Pengenalan sdp.docx

15
Pengenalan Kurikulum persekolahan kebangsaan mendukung hasrat mulia negara bagi menyediakan pendidikan bertaraf dunia kepada generasi masa kini dan akan datang. Penyemakan kurikulum memenuhi Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang berhasrat menyediakan peluang pendidikan berterusan yang memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis. Penggubalan ini bertujuan untuk menyediakan warga Malaysia yang mampu menghadapi cabaran pendidikan masa kini selaras dengan perubahan globalisasi yang pesat. Seni dalam Pendidikan meliputi pengetahuan asas dalam Seni Visual yang menggantikan nama Pendidikan Seni yang terdahulu. Perubahan ini dirasakan lebih sesuai kerana dalam hubungan seni visual di sekolah, Pendidikan Seni Visual lebih menjurus kepada seni tampak atau visual, dan tidak merujuk kepada seni lain seperti seni muzik, seni sastera, seni tari dan seni mempertahankan diri. Pendidikan Seni Visual bertujuan memberi peluang kepada murid memupuk minat, memperkembang keperibadian, memberi kesedaran dan kepekaan terhadap nilai-nilai kesenian dan alam sekitar serta kaitannya dengan mata pelajaran lain. Murid di sekolah rendah pada keseluruhannya adalah kreatif, ekspresif dan aktif. Pendidikan Seni Visual memainkan peranan memperkembang sifat-sifat ini melalui persepsi visual, imaginasi dan daya pemikiran. Kegiatan pemikiran, penerokaan dan reka bentuk dalam pelbagai jenis seni visual akan membolehkan mereka menyatakan idea dan ekspresi diri. Pengalaman ini penting kerana ia membantu murid membina keyakinan diri, membuat penilaian dan mengenali cita rasanya sendiri. Selain itu, Seni Dalam Pendidikan juga memasukan Muzik sebagai unsur atau elemen penting yang perlu digarap bersama dalam menzahirkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang menggembirakan. Muzik adalah sebahagian daripada alam kehidupan pelajar yang sukar untuk dipisahkan. Tanpa Muzik bererti dunia pelajar adalah kosong. Selain itu, Muzik juga merupakan budaya masyarakat. Pelajar sentiasa memberi respon kepada Muzik dan berasa senang hati apabila dapat melahirkan ekspresi diri apabila mendengar muzik. Asas muzik iaitu irama dan ton juga menjadi amalan pertuturan dan interaksi harian. Sifat cenderung kepada muzik yang sedia ada pada pelajar mempunyai peranan tertentu dalam proses perkembangan diri dari

Transcript of Pengenalan sdp.docx

PengenalanKurikulum persekolahan kebangsaan mendukung hasrat mulia negara bagi menyediakan pendidikan bertaraf dunia kepada generasi masa kini dan akan datang. Penyemakan kurikulum memenuhi Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang berhasrat menyediakan peluang pendidikan berterusan yang memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis. Penggubalan ini bertujuan untuk menyediakan warga Malaysia yang mampu menghadapi cabaran pendidikan masa kini selaras dengan perubahan globalisasi yang pesat.

Seni dalam Pendidikan meliputi pengetahuan asas dalam Seni Visual yang menggantikan nama Pendidikan Seni yang terdahulu. Perubahan ini dirasakan lebih sesuai kerana dalam hubungan seni visual di sekolah, Pendidikan Seni Visual lebih menjurus kepada seni tampak atau visual, dan tidak merujuk kepada seni lain seperti seni muzik, seni sastera, seni tari dan seni mempertahankan diri. Pendidikan Seni Visual bertujuan memberi peluang kepada murid memupuk minat, memperkembang keperibadian, memberi kesedaran dan kepekaan terhadap nilai-nilai kesenian dan alam sekitar serta kaitannya dengan mata pelajaran lain. Murid di sekolah rendah pada keseluruhannya adalah kreatif, ekspresif dan aktif. Pendidikan Seni Visual memainkan peranan memperkembang sifat-sifat ini melalui persepsi visual, imaginasi dan daya pemikiran. Kegiatan pemikiran, penerokaan dan reka bentuk dalam pelbagai jenis seni visual akan membolehkan mereka menyatakan idea dan ekspresi diri. Pengalaman ini penting kerana ia membantu murid membina keyakinan diri, membuat penilaian dan mengenali cita rasanya sendiri.

