UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS
TAJUK:
MEMPERKASAKAN PENDIDIKAN
TEKNIKAL DAN VOKASIONAL
NAMA :
NO. MATRIK :
KOD PROGRAM :
NAMA PROGRAM :
SEMESTER :
KUMPULAN :
NAMA PENSYARAH :
1.0 PENDAHULUAN
Semenjak mencapai kemerdekaan 53 tahun yang lalu, sistem Pendidikan Teknik dan Vokasional
(PTV) di Malaysia telah mengalami pelbagai inovasi dalam menentukan perkembangan potensi
individu murid selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Sistem pendidikan di Malaysia
juga telah berubah dan tidak ketinggalan perubahan yang bergitu ketara dalam Pendidikan Teknik
dan Vokasional. Pada masa kini, perkembangan teknologi, sosial dan ekonomi berlaku dengan
amat pesat sekali. Dalam masa yang sama, manusia mempunyai keinginan untuk
mengembangkan kebolehan dan ilmu yang ada pada mereka secara berterusan supaya dapat
befungsi dengan maksimum dalam kehidupan seharian, pekerjaan dan pergaulan dalam
masyarakat. Oleh itu, pendidikan dan latihan juga boleh membantu individu untuk memperbaiki
kehidupan mereka dengan menyediakan kemahiran dan ilmu untuk meningkatkan produktiviti
dalam pekerjaan. Tidak dinafikan lagi bahawa pelaburan dalam pendidikan dan latihan ini
merupakan pelaburan untuk masa depan bagi mempersiapkan individu yang serba boleh.
PTV adalah penting dalam pembangunan sesebuah negara khususnya jika mahu menjadi sebuah
negara perindustrian. Ini tidak terkecuali kepada Malaysia, yang sedang berusaha untuk menjadi
sebuah negara maju menjelang tahun 2020.
Pendidikan teknik dan vokasional (PTV) merupakan satu sistem pendidikan yang menyediakan
latihan khusus untuk kemahiran-kemahiran teknikal dan beberapa kemahiran yang lain.
Vokasional membawa maksud usaha sesebuah organisasi itu bagi melahirkan pelajar yang
mempunyai pengetahuan, kemahiran asas dan juga mempersiapkan mereka untuk menjadi pekerja
mahir pada suatu hari nanti (Laugho&Lillis,1988). Apabila seseorang pekerja itu diiktiraf sebagai
pekerja mahir, secara tidak langsung, golongan ini akan dipertanggungjawabkan untuk
membentuk dan melahirkan lagi pekerja mahir yang baru.
1.1 Fungsi Asas Pendidikan Teknik Dan Vokasional (Ptv)
Perkembangan idea untuk menubuhkan Pendidikan Teknik dan Vokasional,(PTV) di Malaysia
telah bermula sejak tahun 1890-an lagi. Pada tahun 1897, satu perundingan telah diadakan tentang
tatacara penubuhan sekolah perdagangan untuk melatih orang-orang Melayu terutamanya lelaki
untuk berkhidmat sebagai mekanik dan buruh yang bekerja untuk memperbaiki kereta api yang
menjadi pengangkutan utama pada masa itu. Pada zaman ini, PTV dilihat sebagai satu aliran
pendidikan yang hanya mempersiapkan individu untuk menguasai kemahiran teknikal semata-
mata dan kurang menitik beratkan tentang pembentukan sahsiah diri seseorang. Pada dasarnya,
individu dilatih untuk memperbaiki kereta api yang pada itu menjadi pengangkutan utama, tanpa
mempunyai kurikulum yang tetap dan proses pembelajaran seperti yang ada pada masa kini. Pada
tahun 1919, kerajaan telah bersepakat untuk membentuk sebuah jawatan kuasa untuk meninjau
keperluan-keperluan bagi PTV dan mencadangkan beberapa perkara untuk mempertingkatkan
mutu latihan PTV di negara ini. Di antara cadangan-cadangan tersebut adalah untuk
memperluaskan elemen-elemen pengetahuan dalam bidang teknikal. Berdasarkan penubuhan
awal PTV di negara ini, didapati bahawa fungsi utama PTV pada awalnya ialah untuk
mempersiapkan individu dengan kemahiran tangan (hands-on) berbanding dengan kemahiran-
kemahiran lain. Namun, masa beredar dengan cepat, dan banyak perkembangan yang berlaku
terutamanya dalam bidang teknologi dan bidang pendidikan sehingga PTV tidak lagi menjadi satu
aliran yang hanya memberi latihan kemahiran tangan kepada individu tetapi juga aliran
pendidikan yang menerapkan nilai-nilai murni dalam setiap individu. Secara tidak langsung dapat
membentuk keyakinan diri untuk menjadi orang yang berguna suatu hari nanti. Dalam sistem
pendidikan, PTV mempunyai perbezaan daripada sistem pendidikan umum kerana PTV lebih
menekankan aspek kemahiran teknikal dan juga pengetahuan teknikal. Dari segi kurikulum,
terdapat sedikit perbezaan daripada sekolah biasa kerana ada beberapa subjek yang tidak
ditawarkan di sekolah biasa tetapi ditawarkan di sekolah teknik dan vokasional. Namun begitu,
matapelajaran teras dan wajib seperti pendidikan moral dan pendidikan sivik tetap diajarkan di
sekolah-sekolah teknik dan vokasional.
United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) dan International
Labor Organisation (ILO), merupakan dua daripada beberapa badan antarabangsa yang
bertanggungjawab tentang perihal PTV di seluruh rantau ini. Pada tahun 2002, kedua-dua badan
ini telah mencadangkan bahawa , dalam hal keperluan dan aspirasi individu PTV harus
menjalankan fungsi dalam membina keperibadiaan dan karakter, membina kerohanian dan nilai-
nilai kemanusiaan, kebolehan dalam memahami sesuatu yang berlaku dan mengajar individu
untuk mampu berfikir secara kritis serta mampu menghargai diri sendiri.
