Assignment Sejarah Perkembangan Bm Mei 2011

23
FAKULTI PENDIDIKAN DAN BAHASA SEMESTER MEI 2011 HBML4103 SEJARAH PERKEMBANGAN BAHASA MELAYU PUSAT PEMBELAJARAN : PP WILAYAH SARAWAK

description

Education

Transcript of Assignment Sejarah Perkembangan Bm Mei 2011

FAKULTI PENDIDIKAN DAN BAHASA

SEMESTER MEI 2011

HBML4103

SEJARAH PERKEMBANGAN BAHASA MELAYU

PUSAT PEMBELAJARAN : PP WILAYAH SARAWAK

KANDUNGAN

ABSTRAK iii

1.0. PENGENALAN 1

2.0. FAKTOR-FAKTOR KETIDAKUPAYAAN BAHASA MELAYU

BERSAING DENGAN BAHASA-BAHASA LAIN 2

2.1. Perkembangan Teknologi Maklumat dan Komunikasi

(Information and Communication Technology) atau ICT 2

2.2. Dasar pendidikan 3

2.3. Rakyat tidak yakin bahasa kebangsaan mampu sampaikan ilmu 4

2.4. Gejala pencemaran dan penyalahgunaan bahasa di tempat awam 4

2.5. Malu bertutur bahasa Melayu 5

2.6. Tanggapan bahawa bahasa Melayu tiada nilai ekonomi 5

2.7. Kadar penterjemahan karya daripada bahasa asing kepada

Bahasa Kebangsaan yang secara relatifnya rendah dan lambat 5

2.8. Peminggiran penggunaannya dalam urusan rasmi di sektor awam

dan swasta 6

2.9. Kemerosotan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu

termasuk di institusi-institusi pendidikan tinggi 6

2.10. Penggunaan bahasa rojak secara keterlaluan di televisyen dan radio 7

3.0. PERANAN GOLONGAN INTELEKTUAL DALAM USAHA

MEMPERKASAKAN BANGSA MALAYSIA MELALUI

BAHASA MELAYU 8

4.0. PENUTUP 10

RUJUKAN 12

ii

ABSTRAK

Tugasan ini menyatakan secara ringkas sejarah perkembangan bahasa

Melayu di zaman Melayu Melaka. Perubahan zaman dan tuntutan

semasa mempengaruhi perkembangan penggunaan bahasa Melayu di

Malaysia. Dibincangkan secara umum faktor-faktor yang menyebabkan

Bahasa Melayu hilang upaya bersaing dengan bahasa-bahasa lain di

dunia. Berdasarkan kupasan faktor-faktor tersebut dirumuskan bahawa

terdapat sepuluh sebab yang menyebabkan Bahasa Melayu hilang upaya

bersaing dengan bahasa-bahasa lain di dunia. Namun begitu, di sebalik

faktor-faktor yang merangsang perubahan senario penggunaan bahasa

Melayu di kalangan masyarakat Malaysia di jelaskan juga peranan

golongan intelektual untuk memperkasa bangsa Malaysia melalui

bahasa Melayu. Sehubungan dengan hal ini tugasan ini menyimpulkan

bahawa peranan semua rakyat Malaysia amat penting untuk

memertabatkan bahasa Melayu agar Bahasa Melayu terus gah gemilang

bersaing di persada antarabangsa.

iii

1.0. PENGENALAN

Sejarah telah membuktikan bahasa Melayu memainkan peranan sebagai alat perhubungan

berbilang bangsa dan menjadi bahasa antarabangsa apabila pemerintah Kerajaan Melayu zaman

dahulu terutama raja dan sultan tetap tegas menggunakan bahasa Melayu dalam setiap urusan. Ia

termasuk dalam soal diplomatik antara pedagang atau kuasa asing seperti Portugis, Belanda,

Inggeris dan Perancis. Sepertimana yang dipaparkan dalam karya agung Tun Sri Lanang

menerusi Sejarah Melayu yang menggambarkan kegemilangan dan kejatuhan Kerajaan Melayu

Melaka. Melalui bukti-bukti kukuh antaranya dalam Sulalatus al-Salatin atau Sejarah Melayu

oleh Tun Sri Lanang dan Hikayat Raja Pasai antara abad ke-14 hingga ke-17 jelas menunjukkan

pemerintah tidak berkompromi dalam soal bahasa.

