarakat
yang sama (intra-society diffusion) dan proses difusi antara masyarakat itu ialah “inter-society
diffusion”. Intra-society diffusion selalunya merupakan penyebaran dan peresapan unsur-unsur
budaya baru yang ditemui dari proses inovasi dan penciptaan. Dalam anthropologi proses difusi
budaya itu dimaksudkan penyebaran dan penyerapan unsur-unsur budaya daripada satu
masyarakat kepada satu masyarakat lain. Proses ini berlaku mungkin secara dibawa oleh
orang-orang yang berpindah, iaitu proses migrasi, terutama dalam zaman pra-sejarah yang
kerapkali berlaku migrasi kelompok-kelompok tertentu. Difusi budaya boleh berlaku kerana
kedatangan individu-individu dari luar, seperti pengembara, pedagang, pelaut dan sebagainya.
Misalnya, dalam perkembangan unsur-unsur budaya Hindu ke kawasan ini. Difusi juga boleh
berlaku dengan pertembungan kelompok penduduk tempatan dengan kelompok jiran dengan
berbagai-bagai cara pertemuan. Cara pertama ialah hubungan dalam bentuk daripada masing-
masing budaya itu hampir tidak berubah yang disebut sebagai symbiotic.
6
Difusi peresapan budaya melalui pedagang-pedagang berlaku secara sukarela yang tidak
disedari. Difusi budaya juga dilakukan oleh missionary atau pengembang agama, cara ini
dilakukan dengan sengaja. Peresapan budaya secara tekanan (imposed) ialah melalui
peperangan, penaklukan dan seumpamanya, di sini terdapat unsur paksaan.
Kini proses difusi tersangat cepat berlaku kerana terdapat berbagai-bagai kemudahan sistem
komunikasi yang tersebar luas, seperti radio, televisyen dan filem.
Unsur-unsur budaya selalu bergerak, tersebar atau meresap dari satu budaya kepada satu
budaya lain dengan berbagai-bagai cara dan jalinan difusi itu merupakan satu kompleks yang
tersendiri. Perpindahan budaya itu menjadi satu gabungan atau kompleks yang agak sukar
untuk dipisah-pisahkan. Sesuatu unsur budaya itu mempunyai kait mengait dengan unsur-unsur
budaya lain yang menjadikannya sebagaimana satu kompleks tersendiri, misalnya jualan kereta
ke negeri lain, juga melibatkan hal-hal lain berkaitan dengan kereta.
4.1.2 Asimilasi
Asimilasi merupakan satu proses percantuman dan penyatuan antara kumpulan etnik
berlainan budaya sehingga membentuk satu kelompok dengan kebudayaan dan identiti yang
sama. Asimilasi mutlak menyebabkan berlakunya penghapusan penuh perbezaan dari segi
kebudayaan dan identiti. Konsep ini diwakili dengan formula A+B+C=A. A dalam hal ini mewakili
golongan dominan sementara B dan C mewakili kumpulan etnik minoriti. Contohnya, orang
Melayu di Thailand telah mengalami proses asimilasi yang menyebabkan nama, bahasa dan
hampir semua aspek cara hidup mereka (kecuali agama) telah disatukan dengan amalan dan
cara hidup orang Thai. Di Malaysia, masyarakat Cina Kelantan, Baba dan Nyonya merupakan
contoh berlakunya proses asimilasi. Namun, bagi etnik cina di Kelantan serta Baba dan
Nyonya, asimilasi berlaku dalam konteks budaya tanpa melibatkan anutan, kepercayaan atau
agama. Proses asimilasi berlaku apabila wujudnya interaksi yang erat antara ahli kumpulan
etnik berbeza budaya bagi suatu tempoh yang lama. Kejayaan asimilasi umumnya bergantung
pada kesanggupan etnik minoriti menghilangkan identiti mereka dan menerima identiti
kumpulan etnik majoriti.
4.1.3 Akulturasi
Akulturasi merupakan perpaduan dua budaya. Kedua-dua unsur kebudayaan yang
bertemu dapat hidup berdampingan dan saling mengisi tetapi tidak menghilangkan unsur asli
kedua-dua kebudayaan tersebut. Perpaduan antara kebudayaan yang berbeza ini berlangsung
dengan damai dan serasi. Akulturasi ialah suatu proses sosial. Suatu kelompok manusia
7
dengan kebudayaan tertentu dihadapkan dengan unsur daripada suatu kebudayaan asing.
Kebudayaan asing itu lambat laun diterima dan diolah dalam kebudayaannya sendiri tanpa
menyebabkan hilangnya unsur kebudayaan kelompok itu sendiri. Contohnya ialah orang India
memakai baju Melayu dan bersongkok pada suatu majlis rasmi.
