Esei Ilmiah Nur Hashimah.doc

download Esei Ilmiah Nur Hashimah.doc

of 14

Transcript of Esei Ilmiah Nur Hashimah.doc

Pengenalan

1.0 Pengenalan Asal usul mengenai Tawau bukan sesuatu maklumat yang lazim didengar dan dibicarakan. Maklumat yang bersifat fakta agak terhad apabila rujukan terawal mengenai Tawau hanya terdapat pada peta British yang tertera di Kepulauan Borneo pada tahun 1857 di Muzium British. Namun tidak dinafikan sememangnya terdapat beberapa catatan awal yang bersifat mengenai ringkasan sejarah Tawau yang menjadi koleksi perpustakaan wilayah Tawau dan Arkib Negeri Sabah. Dapatan kajian awal menunjukkan penulisan mengenai sejarah awal Tawau dimulai dengan sejarah pertubuhan penduduk daerah Tawau yang dipercayai bermula sebagai sebuah perkampungan nelayan dengan kira-kira 200 orang penduduk pada tahun 1892. Maka tidak hairan sekiranya catatan The North Borneo Annual Volume (1955-1965) menyatakan petempatan pertama dibina di Tawau hanya bermula pada tahun 1898. Asal usul petempatan awal Tawau mula muncul di bahagian selatan Tawau yang terletak di kawasan tengah pantai timur Borneo, iaitu kawasan yang diletakkan dalam jajahan Belanda di Borneo. Terdapat dua kesultanan di kawasan tersebut, iaitu Kerajaan Tabor yang berpangkalan di Sungai Berau dan Kerajaan Bolongan-Tarakan yang berpangkalan di Sungai Bolongan. Kerajaan Bolongan-Tarakan kemudiannya menuntut kekuasaan di seluruh kawasan pantai menghala ke utara sehingga ke Tanjong Batu yang terletak kira-kira lapan batu dari kawasan pantai Tawau termasuk kawasan yang menjadi bandar Tawau pada masa kini. Kawasan petempatan yang tertua di Tawau dan terbesar ialah Kampung Kalabakan yang diketuai oleh Menteri, iaitu Menteri Kerajaan Bolongan-Tarakan yang dikenali dengan gelaran Haji Serana (Goodlet 1977: 12).Bermula pada tahun 1817, Sultan Banjarmasin telah menyerahkan kawasan pantai Berneo kepada Belanda. Pada tahun 1824, perjanjian antara Belanda dan British dibuat, yakni Mr.A.R Felck iaitu Gabenor Kolonial Belanda berpuas hati dengan perjanjian tersebut kerana Borneo diletakkkan di bawah pengaruh Belanda . Pada tahun 1846, Sultan Bolongan-Tarakan bersetuju agar kawasan utara menuju ke Tanjong Batu menjadi kawasan kekuasaan Belanda. Secara tidak langsung, perjanjian ini telah telah menghalang pihak British berada dikawasan barat dan selatan Tanjong Batu dan seterusnya menghalang aktiviti perdagangan British yang telah dijalankan sebelum ini. Pada tahun 1857, nama Tawau mula dikenal pasti dalam peta Borneo dilakar berdasarkan kewujudan pondok kediaman yang didirikan oleh beberapa penduduk tempatan di Tawau.