Namun malangnya, pengembangan dan penyebaran bahasa Melayu di zaman moden ini

seakan-akan terkubur dari zaman kegemilangannya walaupun suatu ketika dahulu pernah

menjadi bahasa sarwajagat terhebat di Nusantara. Dalam zaman siber ini penggunaan bahasa

Melayu atau bahasa Malaysia yang mengikut tatabahasa mahupun nahunya semakin dihakis oleh

bahasa slanga dalam sistem pesanan ringkas. Laman sosial yang semakin ramai ahlinya turut

terkena tempias ribuan bahasa ringkas hingga ada pihak yang sanggup mempermainkan bahasa

Melayu semata-mata ingin mempersendakan orang lain. Sedar atau tidak, bahasa Melayu telah

menerima tamparan hebat sejak 20-30 tahun dahulu. Era digital dan globalisasi tanpa sempadan

menyaksikan bahasa Melayu terpaksa bersaing hebat dengan bahasa lain terutamanya bahasa

Inggeris.

Selain itu, tuntutan ekonomi telah menghanyutkan perjuangan nasionalisme sehingga ada

Institusi Pendidikan Tinggi Awam yang suatu ketika dahulu dilihat memertabatkan bahasa

Melayu kini dilihat sama seperti institusi tinggi lain di Malaysia. Manakala aplikasi dasar

liberalisasi sekitar 1980-an menyaksikan penggunaan bahasa Inggeris semakin meluas dan

bahasa Melayu pula seolah-olah perlu bersedia untuk diturunkan ke liang lahad.

Sehubungan itu, tugasan ini akan membincangkan faktor-faktor yang menjadi isu dan

cabaran asas kepada pengembangan penggunaan bahasa Melayu dalam era ini. Pengupasan dan

penghuraian yang dibuat oleh penulis merupakan satu bentuk pandangan secara umum kepada

masyarakat yang berbahasa Melayu.

1

2.0. FAKTOR-FAKTOR KETIDAKUPAYAAN BAHASA MELAYU BERSAING

DENGAN BAHASA-BAHASA LAIN

Antara faktor-faktor yang menjadi isu dan cabaran asas kepada pengembangan

penggunaan bahasa Melayu dalam era ini adalah seperti berikut:

2.1. Perkembangan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (Information and

Communication Technology) atau ICT

Melalui kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi, tiada sempadan yang dapat

memisahkan sesebuah negara. Setiap negara di dunia semakin saling bergantung antara satu

dengan yang lain. Suasana ini telah mendatangkan kesan negatif kepada kedudukan bahasa

Melayu menjadikannya semakin tergugat oleh bahasa-bahasa lain di dunia. Dalam konteks ini

ICT merupakan saluran kepada ‘penjajahan’ bahasa di peringkat maya oleh bahasa yang

mendominasi penggunaannya di peringkat antarabangsa seperti Bahasa Inggeris. Fenomena ini

memberi kesan yang mendalam kepada perkembangan penggunaan bahasa Melayu di kalangan

masyarakat bahasanya kerana perluasan penggunaan bahasa kedua dalam kehidupan seharian

mereka.

Masyarakat umum iaitu Cina, India dan golongan elit Melayu mengagung-agungkan

kehebatan bahasa Inggeris. Penekanan mereka terhadap bahasa Inggeris amat keterlaluan.

Mereka menggunakannya dalam semua aspek kehidupan. Dalam perbualan sesama ahli keluarga,

bahasa Inggeris yang digunakan. Hal ini menunjukkan bahawa mereka tidak yakin terhadap

kemampuan bahasa Melayu. Mereka menolak hakikat sejarah negara ini yang berpangkal

daripada politik Melayu dan lebih senang menerima bahasa Inggeris. Ancaman seperti ini tidak

boleh dipandang ringan.

Pengaruh ICT juga jelas menular dalam kehidupan moden hari ini dengan berjaya

merubah paradigma sosiobudaya dan bahasa contohnya bahasa komunikasi. Seperkara yang

menarik dalam isu ICT ialah berlakunya tanpa disedari iaitu kerosakan bahasa. Bahasa sms dan

chatting memerlukan tulisan yang ringkas dan mudah. Kesannya terbawa sehingga banyak pihak

menerima pakai dalam komunikasi harian mereka terutama di kalangan anak remaja.

