Post on 26-Jul-2015
UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS
FAKULTI SAINS KEMANUSIAAN
KURIKULUM PENDIDIKAN ISLAM
LIP 3023
TUGASAN KUMPULANKURIKULUM PENDIDIKAN ISLAM SEBELUM MERDEKA
NAMA PELAJAR NO MATRIK
MOHD RIDZUAN SHAH BIN YAHYA D20072031365
MOHD YAKIM BIN SULAIMAN D20072031319
MOHD SAFUAN BIN ABU BAKAR D20072031330
KHAIRUL ANWAR BIN SEPRI D20072031321
NAMA PENSYARAH : MEJAR (B) Dr . AZMIL BIN HASHIM
KUMPULAN KULIAH : KUMP . A
PROGRAM & KOD : PENDIDIKAN ISLAM (AT 35)
SEMESTER : SEMESTER II, SESI 11/12
TEMPAT KULIAH : PROTON CITY 12 (PC-12)
WAKTU KULIAH : 02.00 pm ~ 05.00 pm (ISNIN)
TARIKH HANTAR : JUMAAT ( 15 APRIL 2011)
1.0 - PENDAHULUAN
Sebelum Tanah Melayu merdeka, penjajah barat telah menguasai sistem pendidikan di
negara ini. Sistem pendidikan negara diatur mengikut kehendak kepentingan mereka. Sistem
pendidikan ketika di zaman sebelum merdeka telah berkembang tanpa mempertimbangkan
keperluan pembangunan, pembinaan identiti kebangsaan dan perpaduan negara. Sistem
berkenaan hanya mengekalkan undang-undang taat setia rakyat pendatang kepada negara
asal mereka dan menahan kebangkitan semangat pembangunan rakyat tempatan. Selain
itu, penjajah tidak menggalakkan kaum bumiputera Malaysia menimba ilmu ke tahap yang
tinggi kerana dikhuatiri akan melawan mereka semula apabila sudah terdedah dengan
keterbukaan minda dan semangat ingin maju dalam kehidupan.. Walaupun ada yang
berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebiih tinggi, anak-anak Melayu hanya
dididik untuk menghasilkan satu generasi bertani yang lebih moden sedikit daripada bapa
mereka.
Tindakan tersebut diambil oleh penjajah untuk mengelakkan anak-anak bangsa
Melayu sebagai kaum bumiputera Malaysia, sedar dari kelalaian mereka dan bangun
menentang penjajah untuk mencapai kemerdekaan. Akibatnya, orang Melayu jauh
ketinggalan dalam bidang pendidikan berbanding dengan kaum pendatang di Tanah Melayu
pada ketika itu. Bagaimanapun dalam tahun-tahun selepas kemerdekaan telah timbul
kesedaran di kalangan para pemimpin dan rakyat Malaysia tentang betapa mustahaknya
diadakan satu sistem pendidikan untuk menggantikan sistem pendidikan penjajah demi
memenuhi kehendak negara. Atas kesedaran inilah lahirnya Dasar Pendidikan melalui
Penyata Razak 1956 dan termaktub di dalam Ordinan Pelajaran 1957.
Pendidikan merupakan satu proses yang penting dalam pembentukan diri individu ke
arah mengenali diri dan mencapai kehidupan bermasyarakat yang baik dan sempurna.
Pendidikan telah didefinisikan oleh Prof. Dr. Muhammad Naquib sebagai “menanam sesuatu
ke dalam diri manusia”. (Muhammad dalam Fadzilah, 1996). Walaupun manusia mempunyai
akal fikiran yang membezakan dengan haiwan yang lain, namun manusia tidak dapat
melakukan sesuatu dengan baik tanpa proses pendidikan, sama ada secara langsung atau
tidak langsung. Sebagai contohnya, para petani dan nelayan dapat melakukan kerja yang
sama dari satu generasi ke satu generasi kerana proses pendidikan yang mereka terima dari
datuk nenek mereka. Keadaan ini membolehkan mereka bekerja sebagai nelayan dan petani
sehingga sekarang.
2
Pendidikan di Malaysia, menjadi salah satu sistem sosial yang paling penting bagi
perkembangan dan kemajuan Negara. Ia juga diiktiraf sebagai alat untuk mencapai matlamat
perpaduan dan integrasi nasional. Ia disusun di dalam Dasar Pelajaran Kebangsaan.
2.0 - PENDIDIKAN SEBELUM MERDEKA
Corak pendidikan yang ada di waktu ini berbentuk non formal (bukan formal). Ia wujud dan
berkembang selari dengan pengembangan agama Islam di negeri-negeri semenanjung
Tanah Melayu dan kepulauan Melayu pada abad ke 14. Pedagang Arab dan India yang
beragama Islam datang ke kawasan Asia Tenggara untuk berniaga. Di waktu itu wujudnya
institusi pendidikan yang dinamakan ‘sekolah pondok’. Sekolah pondok ini dibangunkan dan
dimajukan bersama secara gotong royong di kalangan masyarakat setempat. Pada abad ke
18 dan 19, Terengganu, Kelantan dan Kedah merupakan negeri yang paling banyak
menubuhkan sekolah pondok. Oleh itu, ramai tokoh-tokoh agama yang muncul untuk
menyebarkan agama Islam di semenanjung Tanah Melayu. Fenomena ini menyebabkan
sekolah pondok juga menjalar di Semenanjung Tanah Melayu termasuk Singapura.
Sehingga sebelum abad ke 20 lagi, masih tiada sistem dan organisasi pendidikan yang
berbentuk formal.
Sebelum merdeka lagi, penjajah telah banyak menguasai pendidikan di negara ini.
Sistem pendidikan negara diatur mengikut kehendak mereka sesuka hati berlandaskan
fahaman dan ideologi mereka sendiri. Hal ini menyebabkan sistem pendidikan zaman
penjajah telah berkembang tanpa mempertimbangkan keperluan pembangunan, pembinaan
identiti kebangsaan dan perpaduan negara. Sistem pendidikan berkenaan mengekalkan taat
setia rakyat pendatang kepada negara asal mereka dan menahan kebangkitan semangat
pembangunan rakyat tempatan. Selain itu, agenda lain yang turut dirancang seperti
menyekat kebebasan hak bumiputerra dengan cara seperti tidak menggalakkan kaum
bumiputera Malaysia menimba ilmu ke tahap yang tinggi. Walaupun terdapat sebilangan
bumiputera yang dapat belajar dengan sempurna, masih terdapat beberapa syarat yang
ditekankan seperti anak-anak Melayu hanya dididik untuk menghasilkan satu generasi
bertani yang lebih moden sedikit daripada bapa mereka. Dan tidak lebih dari itu.
3
3.0 – ERA SEBELUM KEDATANGAN PENJAJAH (1800 HINGGA 1956)
Sejarah sistem pendidikan Islam di malaysia ketika sewaktu sebelum merdeka banyak
mempengaruhi perubahan yang ada pada hari ini. Terdapat dua era yang dikenalpasti
bagaimana sistem pendidikan Islam mula bertapak di malaysia. Pada era yang pertama,
ianya dikenali sebagai era keamanan. Pada masa ini, pihak barat belum lagi datang ke tanah
melayu untuk menjajah. Pendidikan agama Islam yang diterapkan seperti pengajian Al-
Quran oleh guru-guru Al-Quran telah diperkenalkan sejak berkurun lamanya. Selain itu,
pengajaran ini juga disampaikan oleh individu-individu berketurunan Syed. Ini kerana pada
ketika itu, ramai pedagang-pedagang arab yang berdagang ke Malaysia dan secara tidak
langsung, mereka turut mengembangkan agama Islam di tanah melayu. Perjalanan mereka
tidak terhenti di ditu sahaja, malah usaha murni tersebut telah di sambung oleh imam-imam
sama ada di masjid mahupun surau dan segala pengajaran mengenai agama diterapkan
tanpa mengira peringkat umur. Kaedah pengajaran dan perkembangan pendidikan pada
masa ini masih lagi berkonsepkan non-formal. Di antara teknik dan kaedah yang digunakan
dalam pelajaran seperti mengajar pengiraan, menulis jawi, mengajar hukum tajwid al-Quran,
mempelajari perkara asas seperti fardhu ain dan fardhu kifayah, rukun Islam dan juga rukun
iman.
