Refleksi Kendiri Puldoa

download Refleksi Kendiri Puldoa

of 6

description

BIG

Transcript of Refleksi Kendiri Puldoa

REFLEKSI KENDIRI

OLEH: NURMADIHAH MARDHIAH BINTI MOHD ZULKIFLI

Alhamdulillah. syukur ke hadrat Illahi kerana dengan limpah dan kurnia serta inayah-Nya saya bersama rakan-rakan Semester 2 Unit Bahasa Arab telah selesai mengikuti program Bina Insan Guru Fasa 2/2014 (Khidmat Masyarakat) yang bertempat di Pusat Latihan Dakwah Orang Asli (PULDOA) yang bertempat di Kok Lanas, Kelantan.

Sukatan Pelajaran Pendidikan Bina Insan Guru disediakan untuk.memenuhi keperluan Latihan Perguruan Pra Perkhidmatan mulai ambilan tahun 2001, di bawah Komponen Asas Dinamika Guru. Sukatan pelajaran ini menekankan kepada unsur-unsur kehidupan bermoral dan beragama sebagai fokus utama dalam proses pembinaan Insan Guru yang berpaksikan kepada Prinsip Rukun Negara. Pembinaan insan guru adalah asas pembentukan masyarakat dan menjadi kerangka kepada pembentukan Negara Bangsa.

Bina Insan Guru (BIG) adalah salah satu program wajib yang perlu diikuti oleh setiap penuntut di Institut Pendidikan Guru Malaysia semasa pengajian di institut pendidikan guru Malaysia kampus masing-masing. Ianya bertujuan membina jati diri pelajar yang mantap dari segi jasmani, sahsiah, intelek, sosial dan emosi, dan juga memberi sedikit pendedahan kepada pelajar-pelajar tentang situasi-situasi yang bakal mereka tempuhi pada masa akan datang terutamanya kepada mereka yang ditempatkan di kawasan pedalaman.

Saya sebagai seorang guru pada masa hadapan telah mendapat banyak pengalaman yang sangat berharga dengan adanya Program Bina Insan Guru ini. Terima kasih tidak terhingga Ustaz Muhammad Kamil bin Jaafar yang banyak membimbing saya dan rakan-rakan seperjuangan dan banyak berkongsi pengalaman beliau bersama kami yang sangat berguna untuk kami jadikan bekalan di masa hadapan. Tanpa tutor sehebat beliau siapalah saya dan tanpa bantuan dan cadangan beliau, mungkin kami tidak berksempatan menjejakkan kaki ke PULDOA tersebut dan berinteraksi bersama pelajar-pelajar orang asli. Saya juga sangat bersyukur kerana mempunyai rakan-rakan sekelas yang begitu komited menjalankan tugas masing-masing semasa aktiviti khidmat masyarakat bina insan guru siri 2 ini dilaksanakan. Perjalanan ke PULDOA sepatutnya dirancang pada pukul 7.00 pagi namun disebabkan kerosakan bas IPG akhirnya kami telah bertolak ke sana kira-kira pukul 8.30 pagi. Sebelum bertolak, kami telah diberi dua pilihan samada meneruskan penjalanan menggunakan bas kecil atau bergerak menggunakan kereta sendiri. Namun begitu, setelah mengambil kira faktor keselamatan, kami telah memutuskan untuk bergerak menggunakan bas kecil. Alhamdulillah kami selamat tiba di sana kira-kira pukul 10.00 pagi.

Ketibaan kami telah disambut mesra oleh Ustaz Khalid selaku ketua di pusat latihan dakwah tersebut. Pada hari tersebut, kebanyakan guru-guru mempunyai program di Kota Bharu. Justeru kedatangan kami hanya di sambut oleh beberapa orang tenaga pengajar sahaja. Kami dianggap menggantikan guru-guru di pusat tersebut kerana guru-guru tidak berada di situ sehingga petang.

Aktiviti dimulakan dengan sesi Ice Breaking kemudian diteruskan dengan aktiviti LDK iaitu mencipta pakaian perang Briged Al Qassam dan seterusnya diikuti dengan aktiviti Smart Solat. Dalam aktiviti ini kami berpeluang untuk berinteraksi bersama penuntut PULDOA yang terdiri daripada masyarakat orang asli sekitar Kelantan, Kedah, Sabah dan Kemboja. Secara peribadi saya merasakan peluang seperti ini sangat bermakna kerana julung-julung kali mendapat peluang sebegini. Peluang ini juga saya gunakan dengan sebaiknya apabila saya dan rakan-rakan sempat mempelajari beberapa perkataan Bahasa Orang Asli.Aktiviti dalam Program Khidmat Masyarakat yang telah dijalankan di PULDOA juga telah menyentuh hati saya apabila mengenangkan fasiliti pusat latihan tersebut yang sangat sederhana misalnya asrama yang agak uzur dan makanan yang disediakan yang tidak mewah. Antara perkara yang paling menyentuh hati saya apabila mengenangkan tempat mereka makan yang kurang bersih dan tidak selesa dan makanan mereka yang berlaukkan satu menu sahaja. Sangat sederhana. Saya membayangkan bagaimana mereka mampu bertahan dan tetap tabah meneruskan pengajian di sana dalam kehidupan serba sederhana. Jika dibandingkan dengan kehidupan kami, jauh berbeza sekali perbezaannya.

