Kaedah-kaedah Proses Terjemahan

download Kaedah-kaedah Proses Terjemahan

of 12

description

Penulisan Ilmiah BM

Transcript of Kaedah-kaedah Proses Terjemahan

KAEDAH-KAEDAH PROSES TERJEMAHAN

Terjemahan berasal daripada perkataan al-tarjamah daripada bahasa proto-semitik (al-Arab) yang bermaksud mentafsirkan perkataan lisan atau tulisan dengan menggunakan perkataan dalam bahasa lain. Perkataan tarjamah itu sendiri mempunyai dua pengertian, iaitu pertama, menterjemahkan teks atau buku daripada satu bahasa kepada bahasa yang lain, manakala yang kedua bermaksud autobiografi.

Bagi tarjamah yang pertama, makna ini mempunyai hubungan rapat dengan pentafsiran dan penghuraian yang boleh ditemui dalam buku-buku sejarah, falsafah dan sains yang diterjemahkan oleh penterjemah bahasa Arab daripada bahasa lain. Kadangkala terjemahan yang dilakukan tidaklah begitu tepat. Malahan terjemahan itu bersifat satu ulasan pandangan penulis asal atau lebih tepat lagi merupakan hasil terjemahan bebas.

Tarjamah dari segi autobiografi pula merupakan pengertian bagi konsep baharu. Menurut Harun Al-Rasyid Yusuf (1991), kemungkinan perkataan tarjamah datang ke dunia Arab dari zaman pra-Islam dalam kelompok bahasa Akadia. Istilah ini sering digunakan dalam tulisan Arab tradisional dan Arab moden.

Penterjemahan merupakan proses memindahkan sesuatu daripada bahasa sumber kepada bahasa sasaran. Tujuan utama penterjemahan adalah untuk menghubungkan anggota dalam masyarakat dwibahasa atau multibahasa.

Kamus Dewan (1986:1247) mendefinisikan terjemahan sebagai ...pindahan dari suatu bahasa ke suatu bahasa yang lain, alihan bahasa, salinan.... Penterjemahan merupakan perbuatan memindahkan sesuatu isi atau teks ke dalam bahasa lain atau menukarkan bahasa teks tersebut.

Menurut Ramli Salleh (1986), konsep penterjemahan boleh dibahagikan kepada dua, iaitu konsep lama dan konsep baharu. Konsep lama penterjemahan mengkehendaki penterjemah memberikan perhatian kepada bentuk apabila penterjemah mengekalkan unsur-unsur stilistik seperti rima rentak, permainan kata, struktur tatabahasa yang luar biasa, dan lain-lain supaya menyerupai teks asli. Konsep baharu pula mementingkan respons pembaca terjemahan, iaitu reaksi yang sama dengan reaksi pembaca teks asal. Prinsip-prinsip penterjemahan telah bertambah bebas dengan pengertian bahawa pemahaman dan emosi daripada pembaca itu diutamakan.KAEDAH TERJEMAHAN FORMAL

Mengikut kaedah penterjemahan lama, penterjemah menumpukan perhatian terhadap bentuk teks yang diterjemahkan. Penterjemah cuba mengekalkan unsur-unsur stilistik seperti rima, rentak, bunga bahasa dan ciri nahu yang tertentu supaya bahan terjemahan itu menyerupai bentuk teks sumber. Terjemahan baharu pula mengutamakan reaksi pembaca atau kesan terhadap pembaca. Sambutan pembaca teks terjemahan hendaklah serupa dengan sambutan pembaca teks sumber, begitu juga dengan emosi yang dialaminya. Sebenarnya terdapat banyak kaedah yang boleh digunakan dalam penterjemahan. Ini dapat dikategorikan kepada kaedah terjemahan formal dan kaedah terjemahan dinamik.

Kaedah terjemahan formal pula dapat dibahagikan kepada tiga, iaitu:

a. Pinjaman

b. Peniruan

c. Penggantian

Pinjaman

Peminjaman kata berlaku kerana terdapatnya pertembungan antara dua bahasa yang berbeza misalnya bahasa Inggeris dan bahasa Melayu yang bertembung akibat penjajahan. Peminjaman antara dua bahasa ini tidak dapat dielakkan kerana keperluan komunikasi. Dalam hal ini, bahasa penjajah tentulah lebih dominan daripada bahasa yang dijajah. Kemasukan penjajah juga membawa konsep baharu yang tidak wujud dalam bahasa kedua, misalnya teknik, konsep, istilah, dan seumpamanya. Untuk mengisi kekosongan, maka kaedah pinjaman diamalkan. Kaedah ini juga diamalkan untuk menimbulkan sifat-sifat khusus dalam sesebuah teks. Kata ini dipinjam dan ditulis miring dalam teks, misalnya ad valorem, tort, ad hoc, alibi, dan sebagainya. Kata pinjaman ini diklasifikasikan sebagai kata pinjaman tulen tidak asimilasi.

