RAFSYAMIR@AMIRBA000005D03T6

14
BAB VI KESIMPULAN DAN CADANGAN 6.1 Pengenalan Hasil daripada keputusan analisis dalam bab sebelum ini, satu rumusan telah diperolehi. Dalam bab ini, kesimpulan akan dibuat berdasarkan segala keputusan yang telah dibincangkan sebelum ini. Kesimpulan ini disusun bagi menjawab ketiga-tiga objektif kajian. Seterusnya, bagi memenuhi tujuan kajian ini, beberapa cadangan turut akan dibincangkan secara ringkas dalam bab ini. Bagi menilai sama ada matlamat dan objektif kajian tercapai tujuannya, maka penilaian objektif dilakukan untuk mengetahui keputusannya. 6.2 Kesimpulan

description

ntah laa

Transcript of RAFSYAMIR@AMIRBA000005D03T6

BAB VI

PAGE 90

BAB VI

KESIMPULAN DAN CADANGAN

6.1Pengenalan

Hasil daripada keputusan analisis dalam bab sebelum ini, satu rumusan telah diperolehi. Dalam bab ini, kesimpulan akan dibuat berdasarkan segala keputusan yang telah dibincangkan sebelum ini. Kesimpulan ini disusun bagi menjawab ketiga-tiga objektif kajian. Seterusnya, bagi memenuhi tujuan kajian ini, beberapa cadangan turut akan dibincangkan secara ringkas dalam bab ini. Bagi menilai sama ada matlamat dan objektif kajian tercapai tujuannya, maka penilaian objektif dilakukan untuk mengetahui keputusannya.

6.2 Kesimpulan

Tujuan penilaian objektif dilakukan adalah untuk mengetahui dan memastikan setiap kajian yang dilakukan memenuhi matlamat dan objektif yang telah ditetapkan. Kupasan setiap objektif akan dilakukan berdasarkan daripada kajian yang telah dibuat iaitu kajian literatur dan kajian empirikal.Objektif satu:Mengkaji elemen-elemen penting dalam pengurusan pembinaan

Pencapaian objektif pertama ini adalah berdasarkan kepada hasil kajian literatur yang dibuat. Industri pembinaan telah berkembang pesat selaras dengan pembangunan negara. Akibat daripada perkembangan maju industri pembinaan, permintaan terhadap kontraktor yang efektif dan berkesan adalah tinggi. Elemen-elemen penting dalam pengurusan pembinaan ini perlu diketahui sebagai panduan kepada kontraktor. Kontraktor yang efektif mengutamakan tiga aspek penting dalam projek pembinaan iaitu masa, kos dan kualiti.

Kontraktor yang efektif mampu untuk menghasilkan hasil pembinaan yang berkualiti dalam masa yang ditetapkan, dengan kos yang optimum dan memenuhi kehendak klien. Kejayaan sesebuah syarikat kontraktor terletak kepada tingkatan produktiviti kerja, kurangnya pembaziran sumber dan masa, kurangnya kemungkinan risiko merbahaya, amalan keselamatan di tapak bina dan menghasilkan produk berkualiti sebagaimana kehendak klien.

Dalam menilai objektif pertama ini, telah dikaji elemen-elemen yang digariskan oleh CIOB dan CITB dalam pengurusan pembinaan. Daripada kesemua elemen ini, hanya beberapa elemen yang terpenting sahaja dibincangkan. Ianya dimulakan dengan perancangan susun atur tapak, perancangan program kerja yang meliputi sebahagian besar elemen penting dalam pengurusan pembinaan, teknik-teknik perancangan kerja dan penyeliaan.

Perancangan susunatur tapak merangkumi peletakan stor bahan binaan, tempat bekerja seperti kontena, tempat tinggal para pekerja, loji dan sirkulasi pada kawasan tapak binaan. Di mana terdapat lima faktor yang perlu diambil kira dalam merancang susun atur tapak iaitu aktiviti tapak, keberkesanan, sirkulasi, pengawalan, dan tempat kediaman para pekerja dan stor penyimpanan bahan binaan.

Perancangan program kerja ialah suatu proses untuk menetapkan aktiviti-aktiviti atau tindakan yang sewajarnya dilakukan bagi sesuatu projek pembangunan pada masa akan datang dengan mengambil kira tujuan, fakta dan pertimbangan yang lain.

Empat teknik perancangan kerja dikenal pasti iaitu carta bar atau Gantt Chart, CPM, carta garisan seimbang, dan gambar rajah keutamaan.

