SMK ELOPURA, SANDAKAN
PENULISAN ILMIAH 2011(Satu Staf, Satu Projek)
TAJUK :
UNSUR PERCAMPURAN KOD DALAM PROSES PEMELAJARAN DAN
PENGAJARAN : ANCAMAN BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA ILMU
Oleh;
Rovina Bt Samsudin
(790919-12-5124)
UNSUR PERCAMPURAN KOD DALAM PROSES PEMELAJARAN DAN PENGAJARAN : ANCAMAN BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA ILMU
0
Oleh : Rovina Bt Samsudin
ABSTRAK
Dalam Perkara 152, Perlembagaan Malaysia, jelas memperuntukkan bahawa
bahasa kebangsaan bagi negara Malaysia ialah bahasa Melayu dan hendaklah
ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dengan undang-
undang oleh Parlimen. Sementara itu, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (disemak
1971) pula menghendaki bahasa kebangsaan digunakan bagi maksud-maksud
rasmi. Keselarasan kedua-dua perkara tersebut telah menunjukkan bahawa betapa
pentingnya mewujudkan bahasa kebangsaan sebagai lambang identiti dan
kedaulatan negara serta berfungsi sebagai wadah penyatuan rakyat, manakala
bahasa rasmi pula merupakan bahasa yang digunakan dalam situasi rasmi seperti
dalam urusan pemerintahan, perdagangan, dan upacara rasmi yang lain. Hal ini
termasuklah bidang pendidikan sebagaimana telah tercatat dalam Penyata Razak
1956 yang memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa
pengantar utama dalam sistem pendidikan kebangsaan Malaysia.
Pemilihan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, dan
bahasa pengantar dalam bidang pendidikan, dilakukan semata-mata untuk
mencapai perpaduan nasional yang menjadi wahana penting dalam memupuk
perkongsian nilai yang sama sebagai warganegara Malaysia. Selain peranan
bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dalam sistem pendidikan negara, bahasa
Melayu turut berfungsi sebagai pembentuk jati diri bangsa Malaysia dengan
berkesan melalui kesatuan pemikiran dan sikap sebuah bangsa yang dinamai
bangsa Malaysia. Namun begitu, belakangan ini kedudukan bahasa Melayu sebagai
bahasa pengantar utama dan bahasa ilmu dalam sistem pendidikan terus dicabar
oleh pelbagai senario yang mengasak bahasa Melayu dari pelbagai sudut hingga
1
menggugat dan menggoyah benteng pertahanannya. Era globalisasi yang begitu
gah dengan teknologi informasi dan komunikasinya, telah mengubah cara hidup
masyarakat pada hari ini, khususnya generasi muda sehingga terbawa-bawa dalam
proses pemelajaran dan pengajaran dalam bilik darjah. Pencabulan bahasa Melayu
sebagai bahasa ilmu dan bahasa rasmi dalam bilik darjah terus berlaku sehingga
mewujudkan fenomena unsur percampuran kod atau lebih dikenali sebagai ‘bahasa
rojak’ yang kian hari kian parah. Lebih menyedihkan, situasi ini bukan sahaja
melibatkan generasi muda sebagai anak murid, malah turut berlaku pada segelintir
guru yang sepatutnya menjadi contoh dalam penguasaan bahasa kebangsaan ini.
Oleh itu, makalah ini ditulis untuk perkongsian ilmu dan sebagai satu wahana untuk
menyedarkan diri kita sebagai para pendidik akan kepentingan memartabatkan
bahasa Melayu dalam proses pemelajaran dan pengajaran agar dapat melahirkan
generasi muda yang bersatu padu, berjiwa Malaysia, dan menepati cogan kata
‘bahasa jiwa bangsa’.
PENGENALAN
‘Bahasa Melayu merentasi kurikulum’. Frasa tersebut selaras dengan
kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan sebagai bahasa
pengantar dalam mata pelajaran lain, selain mata pelajaran Bahasa Melayu, seperti
Sejarah, Geografi, Kemahiran Hidup, Prinsip Perakaunan, Perdagangan, Ekonomi
Asas, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, dan sebagainya. Fungsi Bahasa Melayu
dalam sistem pendidikan ini telah dirumuskan oleh Akta Pendidikan 1961, lanjutan
daripada penegasan perundangan terhadap Penyatak Razak 1956 dan Laporan
Rahman Talib 1960. Lebih tiga dekad yang lalu sejak tahun 1971, pelbagai kajian
telah dilakukan terhadap kesan sistem pendidikan tersebut dan hasil yang diperoleh
agak membanggakan. Bahasa Melayu terbukti berjaya menjadi bahasa pengantar
2
pendidikan, setanding dengan bahasa lain di dunia. Bahasa Melayu berjaya diangkat
dan bertindak sebagai bahasa ilmu. Bahasa itu digunakan di peringkat sekolah
rendah, sekolah menengah dan mulai tahun 1983 semua institusi pengajian tinggi
awam di Malaysia menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar (Pelita
Bahasa, September 2008 m/s 14-16).