Wujud juga bahasa rojak akibat daripada perkembangan teknologi. Bahasa rojak

digunakan secara meluas terutama di kalangan remaja bandar Malaysia, yang sekaligus

2

membimbangkan orang dewasa tentang penggunaan Bahasa Melayu yang betul. Ini secara tidak

langsung boleh mempengaruhi komunikasi secara online apabila pengguna mahu menggunakan

bahasa ringkas atau rojak untuk berhubung antara satu sama lain. Bahasa yang tercemar itu boleh

mempengaruhi orang lain terutama sekali orang bukan melayu begitu juga kanak-kanak sekolah

dari semua kaum yang terdedah kepada bahasa yang buruk itu sehinggakan ada kemungkinan

mereka akan meniru bahasa yang buruk dan menganggapnya sebagai Bahasa Melayu yang betul.

Jika kita lihat pada situasi sekeliling, apa yang paling ketara penggunaan bahasa rojak atau

bahasa yang dicampur aduk antara Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sudah menjadi

kelaziman bagi kebanyakan kita hari ini. Sedar atau tidak, sebahagian besar dalam kalangan kita

menjadikan ayat rojak ini sebagai suatu kebiasaan sehari-hari tanpa merasakan ia suatu yang

serius khususnya bila ia `menular’ menjadi bahasa baru dalam kalangan generasi muda.

2.2. Dasar pendidikan

Dalam sistem pendidikan, telah berlaku penurunan martabat dan peranan bahasa Melayu

sebagai bahasa ilmu apabila dilakukan tindakan yang jelas oleh kerajaan dengan mengurangkan

peranan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama sistem pendidikan. Dalam dasar

tersebut kuliah sains dan teknologi di universiti hendaklah disampaikan dalam bahasa Inggeris

dan mata pelajaran sains dan matematik di sekolah akan diajarkan dalam bahasa Inggeris

(PPSMI). Kesan daripada penarikan semula dasar bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar

utama menjadikan proses bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa moden akan terhenti.

Sebaliknya bahasa Melayu akan terperosok sebagai bahasa pasar sahaja. Malah kedudukan

bahasa Melayu dalam semua bidang, terutama dalam bidang ilmu dan perniagaan di negara

bertuah Malaysia ini akan jatuh ke nombor tiga di bawah bahasa Inggeris dan Mandarin. Selain

itu, pelaksanaan dasar ini menjadikan peranan Bahasa Melayu dalam bidang ilmu Sains dan

teknologi akan tersekat terus dan terbantut. Dalam konteks ini juga kedudukan Bahasa Melayu

sebagai bahasa ilmiah juga semakin mengecil khususnya dalam bidang sains dan teknologi.

Tindakan kerajaan ini seolah-olah meminggirkan kedudukan dan fungsi penting bahasa

Melayu sebagai bahasa kebangsaan; dan menghalang perkembangannya menjadi bahasa ilmu

moden pada masa akan datang. Penafian bahasa seperti ini boleh ditafsirkan sebagai melakukan

diskriminasi songsang (reverse discrimination) dan pembunuhan bahasa (linguicide) bukan

sahaja terhadap bahasa kebangsaan negara, tetapi juga terhadap tradisi dan tamadun orang

3

Melayu yang telah berzaman-zaman lamanya berkembang melalui bahasa Melayu. Apakah

hanya dengan cara ini, dan tidak ada cara lain lagi yang mampu difikirkan untuk mencapai tujuan

memaju dan meningkatkan daya saing Malaysia?

2.3. Rakyat tidak yakin bahasa kebangsaan mampu sampaikan ilmu

Sikap tidak yakin sesetengah rakyat, khususnya golongan elit yang berpandangan bahawa

bahasa Melayu tidak mampu untuk memajukan bangsa dan negara Malaysia. Golongan ini mahu

diberi pilihan untuk anak mereka supaya dapat terus mempelajari Sains dan Matematik dalam

bahasa Inggeris. Mereka mahu keistimewaan ini diberikan dan membandingkan penggunaan

bahasa Inggeris di beberapa sekolah yang akan dipilih khas, dengan sekolah vernakular yang

diberi kebenaran untuk mengendalikan dua mata pelajaran itu dalam bahasa etnik masing-

masing.