Selain daripada itu, PTV haruslah membantu membangunkan kapasiti individu untuk membuat
keputusan dan terlibat secara aktif, memupuk semangat kerja berpasukan dan kepimpinan di
tempat kerja dan secara amnya di dalam masyarakat. UNESCO mencadangkan penerapan nilai-
nilai di atas setelah mengkaji dan membuat semakan semula terhadap perlaksanaan PTV yand
dicadangkan pada tahun 2002. Ini dikukuhkan lagi dengan ucapan bekas Setiausaha Agung PBB,
Kofi Annan, dalam satu buku terbitan UNESCO yang memberi peringatan bahawa pendidikan
adalah kunci untuk melepaskan kita dari kesengsaraan hidup dan untuk membentuk masa depan
yang diingini.
Bennis dan Nanus(1985), dalam satu laporan mengenai kepimpinan dalam PTV menyatakan
bahawa perbezaan antara mengurus dan memimpin adalah dari segi fungsinya.
“To manage means to bring about, to accomplish, to have charge of or responsibility for, to
conduct...Leading is influencing, guiding direction, course, action, opinion...Managers are people
who do things right and leaders are people who do the right thing.”
(Bennis & Nanus 1985)
Melalu petikan ini, ianya selari dengan konsep PTV yang mampu melahirkan individu yang
berkemahiran tinggi dan kompeten. Seseorang pemimpin perlu tahu melakukan sesuatu dengan
baik atau mempunyai tahap penguasaan terhadap sesuatu ilmu dan kemahiran dalam bidang-
bidang tertentu sebelum mengajar orang lain untuk dapat melakukan sesuatu dengan betul.
2.0 DEFINISI
Terdapat pelbagai definisi yang diberi oleh tokoh – tokoh pendidikan teknik dan vokasional.
Menurut Ramlee (1999). Pendidikan teknik dan vokasional, secara umumnya boleh ditakrifkan
sebagai suatu program pendidikan atau latihan yang berasaskan kemahiran teknikal untuk
melahirkan guna tenaga mahir dan separa mahir. Dalam definisi pembelajaran teknik dan
vokasional oleh Azim Bachus (1988), ia merujuk kepada usaha yang dilakukan oleh sesetengah
sekolah bagi memasukkan sesetengah subjek praktikal dalam kurikulum mereka. Dengan itu,
dapat membentuk pelajaran yang mempunyai asas pengetahuan, kemahiran dan menyediakan
diri pelajar menjadi pekerja berkemahiran ataupun dapat memasuki pekerjaan yang lain secara
manual. Menurut Donald Maley (1975), secara langsung pembelajaran teknik dan vokasional ini
bermaksud salah satu bentuk pembelajaran di mana membolehkan pekerja memasuki pekerjaan
yang berfaedah serta menguntungkan dan dengan adanya pembelajaran ini dapat meningkatkan
kemajuan dalam pekerjaan ataupun kedudukan tertentu. Mengikut definisi di dalam pentadbiran
pula, pembelajaran teknik dan vokasional adalah pembelajaran bagi menyediakan latihan
membangunkan kemahiran, mempunyai kebolehan memahami, meningkatkan sikap dan tabiat
bekerja, penghargaan dan meningkatkan seberapa banyak pengetahuan dan informasi yang
diperlukan oleh pekerja bagi memasuki dan meningkatkan kemajuan dalam pekerjaan dengan
asas yang produktif dan berguna. Menurut Charles A.Bennett (1970), pembelajaran teknik dan
vokasional adalah pembelajaran untuk mempelajari cara untuk bekerja dalam persekitaran
sekeliling, dikalangan masyarakat, dengan masyarakat lain dan untuk masyarakat. Dengan
adanya pendidikan teknik dan vokasional, pekerja diajar cara – cara menyesuaikan diri dengan
keadaan ini.
3.0 SKOP
Sejarah pendidikan teknik dan vokasional di Malaysia telah bermula sejak sebelum merdeka lagi.
Penubuhan sekolah perdagangan ( Trade School ) bagi tujuan pendidikan pertukangan telah
berlaku pada tahun 1926 di Kuala Lumpur. Sekolah ini kemudiannya di kembangkan ke Ipoh
pada tahun 1930, Johor Baharu pada tahun 1931 dan Pulau Pinang pada tahun 1932. Sekolah ini
pada asasnya mengajar asas pertukangan, baik pulih mesin, pendawaian elektrik dan pembinaan
bangunan. Jangkamasa kursus yang ditawarkan pula adalah selama tiga tahun. Namun, selepas
perang dunia kedua, pemerintahan British telah menukar Trade School kepada Junior Technical
Trade School. (Kementerian Pendidikan, 1975 ).
Pada tahun 1965, pendidikan komprehensif diperkenalkan. Semua pelajar akan mendapat
pendidikan am dan diberikan juga penekanan vokasional perindustrian, perdagangan, pertanian
atau sains rumah tangga. Pada tahun 1967, sekolah vokasional telah ditubuhkan bagi
menggantikan Trade School. Pelajar yang Berjaya dalam Sijil Rendah Pelajaran boleh memohon
untuk ke sekolah ini. Setelah dua tahun mengikuti pengajian, pelajar akan mengambil Sijil
Pelajaran Vokasional Malaysia.
Aliran pendidikan teknik adalah bertujuan untuk menyediakan para pelajar yang cenderung
kepada bidang teknikal di peringkat menengah atas bagi membolehkan mereka melanjutkan
pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dalam bidang teknikal. Manakala aliran pendidikan
vokasional pula bertujuan untuk melahirkan pelajar yang cenderung kepada bidang vokasional
pada peringkat menengah atas. Bidang khusus yang ditawarkan adalah bagi membolehkan pelajar
mendapatkan pekerjaan sebagai pekerja mahir dan separuh mahir.
Perkembangan pertumbuhan ekonomi Malaysia telah mencatatkan kadar pertumbuhan yang
tinggi setiap tahun. Secara tidak langsung, meningkatkan permintaan tenaga manusia khususnya
tenaga kerja professional, mahir dan separa mahir. Ini secara tidak langsung memberikan cabaran
yang besar kepada sistem pendidikan negara terutamanya pendidikan teknik dan vokasional
dalam membekalkan tenaga kerja yang berkebolehan serta mahir.