Namun demikian, keadaan yang sebaliknya kini kelihatan sedang berlaku.
Dengan perkembangan semasa yang ghairah dengan kepesatan teknologi
maklumat dan komunikasi (TMK), ditambah lagi dengan sikap dan persepsi
masyarakat yang kononnya kian maju telah memperlihatkan kecenderungan
sesetengah pihak untuk menidakkan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.
Menurut Datuk Seri Utama Rais Yatim (Disember, 2004), masyarakat Malaysia,
khususnya orang Melayu telah terdedah kepada unsur-unsur baru akibat nilai-nilai
dan amalan dunia global masa ini. Segala macam ilmu pengetahuan lebih pantas
diperoleh. Cara berfikir, cara bertindak, dan cara hidup, semuanya kian berubah.
Kewujudan komputer dan internet, rentetan kesan kemajuan global telah mengubah
cara hidup lama masyarakat Malaysia. Unsur-unsur ini tidak semestinya membina
jati diri atau membina bangsa yang dikehendaki kerana suatu proses nilai yang kuat
lagi berpengaruh semakin menyedut nilai lemah yang kurang berpengaruh. Salah
satu perkara yang bakal disedut melalui proses tersebut ialah menerusi fenomena
pencabulan bahasa, iaitu unsur percampuran kod dalam bahasa Melayu.
DEFINISI KONSEP
3
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, ‘unsur’ bermaksud suatu bahan atau
anasir. Manakala, ‘percampuran’ bermaksud perihal bercampur atau bercampur
aduk. Perkataan ‘kod’ pula merujuk tulisan dengan tanda yang mempunyai erti
tertentu. Nik Safiah Karim (1990) pula berpendapat bahawa ‘percampuran kod’
merupakan suatu pencemaran yang salah kepada bahasa Melayu pada peringkat
formal. Abdullah Hassan (2007) mengatakan bahawa ‘percampuran kod’ merujuk
penutur bahasa Melayu yang menggunakan bahasa yang bercampur aduk,
contohnya bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris dan percampuran itu dilakukan
pada setiap peringkat penguasaan bahasa. Oleh itu, dapat diringkaskan di sini
bahawa unsur percampuran kod boleh disinonimkan dengan istilah ‘bahasa rojak’,
iaitu bahasa yang bercampur aduk kata-kata yang digunakan oleh penuturnya.
‘Bahasa Rojak’ wujud dalam sesuatu ayat yang diselang-selikan dengan bahasa
asing sehingga campurannya itu semacam hidangan rojak (Datuk Seri Utama Rais
Yatim, Disember 2004).
Sementara itu, menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, kata ‘proses’
bermaksud satu siri perubahan yang berlaku secara semula jadi. Manakala,
‘pengajaran’ merujuk perihal mengajar atau segala sesuatu yang berkaitan dengan
mengajar. Kata ‘pemelajaran’ pula merujuk proses belajar untuk mengetahui sesuatu
dengan mendalam (Kamus Dewan Edisi Keempat, m/s 56). Menurut Mok Soon
Sang (2005) pula, ‘pengajaran’ merupakan aktiviti atau proses yang berkaitan
dengan penyebaran ilmu pengetahuan atau kemahiran yang tertentu. Manakala,
‘pemelajaran’ pula merujuk sesuatu proses melalui latihan atau pengalaman sesuatu
organisma yang menghasilkan perubahan tingkah laku yang agak kekal. Justeru,
dapat disimpulkan bahawa proses pemelajaran dan pengajaran adalah suatu
4
perubahan sikap dan perlakuan yang dialami oleh individu akibat daripada hasil
penerimaan ilmu pengetahuan atau sesuatu kemahiran.
Maksud kata ‘ancaman’ pula ialah sesuatu yang mengancam atau
diancamkan atau bahaya yang mungkin menimpa sesuatu (Kamus Dewan Edisi
Keempat, m/s 143). Kata ‘bahasa’ pula, menurut sumber rujukan yang sama ialah
sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam
lingkungan satu kelompok manusia atau antara individu dengan individu yang lain.