Selain itu, Seni Dalam Pendidikan juga memasukan Muzik sebagai unsur atau elemen penting yang perlu digarap bersama dalam menzahirkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang menggembirakan. Muzik adalah sebahagian daripada alam kehidupan pelajar yang sukar untuk dipisahkan. Tanpa Muzik bererti dunia pelajar adalah kosong. Selain itu, Muzik juga merupakan budaya masyarakat. Pelajar sentiasa memberi respon kepada Muzik dan berasa senang hati apabila dapat melahirkan ekspresi diri apabila mendengar muzik. Asas muzik iaitu irama dan ton juga menjadi amalan pertuturan dan interaksi harian. Sifat cenderung kepada muzik yang sedia ada pada pelajar mempunyai peranan tertentu dalam proses perkembangan diri dari segi kualiti dan sahsiahnya.

Peranan guru ialah ke arah memperkembangkan sifat sifat yang merangkumi aspek aspek emosi kreativiti, nilai estetik dan etika tertentu. Dengan penglibatan pelajar secara aktif dalam kegiatan muzik akan dapat membina pertumbuhan dan perkembangan fizikal, emosi, mental dan sosial pelajar itu sendiri. Selain itu, pengalaman muzik yang menarik akan membantu meningkatkan minat pelajar terhadap mata pelajaran lain.

Pendidikan dalam apa jua bidang sekalipun haruslah berbentuk pengalaman yang bermakna. Pendidikan juga haruslah memberangsangkan dan menghasilkan kepuasan yang semerta serta menimbulkan minat bagi mendapatkan pengetahuan seterusnya. Hal ini boleh dicapai dengan menggunakan pergerakan sebagai media pembelajaran. Pembelajaran melalui pergerakan bukanlah sesuatu yang baharu. Pendidikan pergerakan adalah sesuatu kaedah pengajaran yang ketara uniknya kerana pelajar sedang belajar untuk bergerak dan mereka juga akan belajar sambil atau semasa bergerak. Melalui pergerakan, pelajar itu bergerak, berfikir, dan merasai sesuatu secara langsung. Pelajar akan dapat mempelajari tentang dirinya sendiri.

Penekanan kepada pergerakan kini banyak tertumpu kepada potensi nilai pendidikannya, potensi sumbangan terhadap perkembangan kecerdasan dan potensinya sebagai pemangkin kemahiran dan tabii sosial yang murni. Matlamat pendidikan pergerakan dalam konteks persekolahan adalah untuk menyediakan pengalaman pengalaman berkaitan bagi membantu pelajar dalam mencapai keupayaan sebagai warga yang bertanggungjawab dan penyumbang aktif dalam masyarakat.

Pendidikan pergerakan merupakan salah satu wacana yang menyumbang ke arah perkembangan keseluruhan pelajar dalam bentuk sikap dan sahsiah pelajar tentang keperluan keperluan sosial, emosi dan estetik pelajar berdasarkan kepada holistik perkembangan kanak kanak. Pendidikan pergerakan boleh diperhebatkan lagi keberkesanannya dengan menjadikannya sebagai alat pendidikan yang mendorong kepada kegiatan penerokaan, kreativiti, proses proses berfikir dan penyelesaian masalah serta pengukuhan imej kendiri yang utuh. Dalam hubungan ini matlamat dan prinsip pendidikan pergerakan tidak akan menyimpang daripada landasan konsep kanak kanak total .

Belajar melalui pergerakan membolehkan perkembangan yang menyeluruh diri kanak - kanak iaitu perkembangan fizikal dan psikologi, kebolehan untuk belajar dan bergaul antara satu sama lain. Perasaan terhadap diri sendiri dan perhubungan dengan persekitarannya turut berkembang melalui pergerakan itu.