2.0Latar Belakang Suku Kaum Bugis Sejarah asal usul etnik bugis dapat dilihat dari aspek Sejarah kedatangan suku kaum bugis di Sabah, Tawau khususnya berkaitan dengan sejarah penerokaan Tawau. adalah dipercayai suku kaum ini telah meninggalkan Kepulauan Sulawesi menuju ke Pulau Jawa, Sumatera, Semenanjung Malaysia dan Borneo sejak abad ke-16 lagi. Tahun 1840, dijadikan sebagai fakta kukuh untuk menyatakan tempat permulaan penerokaan Tawau oleh suku kaum Bugis. Penempatan awal suku kaum bugis ini bermula dari kawasan yang dikenali sebagai Ranggu. Ini bermakna suku kaum Bugis sudah pun menerokai kawasan Tawau dan menjadikan Ranggu sebagai salah satu destinasi untuk berulang-alik ke Indonesia menjadi pedagang dan membawa masuk pekerja buruh ke ladang-ladang milik kerajaan British ketika itu. Walau bagaimanapun, Ranggu diasaskan oleh nenek Penghulu K.K Salim di Sungai Imam, Bombalai. Kemudian seorang lagi bangsa Bugis dari kerabat diraja Bone bernama Petta Senong menetap di Sungai Imam, Bombalai. Usaha mereka ketika itu adalah sebagai orang upahan kepada kerajaan Sulu untuk menghapuskan sebanyak mungkin lanun-lanun yang bergerak di perairan Laut Sulu, Borneo. Kemudian beberapa kawasan baru terus diterokai oleh suku kaum Bugis dan kawasan termasuk dalam tapak pembangunan bandar Tawau ialah Puang Ado, Daeng Mappata, Wak Neke, Wak Gempe dan Haji Osman. ....naia riasengage to warrani maperengnge narekko moloi roppo-roppo ri laommu, reweko paimeng sapa laleng molai....... Maksud terjemahan : yang disebut orang berani ialah yang kuat dan unggul bertahan, Jikalau engkau menghadapi rintangan berat yangengkau tak dapat lalui atau atasi,kembalilah memikirkan jalan atau cara untuk mengatasinya.

(Dipetik dari Kertas Projek Penyelidikan Penglibatan Politik Suku Kaum Bugis Satu Kes Kajian di N.46 Merotai, Tawau oleh Nordin Bula)

a) Adat Resam Sejarah asal usul etnik bugis memperihalkan tradisi suku kaum Bugis berdasarkan aspek adat resam , kesenian dan kebudayaan serta makanan tradisional. Dari aspek adat resam , suku kaum bugis mengamalkan adat upacara naik rumah baru. Adat naik rumah baru adalah bertujuan memohon kebenaran untuk menggantikan atau mengusir roh-roh atau makhluk halus yang selama ini dipercayai menghuni rumah tersebut. Individu yang akan mengetuai upacara ritual rumah ini adalah panrita bala yang biasanya mengetahui lokasi yang sesuai untuk membina rumah, kayu-kayan yang tepat untuk menjadikan tiang serta doa dan jampi-jampi yang harus dibaca. Jika seseorang membina rumah tanpa mendapat bimbingan daripada panrita bala, orang tersebut dipercayai akan mendapat penyakit, meninggal dunia atau ditimpa malapetaka. Gangguan ini tidak semestinya disebabkan oleh bekas roh yang pernah menghuni rumah tersebut tetapi mungkin disebabkan dari pemasangan tiang atau kayu-kayan yang tidak sesuai dan tepat. Panrita bala adalah individu yang mengetahui cara-cara mengusir makhluk halus dan lokasi makhluk itu bersarang. Kadang-kadang pokok yang ditebang untuk tujuan pembinaan rumah tersebut merupakan tempat kediaman roh-roh jahat. Bagi mengelakkan gangguan daripada makhluk ini, sebelum tiang dipasang, roh-roh itu haruslah diusir terlebih dahulu dengan cara memberikan sajian berupa beras, gula, kelapa, lilin, alannota (dibentuk daripada lipatan daun sirih sebanyak sembilan keping, tiga ulas pinang dan secubit kapur) yang diletakkan pada pusat rumah.

