1.0 PENGENALAN
1.1 PENGERTIAN KEBUDAYAAN
Sebelum menyentuh lanjut tentang ancaman terhadap budaya Melayu, seelok-eloknya
kita fahami dahulu pengertian budaya dan kebudayaan; dua istilah yang sering berkait rapat
antara satu sama lain. Budaya yang disebut sebagai culture dalam bahasa Inggeris atau
thaqafah dalam bahasa Arab sering digunakan bagi menggambarkan kebudadayaan sesuatu
masyarakat. Kebudayaan pula bermaksud “ keseluruhan cara hidup yang merangkumi cara
bertindak , berkelakauan, dan berfikir serta segala hasil kegiatan dan penciptaan yang berupa
kebendaan atau kerohanian sesuatu masyarakat. Kata budaya berasal daripada bahasa
Sanskrit, iaitu buddhayah yang berasal daripada bentuk jamak dari buddhi (budi atau akal).
Pengertian ini boleh diertikan sebagai hal-hal yang berkaitan dengan budi dan akal manusia.
Dalam bahasa Inggeris, kebudayaan disebut culture, yang berasal daripada perkataan Latin
‘colere’, iaitu bermaksud mengolah atau mengerjakan. Pengertian ini bertolak daripada tradisi
pekerjaan utama manusia yang berbentuk mengolah tanah atau bertani (kerja-kerja pertanian).
Menurut pendapat R.Roolvink ( 1966,1-7) dalam Abdul Rahman Ahmad Hanafiah, Komunikasi
Budaya Melayu: Dari Alam Rahim ke Alam Barzakh , “...............budaya itu daripada perkataan
asalnya budi dan daya. Ini ada persamaaan dengan pendapat Koentnjaningrat iaitu “......budaya
merupakan perkembangan daripada kata majmuk budi dan daya
Sementara itu, menurut Edward B. Tylor dalam Khairuddin Mohammad et.al ,
kebudayaan merupakan keseluruhan yang kompleks, yang di dalamnya terkandung
pengetahuan intelektual, kepercayaan (agama), kesenian, moral, hukum, adat istiadat, dan
kemampuan-kemampuan lain yang berada di dalam diri seseorang sebagai anggota
masyarakat yang mengamalkan kebudayaan sebagai sarana hasil karya, rasa, dan cipta
masyarakat. Robert Bierstedt dalam buku Tamadun Islam Penerbitan Universiti Malaya pula
menjelaskan bahawa “kebudayaan itu adalah kesemua yang kita fikir, yang kita buat, dan yang
kita punyai sebagai ahli dalam masyarakat”.
Walaupun terdapat pelbagai definisi yang diberikan tetapi kebanyakannya mempunyai
makud yang hampir sama . Secara umumnya, budaya dapat dirumuskan sebagai cara hidup,
cara berfikir dan cara bertindak sesuatu kelompok manusia . Secara khusus,budaya adalah apa
yang difikirkan,dilakukan dan dimiliki manusia dalam kehidupan merangkumi semua bidang
sama ada pengetahuan, kepercayaan, undang-undang, moral, adat istiadat dan apa juga cara
1
hidup manusia yang merupakan penglahiran daripada apa yang diwarisi daripada masyarakat
terdahulu.
1.2 KEBUDAYAAN MELAYU DI MALAYSIA
Dalam konteks Malaysia, Kebudayaan Melayu telah dipersetujui menjadi teras
kebudayaan kebangsaan kerana dilihat bersifat agak liberal. Perubahan dalam kebudayaan ini
dilakukan bagi member ruang kepada unsur-unsur kebudayaan sukuan dan kaum lain seperti
India dan Cina yang bersesuaian dengan budaya Melayu. Budaya Melayu diihat menjalankan
fungsinya sebagai :-
Alat menyatupadukan rakyat di bawah satu payung kebudayaan yang menjadi
miik bersama
Menjadi landasan menanamkan nilai-nilai kebangsaan dan dan menolak nilai
yang hanya mementingkan satu kaum sahaja
Menjadi amalan pada peringkat rasmi dan tertinggi seperti system protocol, adat
istiadat pengurniaan, pelantikan , pertabalan dan sebagainya.