Dalam sejarah tamadun manusia, sering berlaku pertemuan atau pertembungan antara dua
atau lebih kebudayaan. Proses ini menyebabkan berlakunya proses pinjam-meminjam. Pada
peringkat awal, unsur pinjaman digunakan secara langsung dan kemudian diolah serta
dijadikan unsur kebudayaan sendiri. Tetapi, jika unsur budaya yang diambil itu tidak diolah
dengan baik, pastinya tindakan ini akan memberi kesan yang tidak baik kepada sesuatu
masyarakat. Tidak mudah untuk membentuk suatu masyarakat yang mencapai tahap
akulturasi. Akulturasi lebih mudah dicapai apabila melibatkan budaya bersifat kebendaan yang
mendatangkan manfaat. Unsur-unsur budaya yang tidak berbentuk kebendaan seperti ideologi
dan pemikiran adalah lebih sukar diterima.
Proses ini amat pesat berlaku apabila berlaku campur tangan kolonial Barat di negara-
negara yang mundur. Bersama dengan penyebaran agama-agama besar di dunia ini juga
bermakna penyebaran budaya melalui proses akulturasi ini berlaku secara berleluasa.
Pertembungan budaya-budaya Afrika, Asia, Oceania, Amerika Utara dengan Ero-Amerika
menjadikan proses akulturasi itu pesat sekali berlaku dalam abad ke-20.
Dalam pengajian anthropologi budaya, tumpuan kepada penyelidikan proses akulturasi ini
semakin diminati dan berkembang luas. Berbagai-bagai method dan pendekatan penyelidikan
tentang ini telah dilakukan oleh sarjana-sarjana. Ini kerana ia memerlukan pengetahuan yang
luas dan melibatkan usaha perbandingan antara satu budaya dengan satu budaya lain.
Namun begitu, ia tidak mudah untuk membentuk suatu masyarakat yang mencapai tahap
akulturasi. Ini kerana Akulturasi lebih mudah dicapai apabila melibatkan budaya bersifat
kebendaan yang mendatangkan manfaat. Unsur-unsur budaya yang tidak berbentuk
kebendaan seperti ideologi dan pemikiran adalah lebih sukar diterima.
Unsur-unsur budaya asing yang mudah diterima ialah yang bercorak atau bersifat konkrit,
seperti budaya kebendaan (material culture), dan unsur-unsur budaya yang mempunyai fungsi
atau gunanya yang tinggi kepada budaya yang menerima. Sesuatu unsur budaya yang diterima
itu adalah yang mudah disesuaikan dengan keadaan masyarakat yang menerima. Unsur-unsur
yang tidak sesuai dan dianggap sukar adalah lambat diterima.
Unsur-unsur budaya yang sukar diganti ialah unsur-unsur budaya yang sudah meluas
dalam masyarakat dan diamalkan secara turun temurun, seperti sistem kekerabatan. Kedua,
unsur-unsur budaya yang dialami dalam proses sosialisasi pada peringkat awal juga sukar
8
digantikan, seperti makanan. Makanan itu adalah sukar diubah. Ketiga, unsur yang melibatkan
agama dan kepercayaan juga adalah sukar diganti dan diubah. Begitu juga ritual yang berkaitan
dengan hal ini.
Individu yang dikatakan “moden”, “maju” dan “progresif” lebih mudah menerima unsur-unsur
budaya asing berbanding dengan individu “kolot” atau “kampungan”. Proses urbanisasi juga
memainkan peranan penting dalam menentukan pesatnya proses penerimaan. Pendidikan juga
menjadi ukuran dalam menentukan mudah atau tidak seorang individu itu menerima unsur-
unsur budaya asing. Lagi satu faktor ialah umur, iaitu antara golongan tua dan golongan muda.
Golongan muda itu mudah mengalami devian dan menerima unsur-unsur budaya asing
berbanding dengan golongan tua yang lebih kuat pegangan kepada tradisi.
4.1.4 Akomodasi:
Akomodasi merupakan proses yang menyebabkan setiap kumpulan etnik menyedari serta
menghormati norma dan nilai kumpulan etnik lain dan tetap mempertahankan budaya hidup
masing-masing. Konsep ini diwakili oleh formula A + B + C = A + B + C. A, B dan C merujuk
kepada budaya.
Pelbagai kumpulan etnik hidup secara harmonis dan menghormati antara satu sama lain.
