tugasan bm 2015
description
Transcript of tugasan bm 2015
PENGENALAN
Guru merupakan individu yang memainkan peranan penting dalam mengesan
perkembangan, kebolehan, kemajuan dan pencapaian murid. Guru bertanggungjawab
menentukan hasil pembelajaran yang hendak dinilai. Guru juga merancang dan
membina instrumen penilaian, mentadbir ujian, merekod hasil penilaian, menganalisis
maklumat, melapor dan menjalankan tindakan susulan yang perlu seperti aktiviti
pengukuhan, pengayaan dan pemulihan.
Ujian ialah satu kaedah, tugas atau prosedur yang digunakan untuk memperoleh
pemerhatian yang sistematik tentang sifat, atau trait seseorang berhubung dengan
aspek pendidikan atau psikologi (Mokhtar Ismail, 1995). Ia penting dalam
memperlihatkan kejayaan atau kegagalan calon dalam sesuatu peperiksaan. Selain itu
ia juga berfungsi untuk memilih dan menempatkan calon dalam kumpulan pelajar
tertentu serta mengenal pasti kelemahan-kelemahan pelajar.
Dalam bab ini anda akan didedahkan dengan jenis-jenis ujian dan penilaian yang
biasanya dijalankan dalam konteks dunia pendidikan khususnya berkait dengan
pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.
3.2.8 Esei
Soalan bentuk esei amat digemari oleh kebanyakan guru disebabkan pembinaannya
lebih mudah berbanding dengan soalan berbentuk lain. Soalan esei memerlukan pelajar
mempunyai pengetahuan yang cukup bagi membolehkan mereka menghubungkan
fakta serta prinsip tertentu untuk disusun bagi membentuk satu idea, saranan atau
perbincangan yang menyeluruh dan mantap. Soalan bentuk ini memberikan kebebasan
sepenuhnya kepada murid untuk memilih, menyusun, menghubungkan serta
membentangkan idea dengan menggunakan perkataan sendiri. Menurut Gronlund
(1981) soalan jenis esei ini tidak sesuai untuk menguji soalan berbentuk fakta. Soalan
esei sesuai untuk mengukur hasil pembelajaran yang tidak dapat diukur dengan
menggunakan soalan objektif yang biasanya memerlukan aras kemahiran pada
peringkat tinggi seperti mengukur kemahiran memilih, menyusun, mengorganisasi, dan
menilai idea. Walaupun soalan esei lebih mudah untuk digubal, pemarkahannya adalah
agak rumit dan seringkali mudah menimbulkan bias.