i. Adat Upacara Kelahiran

Gambar 1 : Ayah mengazankan bayinya yang baru lahir

Sejak kecil lagi proses ajaran agama Islam telah diterapkan sejak anak baru lahir lagi. Azan akan berkumandang di telinga kanan bagi anak lelaki dan iqamat bagi anak perempuan. Azan dan iqamat ini akan dilakukan pada hari ketiga waktu maghrib bagi tujuan memperdengarkan kalimah Islam pada awal kelahirannya di dunia. Tembuni atau uri bayi akan ditanam mengikut tatacara adat Bugis dengan memasukkan tembuni itu ke dalam tin yang diletakkan bersama-sama tulang ikan, buku, pensel dan jarum. Benda-benda ini mempunyai maksud yang tersendiri iaitu tulang ikan bertujuan agar si anak tidak tercekik apabila makan ikan, buku dan pensil agar si anak bijak belajar manakala jarum bertujuan agar si anak mempunyai fikiran yang tajam. Di samping itu, cebisan atau al-Quran kecil turut dimasukkan bersama tembuni ke dalam tin supaya si anak lancar mengaji Al-Quran. Kemudian lubang akan digali dan ditutup dengan meletakkan kelapa bulat yang dipasang dengan lilin yang menyala agar membolehkan fikiran si anak sentiasa terang dan tajam. Adat yang lazim dijalankan dalam upacara kelahiran adalah caru-caru (mapakatan) yang merupakan upacara keselamatan sebagai tanda selamat datang kepada bayi yang telah selamat dilahirkan ke dunia dan menjadi anggota baru dalam sesebuah keluarga. Caru-caru akan diadakan seminggu stelah selesai kelahiran iaitu setelah tali pusatnya jatuh. Dalam melaksanakan adat ini, lima ekor ayam akan disembelih iaitu tiga ayam jantan dan dua ayam betina. Lima ekor ayat tersebut mewakili keluarga si bayi yang terdiri daripada ayah, ibu dan adik-beradiknya yang dipercayai tanah, air dan angin. Jika tidak berkemampuan untuk menyembelih lima ekor memadai sebanyak tiga ekor sahaja.

Selain itu juga, Tompolo merupakan upacara pemberian nama serta pemberitahuan kepada saudara-mara yang biasanya diadakan pada hari ke-40 selepas kelahiran. Adat kelahiran juga diadakan adat caru-caru dan tompolo yang merupakan ritual orang bugis. Selain itu, aqiqah turut dilaksanakan tetapi mengikut adat bugis ia dinamakan maccera . dalam upacara maccera ini sebanyak lima puluh hingga seratus biji telur diikat dengan kayu bamboo dan dihias dengan kertas berwarna. Seterusnya digantung di batang pisang. Selepas itu, upacara menggunting rambut dijalankan seperti biasa dengan gunting di basahkan kedalam air kelapa.simbol ini berkait dengan harapan bayi kuat dan berguna seterusnya ialah memasukkan manisan ke dalam mulut bayi yang memberi maksud agar ayat yang dikeluarkan bayi itu kelak adalah orang baik.

ii. Upacara Aqiqah

Gambar 2 : Upacara Aqiqah

Aqiqah merupakan adalah tradisi keagamaan yang berasal daripada agama Islam dengan menyembelih kambing bagi bayi yang baru dilahirkan. Upacara aqiqah dilakukan dengan menggunting beberapa helai rambut bayi yang dilakukan oleh imam atau guru kampung. Simbol kelapa diambil daripada kepercayaan asli Bugis dan makanan manis adalah saranan Islam. Gunting hendaklah dibasahkan dengan air kelapa. Kelapa melambangkan kuat dan serba guna. Maka simbol ini berkait rapat dengan harapan agar bayi kelak kuat dan berguna. Kemudian makanan manis akan dimasukkan ke dalam mulut bayi dengan harapan kelak ucapan yang keluar dari mulut si anak semanis makanan yang pertama kali dirasainya. Kambing yang disembelih dalam majlis aqiqah merupakan sebahagian daripada tuntutan yang mempercayai haiwan perlu disembelih sekurang-kurangnya sekali seumur hidup kerana kelak haiwan itu akan digunakan sebagai kenderaan pada hari kiamat mengikut kepercayaan asli Bugis. Dalam majlis aqiqah atau maccera ini juga diadakan adat mappenrek tojang atau naik buai iaitu membuaikan anak. Buaian digantung bersama setandan pisang dan 40 biji lepek-lepek atau bilunda (pulut yang dibungkus dengan daun kelapa muda).