Sikap golongan elit ini menggambarkan bahawa bahasa Melayu tidak pernah diyakini

sepenuhnya oleh rakyatnya sendiri, sejak dinobatkan sebagai bahasa negara pada 1957. Untuk

sekian lama, ia dibelenggu pelbagai persoalan kemasyarakatan yang semuanya ditimbulkan

rakyat Malaysia sendiri, sering kali pula oleh orang Melayu sebagai penutur natifnya. Pelbagai

komen yang memperlihat sikap negatif daripada orang Melayu sendiri terhadap kemampuan

bahasa Melayu sebagai penyampai ilmu, bukan saja amat dikesali tetapi yang lebih mudarat lagi

adalah ia boleh memberi implikasi tidak baik kepada orang bukan Melayu untuk terus

menghormati bahasa Melayu, apatah lagi menyanjunginya!

2.4. Gejala pencemaran dan penyalahgunaan bahasa di tempat awam

Faktor pencemaran dan penyalahgunaan bahasa semakin berleluasa terutama pada papan

tanda dan paparan iklan premis perniagaan. Lihat saja papan tanda, mengapa perlu ada bahasa

lain. Mengapa tidak digunakan bahasa Melayu saja. Kita sudah ada konsep 1Malaysia, jadi

mengapa perlu ada banyak bahasa pada papan tanda itu. Malah, semakin tidak nyata semangat

cinta dan hormat kepada bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan asas jati diri negara

apabila kian banyak terjadi fenomena penamaan tempat, bangunan dan jalan, termasuk di

kawasan yang menjadi pusat pentadbiran negara, yang mengutamakan nama berdasarkan bahasa

asing misalnya precinct, parcel dan boulevard.

4

2.5. Malu bertutur bahasa Melayu

Segelintir rakyat di negara ini masih malu, rendah diri dan tidak fasih berkomunikasi

dalam bahasa Melayu. Lebih parah, orang Melayu sendiri bukan saja segan bercakap dalam

bahasa Malaysia, malah lebih selesa mengagungkan bahasa Inggeris dalam pelbagai urusan

rasmi, mesyuarat dan aktiviti lain. Apa akan jadi jika senario itu berterusan terutama kepada

generasi kini yang banyak terdedah kepada bahasa penjajah itu.

Sikap malu dan rendah diri masyarakat untuk bertutur menggunakan bahasa Melayu

dalam majlis-majlis kerajaan menyebabkan bahasa itu seolah-olah terpinggir di bumi sendiri. Hal

ini amat membimbangkan, seolah-olah bahasa kebangsaan seperti dipinggirkan kerana

masyarakat lebih mengalu-alukan bahasa Inggeris.

Mengapa kita harus malu bertutur bahasa Melayu yang sudah sampai ke peringkat bahasa

ilmu. Sudah 20 tahun ia menjadi bahasa penghantar utama di sekolah rendah hingga ke peringkat

universiti. Jika masyarakat mengambil sikap sambil lewa berkaitan isu ini, tidak mustahil ia akan

pupus atau mati dengan sendirinya.

2.6. Tanggapan bahawa bahasa Melayu tiada nilai ekonomi

Masih ada pihak khususnya mereka yang terbabit dalam dunia perniagaan percaya

dongeng bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara tidak mempunyai nilai

ekonomi. Justeru, ia tidak digunakan bagi tujuan urusan perniagaan atau perdagangan, sama ada

pada peringkat dalaman mahupun antarabangsa.

Nilai ekonomi bahasa Inggeris jauh mengatasi nilai ekonomi bahasa Melayu. Bahasa

Inggeris menjadi penting dalam usaha mencari pekerjaan. Syarat bahasa Inggeris tertera dalam

iklan-iklan jawatan kosong. Orang yang fasih dan lancar dalam bahasa Inggeris mudah mendapat

kerja. Sebaliknya, golongan yang lemah dalam penguasaan bahasa Inggeris disingkirkan.

Akibatnya suatu kejutan rakyat Malaysia mempelajari dan mengagung-agungkan bahasa Inggeris

sehingga bahasa Melayu seakan hilang martabatnya.

2.7. Kadar penterjemahan karya daripada bahasa asing kepada Bahasa Kebangsaan

yang secara relatifnya rendah dan lambat.