Pada peringkat pemerintahan pusat, setiap kumpulan etnik mempunyai wakil dalam bidang
ekonomi dan pendidikan dan mereka saling bergantung. Konsep ini begitu meluas diamalkan di
Malaysia kerana setiap kumpulan etnik bebas mengamalkan budaya mereka dalam keadaan
harmoni. Jika dilihat di luar Malaysia, Switzerland ialah negara yang mempunyai hubungan
etnik bersifat akomodasi kerana etnik Jerman, Perancis dan Itali saling membuat penyesuaian
antara mereka.
4.1.5 Konflik dan Ketegangan Sosial Kesan dari Akulturasi
Peringkat perubahan selalu dikatakan tahap krisis, iaitu transisi antara golongan yang kuat
ikatan kepada tradisi dengan golongan muda yang inginkan perubahan. Konflik sosial muncul
dan perdebatan atau ketegangan sosial ini kerap berlaku dalam masyarakat. Golongan-
golongan itu menentukan dasar dan prinsip masing-masing. Antaranya golongan tua dengan
golongan muda; golongan berpelajaran dengan golongan kurang pelajaran; nasionalisme
dengan liberalisme; golongan maju, moden dengan golongan kolot; golongan urban dengan
golongan kampung.
Konflik dan ketegangan sosial ini jelas sekali apabila berlaku tekanan budaya dengan
pesatnya penerimaan unsur-unsur budaya asing. Dengan ini juga menyebabkan timbul
9
golongan-golongan penentang. Golongan yang selalu terlibat ialah pertubuhan keagamaan
yang berusaha mempertahankan tradisi. Adakala golongan agama ini melarikan diri daripada
masyarakat yang dianggap menghadapi kacau bilau. Inilah yang menimbulkan gerakan-
gerakan cults, messianic movements, nativistic movements dan sebagainya. Gerakan-gerakan
ini berusaha mempertahankan indentiti sendiri.
5.0 ETHNOLOGI
Bidang ethnologi menjadi persoalan etnografi yang memberikan huraian tentang sesuatu
budaya dalam konteks masyarakatnya. Pendekatan dalam bidang ini ialah melihat kepada
segala aspek yang menjadi unsur budaya universal. Ini termasuklah unsur-unsur:
i. Budaya kebendaan (Material Culture) dan teknologi,
ii. Sistem ekonomi,
iii. Sistem sosial,
iv. Bahasa,
v. Kesenian,
vi. Sistem pengetahuan,
vii. Sistem kepercayaan.
Sejak abad ke-19 lagi penulisan ethnografi menumpukan perhatian serius kepada persoalan
teknologi. Pemerhatian pada masa itu lebih merupakan secara luaran sahaja. Dalam bidang ini
termasuk berbagai-bagai bahagian teknologi, seperti pakaian, rumah, alat senjata dan
sebagainya. Teknologi dalam masyarakat sederhana dapat dilakukan secara terperinci, tetapi
dalam masyarakat kompleks teknologi itu tersangat kompleks. Perbincangannya lebih
merupakan satu deskripsi secara luaran sahaja, tidak melibatkan tentang fungsi sosialnya.
Deskripsi secara terperinci itu penting dilakukan sebagai asas dalam membuat perbandingan
tentang penyebaran hasil budaya itu dari satu budaya kepada satu budaya lain. Kemudian
dalam tahun-tahun 20-an dan 30-an penulisan tentang teknologi seperti dulu semakin
berkurang dalam hasil-hasil ethnografi. Sistem teknologi atau budaya benda itu sendiri adalah
luas sekali bidangnya. Oleh itu para pengkaji membahagikan kepada kategori-kategori tertentu
yang lebih kecil, seperti alat-alat pengeluaran, senjata, makanan, pakaian, perhiasan, rumah,
dan sebagainya.
5.1 Sistem Ekonomi
Ekonomi sara diri termasuk teknik dan alat-alat yang terdapat dalam masyarakat peringkat
ini, terutama dalam masyarakat primitif. Sebenarnya usaha menghubungkan sistem ekonomi
10
secara sederhana itu telah lama dilakukan, malah dapat dikesan sejak abad ke-4 lagi. Dalam
sistem ini juga para pengkaji menghubungkan dengan teori evolusi dalam pertumbuhan usaha
cari makan dari satu peringkat kepada satu peringkat perkembangan manusia yang lebih tinggi.
Cara hidup pertanian meletakkan pertanian secara usaha paling atas. Terdapat banyak kritik
tentang evolusi dalam mata pencarian ini, iaitu tingkat-tingkat ekonomi. Sistem ekonomi juga
tidak terlepas dari sistem-sistem lain dalam masyarakat.
5.2 Sistem Sosial
Pada peringkat permulaan, usaha pengkaji menggunakan teori evolusi dalam menerangkan
perubahan sistem sosial. Antara yang terkenal ialah Morgan, L.H. yang mengkaji sistem kinship
dalam berbagai-bagai budaya dan menerangkan proses evolusi dalam sistem ini. Beliau tertarik
dengan terminologi yang digunakan dalam sistem ini antara berbagai-bagai budaya yang
menjadi tumpuannya.