Apabila kali pertama bayi dibawa berjalan atau kali pertama turun dari rumah, bayi akan disertakan bersama bekalan nasi putih atau nasi pulut dan telur rebus. Adat ini sebagai simbolik bahaya bayi tersebut sentiasa membawa rezeki walaupun bayi tidak boleh memakan makanan tersebut. Bayi tidak boleh keluar rumah ketika hampir maghrib atau waktu malam atau dalam bahasa Bugisnya kubuallo kerana dipercayai syaitan sedang berkeliaran ketika itu. Adalah menjadi kebiasaan apabila tuan rumah diziarahi oleh bayi pada pertama kalinya akan memberikan cenderamata kepada bayi atau disebut dalam bahasa Bugis Pabbarekkeng sumangek atau penguat semangat. Pemakaian tangkal yang berwarna kuning atau hitam bagi kanak-kanak yang baru lahir sehingga umurnya tiga tahun adalah untuk mengelakkan gangguan daripada makhluk halus. Kebiasaanya tangkal tersebut akan diisi dengan cebisan kertas al-Quran atau rempah yang telah dijampi. Kadang kala duit syiling yang diikat dengan benang atau tali untuk dijadikan tangkal dan dipasang di bahagian pinggang si bayi.

b) Kesenian Senjata

Gambar 3 : badik yang berusia lebih daripada 100 tahun

Seterusnya, dari aspek kesenian dan kebudayaan , suku kaum bugis mengamalkan Kesenian Seni senjata, Seni permainan rakyat. Dari aspek kebudayaan suku kaum bugis mengamalkan Seni tari . Dalam seni senjata, senjata yang menjadi kebanggaan masyarakat Bugis adalah badik atau nama lainnya adalah kawali. Menurut masyarakat Bugis, setiap jenis badik mempunyai kuasa sakti. Kuasa ini dapat mempengaruhi keadaan dan kehidupan pemiliknya. Terdapat juga kepercayaan bahawa badik ini mampu mewujudkan ketenangan, kedamaian, kesejahteraan dan kemakmuran ataupun kemelaratan, kemiskinan dan penderitaan bagi penyimpannya. Sejak ratusan tahun dahulu, badik bukan sahaja sebagai senjata dalam mempertahankan diri atau berburu tetapi digunakan juga sebagai lambang identiti etnik Bugis. Badik mempunyai banyak jenis antaranya adalah badik Bugis Makassar, badik Bugis luwu, badik caringin tilu dan kawali lade. Setiap jenis badik ini mempunyai simbol dan maksud yang tersendiri misalnya badik kawali lade dipercayai dapat mendatangkan rezeki melimpah bagi sesiapa yang menyimpannya. Selain itu, badik juga merupakan satu penghormatan dan dipandang tinggi bagi pemiliknya terutamanya lelaki. Seperti yang diperkatakan oleh masyarakat Bugis Makassar bukan seorang Bugis jika tidak memiliki badik. Maka dapat disimpulkan disini bahawa badik merupakan satu senjata yang menjadi kebanggaan dan penghormatan masyarakat Bugis.