1.1Implikasi Atau Kesan Positif 1.1.1 Bidang Seni VisualSeni Visual sekolah rendah disusun bertujuan melibatkan murid dalam pelbagai kegiatan seni. Kegiatan seni yang dijalankan berdasarkan empat bidang utama. Bidang-bidang tersebut ialah bidang menggambar, membuat corak dan rekaan, membentuk dan membuat binaan, dan mengenal kraf tradisional. Pengalaman seni ini adalah untuk memperkembang dan menyelaraskan persepsi dan konsepsi visual murid sebagai asas bagi menggalakkan pemikiran kritis dan kreatif. Pengalaman ini juga selaras dengan perkembangan peringkat kesediaan dan penerimaan murid dari segi sosioemosi, psikomotor dan mental yang merangkumi perasaan, koordinasi, manipulasi dan persepsi visual. Dengan mempelajari Seni Visual di sekolah rendah, murid akan dapat menguasai beberapa pengetahuan dan kemahiran. Antara pengetahuan yang dapat dimiliki murid ialah pengetahuan mengenai bahan, alat dan teknik yang digunakan dalam sebarang kegiatan seni. Murid juga akan mendapat pengetahuan mengenai sumber motif dalam persekitaran, kraf tradisional, unsur seni dan prinsip rekaan dalam pendidikan seni visual, proses pembuatan hasil seni, menyimpan maklumat atau dokumentasi, mengintegrasikan maklumat dan aplikasi komputer dalam kerja seni visual. Sementara kemahiran yang akan diperolehi murid pula ialah kemahiran memanipulasi bahan, alat dan teknik, mengaplikasi disiplin seni visual, berfikir secara kritis dan kreatif, berkomunikasi secara berkesan, membuat pilihan, membuat interpretasi, menggunakan teknologi bahan dan perkakasan. Bidang Seni Visual akan memberikan implikasi atau kesan yang positif dalam pengajaran dan pembelajaran melalui organisasi pendidikan Seni Visual yang disusun rapi melalui aspek yang dipentingkan. Antara implikasi atau kesan yang diperolehi melalui bidang seni ini, ialah :

a. Menajamkan Perkembangan Emosi dan ImaginasiMelalui aspek pemerhatian secara aktif yang merangkumi kesedaran pemerhatian keseluruhan, berfokus dan terperinci dapat menajamkan persepsi murid. Selain memperkembangkan deria penglihatan ia juga melibatkan pancaindera lain melalui kajian perbandingan. Kajian seperti ini membantu perkembangan emosi dan imaginasi. Pemahaman tentang asas seni visual juga turut diperkembangkan melalui kegiatan pemerhatian ini. Murid akan dilatih membuat pemerhatian terhadap objek alam dan objek buatan manusia. Ini adalah untuk membolehkan murid merasai secara konkrit bagi mendapatkan imej mental. Kegiatan-kegiatan ini akan membantu terus menyelaraskan idea, imaginasi dan alam fantasinya ke arah perkembangan persepsi dan pemikiran abstrak.

b. Berlaku Pembelajaran Secara Tidak LangsungBidang Seni Visual menggalakkan murid membuat penerokaan dan percubaan dalam mempelbagaikan kegiatan kreatif dengan menggunakan alat dan bahan. Proses ini akan memperkembangkan aspek psikomotor dan kemahiran asas seni visual berhubung dengan manipulasi alat dan bahan serta teknik-teknik mudah. Semasa berinteraksi dengan alat dan bahan, murid membuat interpretasi dan menyelaras konsepsi visualnya dengan objek yang dilihat. Proses pembelajaran ini amat penting kerana ia memberi peluang kepada murid belajar secara tidak langsung. Murid juga dapat mengenali perubahan yang mereka boleh lakukan dalam penghasilan seni pada masa akan datang.

c. Aplikasi Dalam Kehidupan Harian SebenarBidang Seni Visual memberi pengalaman kepada murid mengenali aspek pengetahuan seni visual dan kegunaannya dalam pelbagai kegiatan kehidupan dari segi keindahan dan fungsi. Murid terlibat dalam kajian perbandingan dan menyatakan apa yang dilihat dari aspek seni melalui hasil kerja. Pernyataan tentang hasil kerja pula boleh dibuat dalam pelbagai cara. Melalui seni visual ini juga akan menjadikan murid boleh mengaplikasikan kemahiran seni yang dipelajari dalam kehidupan harian yang sebenar. Contohnya, cara memberus warna boleh diaplikasikan dalam kerja kerja mengecat peralatan kecil di rumah dan sebagainya.

d. Wadah Memupuk dan Menyemai Nilai MurniSelain diberi pengalaman membuat apresiasi seni visual secara mudah, murid juga dipupuk nilai menyayangi dan menghargai segala aspek yang wujud dalam persekitaran dan kehidupan mereka. Ini termasuklah memelihara dan memulihara alam sekitar, nilai patriotisme, nilai kebersihan dan kepekaan. Dengan ini murid akan dapat membuat pertimbangan yang sewajarnya bila berdepan dengan semua keadaan.