6.0 SEJARAH DAN PERKEMBANGAN KEBUDAYAAN DI MALAYSIA
Kebudayaan amat penting bagi individu atau masyarakat. Corak dan cara hidup sesuatu
kumpulan manusia atau masyarakat itu tidak dapat difahami melainkan melalui kebudayaan.
Kebudayaan dapat membezakan antara suatu masyarakat dengan masyarakat yang lain.
Dalam konteks Malaysia, kebudayaan itu dilihat daripada aspek persamaan dan perbezaan
cara hidup rakyat Malaysia yang dikenali sebagai masyarakat Malaysia. Menurut definisi
sosiologi, kebudayaan ialah cara hidup yang menjadi kepunyaan bersama.
Edward B. Taylor berkata kebudayaan tidak dimiliki, tetapi di perolehi daripada kelakuan-
kelakuan dan tingkahlaku manusia. Sebaliknya Freeman Budds pula menyatakan budaya
membimbing segala sesuatu tindak laku manusia. Namun demikian, Taylor dan Budds turut
bersependapat mengatakan agama termasuk budaya dan budaya lebih luas dari agama,
agama merupakan hasil kebudayaan dan budaya merupakan ciptaan manusia.
Bermula dari zaman kolonial hinggalah pasca merdeka, Malaysia telah mewarisi c
ara hidup zaman kolonial yang mengamalkan dasar “divide and rule” iaitu pecah dan perintah.
Masyarakat secara tidak langsung telah terbahagi kepada golongan atau ras dengan
kebudayaan yang bercorak sukuan. Hal ini menyebabkan masyarakat Malaysia tidak
mempunyai dasar-dasar kebudayaan yang mampu menjadi tunjang utama.
Kesannya masyarakat Malaysia tidak mempunyai jati diri dan jiwa Malaysia. Manakala
warganegara yang berasal dari golongan imigran masih meletakkan taat setia dan berkiblat
kepada negara asalnya. Oleh itu, wujudnya kekangan budaya (cultural barrier) antara golongan
imigran dengan penduduk peribumi Malaysia.
11
Sememangnya perbezaan keturunan atau ras tidak dapat dihapuskan,namun begitu ciri-ciri
kebudayaan yang utama harus ditonjolkan agar dapat menentukan corak keperibadian
kebangsaan yang dapat memperlihat identiti masyarakat Malaysia. Dengan cara yang
demikian corak kebudayaan sukuan dapat diperkecilkan dan semangat (hal.199) kebangsaan
Malaysia dapat diperkukuhkan demi untuk mewujudkan masyarakat Malaysia yang bersepadu.
Pembinaan sesuatu negara memerlukan penglibatan dan sokongan dari semua lapisan
masyarakat dalam negara. Pembinaan sesebuah negara belum sempurna sekiranya rakyat
tidak meletakkan taat setia terutamanya dalam soal mempertahankan negara daripada
pencerobohan musuh. Untuk mencapai matlamat pembinaan negara maka rakyat negara itu
harus mempunyai ciri-ciri persamaan dalam perkara pokok termasuk kejiwaannya. Oleh hal
yang demikian, Malaysia juga memerlukan suatu corak kebudayaan kebangsaan yang dapat
memupuk semangat kebangsaan Malaysia demi mewujudkan perpaduan dan kestabilan di
dalam negara.
Rentetan daripada itu, Dasar Kebudayaan Kebangsaan telah digubal dan dilaksanakan
dalam usaha mencapai kesepaduan dan semangat kebangsaan
6.1 PEMBENTUKAN DASAR KEBUDAYAAN KEBANGSAAN
Dasar Kebudayaan Kebangsaan(DKK)telah digubal dalam tahun 1971 iaitu pada tanggal
16 -20 Ogos 1971. Ianya lahir daripada gagasan Kongres Kebudayaan Kebangsaan yang
dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (1971).
Penggubalan Dasar Kebudayaan Kebangsaan adalah penting bagi sesebuah negara
membangun dan yang mempunyai penduduk berbilang kaum seperti Malaysia. Dasar ini
menjadi garis panduan dalam membentuk, mewujud dan mengekalkan identiti negara di
kalangan dunia antarabangsa.
Penggubalan dasar ini dibuat dengan mempertimbangkan fakta-fakta perkembangan
sejarah serantau dan kedudukan negara ini sebagai pusat pertemuan serta pusat tamadun dan
perdagangan sejak dua ribu tahun yang lampau. Peranannya sebagai sebuah pusat pertemuan,
telah melahirkan proses interaksi, pengenalan, penyerapan dan penerimaan pelbagai unsur-
unsur yang sesuai kepada kebudayaan asas rantau ini dari pelbagai unsur-unsur kebudayaan
dunia.