Oleh itu, bahasa Melayu ialah bahasa pertuturan yang digunakan untuk berhubung
dalam suatu kelompok yang dipanggil bangsa Melayu. Frasa ‘bahasa ilmu’ pula ialah
bahasa yang digunakan sebagai bahasa pengantar dalam bidang pendidikan dan
dalam konteks penulisan ini merujuk kepada bahasa Melayu (Nik Safiah Karim dan
Norliza Jamaluddin, 2002). Oleh itu, dapatlah disimpulkan di sini bahawa ‘unsur
percampuran kod dalam proses pemelajaran dan pengajaran’ merupakan satu
keadaan yang mencemarkan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa
rasmi dan bahasa kebangsaan oleh unsur-unsur penyelitan dan pencampuradukkan
perbendaharaan kata bahasa asing, terutamanya dalam sistem pendidikan atau
dalam bilik darjah.
Fenomena ini jika dibiarkan berlanjutan maka akan merebaklah ‘penyakit
campur aduk’. ‘Penyakit campur aduk’ inilah yang menyebabkan berkembangnya
‘bahasa rojak’ dan seterusnya mengancam kedudukan bahasa Melayu itu sendiri
sebagai bahasa ilmu. Berdasarkan pemerhatian, terdapat pelbagai faktor yang
mewujudkan fenomena ini sehinggakan menimbulkan pelbagai implikasi yang
negatif, justeru pelbagai langkah untuk mengatasinya perlu diambil secara proaktif
demi menyelamatkan bahasa ibunda kita, bahasa Melayu.
5
HURAIAN KONSEP
Impian untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, seperti yang
termaktub dalam Penyatak Razak 1956, Penyata Rahman Talib 1960, Akta
Pelajaran 1961, dan Akta Pendidikan 1996, merupakan tindakan yang mulia lagi
membanggakan. Semua pihak harus memikul tanggungjawab untuk merealisasikan
kelahiran ‘modal insan’ terbilang daripada acuan bahasa dan budaya kita sendiri
sebagai bangsa Malaysia. Bagi memartabatkan dan mengangkat bahasa Melayu di
puncak singgahsana, pendidik perlu memainkan peranan mereka untuk melihat dan
memperbaik apa-apa yang kurang bagi membolehkan bahasa Melayu berdiri sama
tinggi dengan bahasa Inggeris. Di Malaysia, penggunaan bahasa Inggeris amat
meluas hingga penggunaan bahasa Melayu makin tenggelam, padahal sejarah telah
membuktikan bahawa bahasa Melayu berupaya menjadi bahasa persuratan, bahasa
ilmu, bahasa kerajaan, bahasa agama (Islam), dan bahasa bertulisan jawi yang
berjaya menghasilkan karya persuratan (Pelita Bahasa, Januari 2009).
Malangnya, kini pencemaran bahasa Melayu amat berleluasa sehinggalah ke
dalam bilik darjah, iaitu ketika proses pemelajaran dan pengajaran berlaku. Situasi
yang melibatkan komunikasi antara murid-murid dan guru, atau antara murid
sesama murid turut menjadi bukti akan kebejatan fenomena ini yang sekali gus
menggugat usaha untuk memartabatkan kedudukan bahasa Melayu itu sendiri.
Walaupun situasi yang berlaku di dalam bilik darjah merupakan situasi yang
dianggap kecil atau sampingan jika dibandingkan dengan situasi lain yang berlaku di
persekitaran kita seperti menerusi media massa, khususnya televisyen, komputer,
dan internet, namun perlu kita sedari bahawa generasi muda yang masih di bangku
sekolah inilah yang menentukan masa hadapan negara dan jati diri bangsa
Malaysia.
6
Teguran Naib Canselor Universiti Utara Malaysia, Prof. Datuk Dr. Mohamed
Mustafa Ishak yang mengatakan bahawa penggunaan bahasa Melayu ‘rojak’ dalam
kalangan generasi muda kini kian parah terutamanya ketika berkomunikasi dalam
majlis formal, perlu diambil iktibar (Bernama, 20 September 2011). Menurut beliau,
faktor penyumbang penggunaan bahasa Melayu ‘rojak’ ini mungkin disebabkan
golongan muda kurang didedahkan dengan penulisan bahasa Melayu formal atau
aktiviti komunikasi ketika di peringkat sekolah rendah dan menengah. Oleh itu,
kegemilangan bahasa Melayu perlu dikembalikan dan cabaran itu perlu digalas oleh
semua pihak terutamanya sistem pendidikan yang perlu menekankan kurikulum
berlandaskan penggunaan bahasa Melayu dalam konteks yang betul.
i) Ciri-ciri Unsur Percampuran Kod dalam Bahasa Melayu
Sebagaimana yang telah dibincangkan dalam huraian konsep sebelum ini,
‘unsur percampuran kod’ boleh disinonimkan dengan istilah ‘bahasa rojak’ atau lebih
tepat dalam konteks perbincangan ini, iaitu bahasa Melayu ‘rojak’. Terdapat
beberapa ciri utama yang dapat digunakan untuk mengenal pasti unsur
percampuran kod tersebut.