Waktu yang dikhususkan untuk proses pengajaran pendidikan Islam ini terbahagi
kepada tiga pelajaran dalam sehari. Jam yang pertama ketika sebelah pagi iaitu selepas
sembahyang subuh. Jam yang kedua pula selepas sembahyang zuhur iaitu sehingga masuk
ke waktu asar. Faktor yang mendorong pendidikan sebegini mendapat perhatian adalah
kerana tiada bayaran dikenakan sebaliknya pelajar-pelajar hanya membantu guru-guru
mereka seperti membersihkan persekitaran tempat belajar, mencari kayu api ataupun
mengerjakan sawah guru mereka. Kerja-kerja sebegini dilakukan ketika waktu senggang
pembelajaran. Proses pengajaran dan pembelajaran menggunakan kaedah mengulangi
perkataan-perkataan arab di awal dan di akhir bacaan al-Quran. Apabila pelajar telah mahir,
penekanan yang diberikan supaya pelajar dapat memahami dan tidak mudah lupa ialah
dengan menyuruh pelajar menjadi imam di dalam sembahyang menggunakan surah yang
telah dihafal.
Ketika ini, pendidikan tak formal juga telah berlaku di mana pembelajaran daripada
ibu bapa serta daripada orang yang lebih tua. Selain itu, kemahiran seperti membuat dan
memperbaiki alat pertanian, kemahiran pertukangan dan kemahiran seni seperti silat juga
turut di ajar. Kaedah perkembangan pendidikan pada zaman sebelum merdeka juga banyak
diperluaskan melalui pihak istana. Pada ketika itu, pendidikan Islam telah diajar di istana-
istana raja untuk dipelajari oleh sultan serta para kerabat di raja. Strategi ini sangat berkesan
4
kerana apabila sultan bagi sesbuah negeri telah menganut agama Islam, rakyat dan
pengikutnya akan merasa tertarik dengan Islam itu sendiri. Peranan sultan juga sangat besar
seperti menggalakkan penterjemahan buku-buku dan kitab daripada bahasa arab kepada
bahasa melayu dengan tulisan jawi. Kaedah pendidikan pada waktu ini juga menggunakan
bahasa melayu sebagai bahasa pengantar. Antara kaedah-kaedah lain yang digunakan
sebagai memberi pendidikan kepada masyarakat tanah melayu sebelum merdeka seperti
menggunakan Penglipur Lara, Tukang Karut, mahupun Tok Selampit untuk menyampaikan
cerita-cerita rakyat dan juga cerita-cerita mengenai kedatangan Islam.
3.1 – ERA SEMASA KEDATANGAN PENJAJAH (1800 HINGGA 1956)
3.1.1 – Sistem Persekolahan Pondok
Pada era yang kedua pula, ianya disebut sebagai era kedatangan penjajah ke Tanah
Melayu. Sekolah pondok yang didirikan merupakan sekolah agama tradisi bagi orang
melayu. Pada peringkat permulaannya, kemudahan fasilitinya kurang memuaskan namun
secara berperingkat, kesemua masalah terbabit diatasi dengan cara memperbaharui
bangunan, mendirikan asrama bagi pelajar-pelajar yang jauh dari negeri-negeri lain dan
sekolah pondok ini berdekatan dengan rumah guru yang mengajar di sekolah terbabit.
Pelajaran yang diajar di sekolah ini diserapkan dengan pelajaran fardhu ain seperti
pengajian al-Quran, hadith, tasawwuf, tauhid, dan juga bahasa arab. Selain itu, kaedah
penulisan tulisan jawi, seni khat dan bacaan doa-doa harian turut diberi penekanan kepada
pelajar sekolah pondok ini. Kesemua usaha ini bagi membentuk dan mendidik sahsiah diri
pelajar terbabit supaya menjadi seorang yang berdisiplin disamping mengamalkan nilai-nilai
murni dan taat kepada suruhan agama.
Sistem pendidikan waktu ini adalah berasaskan sistem pondok yang diadakan di
madrasah dan di sekolah-sekolah agama. Sekolah agama atau madrasah pesat
membangun ketika tahun 1920-an hingga 1940-an. Contohnya, di Pondok Langgar, Pokok
Sena di Kedah, Pondok Bukit Mertajam Seberang Prai dan Madrasah Al-Masyhur di Pulau
Pinang. Sekolah agama atau madrasah lebih sistematik daripada sekolah pondok, iaitu dari
segi kurikulum yang lebih berstruktur, waktu belajar yang tetap dan mempunyai peralatan
seperti kerusi dan meja. Tujuan penubuhan dengan tujuan melahirkan pelajar yang bennoral
tinggi. Walau bagaimanapun, terdapat kelemahan pada sekolah agama atau madrasah ini
seperti sekolah-sekolah ini tidak dapat melahirkan masyarakat Islam yang moden kerana
tiada penekanan kepada Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris. Pada waktu tersebut,
pengajaran pendidikan Islam tetap diteruskan seperti biasa tanpa ada campurtangan
5
daripada pihak british. Namun begitu, akibat daripada peperangan yang berlaku pada waktu
tersebut, pembiayaan bagi perluasan pendidikan Islam terpaksa dibiayai oleh orang
perseorangan serta organisasi-organisasi Islam orang melayu.
Semenjak diturunkan wahyu pertama kepada Rasulullah s.a.w . maka Islam telah
mengingatkan umat manusia bahawa agama adalah unsur yang sangat penting dalam
pembinaan diri insan dan ketamadunan. Ia juga adalah satu prinsip asasi dalam
mempertahankan survival sesebuah umat. Oleh itu, pendidikan yang berunsurkan agama
amat dititik beratkan oleh Islam.
Sehubungan itu, apabila Islam diperkenalkan di Nusantara, termasuklah kawasan di
Semenanjung Tanah Melayu, proses yang sama juga berlaku yang terlihat dari awal lagi
dalam bentuk yang tidak formal dan formal. Dalam bentuk yang tidak formal, proses
pendidikan ilmu agama berlangsung dalam bentuk perseorangan di rumah, surau serta
istana. Manakala pendidikan yang formal pula, ianya berlangsung dalam bentuk institusi
yang didirikan secara khusus untuk menyebarkan ilmu-ilmu agama. Dalam masyarakat
tradisional melayu, institusi ini dikenali sebagai pondok. Institusi pondok ini juga telah
memainkan peranan yang penting dalam menyebarkan ilmu-ilmu Islam dan juga penjana
semangat kepada perubahan jiwa orang Melayu Islam.
3.1.2 - Pengenalan Pondok
Perkataan “ pondok” menurut sebuah kamus awal yang ditulis oleh Marsden diambil
daripada perkataan Arab iaitu funduq yang bermaksud bangunan untuk pengembara.
Dalam istilah yang terkini, ia membawa maksud hotel atau asrama. Istilah pondok merujuk
kepada maksud sebuah institusi pendidikan kampung yang mengendalikan pengajaran
agama yang mana guru yang lebih dihormati dengan panggilan tuan guru diakui
kepakarannya oleh penduduk kampung yang menjemputnya untuk mengajar mereka yang
ingin melanjutkan pengajian agama Islam . Pengajian ini merangkumi pengetahuan asas
tentang undang-undang Islam dan pembacaan al-Quran ( Awang 1977,33 dan Nik Mohamed
1985,99).