3.1 PERANAN PENDIDIKAN TEKNIK DAN VOKASIONAL
Pembangunan sumber manusia adalah sangat penting bagi mencapai kemakmuran di sesebuah
negara. Sumber manusia yang diperlukan itu pula bergantung kepada corak dan struktur ekonomi
yang terdapat pada sesuatu masa. Pada masa lampau, pendidikan umum mungkin memadai bagi
pembangunan sumber manusia, tetapi sekarang ini jenis sumber manusia yang diperlukan adalah
berbeza. Misalnya kini lebih ramai jurutera dan juruteknik diperlukan, tetapi sistem pendidikan
kita telah menghasilkan pekerja – pekerja yang tidak mempunyai kelayakan yang diperlukan itu.
Akibatnya berlakulah apa yang disebut sebagai ketidakseimbangan di antara keperluan dan
pengeluaran.
Reformasi pendidikan di Malaysia yang bermula pada awal tahun 80-an, tidak mengabaikan
pendidikan teknik dan vokasional. Seperti inovasi yang telah dilakukan pada peringkat
pendidikan rendah dan menengah, perubahan dan perkembangan pendidikan teknikdan
vokasional juga berpunca daripada perakuan Laporan Jawatankuasa Kabinet (1979). Laporan ini
menegaskan :
“Dalam keadaan pembangunan negara pada hari ini yang menggalakkan penyertaan yang lebih
luas dalam bidang perusahaan dan perdagangan, peranan pendidikan teknik dan vokasional
menjadi lebih penting. Untuk mencapai tujuan ini adalah diperakukan supaya pendidikan teknik
dan vokasional hendaklah diperluaskan dan dimajukan lagi.”
( Perakuan 111, hlm. 253 )
Perkembangan pendidikan teknik dan vokasional ini juga selaras dengan matlamat pendidikan
negara yang bertujuan :
“ …..untuk memastikan bahawa keperluan tenaga rakyat negara dapat dipenui sama ada dari segi
jangka pendek mahupun jangka panjang.”
( Laporan Jawatankuasa Kabinet, hlm. 1 )
4.0 FALSAFAH DAN PRINSIP
Perubahan era globalisasi masa kini menjadikan pendidikan teknik dan vokasional menjadi salah
satu agenda utama negara untuk pembangunan negara melalui visi dan misi negara iaitu Wawasan
2020 dalam mencapai taraf negara maju pada tahun 2020. Pembentukan falsafah pendidikan
pendidikan teknik dan vokasional (PTV) amat penting untuk memastikan semua pihak yang
terlibat jelas dengan matlamat pendidikan teknik dan vokasional di Malaysia. Falsafah PTV di
Malaysia hendaklah berkait rapat dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang telah dibentuk
pada tahun 1987. Ungkapan Falsafah Pendidikan Kebangsaan adalah seperti berikut:
“Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi
individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan
harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan
kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu
pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai
kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran
masyarakat dan negara” (KPM,1987).
Merujuk kepada Mellin D. Miller (1984), beliau telah mentafsirkan falsafah dalam pendidikan
teknik dan vokasional adalah seperti berikut;- “Philosophy is defined as a conceptual framework
for synthesis and evaluation that represents a system of values to serve as a basis for making
decisions that project vocational education’s future.”(pg 3) Falsafah ini dibentuk dari falsafah
pragmatisma yang beliau yakini paling berkesan untuk PVT. Beliau menyatakan bahawa pendidik
vokasional amat berjaya dalam hal-hal praktikal dan sangat relevan dengan keperluan PVT,
dengan menggunakan prinsip-prinsip pragmatisme sebagai rangka rujukan dan asas untuk
pendidikan di tempat kerja yang pastinya amat berkait dengan matlamat PVT. Pragmatisma
menyatakan bahawa para pendidik dan pelajar sama-sama penting dalam proses pembelajaran,
realiti atau situasi dunia nyata memberi tekanan, konteks dan pengalaman yang penting dalam
pendidikan, pendidiknya mestilah progresif, dan terbuka dengan idea-idea yang baru.
Pragmatisma, seperti yang dinyatakan oleh Miller, mengimbangi falsafah essentialisma dan
existentialisma serta membenarkan idea-idea baru untuk dipertimbangkan dalam praktikal (dalam
lingkungan rangka kerja). Pragmatisma bertanggungjawab dalam program pembangunan inovasi
yang mana ianya memberi ruang kepada pendidikan teknik dan vokasional untuk mencapai
keperluan tempat kerja pada masa hadapan
5.0 AMALAN DAN PELAKSANAAN DI SEKOLAH
BAHAGIAN Pendidikan Teknik dan Vokasional (BPTV) menggariskan enam strategi serta
beberapa pendekatan pengurusan terkini untuk memperkasa pendidikan vokasional dan teknikal.
Enam strategi itu ialah:
i. Mempertingkatkan kualiti pengurusan vokasional dan teknik.
ii. Memperkasakan kurikulum vokasional dan teknik.
iii. Meningkatkan hubungan industri dan badan profesional.
iv. Memperkasa keusahawanan di sekolah (school enterprise).
v. Memantapkan jalinan hubungan dengan IPTA/IPTS dan agensi latihan awam dan swasta.
vi. Perancangan komunikasi – Mengubah minda masyarakat ke arah menjadikan program
vokasional dan teknikal sebagai pilihan utama pendidikan.
Di antara strategi-strategi yang dinyatakan, terdapat beberapa strategi telah diamalkan dan
dilaksanakan di sekolah Vokasional dan Teknik di Malaysia. Iaitu pihak sekolah telah
meningkatkan hubungan industri dan badan professional dengan cara menghantar murid-murid
aliran kemahiran untuk melakukan kerja-kerja amali di luar sekolah pada waktu persekolahan.
Selain daripada itu, setiap sekolah vokasional dan teknik telah diminta untuk mewujudkan school
enterprise . Dengan wujudnya keusahawanan ini, setiap murid akan mendapat ilmu perniagaan
selain daripada kemahiran hand on.