Bahasa Melayu tidak menjadi bahasa ilmu sebelum ini kerana ilmu dalam bahasa lain

tidak diterjemahkan secara konsisten kepada bahasa Melayu. Kalau kedai-kedai buku besar di

Kuala Lumpur boleh dijadikan satu penanda aras terjemahan kita, carilah buku-buku ilmu dalam

5

bahasa Melayu. Buku dalam bahasa Melayu hanya berada di sudut yang tercorot, jumlahnya

kecil berbanding lambakan buku bahasa Inggeris dan Cina. Adakah senario ini memperlihatkan

kedai buku besar ini tidak memberi laluan kepada buku ilmu dalam bahasa Melayu atau

sememangnya tidak banyak buku terjemahan kepada bahasa Melayu?

2.8. Peminggiran penggunaannya dalam urusan rasmi di sektor awam dan swasta

Apa yang dilihat senario penggunaan bahasa Melayu pada masa ini tidak menyeluruh

termasuk dalam urusan rasmi sektor awam dan swasta. Walaupun perkembangan terkini

menunjukkan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan orang Melayu dan bukan Melayu

bertambah baik, ia masih kurang mendapat tempat di syarikat-syarikat awam dan swasta

termasuk di majlis-majlis rasmi kerajaan. Perubahan dan tuntutan semasa juga telah

menyebabkan sesetengah pihak seakan-akan terpaksa memberi penghormatan kepada pihak luar

dengan bertutur dalam bahasa asing walaupun jumlah orang luar pada ketika itu adalah sedikit.

Malahan pengurusan tertinggi syarikat berkaitan kerajaan, lebih suka bercakap bahasa Inggeris

serta mencampuradukkan penggunaan bahasa Melayu dan Inggeris terutama ketika

berkomunikasi. Lebih malang, ramai kalangan pemimpin negara Malaysia sendiri yang

menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama. Kepemimpinan melalui teladan tidak diterap

di situ, bagaimana orang bawahan akan mengikut. Oleh itu, kita tidak mempunyai masalah atau

berdepan dengan isu bahasa, sebaliknya hanya sekumpulan masyarakat tertentu yang sudah

merosakkannya.

2.9. Kemerosotan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, termasuk di

institusi-institusi pendidikan tinggi

Isu bahasa Melayu juga masih pincang pada peringkat pengajian tinggi. Misalannya,

penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di institusi pengajian swasta juga semakin

meluas. Banyak kolej swasta menjalankan program berkembar bersama-sama dengan universiti

luar negara. Kolej-kolej swasta ini disyaratkan memasukkan pengajaran bahasa Melayu dalam

rancangan pembelajaran mereka. Malangnya, pihak kolej sekadar melepaskan batuk di tangga

sahaja. Bahasa pengantar tetap bahasa Inggeris. Akibatnya, peranan bahasa kebangsaan kita

sebagai bahasa ilmiah terabai. Kita memang menyedari keperluan penggunaan bahasa Inggeris

pada alaf ini. Natijahnya, kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar semakin

6

terpinggir dan sudah pasti untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmiah juga semakin

sukar apabila semakin dipinggirkan di dalam institusi ilmu.

2.10. Penggunaan bahasa rojak secara keterlaluan di televisyen dan radio.

Kecenderungan iklan di media elektronik menggunakan lebih daripada satu bahasa selain

bahasa Melayu sebagai tidak wajar. Malaysia sudah mengakui Bahasa Melayu sebagai bahasa

rasmi dan iklan untuk paparan rakyat negara ini, sewajarnya menggunakan Bahasa Melayu

sepenuhnya. Tidak perlu menggunakan pelbagai bahasa untuk menjelaskan apa yang ingin

disampaikan berhubung sesuatu perkara.

Membenarkan penggunaan bahasa selain bahasa kebangsaan atau ‘menghadirkan’

bahasa-bahasa lain di samping bahasa kebangsaan dalam iklan dan program TV serta radio, jelas

satu tindakan kurang sopan dan membelakangkan peruntukan dalam perlembagaan serta

merendah-rendahkan kedudukan bahasa kebangsaan. Malah, lebih memalukan telah

memperlekehkan kemampuan rakyat berbilang kaum di negara ini dalam menguasai bahasa

kebangsaan. Jika benar kita mahu menghayati erti kemerdekaan negara dan semangat 1Malaysia,

tidak kira sama ada warna kulitnya sawo matang, kuning langsat atau hitam si tampuk manggis

mestilah bersama-sama membudayakan penggunaan satu bahasa iaitu bahasa kebangsaan dalam

segenap urusan hidup seharian tidak terkecuali dalam bidang pengiklanan, penyiaran dan

hiburan.