Menurut Abdullah Hassan dalam Seminar Bahasa Rojak : Kecelaruan
Penggunaan Bahasa Melayu anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka yang diadakan
pada 18 – 19 Julai 2007, unsur percampuran kod dalam bahasa Melayu dapat dilihat
melalui cara penyampaian idea atau komunikasi seseorang. Antaranya, penguasaan
bahasa Melayu baku yang tidak lengkap seperti sekerat belut sekerat ular. Dalam
penggunaan bahasa Melayu ‘rojak’, pelbagai kod sering digunakan dan fenomena ini
turut berlaku dalam proses pemelajaran dan pengajaran. Misalnya, “yes….aku lulus
7
dalam exam tu..”, “cikgu pesan, homework tu kena submit next week”, “..tapaukan
aku makanan dari kantin...’, dan “panggil semua student turun ke lab sekarang”.
Ciri kedua yang dapat kita lihat dalam bahasa Melayu ‘rojak’ ialah
penggunaan tatabahasa yang tidak gramatis. Penggunaan tatabahasa yang
gramatis tidak dipentingkan dalam bahasa Melayu ‘rojak’ akibat kewujudan unsur
percampuran kod. Bahasa ini sering memendekkan kata serta menggugurkan
bahagian-bahagian tertentu dalam ayat. Menurut Khairiah Ahmad (1985), unsur
penting dalam menghasilkan pertuturan berkesan ialah penguasaan bahasa yang
agak tinggi dalam sebutan, perbendaharaan kata, tatabahasa, dan nada. Oleh itu,
penguasaan tatabahasa dalam bahasa Melayu amat penting bukan sahaja kepada
seorang guru, tetapi juga kepada para pelajar dan masyarakat umumnya. Apatah
lagi kepada sorang guru Bahasa Malaysia.
Selain itu, situasi formal seperti dalam bilik darjah yang sepatutnya
menggunakan bahasa Melayu baku, tidaklah berlaku sebagaimana yang
diharapkan. Penggunaan dialek semasa proses pemelajaran dan pengajaran turut
mencalar kredibiliti bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Dialek ialah kelainan
bahasa yang berbeza dari segi sebutan, tatabahasa, dan kosa kata daripada bahasa
baku (Nik Safiah Karim dan Norliza Jamaluddin, 2002). Lazimnya, sesuatu bahasa
mempunyai beberapa dialek, dan salah satu daripada dialek ini menjadi variasi
kepada bahasa Melayu ‘rojak’. Contohnya, sebutan bunyi /a/ pada akhir perkataan,
misalnya ‘lupa’, tidak sama antara dialek Johor dengan dialek Negeri Sembilan, atau
dengan dialek Parit, Perak. Di Johor, bunyinya [ә], di Negeri Sembilan [ͻ], di utara
[a], dan di Parit [ε] (Nik Safiah Karim dan Norliza Jamaluddin, 2002). Oleh itu,
bayangkanlah jika seorang guru berasal dari negeri Kelantan dan dihantar untuk
berkhidmat di negeri Sabah, dan guru berkenaan mengajar dengan menggunakan
8
bahasa Melayu dialek Kelantan. Sudah tentulah objektif pemelajaran dan
pengajaran tersebut tidak tercapai seperti yang diharapkan.
ii) Faktor-faktor Unsur Percampuran Kod dalam bahasa Melayu
Berdasarkan kajian dan pemerhatian yang dilakukan, terdapat banyak faktor
yang menyebabkan fenomena pencemaran bahasa Melayu ini terus berlaku. Faktor
keturunan dan latar belakang keluarga merupakan salah satu penyumbang
penularan masalah ini. Berdasarkan Laporan Kaji Selidik Maklumat Bahasa
Malaysia oleh Abdul Razak Sulaiman et. al (1988), faktor keturunan turut
memainkan peranan dalam proses mewujudkan aktiviti kebahasaan. Perkaitan
antara faktor keturunan dan bahasa pertuturan di rumah didapati turut
mempengaruhi bahasa pertuturan di sekolah dan berdasarkan kajian tersebut, 83%
responden berbangsa Melayu menggunakan bahasa Melayu di rumah dan 17% lagi
menggunakan bahasa lain seperti bahasa Inggeris. Laporan kajian tersebut juga
mendapati penggunaan bahasa Inggeris lebih meluas daripada penggunaan bahasa
Melayu dalam kalangan responden berbangsa Cina. Responden berketurunan
Kadazan pula lebih banyak menggunakan bahasa Melayu jika dibandingkan dengan
keturunan lain. Sebanyak 26% responden Kadazan menggunakan bahasa Melayu
untuk pertuturan harian di rumah, manakala 30% lagi menggunakan kedua-dua
bahasa, iaitu bahasa Melayu dan bahasa ibunda. Oleh itu, jelaslah di sini bahawa
bahasa pertuturan di rumah banyak mempengaruhi kebolehan dan keupayaan
individu mempelajari dan menggunakan bahasa Melayu standard.