6.0 ISU, MASALAH DAN PENYELESAIAN
Pendidikan teknik dan vokasional sememangnya tidak dapat disangkal lagi sebagai pemangkin
pembangunan negara. Namun, masih terdapat beberapa masalah dalam perlaksanaan sistem
pendidikan teknik dan vokasional di negara kita yang mana jika masalah ini tidak di berikan
perhatian akan menyebabkan kerugian daripada sudut kualiti tenaga kerja negara. Bagi
menyelesaikan masalah ini beberapa pendekatan telah dicadangkan berpandukan pandangan yang
telah dibuat oleh SEAMEO dari setiap negara yang terlibat Cadangan mengatasi telah
dibahagikan kepada strategi perlaksanaan dan perubahan dalam kurikulum PTV. Terdapat juga
beberapa strategi dan perlaksanaan yang perlu dibuat dalam memperkasakan Pendidikan Teknik
dan Vokasional.
i. Mempertingkatkan kualiti pengurusan vokasional dan teknik.
ii. Memperkasakan kurikulum vokasional dan teknik.
iii. Meningkatkan hubungan industri dan badan profesional.
iv. Memperkasa keusahawanan di sekolah (school enterprise).
v. Memantapkan jalinan hubungan dengan IPTA/IPTS dan agensi latihan awam dan swasta.
vi. Perancangan komunikasi – Mengubah minda masyarakat ke arah menjadikan program
vokasional dan teknikal sebagai pilihan utama pendidikan.
Sistem PTV di Malaysia haruslah melalui inovasi yang terancang. Antara strategi yang perlu
diambil ialah menambahkan lagi enrolmen atau pengambilan pelajar dalam bidang vokasional dan
kemahiran, memperkenalkan Sekolah Asas Kemahiran, memperkasakan kurikulum PTV,
peningkatan hubungan industri dan badan profesional, memperkasakan School Enterprise serta
membuat penyelarasan pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian
Pendidikan Teknologi Malaysia (KPTM).
KPM juga perlu menggubal kurikulum baru dalam PTV seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 1
di bawah.
(Sumber : Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional, KPM:2008)
Rajah 1 : Hala Tuju PTV Akan Datang
Berdasarkan rajah, pelajar lulusan Sekolah Menengah Teknik (SMT) akan melalui transformasi
dalam aliran yang sedia ada. PTV dibahagiakan kepada tiga peringkat mengikut aliran. Jika kini
kategori profesional di bawah aliran teknikal menggunakan sistem SPM, akan datang ia akan
menggunakan pensijilan jenis ”Dual Certification” iaitu SPM ditambah dengan kelulusan
profesional. Manakala kategori separa profesional dalam aliran vokasional yang menggunakan
sistem SPM akan bertukar kepada pensijilan jenis ”Dual Certification” iaitu SPM ditambah
dengan SKM. Seterusnya bagi kategori pekerja mahir dalam aliran kemahiran, SKM akan ditukar
kepada program Multi Skilling. Oleh yang demikian, semua para pendidik PTV disarankan agar
dapat menyokong perubahan-perubahan yang telah dirancang dan bakal dilaksanakan dalam
sistem PTV. Menurut Yusoff (2008), apa yang diharapkan adalah misi dan visi kurikulum PTV
haruslah tepat dan cantik, strategi memperkasakan PTV sesuai dengan keperluan semasa,
langkah-langkah yang diambil menepati keperluan SEAMEO, dan roadshow penerangan perlu
dijalankan kepada pengetua, penolong kanan, kaunselor, guru PTV serta para pelajar. Guru-guru
andalah pemain utama dan adalah nadi perjuangan kita bersama demi anak bangsa.
“Profesionalisme guru adalah kunci kepada peningkatan kualiti dan kejayaan usaha kita
memperkasakan PTV. Kualiti yang dimaksudkan bukan sahaja kepada kualiti proses malah yang
lebih utama ialah kualiti outputnya (hasil).”
Isu terkini, negara digemparkan dengan rombakan yang berlaku dalam sistem PTV. Dalam
kenyataan Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, memberitahu media bahawa
rombakan ini bagi membolehkan pelajar mengikuti aliran vokasional lebih awal selepas UPSR.
Langkah itu adalah selaras dengan sasaran Rancangan Malaysia Ke-10 untuk memastikan 20
pratus pelajar mengikuti aliran vokasional berbanding 10 peratus pada masa kini. Kemasukan
pelajar awal dalam bidang kemahiran menjadikan mereka lebih lama dalam bidang tersebut dan
menjadikan mereka leih mahir dalam bidang yang mereka minati. (Bernama, 25 September 2010).
Sistem pendidikan vokasional perlu kepada perubahan dari masa ke semasa kerana tidak ada satu
sistem yang boleh dijadikan sebagai formula untuk menyelesai masalah vokasional untuk negara.
Fokusnya yang selalu berubah menyebabkan perlu kaedah penyelesaian dinamik. Usaha-usaha
untuk mewujudkan masyarakat Malaysia abad ke 21 yang berdaya saing dan berdaya maju
digariskan dalam Wawasan 2020. Kesemua usaha ini bermatlamat untuk menjadikan Malaysia
sebagai sebuah negara moden dan maju, sebuah masyarakat industri yang adil, bermoral dan
rasional dan mempunyai keperibadian sendiri.
Dalam pembangunan sebuah negara yang maju, pendidikan vokasional perlulah melahirkan
pelajar-pelajar yang bekesediaan diri yang kukuh dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan
sosialnya (JERIS). Sebagai sebuah negara maju, pembangunan pesat berlaku dalam pelbagai
bidang dan setiap bidang memerlukan sepenuh perhatian. Dalam soal ini sistem pendidikan
vokasional perlulah dimantapkan lagi
Pada suatu ketika dahulu, sistem pendidikan vokasional dianggap sebagai penyelamat kepada
pelajar-pelajar yang gagal dalam SRP, tetapi sekarang ini oleh kerana ada tekanan untuk
mengeluarkan tenaga pekerja yang berkualiti maka fungsinya terpaksa berubah. Demikian juga
dengan terlaksananya sistem PMR mungkin perubahan kecil terpaksa dilakukan. Pendidikan
Vokasioanl memerlukan modal besar dan perbelanjaan yang tinggi dan sentiasa mendapat
perhatian berbagai pihat untuk mengetahui keberkesanannya. Cabaran kepada pendidikan ialah
untuk memastikan sumber yag diperlukan akan sentiasa mendapat layanan oleh pihak-pihak
berkuasa di samping itu pendidikan vokasional terpaksalah mengeluarkan hasil yang setimpal
dengan belanja yang dikeluarkan.