Inilah antara faktor-faktor yang menyebabkan masyarakat memandang ringan dan

mengabaikan bahasa kebangsaan sehinggakan kedudukannya masih tidak menentu walaupun

lebih 53 tahun negara kita merdeka. Kita harus bersikap jujur dan sedar bahawa bahasa Melayu

kini beransur-ansur hilang status dan wibawanya di negara ini. Setelah dikenalpasti tentang

faktor-faktor yang menyebabkan bahasa Melayu hilang upaya untuk bersaing dengan bahasa-

bahasa lain, tumpuan dialih pula kepada peranan golongan intelektual dalam usaha

memperkasakan bangsa Malaysia melalui bahasa Melayu.

7

3.0. PERANAN GOLONGAN INTELEKTUAL DALAM USAHA

MEMPERKASAKAN BANGSA MALAYSIA MELALUI BAHASA MELAYU

Sebagai rakyat Malaysia, kita haruslah ingat bahawa orang lain, iaitu bangsa lain tidak

akan menyebarkan bahasa Melayu ke serantau dunia, kecuali kita. Sebagai rakyat Malaysia, kita

hendaklah mempunyai iltizam untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa

terpenting pada suatu hari nanti. Dalam usaha memperkasa bahasa Melayu, ianya memerlukan

kerjasama oleh pelbagai pihak dan golongan masyarakat, khususnya para intelektual. Golongan

intelek bangsa Malaysia, yang kebanyakannya daripada kelas menengah terdiri daripada

profesional, ikhtisas seperti peguam, doktor, pentadbir dan seumpamanya; agensi rasmi

perancangan bahasa iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP); persatuan-persatuan seperti

Persatuan Linguistik Malaysia (PLM), Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (GAPENA),

Persatuan Penulis Nasional (PENA), pertubuhan awam, pendidikan, dan keguruan memainkan

peranan yang amat penting dalam usaha untuk memperkasa bangsa Malaysia melalui bahasa

Melayu.

Tokoh-tokoh bahasa negara yang prihatin akan survival bangsanya begitu lantang

mengutarakan pandangan mereka supaya bahasa Melayu dikembalikan kedudukannya sebagai

bahasa pengantar yang utama dalam sistem pendidikan negara. Hal ini termasuklah dalam

pengajaran mata-mata pelajaran utama di sekolah seperti mata pelajaran Matematik dan Sains,

kerana sejarah menunjukkan andai sesuatu bahasa itu tidak lagi menjadi bahasa ilmu, bahasa itu

akan beku dan tidak berkembang. Jika hal ini terjadi, sudah pasti lambat laun kegemilangan

bahasa kita akan hanya tinggal dalam lipatan sejarah. Adakah kita tergamak menghancurkan

bahasa sendiri?

Seterusnya, keberanian beberapa perwakilan dalam Pehimpunan Agung Tahunan UMNO

pada 5 hingga 9 November 2008, mengutarakan kegusaran mereka tentang masa depan bahasa

Melayu, dengan lantang mereka mendesak kerajaan mengembalikan semula pengajaran Sains

dan Matematik dalam bahasa Melayu. Ia sesuai dengan statusnya sebagai bahasa negara dan bagi

“mengangkasakan” tamadun bangsa, selaras dengan peruntukan Perkara 152 Perlembagaan

Persekutuan. Keputusannya Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran bersetuju untuk

menangguhkan pelaksanaan sepenuhnya penggunaan bahasa Inggeris bagi mata pelajaran

tersebut dalam UPSR 2008.