Dalam menterjemahkan maksud pondok ini, Zamakhsyari Dhofier (1980,44)
mentakrifkan pondok sebagai sebuah pesantren yang pada dasarnya adalah sebuah asrama
pendidikan Islam tradisional di mana para siswanya tinggal dan belajar di bawah bimbingan
seorang guru atau lebih daripada itu. Guru ini lebih dikenali sebagai kiyai . Asrama untuk
para siswanya berada dalam lingkungan bangunan pesantren di mana kiyai tersebut tinggal
6
di kawasan pesantren tersebut. Selain daripada itu, terdapat juga beberapa kemudahan
yang disediakan bersama seperti masjid untuk tempat beribadah, ruang untuk belajar dan
kegiatan keagamaan yang lain.
Daripada definisi-definisi di atas, kita dapat memahami bahawa institusi pondok
adalah institusi pendidikan yang berunsurkan agama di mana ianya berperanan sebagai
tempat pengajian ilmu-ilmu agama . Sehubungan dengan itu, institusi pondok juga merujuk
kepada rumah- rumah kecil yang didirikan secara khusus sebagai kediaman pelajar yang
datang mengunjungi seseorang “ tuan guru” dan berhasrat untuk tinggal dan menjadi anak
murid kepada guru tersebut. Secara umumnya, pondok-pondok ini di bina di sekeliling rumah
“ tuan guru”. Selain itu, kemunculan sesebuah institusi pondok berkait-rapat dengan
kreadibiliti, kepakaran, kemahiran dan keilmuan seseorang guru dalam selok- belok ilmu
agama. Ciri ini adalah penting dalam pembentukan dan pembangunan institusi pondok
kerana kemunculan sesebuah pondok sangat berkait rapat dengan ketokohan “ tuan guru”
dan pewarisnya.
3.1.3 - Ciri-Ciri Pengajian Di Pondok
Dalam perkembangan pengajian di pondok, terdapat beberapa ciri yang khusus yang
membezakan antara pondok dengan institusi-institusi pendidikan yang lain. Hal ini di
sebabkan pengajian pondok menerapkan ilmu-ilmu yang berhubung kait dengan
Islam .Penggunaan kitab-kitab arab dan jawi telah di laksanakan sebagai medium
perantaraan untuk menerangkan sesuatu ilmu kepada pelajar. Selain itu, kurikulum pondok
kebiasannya di gubal menurut kemahuan dan budi bicara tuan guru masing-masing.
Perlaksanaan pengajian di pondok pula mengikut kaedah halaqah. Kaedah ini merupakan
corak pengajian tradisional di mana tuan guru akan duduk bersila di hadapan anak muridnya
sambil membuka kitab yang di letakkan di atas papan rihal atau meja yang kecil dan rendah.
Murid-murid pula akan duduk bersila di hadapan tuan guru dengan membawa kitab yang di
pelajari serta buku catatan. Corak pengajian seperti ini dikatakan sebagai warisan dari
zaman awal Islam lagi iaitu ketika Rasulullah s.a.w memulakan dakwahnya ketika di Mekah
dan Madinah. Para sahabat pada waktu itu dikatakan duduk mengelilingi dan berhampiran
Rasulullah s.a.w untuk mendengar pengajaran yang disampaikan oleh baginda.
Di samping itu, penuntut-penuntut yang datang untuk belajar di pondok tidak
dihadkan umurnya. Sebaliknya, penuntut yang ingin memulakan pengajiannya hendaklah
bermula pada peringkat permulaan. Pada peringkat ini,penuntut akan di ajar membaca dan
menulis terlebih dahulu sebagai asas dalam proses pengajaran di pondok. Manakala bagi
7
penuntut yang sudah menguasai kedua-dua asas tadi, mereka akan di berikan pengecualian
setelah menunjukkan tahap penguasaan ilmu yang memuaskan. Pelajar-pelajar pondok juga
tidak ditetapkan pakaian rasmi ketika berada di pondok. Mereka hanya di tetapkan agar
memakai pakaian yang menutup aurat dan tidak melanggar norma-norma dan nilai-nilai
syarak. Kebiasannya, pelajar-pelajar pondok memakai kain sarung (kain pelikat), berbaju
melayu dan berkopiah(berserban). Identiti berpakaian sedemikian merupakan kaedah yang
berkesan bagi membentuk tingkah laku dan perwatakan pelajar ke arah persiapan membina
insan yang berkeperibadian tinggi, warak dan bertaqwa. Selain itu, pakaian sedemikian lebih
dikenali dan dihormati oleh masyarakat sehingga pelajar –pelajar pondok di sebut sebagai “
lebai”. Para pelajar pondok sama sekali tidak di benarkan berambut panjang .Oleh itu,
mereka akan mencukur rambut dan ini menggambarkan identiti mereka yang berbeza
dengan masyarakat luar.(Ramli Awang 2006:24).
Selain itu, pembinaan sesebuah pondok bergantung kepada sumber kewangan hasil
daripada sumbangan dalam bentuk sedekah, fitrah dan zakat yang diberikan oleh anggota
masyarakat. Guru yang mengajar pula memberikan perkhidmatan mereka secara sukarela .
Hal ini menggambarkan mereka begitu bersungguh dalam menyampaikan ilmu kepada umat
Islam. Hakikat ini merupakan contoh yang diwarisi daripada gurunya dan di amalkan dalam
pengajian di pondok. Ciri seperti inilah yang dapat membangunkan keutuhan ketamadunan
umat Islam di Tanah Melayu. Justeru itu, kedudukan tuan guru dalam kehidupannya adalah
sederhana ,sara hidupnya bergantung pada usaha sendiri dan hasil pemberian masyarakat
sekeliling pada sesuatu tempat. Keadaan ini memperlihatkan kepada kita bahawa institusi
pondok mempunyai hubungan yang erat dengan penduduk sekitarnya.
3.1.4 - Peringkat-Peringkat Pengajian Pondok
Dalam tradisi pengajian di pondok, para pelajarnya akan dibahagikan kepada tiga bahagian
iaitu ibtida’i (permulaan atau bawah) ,thanawi( menengah) dan ‘aliyy( atas atau tinggi).
a) 1.4.1 Peringkat Ibtida’i ( permulaan).
Peringkat ini di khususkan bagi para pelajar yang masih baharu. Mereka akan belajar
membaca dan menulis di samping membaca al-Quran .Mereka juga mempelajari asas-asas
agama dengan menggunakan kitab-kitab jawi yang rendah dan mudah, menghafal matan-
matan nahu dan saraf dalam bahasa Arab. Dalam bidang Fiqh pula, mereka akan
mempelajari kitab-kitab asas seperti kitab Muniyyat al-Musalli dan perukunan. Dalam bidang
usuluddin ,mereka akan menggunakan kitab Hidayah al-Sibyan , Diya’ al-Murid dan al-Durr
8
al-Thamin. Manakala dalam bidang nahu serta saraf pula, para pelajar menghafal matan al-
Ajurumiyyah dan Tasrif al-Izzi.
b) 1.4.2 Peringkat Thanawi (menengah)
Pada peringkat ini, para pelajarnya terdiri daripada pelajar-pelajar yang telahpun
mempunyai asas-asas pengetahuan agama Islam. Mereka menggunakan kitab-kitab jawi
yang lebih tinggi sedikit dalam semua bidang . Antara kitab-kitab yang di gunaka ialah Furu’
al-Masail ,Sabil al-Muhtadin dan Matla’ al-Badrayn wa Majma’ al-Bahrayn. Kitab-kitab ini di
gunakan dalam bidang fiqh.Manakala dalam bidang usuluddin pula, kitab yang di gunakan
ialah Bidayah al-Hidayah, Faridah al-Fara’id, Minhaj al-Qarib dan ‘Aqidah al-Najin. Dalam
bidang tasawuf pula, kitab yang di gunakan seperti Minhaj al ‘Abidin , Hidayah al-Salikin, Al-
Hikam dan Kanz al-Manan. Selain itu, para pelajar akan di ajar beberapa buah kitab tafsir
seperti Tafsir al-Baydawi dan Anwar al-Huda.