Dengan yang demikian, sebagai satu proses yang berterusan, pengwujudan Kebudayaan
Kebangsaan Malaysia terus berlandaskan unsur-unsur dan tiga prinsip yang ditetapkan oleh
Kerajaan sebagai Dasar Kebudayaan Kebangsaan iaitu:
i. Kebudayaan Kebangsaan Malaysia hendaklah berteraskan kepada kebudayaan rakyat
asal rantau ini.
12
ii. Unsur kebudayaan lain yang sesuai dan wajar boleh diterima menjadi unsur
kebudayaan kebangsaan.
iii. Islam menjadi unsur yang penting dalam pembentukan kebudayaan kebangsaan.
Justeru itu sebagai kesinambungan, pengwujudan kebudayaan kebangsaan Malaysia akan
terus berlandaskan unsur-unsur dan tiga prinsip yang ditetapkan oleh kerajaan sebagai dasar
kebudayaan kebangsaan.
6.1.1 Teras Dan Prinsip Utama Dasar Kebudayaan Kebangsaan
Dasar kebudayaan kebangsaan telah menekankan tiga prinsip utama dalam usaha untuk
mewujudkan kesepaduan tanpa membeza-bezakan antara penduduk pribumi dengan kaum
yang lain.Justeru, ketiga-tiga prinsip dan unsur ini dijadikan teras dan berperanan penting
dalam pelaksanaan dasar kebudayaan kebangsaan. Prinsip-prinsip berkenaan ialah:
i.Berteraskan kepada kebudayaan rakyat asal rantau ini
Nusantara merangkumi negara-negara seperti Malaysia, Indonesia,Filipina, Singapura,
Brunei, Thailand dan Kampuchea serta kepulauan selatan pasifik (Polynesia, Melanesia dan
Oceania) sehingga Malagasi merupakan sebahagian daripada pusat perkembangan tamadun
atau budaya melayu. Ia merupakan pusat pecambahan, perkembangan dan lahirnya warisan
kebudayaan melayu sejak zaman berzaman. Malahan pernah melalui zaman kegemilangan dan
keagungan tamadun melayu. Paling membanggakan apabila ianya berpusat di Melaka dan
menggunakan bahasa melayu sebagai bahasa perhubungan antarabangsa (linguafranca).
Kebudayaan rantau ini digambarkan oleh persamaan-persamaan dalam bidang bahasa
yang berasaskan keluarga bahasa melayu iaitu Austronesia, selain daripada faktor kedudukan
geografi, pengalaman sejarah, kekayaan alam, kesenian dan nilai-nilai keperibadiannya.
Menurut prinsip ini juga menyatakan bahawa, kebudayaan kebangsaan Malaysia hendaklah
berteraskan kebudayaan rakyat setempat rantau ini.
“Rantau” membawa maksud alam Melayu, iaitu warisan tradisi kebudayaan. Kepulauan
Melayu yang sebahagian besar suku bangsanya terdiri daripada orang Melayu, Bugis, Jawa,
Iban, Minang, Murut, Kadazan dan lain-lain lagi. Merekalah yang dimaksudkan sebagai rakyat
asal rantau ini.
Budaya melayu pada hari ini merupakan cara hidup, lambang identiti dan asas ukuran
keperibadian kepada lebih 200 juta umat manusia yang bertutur dalam satu rumpun bahasa
yang sama. Oleh hal yang demikian asas kebudayaan rakyat asal rantau ini secara tidak
lansung telah dijadikan teras kepada kebudayaan kebangsaan.
13
ii. Unsur-Unsur Kebudayaan Lain Yang Sesuai Dan Wajar Diterima
Kebudayaan merupakan sesuatu yang dinamik, yang sentiasa berubah-ubah melalui proses
penyerapan dan penyesuaian secara berterusan. Sebagai contoh masyarakat Baba Nyonya
yang telah mengalami asimilasi hasil daripada penyerapan budaya masyarakat setempat.
Prinsip ini bertepatan dengan situasi penduduk berbilang kaum yang mewarisi pelbagai budaya.
Oleh hal demikian, unsur-unsur kebudayaan masyarakat yang lain seperti budaya cina, india
arab, barat dan lain-lain yang sesuai wajar diberi perhatian dan diterima dalam pembentukan
kebudayaan kebangsaan.