1.1.2 Bidang Seni MuzikAsas muzik iaitu irama dan pic, memang sedia terdapat dalam pertuturan dan pergerakan harian. Keadaan ini menjadikan kanak-kanak berasa senang dan memberi respon secara spontan dalam melahirkan ekspresi diri. Kecenderungan seperti ini apabila dikendalikan dengan baik, memainkan peranan yang efektif dalam proses perkembangan diri kanak-kanak.Bidang ini melihat perkembangan diri murid dari sudut penghayatan estetik dalam seni muzik. Sesuai dengan statusnya dalam struktur KBSR, matapelajaran ini memberi tumpuan kepada peranannya memperkembangkan domain efektif murid khususnya dalam bidang kesenian. Selaras dengan itu, bidang ini digubal untuk membimbing murid ke arah menghayati dan menikmati muzik secara intelektual. Antara kesan positif yang diperolehi murid melalui bidang seni muzik ini, ialah :

a.Menggalakkan Perkembangan KAPPenglibatan secara aktif dalam aktiviti muzik yang tersusun berupaya menggalakkan perkembangan kognitif, afektif dan psikomotor murid, disamping memupuk nilai sosialisasi. Dari segi kognitif, murid mendapat pengetahuan dan kefahaman konsep muzik yang asas. Bagi murid sekolah rendah khasnya, aktiviti muzik dan pergerakan bukan sahaja membantu pertumbuhan kecerdasan kinestetik malahan berperanan membantu mereka memahami konsep muzik yang abstrak.

b.Melatih Kemahiran Komunikasi dan Interaksi SosialDari aspek sosialisasi, aktiviti menyanyi, bergerak dan bermain alat muzik secara berkumpulan memberi kesempatan murid berkomunikasi dan berinteraksi dengan mengamalkan nilai-nilai murni.c.Menanam dan Menyemai Nilai Murni dan Jati DiriDi samping itu, terdapat pelbagai bentuk muzik dalam budaya masyarakat Malaysia yang harus dikenali murid sebagai warisan bangsa. Pengetahuan dan pengalaman mengenai pelbagai unsur budaya dalam muzik dapat membantu memupuk elemen jati diri dan patriotisme pada diri murid.

1.1.3 Bidang Seni PergerakanSeni Pergerakan adalah untuk memenuhi keperluan pertumbuhan dan perkembangan individu bagi membentuk masyarakat yang cergas, sejahtera dan produktif. Kurikulum ini dibahagikan kepada tiga tunjang pembelajaran iaitu Kecergasan, Kemahiran dan Kesukanan. Tiga tunjang ini membantu mencapai matlamat bidang seni pergerakan. Murid perlu memahami dan menghayati pengetahuan, kemahiran dan pengalaman Pendidikan Jasmani agar dapat mengamalkan gaya hidup cergas sebagai budaya Malaysia. Murid diorientasikan dengan ilmu dan amalan teori dan praktikal pergerakan bagi membentuk sahsiah dan sikap untuk menghadapi cabaran hidup. Aktiviti Seni pergerakan yang terancang dan persekitaran yang kondusif dapat menggalakkan pengajaran dan pembelajaran bagi meningkatkan potensi murid ke tahap optimum. Seni pergerakan juga bertujuan membantu murid menjadi cergas melalui pembelajaran aktiviti fizikal dan amalan kecergasan. Bidang seni pergerakan ini menekankan kepada kecergasan sesuai dengan ciri dan keperluan murid. Pendekatan yang dicadangkan bagi mata pelajaran ini ialah pembelajaran melalui aktiviti. Murid perlu diberi peluang mempelajari pengetahuan, kemahiran dan nilai berkaitan mata pelajaran dengan melakukan aktiviti, eksperimen dan amalan rutin. Murid akan diberi peluang untuk meluahkan emosi, memperkembangkan proses mental, membentuk perhubungan yang sihat dan melakukan kegiatan fizikal dalam suasana yang membina dan selamat.