c) 1.4.3 Peringkat ‘Aliyy( atas atau tinggi)
Peringkat ini pula di khususkan kepada pelajar-pelajar yang lebih berkemampuan untuk
mengikuti kursus dalam peringkat permulaan dan menengah. Ilmu yang di pelajari tidak
berbeza, tetapi lebih meluas dan mendalam dengan menumpukan kepada kitab-kitab Arab di
samping menekankan pengajian tatabahasa Arab iaitu nahu dan saraf. Antara kitab nahu
yang di gunakan ialah matan al- Ajurumiyyah, matan Affiah Ibn Malik, Minhaj al-Masalik al-
Asymuni, Hasyiah ‘ala Matan al-Tasrif .Manakala dalam ilmu saraf pula, kitab yang di
gunakan ialah Kitab al-Tasrif dan Matan al-Tasrif. Kitab yang di gunakan dalam bidang fiqh
pula ialah Hasyiah al-Bajuri, Hasyiah al-Khudri, Al-Iqna’, Fath al-Wahhab, Fath al-Mu’in, Fath
al-Qarib dan I’anah al-Talibin. Selain ilmu asas tersebut, terdapat juga ilmu yang lain seperti
ilmu Arudh, Balaghah, Mantiq, Falak dan Usul Fiqh. ( Ramli Awang 2006: 22)
3.1.5 - Perkembangan Pondok Di Tanah Melayu
Sejarah awal kemunculan institusi pondok di Tanah Melayu tidak dapat diketahui secara
pasti. Secara umumnya, perkembangan pondok di Tanah Melayu agak lewat berbanding
dengan negara-negara jiran ketika itu seperti Indonesia dan Pattani di selatan Thailand. Oleh
itu, ada pendapat menyatakan bahawa penubuhan institusi pondok di beberapa kawasan di
Tanah Melayu adalah pengaruh dari Acheh dan Pattani.Hal ini dapat di buktikan dengan
penerimaan ajaran Islam lebih dahulu di terima oleh kedua-dua negara tersebut. Oleh
kerana Islam tidak pernah terpisah dari pendidikan, maka sudah tentulah pendidikan
9
mengenai ilmu agama sama ada dalam bentuk formal atau informal telah wujud terlebih
dahulu di negara tersebut.
Selain daripada itu, terdapat bukti yang jelas menunjukkan bahawa kedua –dua buah
Negara tersebut pernah menjadi pusat pendidikan ilmu-ilmu Islam yang penting dalam abad
ke 17 dan 18. Sehubungan itu, terdapat juga laporan yang menunjukkan bahawa terdapat
tokoh-tokoh ulamak Tanah Melayu yang telah berkunjung ke Pattani dan Acheh dengan
tujuan menuntut ilmu sama ada dalam perjalanan atau kepulangan mereka dari
Semenanjung Tanah Arab.Walaupun pendidikan Islam melalui institusi pondok di Malaysia
agak lewat, namun ianya tidak bermaksud bahawa penyebaran Islam melalui pendidikan
tidka berlaku. Sebaliknya, sejarah telah menunjukkan bahawa sebelum penubuhan intitusi
pondok secara rasmi, pendidikan Islam sudah berjalan secara persendirian iaitu di rumah,
surau dan istana ( Nik Mohamed 1985: 98).
Selain daripada itu, negeri Kelantan merupakan negeri yang banyak
menyumbangkan perkembangan pondok di Tanah Melayu. Terdapat fakta yang menyatakan
bahawa individu yang awal dikenal pasti menyebarkan pendidikan Islam melaui penubuhan
pondok ialah Tuan Syeikh Haji Abdul Halim . Beliau memperkenalkan pendidikan Islam di
Kelantan pada akhir abad ke-18 Masihi setelah menamatkan pengajiannya di Mekah. Pada
peringkat permulaan , beliau hanya mengajar di istana sultan dan juga surau-surau untuk
anak raja, anak pembesar dan orang ramai. Beliau menyampaikan pengajarannya secara
lisan menggunakan kitab-kitab Arab yang diterjemahkan dan disampaikan pengajarannya
dalam bahasa Melayu. Kemudian, kesinambungan pengajarannya di teruskan oleh anaknya
iaitu Haji Yaakub yang juga seorang ulamak dan guru agama yang masyhur di Kelantan
ketika itu ( Nik Mohamed 1985: 99 dan Ismail 1991: 2).
Dalam sesetengah keadaan, kreadibiliti dan keilmuan seseorang ulamak telah
menjadikannya terkenal sehingga golongan ini di jadikan sebagai tempat rujuk dan tumpuan
ramai penuntut yang berusaha mendalami ilmu-ilmu Islam. Keilmuan dan kepakaran guru
tersebut menjadikannya individu yang terkenal bukan sahaja di kalangan masyarakat
setempat,bahkan mereka sangat masyhur di merata tempat.Oleh yang demikian, sejarah
perkembangan pendidikan Islam di Semenanjung Tanah Melayu memberikan indikasi
bahawa institusi pondok pada peringkat awal perkembangannya bukanlah satu perkara yang
dirancang. Namun, penubuhan pondok-pondok ini adalah sumbangan ulamak-ulamak yang
telah lama menetap di Mekah dan Madinah ketika mendalami ilmu-ilmu agama kerana
kedua-dua tempat tersebut merupakan pusat pengajian dan pendidikan Islam yang masyhur
pada waktu itu. Lantaran itu, kebanyakkan institusi pondok di Tanah Melayu telah di buka
oleh ulamak-ulamak yang menuntut ilmu di Tanah Arab.
10
Di samping itu, pondok yang terawal di bina pada abad ke 19 ialah pada tahun 1820
di Kampung Surau Pulai Chondong,Kelantan. Pondok ini telah di bina oleh Tuan Guru Haji
Abdul Samad bin Abdullah atau dikenali dengan gelaran Tok Pulai Chondong( 1792-
1873M). Beliau di lahirkan di Kampung Bukit,Pulai Chondong ,Kelantan. Beliau telah
mendapat pendidikan di Pattani dan kemudiannya menuntut ilmu di Mekah pada tahun 1808.
Setelah pulang dari Mekah, beliau telah menggantikan ayahandanya sebagai imam di
kampungnya. Kegiatannya yang bercorak pendidikan dan pengajian ilmu agama telah
mendorong beliau untuk memperkenalkan system pendidikan yang bercorak pondok di
kampungnya.Kemudian, pengajaran di pondok ini telah di ambil alih oleh anaknya iaitu Haji
Muhammad Arshad selepas di amanahkan oleh ayahnya. Perkembangan pondok Pulai
Chondong yang begitu pesat pada abad ke-19 telah menjadi pudar apabila Tuan Guru
Muhammad Arshad meninggal dunia. Hal ini kerana tiada individu yang ingin meneruskan
peranan pondok itu pada ketika itu. ( Nik Mohamed 1985: 100).
Kesan daripada penubuhan pondok-pondok di Tanah Melayu, maka perubahan –
perubahan dalam pendidikan Islam telah banyak membawa perubahan dalam masyarakat
Islam dan dapat di lihat kesannya sehingga hari ini. Di antaranya ialah penubuhan pondok
telah meninggikan martabat tulisan jawi melalui penyebaran dan pembacaan kitab dalam
tulisan jawi. Penggunaan kitab tersebut telah meningkatkan dan meninggikan martabat
tulisan jawi dalam kalangan pelajar dan penduduk setempat.Selain itu, pondok telah di iktiraf
sebagai tempat rujukan masyarakat setempat dalam masalah berkaitan dengan hukum-
hukum dan isu-isu yang berkaitan dengan syariat Islam. Oleh yang demikian, masyarakat
telah menaruh rasa penghormatan yang amat tinggi kepada tuan guru dan murid-murid
yang telah menyumbangkan khazanah ilmu Islam kepada penduduk setempat (Rahim 1983:
9-11).