Apabila bertanya kepada penuntut di PULDOA tersebut antara sebab mereka berada di sana, mereka menjawab atas kehendak mereka sendiri. Sekali lagi tersentuh hati saya apabila melihat semangat mereka untuk menimba ilmu pengetahuan dan mendalami ilmu agama. Peluang berinteraksi bersama mereka amat berharga kerana mereka mengingatkan diri saya supaya sentiasa bersyukur dengan nikmat yang telah Allah kurniakan. Mungkin saat ini saya merasakan saya berada dalam kesusahan tetapi sebenarnya ada individu lain yang lebih susah namun cukup gembira dan bersyukur dengan apa adanya yang telah Allah beri. Sebagai seorang guru pelatih, saya perlu menjadi seorang yang peramah untuk berinteraksi dengan masyarakat disamping memupuk sifat empati agar boleh menjadi tempat rujukan dan berkongsi masalah jika masyarakat memerlukan tempat rujukan.Sepanjang program ini saya dapat melihat kekuatan yang ada dalam diri setiap guru pelatih yang mana sanggup bekerjasama antara satu sama lain membersih kawasan pusat latihan tersebut. Persiapan sebelum program berlansung juga dilakukan, apabila Pengarah Program BIG Fasa 2 ini, Norazman Mohd Syafri telah membuat tinjauan di tapak yang akan kami bersihkan. Kemudian AJK 3K yang diketuai oleh Fahmi Faez bin Azmi telah membahagikan tugas pembersihan di kawasan PULDOA mengikut kumpulan. Antara tugas yang diagihkan ialah melukis mural dan membersihkan kawasan PULDOA. Antara tempat yang dibersihkan ialah dewan, kantin, dapur dan asrama. Kumpulan saya pula ditugaskan untuk membersihkan kawasan kantin dan dapur dan terdiri daripada Muhammad Faris Najmi bin Zainal, Fahmi Faez bin Azmi, Mohd Rafee bin Abdul Samat, Medina Mohd Noor dan saya sendiri. Tugas membersihkan kawasan dapur dan ruangan makan agak rumit kerana ruangan makan dan dapur yang besar dan agak kotor. Namun berkat kerjasama dalam ahli kumpulan kami berjaya memberi wajah baru kepada dapur dan ruangan makan menjadi lebih bersih dan kemas. Saya sedar betapa kerjasama dan tolak ansur sangat penting dalam memastikan sesuatu tugas itu dapat dijalankan dengan sempurna. Jika wujud perasaan tidak puas hati dan berkira dalam ahli kumpulan sudah pasti tugas yang diberikan kepada kami hanya dilakukan sekerat jalan ataupun dilakukan hanya sambil lewa. Namun sedikit kelemahan dalam Program BIG ini apabila rombongan kami lewat tiba di pusat latihan dakwah tersebut dek kerosakan bas IPG. Hal ini menyebabkan beberapa aktiviti tidak dapat dijalankan seperti yang dirancang. Saya menganggap perkara ini sebagai satu kerugian kerana kesuntukan masa untuk berkongsi ilmu bersama penuntut PULDOA.

Tiada kata keluhan atau kata tidak yang keluar dari mulut kami, tetapi apa yang ada hanyalah kami boleh melakukannya. Setiap aktiviti yang telah kami lakukan dirasakan seperti masih belum mencukupi bagi program ini. Pada pendapat saya, Program Bina Insan Guru ini perlu dijalankan lebih lama supaya lebih bayak ilmu dapat dikongsi bersama penuntut PULDOA. Program ini juga telah membantu dalam membentuk satu modal insan guru yang mampu mengharungi pendidikan di masa hadapan. Sebagai seorang guru saya tidak boleh cepat mengeluh jika saya di minta melakukan tugas khidmat masyarakat seperti ini kerana melalui aktiviti seperti inilah hubungan para pendidik dapat dieratkan dengan masyarakat setempat.

Bagi saya tiada apa yang mampu mengancam semangat saya sebagai seorang guru pelatih yang akan bergelar seorang guru tidak lama lagi. Melalui program ini saya dapat belajar cara yang baik untuk berinteraksi dan menarik perhatian murid-murid terhadap apa yang kita sampaikan. Lebih-lebih lagi sebelum program ini dijalankan, kami telah didedahkan bahawa murid dalam kalangan orang asli mudah hilang fokus dan cepat bosan. Ternyata perkara ini terbukti benar apabila kami menjalankan slot Smart Solat dan penuntut di PULDOA tersebut kelihatan kurang berminat apabila sesi pengajaran berlaku terlalu lama. Oleh yang demikian, amatlah perlu menjadi seorang guru yang kreatif, mempunyai unsur kecindan dan optimis apabila bertugas kelak. Segala kesukaran ini akan tampak mudah apabila kesukaran itu dilihat sebagai satu cabaran. Program ini juga membantu saya untuk memantapkan jati diri saya dan membentuk peribadi mulia, membantu saya untuk menjadi setanding modal insan kelas pertama yang mantap dari aspek jasmani, emosi, rohani, intelek, sosial.

Saya sekali lagi sangat berterima kasih kepada Ustaz Muhammad Kamil bin Jaafar yang terlibat dan membantu kami menjayakan program ini samada secara langsung atau tidak langsung dan juga kepada warga PULDOA yang sudi menerima kedatangan kami ke sana. Sesungguhnya peruntukan masa selama sehari bersama penuntut PULDOA tidaklah sia-sia kerana program ini banyak memberikan pengajaran dan pembelajaran yang berguna kepada saya dalam meningkatkan keupayaan diri dalam pembentukkan seorang guru yang berguna pada masa hadapan. Saya berharap program seperti ini diteruskan lagi kerana manfaatnya dapat dikongsi bersama pelbagai pihak.