1.3 CIRI KEBUDAYAAN MELAYU
Ciri-ciri kebudayaan Melayu meliputi sebahagian besar daripada
kebudayaan Malaysia iaitu :-
Bersifat dinamik
Menerima dan menolak unsur tertentu
Kebudayaan diwarisi
Berkeseinambungan
2
2.0 ANCAMAN TERHADAP KEBUDAYAAN MELAYU
Penjajahan Barat bermula dari tahun 1511 di Melaka oleh Portugis sehinggalah
kepada keseluruhan Tanah Melayu dijajahi Inggeris secara total pada 1909 melalui
Perjanjian Bangkok memberikan kesan yang tidak sedikit terhadap kebudayaan
Melayu. Meskipun telah bebas daripada penjajahan Inggeris pada detik 31 Ogos
1957, penjajahan masih berlaku dalam bentuk yang berbeza dan itulah yang menjadi
ancaman kepada kebudayaan Melayu pada keseluruhannya. Ini dilihat dalam
petikan kenyataan Budayawan Negara, Allahyarham Azah Azah
(2007) ..sesungguhnya, budaya Melayu pada hari ini menghadapi cabaran dan
ancaman pada zaman global ysng begitu pesat bergelora akibat pengaruh kuat
media massa, akibat serangan hebat budaya moden asing dalam segala bidang
termasuk seni budaya, perilaku manusia, bahasa dan lain-lain. Pernyataan ini
terbukti benar Ancaman dan penjajahan bentuk baharu ini diberikan label atau
jenama baharu yang disebut sebagai GLOBALISASI menyelinap masuk menerusi
media massa, budaya hedonisme dan pemikiran sekular , materialistik dan liberal
yang mengubah sisi masyarakat dan budaya Melayu.
DEFINISI GLOBALISASI
Globalisasi berakar daripada perkataan global yang bermaksud secara literalnya
berkenaan dunia keseluruhannya. Daripada segi bahasa, ia bermaksud fenomena
yang menjadikan dunia kelihatan mengecil dari segi perhubungan manusia
disebabkan kepantasan perkembangan teknologi maklumat ( Kamus Dewan ,
1994:408) . Martin Albrow dalam The Global Age : State amd Society Beyond
Modernity mentakrifkan globalisasi sebagai suatu keadaan di mana penduduk dunia
diperbadankan di bawah satu masyarakat dunia, masyarakat global. ( Mohd
Azizudin, 2004 : 4 ) . Globalisasi juga dapat ditakrifkan sebagai satu usaha untuk
mengubah nilai manusia khususnya cara berfikir dan cara bertindak yang dilakukan
oleh satu daerah dunia ke satu daerah dunia yang lain ( Aminudin, : 28)
3
ANCAMAN GLOBALISASI TERHADAP BUDAYA MELAYU
Tidak dapat dinafikan bahawa rempuhan globalisasi memberikan dampak yang
besar terhadap kebudayaan Melayu sehingga seolah-olah mengikisnya secara
perlahan-lahan sehingga tidak kelihatan lagi. Kesan rempuhan hebat itu dapat dilihat
dalam hujah-hujah di bawah ini :-
a) Perubahan cara hidup masyarakat.
Terjahan kuat globalisasi ke atas budaya dan sosial masyarakat Melayu
terlalu banyak mengubah sisi hidup Melayu itu sendiri. Terjahan kuat ini
terlihat jelas pada bobroknya cara hidup dan gejala sosial dalam
kalangan masyarakat Melayu pada hari ini. Gejala sosial dapat ditakrifkan
sebagai perbuatan atau tindak tanduk dalam kalangan masyarakat
khususnya dalam kalangan remaja dan muda-mudi yang bertentangan
dengan norma budaya dan agama seta nilai-nilai etika sebuah
peradaban. Globalisasi telah menaja cara hidup barat yang bebas dan
dilabel sebagai moden , kontemporari dan menjadi kayu ukur
kemajuan. . Oleh sebab itu, kita dapat melihat betapa generasi masa ini
sudah semakin hilang rasa malu melakukan keaiban malah bangga pula
mempertontonkannya kepada khalayak dengan memuat naik gambar-
gambar lucah dan aksi-aksi ranjang menerusi media sosial. Generasi hari
ini tidak lagi seperti yang dinukilkan oleh Allahyarham Usman Awang
dalam sajak ‘Melayu’ iaitu :-
Melayu itu orang bijaksana
Nakalnya bersulamkan jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan
Dalam hal ini peradaban barat memberikan impak yang kuat terhadap
budaya dan cara hidup masyarakat dunia secara amnya dan Melayu
secara khususnya; merobohkan benteng kerohanain semua bangsa
4
menerusi hidangan ‘ hedonisme’ – cara hidup yang mementingkan
hiburan. Budaya hedonism inilah yang menjadi ikutan dan kegilaan
generasi hari ini malah sudah menjadi ikutan sejak berpuluh-puluh tahun
yang lalu dan ini dinukilan dengan jelas oleh Allahyarham Usman Awang
menerusi puisinya ‘Melayu’ itu tadi .
....Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu asyik dengan temasya
Sedangkan kampong telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
Tanah sebidang mudah terjual
. Menurut Datuk Profesor Osman Bakar, pihak barat berjaya
membentuk satu persepsi cultural superiority dalam kalangan masyarakat
seluruhnya. Gaya hidup barat yang mengamalkan seks bebas tanpa
perkahwinan, hubungan seks rambang dan songsang kini meresap
dalam nilai dan norma masyarakat Melayu sehinggalah kini kita
digemparkan dengan wujudnya kumpulan LGBT- Lesbian,Gay,Biseksual
dan Transeksual yang menuntut persamaan hak untuk mereka seperti di
barat. Budaya sedemikian sudah tentulah terpesong daripada budaya
Melayu –Islam tetapi itulah yang semakin mendominasi generasi muda
sehinggakan budaya Melayu jati ditinggalkan.
b) Perubahan gaya berpakaian
Gaya hidup barat yang berasaskan kepada falsafah kebendaan dan
sekular menjadi popular apabila selera mereka ditentukan oleh berita dan
cerita dari luar dan pertunjukkan fesyen, filem dan sebagainya yang
mengagungkan kemajuan luar ( Azizah Othman,2004:347). Arus
kemodenan yang dibawa oleh globalisasi barat berjaya mempengaruhi
minda masyarakat untuk menjadikan fesyen pakaian yang tidak sopan
sebagai trend yang kononnya memperlihatkan kemajuan . Maka, tidaklah
hairan jika generasi muda pada hari ini mengagungkan malah begitu
bangga mengenakan busana berjenama mewah seperti Renoma,
5
Valentino, Levi’s dan Bonia yang hampir kesemuanya tidak
melambangkan budaya Melayu yang penuh dengan kesopanan. Dalam
hal ini, artis dan medium hiburan menjadi agen pelaksana bagi har=srat
membaratkan timur ini. Contoh yang paling ketara dapat dilihat semasa
penganjuran program-program hiburan yang memperlihatkan artis-artis
terutamanya wanita seolah-olah berpesta menayangkan tubuh bdan
masing-masing dalam laluan ‘karpet merah’. Lebih parah, fenomena ini
tidak hanya terjadi di bandar-bandar metropolitan, malah di kawasan
pedalaman juga, kelihatan generasi perempuan yang tidak segan
mengenakan seluar pendek atau berbaju ketat sendat – trend baharu
masa kini. Malah, seolah-olah juga sudah ada kecenderungan
menjadikan pakaian baju kurung dan baju Melayu hanya pakaian pada
hari raya Aidilfitri dan Aidiladha semata-mata , sama seperti yang beraku
pada masyarakat Cina yang kini hanya mengenakan ceongsam dan
samfu pada sambutan Tahun Baharu Cina.
Artis dan dunia hiburan sebagai medium memperagakan pakaian barat
yang seksi dan mencolok mata.
c) Makanan barat menjadi pilihan masyarakat
Makanan tradisi Melayu dan tradisi ulam-ulaman dalam hidangan
semakin hari semakin terpinggir dalam kalangan generasi baharu masa
kini. Generasi hari ini lebih menggemari makanan segera dan cepat saji
tajaan barat yang menganggapnya sebagai hidangan era moden yang
6
menampilkan imej elegan dan versatile . Hidangan seperti steak, kentang
putar, kentang goreng, burger , sosej dan seumpamanya semakin
mendapat tempat dan ini terbukti dengan bercambahnya restoran
makanan segera seperti Kentucky Fried chicken ,Kenny Rogers,Mc
Donald dan Starbucks yang mempamerkan elemen kemewahan hidup
yang dianggap sebagai makanan moden oleh generasi masa kini. Tradisi
memakan ulam-ulaman yang berkhasiat itu semakin jauh daripada anak
muda masa kini. Malahan, makanan lain seperti rendang, kuih lopes, tahi
itik dan sebagainya juga semakin tidak dikenali, dianggap ketinggalan
zaman , malah lebih menyedihkan , anak-anak muda kini tidak tahu
langsung akan cara pembuatannya.
Makanan Yang Menjadi Trend Masa kini
d) Kerancuan dan peminggiran Bahasa Melayu.
Era globalisasi turut membawa perubahan kepada gaya berkomunikasi
masyarakat . Jika dahulu, masyarakat hanya dapat menggunakan telefon
bimbit untuk tujuan menghubungi rakan-rakan menerusi panggilan atau
pesanan ringkas, kini telefon bimbit sudah berfungsi sebagai laman
sembang dengan adanya pelbagai laman sembang berbentuk maya
seperti Whatsapp , WeChat, Telegram,Viber dan Messenger yang
membolehkan perbualan senyap berlangsung dalam suasana ‘meriah
tetapi tanpa suara’. Laman sembang ini kemudiannya mendedahkan
pengguna kepada penggunaan kata singkatan, bahasa slanga dan
bahasa rojak yang mencampuradukkan Bahasa Melayu dengan bahasa
7
lain terutama bahasa Inggeris. Ini berlarutan pula ke situasi realiti yang
memperlihatkan penggunaan bahasa rojak menular ke kehidupan
seharian. Akhirnya ,berlakulah situasi pertuturan yang 70 peratus bahasa
Melayu, 30 peratus bahasa Inggeris dalam susunan bahasa yang lintang
pukang. Di sinilah kita melihat betapa ancaman global terhadap bahasa
itu menjajah pemikiran generasi kita yang memandang tinggi bahasa
Inggeris dan memperlekeh bahasa ibunda sendiri , bahasa Melayu yang
dari segi sejarahnya pernah menjadi bahasa perantaraan atau lingua
franca di jagat ini.