Selain itu, memang tidak dapat dinafikan bahawa penggunaan bahasa
Melayu ‘rojak’ juga banyak dipengaruhi oleh faktor alam persekitaran seperti tempat
kediaman yang merangkumi tempat lahir, tempat tinggal sekarang, dan tempat
9
menetap lima tahun lepas, sebagai sebahagian dari aspek yang dijangka
mempengaruhi penggunaan bahasa Melayu standard (Abdul Razak Sulaiman,
1988). Keadaan persekitaran yang berbeza ini boleh mempengaruhi pemerolehan
bahasa seseorang melalui komunikasi. Misalnya, seorang individu berbangsa
Melayu yang dibesarkan di kampung halaman dan kemudian melanjutkan pelajaran
ke luar negara akan mengalami persekitaran yang berbeza dan menyebabkan ia
terpaksa menyesuaikan diri dengan situasi baru tersebut. Sekembalinya individu
tersebut ke tempat asal pasti akan menyebabkannya ‘merojakkan’ bahasa Melayu.
Persepsi individu terhadap bahasa Melayu juga menjadi penyumbang
berlakunya pencemaran bahasa kebangsaan ini. Menurut Nor Hashimah Jalaluddin
et.al, 2010), bahasa sebagai medium penting dalam proses menyampaikan ilmu
perlu dikuasai dengan mempelajarinya melalui kurikulum yang dirangka. Bagi
memastikan keberkesanan program yang dirancang, hal ini perlu diiringi dengan
sikap yang positif dan persepsi yang tinggi terhadap bahasa itu sendiri. Menurut
kajian beliau, 80% daripada 1500 orang pelajar sebagai responden bersikap positif
terhadap bahasa Melayu, namun hanya 29.9% sahaja yang mempunyai persepsi
yang tinggi terhadap bahasa Melayu. Persepsi yang tinggi dan sikap yang positif
terhadap bahasa Melayu perlu terus dipupuk agar pelajar tetap yakin terhadap
kemampuan bahasa Melayu, khususnya sebagai bahasa ilmu.
Sikap segelintir guru yang tidak menitikberatkan kepentingan bahasa Melayu
sebagai bahasa ilmu juga menjadi punca menularnya unsur percampuran kod di
dalam bilik darjah. Dalam sistem persekolahan di Malaysia, pelajar terdiri daripada
pelbagai peringkat yang berbeza dari segi kebolehan dan latar belakang
sosioekonomi. Dengan penuntut yang terpilih dan daripada kumpulan yang
berkebolehan tinggi, tugas guru menjadi lebih mudah dengan motivasi yang positif
10
daripada pelajar untuk belajar. Namun, sekiranya penuntut yang berbeza-beza dari
segi kebolehan, tugas guru menjadi lebih kompleks. Umumnya, jika dilihat peranan
guru, kita boleh katakan bahawa guru bukanlah hanya sebagai pengajar semata-
mata, tetapi juga bertindak sebagai model kepada muridnya. Sikap seorang guru
biasanya terbawa-bawa ke dalam minat dan sikap kebudayaan, pemilihan
pekerjaan, pegangan intelektual, dan pelbagai aspek kehidupan dewasa seseorang.
Oleh itu, amatlah rugi dan bertapa berbahayanya masa hadapan bahasa Melayu
sekiranya guru yang diharapkan untuk mendidik generasi muda supaya berbahasa
Melayu standard, tidak menjalankan tanggungjawab tersebut dengan penuh
amanah, ibarat ketam mengajar anaknya berjalan lurus.