1.2 RumusanMatlamat guru-guru sekolah rendah dalam proses pengajaran dan pembelajaran ialah untuk membentuk kanak-kanak dengan kemahiran memerhati, kesedaran dan arif terhadap pergerakan, bunyi, bentuk, tekstur dan irama. Melalui aktiviti seni daya estetik kanak-kanak dapat dipertingkatkan. Contohnya menggunakan lagu untuk memperkenalkan tajuk Rama-rama. Semasa kanak-kanak menyanyikan lagu, mereka akan bergerak mengikut irama seperti lebah sedang terbang. Semua aktiviti seni dalam pendidikan yang dialami oleh kanak kanak sangat berkesan dalam mempengaruhi kehidupan mereka kerana melaluinya akan membolehkan kanak-kanak meluahkan keinginan dan keperluan mereka. Lazimnya mereka dapat membina pengalaman baru hasil daripada beberapa penerokaan dalam kehidupan seharian dan akan berasa seronok apabila dapat mencipta sesuatu yang baru. Untuk meluahkan rasa hati, mereka akan mencipta sesuatu dengan menggunakan kaedah dan cara tersendiri dalam pelbagai bentuk.

RujukanProsiding Konvensyen Kebangsaan Pendidikan Seni Visual. ( 2000 ). Kuala Lumpur : AG Grafik. Pusat Perkembangan Kurikulum. ( 2002 ).Sukatan Pelajaran Pendidikan Seni Visual. Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia.Md. Nasir Hj. Ibrahim. ( 2003 ).Pengurusan Seni. Kuala Lumpur: Universiti Pendidikan Sultan Idris.Mazlan Mohamad. ( 1996 ).Pendidikan Seni I, Prinsip Pendidikan Seni. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn Bhd.

Peranan Seni dalam PendidikanMengikut Dr. Sharifah Norul Akmar Syed Zamri (2006), asas pendidikan di rujuk sebagai 3R iaitu membaca, menulis dan mengira. Penggunaan huruf, R adalah satu perkataan yang sesuai digunakan dalam Bahasa Inggeris tetapi mungkin tidak dalam Bahasa Melayu. Seni perlu dijadikan R keempat atau literasi asas kerana Seni dalam Pendidikan memainkan peranan yang penting dalam proses pembelajaran dan pengajaran. Terdapat 3 bidang utama dalam mata pelajaran ini iaitu Seni Visual, Seni Muzik dan Seni Pergerakan. Antara peranan-peranan Seni dalam Pendidikan ialah:a)Proses pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih seronok

Pengajaran yang dilaksanakan dengan menggabungjalin pelbagai unsur seni dan berbeza dari kaedah pengajaran tradisional yang hanya menggunakan kapur dan papan tulis sebagai media dalam penyampaian maklumat dapat menjadikan murid berasa lebih seronok. Selain itu, murid akan berasa lebih selesa dan lebih mudah untuk memahami sesuatu tajuk yang diajar.

b)Memupuk nilai kerjasamaSecara semula jadi, kebanyakan aktiviti Seni Dalam Pendidikan tidak dapat mengelakkan murid-murid daripada terlibat dalam kegiatan yang beransur kerjasama. Aktiviti berkelompok menuntut setiap individu bergerak dan berinteraksi secara bekerjasama untuk mencapai kejayaan bersama. Aksi-aksi yang terdapat dalam Seni Dalam Penidikan merangkumi aktiviti seni visual, muzik dan pergerakan mempunyai titik tolak interaksi social yang terjalin melalui deria sentuh.

c)Memenuhi keperluan sosial yang asas

Apabila semua murid berpeluang menyertai aktiviti aktiviti yang sesuai dengan minat dan kebolehan mereka, maka akan terbentuk satu situasi ideal yang dapat memenuhi kedua-dua matlamat social iaitu kemilikan dan keinginan diterima sebagai anggota kelompok.

Murid-murid mahukan dirinya diterima sebagai anggota sebuah kelompok dan pada masa yang sama memerlukan kasih sayang. Dalam kegiatan Seni Dalam Pendidikan, keperluan untuk belaian sekurang-kurangnya dipenuhi melalui pujian dan galakan yang diberi sebaik sahaja mereka mempersembahkan aktiviti yang menarik.