Untuk mendapat pelajar yang baik, para guru dan pendidik perlulah meningkatkan kemahiran
mereka terlebih dahulu. Pendekata untuk kaedah pengajaran dalam pendidikan vokasional juga
perlu diubahsuai. Ini dapat dilihat dalam ucapan Menteri Pendidikan Malaysia Y.B.Dato’ Sri
Mohd Najib bin Tun Abdul Razak kita pada hari guru yang lalu. Berbunyi :
"............aspirasi negara untuk mewujudkan sebuah negara maju menjelang tahun 2020 mengikut
acuan sendiri memerlukan komitmen yang menyeluruh dan pengurusan kerja yang berkualiti
daripada setiap warga pendidik. Selaras dengan tema Hari Guru pada tahun ini, guru perlu
meningkatkan lagi peranan menyemai rasa tanggungjawab bersama di kalangan pelajar agar
mereka menjadi aset dan faktor utama ke arah mencapai cita-cita murni tersebut.............." di sini
jelaslah bahawa para guru termasuklah guru dalam pendidikan vokasional perlu menghadapi
cabaran masa ini dan masa depan dengan cekal.
6.1 Pembiayaan Pendidikan Vokasional
Perubahan dalam dunia pekerjaan akan membabitkan perubahan dalam struktur kurikulum di
sekolah-sekolah. Perubahan akan melibatkan kos, masa dan latihan tambahan. Dalam tempoh
negara kita menuju ke arah Wawasan 2020, tidak mungkin sistem pendidikan kita dapat
menanggung kos beban perubahan tanpa bantuan dari pihak lain. Contohnya, Malaysia telah
meminjam US $300 juta atau RM 1.17 billion dari Bank Dunia yang telah ditandatangani oleh
Duta Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Dali Hashim. Pinjaman ini adalah untuk tujuan
membasmi kemiskinan, Kesihatan dan peruntukan pelajaran.
Sistem pendidikan vokasional perlu mendapat sumbangan dalam bentuk kewangan atau peralatan.
Pihak swasta perlu digalakkan untuk memainkan peranan mereka dengan menjalankan latihan di
tempat sendiri sama ada secara usahasama dengan institusi kerajaan ataupun melalui sumber
dalaman. Sumbangan secara terus dalam bentuk peruntukan tetap, biasiswa dan juga pinjaman
perlu digalakkan. Sistem pendidikan juga perlu berusaha supaya setiap industri mencarumkan
‘levi’ latihan ke dalam sesuatu tabung dan memastikan setiap industri diwajibkan melatih
beberapa orang pelatih mengikut kemampuan dan saiz industri berkenaan. Dengan cara ini
pembiayaan latihan dapat dikongsi bersama oleh kerajaan dan sektor swasta.
Kerajaan perlu memikirkan bagaimana untuk menarik minat sektor swasta supaya terlibat secara
langsung di dalam mempertingkatkan latihan kemahiran. Ini adalah kerana pendidikan vokasional
merupakan satu bidang yang memerlukan sumber kewangan yang besar untuk mengendalikannya.
Bagi mengatasi masalah ini, kerajaan telah memperkenalkan insentif cukai dalam Belanjawan
1991 bagi syarikat-syarikat yang terlibat di dalam latihan sumber manusia.
Adalah diharapkan dengan adanya insentif seperti ini, penglibatan sektor swasta di dalam latihan
dan pendidikan vokasional dapat dipertingkatkan. Sektor swasta melalui daya usahanya sendiri
atau dengan kerjasama kerajaan akan digalakkan menubuhkan Pusat Latihan Khas bagi
menghasilkan kemahiran yang berkaitan dengan teknologi baru dan canggih.
Selain daripada itu, sekolah-sekolah dan institusi-institusi juga digalakkan untuk menambah
sumber kewangan dengan menawarkan kursus-kursus kepada pihak swasta, memberi khidmat
perunding, membuat projek-projek khas dan memberi latihan kepada pekerja-pekerja swasta.
6.2 Mewujudkan Perhubungan Industri dan Institusi
Tidak dapat dinafikan bahawa cabaran untuk mewujudkan hubungan erat di antara kedua-dua
pihak akan memakan masa. Hubungan di antara pihak swasta harus dijalinkan terlebih dahulu.
Budaya koperat lebih menitik beratkan kepada keuntungan dan sedikit sangat untuk perkara
kebajikan lebih-lebih lagi yang melibatkan kos tambahan mereka. Di Amerika, perubahan terakhir
menunjukkan peningkatan hubungan di antara pihak swasta dengan institusi. Malah, adalah
sesuatu yang janggal sekiranya institusi itu tidak ada hubungan dengan institusi tempatan.
Beberapa cara untuk mewujudkan hubungan di antara industri dan pihak swasta menerusi :-
i. Pembangunan dan pelaksanaan kurikulum
ii. Penilaian keluaran
iii. Pembangunan bahan pengajar
iv. Lembaga Penasihat
v. Seminar anjuran bersama
Di samping itu juga, pihak swasta digalakkan mengguna kemudahan yang ada di politeknik dan
sekolah menengah vokasional untuk menjalankan kursus-kursus teknikal bagi pekerja-pekerja
mereka pada kadar yang berpatutan. Negara kita patut mencontohi negara-negara maju yang mana
adanya kerjasama yang erat antara institusi pendidikan dan pihak swasta untuk mempertingkatkan
pendidikan vokasional.
Pendidikan vokasional perlu mengambil kira candangan-candangan yang dikemukakan oleh
kabinet. Misalnya, kurikulum sekolah-sekolah vokasional perlulah selalu dikaji untuk mengikut
perkembangan semasa dan permintaan yang berbeza. Dengan terbentuk satu Jawatankuasa
Penasihat Bersama antara Bahagian Teknik dan Vokasional (BPTV) dan sektor swasta.