Faktor yang terakhir ialah pengaruh media massa dan teknologi maklumat
(TM). Seperti yang telah disaksikan kebelakangan ini, kesan kemajuan global telah
banyak mengubah cara hidup masyarakat Malaysia. Kemunculan komputer, internet,
dan telefon bimbit seolah-olah menjadi ‘menu wajib’ bagi masyarakat, tidak
terkecuali para pelajar. Masyarakat kini mengirim berita pantas melalui ‘e-mail’ dan
‘sms’ – dua istilah yang sudah pun menjadi sebahagian daripada perbendaharaan
kata kita. Perkataan baru sering memasuki perbendaharaan kata kita dan
kadangkala tanpa perlu ditapis atau dihalusi terlebih dahulu. Alat-alat canggih
pengguna dipasarkan secara meluas lalu menggantikan peralatan lama, dan
akibatnya bahasa Melayu dituturkan separuh Melayu dan separuh bahasa Inggeris.
Menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), golongan remaja menjadikan bahasa
Melayu ‘rojak’ sebagai alat perhubungan dengan alasan bahasa itu ringkas dan
mudah bagi mereka. Impaknya, dalam penulisan karangan, kelemahan aspek
bahasa pelajar amat ketara termasuk penggunaan bahasa yang tidak mantap
11
kerana dicampuradukkan dengan bahasa asing yang tidak difahami dengan
mendalam maksud perkataan yang digunakan.
iii) Kesan-kesan Unsur Percampuran Kod dalam Bahasa Melayu
Kita akan membincangkan kesan percampuran kod dalam bahasa Melayu ini
secara umum sahaja kerana implikasinya telah pun kita sentuh sejak awal
perbincangan. Impak yang paling ketara akibat pencemaran bahasa Melayu ini ialah
menggugat kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi,
dan sudah tentu sebagai bahasa ilmu. Tan Sri Dr. Jins Shamsudin, apabila diajukan
pertanyaan tentang masa hadapan bahasa Melayu, turut memberikan pendapat
beliau yang bernas. Menurut beliau, yang menghidupkan atau mematikan sesuatu
bahasa ialah masyarakat penggunanya. Bahasa Melayu akan musnah jika penutur
bahasa itu tidak menggunakannya dengan betul dan begitu juga sebaliknya (Pelita
Bahasa, Januari 2011). Oleh itu, jika kita bertemu dengan orang Melayu, gunakanlah
bahasa Melayu yang baik kerana bahasa menunjukkan bangsa.
Impak yang paling digeruni oleh para pencinta bahasa Melayu akibat
pencemaran bahasa Melayu ini ialah terbentuknya generasi yang akan
menggunakan bahasa Melayu yang salah. Kini, sudah seakan-akan satu budaya
apabila seseorang yang bertutur bahasa Melayu pasti akan mencampurkannya
dengan kata-kata bahasa Inggeris. Fenomena ini jika tidak dibendung sejak awal
mungkin akan membawa kewujudan satu budaya yang sangat merendahkan
martabat bahasa Melayu. Apabila anak-anak mengikut, anak-anak murid juga
mengikut, akhirnya bahasa Melayu sudah tidak ada, yang wujud ialah bahasa
Melayu ‘rojak’ atau bahasa campuran. Keadaan ini akan menggagalkan usaha
12
mewujudkan bahasa baku dan seterusnya menggagalkan usaha untuk
memartabatkan bahasa Melayu.
Apabila semua itu berlaku, maka fenomena ini akan mengancam bahasa
Melayu sebagai lambang perpaduan rakyat Malaysia. Ibarat kata-kata seorang
tokoh…..“Bahasa Malaysia merupakan bahasa kebangsaan yang perlu dikuasai oleh
pelbagai kaum yang tinggal di Malaysia.” Demikian catatan Menteri di Jabatan
Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon, dalam buku cenderamata Festival
Bahasa dan Sastera, yang dirasmikannya pada 21 Julai 2010 yang lalu. Nampaknya
beliau sependapat dengan Tan Sri Lee Lam Thye yang mengatakan bahawa bahasa
Melayu memainkan peranan yang sangat penting dalam menghubungkan semua
kaum di negara ini (Pelita Bahasa, Oktober 2009). Menurut beliau lagi, bahasa
Melayu menjadi bahasa perantaraan yang membolehkan rakyat negara ini
berkomunikasi antara satu dengan yang lain. Apabila kita menggunakan satu
bahasa, iaitu bahasa Melayu untuk berhubung, maka tanpa kita sedari telah wujud
perpaduan dalam kalangan masyarakat kita.