3.1.6 – Sistem Persekolahan Madrasah
Antara inisiatif yang dilakukan seperti menubuhkan ‘Madrasah’ dan ilmu yang ditekankan
berkaitan ilmu keduniaan (Fardhu Kifayah) dan ilmu akhirat (Fardhu ‘Ain). Perkembangan
yang dapat dilihat melalui sistem madrasah ini ianya merupakan sekolah agama moden
yang mempunyai infrastruktur yang lebih kemas, lengkap dan teratur. Penekanan yang
diberikan lebih kepada ajaran-ajaran ‘Reformis’ dari Asia Barat dan tumpuan lebih kepada
golongan muda. Sukatan pelajaran pula dibahagikan kepada dua iaitu sukatan pelajaran
agama Islam dan latihan vokasional seperti perdagangan dan pengiraan (ilmu hisab). Taraf
pendidikan juga menjadi lebih tinggi seperti Madrasah Al-Syamur, Pulau Pinang dan
Madrasah di Kota Bharu. Daripada pendidikan di madrasah, pelajar akan disarankan supaya
11
menyambung pengajian ke universiti-universiti di Timur Tengah seperti Al-Azhar di Mesir dan
juga Masjidil Haram, Mekah.
Atas desakan dan kesedaran orang Melayu untuk memperluaskan peluang
pendidikan untuk kanak-kanak Melayu kaum Melayu mula mendesak pihak kerajaan Inggeris
memperbaiki keadaan pendidikan di sekolah-sekolah Melayu. Maka pada tahun 1950 satu
Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh L.J.Barnes telah ditugaskan untuk menyemak dan
memperbaiki keadaan pendidikan orang Melayu. Pada tahun 1951 terbentuklah
Jawatankuasa L.J.Barnes fokusnya kepada pendidikan orang Melayu dan membawa kepada
seluruh sistem pendidikan perlu dirombak semula.
Pendidikan agama telah mengalami perubahan dan perkembangannya apabila
wujudnya gerakan pembaharuan di dunia Islam ketika itu terutamanya di Timur Tengah.
Kemudian, lahirlah sistem madrasah yang lebih sistematik dan lebih formal daripada sistem
pondok. Madrasah ini kemudiannya berkembang dengan pesatnya di seluruh Tanah Melayu.
Perkembangan madrasah amat pesat di Johor dan mempunyai keperibadiannya yang
tersendiri. Ia berkaitan dengan adanya pendidikan agama yang berbentuk formal sejak abad
ke-19 lagi. Johor sejak pertengahan abad ke-19, mempunyai sistem pentadbiran agama
yang agak kemas apabila Jabatan Agama dimasukkan dalam Undang-undang Tubuh
kerajaan Johor pada tahun 1885. Pendidikan formal bermula apabila Madrasah al-Attas,
Johor Bahru ditubuhkan pada tahun 1913 (Koharuddin Mohd. Balwi). Selain itu, kemunculan
madrasah ada disebut dalam akhbar Neracha terbitan 20 Ogos 1913. Akhbar ini
menyebutkan ketika itu sudah ada berpuluh-puluh madrasah yang ditubuhkan di negeri
Perak dan pelajaran yang diberi agak mendalam dan meluas dibandingkan dengan sistem
pondok (Sabri Said, 1983: 21).
Menurut Prof. Khoo Kay Kim, madrasah mempunyai organisasi yang lebih tersusun
dan mempunyai persamaan dengan sekolah sekular. Oleh itu, institusi pondok yang
menggunakan sistem umumi telah bertukar kepada sistem nizam. Sistem nizam mula
berkembang ke rantau ini apabila lepasan pondok menyambung pelajaran mereka ke Mesir,
Beirut, Makkah dan India. Pada awal kurun ke 20, pelajar-pelajar melayu dikatakan mula
memasuki Universiti al-Azhar, Mesir. Antara graduannya yang terkenal ialah Syed Syeikh al-
Hadi dan Syeikh Tahir Jalaluddin. Apabila pulang ke tanah air, mereka cuba
memperkenalkan sistem pengajian moden dengan mendirikan madrasah-madrasah yang
sistem pengajiannya lebih teratur dan tersusun daripada pengajian pondok. Sistem
persekolahan (madrasah) ini telah mendapat sambutan daripada masyarakat setempat.
Dikatakan selepas tahun 1900 M, kemasukan pelajar-pelajar ke institusi madrasah amat
menggalakkan. (Abdullah Ishak, 1995: 246)
12
Di madrasah, cara pengajaran lebih berbentuk sekular yang tidak lagi menggunakan
kaedah halaga dan pelajaran secara tadah. Sungguhpun begitu, terdapat sekolah pondok
yang menggunakan nama madrasah tetapi tidak mengikut sistem madrasah seperti
diamalkan oleh kaum muda (Mohd. Isa Othman, 2002: 209). Wujudnya perubahan ini
dikatakan kerana berlakunya konflik yang hebat mengenai soal-soal agama antara kaum
muda yang terdiri daripada golongan yang berpendidikan daripada Timur Tengah seperti
Universiti al-Azhar, Mesir dengan kaum tua yang menjadi kepada pengasas sistem
pengajian pondok. Akibat daripada perbalahan tersebut, kaum muda telah membuat
penyesuaian dari sistem pengajian cara pondok. Antara ciri-ciri sistem madrasah ialah
Walaupun sistem madrasah mempunyai kurikulum yang tertentu serta struktur yang hampir
menyerupai sekolah sekular, akan tetapi bahasa Arab kekal sebagai bahasa pengantar dan
para pelajar juga diberikan peluang untuk mempelajari bahasa Inggeris selain subjek-subjek
moden seperti sains dan matematik (Barbara Watson Andaya dan Leonard Y. Andaya, 1983:
272).
Kaum Muda memainkan peranan penting mengembangkan sistem pendidikan
madrasah. Mereka merupakan golongan konservatif yang mahu mengekalkan amalan tradisi
orang Melayu dalam bidang agama (Abdullah Haji Jaafar, 1985). Antaranya tokoh-tokoh
yang berpendidikan Arab seperti Syed Sheikh al-Hadi, Sheikh Tahir Jalaluddin merupakan
tokoh-tokoh berpengaruh dalam Kaum Muda. Madrasah al-Iqbal merupakan madrasah
pertama didirikan di Singapura pada tahun 1907. Pada tahun 1917, Syed Sheikh al-Hadi
menubuhkan Madrasah Al-Hadi di Melaka dan pada tahun 1919, beliau berpindah ke Pulau
Pinang menubuhkan Madrasah al-Masyhor dengan kerjasama beberapa orang Arab (Roff,
W.R, 2003: 83). Madrasah ini kemudian menjadi terkenal dan menjadi pusat pengajian
terpenting. Di Kedah ditubuhkan Madrasahtul Hamidiah di Limbung Kapal atas daya usaha
Syeikhul Islam Wan Sulaiman Wan Sidik dan Tunku Mahmud. Madrasah ini akhirnya
berkembang menjadi maktab Mahmud. Di Terengganu pula, madrasah pertama ditubuhkan
pada tahun 1925 dengan penubuhan Madrasah Arabiah yang kemudian ditukar menjadi
Madrasah Sultan Zainal Abidin. Di negeri-negeri Melayu yang lain juga terdapat juga
pendidikan bercorak madrasah tetapi pengaruhnya tidaklah begitu besar (Mohd. Isa Othman,
2002: 209-210).