Kesesuaian penerimaan dalam penyerapan ini adalah bergantung kepada tidak wujudnya
percanggahan dengan perlembagaan dan prinsip-prinsip rukun negara dan kepentingan
nasional serta asas-asas moral dan kerohanian sejagat pada amnya dan pada Islam sebagai
agama rasmi negara khasnya
Hal ini jelas kerana agama Islam merupakan agama rasmi Malaysia. Namun begitu
masyarakat yang beragama selain dari Islam bebas mengamalkan agama masing-masing.
Prinsip ini memperakukan bahawa unsur-unsur kebudayaan kaum lain yang sesuai dan
wajar memanglah telah lama diamalkan. Masyarakat pribumi telah banyak menerima unsur-
unsur ini sejak zaman-berzaman. Contohnya masyarakat Orang Asli dan etnik di Sabah
Sarawak. Kemasukan unsur-unsur ini ke dalam kebudayaan tempatan kaum pribumi terjadi
melalui pelbagai proses seperti asimilasi, difusi, evolusi dan akulturasi. Sebagai contoh, proses
asimilasi wujud hasil daripada kekerapan perhubungan dan pertembungan di antara
kebudayaan dan bahasa dari negera China, India dan Eropah. Begitu juga terdapat pengaruh
bahasa Sanskrit, Portugis, China, Inggeris dan lain-lain dalam bahasa Melayu tempatan.
iii. Islam Menjadi Unsur Yang Penting Dalam Pembentukan Kebudayaan Kebangsaan
Agama atau kepercayaan kepada tuhan merupakan unsur penting dalam proses
pembangunan negara serta pembentukan kerohanian rakyat yang berakhlak dan berperibadi
mulia. Agama Islam telah memberi panduan yang jelas kepada manusia dalam mengimbang
dan meningkatkan usaha bagi mengisi kehendak-kehendak emosi dan fizikal.
Justeru itu, Islam sewajarnya menjadi unsur yang penting dalam pembentukan kebudayaan
kebangsaan memandangkan kedudukannya sebagai agama rasmi negara, di samping telah
wujudnya fakta sejarah dan nilai-nilai Islam yang telah sedia diterima pakai oleh sebahagian
besar rakyat rantau ini. Meletakkan Islam sebagai unsur penting dalam kebudayaan
kebangsaan memang kena pada tempatnya.
Hal ini kerana Islam merupakan agama Persekutuan yang telah lama tersurat dan diterima
oleh Perlembagaan. Justeru, pelaksanaan prinsip pertama dan kedua dalam pembentukan
14
kebudayaan kebangsaan perlulah disesuaikan dengan agama Islam. Segala unsur budaya
yang mewarisi pelbagai warisan budaya rakyat tidaklah menjadi status kebudayaan
kebangsaan secara lansung. Ia haruslah terlebih dahulu disesuaikan dengan ciri-ciri atau nilai
universal Islam.
Selaras dengan kehendak kebudayaan kebangsaanlah, kerajaan telah berusaha untuk
menerapkan nilai-nilai Islam. Ketiga-tiga prinsip asas di atas adalah melambangkan
penerimaan gagasan Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1971.
6.1.2 Objektif Penggubalan Dasar Kebudayaan Kebangsaan
Pembangunan Kebudayaan Kebangsaan bagi negara-negara yang baru merdeka amatlah
penting untuk mewujudkan sebuah negara yang stabil dan bersatupadu. Dengan yang demikian
usaha-usaha pembentukan Kebudayaan Kebangsaan Malaysia adalah bertujuan untuk
mencapai tiga objektif penting iaitu:
i. Mengukuhkan perpaduan bangsa dan Negara.
ii. Memupuk dan pelihara keperibadian kebangsaan yang tumbuh daripada kebudayaan
kebangsaan.
iii. Memperkaya dan tingkatkan kualiti hidup kemanusiaan dan kerohanian yang seimbang
dengan pembangunan sosioekonomi.
6.1.3 Strategi dan Pelaksanaan Objektif
Prasyarat utama dalam memperkasa budaya adalah dengan memahami bahawa budaya
merupakan jelmaan nilai-nilai masyarakat setempat dan bukanlah semata-mata dibataskan
kepada stereotaipnya seperti muzik tradisional, tarian asli, dan sebagainya. Tetapi budaya
merupakan gaya hidup, penghayatan nilai, pancaran peribadi dan perilaku dalam kehidupan
sehari-hari. Hal ini dapat dilakukan dengan memperbanyak penganjuran aktiviti-aktiviti yang
dapat membangunkan budaya ilmu, memartabatkan penggunaan bahasa Melayu dalam
segenap lapangan dan mengetengahkan seni budaya seperti silat dan muzik tradisional yang
kaya dengan pengaruh budaya setempat. Selain itu kempen-kempen permartabatan ciri-ciri
budaya setempat seperti kempen budi bahasa sewajarnya diperluaskan sehingga masyarakat
merasai kesannya.