Beberapa kata pinjaman sudah lama dimasukkan atau diserapkan ke dalam leksikon bahasa Melayu sebagai kata pinjaman, iaitu basikal (Inggeris), senapang (Belanda), pisau (Cina), cahaya (Sanskrit), kedai (Tamil), dakwah (Arab), cukai (Jawa), pamer (Jawa), sekolah (Portugis) dan lain-lain. Kata pinjaman ini dikatakan kata pinjaman tulen asimilasi lengkap kerana berlakunya penyesuaian ortografi dan telah lama diasimilasikan ke dalam budaya Melayu hingga tidak terasa keasingannya dengan lidah Melayu. Pengekalan kata ini perlu untuk keperluan sosiobudaya masyarakat pengguna bahasa Melayu. Bloomfield (1933:44), membahagikan peminjaman kata kepada peminjaman budaya, peminjaman intimate, dan peminjaman dialek. Peminjaman budaya berlaku apabila sempadan setiap komuniti bahasa berhubungan dengan sempadan geografi dan politik. Peminjaman dianggap intimate apabila kedua-dua bahasa yang terlibat digunakan dalam domain politik yang sama. Peminjaman dialek pula lebih umum sifatnya kerana anggota-anggota daripada masyarakat yang berbeza berhubungan antara satu sama lain.

Peminjaman berlaku dalam istilah budaya yang merangkumi organisasi sosial yang berbeza pada tahap dunia misalnya budaya dunia Barat dan dunia Timur (budaya Amerika dengan budaya Jepun), misalnya karya Kenang-Kenangan Seorang Geisha yang ditulis dalam bahasa Inggeris dan diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Penterjemah mengandaikan unsur dalam satu budaya atau bahasa itu sendiri boleh dikomunikasikan secara "borne across", dan dihasilkan semula dalam satu budaya atau bahasa yang lain. Dalam hal ini kadangkala yang dipentingkan ialah kesesuaian (appropriateness) bukan ketepatan (accuracy) menjadi pilihan penterjemah. Namun demikian penterjemah pada hakikatnya, perlu setia kepada teks asal; malah, penterjemah tidak mempunyai autoriti untuk menggantikan sesuatu unsur budaya itu dengan budayanya sendiri. Mounin (1963) telah menggariskan kepentingan signifikasi sesuatu item leksikal dengan menegaskan bahawa sekiranya tanggapan kata tersebut difahami dengan jelas baharulah item tersebut dapat diterjemahkan secara tepat. Sebagai contoh terdapat istilah pakaian, iaitu kimono yang tidak terdapat dalam budaya Melayu, lalu terpaksa dipinjam terus perkataan tersebut dalam bahasa Melayu. Begitu juga halnya dengan perkataan sake, iaitu sejenis minuman tradisi Jepun, yang dari segi konsepnya tidak sama dengan perkataan tuak dalam bahasa Melayu, lalu terpaksa dipinjam perkataan tersebut dalam bahasa Jepun. Hal ini banyak sekali terdapat dalam karya terjemahan Kenang-Kenangan Seorang Geisha yang diterjemahkan oleh Abdul Latif Budin, a special kind of sake called amakuchi (MOG:79), sejenis sake istimewa yang dipanggil amakuchi (KKSG:120)

Peniruan

Selanjutnya kita lihat pula kaedah peniruan. Peniruan berlaku apabila kemasukan istilah pinjaman tetapi istilahnya sahaja yang diterjemahkan. Terdapat dua jenis peniruan, iaitu pertama, peniruan penyampaian yang tidak mengubah struktur bahasa sasaran (buffet servis-servis buffet, green house-rumah hijau, social science-sains sosial, honey moon-bulan madu, yellow culture-budaya kuning, cold war-perang dingin, sky scrapper-pencakar langit, letterhead-kepala surat, underground-bawah tanah, over due-lebih masa, work load-beban kerja). Kedua, peniruan struktur yang memasukkan lantas mewujudkan struktur baru dalam bahasa sasaran misalnya prime minister-perdana menteri, dan mini bus-bas mini. Kata pinjaman peniruan ini digolongkan sebagai kata majmuk yang dipinjam dan disesuaikan dengan pola sintaktik dalam bahasa Melayu. Dalam teks terjemahan Kenang-Kenangan Seorang Geisha, unsur ini juga ditemui apabila penterjemah menterjemahkan jenis makanan tradisi dalam masyarakat Jepun, iaitu miso soup kepada sup miso.