Gambar 4: Permainan Mattoajangc) Permainan RakyatSelain daripada Seni senjata, masyarakat Bugis juga mengamalkan kesenian Permainan rakyat masyarakat Bugis. Permainan rakyat masyarakat Bugis ini sering dimainkan selesai musim menuai. Hal ini kerana musim menuai hanya dilakukan sekali dalam setahun. Bagi mengisi masa lapang yang panjang, maka wujudlah pelbagai permainan rakyat. Antaranya adalah Mallogo. Mallogo adalah permainan yang menggunakan Logo (berbentuk cangkul) sebagai alat utama dalam permainan ini. Bentuk Logo ini seperti cangkul melambangkan nilai budaya Bugis yang bersandarkan kepada kehidupan Agraria. Logo diperbuat daripada tempurung kelapa yang berkualiti baik dan berbentuk segitiga serta hujungnya ditumpulkan. Seterusnya adalah Mappadendang yang berasal daripada perkataan dendang yang merujuk kepada irama atau alunan bunyi. Dahulu, permainan ini dimainkan pada waktu malam sewaktu bulan purnama. Kebiasaannya Mappadendang dimainkan ketika upacara tertentu seperti perkahwinan dan musim menuai. Permainan ini dipersembahkan oleh gadis-gadis dan pemuda-pemuda dalam kalangan masyarakat biasa. Asalnya permainan ini daripada bunyi tumbukan alu ke lesung yang silih berganti sewaktu menumbuk padi. Kemudian permainan ini dikembangkan lagi dengan alunan irama yang lebih teratur dan variasi bunyi dan gerakan serta diiringi dengan tarian. Mattoajang pula adalah permainan yang berasal daripada perkataan tojang yang membawa maksud ayunan. Permainan ini kebiasaanya dimainkan bagi memeriahkan majlis tertentu seperti pesta menuai, majlis perkahwinan dan kelahiran bayi. Dalam masyarakat Bugis tradisional, permainan ini dimainkan oleh golongan bangsawan, raja-raja atau ketua adat. Dalam permainan ini tiang Mattoajang diperbuat daripada dua batang pokok kelapa dan tingginya lebih kurang 10 meter. Tali ayunan diperbuat daripada kulit kerbau yang dililit dan panjangnya hendaklah kurang daripada tiang ayunan. Tempat duduk Mattoajang atau disebut sebagai Tudangeng diperbuat daripada kayu. Mattoajang dimainkan sekurang-kurangnya seramai tiga orang. Seorang akan berayun dan dua orang akan menarik dan mengayunkan ke depan dan ke belakang silih berganti. Pengayunan ini disebut Padere. Permainan-permainan ini menjadi salah satu hiburan masyarakat Bugis bagi mengeratkan hubungan sesama mereka.

Gambar 5 : Tarian Poja d) Seni Tari

Dari aspek kebudayaan, Seni tari merupakan tarian yang termuka dalam kalangan masyarakat Bugis . Tarian Poja merupakan salah satu tarian Bugis yang sangat popular terutamanya di negeri Selangor. Namun begitu, sejarah bermulanya tarian ini tidak diketahui dengan tepat kerana ketiadaan sumber bertulis mengenai tarian ini, hanya sekadar penyampaian lisan semata-mata. Menurut sumber lisan, tarian Poja ini bermula pada zaman Sunan Gunung Djati, untuk menyelidiki kekuatan musuh yang melawan dengan mengirimkan kumpulan kesenian poja atau mata-mata gelap untuk menyelidiki Kerajaan Pakuan Padjajaran.Ternyata tarian kesenian tersebut berjaya memberikan maklumat kepada Sunan Gunung Djati. Selain itu, menurut versi sumber lisan yang lain, Poja berasal dari perkataan Bugis yang bermaksud puji-pujian. Pada masa dahulu, tarian Poja merupakan sebuah tarian di istana yang dipersembahkan semasa sultan sedang bersantai atau berehat dengan tujuan bagi memuji-muji baginda. Tarian ini juga dipersembahkan di dalam istana untuk meraikan sesebuah keramaian atau tetamu yang hadir untuk bertemu sultan. Oleh itu, mutu dan nilai kesenian tarian ini sentiasa dijaga oleh kerabat diraja. Kini, tarian ini bukan lagi sebuah tarian istana namun sudah boleh dipersembahkan di mana sahaja dan dipertontonkan oleh sesiapa juga. Tarian ini menjadi tarian mengalu-alukan kedatangan para tetamu yang hadir ke majlis tersebut. Dahulunya, penari-penari tarian ini terdiri dalam kalangan perempuan sahaja,manakala lelaki bermain alat muzik. Apabila tarian ini mula dipersembahkan kepada masyarakat umum, maka penari-penari tarian juga terdiri daripada kaum lelaki. Jangka masa tarian ini pada asalnya adalah empat hingga lima minit. Setelah mengalami perubahan, jangka masa bertukar menjadi tiga minit sahaja.