iv) Cadangan Mengatasi Masalah Unsur Percampuran Kod
Untuk mengatasi masalah percampuran kod dalam bahasa Melayu,
terutamanya dalam proses pemelajaran dan pengajaran, semua guru, termasuk
guru bukan bahasa Melayu perlu berpegang pada prinsip ‘Bahasa Melayu Merentasi
Kurikulum’. Sekiranya semua guru berpegang teguh pada prinsip tersebut, maka
secara tidak langsung maka akan timbul rasa bertanggungjawab dalam diri guru itu
untuk menggunakan bahasa Melayu yang gramatis dan tepat semasa di dalam bilik
darjah. Bagi guru Bahasa Melayu pula, prestasi bahasa Melayunya harus menjadi
contoh yang baik untuk diteladani oleh murid-muridnya. Kecekapan dan kebolehan
13
bahasanya haruslah meliputi prestasinya dalam bahasa lisan dan bahasa tulisan
yang standard. Dalam hal ini, peringkat kecekapan yang diperlukan untuk
pengajaran yang berkesan bolehlah ditakrifkan sebagai peringkat yang lebih tinggi
dan bebas daripada kesilapan dan kefahaman yang jelas akan laras bahasa dalam
pelbagai bentuk keperihalan keadaan ( Azwan Wan Chik, 1985).
Selain itu, kejayaan dalam berkomunikasi turut bergantung pada satu syarat
penting, iaitu sesuatu mesej mesti mempunyai makna yang sama kepada pemberi
dan penerima mesej. Seperti yang telah dibincangkan dalam ciri-ciri unsur
percampuran kod tadi, unsur penting dalam menghasilkan pertuturan berkesan ialah
penguasaan bahasa yang agak tinggi dari aspek sebutan, kosa kata, tatabahasa,
tekanan, dan nada. Komunikasi yang bermutu tinggi dapat menolong guru
memenuhi dua fungsi penting, iaitu menyampaikan maklumat dengan tepat dan jelas
serta menjadi model pertuturan kepada murid-murid supaya mereka dapat meniru
gaya pertuturan yang baik.
Fenomena pencabulan bahasa Melayu dalam proses pemelajaran dan
pengajaran ini juga boleh dibendung melalui kempen berterusan oleh Panitia
Bahasa Malaysia dengan melibatkan para pelajar dan komuniti luar. Panitia Bahasa
Malaysia di bawah Bidang Bahasa boleh mengadakan Bulan Bahasa Malaysia pada
setiap tahun dengan menganjurkan pelbagai aktiviti menarik yang boleh menanam
minat para pelajar terhadap bahasa Melayu dan seterusnya mewujudkan perasaan
cinta akan bahasa kebangsaan. Peranan guru-guru Bahasa Malaysia juga amat
penting, bukan sahaja di dalam bilik darjah, malah sepanjang masa dan di mana-
mana jua. Guru-guru Bahasa Malaysia perlu berani menegur secara berhemah dan
membetulkan sebarang kesilapan bahasa yang dilakukan oleh para pelajar atau
masyarakat umumnya. Memang tidak dapat dinafikan akan kewujudan pelbagai
14
cabaran dan halangan, namun melalui tindakan inilah kita akan dapat membantu
memartabatkan semula kedudukan bahasa Melayu.
Pihak pentadbiran sekolah pula boleh mengadakan kursus perkembangan
staf untuk memperkukuh penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan
kakitangannya, khususnya guru-guru bukan opsyen Bahasa Melayu dan juga
anggota kakitangan sokongan seperti kerani dan pembantu makmal. Hal ini selaras
dengan satu Pekeliling Perkhidmatan Berkaitan Panduan Penggunaan Bahasa
Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam yang bertujuan mewajibkan penggunaan
bahasa Melayu dalam semua urusan rasmi, termasuk surat-menyurat dan
mesyuarat. Oleh itu, usaha ini bolehlah dianggap sebagai satu peringatan kepada
pegawai-pegawai awam agar mempertingkat penguasaan bahasa Melayu selaras
dengan sistem ejaan dan sebutan baku bahasa Melayu.
15
RUMUSAN
Dengan itu, dapat dirumuskan di sini bahawa Unsur Percampuran Kod dalam
Proses Pemelajaran dan Pengajaran memanglah merupakan satu ancaman besar
terhadap bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu. Slogan ‘bahasa jiwa bangsa’
tidak akan berguna lagi sekiranya bangsa Malaysia, terutamanya orang Melayu itu
sendiri mencampuradukkan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris atau bahasa-
bahasa asing lain dalam perbualan harian mereka.
Bahasa yang kita gunakan dalam berkomunikasi setiap hari mencerminkan
diri kita yang sebenar. Gaya kita berbahasa sememangnya bergantung rapat
dengan cara kita melihat diri kita melihat diri kita sendiri, dan cara kita membaca
atau mempersepsi dunia dan penutur lain di sekeliling kita. Apabila kita melihat diri
kita sebagai seorang yang terpelajar, maka dengan sendirinya kita mengawal
bahasa yang kita gunakan bagi mencerminkan citra diri kita, justeru apabila kita
kurang memahami iklim komunikasi di sekeliling kita, maka kita tidak akan memberi
pengiktirafan kepada faktor-faktor yang membawa kepada berleluasanya fenomena
ini.