Di Kelantan, penubuhan Madrasah Muhammadiah pada tahun 1917 merupakan
sokongan kepada pendidikan madrasah di Kelantan. Madrasah Muhammadiah melancarkan
progaram pendidikan oleh Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang ditubuhkan
pada tahun 1915, dengan pengajaran tiga bahasa iaitu Melayu, Arab dan Inggeris. Pada
tahun 1918, majlis ini cuba untuk menggabungkan beberapa buah pengajian pondok yang
ada tetapi terpaksa dihentikan disebabkan kekurangan wang. Walau bagaimanapun,
13
madrasah tersebut terus meningkat maju dan ramai di antara para pelajar di situ yang
melanjutkan pelajaran mereka di Kolej Melayu Kuala Kangsar atau di Penang Free School
dan sebagainya. Selain itu, sebuah madrasah di Perak umpamanya menyediakan kursus
yang antara lain termasuklah pelajaran komersil, matematik, sejarah, bahasa Inggeris,
perniagaan, teknik bertanam padi, membuat sabun dan kicap. (Barbara Watson Andaya dan
Leonard Y. Andaya, 1983: 272).
Melihat kepada sistem pengajian madrasah adalah berbeza dengan sistem pengajian
pondok yang lebih menggunakan sistem umumi, manakala madrasah menggunakan sistem
nizam iaitu sistem pengajianya lebih teratur dan tersusun. Sebagai contohnya, Madrasah Al-
Ulum Al-Syar’iah, Bagan Datoh di Perak. Madrasah ini diasaskan oleh Haji Muhammad
Arshad Haji Muhammad Salleh di atas kesedaran yang timbul setelah melihat kejayaan yang
dicapai hasil dari perjalanan dan pendidikan yang dilaksanakan di madrasah-madrasah di
Kota Mekah. Sukatan pelajaran yang disediakan oleh madrasah ini adalah kemas, teratur,
bermutu tinggi di samping ketinggian semangat dan kesedaran guru-guru untuk
menyebarkan ilmu pengetahuan di kalangan anak bangsa. Oleh sebab itulah, ia menarik
minat ibu bapa untuk menghantar anak mereka belajar di madrasah ini. Selain itu, di
madrasah ini juga mempunyai sistem bilik darjah, peperiksaan akhir tahun untuk
menentukan kenaikan darjah, penggunaan buku laporan murid-murid, cara pengajaran
moden, penggunaan sistem jadual waktu, pengkhususan bidang pelajaran yang diajar oleh
seorang guru, penggunaan buku catatan dan bacaan yang teratur, penetapan pakaian
seragam, mengeluarkan surat akuan dan sijil bila tamat tamat pengajian dan pengelolaan
pentadbiran yang teratur di bawah seorang Mudir dan Jawatankuasa Madrasah. (Sabri Said,
1983: 21).
Sebelum Perang Dunia Kedua, madrasah ini hanya menyediakan dua peringkat kelas
sahaja iaitu kelas Tahdiri (persediaan) dan kelas Ibtidai. Mata pelajaran bagi peringkat tahdiri
hanya merupakan pelajaran asas sahaja untuk membolehkan mereka meningkat ke kelas
ibtidai. Sebelum seseorang penuntut itu diterima masuk, terlebih dahulu akan ditemuduga
atau diuji melalui imtihan (ujian lisan) oleh pihak madrasah. Antara persoalan dikemukakan
dalam imtihan tersebut ialah latar belakang diri dan keluarga, di samping menguji
sejauhmana pencapaian dan kebolehan dalam pengetahuan am. Selain itu, mereka juga
diminta membaca sebuah kitab yang disediakan oleh pihak madrasah. Melalui imtihan inilah
ditentukan kelayakan ke tingkatan yang bersesuaian dengan kemampuan seseorang. Jika
sekiranya penuntut itu mempunyai keceradasan otak, ia akan terus dimasukkan ke darjah
dua ibtidai (Sabri Said, 1983: 64-65).
14
Kelas ibtidai biasanya mengambil masa empat tahun dan setelah lulus barulah
penuntut itu dibenarkan melanjutkan pelajaran ke peringkat Thanawi. Kelas Thanawi pada
peringkat awal diwujudkan mengambil masa selama tiga tahun. Namun selepas merdeka
iaitu pada tahun 1960, masa kursus telah ditambah setahun lagi menjadi empat tahun.
Perubahan ini adalah kerana memandangkan penuntut tidak dapat mendalami pelajaran
yang diberi sekiranya jangka masa kursus itu selama tiga tahun sahaja. Madrasah ini
seterusnya mengalami perubahan yang drastik iaitu dengan membuka kelas untuk
peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Selain itu,
kelas-kelas juga turut berubah iaitu dari kelas tingkatan I, II, III, IV dan V. Penuntut
dibenarkan mengambil SRP ketika berada di kelas Thanawi II dan SPM ketika di kelas
Thanawi IV. Ini bermakna penuntut madrasah ini akan memperolehi dua sijil jika lulus iaitu
sijil-sijil agama dan akademik (Sabri Said, 1983: 65-66).
Antara mata pelajaran yang diajar di madrasah ini untuk kedua-dua peringkat kelas
termasuk pelajaran akademik ialah: (Sabri Said, 1983: 66-67).
a) Pelajaran Peringkat Menengah Rendah/Ibtidai:i. Mata pelajaran Arab: mutala’ah, nahu, saraf, mahfuzat, qiro’ah, khat, insyak dan
imlak.ii. Mata pelajaran ilmu agama: al-Quran, al-Hadis, tauhid, feqh, sejarah Islam dan
tajwid.iii. Mata pelajaran akademik: bahasa Malaysia, sejarah, geografi, ilmu hisab, sains,
lukisan dan bahasa Inggeris.
b) Pelajaran Peringkat Menengah Atas/Thanawi:
i. Mata pelajaran Arab: Arobian, Insyak, terjemahan, mutala’ah, balaghah dan mahfuzat.
ii. Mata pelajatan ilmu agama: tafsir al-Quran dan al-Hadis, usul al-Quran dan al-Hadis, tauhid, usul feqh, tarikh al-Islam, faraid dan hukum pembahagian harta.
iii. Mata pelajaran akademik: sama seperti pada peringkat menengah rendah/ibtidai.
Semua pelajaran untuk kelas ibtidai dijalankan dalam bahasa Malaysia tetapi
penekanan terhadap bahasa Arab menjadi keutamaan. Tujuannya ialah supaya setelah
penuntut ini berjaya menamatkan kelas ibtidai, sekurang-kurangnya mereka dapat
memahami struktur bahasa Arab yang mudah.
Berdasarkan kepada keseluruhan perbincangan tentang sistem pengajian madrasah
sebelum merdeka, dapatlah dirumuskan bahawa pendidikan madrasah mengalami banyak
tranformasi dari segi sistem pendidikan, kurikulum dan sebagainya. Kalau dilihat kembali
kepada perkembangan pengajian madrasah ini, ia merupakan satu daya usaha yang
dilakukan oleh kaum muda yang ingin melihat satu perubahan khususnya dalam sistem
15
pendidikan Islam. Kebanyakkan kaum muda adalah golongan terpelajar yang mendapat
pendidikan di Timur Tengah seperti Universiti al-Azhar, di Mesir dan terpengaruh dengan
perkembangan pendidikan madrasah-madrasah di sana yang lebih tersusun dan teratur.
Selain itu, apa yang lebih penting ialah sistem pengajian madrasah merupakan
kesinambungan daripada sistem pengajian pondok yang kemudianya diubahsuai mengikut
keperluan masyarakat serta perkembangan dalam dunia pendidikan hari ini.