Perhubungan mesra antara murid dengan murid dapat mewujudkan suasana yang harmoni dan menyebabkan murid merasakan bahawa guru dan rakan-rakan prihatin terhdap dirinya danb menghargai bakat yang dimiliki.

d)Murid berpeluang untuk menjalani proses penerokaan semasa dalam proses pengajaran dan pembelajaran

Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga (1996), penerokaan dapat ditakrifkan sebagai penyelidikan yang bertujuan untuk mengetahui sesuatu yang belum diketahui. Penerokaan dapat dilaksanakan dengan cara menjelajah. Namun begitu, proses ini memerlukan pelbagai bahan dan kaedah. Pengalaman meneroka juga merupakan sesuatu situasi pembelajaran. Meneroka dijalankan dengan membuat eksperimen, menyelidik dan mencipta menggunakan pelbagai idea dan bahan. Penerokaan terbahagi kepada tiga kategori iaitu alat dan bahan, cara pengelohan dan manipulasi serta idea dan isi kandungan.

e)Luahan perasaan dan aras keyakinan yang tinggi

Perasaan merupakan reaksi badan terhadap rangsangan yang diterima sama ada ia bersedia atau tidak. Di samping itu, perasaan juga mungkin dapat memberikan sumber manfaat dan kerugian kepada seseorang. Guru boleh mendapat tahu perasaan sebenar murid melalui tingkah laku yang dipamerkan. Murid yang menyertai aktiviti-aktiviti seperti permainan boleh mewujudkan suasana keriangan, bebas daripada tekanan emosi dan membina kecekalan dalam menghadapi persaingan dan cabaran. Individu yang mempunyai keyakinan diri yang tinggi dapat melakukan aktiviti tanpa rasa segan atau bimbang mengenai pandangan orang lain terhadap dirinya. Oleh itu, setiap aktiviti yang dilakukan perlulah ada keyakinan supaya dapat menjamin keberkesanannya.Kesimpulan:Kesemua bidang Seni Dalam Pendidikan iaitu seni visual, muzik dan pergerakan perlu diintegrasikan kerana ketiga-tiga subjek ini mempunyai motif dan peranan yang sama. Pengintegrasian ini akan memperkukuhkan dan memantapkan lagi kefahaman pelajar tentang tajuk-tajuk yang diajar.

