refleksi
description
Transcript of refleksi
REFLEKSI :
Saya dapat menyempurnakan tugasan projek Teknologi Pemeliharaan
Haiwan Kesayangan dan Ikan Hiasan bersama-sama ahli kumpulan saya dengan
jayanya. Setinggi-tinggi terima kasih diucapkan kepada ahli kumpulan saya yang
telah memberi kerjasama dan komitmen yang tidak berbelah bahagi. Kerjasama
yang diberikan oleh mereka sangat baik dan membuatkan segala tugasan yang
pada mulanya nampak sukar menjadi mudah.
Sepanjang melaksanakan tugasan projek ini, banyak ilmu telah saya peroleh
antara cara menjaga hamster dengan betul dan baik serta cara menyusun atur
akuarium dengan cantik, betul dan menarik. Selain itu, saya juga dapat mengetahui
jenis-jenis penyakit yang mudah menjangkiti haiwan kesayangan khususnya
hamster. Hal ini kerana, terdapat hamster yang dipelihara menghidap penyakit
seperti cirit-birit. selsema dan sebagainya. Saya juga dapat mempelajari cara-cara
memandikan hamster dengan betul, iaitu dengan menggunakan air suam, Detol,dan
pengering rambut. Tambahan pula, saya juga dapat menambahkan ilmu saya
tentang jenis-jenis hamster dan cara-cara memeliharanya. Saya dapat mengetahui
hamster jenis winter white merupakan jenis hamster yang paling mudah dipelihara
berbanding hamster jenis lain.
Bagi proses memelihara ikan hiasan pula, saya dapat mengetahui bahawa
terdapat ikan yang makan atas, makan tengah dan makan bawah dan ia dikenali
akuarium komuniti. Perkara ini dapat dilihat dengan memerhatikan posisi mereka
berada dalam akuarium. Selain itu, terdapat ikan hiasan yang beranak dan
bukannya bertelur seperti ikan molly. Keadaan air yang berasid atau beralkali juga
tidak sesuai dengan ikan dan akan menyebabkan ikan mati. Bagi memelihara ikan
pelaga pula, ikan pelaga tidak boleh dicampurkan antara jantan dan betina. Namun
begitu, untuk membuat proses mengawan bagi ikan laga terdapat beberapa langkah
yang perlu dibuat. Langkah pertama adalah meletakkan ikan pelaga dalam dua
bekas berasingan tetapi bersebelahan. Apabila ikan induk jantan telah membuat
sarang buih, itu menunjukkan bahawa ikan tersebut sudah mula menunjukkan tanda
untuk mengawan. Kedua-dua ikan boleh dimasukkan dalam satu bekas yang sama.
Sepanjang melaksanakan tugasan projek ini, saya merasakan bahawa
kekuatan yang saya miliki adalah ahli kumpulan yang rajin dan bersungguh-sungguh
dalam melaksanakan tugasan. Tambahan pula, ilmu yang diperoleh tepat dan
sangat berguna. Di samping itu juga, minat untuk menjaga haiwan kesayangan dan
ikan hiasan yang telah memotivasikan diri untuk melaksanakan tugasan projek ini.
Ilmu yang diperoleh serta kemahiran yang diajar amat membantu kerana telah
membuatkan proses penjagaan haiwan kesayangan dan ikan hiasan menjadi lebih
mudah dan menyeronokkan. Oleh itu, proses penjagaan haiwan kesayangan dan
ikan hiasan dapat dijalankan dengan lancar dan sistematik.
Manakala bagi kelemahan yang saya rasa saya miliki sepanjang
melaksanakan tugasan projek ini adalah kekurangan ilmu tentang haiwan
kesayangan dan ikan hiasan. Kekurangan pengetahuan tentang perkara ini
membuatkan kami mengalami sedikit masalah terutama dalam memelihara ikan
hiasan. Natijahnya, banyak ikan kami yang mati disebabkan terdapat ikan yang jenis
karnivor yang memakan ikan lain yang lebih kecil darinya. Setelah mengetahui
tentang jenis ikan yang makan ikan lain, kami telah menukarkan ikan tersebut
dengan ikan yang lain.
Antara masalah yang saya hadapi adalah dalam penjagaan ikan hiasan
terutamanya. Hal ini kerana, air akuarium kami sering kali tidak berada dalam
keadaan yang sesuai untuk ikan hiasan, iaitu terlalu berasid. Disebabkan itu, kami
terpaksa menukarkan air beberapa kali. Proses ini memerlukan kesabaran yang
tinggi kerana selain menukar air, kami juga terpaksa mengeluarkan kesemua
aksesori yang terdapat dalam akuarium untuk direndam dalam air bercampur garam.
Tambahan pula, kami juga perlu mengasingkan batu-batu kami mengikut saiz dan
warna. Kerja ini sangat leceh kerana kami perlu mengasingkan satu-satu batu
tersebut. Namun begitu, berkat kesabaran dan kerjasama yang terbaik dari ahli
kumpulan saya, kami berjaya mengasingkan batu-batu tersebut. Bagi penjagaan
hamster, kami tidak mempunyai masalah yang terlalu ketara kerana hamster kami
berada dalam keadaan yang baik sepanjang berada di bawah penjagaan kami.
Tugasan projek ini dilihat memerlukan kerjasama dan kerajinan yang lebih
tetapi dalam masa yang sama sangat menyeronokkan kerana boleh memegang dan
memelihara hamster dan ikan hiasan. Ilmu yang diperoleh sangat berguna dan boleh
digunakan ketika di sekolah kelak malah boleh digunakan dalam kehidupan
seharian. Akhir kata, saya berharap agar tugasan projek yang telah kumpulan saya
sempurnakan memenuhi kriteria pemarkahan serta penilaian yang dibuat.