Post on 25-Jul-2015
UNIT 4 – Kepekaan dan Tindakan Terhadap Isu dan Masyarakat Sosial dalam Masyarakat
GEJALA VANDALISME
Maksud vandalisme menurut kamus dewan adalah satu bentuk jenayah di sisi moral. Sebarang
perbuatan seperti menconteng, mengotori, atau merosakkan harta benda awam dianggap sebagai
vandalisme. Vandalisme juga dikenali sebagai gejala laku musnah iaitu tabiat seseorang
membinasakan harta benda awam dan juga harta benda orang lain.
Faktor-faktor berlakunya gejala vandalisme
Pengaruh rakan sebaya
Pengaruh rakan sebaya merupakan faktor utama berlakunya vandalisme. Golongan remaja biasanya
lebih mudah terpengaruh dengan rakan sebaya. Kebiasaannya, golongan remaja yang melakukan
vandalisme ini merupakan remaja dalam kumpulan. Kumpulan ini tidak mempunyai tujuan dan
terjebak dalam budaya lepak. Apabila mereka berkumpul timbullah pelbagai idea yang tidak baik
termasuklah menconteng harta benda awam dan merosakkan harta benda awam tersebut.
Media massa
Media massa mempunyai pengaruh dan kesan yang amat kuat dan sukar sekali dielakkan dewasa ini.
Paparan adegan-adegan negatif dari filem-filem atau rancangan dari barat yang mempunyai unsur-
unsur perlakuan ke arah vandalisme boleh mempengaruhi remaja melakukan vandalisme.
Sikap masyarakat
Sikap tidak ambil peduli masyarakat juga merupakan faktor berlakunya gejala vandalisme Sikap
sesetengah masyarakat kini yang mementingkan soal kebendaan dan tidak ambil peduli terhadap isu-
isu sosial sememangnya merumitkan masalah yang sedia wujud. Vandalisme biasanya banyak berlaku
di bandar. Di kawasan bandar sesetengah penduduknya tidak ambil peduli terhadap apa yang berlaku
di sekeliling mereka. Oleh itu golongan remaja merasakan diri mereka bebas untuk meneruskan gejala
negatif ini tanpa menghiraukan rasa tanggungjawab terhadap harta benda awam.
http://pmrbest.blogspot.com/2011/04/karangan-pmr-2011-kesan-vandalisme.html
Dalam memasuki era globalisasi ini masih ada segelintir rakyat di negara ini yang berfikiran sempit dan tidak bermoral. Golongan sebegini sanggup melakukan aktiviti vandalisme sehingga menyusahkan banyak pihak terutama pihak masyarakat umum. Pelbagai masalah boleh timbul ekoran aktiviti yang tidak sihat ini.
Impak yang paling ketara ialah masalah vandalisme ini mencacatkan pemandangan terutama di kawasan tandas awam yang dipenuhi dengan tulisan-tulisan yang tidak elok. Begitu juga kawasan taman permainan kanak-kanak yang menyaksikan banyak peralatan di situ yang sudah dimusnahkan begitu sahaja. Keadaan ini memberikan satu gambaran negatif kepada masyarakat luar bahawa rakyat di negara ini tidak begitu menghargai kemudahan awam yang disediakan.
Masalah vandalisme ini juga bakal menimbulkan pelbagai kesulitan kepada masyarakat umum. Rakyat kehilangan hak mereka untuk menggunakan kemudahan yang sepatutnya mampu untuk menjamin keselesaan hidup terutama kemusnahan telefon awam. Bayangkan bagaimana masyarakat hendak menggunakan telefon awam ketika kecemasan jika kemudahan ini telah dimusnahkan oleh golongan yang tidak bertanggungjawab ini.
Pada masa yang sama amalan vandalisme ini turut membebankan pihak berkuasa terutama dalam aspek kewangan. Kerajaan terpaksa membelanjakan jutaan ringgit untuk membuat pembaikan terhadap semua kemudahan awam yang sudah mengalami kerosakan ini. Tindakan membaiki kemudahan awam ini membuktikan berlakunya satu pembaziran kerana wang tersebut boleh digunakan untuk membantu rakyat dalam aspek pembangunan yang lain pula.
Kesimpulannya, rakyat harus memikul tanggung jawab dalam memastikan vandalisme ini tidak berleluasa. Sebarang tindakan vandalisme boleh membawa impak negatif kepada semua pihak baik masyarakat mahupun kerajaan. Lantaran itu, semua pihak memikul tanggung jawab untuk menjamin kemakmuran hidup masyarakat di negara ini.