Jawatankuasa ini akan memberi input terhadap sebarang perubahan kurikulum dari masa ke
semasa untuk mengurangkan perbezaan antara tenaga yang dikeluarkan dan tenaga yang
diperlukan oleh industri.
Program latihan dan kandungan kursus akan diawasi secara berterusan dan diubahsuai bagi
memenuhi permintaan pasaran buruh yang berubah mengikut masa ke semasa. Keutamaan akan
terus diberi kepada program-program untuk menyediakan lebih banyak penempatan pelatih di
firma, latihan perindustrian, latihan amali serta pembangunan keusahawan.
Latihan pembangunan gunatenaga diberi perhatian yang lebih menerusi pembukaan pusat latihan
awam dan swasta. Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM), menyusun pelbagai usaha
memajukan industri. Berikutan langkah menyediakan landasan kukuh bagi membawa Malaysia
melangkah ke alam perindustrian, FMM yang mewakili kepentingan pengeluar tempatan
menyediakan kemudahan latihan-Pusat Pembangunan Kemahiran dan Keusahawanan (ESDC)
pada tahun 1991. Kelahiran ESDC yang dinanti-nantikan itu bukan sahaja melengkapkan tetapi
juga mempercepatkan lagi proses perindustrian negara.
Untuk mendapat pelajar yang baik dan berilmu pada masa kini, guru dan pendidik perlulah
meningkatkan kemahiran mereka lebih terlebih dahulu. Salah satu caranya ialah pendedahan dan
penglibatan sektor swasta. Pendekatan untuk mengajar pendidikan vokasional juga perlu
diubahsuai.Penekanan kepada menganalisa sesuatu proses teknikal lebih bermakna dari cuma
membina tanpa mengetahui asas-asas penting.
Agensi latihan awam tidak berupaya memenuhi keperluan industri dalam menyediakan tenaga
kerja terlatih. Sehubungan dengan itu, usaha secara tidak langsung pihak kerajaan untuk
meningkatkan tenaga kerja terlatih ialah dengan mengajak pihak industri turut mengambil
bahagian dalam aktiviti latihan, terutama latihan sambil kerja dan latihan meningkatkan
kemahiran.
Tabung Pembangunan Sumber Manusia 1992 (Human Resource Development Fund) merupakan
satu bentuk insentif kepada pihak industri yang melibatkan diri dalam aktiviti latihan untuk tenaga
kerjanya. Untuk menjadikan latihannya lebih efektif dan relevan, latihan yang dijalankan itu akan
diberi pengiktirafan dan kelayakan oleh MLVK (Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan)
berdasarkan piawaian kemahiran yang telah dibentuk bersama oleh pihak industri dan kerajaan.
Dengan menyediakan satu bentuk pengiktirafan dan kelayakan, pihak majikan dan industri akan
berasa yakin terhadap seseorang pelatih yang mempunyai satu kelayakan vokasional kebangsaan
yang disediakan oleh MLVK. Secara perlahan, pihak industri akan melanggan kepada kelayakan
vokasional kebangsaan yang baru dan tidak akan lagi bergantung kepada kelayakan vokasional
dari luar negara seperti City and Guilds of London Institute (CGLI).
6.3 Mewujudkan Piawaian Bagi Sesuatu kursus Kemahiran
Pada masa kini pelbagai institusi telah tumbuh dengan pesatnya dengan memperkenalkan
pelbagai kursus semata-mata dari sudut keuntungan. Boleh dikatakan semua institusi
mengeluarkan Sijil dan Diploma mengikut takrif mereka sendiri tanpa merujuk kepada sesuatu
piawaian yang ditetapkan. Ia akan memberi kesan negatif kepada perkembangan ekonomi dalam
jangka masa panjang. Adalah menjadi cabaran kepada sistem pendidikan kita untuk menyediakan
piawaian yang menyeluruh di samping mengambil kira perbezaan di antara industri-industri dan
lokasi mereka. Dengan cara inilah kemahiran dan pengetahuan asas dapat digunakan dengan
berkesan oleh pihak industri.
Pihak swasta juga digalakkan untuk membina institusi yang memberi latihan kemahiran dan
bukan semata-mata berbentuk am. Kawalan oleh pihak berkuasa amat diperlukan supaya hasilnya
akan mempunyai kualiti sepadan dengan yuran yang dikenakan.
Pihak kerajan melalui Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK) telah mula
membangunkan prasarana untuk mengembangkan pentauliahan kemahiran. Satu jawatankuasa
petugas yang dianggotai oleh agensi-agensi latihan kemahiran/vokasional termasuk Bahagian
Pendidikan Teknik dan Vokasional, Kementerian Pendidikan telah dibentuk pada 17 Mac 1992
untuk menjalankan kajian bagi perubahan fundamental dan seterusnya memajukan lagi sistem
latihan vokasional yang sedia ada.
Di antara rumusan dan cadangan hasil kajian jawatankuasa petugas yang telah dibentangkan dan
menerima mandat dalam Mesyuarat Anggota Majlis Latihan Vokasional 9 Disember 1992 ialah :-
i. Mewujudkan rangka kerja kelayakan vokasional(vocational qualification framework) yang
meliputi bidang pekerjaan yang lebih meluas.
ii. Mengubahsuai piawaian ketukangan kebangsaan yang sedia ada dari ‘job based’ yang
terlalu spesifik kepada ‘occupational-based’ yang lebih generik supaya lebih ‘flexible’.
iii. Membuka lebih luas peluang mempertingkatkan kelayakan vokasional dengan
memperkenalkan’Accredition of Prior Achievement’ (APA) dan ‘Accredition of Prior
Learning’ (APL) supaya lebih ramai pekerja yang berpengalaman dapat diberi
pengiktirafan sewajarnya tanpa melalui ujian kemahiran. Ini akan menjimatkan wang dan
tenaga untuk menguji kemahiran yang sememangnya telah dimiliki oleh seseorang pekerja
berpengalaman.
iv. Mengubahsuai kelayakan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang ada sekarang dengan
mewujudkan satu Sistem Kelayakan Vokasional Kebangsaan (KVK). SMK Peringkat
Asas, Pertengahan dan Tinggi akan digantikan oleh KVK Tahap I, Tahap II dan Tahap III
di mana Tahap I dan II diletakkan di peringkat operasi dan pengeluaran dengan
memuatkan kemahiran teras seperti kemahiran komunikasi. ‘information technology’dan
‘numeracy’ di samping kemahiran vokasional dan KVK Tahap III diletakkan di peringkat
penyediaan dengan memuatkan kemahiran pengurusan.