Gambar 6 : Coto Makassare) Makanan TradisionalDisamping itu, tradisi suku kaum Bugis dapat dijelaskan melalui aspek Makanan Tradisional. Masyarakat Bugis yang terkenal dengan pahlawan yang gagah perkasa bukan saja memiliki darah keberanian tetapi juga memiliki kepandaian dalam dunia masakan. Masyarakat Bugis mempunyai banyak resepi turun temurun yang semestinya unik, sedap dan pelbagai variasi dari segi rasa, tekstur, warna dan persembahan hidangan. Dari zaman berzaman, nenek moyang menurunkan resipi mereka dalam memastikan resipi kaum kerabat terpelihara dan tidak pupus oleh peredaran masa. Coto makassar adalah makanan tradisional masyarakat Bugis Makassar, Sulawesi Selatan. Makanan ini diperbuat daripada usus sapi yang direbus dalam satu tempoh yang lama. Kemudian air rebusan usus ini dicampurkan dengan daging sapi dan dihiris halus serta dimasak bersama rempah. Coto makassar biasanya dimakan bersama ketupat. Selain itu, salah satu daripada makanan Bugis adalah burasak yang juga merupakan salah satu hidangan wajib bagi masyarakat Bugis ketika hari raya. Burasak ini menggunakan beras wangi yang dimasak dengan santan seperti nasi lemak kosong. Kemudian apabila nasi masak, balutkan nasi dengan daun pisang dan rebus selama tiga hingga empat jam. Setelah itu, hidangan ini selalunya dimakan bersama dengan hidangan ayam masak lengkuas. Terdapat banyak lagi makanan tradisional Bugis. Setiap jenis hidangan merupakan simbol dalam kehidupan masyarakat Bugis terutamanya dalam kehidupan berumah tangga. Dalam perkahwinan masyarakat Bugis yang terdiri daripada beberapa majlis, sekurang-kurangnya 24 jenis makanan tradisional yang biasanya dipersiapkan oleh pihak keluarga lelaki.

Makanan tersebut ialah kawusallo, manjarella, lulung kasoro, nennuk-nennuk, biji nangka, paloleng, leppang jampu, beppa tello, puteri sala, katiri sai, tolobu, bingka, babingka, palita, lapisi, sanggarak, poso, palopo ipaesa, sarikaya, barongko, sanggarak sitombolok, docok cangkuli, sari mokka, pasok. Kesemuanya dikenali sebagai kuih Bugis dam mempunyai simbol-simbol tersendiri. Antara makanan tradisional Bugis yang lain adalah Sokko patanrupa, yang dipersembahkan sebagai sajian kepada dewata ketika majlis berinai. Onde-onde atau buah Melaka merupakan makanan Bugis dan dihidangkan dalam majlis perkahwinan sebagai lambang agar hidup mempelai akan senang. Selain kuih dan masakan Bugis, terdapat pula buah-buahan yang dihidangkan ketika majlis ikatan perkahwinan. Antaranya kelapa bertandan, pisang bertandan, tebu, nanas, jambu dan buah lontar. Buah-buahan ini diisi dalam lawasuji (tempat penyimpanan barang yang diperbuat dari anyaman buluh dengan bentuk segi empat).