Penyeliaan yang berkesan berkait dengan kombinasi teknikal, operasi dan kemanusiaan dari aspek kerja pembinaan. Kejayaan penyeliaan bergantung kepada keupayaan dan motivasi yang terdapat pada individu penyelia dan kesempatan yang diberikan kepadanya untuk meningkatkan pengurusan.Objektif kedua:Mengkaji ciri-ciri pengurusan sumber yang berkesan bagi kontraktor bumiputera.

Dalam mencapai objektif kedua ini, juga banyak meliputi kajian secara teoritikal iaitu melalui kajian literatur. Namun kajian literatur ini dibuktikan juga dengan amalan ciri-ciri pengurusan sumber yang diperolehi daripada soal selidik. Daripada kajian yang dijalankan, dapat dipecahkan pengurusan sumber ini kepada empat, iaitu bahan, buruh, kos dan loji/jentera. Ciri-ciri pengurusan setiap satu sumber ini dihuraikan seperti berikut:

i. Pengurusan Buruh

Tujuan pengurusan sumber buruh ialah meningkatkan produktiviti dengan mengelakkan masalah sama ada kekurangan atau kelebihan buruh semasa pembinaan rancak berjalan. Perancangan buruh yang berkesan adalah dengan menentukan bilangan buruh memenuhi sesuatu masa yang diperlukan, pembahagian kerja buruh mengikut kemahiran tertentu dan pelicinan sumber buruh.

Pelicinan sumber buruh bermakna bilangan buruh yang diperlukan adalah menepati keperluan kerja pembinaan. Tidak berlaku kekurangan dan pembaziran buruh dalam satu-satu masa. Tidak juga berlaku pengurangan atau penambahan buruh secara mendadak. Aliran buruh meningkat pada awal pembinaan, kemudian stabil serta menurun di akhir pembinaan. Pelicinan sumber buruh penting kerana, bukan senang hendak mendapatkan semula buruh yang telah dibuang. Biasanya buruh yang dibuang akan beralih kepada projek lain dan ini menyukarkan kontraktor mendapatkan semula buruh apabila diperlukan.

Pihak kontraktor hendaklah menyediakan beberapa kemudahan dan intensif kepada buruh supaya mereka lebih bersemangat. Buruh-buruh perlu diberi motivasi dan galakan untuk bekerja. Hubungan antara majikan dengan pekerja hendaklah baik pemberian bonus ketika syarikat untung menunjukkan tanda penghargaan ke atas buruh. Begitu juga aspek kebajikan, dengan menyediakan segala kemudahan agar buruh selesa dan meningkatkan produktiviti syarikat.

ii. Pengurusan Bahan

Pengurusan bahan binaan ditakrifkan sebagai mempunyai matlamat untuk memastikan semua bahan binaan yang diperlukan di hantar ke tapak untuk membolehkan ia digunakan untuk pembinaan pada masa yang tepat, dengan kuantiti yang betul, pada kos yang terbaik dan kualiti yang dikehendaki. Bagi mencapai maksud ini, pengurusan bahan yang baik mesti mengikut langkah-langkah yang berikut: penjadualan, pendaftaran permintaan, penempahan, penerimaan dan pengendalian, penyimpanan dan keselamatan, pengeluaran dan penggunaan.

Di antara ciri-ciri pengurusan yang efektif ialah memastikan sumber bahan yang mencukupi, dalam kualiti yang baik, pembuatan yang mengikut spesifikasi dan pengagihan yang seimbang boleh membantu mencepatkan kerja pembinaan. Dibantu pula dengan bahan-bahan penting yang perlu sentiasa berada di stor tapak bina, serta stok paling minimum mesti ditentukan supaya pesanan bahan boleh dibuat semula. Ini bertujuan supaya projek pembinaan tidak terjejas disebabkan kehabisan bahan.

Daripada hasil kajian, kebanyakan (melebihi 50%) responden melakukan semua aktiviti dalam pengurusan bahan kecuali aktiviti pengeluaran iaitu hanya 42.9%. Dapat disimpulkan kontraktor bumiputera di Sabah melakukan aktiviti-aktiviti pengurusan bahan.

iii. Pengurusan Kos

Pengurusan kos yang berkesan adalah berdasarkan lukisan dan kuantiti sebagaimana di dalam kontrak dan mengikut kemajuan sebagaimana yang dirancang. Bagi memastikan kos pembinaan tidak melebihi perancangan asal, perlu wujud sistem pengawalan kos pada pembinaan sesuatu projek. Tiga sistem pengawalan kos yang lazim digunakan iaitu Untung atau rugi keseluruhan, Untung atau rugi berasaskan bayaran setiap peringkat, dan Kos unit.