.
Contoh kerancuan bahasa
e) Media massa ciptaan barat menjadi alat mendoktrin pemikiran manusia.
Media massa merupakan alat yang digunakan dalam menyampaikan
pesanan daripada sumber kepada khalayak pengguna dengan
menggunakan alat komunikasi mekanis seperti akhbar, filem, radio, dan
televisyen, Media massa ini dapat dibahagikan kepada dua bentuk iaitu
media cetak dan media elektronik. Barat menerusi globalisasi menjadikan
media massa sebagai alat untuk menyebarkan dogma kehidupan barat
sebagai penanda aras kemodenan. Globalisasi melalui filem ditaja oleh
Hollywood ‘menelanjangkan’ manusia sebagai daya tarikan. Paparan
wanita seksi , aksi berahi dan ganas dalam filem-filem Hollywood itu
nampaknya sudah menular pula kepada filem tempatan sehinggakan
seolah-olah filem kita tidak lagi menjadi wajah kita. Ini sudah tentulah
bertentangan benar dengan agama yang menjadi tunjang kehidupan
masyarakat Melayu sekaligus mempengaruhi corak pemikiran generasi
8
muda terutama anak-anak kecil dan remaja yang mudah terjebak. Muzik
heavy metal dan punk membawa elemen kehidupan bebas tanpa
percayakan kewujudan Allah menyusup masuk menerusi media massa
dan secara halus menjadi racun dalam pemikiran generasi hari ini.
Muzik heavy metal dan punk yang membawa elemen atheis .
Hollywood tajaan Barat sebagai agen mendoktrin pemikiran manusia
Timur
9
f) Sistem Nilai dan Adat Resam Melayu Yang Terpokah.
Ancaman global dalam dunia tanpa sempadan turut merancakkan
perkembangan dan penyebaran sistem nilai dan etika barat yang
menjadikan fahaman liberalisme, sekularisme, materialistic dan
hedonisme menyelinap masuk ke dalam setiap urat nadi manusia di
mana-mana sahaja termasuklah umat Melayu Islam di Malaysia ini.
Dengan desakan materialisme, nilai ukhuwah Islam yang terjelma melalui
semangat gotong royong dan mengambil endah dalam kalangan
masyarakat Melayu semakin dilupakan sehingga menjadikan umat
Melayu Islam itu satu rupa bangsa yang lebih bersifat individualistik.
Masyarakat tidak lagi dapat dianggap sebagai agen sosialisasi kerana
hubungan antara masyarakat semakin renggang malah budaya ambil
endah itu kini dianggap pula sebagai ‘menjaga tepi kain orang’. Fahaman
sekularisme dan materialisme itu juga menjadi punca yang membawa
kepada kemerosotan penghayatan nilai-nilai agama yang menjadi
tunggak bagi kelangsungan tamadun Melayu Islam di rantau ini
menjadikan masyarakat meletakkan kepentingan duniawi melebihi
kepentingan ukhrawi.
Petikan akhbar yang menunjukkan keruntuhan sistem nilai masyarakat
hari ini
10
3.0 RUMUSAN
Sesungguhnya tidak mudah bagi bangsa Melayu menongkah arus dalam
rempuhan kuat ombak globalisasi yang terlalu kuat dan ganas . Tunjang utama bagi
mempertahankan jati diri dan rupa bangsa Melayu itu adalah pegangan agama yang
kuat yang akan menjadi isbat dalam generasi muda hari ini . Globalisasi
sesungguhnya tidak dapat dielakkan dan pengaruhnya yang amat besar itu tidak
dapat dikekang. Justeru, bangsa Melayu itu sendiri haruslah bangkit untuk
mempertahankan diri mereka dengan apa cara sekalipun daripada terus menjadi alat
kepada rejim besar dunia yang ingin memanipulasi dan mempergunakan mereka
demi mencapai matlamat dan kepentingan barat yang nantinya akan mendatangkan
ksengsaraan kepada segenap dimensi kehidupan akibat cengkaman dan racun
berbisa yang berterusan dari barat. Jika generasi hari ini terus menerus
meninggalkan akar budaya bangsa sendiri, maka dalam tempoh 20 tahun
mendatang, bahasa dan budaya Melayu itu akan tinggal sebagai kenang-kenangan.
11
Top Related