v. Memastikan jaminan mutu (quality assurance) latihan vokasional dengan mewujudkan
satu mekanisme assessment and verification yang sesuai untuk pelatih-pelatih di industri
latihan dan juga pekerja industri.
vi. Melaksanakan latihan secara modular supaya sistem ‘assessment and verification’ dapat
dijalankan dengan berkesan.
vii. Kelayakan kemahiran individu yang telah menjalani program latihan juga akan diiktiraf
dan dikenali pada peringkat kebangsaan. Di bawah sistem ini juga reputasi, pentauliahan,
pengiktirafan dan pendaftaran penyedia latihan (training providers) dapat dikawal agar
semua pusat latihan berusaha supaya kursus latihannya ditauliah dan program latihannya
diiktiraf serta institusi mereka berdaftar dengan MLVK untuk menjalankan kursus dan
program latihan di mana-mana dalam Malaysia.
6.4 Pemupukan Budaya Pendidikan Untuk Seumur Hidup
Menurut George R. Knight, pendidikan bukan hanya terhad kepada pembelajaran di peringkat
sekolah sahaja, malah ia lebih merupakan suatu proses pembelajaran sepanjang hayat. Pendidikan
menjelang Abad ke-21 bukan sahaja untuk memberikan pelajaran asas kepada pelajar-pelajar
sekolah sahaja, bahkan ia juga bertujuan untuk memberi peluang kepada setiap individu yang
berminat untuk memperkayakan ilmu pengetahuan dan meningkatkan kemahiran diri sendiri
mengikut perubahan semasa. Ini adalah selaras dengan Matlamat Pendidikan Negara yang
bertujuan untuk melahirkan rakyat Malaysia yang sempurna dan menghayati ilmu pengetahuan.
Oleh yang demikian, program pendidikan lanjutan perlu diwujudkan bagi membolehkan latihan
tambahan diberi kepada mana-mana individu yang ingin meningkatkan pengetahuan dan
kemahirannya. Kemahiran tambahan sedemikian adalah perlu untuk seseorang itu menyesuaikan
diri dengan perkembangan teknologi semasa agar ilmu yang dimiliki oleh seseorang itu tidak akan
statik dan ketinggalan zaman.
6.5 Menaikkan Taraf Lulusan Dalam Bidang Vokasional
Pendidikan juga mempunyai peranan untuk memberi penerangan bahawa tidak ada bezanya di
antara sistem pendidikan vokasional dan akademik. Sungguhpun president Pertubuhan Perguruan
Kebangsaan (NUTP), Abu Bakar Shauket Ali pernah menyeru kepada pihak kerajaan untuk
memberikan peluang kepada pelajar-pelajar yang gagal dalam Penilaian Menengah Rendah
(PMR) bagi memperolehi latihan vokasional. Tetapi ini tidak bermakna bahawa sekolah-sekolah
vokasional yang sedia ada telah diturunkan tarafnya. Sikap memandang rendah terhadap pelajar-
pelajar sekolah vokasional sebagai gagal ke sekolah akademik masih menebal di kalangan kita.
Setengah ibu bapa berasa malu pada jiran-jiran apabila anak mereka bersekolah aliran vokasional.
Mesipun sering kali ditegaskan bahawa masa depan bagi lepasan sekolah vokasional yang
bercorakkan kemahiran adalah cerah, namun pada hakikatnya tanggapan orang ramai terhadap
pendidikan vokasional sukar dikikis. Akibatnya, hanya sejumlah 7% pelajar-pelajar PMR kita
yang berminat untuk memasuki sekolah vokasional dan teknik berbanding dengan di negara
perindustrian seperti Jerman di mana 70% daripada lepasan sekolah ditempatkan untuk latihan
vokasional.
Di sini, masyarakat khususnya golongan remaja haruslah mengubah sikap dan pandangan mereka
terhadap pendidikan vokasional. Dengan wujudnya peluang-peluang pekerjaan yang semakin
meluas, gaji yang lumayan dan kenaikan pangkat yang lebih cepat dalam sektor pekerjaan
vokasional, pandangan masyarakat harus berubah dan memandang tinggi terhadap pekerjaan
kolar biru. Selagi jurang ini masih wujud maka sukarlah untuk menggalakkan lebih ramai pelajar
mengikuti bidang vokasional.
Namun begitu, berbagai-bagai usaha telah dijalankan bagi mengalihkan pandangan masyarakat
agar beranggapan positif terhadap pendidikan teknik dan vokasional. Contohnya, dalam Falsafah
Pendidikan Negara dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM), telah ditekankan
terhadap nilai-nilai yang tinggi seperti berkeupayaan untuk bekerja keras, semangat untuk
memajukan diri, etika kerja yang baik, disiplin dan semangat untuk bersaing. Dalam kurikulum
baru ini , mata pelajaran baru iaitu Kemahiran Hidup Bersepadu telah diperkenalkan. Ini secara
tidak langsung mendedahkan pelajar-pelajar aliran akademik kepada pendidikan teknik dan
vokasional.
Selain daripada itu, sistem pendidikan perlu menyedarkan orang ramai bahawa peluang dan laluan
memang disediakan bagi lulusan dalam bidang kemahiran. Peluang melanjutkan pelajaran untuk
lepasan sekolah vokasional kini masih terhad (Lampiran B). Oleh yang demikian, peluang
peningkatan ilmu untuk lulusan bidang vokasional perlu diperbanyakkan. Disamping itu, pekerja-
pekerja dalam sektor industri juga boleh menunjukkan kecemerlangan dalam bidang akademik
dan perlu mendapat galakan. Dengan itu, institusi-institusi pengajian tinggi tempatan juga perlu
bersikap terbuka untuk memberi peluang kepada golongan pekerja ini untuk melanjutkan
pelajaran mereka. Pengiktirafan sijil kemahiran seperti Sijil Majlis Latihan Vokasional
Kebangsaan (MLVK) yang setaraf dengan akademik juga perlu diterima segera sebagai usaha
untuk menaikkan taraf lulusan dalam bidang vokasional.