Penggantian

Penggantian merupakan satu lagi kaedah dalam penterjemahan. Anda akan dapati bahawa dalam penggantian berlaku pemindahan warta daripada bahasa sumber kepada bahasa sasaran. Dalam penggantian, persamaan pada peringkat leksikal dan peringkat sintaksis sedapat mungkin dikekalkan. Hal ini bermakna setiap perkataan dalam bahasa sumber dapat digantikan persamaannya dalam bahasa sasaran dan pada masa yang sama struktur ayat bahasa sumber dipindahkan ke dalam bahasa sasaran tanpa perubahan besar. Kaedah ini kerap diamalkan bagi sesebuah teks berbentuk risalah (informative) yang ditulis dalam bahasa sumber yang ringkas, iaitu tidak kompleks. Bagi teks yang berunsur sains, kita lazim menggunakan istilah yang dipinjam daripada bahasa Inggeris, tetapi diubahsuaikan mengikut ejaan Melayu. Cara ini juga dikatakan penggantian.

Contoh:

i. I go to market = Saya pergi ke pasar.

ii. More than half the human body is muscle = Lebih daripada separuh badan manusia terdiri daripada otot. iii. There are over six hundred muscles in the muscular system = Ada lebih daripada enam ratus otot dalam sistem otot.

Kaedah ini ditemui dalam karya terjemahan Kenang-kenangan Seorang Geisha yang memerihalkan tentang beras sebagai makanan ruji yang sama dengan juga dengan makanan ruji masyarakat Melayu. Dalam teks ini terdapat makanan yang menggunakan konsep budaya Inggeris, iaitu kek bagi istilah sweet rice cake diterjemahkan sebagai lempeng pulut manis bukan kek pulut manis. Contoh-contoh lain yang diperlihatkan di bawah:

to fetch the rice crackers Auntie was so fond of (MOG:52)

untuk membeli keropok beras kesukaan Mak Cik... (KKSG:78)

Ternyata bahawa dalam terjemahan tersebut konsep dalam budaya Inggeris disesuaikan daripada budaya Jepun kemudian disesuaikan pula dengan budaya Melayu. Dalam teks tersebut, kita dapati berlaku penggantian daripada rice crackers kepada keropok beras. Hal ini memperlihatkan satu unsur komunikasi silang budaya berlaku apabila terdapat satu ciri yang unik yakni dalam persamaan konsep sesuatu budaya, terdapat juga perbezaan ciri walaupun kecil telah memberikan istilah yang berbeza. Peminjaman konsep berlaku tetapi digantikan dengan istilah bahasa Melayu.

Hakikatnya kita perlu akui bahawa tidak terdapat dua bahasa yang sama di dunia ini. Terdapat banyak persamaan dan perbezaan walau pun kedua-dua bahasa berasal daripada rumpun yang sama. Contohnya kata bicara dalam bahasa Melayu dan bahasa Indonesia membawa pengertian yang berbeza. Bicara dalam bahasa Indonesia bermaksud cakap tetapi dalam bahasa di Malaysia, pengertian bicara lebih kepada percakapan di mahkamah sahaja. Penterjemah juga perlu memilih antara makna kamus dengan makna dinamik.

Contoh:

i. She held back the truth. (menyembunyikan)

ii. He wanted them to join the others but they held back. (mengasingkan diri)

iii. His supply of food held out for ten days. (cukup)

iv. He held out although the pain was terrible. (menahan)

v. She held up the picture so that he could see it. (mengangkat dengan tinggi)

vi. A signal fault held up the train for an hour. (menangguhkan atau melambatkan)

KAEDAH TERJEMAHAN DINAMIK

Perkataan dinamik itu sendiri menjelaskan lagi kaedah ini yang memperlihatkan satu kaedah baharu yang melibatkan banyak unsur ke arah memudahkan kerja terjemahan. Terdapat empat kategori dalam kaedah terjemahan dinamik, iaitu:

a. Transposisi

b. Modulasi

c. Persamaan

d. Penyesuaian

Transposisi

Transposisi bermakna berlaku perubahan dalam struktur ayat dalam karya terjemahan. Dalam kaedah ini, kita perlu mengubah atau menukarkan kedudukan frasa atau klausa dalam bahasa sasaran tanpa mengubah maksud warta atau maklumat. Hal ini penting kerana dalam penterjemahan, maksud karya asal perlu dipertahankan walaupun kita melakukan pembaharuan dalam kaedah. Ada beberapa sebab kaedah transposisi perlu digunakan, iaitu untuk menyampaikan warta dalam bahasa sasaran secara yang paling bersahaja dan untuk menjelaskan lagi kandungan warta yang mungkin boleh mengelirukan.