Bahasa Melayu dalam era global adalah suatu tajuk yang sangat mencabar
dan penuh permasalahan. Dalam konteks pengajaran bahasa, bukan sebarang
bentuk bahasa boleh diajar oleh guru. Bahasa yang betul dan berkesan adalah
aspek-aspek yang harus diutamakan. Oleh itu, untuk mengajar bahasa Melayu yang
baik dan berkesan, maka wajarlah seorang guru mengetahui dan menguasai aspek
kosa kata, sebutan, tatabahasa, dan intonasi bahasa Melayu sebaik mungkin.
16
PENUTUP
Kesimpulannya, bahasa kebangsaan sebagai bahasa imu memiliki apa-apa
sahaja yang dipunyai oleh bahasa yang lain, terutamanya bahasa Inggeris. Cuma
ruang dan peluang untuknya menunjukkan ‘belang’ di negara ini agak tersekat dan
terbatas oleh sebab dan alasan yang kadangkala tidak masuk akal. Sememangnya
kita tidak pernah sesekali menolak kepentingan bahasa lain, terutamanya bahasa
Inggeris, kerana hanya mereka yang tidak waras sahaja mengetepikan bahasa yang
lain. Kita tidak pernah menyekat sesiapa sahaja daripada mempelajari apa-apa juga
bahasa kerana ilmu yang terdapat dalam bahasa itu. Namun demikian, hal tersebut
tidak seharusnya sampai meminggirkan dan mencemarkan bahasa kebangsaan
negara sendiri. Dalam hal ini, semua pihak yang benar-benar mencintai bahasa
Melayu perlulah bersikap positif untuk menggunakan bahasa Melayu standard dalam
semua urusan, baik rasmi mahupun tidak rasmi. Tahap kecintaan yang tinggi
terhadap bahasa Melayu perlu diasuh sejak kanak-kanak lagi untuk menjamin
maruah bahasa Melayu tetap terpelihara sepanjang masa.
17
RUJUKAN
Ab. Rahman Ab. Rashid dan Hajah Wan Som Mamat. (1995). Bahasa Melayu : Bahasa dalam Komunikasi dan Proses Komunikasi. Selangor Darul Ehsan : Longman.
Abdul Razak Sulaiman. et al. (1988). Laporan Kaji Selidik Maklumat Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Asmah Haji Omar. (1988). Susur Galur Bahasa Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Awang Mohamad Amin. (1990). Satu Kajian Khusus Penguasaan Bahasa Malaysia Peringkat Sekolah Menengah. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Azwan Wan Chik. (1985). Mengajar Bahasa Malaysia Jilid 2 : Latihan Guru dan Bahan. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Chew Fong Peng. (2008). Bahasa Melayu Titian Ilmu Jilid 2. Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara : Syah Holdings.
Darwis Harahap. (1989). Peristiwa Bahasa. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ismail Dahaman. (2006). Bahasa Kita Edisi Kedua. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
James T.Collins. (1990). Bibliografi Dialek Melayu di Pulau Borneo. Selangor Darul Ehsan : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kamus Dewan Edisi Keempat : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohamad Md. Yusoff. (2000). Media dan Masyarakat : Satu Kumpulan Esei. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Nik Safiah Karim. (1990). Beberapa Persoalan Sosiolinguistik Bahasa Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
_______________. (2003). Bimbingan Pelajar Bahasa Kita Jilid 1. Kuala Lumpur : K.Publishing.
Pedoman Umum Sebutan Baku Bahasa Melayu. (1988). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Prof. Dato’ Awang Had Salleh et. Al. (1982). Laporan Jawatankuasa Mengkaji Pengguna Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur : Kementerian Pelajaran Malaysia.
18
Prof. Dr. Asmah Haji Omar. (1986). Bahasa dan Alam Pemikiran Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Redan Ginoh. (1994). Bahasa Guru dan Penulis. Sarawak : Sadong Press.
S. Nathesan. (1994). Beberapa Persoalan Penggunaan Bahasa Melayu dan Penyelesaiannya. Selangor Darul Ehsan : Dewan Bahasa dan Pustaka.
___________. (2001). Makna dalam Bahasa Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
___________. (2008). Laras Bahasa Ilmiah. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
___________. (2010). Beberapa Persoalan Penggunaan Bahasa Melayu dan Penyelesaiannya Edisi Kedua. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
19
Top Related