Selain daripada itu juga,dasar kebudayaan kebangsaan dapat dilaksanakan melalui aktiviti-
aktiviti pembangunan persembahan seni oleh Kompleks Budaya Negara sebagai pengelola dan
urusetia perhubungan kebudayaan antarabangsa, Majlis Kebudayaan Negeri, khidmat nasihat
bagi mengukuhkan pertubuhan-pertubuhan kebudayaan dan kerjasama dengan badan-badan
antarabangsa.
15
Kerjasama dari Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Pelancongan, penglibatan pihak
lain juga adalah penting dalam pelaksanaan dasar ini. Hal ini termasuklah Kementerian-
kementerian dan Jabatan- jabatan Kerajaan Pusat, Kerajaan-kerajaan Negeri, badan-badan
berkanun dan pihak swasta serta pertubuhan-pertubuhan kebudayaan
Peranan Kementerian/Jabatan, Kerajaan-kerajaan Negeri dan badan-badan berkanun yang
lain adalah sama penting dalam melaksanakan strategi dasar ini di dalam pengurusan harian
dan pelaksanaan dasar-dasar semasa.Peranan pihak swasta dan pertubuhan-pertubuhan
kebudayaan amat diperlukan . Hal ini kerana badan-badan ini berperanan menjalankan usaha
pembinaan dan kemajuan kebudayaan di peringkat organisasi masing-masing dan seterusnya
membiayai penajaan program atau projek-projek kebudayaan
Selain daripada itu juga, dasar kebudayaan kebangsaan boleh dilaksanakan melalui
beberapa bidang. Kebudayaan masyarakat Malaysia dapat ditonjolkan dengan jelas melalui
bidang-bidang seperti berikut:
a. Pendidikan:
Kurikulum yang sama iaitu bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar. Namun begitu
bahasa Cina dan bahasa Tamil kekal digunakan. Selain itu juga penubuhan beberapa buah
sekolah seperti sekolah wawasan, sekolah kluster dan sekolah sukan turut membantu
melaksanakan dasar ini
b. Media massa:
Kenonjolkan melalui iklan atau rancangan yang melibatkan perpaduan seperti tarian satu
Malaysia, penganjuran Citrawarna dan banyak lagi. Manakala akhbar tempatan boleh juga
menyumbang menerusi penulisan di ruangan akhbar.
c.Sukan:
Melalui penganjuran sukan SUKMA iaitu penglibatan dari semua kaum. Secara ringkasnya
strategi dan pelaksanaan objektif dasar ini boleh dicapai melalui strategi-strategi berikut iaitu
dengan pemulihan, pemeliharaan dan pembangunan kebudayaan ke arah menguatkan asas-
asas Kebudayaan Kebangsaan melalui usaha sama penyelidikan, pembangunan, pendidikan,
pengembangan dan perhubungan budaya.Selain daripada itu,objektif boleh dicapai dengan
meningkat dan mengukuhkan kepimpinan budaya melalui usaha-usaha membimbing dan
melatih peminat, mendukung dan mengerak kebudayaan seluas-luasnya sebagai jentera
pembangunan yang berkesan.
Objektif dasar juga turut boleh dicapai dengan mewujudkan komunikasi yang berkesan ke
arah kesedaran kebangsaan, kenegaraan dan nasionalisme Malaysia. Seterunya, memenuhi
keperluan sosiobudaya; dan meninggikan taraf serta mutu kesenian.
16
6.1.4 Cabaran Yang Dihadapi
Meskipun telah mencapai kemerdekaan selama lebih 50 tahun namun Malaysia belum
mampu untuk menonjolkan kebudayaan yang melambangkan identiti Malaysia sendiri. Setiap
kaum dan etnik masih lagi berpegang kuat dan meminta hak yang lebih luas untuk
mengamalkan kebudayaan masing- masing. Media elektronik dan media cetak pula terpaksa
melayan permintaan kaum yang ada di Malaysia dengan menyiarkan iklan atau rancangan yang
memenuhi permintaan kaum. Jelasnya rupa bentuk kebudaayaan yang masih wujud sehingga
ini masih lagi terbahagi mengikut kaum dan etnik masing-masing.
Kelahiran pelbagai disiplin ilmu dalam pelbagai bidang seperti teknologi maklumat
merupakan satu cabaran dalam era globalisasi. Cabaran yang dibawa bersama oleh teknologi
ini ialah budaya luar yang asing daripada budaya tempatan. Budaya asing yang negatif
memberikan kesan mendalam terhadap masyarakat.