8

Selain itu, golongan intelektual juga adalah nadi dalam mewakili rakyat Malaysia

khususnya dalam menyuarakan cadangan serta pandapat tentang nasib bahasa Melayu. Misalnya,

desakan golongan ini kepada kerajaan agar memberikan kuasa mengambil tindakan kepada

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) agar dapat bertindak kepada pesalah-pesalah bahasa yang

selama ini sering mempersoalkan kuasa DBP dari segi undang-undang. Golongan ini juga

mengemukakan kertas cadangan pindaan akta untuk dibincangkan di Kementerian Pelajaran dan

akan dibentangkan di Parlimen bagi membolehkan penguatkuasaan hukuman denda

dilaksanakan. Akta Bahasa Kebangsaan 1963 dan Akta Pendidikan 1996 mungkin dipinda bagi

memberi kuasa kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mendenda sektor awam dan agensinya

yang tidak menggunakan bahasa Melayu dalam urusan ketika mengendalikan mesyuarat,

penyediaan minit mesyuarat dan majlis rasmi.

Golongan pendukung ilmu di institusi pengajian tinggi awam dan institusi pengajian

tinggi swasta seharusnya berkeyakinan penuh terhadap kemampuan bahasa Melayu sebagai

bahasa ilmu. Golongan inilah yang berperanan menyebarluas penggunaan bahasa Melayu di

institusi-institusi tertinggi. Penggunaannya dalam pengajaran dan pembelajaran menjadi penentu

utama berjaya atau tidaknya bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Seterusnya, usaha memperkasa bangsa Malaysia melalui bahasa Melayu oleh para intelek

bukan sekadar di dalam negara sahaja malah boleh berperanan mengantarabangsakan bahasa

Melayu melalui pejabat kedutaan negara kita di luar negara. Di seluruh dunia, terdapat 104 buah

kedutaan Malaysia yang mampu memainkan peranannya untuk menyebarluaskan bahasa

Melayu. Melalui kedutaan tersebut, kita hendaklah mengetengahkan bahasa Melayu di negara-

negara asing dalam pelbagai acara atau majlis. Melalui usaha ini, bahasa Melayu akan lebih

dikenali, dipelajari, dihayati dan seterusnya dihormati oleh warga dunia. Pepatah Melayu

mengatakan,"tak kenal maka tak cinta". Sebagai rakyat yang mempunyai semangat `bahasa jiwa

bangsa’, kita hendaklah mempunyai iltizam atau kesungguhan untuk mempromosikan bahasa

Melayu walau di mana-mana jua kita berada.

Manakala itu, golongan intelek yang pakar dalam bidang seperti ahli akademik, pakar

bahasa dan sebagainya hendaklah menyebarluaskan bahasa Melayu melalui laman web atau blog

bagi membolehkan masyarakat dunia untuk mendekati dan mempelajari bahasa Melayu. Dalam

era globalisasi ini, kebanyakan masyarakat di dunia mencari dan memperoleh maklumat melalui

Internet. Oleh itu, kita mestilah mengambil kesempatan ini untuk mempromosikan bahasa

9

Melayu. Oleh sebab internet merupakan medium yang paling murah, mudah dan cepat untuk

menyebar maklumat, kita mestilah mengeksploitasi kelebihan ini untuk mengantarabangsakan

bahasa Melayu ke serantau dunia.

Bukan itu sahaja, golongan intelek yang pakar dan berpengalaman dalam perfileman juga

hendaklah mengantarabangsakan bahasa Melayu melalui filem. Jika penerbit filem di negara kita

mampu menghasilkan filem yang bermutu, sudah pasti masyarakat antarabangsa akan menerima

filem kita. Apabila mereka menerima filem kita, hal ini akan memberikan peluang kepada

mereka untuk mendalami dan mempelajari bahasa dan budaya Melayu. Namun, masalah yang

kita hadapi ialah penerbit filem negara kita masih belum mampu menghasilkan filem yang

bertaraf antarabangsa seperti filem yang dihasilkan oleh negara Hongkong, Jepun, Korea ,

Bollywood, dan sebagainya. Jadi, jika kita mahu menggunakan filem sebagai satu cara untuk

menyebarluaskan bahasa Melayu, kita mestilah memartabatkan dan mengantarabangsakan filem

Melayu juga.

Akhir sekali dengan adanya kerjasama yang utuh sesama golongan intelek untuk

memperjuangkan hasrat memperkasa peranan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi di

Malaysia, terutama ketika negara sedang mendepani globalisasi amat diharapkan. Selain mereka,

hasrat murni ini memerlukan penyertaan dan komitmen setiap pihak yang prihatin dan

berkepentingan, sama ada individu mahu pun kumpulan dalam kalangan pelajar atau sesiapa

sahaja yang cintakan bahasa Melayu.