Terdapat dua jenis transposisi, iaitu pertama, transposisi wajibcara terjemahannya merupakan yang lazim dan paling bersahaja dalam bahasa sasaran.

Contoh:

i. We thank you for your cooperation;

Atas / kerana kerjasama tuan itu, kami ucapkan terima kasih.

ii. After he returns; Selepas dia pulang, Selepas kepulangannya, Sekembalinya.

iii. Non-magic people (more commonly known as Muggles);

Manusia biasa atau yang bukan ahli sihir (lebih dikenali sebagai Muggle)

iv. were particularly afraid of;

sangat takut akan ilmu sihir

v. Magic in medieval times;

pada zaman pertengahan,

vi. but not very good at recognising it;tetapi tidak tahu-menahu langsung tentang ilmu itu.

Jelasnya, dalam kaedah transposisi penterjemah dapat memanipulasi keupayaan bahasa sasaran dengan baik tanpa menjejaskan maksud ayat yang diterjemahkan. Kebolehan ini memerlukan kemahiran bahasa sasaran yang cukup tinggi dan keupayaan memahami maksud dalam bahasa sumber agar maksud teks asal tidak disalah terjemahkan. Unsur dinamik ini membolehkan penterjemah mendapat ruang yang lebih besar bagi menyampaikan maksud penulis teks asal.

Modulasi

Selanjutnya kita melihat pula kaedah modulasi. Sebenarnya kaedah modulasi juga digunakan untuk tujuan yang sama seperti transposisi, iaitu untuk menyampaikan warta dengan gaya bahasa sasaran yang lebih bersahaja dan mudah difahami. Namun begitu dalam modulasi, terdapat perubahan dari segi semantik (makna) pada peringkat leksikal tetapi wartanya tetap tidak berubah. Begitu juga penyampaian boleh negatif dalam bahasa sasaran tanpa menjejaskan makna.

Contoh:

i. Saturday night;Malam minggu / Ahad.

ii. In either case, the energy that we obtain ultimately originates from starch;

Dalam kedua-dua hal, tenaga yang kita peroleh pada peringkat akhir berasal dari kanji.

Dalam karya teks terjemahan Harry Potter dan Bilik Rahsia, kaedah ini digunakan bagi menterjemah budaya kebendaan, misalnya perkataan,sorting hat diterjemahkan kepada topi pengisih

Perubahan makna tidak begitu ketara tetapi perkataan sorting digantikan dengan mengisih dalam konteks penceritaan tidak memberikan kesan yang besar .

Persamaan

Sebagaimana telah diperkatakan pada peringkat awal tadi, memang tidak dapat dinafikan lagi bahawa tidak ada dua bahasa yang serupa. Oleh itu, untuk mencari persamaan dalam penterjemahan memanglah sesuatu yang amat rumit. Persamaan yang dimaksudkan ialah persamaan terdekat atau persamaan sejadi (bersahaja). Persamaan sedemikian bergantung sepenuhnya kepada konteks dan nilai budaya seperti dalam ungkapan idiomatik daripada peribahasa. Umumnya, tidak ada dua perkataan yang benar-benar sama makna dalam dua bahasa yang berlainan. Oleh itu, kita tidak menterjemah dengan menggunakan persamaan tepat. Kita menterjemah dengan menggunakan persamaan yang paling dekat maknanya.

i. Persamaan Terdekat

Race (sociology) - ras national - nasional, negara, kebangsaan.

ii. Persamaan Sejadi / Bersahaja

Race - bangsa, puak, orang, kaum, keturunan

big and small - kecil besar

iii. Perbezaan Budaya

Ouch! - Aduh!