3.1.7 – Sistem Persekolahan Vernakular
Sekolah vernakular merujuk kepada sekolah yang menggunakan bahasa ibunda bagi kaum-
kaum tertentu di dalam pelaksanaan penyelidikan dan pembangunan (P&P) di sekolah.
Terdapat tiga jenis sekolah vernakular, iaitu Melayu, Cina dan Tamil. Sekolah vernakular
Melayu yang pertama sekali ditubuhkan ialah pada tahun 1855, iaitu di Bayan Lepas, Pulau
Pinang. Sekolah Melayu Gelugor, Pulau Pinang menggunakan bahasa Melayu sebagai
bahasa pengantar. Pada tahun 1872, A.M. Skinner memperkenalkan persekolahan dua sesi,
iaitu:
i. Persekolahan sesi pagi
a. Bahasa Melayu, Matematik, Ilmu Alam
b. mata pelajaran vokasional
ii. Persekolahan sesi petang
a. Bahasa Arab
b. al-Qur'an
Sebelum tanah melayu merdeka, sekolah vernakular turut ditubuhkan mengikut
pecahan kaum di tanah melayu. Antaranya seperti sekolah bagi kaum melayu, sekolah khas
untuk kaum Cina dan juga sekolah khas untuk kaum India. Faktor penubuhan sekolah ini
merupakan ideologi daripada pihak british yang mengamalkan dasar pecah dan perintah
ataupun ‘Divide and Rule’. Sekolah-sekolah ini dibolehkan menggunakan bahasa ibunda
masing-masing mengikut kaum ketika di dalam pengajaran dan pembelajaran. Kaedah ini
telah diteruskan sehingga ke era selepas kemerdekaan iaitu sehingga ke hari ini.
16
3.1.7.1 –Sistem Sekolah Melayu
Selain itu, beberapa permasalahan lain turut berlaku seperti kekurangan guru
merupakan faktor tiada penubuhan sekolah menengah Melayu pada waktu itu. Hal
sebegini telah mendorong sehingga tertubuhnya dua buah maktab perguruan, iaitu
i. MPSI (Maktab Perguruan Sultan Idris) di Tanjung Malim pada tahun 1922.
ii. MPPM (Maktab Perempuan Melayu Melaka) di Melaka pada tahun 1935.
Pada tahun 1855, sekolah Melayu dibuka di Bayan Lepas, Pulau Pinang dan
diikuti dengan dua buah sekolah Melayu di Singapura, iaitu di Telok Belanga dan
Kampung Gelam. Pada zaman pernerintahan British di Tanah Melayu, sekolah
Inggeris mula diperkenalkan. Contohnya seperti :
i. King Edward VII, Taiping di Perak dan
ii. Clifford School, Kuala Lipis, Pahang.
Namun begitu, sekolah pondok masih juga diteruskan di kalangan penduduk
Melayu sebagai pemantapan kepada rohani dan jiwa kaum Melayu itu sendiri.
Selepas itu, muncul pula sekolah vokasional Melayu juga telah diadakan untuk
melatih kumpulan buruh. A.M. Skinner yang juga merupakan salah seorang nazir
sekolah pada tahun 1870-an telah merombak sekolah Melayu dan menjadikannya
dua sesi, iaitu sesi pagi untuk pelajaran biasa dari sesi petang untuk pembelajaran
agama.
3.1.7.2 – Sistem Sekolah Cina
Dalam waktu yang sama, sekolah vernakular Cina juga ditubuhkan pada
tahun 1815 oleh kumpulan pendakwah baru Persatuan Pendakwah London. Namun,
terdapat juga sekolah Cina yang dibuka oleh orang perseorangan seperti dari
golongan yang berada dan saudagar cina yang kaya. Sekolah Cina telah
menggunakan bahasa Cina/Mandarin (Kuv Yu) sebagai bahasa pengantar, manakala
guru-guru dan buku teks yang digunapakai diimpot dari Negara China. Contoh
sekolah vernakular Cina ialah
i. SJK (C) Hua Lian, Tanjung, Perak dan
ii. SJK (C) Chung Hwa, Kota Bharu, Kelantan.
17
Kelas Bahasa Cina diadakan di semua `Free School', iaitu di Melaka, Pulau
Pinang dan Singapura, namun la gagal dan telah dihentikan. Senario di sekolah-
sekolah Cina pula agak berbeza kerana sekolah-sekolah ini dibiayai oleh masyarakat
Cina yang terdiri daripada golongan peniaga. Sekolah-sekolah Cina ini berkembang
pesat dan diteruskan ke peringkat sekolah menengah.
Pada peringkat awal, iaitu pada tahun 1917, sekolah Cina mula mendapat
bantuan dari Negara China dan telah menggunakan bahasa "Kuo Yue". Namun,
apabila mulai tahun 1920-an, sekolah-sekolah ini diberi pilihan sama ada untuk
mendapat bantuan dari Negara China atau kerajaan tempatan.
3.1.7.3 – Sistem Sekolah Tamil
Selepas wujudnya sekolah melayu dan juga sekolah khas untuk kaum cina,
kaum India turut merasa tempiasnya lantas kaum ini telah menubuhkan sekolah
Tamil bagi kaum India sahaja. Sistem sekolah vernakular Tamil pula menggunakan
bahasa Tamil sebagai bahasa pengantar manakala guru, sukatan kurikulum dan
buku teks telah di impot dart India. Salah satu contoh sekolah tamil yang mula-mula
ditubuhkan seperti SJK (T) Manikavasagam, Tanjung Malim, Perak.
Bertitik mula daripada itu, pada tahun 1925, Kod Buruh telah berkuat kuasa di
mana semua estet yang mempunyai 10 orang kanak-kanak dalam umur
persekolahan diwajibkan untuk menyediakan sekolah yang bertujuan rnembasmi buta
huruf. Sekolah-sekolah di estet ini kebanyakkannya merupakan Sekolah jenis
Kebangsaan Tamil (SJK) Tamil kerana majoriti penduduk yang tinggal di estet Tanah
Melayu pada ketika itu merupakan buruh yang dibawa daripada India lantas mereka
bermastautin di kawasan tersebut dan mendapat hak kerakyatan menetap di Tanah
melayu. Sekolah-sekolah tamil mula berkembang selaras dengan perkembangan
dalam sektor perladangan kopi, getah dan kelapa sejak tahun 1870-an. Sekolah
Tamil telah diadakan untuk majikan estet dan hanya di peringkat sekolah rendah
sahaja.
18
3.1.7.4 – Sistem Sekolah Inggeris
Sekolah Inggeris hanya terdapat di kawasan bandar dan sekolah ini
menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar utamanya. Pendidikan
bahasa Inggeris mula diperkenalkan di kalangan anak bangsawan Melayu pada
tahun 1905. Penang Free School (1816 ) merupakan salah sebuah sekolah Inggeris
pertama yang ditubuhkan di Tanah Melayu. Kebanyakkan guru-guru yang mengajar
di sekolah Inggeris ini terdiri daripada paderi yang mendapat pendidikan di Eropah.
Sewaktu pemerintahan Jepun dari tahun 1941 hingga 1956, Pendidikan Tamil
dan Pendidikan Melayu diteruskan dengan ditambah bahasa Jepun. Penubuhan
sekolah Nippon-Go untuk menggantikan Sekolah Vernakular Cina dan Inggeris.
Pengajaran lebih ditekankan kepada lagu-lagu klasik Jepun dan Kebudayaan
Masyarakat Jepun. Selepas tamat Perang Dunia Kedua pada tahun 1946 , Inggeris
kembali semula ke Tanah Melayu. Keadaan sistem pendidikan diwaktu ini bercelaru,
orang Melayu telah mula kuat semangat nasionalisme dan masyarkat Cina, India
masih mahu kekal bermastautin di Tanah Melayu. Selain daripada itu, beberapa
individu dikalangan orang Melayu mula timbul kesedaran untuk memajukan
pendidikan kerana kaum Melayu pada waktu itu mula menyedari melalui pendidikan,
ekonomi dan sosial orang Melayu dapat di tingkatkan.