Dalam bidang seni persembahan didapati banyak hasilan seni tradisi itu semakin
dipinggirkan atau tidak mendapat perhatian. Hasil seni persembahan tradisi di kawasan-
kawasan pendalaman kini didapati kian pupus. Generasi muda yang berminat untuk
menyambungkan tradisi itu didapati amat berkurang. Malahan nilai-nilai sosial terhadap seni
persembahan tradisi itu didapati semakin kurang diberikan perhatian. Selain itu, dengan
pesatnya proses islamisasi, orang melihat seni persembahan tradisi yang berkaitan dengan
ritual adalah tidak sesuai dengan nilai-nilai Islam. Namun, kebanyakan seni persembahan
tradisi yang merupakan ritual, seperti main puteri dan main dewa tidak lagi didapati hari ini.
Sebahagian daripada seni persembahan tradisional itu merupakan ritual yang mempunyai
tujuan atau kepentingan tertentu bagi menjaga keselamatan. Kini dengan pesatnya
perkembangan teknologi dan ilmu pengetahuan moden menyebabkan kegiatan atau amalan
tradisi itu tidak lagi diteruskan. Dengan itu unsur-unsur seperti itu tidak dapat berfungsi
sebagaimana dahulu lagi.
Dalam bidang seni tampak tradisional, seperti anyaman, tekstil, pertukangan dan
sebagainya masih mempunyai tempat dalam kehidupan moden kini. Kegiatan itu masih
diteruskan dan permintaan ramai masih dapat dipertahankan. Malahan dengan menyedari
perlunya mengenali lambang-lambang kebangsaan, orang ramai masih memberikan nilai tinggi
terhadap hasilan seni tampak itu. Kerajaan melalui badan-badan tertentu, seperti Perbadanan
Kraftangan Malaysia memainkan peranan dalam mendorongkan perkembangan kegiatan seni
tampak tradisi itu. Penghasilan seni itu cuba dipertahankan keasliannya bagi melambangkan
jatidiri Melayu. Walaupun didapati sebahagian daripada hasil seni tampak tradisi itu telah hilang
fungsi kini, tetapi fungsi baru misalnya alat perhiasan tetap dipertahankan. Dengan cara itu
keaslian seni tampak tradisi itu dapat dihayati bersama oleh generasi akan datang.
17
Masyarakat Malaysia yang juga kaya dengan berbagai jenis mainan tradisi, kini dengan
pendedahan kepada berbagai jenis mainan moden maka mainan tradisi itu semakin
diketepikan. Orang muda tidak berminat untuk terlibat dengan mainan tradisi. Segala jenis
mainan tradisi akan tinggal kenangan yang tidak dapat berfungsi dalam perkembangan budaya
moden kini. Malahan, berbagai jenis mainan moden itu dianggap bertaraf dunia, dan orang
Melayu juga patut mengambil bahagian, terutama untuk turut bersaing dalam pertandingan
yang diadakan di peringkat dunia.
7.0 RUMUSAN
Penggubalan dan pelaksanaan Dasar Kebudayaan Kebangsaan adalah perlu bagi negara
Malaysia yang sedang membangun dan yang mempunyai penduduk berbilang kaum yang
mengamalkan budaya yang berbeza. Dasar ini dapat menjadi garis panduan dalam membentuk
serta mewujudkan satu bangsa yang bersatu-padu serta mengekalkan identiti negara di
kalangan dunia antarabangsa. Namun demikian pelaksanaannya adalah rumit dan tidak dapat
dicapai dalam masa yang singkat. Kesedaran dan kefahaman yang luas akan dapat membantu
tercapainya hasrat dan cita-cita pelaksanaan dasar ini kerana dengan keinsafan itu sahaja
Kebudayaan Kebangsaan akan dapat dibezakan dengan kebudayaan kesukuan atau
kebudayaan kaum. Kebudayaan yang dipupuk itu akan mencirikan sifat-sifat persamaan yang
melampaui batas-batas suku kaum dan memperlihatkan keperibadian kebangsaan Malaysia itu
sendiri sebagai sebuah negara yang merdeka dan bermaruah.
Dasar kebudayaan kebangsaan merupakan salah satu dasar yang dibina oleh kerajaan
Malaysia yang mampu menyatukan rakyat Malaysia dari sudut kebudayaan. Ia secara tidak
langsung mempu menggambarkan keharmonian dan penyatuan masyarakat Malaysia
meskipun rakyat Malaysia berbeza agama dan pegangan masing masing.
Oleh hal yang demikian, dasar kebudayaan ini mampu mewujudkan sebuah negara yang
lebih makmur dan harmoni serta memiliki masyarakat yang lebih hormat menghormati di antara
satu sama lain.
18