Go to hell - Persetankan! Pergi jahaman!

iv. Idiom dan Peribahasa

Live from hand to mouth - Hidup kais pagi, makan pagi, kais petang, makan petang

To kill two birds with one stone - Sambil menyelam minum air

Tokoh dalam bidang penterjemahan, iaitu Nida (1964) telah mengenal pasti dua jenis persamaan, iaitu formal dan dinamik. Beliau mengatakan bahawa persamaan formal menumpukan perhatian kepada mesej itu sendiri dalam bentuk dan kandungan. Dalam terjemahan begini, seseorang penterjemah menumpukan kepada puisi, ayat demi ayat dan konsep demi konsep. Nida menamakannya terjemahan glos yang bertujuan untuk membenarkan atau memberikan ruang kepada pembaca supaya memahami sebanyak mungkin konteks dalam bahasa sumber. Persamaan dinamik berasaskan prinsip kesan persamaan, yakni hubungan antara penerima dan mesej bahasa sasaran seharusnya juga sama dengan hubungan antara penerima dan mesej bahasa sumber. Dalam karya terjemahan teks Harry Potter dan Banduan dari Azkaban, kita temui kaedah ini digunakan, misalnya: Barely alive, Voldemort had fled.... (hlm.11)

Dalam keadaan nyawa-nyawa ikan, Voldemort melarikan diri (hlm.6)

Dalam teks di atas, perkataan barely diterjemahkan ke dalam idiom bahasa Melayu, iaitu nyawa-nyawa ikan yang membawa maksud keadaan yang sudah nazak atau hampir mati. Walaupun dalam teks sasarannya tidak sedikit pun menyebut tentang ikan atau kiasan yang sedemikian namun dari segi maksud, terjemahan yang menggunakan kaedah tersebut telah menyampaikan mesej kepada pembaca. Menurut Susan Bassnett, persamaan dalam terjemahan tidak seharusnya mengambil pendekatan pencarian persamaan semata-mata kerana persamaan tidak mungkin wujud antara dua versi bahasa sumber bagi teks yang sama, apa tah lagi antara versi bahasa sumber dan bahasa sasaran. Contoh lain dapat dilihat di bawah:

Aunt Petunia, who was bony and horse faced, whipped around and peered intently out of the kitchen window (halaman 19)

Makcik Petunia yang kurus kering, dan berwajah cengkung, berpusing pantas dan meninjau-ninjau dari tingkap dapur (halaman 23)Penyesuaian

Kaedah penyesuaian merupakan penggantian terhadap perbezaaan budaya yang terdapat dalam dua bahasa. Kaedah ini dianggap sebagai kaedah terjemahan yang paling bebas. Ianya digunakan secara meluas untuk menterjemah lakonan (komedi) dan puisi. Tema, watak dan plot lazimnya dikekalkan. Biasanya dalam keadaan ini makna dan mesej yang cuba disampaikan dengan cara lain, dan pembaca akan memahaminya setelah membaca keseluruhan teks.

Persamaan terdekat bergantung sepenuhnya kepada konteks dan nilai budaya seperti dalam ungkapan idiomatik daripada peribahasa. Tidak ada dua perkataan yang benar-benar sama makna dalam dua bahasa yang berlainan. Oleh itu, kita tidak menterjemah dengan menggunakan persamaan yang tepat, sebaliknya menggunakan persamaan yang paling dekat maknanya.Contoh:

He kissed his daughter on the mouth.

Dia memeluk anak perempuannya dengan penuh kasih sayang.RUJUKAN1. Kamus Dewan Edisi Baharu (2008). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

2. Ismail Hussein, 1966. Sejarah Pertumbohan Bahasa Kebangsaan Kita, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

3. Nik Safiah Karim, Farid M. Onn, Hashim Haji Musa dan Abdul Hamid Mahmood (2008). Tatabahasa Dewan (Edisi Ketiga). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.4. James T Collins, 1998. Malay, World Language: A Short History,. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.5. Ibrahim Ahmad 1994. Perkamusan Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.6. Gazali Dunia(1992). Sastera Melayu Lama. Penerbit Fajar Bakti Sdn.Bhd.:Kuala Lumpur.7. Asmah Haji Omar, 1985. Perancangan bahasa dengan rujukan khusus kepada perancangan Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.8. B. Mallikarjun Globalization and Indian languages. Language in India, Vol.3: 2 Februari 2003.9. A.Aziz Deraman, 2000. Tamadun Melayu Dan Pembinaan Bangsa Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.10. Abdullah Hassan, 1997. Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu dan Esei-Esei Lain. Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti.11. Awang Sariyan, 2004. Teras Pendidikan Bahasa Melayu. Asas Pegangan Guru, PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.12. Hashim Bin Hj. Musa, 2004. Pemerkasaan Tamadun Melayu Malaysia: Menghadapi Globalisasi Barat. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.13. Siti Hajar Abdul Aziz (1996). Tatabahasa Bahasa Melayu (Perkataan). Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.14. Harimurti Kridalaksana (1983). Tradisi dan Inovasi dalam Penyelidikan Bahasa Melayu. dalam Jurnal Persatuan Linguistik Malaysia.12