Refleksi projek
Transcript of Refleksi projek
Refleksi
Alhamdulillah ,beribu-ribu kesyukuran dipanjatkan kehadrat Allah s.w.t kerana pada 8
Julai 2013 yang lalu, satu forum profesionalisme perguruan telah berjaya dilaksanakan
di Surau Nurul Iman anjuran pelajar Pengajian Agama Semester 6. Anjuran forum ini
sebenarnya bagi melengkapkan tugasan projek bagi subjek PIM 3111 Profesionalisme
Guru Pendidikan Islam.
Tugasan projek ini merupakan tugasan secara berkumpulan di mana ianya
menggabungkan kedua-dua kelas Pengajian Agama Semester 6 iaitu A dan B. Usai
sahaja tugasan diberikan, satu mesyuarat telah diadakan bagi melicinkan gerak kerja
forum profesionalisme perguruan ini. Setelah berbincang dalam mesyuarat, saya dan 3
lagi rakan yang lain telah pun diberi tugas sebagai Ahli Jawatankasa pendaftaran.
Antara tugas utama jawatankuasa inia adalah mengambil kedatangan setiap peserta
yang hadir dalam Forum Profesionalime Perguruan ini. Berdasarkan tugas yang
diberikan, saya dan 3 rakan yang lain perlu menyediakan senarai nama ahli kedua-dua
kelas untuk ditandatangani sebagai bukti keadiran.
Terdapat beberapa ilmu baharu serta pengalaman yang dapat saya peroleh
sepanjang tempoh menjayakan forum profesionalisme perguruan ini. Pengalaman serta
ilmu baharu tersebut diperoleh sebelum, semasa atau selepas forum ini berlangsung.
Antaranya, sebelum proses pelaksanaan forum berjaya dilaksanakan, saya
belajar menyediakan senarai nama untuk ditandatangani oleh pelajar. Perkara yang
paling penting saya belajar ketika menyiapkan senarai nama tersebut adalah sikap
kerjasama dan saling menolong antara satu sama lain. Memandangkan penganjuran
program forum profesionalisme perguruan ini adalah gabungan dari dua kelas yang
berbeza cara pemikirannya, maka masalah komunikasi sedikit mengganggu kami. Cara
inidividu yang mempunyai sifat dan ragam yang berbeza sedikit sebanyak mengajar
saya untuk berlapang dada dengan sikap manusia serta sentiasa berfikiran positif
terhadap apa yang berlaku. Alhamdulillah, di akhir pelaksanaan forum, kami sudah pun
mampu berkomunikasi secara normal.
Selain itu, sebelum berlangsungnya forum pada malam itu, saya juga sempat
duduk berbincang bersama-sama panel forum untuk memberi komen ataupun sebarang
cadangan penambahbaikan untuk tujuan mempersembahkan yang terbaik untuk forum
ini. Dari situ, saya belajar tiada benda mudah dalam dunia ini. Untuk mendapatkan yang
terbaik, latihan secara berterusan perlu dilakukan dan sifat berputus asa perlu
dilelakkan. Walaupun ahli panel mendapat kritikan yang banyak dari beberapa pihak,
beliau tidak sesekali berputus asa dan sentiasa menerima kritikan dan cadangan yang
diberikan secara positif. Benarlah apa yang selalu disebutkan oleh Prof Dr Muhaya,
“apabila otak kita berfikir secara positif, apa yang akan hadir di sekeliling kita juga
semuanya positif”. Alhamdulillah, sifat positif ini memberi kesan yang terbaik pada
penyampaian ahli panel pada malam tersebut.
Seterusnya, ketika forum sedang berlangsung, antara perkara baharu yang saya
peroleh ialah teknik penyampaian yang digunakan pada malam tersebut. Teknik senda
gurau serta jenaka santai yang digunakan ternyata membuatkan penonton lebih
berminat untuk mendengar isi yang disampaikan. Forum yang berlangsung secara
santai itu juga mengajar saya bahawa santai yang berlebihan juga memberi kesan
kepada penonton yang hadir pada malam tersebut. Justeru itu, dari pengalaman ini,
saya tahu bahawa, jika ingin menggunakan teknik jenaka dalam penyampaian kelak
tidak kiralah forum, syarahan, perbahasan atau sebagainya , jenaka yang digunakan
haruslah tidak berlebihan yang mana boleh membuatkan penonton jemu pada isi yang
disampaikan.
Tuntasnya, jika diberi peluang melakukan tugasan ini sekali lagi, saya dan rakan-
rakan lain ingin lebih berusaha bersungguh-sungguh dalam membina isi yang baik
untuk dipersembahkan ketika forum. Perancangan yang rapi dan sifat berlapang dada
yang tinggi terhadap perbezaan manusia juga ingin ditambah baik. Kolaboratif bersama
pensyarah pembimbing juga ingin saya lakukan dengan lebih kerap bagi menghasilkan
tugasan projek yang lebih bermutu dan berkualiti. Akhir kata, saya amat berharap agar
tugasan projek ini akan diterima oleh pensyarah bagi subjek ini iaitu Ustaz Azman bin
Ariffin dan saya meminta maaf sekiranya terdapat kekurangan dalam menyiapkan
tugasan projek ini. Sekian.