Aplikasi Seni Dalam PengajaranSeperti yang kita sedia maklum pada hari ini, di sekolah pada masa kini tidak kira sekolah rendah mahupun sekolah menengah telah dimasukkan pengajaran matapelajaran seni. Seni dalam pendidikan atau pengajaran lebih dikenali sebagai (SDP) yang diwujudakan bagi membantu perkembangan yang seimbang individu itu dari aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan juga sosial sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang turut sama ingin mewujudkan insan yang seimbang dari aspek yang sama. Selain itu, ianya juga bermatlamat untuk menyediakan guru yang mempunyai pengetahuan dan juga kemahiran untuk mengintegrasikan aktiviti seni visual, seni pergerakan dan juga seni muzik dalam proses pengajaran dan pembelajaran dalam matapelajaran yang lain. Seni dalam pendidikan merupakan sesuatu yang baru dan ianya menggabungkan tiga elemen penting. Elemen-elemen yang dimaksudkan ialah seni visual, seni pergerakan dan juga seni muzik. Dalam seni visual ianya lebih melibatkan lukisan, manakala seni pergerakan merangkumi penggunaan ruang dalam sesuatu aktiviti. Dan seni muzik pula lebih kepada interpretasi seseorang terhadap muzik yang didengarinya. Menurut Dr. Sharifah Norul Akmar Syed Zamri (2006), asas pendidikan di rujuk sebagai 3R iaitu membaca, menulis dan mengira. Penggunaan huruf, R adalah satu perkataan yang sesuai digunakan dalam Bahasa Inggeris tetapi mungkin tidak dalam Bahasa Melayu. Seni perlu dijadikan R keempat atau literasi asas kerana Seni dalam Pendidikan memainkan peranan yang penting dalam proses pembelajaran dan pengajaran. Ketiga-tiga elemen tadi jika diaplikasikan dalam pengajaran guru, hasil yang diperolehi adalah proses pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih sempurna. Hal ini kerana, pengajaran yang dilaksanakan dengan menggabung jalin pelbagai unsur seni yang mana ianya berbeza dari kaedah pengajaran yang turun-temurun berkonsepkan pengajaran meggunakan kapur dan papan tulis sebagai media menjadikan murid-murid merasa bosan, sekiranya penyampaian maklumat samaada nyanyian melalui seni muzik dapat menjadikan murid berasa lebih seronok untuk belajar. Selain itu, murid akan berasa lebih selesa dan lebih mudah untuk memahami sesuatu tajuk yang diajar. Hal ini kerana, guru mengajar dengan menggunakan kaedah penyampaian isi pelajaran melalui nyanyian dan sebagainya. Warna, irama dan juga pergerakan merupakan elemen yang senantiasa wujud di sekeliling murid-murid. Melalui kewujudan unsur-unsur ini, murid-murid dapat mempelajari sesuatu yang baru disekeliling mereka dengan lebih seronok dan lebih berkesan. Irama merupakan elemen yang terdapat dalam seni muzik. Dalam pendidikan seni, irama digambarkan sebagai sesuatu susunan sesuatu corak yang berulang, susunan sekata yang mewujudkan pergerakan. Kanak-kanak akan mula memahami dan belajar sesuatu kemahiran dalam irama sewaktu mereka melakukan aktiviti seperti melompat, bergerak ke kiri dan ke kanan, menari, melukis corak dan sebagainya. Sebenarnya irama dapat meransang minda kanak-kanak untuk memberikan tumpuan apa yang sedang dilakukan. Tanpa kehadiran muzik yakni irama, sudah semestinya sesuatu aktiviti itu menjadi hambar dan murid akan merasa cepat bosan. Selain itu, kehadiran Irama dalam aktiviti yang dilakukan secara tidak langsung menarik minat kanak-kanak untuk menyertai sesuatu aktviti dengan lebih seronok dan bersemangat. Kanak-kanak akan merasa lebih seronok melakukan aktviti seperti melompat sambil mengikut irama muzik. Mereka juga akan meneroka pergerakan-pergerakan yang lebih kreatif dan menarik apabila wujudnya tindakbalas kanak-kanak tersebut dengan muzik atau irama yang mereka dengar. Ruang juga merupakan elemen dalam matapelajaran Seni Dalam Pendidikan. Ruang dapat didefinisikan sebagai kawasan yang terletak di sekeliling sesuatu objek atau dengan kata lain jarak antara dua objek. Menurut Howard Gardner ( 1983 ), kecerdasan ruang melibatkan kebolehan-kebolehan melihat dunia visual spatial dengan lebih tepat. Bilik darjah perlu disusun dengan baik bagi memastikan terdapat ruang yang cukup untuk guru dan juga pelajar melakukan aktiviti dengan selamat, selesa dan berkesan. Ini secara tidak langsung membantu menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih efektif dan seterusnya mencapai matlamat pnp tersebut. Selain itu, guru perlulah memahami dan menghayati kurikulum dan menguasai Sukatan Pelajaran Pendidikan Seni Visual. Kemahiran guru dalam mengolah sukatan pelajaran dengan menumpukan kepada perkembangan pengetahuan dan peningkatan kemahiran tertentu dengan menggunakan pelbagai