Post on 18-Jul-2015
Adat Istiadat Perkahwinan Suku Kaum Rungus
Pemuda-pemuda dari suku kaum Rungus tidak mencari bakal isteri mereka sendiri tetapi
ditentukan oleh ibu bapa mereka.
Ibu bapa akan mencarikan pasangan bagi anak mereka apabila anak-anak mereka dewasa
dan sudah berupaya memikul tanggungjawab untuk mendirikan rumahtangga.
Selalunya apabila ibu bapa si lelaki bertemu gadis yang berkenan di hati, mereka akan
datang ke rumah ibu bapa si gadis untuk merisik sama ada si gadis telah berpunya atau
belum.
Apabila didapati si gadis itu belum dimiliki, maka ibu bapa si lelaki akan menanyakan
orang-orang yang rapat atau keluarga terdekat si gadis bagaimana sikap si gadis, sama
ada si gadis yang dirisik rajin,baik hati dan sebagainya.Begitu juga sebaliknya bagi
keluarga si gadis.
Setelah kedua-dua pihak sudah sepakat, barulah ibu bapa si lelaki menetapkan hari
peminangan atau pertunangan. Setelah persetujuan pertunangan dibuat, maka barulah
hari menghantar tanda tunang ditetapkan.
Kadang kala semasa hari menghantar tanda tunang, hari tersebut juga digunakan untuk
penetapan berian, hukuman dan perbelanjaan yang mesti dikeluarkan oleh pihak si lelaki
seminggu sebelum hari perkahwinan. Walau bagaimanapun, perbincangan mengenai
berian, hukuman dan perbelanjaan kahwin akan dibuat selepas seminggu atau sebulan
penghantaran tanda tunang. Semua perbincangan pihak lelaki dan pihak perempuan ini
akan disaksikan oleh Ketua Kampung dan beberapa orang ahli keluarga kedua belah
pihak.
Barang-barang yang yang dijadikan tanda tunang adalah tidak terhad, antaranya:
1. Buah Pinang
2. Daun Sirih
3. Daun Kirai
4. Kapur
5. Sigup (Tembakau)
6. Lain-lain barang yang difikirkan perlu untuk si gadis
Kesemua tanda tunang ini dihantar oleh bapa si lelaki, si lelaki sendiri dan beberapa orang
lain sebagai pengiring.
Kebiasaannya, apabila rombongan si lelaki tiba di rumah si perempuan, si lelaki akan
mengambil seberapa banyak yang terdaya dan disimpan para-para rumah si perempuan.
Ini menandakan bahawa si lelaki itu mahu menjadi keluarga mereka. Tali pengikat kayu
api itu akan disimpan sebagai tanda bahawa berapa besar ikatan kayu itu begitulah juga
besarnya sukatan tempayan yang diberikan kepada bapa si perempuan. Adat ini
dinamakan sebagai adat "Loput" atau "Buka Mulut".
Upacara penghantaran tanda tunang dilakukan mengikut hari yang baik contohnya pada
hari "tontong" atau bulan purnama. Jika sepanjang perjalanan pada hari penghantaran
tanda tunang ini berlaku peristiwa-peristiwa ganjil,bertemu binatang seperti rusa, burung-
burung ganjil dan sebagainya, maka upacara penghantaran tanda tunang dibatalkan dan
ditunda ke hari lain.
Bagi hal berkenaan berian dan belanja kahwin,ibu bapa si lelaki akan menggunakan
seseorang sebagai wakil untuk berbincang dengan keluarga perempuan dan
menyampaikan kepada ibu bapa ibu bapa si lelaki segala keputusan keluarga pihak
perempuan.
Wakil bagi upacara seperti ini dinamakan "Bantaran". Tugas "Bantaran" ialah sebagai
pembawa adat "Loput" (Pembuka Bicara/Pembuka Mulut)."Bantaran" perlu membawa
sebuah "panding" sebesar satu depa sukatannya, "tutuban" satu sansang sakudon atau
sebuah gong dan "languwai" satu pasang atau "sumbul".
Untuk perempuan yang akan dikahwininya diberi satu "languwai" sederhana besar dan
satu "tawag". Ibu bapa perempuan pula akan diberi dua buah "tawag" atau "sanang".
Jika si lelaki berkemampuan, semua adik-beradiknya yang perempuan juga diberi satu
"gadur" setiap seorang sebagai adat pewarisan.
Setelah selesai adat "Loput" atau "Buka Mulut" ini, barulah mereka akan berunding
mengenai berian dan belanja kahwin serta hantaran pihak lelaki mengikut permintaan
pihak perempuan. Sekiranya si lelaki bersetuju dengan semua permintaan tersebut, maka
hari perkahwinan pun ditetapkan. Jika tidak, terpulanglah kepada budi bicara kedua-dua
pihak sama ada mahu meneruskan perkahwinan si anak atau tidak.
Apabila tiba masa perkahwinan yang telah ditetapkan, si lelaki dikehendaki membawa
"bujak", keris atau pedang, "paes" (pisau) yang diikat bersama gelang dengan
menggunakan sapu tangan. Setelah lengkap semuanya barulah si lelaki berangkat ke
rumah bakal isterinya. Apabila tiba di rumah si perempuan, si lelaki hendaklah
menyerahkan kesemua barang tadi kepada ibu bapa si perempuan.Sesudah itu, barulah si
lelaki boleh duduk di tempat persandingannya sementara menanti pengantin perempuan
keluar bersanding. Si lelaki mestilah membawa seorang pengapit yang dipanggil "magat",
begitu juga dengan pengantin perempuan.
Sesudah upacara perkahwinan dijalankan, barulah Ketua Kampung membuat surat
peringatan perkahwinan untuk didaftarkan di Mahkamah Anak Negeri bagi mendapatkan
Surat Keterangan Berian. Dalam surat peringatan ini, diberi "Lapik Banda" kepada
kedua-dua suami isteri, iaitu sekiranya si suami tidak menjaga isterinya dengan baik, tidak
menghormati mentua dan hal-hal lain yang tidak wajar dilakukan oleh seorang suami
kepada isterinya, maka isteri berhak menceraikan suaminya tanpa mengembalikan
kesemua berian dan perbelanjaan kahwin. Jika si isteri tidak mengikut nasihat dan kata-
kata suami, curang atau lari dari rumah akan didenda satu "tawag" atau "sanang" dan
berian akan dikembalikan kepada suaminya.
Adapun tujuan "Lapik Banda" ini adalah untuk mengelakkan pasangan suami isteri
daripada bercerai.