Sebanyak 64% daripada responden menggunakan teknik kawalan kos dalam aktiviti pembinaan. Jumlah ini adalah kecil berikutan masih kurang kesedaran oleh kontraktor berkenaan kawalan kos. Dengan menggunakan teknik kawalan kos, sesebuah syarikat kontraktor akan dapat memantau sama ada perbelanjaan kewangan melebihi perancangan atau sebaliknya. Bagi yang menggunakan teknik kawalan kos pula didapati yang menggunakan sistem untung dan rugi keseluruhan adalah yang terbanyak iaitu sebanyak 39%, diikuti oleh untung dan rugi berasaskan setiap peringkat (33%) dan kos unit (28%). Penggunaan sistem pengawalan kos ini bergantung kepada kesesuaian sesebuah kontraktor

Sesuatu sistem pengawalan kos tidak akan berfungsi dengan berkesan sekiranya tiada teknik-teknik pengawalan kos yang dilaksanakan. Antara teknik-teknik kawalan kos yang sering digunakan seperti carta bar, carta penanda batu, kaedah laluan genting dan juga komputer. Teknik-teknik ini berfungsi sebagai alat bantu kepada pihak pengurus bagi memastikan kos keseluruhan di akhir projek tidak melebihi peruntukan asal.

Pengurusan Loji/Jentera

Pihak kontraktor perlu memberi tumpuan dan pemerhatian kepada sistem pengurusan jentera yang berkesan yang terdiri daripada pemilihan, pemilikan dan penyenggaraan jentera. Ketiga-tiga aspek ini perlu ditekankan dalam pengurusan jentera. Ini kerana dengan menguruskan jentera dengan bijak, masa projek dapat disingkatkan dan kos projek dapat dikurangkan.

64% daripada responden menyewa jentera dan hanya 36% membeli jentera. Sebagaimana yang telah dinyatakan sebelum ini, kebanyakan responden menyewa jentera pembinaan berbanding pembelian. Kebaikan yang timbul adalah dengan menyewa dapat mengurangkan kos perbelanjaan projek.Selain daripada tiga aspek pembahagian utama itu, terdapat juga pembahagian-pembahagian lain yang boleh dinyatakan di sini. Ianya meliputi dari peringkat awal lagi iaitu perancangan dan agihan, menentukan sama ada membeli atau menyewa jentera, semasa menggunakan jentera dan penyenggaraan loji dan juga aspek kawalan dan keselamatan loji. Kesemua aspek ini perlu diambil kira dalam menguruskan jentera/loji dengan efektif.

Objektif ketiga:Mengkaji masalah pengurusan sumber di kalangan kontraktor bumiputera.

Objektif ini tercapai melalui kajian empirikal dan literatur yang dibuat. Masalah yang dikaji menggunakan literatur akan dibuktikan kebenarannya melalui kajian empirikal (soal-selidik). Hasil kajian memberikan gambaran sebenar yang berlaku di lapangan dalam sesuatu projek pembinaan. Masalah-masalah ini juga dikelaskan kepada empat sumber pembinaan iaitu buruh, bahan, kos dan loji/jentera.

i. Masalah Buruh

Kajian ini membahagikan masalah buruh kepada tiga bahagian iaitu masalah pengurusan buruh, masalah dalaman buruh sendiri dan masalah buruh asing. Kajian menunjukkan masalah buruh asing tanpa permit (indeks min 3.6) dan kesukaran mendapatkan buruh (indeks min 3.5) merupakan masalah utama. Masalah ini timbul disebabkan lemahnya pengurusan buruh iaitu pelicinan sumber buruh. Buruh yang diperlukan ada kalanya kurang dan berlebihan. Jika tenaga buruh kurang, akan mengakibatkan projek lambat siap. Begitu juga sebaliknya, akan mengakibatkan pembaziran kos.