Walau bagaimanapun, sekolah-sekolah lnggeris yang dikendalikan oleh
mubaligh Kristian adalah terbuka kepada semua kanak-kanak tanpa mengira ras dan
agama. Sistem pendidikan ini sejak awal lagi telah meninggalkan kesan yang
mendalam dari segi meningkatkan persaingan hebat di kalangan semua kaum. Sejak
pertengahan tahun 1870-an, kaedah pengajaran yang digunakan adalah `monitoral
system' di mana guru-guru dibawa dari England clan kos perbelanjaan untuk tujuan
ini kian meningkat. Justeru, Jawatankuasa Wooley pada tahun 1870-an telah
membuat penelitian dan mencadangkan agar alternatit lain diperoleh clan hasil
daripada laporan ini, maka sistem "bekerja sambil belajar" telah diperkenalkan.
Pendudukan Jepun telah banyak menjejaskan perkembangan di dalam bidang
pendidikan. Selepas Jepun meninggalkan Tanah Melayu, sekolah dan kolej berfungsi
kembali setelah proses membaiki bangunan dan melengkapkan kemudahan serta
peralatan sekolah siap selepas tahun 1946.
19
3.2 – ERA PENDIDIKAN DI ISTANA
Semasa zaman sebelum merdeka, pendidikan Islam telah berkembang di istana-istana
dengan pesat sekali. Kesemua kejayaan pendidikan ini merupakan hasil usaha daripada
pedagang-pedagang yang merantau ke Tanah Melayu. Pada awalnya, pendidikan di istana
ini diajarkan kepada golongan-golongan pembesar dan juga kerabat-kerabat diraja. Teknik
ini menampakkan kesan yang cukup mendalam kerana ramai raja-raja melayu yang
memeluk Islam setelah penyebaran pendidikan islam tersebar luas. Salah satu faktor yang
memudahkan penyebaran Islam berlaku di tanah Melayu ialah apabila seseorang pembesar
ataupun raja di sesebuah negeri memeluk agama Islam, rakyat jelata turut merasa tertarik
untuk menganut agama Islam tersebut. Selain itu, terdapat juga raja-raja Melayu yang
berkahwin dengan masyarakat luar seperti daripada negeri China, Siam dan lain-lain lagi.
Kaedah pengajaran yang dibawa cukup mudah iaitu dengan mengajar sesuatu
perkara itu dengan buku-buku dan kitab arab yang sudah diterjemahkan kepada bahasa
melayu. Selain itu, penggunaan tulisan jawi turut ditekankan kerana tulisan jawi merupakan
tulisan bahasa arab tetapi hanya bunyi dan sebutannya sahaja yang berbeza. Menurut fakta
sejarah, bahasa pengantar yang digunakan menggunakan bahasa Arab dan juga bahasa
Melayu. Dengan itu, ianya memudahkan segala urusan untuk menyebarkan dakwah Islam.
20
4.0 - KESIMPULAN
Memetik kata-kata Yusof Al Qaradhawi seorang sarjana dan tokoh pemikir Islam yang
tersohor dan disegani masa kini, beliau mengatakan “Apabila kita hendak melihat wajah
negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya pada hari ini, sekiranya golongan
muda pada hari ini adalah dari kalangan yang berakhlak dan berhemah tinggi, tentunya
negara kita akan datang adalah sebuah negara yang aman makmur tetapi jika keadaan
sebaliknya maka bersedialah untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk yang berlaku”.
Oleh itu, untuk melihat maju atau mundur sesebuah negara bergantung kepada genarasi
mudanya. Dalam konteks ini, pendidikan dilihat sebagai wahana terbaik dalam melahirkan
generasi yang dinamik, progresif, cemerlang, berakhlak dan berhemah tinggi.
Sememangnya sering diperkatakan bahawa anak muda merupakan pewaris kepada
kepimpinan negara di masa hadapan. Golongan ini merupakan pelapis berjiwa kental yang
menjadi aset dalam memacu kelangsungan pembangunan negara. Lantaran itu, pendidikan
mampu mematangkan golongan muda dari aspek keintelektualan ilmu, kewarasan akal,
kemurnian budi, kecerdasan minda dan keterampilan sahsiah. Rentetan itu, hala tuju dan
falsafah pendidikan harus ditekankan dan dijayakan dalam perkembangan pendidikan di
Malaysia.
Jika melihat kepada sorotan sejarah pendidikan di negara ini, pastinya kita sedar
bahawa pendidikan di negara kita telah melalui pelbagai peringkat. Perkembangan
pendidikan di Malaysia jelas menunjukkan perbandingan yang ketara dalam hala tuju dan
falasafah pendidikan era sebelum merdeka dan zaman pascamerdeka. Pendidikan di
Malaysia telah melalui saat suka dan duka serta sering berlaku perubahan demi perubahan
untuk memartabatkan pendidikan di negara ini. Bermula dengan era masyarakat tradisional
dan berubah pada era penjajahan. Pihak penjajah telah memperkenalkan Sekolah
Vernakular, Sekolah Inggeris dan bagi memantapkan lagi sistem pendidikan pada masa itu
beberapa laporan di buat antaranya Laporan Barnes 1950, Laporan Fenn-Wu 1951, Ordinan
Pelajaran 1952 dan Laporan Razak 1956. Pendidikan selepas merdeka menunjukkan
perkembangan yang ketara bermula dari tahun 1957 hingga 2010 yang memperlihatkan
pelbagai usaha dalam meningkatkan mutu pendidikan di Malaysia.
21
5.0 – RUJUKAN
Abdullah Haji Jaafar (1985), Sejarah Masyarakat Melayu Moden, Kuala Lumpur: Penerbitan
Universiti Malaya.
Abdullah Ishak (1995), Pendidikan Islam dan Pengaruhnya di Malaysia, Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Awang Had Salleh, (1977), Institusi Pondok Dalam Masyarakat Melayu dan Tradisi, di
sunting oleh Dr. Zainal Kling ,Kuala Lumpur: Utusan Melayu Berhad.
Barbara Watson Andaya dan Leonard Y. Andaya (1983), Sejarah Malaysia, Kuala Lumpur:
Macmillan Publishers (M) Sdn. Bhd.
Ismail Che Daud,(1991), Sekolah Pondok di Kelantan :Satu Tinjauan Umum ,Warisan
Kelantan X, Kota Bharu: Perbadanan Muzium Negeri Kelantan.
Mohd. Isa Othman (2002), Sejarah Malaysia (1800-1963), Kuala Lumpur: Utusan
Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Nik Mohamed bin Nik Mohd Salleh, (1985),Warisan Kelantan ke 4 ,Kota Bharu: Perbadanan
Muzium Negeri Kelantan.
Rahim bin Abdullah ,( 1983), Beberapa Aspek Warisan Kelantan II,Kota Bharu: Perbadanan
Muzium Negeri Kelantan.
Ramli Awang, (2006), Perkembangan Institusi Pondok Di Nusantara, Skudai: Universiti
Teknologi Malaysia.
Roff, W.R. (2003), Nasionalisme Melayu, (terj) Ahmad Boestamam, Kuala Lumpur:
Penerbitan Unversiti Malaya.
Sabri Said (1983), Madrasah Al-Ulum Al-Syariah Perak 1937-1977: Satu Kajian Pendidikan
Islam, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Rujukan Internet
Mohd. Koharuddin Mohd, Tradisi Keilmuan dan Pendidikan Dalam Tamadun Melayu Di
Nusantara, Jurnal Kemanusiaan (atas talian) www.fppsm.utm.my/download/doc
22