4.0. PENUTUP

Bahasa Melayu sememangnya sudah mencatat kegemilangan apabila telah menjadi

bahasa antarabangsa suatu ketika dahulu meskipun perubahan zaman teknologi maklumat dan

komunikasi telah merubah kedudukan bahasa melayu. Seharusnya kita sebagai rakyat Malaysia

berbangga dengan pencapaiannya dan bukan berasa sangsi hingga sanggup menganaktirikan

bahasa sendiri. Mendaulatkan bahasa Melayu bukan bererti menyisihkan bahasa-bahasa lain dan

menganggapnya sebagai bahasa yang mesti dipinggirkan dalam setiap aspek kehidupan. Sebagai

bahasa yang pernah melalui sejarah gemilang, bahasa Melayu semestinya terus-menerus

digerakkan untuk mengembalikan kegemilangannya. Bahasa Melayu sewajarnya duduk sebaris

dengan bahasa antarabangsa yang lain dan masyarakat antarabangsa sewajarnya diperkenalkan

kepada bahasa Melayu.

10

Matlamat dan misi untuk mengantarabangsakan bahasa Melayu akan menjadi satu realiti

jika setiap warganegara Malaysia memainkan peranan masing-masing dalam mendaulatkan dan

mengembangkan bahasa ini bukan sahaja di peringkat dalaman tetapi menyerlah ke peringkat

global. Ringkasnya, peranan kita semua sama ada golongan professional atau masyarakat umum

sebagai rakyat Malaysia amat penting untuk memertabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa

kebangsaan dan bahasa rasmi dalam semua aspek. Pelaksanaan memartabatkan bahasa Melayu

sewajarnya dilaksanakan secara sukarela dan berterusan agar bahasa Melayu terus gah gemilang

bersaing di persada antarabangsa.

( 3131 patah perkataan )

11

RUJUKAN

Abdul Hamid Mahmood. (1995). Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu: Cabaran dan Harapan. Serdang: Universiti Putra Malaysia.

Abdullah Hassan. (2007). Mengapa Kami Bantah! Penggunaan bahasa Inggeris bagi mengajar Sains dan Matematik. Kuala Lumpur: Persatuan Penterjemah Malaysia (Malaysian Translators Association).

Awang Sariyan. (2006). Memartabatkan Bahasa Melayu. Diperolehi 20 Mei 2011 daripada laman sesawang http://rosiah70.blogspot.com/2011/02/peranan-bahasa-melayu-1-asas-pembinaan.html

Kamal Shukri Abdullah Sani. (2007). Bahasa Melayu: Apa Sudah Jadi? Kuala Lumpur: PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.

Mohamed Khaled Nordin. (2010). Bahasa Melayu Boleh di Antarabangsakan. Diperolehi 21 Mei 2011 daripada laman sesawang http://abihulwa.blogspot.com/2010/03/bahasa-melayu-boleh-diantarabangsakan.html

Puteri Roslina Abdul Wahid. (2010). HBML4103 Sejarah Perkembangan Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Open University Malaysia.

Sahbulah Darwi. (2009). Menjadikan Bahasa Melayu Bahasa Dunia. Diperolehi 21 Mei 2011 daripada laman sesawang http://abihulwa.blogspot.com/2009/10/menjadikan-bahasa-melayu-bahasa-dunia.html

Salmah Zainal Abidin. (2007). Globalisasi Cabar Bahasa Malaysia. Diperolehi 20 Mei 2011 daripada laman sesawang http://rosiah70.blogspot.com/2011/02/peranan-bahasa-melayu-1-asas-pembinaan.html

Sharifudin Lubis. (2009). Nasib Bahasa Melayu di Bumi Sendiri. Diperolehi 21 Mei 2011 daripada laman sesawang http://abihulwa.blogspot.com/2009/12/nasib-bahasa-melayu-di-bumi-sendiri.html

Sidek Baba. (2009). Melayu Perkasa. Selangor: Alaf 21 Grup Buku Karangkraf Sdn. Bhd.

Yahya Othman, Roselan Baki & Naffi Mat. (2009). Pemerkasaan pendidikan Bahasa Melayu: dari teori ke praktik. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

12