Dari segi kualiti pendidikan vokasional pula, tenaga pengajar di institusi latihan vokasional dan
teknikal perlu mempunyai pengetahuan yang terkini, berorientasikan industri dan mempunyai
pengalaman bekerja dalam industri. Justeru itu, tenaga pengajar digalakkan untuk menjalani
kerja-kerja perundingan di industri, menghadiri kursus-kursus latihan teknikal jangka pendek dan
diadakan pertukaran kakitangan antara institusi pendidikan teknik dan vokasional. Penubuhan
Institut Teknologi Tun Hussein Onn (ITTHO) pada tahun 1992 khususnya, merupakan kerjasama
antara Kementerian Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia dan juga konsortium MUCIA dari
luar negeri bagi melatih bakal tenaga pengajar berkualiti untuk politeknik.
Selain daripada itu terdapat beberapa cadangan yang wajar perlu diberikan perhatian oleh semua
pihak bagi menyahut cabaran-cabaran serta memperkasakan sistem pendidikan vokasional negara
kita:-
1. Masyarakat perlu mengubah sikap yang selama ini memandang rendah terhadap
pendidikan teknik dan vokasional.
2. Industri perlu terlibat dalam perancangan kurikulum dan perkembangan pendidikan
vokasional agar latihan yang diberikan kepada pelajar dapat dihubungkaitkan dengan
dunia pekerjaan yang sebenar.
3. Program vokasional mestilah disokong oleh polisi yang kukuh serta dibantu sepenuhnya
oleh sistem pentadbiran dan politik yang ada.
4. Pendidikan sekolah aliran akademik mulai peringkat yang terendah sehinggalah ke
sekolah menengah perlu diterapkan komponen-komponen latihan vokasional.
5. Pihak swasta perlu digalakkan untuk memberi sumbangan kerana beban dan kos untuk
membiayai pendidikan vokasional adalah terlalu tinggi.
6. Program vokasional yang khusus untuk sesuatu pekerjaan perlu diperkuatkan pada
peringkat tertinggi seperti institusi pengajian tinggi, maktab-maktab dan persekolahan
peringkat menengah atas.
7. Perkembangan sistem vokasional pada masa depan seharusnya memberi peluang kepada
sesiapa saja yang berminat tanpa mengira kedudukan sosio-ekonomi mereka.
8. Kursus-kursus sambilan hujung minggu atau luar waktu kerja perlu diadakan untuk tujuan
meningkatkan kemahiran pekerja-pekerja supaya sejajar dengan perkembagan teknologi.
7.0 PENUTUP
Pendidikan Teknik dan Vokasional menjadi teras dalam membangunkan potensi individu seperti
yang dihasratkan dalam Misi Kementerian Pendidikan Malaysia iaitu membangun sistem
pendidikan yang berkualiti dan bertaraf dunia bagi memperkembangkan potensi individu dan
memenuhi aspirasi negara Malaysia. FPK juga menekankan tentang tanggungjawab individu demi
melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia,
bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan
terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara. Sebagai kesimpulan,
pendidikan vokasional haruslah berhadapan dengan beberapa cabaran untuk menyahut seruan
kerajaan menjelang tahun 2020. Sikap masyarakat sendiri perlu diubah agar rakyat memberi
pandangan yang lebih positif terhadap pendidikan teknik dan vokasional. Walaupun perubahan
dari segi sikap dan nilai sesebuah masyarakat itu akan memakan masa yang lama, namun usaha-
usaha perlulah dijalankan mulai dari sekarang. Generasi muda perlulah ditanam dengan sikap dan
norma kehidupan yang baik agar mereka mampu menjadi pekerja-pekerja yang berkemahiran
tinggi. Cabaran kepada pendidikan vokasional kita adalah besar sekiranya kita ingin mencapai
taraf negara maju dalam tahun 2020. Tidak dinafikan bahawa asas sudah ada dalam pendidikan
vokasional kita yang akan membolehkan kita merancang untuk menuju ke arah cita-cita tersebut.
Namun begitu, dengan persaingan yang akan kita hadapi pada tahun-tahun akan datang khususnya
dalam kegawatan ekonomi yang melanda negara kini, tenaga manusia yang bakal dilahirkan oleh
pendidikan vokasional kita haruslah mempunyai daya saingan dan peka kepada perubahan yang
berlaku sekelilingnya.
Rujukan
Kementerian Pendidikan Malaysia (1992), Buku Penerangan Kurikulum Bersepadu
Sekolah Menengah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kementerian Pendidikan Malaysia (2002), Laporan Jawatankuasa Pusat
Perkembangan Kurikulum, Kuala Lumpur, Pusat Perkembangan Kurikulum.
Kementerian Pelajaran Malaysia (1980), Laporan Jawatankuasa Mengkaji
Pelaksanaan Dasar Pelajaran, Kuala Lumpur, (Laporan Kabinet).
Kementerian Pendidikan Malaysia (1987), Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah.
Kuala Lumpur. Pusat Perkembangan Kurikulum.
Kementerian Pendidikan Malaysia (2001), Falsafah Pendidikan Kebangsaan,
Matlamat dan Misi. Kuala Lumpur. Pusat Perkembangan Kurikulum.
Shahril (1992), Peranan Pendidikan Dalam Memenuhi Wawasan 2020, dalam Jurnal
Guru, keluaran 4, 16 Mei 1002.
Shahril @ Charil Marzuki dan Habib Mat Som (1999), Isu Pendidikan di Malaysia,
Sorotan dan Cabaran. Kuala Lumpur : Utusan Publications & Distributor Sdn.Bhd.
Yusoff Bin Harun. “Hala Tuju Pendidikan Teknik dan Vokasional”. Kertas dibentangkan di
International Forum on Vocational – Technical Education, Hangzhao, China.17 – 20 Nov 2008.
Bernama (2010). Sistem Pendidikan vokasional dirombak, kata Muhyiddin. Dicapai pada 27
September 2010. Daripada http://www.themalaysianinsider.com