Gambar 7: Onde-onde

Gambar 8: Pisang Hijau

Gambar 9: Berobbo

Gambar 11: Bergedil/Perkedil Gambar 10: Kapurung 3.0KesimpulanKesimpulannya, Orang Bugis disifatkan sebagai satu kelompok etnik yang mudah beradaptasi dan terbuka dengan persekitaran tempatan yang dikunjungi. Situasi ini telah menjadikan orang Bugis memilih kawasan rantau Alam Melayu sebagai lokasi penghijrahan demi meneruskan kelangsungan hidup yang lebih baik. Penghijrahan orang Bugis ke beberapa kawasan wilayah Nusantara memperlihatkan punca yang hampir serupa dengan penghijrahan orang Bugis di daerah Tawau Sabah. Punca utama penghijrahan orang Bugis di rantau Alam Melayu termasuk daerah Tawau adalah disebabkan kerana berlakunya pergolakan politik di tanah air mereka rentetan daripada peristiwa perang Makasar dan pemberontakan Kahar Musakkar. Selain itu, penghijrahan Orang Bugis di daerah Tawau adalah disebabkan oleh faktor ekonomi iaitu Tawau pernah menjadi pusat kegiatan ekonomi orang Jepun. Sememangnya boleh dikatakan penghijrahan adalah satu identiti budaya orang Bugis yang telah dipraktiskan sejak berzaman lamanya dan orang Bugis boleh disifatkan sebagai masyarakat yang gemar berhijrah.

(2 776 patah perkataan)

Nota Hujung

Suraya Hj Sintang. Sejarah dan Budaya Bugis Di Tawau.Sabah : Universiti Malaysia Sabah,1973.

ibid

ibid

H.A Mattulda Suku Kaum Bugis Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu Jld 1

(Encylopedia Indonesia Bugis), 2001 : 35-55

ibid

Yalah Hj Munur;Pakaian Adat Bugis Makassar (1982,1983)

Sejarah Tanah Bone http://www.rappang.com/2009/11/sejarah-tanah-bone.html

Kisah awal kaum Bugis di Sabah http://buginese.blogspot.com/2006/07/kisah-awal-kaum-bugis-di-sabah.html

Sejarah Bugis di Sabah http://anaoginasoppeng.wordpress.com/

Pakaian Tradisional Bugis http://sittirae.blogspot.com/2011/04/baju-bodo-baju-tradisional-masyarakat.html

Sejarah dan Budaya Bugis di Tawau http://ms.wikipedia.org/wiki/Fail:Sejarah_dan_Budaya_Bugis_di_Tawau,_Sabah.jpg

Sejarah Bugis di Sabah http://ms.wikipedia.org/wiki/Wikipedia:Sumber_petikan

Latar Belakang Hubungan Etnik http://hubunganetnik-ipgkpi.blogspot.com/2012/07/latar-belakang-hubungan-etnik.html

Sejarah Bugis Bone http://bugisbone13.blogspot.com/2012/07/situs-sejarah-bugis-bone.html

Permainan Tradisional Masyarakat Bugis http://greenhousemakassar.blogspot.com/2010/10/mattojang-permainan-melayang-layang.html

Mengenal Adat dan Hukum Adat Bugis http://sejarahbone.blogspot.com/2012/07/mengenal-adat-dan-hukum-adat.html

Sejarah Bugis http://wwwbloggercomcreate-permatahati.blogspot.com/p/iam-bugis.html

Asal usul Kerajaan Bone http://bugislaten.blogspot.com/2011/04/asal-usul-kerajaan-bone.html

Juadah Tradisional Suku Kaum Bugis http://secawancoffee-sesuducreamer.blogspot.com/2012/10/makanan-tradisi-masyarakat-bugis-asli.html

Pakaian Tradisional suku kaum Bugis HYPERLINK "http://akuanakbugis-BugisDuniaku.blogspot.com/2012/10/pakaian" http://akuanakbugis-BugisDuniaku.blogspot.com/2012/10/pakaian-Tradisional-Bugis

Seni Tari suku kaum Bugis http//iamBugIs-BugisBone.blogspot.com/2012/10/seni-tari-suku-kaum-bugis

Bugis di Sabah http://ms.wikipedia.org/wiki/Bugis_di_Sabah

Sejarah dan Budaya Bugis di Tawau http://www.kborneo.com/read.cfm?THE_ID=228

Sejarah suku kaum Bugis di Sabah http://blogzzpejuangbangsa.blogspot.com/2012/03/sejarah-suku-kaum-bugis-di-sabah.html

1