Masalah buruh asing mendominasi industri pembinaan. Ini kerana kontraktor suka mengambil buruh asing disebabkan mereka rajin bekerja (indeks min 3.9), gaji yang rendah (indeks min 3.3), dan tidak perlu perhatian kebajikan yang lebih berbanding buruh tempatan (indeks min 2.9). Masalah ini berpunca dari masyarakat Malaysia sendiri yang tidak berminat bekerja sebagai buruh binaan dengan (indeks min 4.6). Ia boleh diatasi dengan menyedarkan rakyat kelebihan kerjaya buruh binaan tempatan yang juga merupakan sumber rezeki yang halal. Langkah yang dibuat oleh pihak CIDB contohnya dengan membina Akademi Binaan Malaysia (ABM) adalah langkah baik dalam membendung pengambilan buruh asing.

ii. Masalah Bahan Binaan

Setelah analisis mengenai pengurusan bahan binaan dibuat, didapati masih ramai kontraktor tidak melakukan semua aktiviti yang telah digariskan terhadap bahan binaan. Sebagai contoh aspek pengeluaran hanya 42.9% dan penggunaan bahan sebanyak 57.1%. Masalah yang akan timbul ialah bahan-bahan akan digunakan sesuka hati tanpa rekod penggunaan dan menyebabkan bahan berkurang dan sebagainya.

Antara masalah yang dikenal pasti ialah penghantaran bahan oleh pembekal yang tidak tepat pada masanya dengan (indeks min 3.4). Masalah ini akan merebak kerana tanpa bahan, kerja-kerja pembinaan akan tergendala. Masalah lain ialah sukarnya bagi pihak kontraktor mendapatkan bahan binaan , pembaziran bahan dan bahan yang tidak berkualiti. Punca utama yang dikenal pasti ialah kekurangan bahan dan diikuti oleh kenaikan harga barang tanpa kawalan. Masalah ini boleh diselesaikan sekiranya segala aktiviti pengurusan bahan yang telah dibincangkan diamalkan seperti merancang dan menempah dengan awal segala bahan yang dikehendaki.

iii. Masalah Kewangan

Masalah kewangan merupakan masalah yang paling mendominasi kontraktor bumiputera di Malaysia. Jika masalah kewangan melanda kontraktor, risiko kegagalan untuk melaksanakan sesuatu projek adalah tinggi. Masalah utama yang dikenal pasti ialah kelewatan pembayaran wang kemajuan oleh klien, kekurangan modal dan masalah pinjaman bank. Daripada jumlah responden, 77% meminjam bank sebagai sumber kewangan

Apa yang membimbangkan ialah 36% daripada responden tidak menggunakan apa-apa teknik pengawalan kos dalam projek pembinaan. Dengan ketiadaan teknik kawalan kos, sudah tentu kos projek akan melebihi nilai perancangan. Sudah selalu berlaku projek-projek terbengkalai, punca utamanya ialah ketiadaan wang.

iv. Masalah Loji/mesin

Hasil analisis mendapati masalah utama ialah kadar sewa jentera yang mahal bagi kontraktor yang menyewa jentera. Didapati daripada kajian, 86% responden menyatakan bahawa loji yang digunakan kadang-kadang rosak. Masalah lainnya seperti penambahan kos akibat kekerapan kerosakan dan mengganggu aktiviti lain. Kerosakan ini berlaku akibat kurangnya penyenggaraan jentera, kurangnya mengambil perhatian terhadap jentera akan memberi kesan terhadap hayat, kebolehkerjaan dan keupayaan jentera.

6.3Cadangan

Segala cadangan adalah diambil hasil respons daripada kontraktor bumiputera melalui soal selidik yang dibuat. Cadangan ini dibahagi kepada tiga bahagian iaitu bagi mengatasi masalah yang wujud dalam projek pembinaan di Negeri Sabah, bagi meningkatkan mutu kerja sesuatu projek yang dilakukan dan panduan bagi kontraktor yang baru menceburi bidang pembinaan.

i. Cadangan mengatasi masalah yang wujud dalam projek pembinaan di Negeri Sabah.

Kerjasama antara kontraktor utama, sub-kontraktor dan konsultan perlu diadakan selalu dalam sesuatu kerja pembinaan.

Bagi mengatasi masalah buruh asing, pekerja tempatan harus dilatih untuk menggantikan pekerja asing atau mengurangkan levi pekerja asing.

Prihatin terhadap struktur perniagaan terutamanya kawalan kewangan projek dan mempunyai modal yang cukup

Menggalakkan tender terbuka

Mengikuti lebih banyak kursus-kursus dan seminar pembinaan

Kontraktor perlu lebih mahir dan berpengalaman dan mempunyai peralatan yang terkini, buruh yang berpengalaman dan berkualiti.