pendekatan dan teknik yang sesuai. Aplikasi seni dalam pengajaransebenarnya memberi peluang kepada murid-murid untuk meneroka alam sekeliling mereka, yakni apa yang mereka lihat, sentuh, bergerak dan berfikir dalam setiap aktviti pembelajaran yang mereka lakukan. Melalui cara ini, secara tidak langsung, ia mengajar murid untuk menangani menguruskan sumber imaginasi, kreativiti, pemikiran, serta emosi dengan lebih efektif dan proaktif. Kanak-kanak di sekolah rendah belajar dalam suasana yang aktif. Mereka membina pengetahuan secara aktif. meneroka pergerakan-pergerakan yang lebih kreatif dan menarik apabila wujudnya tindakbalas kanak-kanak tersebut dengan muzik atau irama yang mereka dengar. Pembelajaran secara aktif dan juga melibatkan interaksi sosial amatlah digalakkan. Melalui aktiviti yang dilakukan seperti meneroka, membuat eksperimen dan mengolah bahan, murid akan memperoleh pengalaman yang baru. Pengalaman tersebut akan kekal kerana mereka meneroka sendiri dan menggunakan pencaindera mereka untuk menilai apa yang dilakukan. Oleh itu, melalui aktiviti seni, kanak-kanak boleh meluahkan idea atau perasaan mereka yakni emosi secara bebas dan kreatif. Guru matapelajaran hendaklah melengkapkan diri dengan kemahiran- kemahiran yang diperlukan. Perancangan aktiviti juga perlu diberi tumpuan demi menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan berkesan. Guru hendaklah memainkan peranan dengan menggalakkan murid menggunakan sepenuhnya kelebihan diri mereka disamping guru menyediakan pelbagai aktiviti yang meransang minat kanak-kanak dan memenuhi keperluan murid-murid yang mempunyai kepelbagaian gaya belajar. Tiga unsur dalam Seni Dalam Pengajaran iaitu seni visual, muzik dan juga pergerakan perlulah digabungkan dengan semaksimum mungkin bagi menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran berlaku dengan berkesan dan kreatif. Guru perlulah mempunyai pengetahuan tentang bagaimana untuk menggunakan warna dengan baik, memasukkan elemen-elemen irama dan dalam masa yang sama menggunakan ruang yang sesuai bagi meransang minda murid-murid sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran. Melalui kaedah tersebut iaitu gabungan elemen seni dalam pendidikan, murid akan berasa seronok dan gembira serta melakukan aktiviti dengan lebih aktif. Mereka tidak terikat dengan cara atau teknik pengajaran yang lama dimana ianya lebih berpusatkan kepada guru. Pengajaran dalam bilik darjah boleh dilaksanakan dengan mengaitkan mata pelajaran tertentu dengan unsur warna, irama, pergerakan. Contohnya, matapelajaran sains guru akan mengajar tajuk haiwan iaitu haiwan liar. Guru boleh membawa murid-murid ke ZOO Negara. Seterusnya murid-murid menjalani proses memerhati, membuat catatan tentang ciri-ciri binatang yang dilihat dari aspek warna, tubuh badan, saiz dan sebagainya. Selain murid-murid juga boleh melukis rupa bentuk binatang yang mereka lihat. Kebebasan perlulah diberikan kepada murid untuk mereka menggunakan warna dan mencampurkan untuk mendapatkan hasil yang menarik dan kreatif. Guru boleh mengarahkan murid untuk membentang hasil yang diperolehi. Pembentangan boleh dilakukan secara berkumpulan. Setiap kumpulan boleh menggunakan setiap ruang yang ada dalam kelas dengan semaksimum mungkin dan menjalinkan bersama kreativiti mereka bagi menjadikan pembentangan tersebut menarik dan kreatif. Seterusnya setiap kumpulan akan membuat persembahan seperti menyanyi dan juga menari lagu yang berkaitan dengan haiwan yang telah mereka kaji. Mereka boleh membuat pergerakan dan bunyi haiwan yang telah mereka kaji. Perbincangan antara ahli kumpulan perlu dilakukan untuk menghasilkan satu bentuk persembahan yang menarik dan kreatif.Secara umumnya, aplikasi seni dalam pengajaran merupakan suatu kaedah yang seharusnya dikuasai oleh semua guru untuk memberikan pemahaman yang berkesan kepada murid-muridnya. Degan kaedah yang dilaksanakan dalam mata pelajaran murid-murid yang memperolehi ilmu baru akan merasa seronok dan tidak bosan kerana semua perkara seperti keindahan, keceriaan, muzik melalui bunyi-bunyian yang dihasilkan dapat memberikan pelajar tidak tertekan dengan isi pelajaran yang diajar oleh guru. Walaubagaimanapun guru seharusnya mengetahui peranannya sendiri, guru bukan sahaja memberikan ilmu baru kepada murid-muridnya malah guru seharusnya meningkatkan motivasi pelajar melalui kekreatifan yang sedia ada untuk menarik minat murid-muridnya terhadap subjek yang diajar. Kekreatifan seseorang guru tersebut dalam menurun ilmu pengetahuannya kepada murud-muridnya perlu diambil kira untuk menjamin masa depan masyarakat dan Negara.