Kontraktor perlu mampu membuat pengurusan sendiri dari segi pentadbiran dan juga perkara di tapak pembinaan

Projek hanya perlu diberikan kepada kontraktor yang layak dan mempunyai rekod pembinaan yang bermutu.

Membuat kerja projek pembinaan berdasarkan kemampuan dan mengikis sikap Ali Baba

Menggabungkan dan mengehadkan lesen kontraktor

Menyediakan putaran kewangan untuk membantu kontraktor

Melakukan rombakan terhadap persatuan kontraktor yang sedia ada.

ii. Cadangan untuk meningkatkan mutu kerja sesuatu projek yang dilakukan

Berfikiran terbuka dan menerima pandangan pihak lain

Melatih pekerja dengan baik dan mendedahkan kepada pelbagai jenis kursus-kursus kemahiran.

Pengurusan yang berpengalaman, sistematik dan menyeluruh di tapak bina.

Kontraktor utama yang lebih bekerjasama dan adil

Penyeliaan yang kerap daripada pihak penguasa seperti lawatan oleh pihak CIDB ke tapak serta memberi kesedaran dan peringatan kepada kontraktor.

Mempunyai peralatan yang lebih moden dan berkualiti dan mengimplementasikan teknologi terkini yang lebih praktikal dan menjimatkan seperti IBS (Industrialised Building Systems)

Mempunyai hubungan baik iaitu komunikasi dan menjaga kebajikan buruh.

Mendapatkan sijil ISO 9000

Memberi komitmen yang penuh ke atas projek

iii. Panduan bagi kontraktor yang baru menceburi bidang pembinaan

Hasil kerja mengikut piawaian yang telah ditetapkan dalam pembinaan dan berkualiti tinggi

Menilai kemampuan mereka sendiri dari segi kewangan mahupun teknikal sebelum menerima sesuatu projek, kerana jika projek terbengkalai akan menjejaskan nama baik syarikat.

Mengawal perbelanjaan dan membuat andaian masalah yang akan datang

Mempunyai sikap daya saing dengan kontraktor lain, berkeyakinan tinggi, berusaha bersungguh-sungguh dan tidak mudah putus asa

Mengikuti kursus-kursus dalam bidang tertentu terlebih dahulu

Menerima nasihat dan komen kontraktor yang berpengalaman

Sanggup menghadapi risiko, mempunyai kewangan yang kukuh, pekerja yang berkemahiran agar melancarkan perlaksanaan organisasi.

Bersedia dari segi pengetahuan yang luas terutamanya pengurusan kewangan dan projek serta pengalaman di tapak pembinaan

Membina Public Relation yang meluas dan rangkaian yang tepat.

6.4Cadangan Kajian Akan Datang

Kajian yang dijalankan ini membincangkan masalah-masalah yang dihadapi oleh kontraktor bumiputera di Sabah. Kajian ini lebih menjurus kepada aspek pengurusan di tapak pembinaan. Pelbagai lagi kajian yang boleh dibuat berkenaan dengan kontraktor bumiputera ini. Ini kerana kontraktor bumiputera perlu kepada suatu panduan bagi menjalankan kerja yang lebih berkesan. Ini dapat membantu menyumbangkan kepada industri pembinaan tanah air.

Beberapa contoh cadangan untuk kajian masa depan ialah

Kajian pengurusan organisasi sesebuah syarikat kontraktor, dari segi organisasi yang akan dibuat semasa projek pembinaan seperti organisasi matriks dan sebagainya

Kajian masalah kewangan bagi kontraktor bumiputera, bagaimana pengurusan kewangan dilakukan dan aspek kawalan kos semasa kerja-kerja pembinaan.

Kajian perbandingan pencapaian antara kontraktor bumiputera dan kontraktor bukan bumiputera. Analisis perbezaan yang terdapat di antara keduanya dan faktor-faktor jurang perbezaan antara keduanya.

Kajian masalah kontraktor bumiputera dari pandangan pihak bukan kontraktor. Pada kajian ini, pandangan pihak lain boleh diambil untuk menilai sesebuah kontraktor seperti agensi kerajaan (klien), pihak konsultan seperti arkitek, juru perunding, juru ukur kuantiti dan pihak lain. Dengan adanya pandangan ini, kontraktor akan menerima teguran dari pihak luar.